Novel : Layakkah Aku? 1

Novel : Layakkah Aku? 1
Nama Pena : iXoRa

Layakkah aku? Persoalan itu terus timbul di benakku. Sudah seminggu aku berada disini. Minggu orientasi pun sudah sampai ke penghujungnya. Esok kuliah pertama ku akan bermula. Dengan itu bermulalah kehidupan aku sebagai seorang mahasiswi. Aku rasa semua ini bagaikan mimpi. Namun hakikatnya ini adalah realiti yang bakal ku lalui. Macam baru semalam aku mendaftar masuk ke matrikulasi. Teringat aku akan kenangan ku disana.

Aku berasal dari sebuah keluarga yang miskin di kawasan yang agak terpencil. Walaupun hidup kami serba kekurangan dari segi kewangan, tapi kami bahagia dengan kehidupan kami. Aku bersyukur kerana dikurniakan sebuah keluarga yang amat penyayang. Aku adalah anak bongsu dari 3 beradik. Aku memang agak manja berbanding adik beradik lain. Biasalah anak bongsu kan.. Aku adalah harapan keluargaku. Kerana aku seorang sahaja dalam keluargaku yang mampu menjejak kaki ke menara gading. Aku bukanlah seorang pelajar yang rajin. Hanya nasib menyebelahi diriku. Akan ku pegang amanah ini, untuk mengubah taraf hidup keluargaku.

Mengimbau kembali kenangan di matrikulasi. Aku punya seorang

roommate yang cukup prihatin terhadapku. Disaat aku memerlukan, dia datang membantuku. Semasa aku homesick. Rindu akan kampung halaman kerana aku belum pernah berpisah lama dengan keluarga ku sebelum aku masuk matrikulasi. Dia cuba menceriakan kehidupanku. Dia membimbingku supaya aku lebih kuat menghadapi segala dugaan hidup. Dia mengajakku mendekatkan diri pada Maha Pencipta ketika diri rasa keseorangan. Aku masih ingat lagi kata-katanya.

"Masalah jangan dipendam dalam diri. Nanti ia memakan diri. Jangan juga diluahkan segalanya pada manusia kerana mungkin ia akan diguna untuk memburukkan kita. Jika diluahkan dalam diari, diari tak dapat bantu kita. Luahkan rasa hati kita pada tuhan. Sesungguhnya dia Maha Mendengar lagi Maha Melihat. Dia akan membantu hambanya yang meminta pertolongan dariNya."

Dialah sahabat sejati ku. Mengajak aku ke masjid. Di masjid, hati ku rasa sangat tenang. Segala masalah dapat aku lupakan sekelip mata. Aku menjadi lebih matang untuk meneruskan kehidupan ini. Akan ku kenang jasanya sampai bila-bila. Aku sebenarnya bukanlah sahabat yang baik. Aku selalu mementingkan diriku sendiri. Layakkah aku menjadi sahabatnya? Namun aku cuba menjadi sahabat yang terbaik.

Setelah tamat matrikulasi, aku mendapat keputusan yang cemerlang. Aku ditawarkan melanjutkan pelajaran dalam kursus pilihan pertamaku di universiti yang ku idamkan selama ini. Alhamdulillah, aku syukur kehadrat Illahi. Tapi layakkah aku sebenarnya mendapat semua ini? Padahal usaha aku cuma sedikit. Namun aku percaya jika Allah kehendaki sesuatu maka jadilah ia.

"Mira, termenung panjang nampak. Ingatkan pak we kat kampung ker?" Tegur roomateku yang baru.

"Hish.. Kak Amy ni. Saya teringat kenangan kat matrik la. Rasa cam baru lagi" balasku.

Kak Amy adalah roomateku yang baru. Dia sudah berada di Tahun 2 pengajian. Mungkin dia dapat membantuku meneruskan hidup sebagai seorang mahasiswi di sini. Aku berharap sangat dia boleh jadi macam roommate aku yang dulu. Maz aku rindukan kau. Mampukah aku hidup jauh dari keluarga tanpa dirimu disisi…

Bersambung...

