Cerpen : Sebelum dan Selepas Kehadirannya

Cerpen : Sebelum dan Selepas Kehadirannya
Nama Pena : Eym

"Kenapa, Ila? Kenapa?" Adam bertanya lagi dalam perbualan telefonnya dengan Ila.
"Saya tak suka awak. Sorrylah, ya?! Bye," Ila terus menekan butang merah pada telefon bimbitnya. Itu menjadikan Adam sangat kecewa. Masuk kali ini, sudah tiga kali dia meluahkan perasaannya pada perempuan tapi sering saja dia ditolak. Dia tidak tahu kenapa gadis idamannya susah untuk menerimanya. Mungkin kerana dia tidak kacak. Mungkin kerana dia tidak mempunyai karisma. Mungkin juga kerana dia terlalu skema. Itulah sebab yang difikirkan olehnya.
Keesokan harinya di sekolah, dia meluahkan masalah remehnya itu kepada kawan-kawannya di sekolah namun luahan itu dibalas dengan gelak ketawa kawan-kawannya itu.
"Engkau tak dapat sebab kau tak pandai mengurat!". Begitulah kata seorang rakannya.
"Ah, semua perempuan sama saja! Sibuk kejar lelaki yang handsome aja. Aku yang ada di depan mata ni, langsung mereka tak pandang!". Adam terus beredar dari situ. Sambil itu, kawan-kawannya tadi yang tidak begitu rapat dengan dia terus mentertawakannya.
Semasa Adam duduk di tempatnya, Ila yang merupakan pelajar di kelas bersebelahan melintasi koridor kelas Adam. Rakan-rakan Adam tadi mula mengusik mereka berdua dengan menyanyikan lagu jiwang beramai-ramai. Telinga Adam amat sakit mendengarnya sementara Ila pula terus berlalu dari situ tanpa mempedulikan Adam dan rakan-rakannya.
Waktu balik pula, Adam terserempak dengan Ila dan kawan-kawannya. Tanpa berkata apa-apa Adam terus berlalu dari situ. Sekali sekala dia menoleh ke belakang dan dia melihat sendiri kawan-kawan Ila memandang tajam padanya. Air muka mereka jelas sekali menzahirkan kebencian dan kemarahan terhadap Adam.
Sejak peristiwa itu, Adam mula menanam sifat anti-pergaulan terhadap pelajar perempuan dalam dirinya. Dia merasakan kesemua pelajar perempuan di sekolahnya tidak menyenangi kewujudannya di sekolah tersebut. Di dalam kelas, Adam mula berubah menjadi seorang yang pendiam. Penampilannya mula berubah daripada seorang yang skema kepada gaya yang dimiliki oleh pelajar nakal. Rambut yang sebelum ini disikat kemas menjadi tercacak. Tali lehernya pula tidak dipakai sampai ke butang atas, sebaliknya kelihatan seperti digantung pada leher saja. Seorang rakan di kelasnya mula menegurnya.
"Wah, handsomelah kau sekarang ni. Mesti lepas ni Ila terpikat,". Tiba-tiba Adam meninggikan suaranya.
"Hoi, kau jangan sebut-sebut pasal dia, boleh tak?!" rakan-rakan lain hanya melihat drama yang sedang berlangsung di dalam kelas tersebut.
"Kalau aku cakap tak boleh, macam mana?! Kau nak buat apa?!" rakan sekelas Adam itu bertindak mencabarnya.
Tanpa berkata apa-apa lagi, Adam menghayunkan buku limanya ke arah rakannya itu. Pergaduhan