Read More..
 
Novel : Angin Cinta 1

Novel : Angin Cinta 1
Nama Pena : nur

BAB 1


Seperti malam-malam sebelumnya. Malam ini malamnya kelam lagi. Malamnya tidak sama seperti malam mereka yang lain. Malamnya sukar benar disinggahi bintang. Bintang-bintang dirasakan menjauh darinya. Kini hanya sepi gelap yang panjang dirasakan pada jalan hidupnya. Suatu ketika dulu, dia pernah didatangi bulan. Tapi terangnya seketika. Hanya memberikannnya cahaya bahagia yang sementara. Kini, dia bagaikan pungguk yang menanti bulan. Menanti janji Amir yang entah bila akan tertunai.

Amir muncul dalam hidup Hayati dalam waktu yang singkat dan pergi juga dalam waktu yang singkat. Setelah Amir pergi Hayati seperti kehilangan sesuatu yang amat berharga dalam hidupnya. Dia kehilangan semangat. Semangat yang selama ini menguatkan dia untuk terus tabah menongkah arus kehidupannya yang serba kekurangan.

Hembusan bayu malam itu lembut mengelus ke pipi gebu Hayati. Terkesat titis-titis jernih yang mengalir dari kelopak mata bundarnya. Rambutnya yang jatuh ke muka diselak perlahan ke telinga. Dia menarik nafas sedalam-dalamnya, menyedut bayu malam yang dingin. Terasa kedinginan itu menyejukkan hatinya yang kosong. Airmatanya yang bersisa diseka perlahan dengan tapak tangan yang pucat kelesuan. Lalu dia menunduk memandang sekeping kertas di atas bangku yang dia duduk. Sekeping kertas itu tertulis coretannya untuk seorang yang istimewa. Direnung kertas itu dengan rasa pengharapan. Semoga saja surat itu sampai pada Amir dan mendapat balasannya.

Perlahan dilipat kemas dan disarungkan ke dalam sampul surat. Esok dia akan ke pekan, dia akan kirimkan surat itu. Surat yang kesekian kalinya dia utuskan ke alamat Amir di Kuala Lumpur. Sampul yang dipegang kemas di letakkan di dadanya. Dipeluk erat surat itu sambil berdoa dalam hati.

"Alamat ini, Yati simpan baik-baik..."
Amir menyerahkan sekeping kertas ke tangan Hayati. Sambil mata Amir merenung dalam anak matanya. Itulah pertama kali Amir menyetuh tangan Hayati. Walaupun beberapa saat tangan Amir di atas tapak tangannya, Hayati dapat rasakan ada satu kuasa yang terbit pada sentuhan itu, lalu mengalir ke dalam hatinya. Seperti saja tapak tangan Amir menyentuh di permukaan hatinya.

Hayati memandang seketika pada Amir. Wajah lelaki itu sungguh kusam. Namun wajah kusam itu cuba mengukir senyum kepadanya. Hayati cepat-cepat tundukkan kepala. Dia malu. Juga dia rasa bersalah yang amat sangat. Tangannya menggenggam kuat kertas yang diberi Amir. Dia mahu meminta maaf pada Amir. Dia ingin bersuara tentang kejadian salah faham antara mereka. Tapi terasa kata-katanya tersekat di kerongkong.

Amir masih merenung Hayati yang menunduk. Lama. Dia ingin menatap wajah Hayati puas-puas. Kerana selepas ini entah bila dia akan bersua lagi dengan gadis itu. Dia mahukan wajah di hadapannya itu bukan sekadar singgah di hatinya, tapi biar terpatri dan takkan luntur sampai bila-bila. Walaupun dia akan berhijrah ke Kuala Lumpur semula, dia tidak mahu wajah itu hilang dari memorinya. Kehadiran Hayati dalam hidupnya terlalu istimewa. Selama dua tahun dia di Kampung Resam, pertemuannya dengan Hayatilah yang telah merubah dirinya ke jalan sebenar. Jauh dari perangai nakalnya sewaktu di Kuala Lumpur dulu. Amir menarik nafas dalam dan melepaskan keluh kecil. Dia memalingkan tubuhnya dari Hayati. Dia menghadap ke laut biru yang terbentang luas. Ombak memukul kuat pantai yang tenang, memecah sunyi antara mereka.

"Saya tahu awak masih tak maafkan saya." Amir bersuara lagi. Terselit nada kecewa. Hayati yang berdiri di belakang Amir serta merta mendongak. Pantas dia menggeleng kepalanya. Dia sebenarnya sudahpun memaafkan Amir. Malah dialah yang sepatutnya meminta maaf pada Amir. Dia sudah mengetahui perkara sebenar tentang salah faham yang timbul di sekolah. Dia sudah tahu duduk sebenar perkara itu. Surat cinta yang diutuskan kepadanya dengan menggunakan nama Amir adalah angkara rakan-rakan yang iri hati dengan hubungan akrab mereka berdua. Di sebabkan fitnah itu dia bermasam muka terhadap Amir selama hampir 2 minggu.

Hayati malu pada Amir. Malu pada rakan-rakan yang lain bila cerita surat itu menjadi bahan umpatan seluruh tingkatan enam di sekolahnya. Rasa amarah terbit daripada perasaan malunya. Marahnya pada Amir tidak dapat dibendung ketika itu. Amir cuba jelaskan bahawa bukan dia yang menulisnya tapi ketika itu emosi Hayati tidak dapat dikawal. Dia naik berang. Sepatah pun penjelasan Amir tidak mahu didengarnya. Melihat saja muka Amir dia jadi marah. Apabila dilihatnya Amir datang ke arahnya, dia cepat-cepat mengelak. Jika berselisih pun, dia sekadar menjeling Amir dan berpaling lantas menjauh. Sejauh yang mungkin. Tapi itu beberapa hari yang lalu. Sebelum marahnya reda dan mendapat cerita yang sebenarnya daripada Asmira, rakan sekelasnya.

Kini dia rasa bersalah amat sangat. Apatah lagi dengan pemergian Amir ke Kuala Lumpur dalam masa dua hari lagi. Jika masa boleh diputarkan, dia tidak mahu mensia-siakan masa yang tertinggal itu dengan hubungan yang terbelah antara dia dan Amir.
"Amir akan tunggu surat daripada Yati." Amir berkata lagi. Kata-kata Hayati masih tersekat di kerongkongnya. Dia menelan air liur di tekak yang kering. Rasa bersalah menyengat-nyengat di hatinya. Tapi dia tidak tahu bagaimana untuk bekata-kata. Tidak tahu bagaimana meminta maaf dengan cara yang betul. Hatinya menghentak-hentak di dalam, walhal mulutnya terkatup masih membisu.

Ombak memukul pantai seakan berlagukan rasa angin. Tanda besar bahawa angin itu wujud. Angin mengarahkan ombak menyapa pantai mengikut tiupan rasanya. Kencang rasa angin kuatlah ombak membadai, sepoi tenang rasa angin lembutlah ombak mengusap pantai. Amir yang merenung jauh infiniti ke lautan bergelora, mematikan pandangannya. Matanya dipejam. Merasai suatu perasaan yang sudah lama wujud di hatinya. Kewujudan rasa itu seperti kewujudan angin yang tidak dapat disangkal.

Amir menarik nafas dalam-dalam menenggelamkan rasa itu. Dia tahu dia tidak sepatutnya menyimpan perasaan itu. Dia dan Hayati pernah berjanji, antara mereka berdua hanya ada persahabatan. Tidak pernah lebih daripada batas itu. Hayati pernah kata, apa-apa perasaan selain persahabatan perlu di tolak ke tepi. Mereka tidak akan menjerumuskan diri ke dalam alam percintaan zaman sekolah. Itulah prinsip Hayati yang dipegangnya sehingga ke hari ini.

Tapi itu hanya Hayati. Tidak untuk Amir. Amir di mulut saja berkata akur, sedang hatinya menidak. Apakan daya Amir, untuk apa dia bertepuk sebelah tangan jika Hayati sendiri sudah menyatakan awal-awal tentang prinsipnya. Selagi Hayati di bangku sekolah dia tidak akan melibatkan diri dengan cinta. Bayangkan saja surat cinta rekaan teman-teman sekelas sahaja sudah menjadi kemarahan Hayati, apatah lagi jika dia sendiri benar-benar menulis surat sebegitu. Pasti Hayati naik berang. Bagaimana untuk dia terus mengimpikan yang indah-indah tentang perasaan cintanya jika Hayati sendiri menentangnya?

Dia membuka matanya. Lalu berpaling menghadap Hayati semula. Direnungnya Hayati yang cepat-cepat menundukkan wajah. Dia mengukir senyum pahit. Hayati adalah sahabatnya. Hubungan persabahatan antara dia dan Hayati diharapkannya tidak akan berakhir begitu sahaja.

"Awak jaga diri baik baik. Saya pergi dulu." Tutur Amir. Hazyati masih membisu. Amir berpaling dan mengatur langkahnya pergi. Belum beberapa langkah dia menjauh, Hayati mendongak.

"Amir.." panggilnya serta merta. Amir berhentikan langkahnya. Dia menoleh.

"Awak pun jaga diri baik-baik." Sambung Hayati dengan senyuman. Riak rasa bersalahnya masih terpamer di wajahnya. Amir tersenyum sambil mengangguk-angguk. Kali ini senyuman Amir asli. Ada gembira yang bersulamkan mesra. Sepotong ayat daripada Hayati itu sudah cukup menyatakan Hayati masih mengambil berat akan dirinya.

"Terima kasih. Terima kasih sebab jadi sahabat saya selama saya berada di sini. Saya takkan lupakan awak Ati." Balasnya. Senyumnya yang tidak lekang dibalas oleh senyum Hayati yang memekar. Sambil berhadapan dengan jarak beberapa langkah itu, masing-masing diam seketika sambil berbalas senyum penuh makna. Petanda hubungan mereka yang retak kembali terjalin. Amir menarik nafas panjang dan menghembus perlahan. Terasa kelegaan di hatinya.

"InsyaAllah, panjang umur saya ke sini lagi tahun hadapan. Saya nak jumpa awak. Di sini, pada tarikh dan waktu yang sama.." ucapnya dengan penuh yakin. Hayati merenungnya dengan senyum melebar. Lalu mengangguk-angguk dengan pantas. Akan dipegang kata-kata Amir itu. Akan ditunggu hari pertemuan itu nanti. Sejurus kemudian Amir berpaling dan mengatur langkahnya, meninggalkan Hayati yang bersisa dengan senyumnya.

‘Saya akan tetap tunggu awak Amir..walau seribu tahun pun..’ ucapnya dalam hati. Surat di dadanya dipegang kemas.

"Kak Ati...." satu suara kecil menyapa lembut di gegendang telinganya. Serta merta lamunannya terhenti. Bayangan Amir dan launtan bergelora lenyap dari pandangannya. Dia menoleh ke belakang. Sekujur tubuh kecil sedang berdiri di muka pintu.

"Kak Ati.." si kecil itu bersuara lagi sambil menggosok-gosok matanya dengan kedua belah tangannya. Hayati meletakkan sampul berisi surat di atas riba. Dia memusingkan badan sedikit lalu mencapai tangan si kecil. Ditarik perlahan menghampirinya di bangku kayu itu lalu mengajak duduk di sisinya.

"Kenapa adik akak tak tidur lagi ni? Esokkan kena pergi sekolah?" Sambil mengukir senyum tangannya mengusap perlahan kepala Hazirah. Rambut Hazirah yang mengurai di bahu di selak ke belakang. Pipi lembut Hazirah disentuh lembut. Hazirah hanya diam. Matanya tepat merenung ke dalam mata kakaknya.

"Irah tak dapat tidur ya?" soal Hayati. Perlahan-lahan Hazirah mengangguk.

"Kenapa tak dapat tidur ni? Hmm?" Soalnya lagi. Hazirah tidak menjawab. Perlahan-lahan dia tunduk, sambil tangannya dimasukkan ke dalam saku, menyeluk sesuatu. Seketika kemudian sekeping not Rm1 dikeluarkan dan diserahkan kepada Hayati.

Hayati merenung wajah bersih si kecil yang berusia 7 tahun itu. Lama sehingga sebak terasa menggunung di hatinya. Dia menarik nafas kemudian menghembus keluhan kecil. Tangan Hazirah yang memegang not Rm1 digenggamnya. Lalu memasukkan semula ke dalam saku Hazirah. Dia kemudian membuang pandangan jauh ke dasar laut yang terbentang luas.

"Sudah berapa kali akak kata pada Irah kan, duit tu untuk Irah belanja di sekolah, kenapa Irah tak guna di sekolah?"

"Irah tak perlulah nak mengikat perut. Akak masih kerja dik.. akak ada pendapatan." Keluh Hayati dengan nada tinggi.

Hayati tahu Kak Marzilanya tak pernah berikan Hazirah belanja sekolah. Duit gaji yang Hayati berikan pada Kak Marzila setiap bulan habis dibelanjakan untuk anak-anaknya. Hayati bukan berkira sangat jika duit itu dibelanjakan untuk anak-anak Kak Marzila, Hayati cuma terkilan kenapa perlu Hazirah diabaikan.

Kak Marzila setiap hari mengeluarkan kata-kata tidak senang. Rungutnya wang sejumlah RM400 yang Hayati beri untuknya tiap bulan tidak cukup, kerana terpaksa menanggung persekolahan Hazirah yang terlalu banyak pakai duit. Sedangkan terang-terang Hayati tahu makan pakai Hazirah dia juga yang tanggung dengan baki duit gajinya. Hayati sendiri memberikan duit kepada Hazirah jika Hazirah mengadu perlukan duit untuk membayar yuran sekolah dan membeli buku. Itu tidak termasuk duit yang diberinya kepada Hazirah untuk ke sekolah setiap hari.

"Kak....." Hazirah yang menyandar di sisi Hayati bersuara. Hayati pandang wajah Hazirah yang mendongak. Dalam mata Hazirah ada air yang bergenang.

"Irah rindukan mak dan abah kak..." tutur Hazirah perlahan. Satu persatu titis jernih mengalir di pipi gadis kecil itu. Serta merta Hayati menarik Hazirah ke dalam dakapannya. Dipeluknya dengan kuat. Airmatanya turut tumpah. Menitik membasah di rambut Hazirah.

"Kakak pun rindukan mak abah dik.." ucap Hayati dalam sebak. Pipi Hayati yang baru kering itu membasah lagi. Namun airmata yang mengalir itu cepat-cepat disekanya. Perasaan sedih rindunya ditempis kuat. Dia tidak mahu berasa sedih. Dia harus kuat. Mengenangkan pemergian ayah dan ibu dirasakan melemahkan nuraninya. Rindu yang tersimpan lama di dalam hatinya melemahkan batinnya. Dia tidak sesekali mahu menjadi gadis yang lemah.

"Irah, Irah jangan menangis ya. Kita kena kuat. Arwah mak dan abah tak nak kita menangis macam ni." Tutur Hayati perlahan cuba mengukir senyum. Hazirah memandang padanya. Kemudian mengangguk-angguk perlahan. Airmatanya di seka lalu memeluk erat pinggang Hayati.

"Usahlah rindu itu dipanjangkan sayang... walaupun ayah dan ibu jauh di mata tapi mereka tetap hidup di hati kita."

Di bangku kayu tepi pantai itu dia dan Hazirah menghayati pemandangan malam. Pemandangan malam kami tidak dihiasi bintang, bulan atau sebarang cahaya. Sepi. Hanya gelora ombak yang memainkan lagu naik turunnya kehidupan. Tiupan bayu malam membelai tubuh dua beradik itu. Hayati memeluk erat Hazirah di sisinya. Mampukah Hayati dan Hazirah mengharungi ombak kehidupan yang belum tahu sederas mana ia akan melanda.

Read More..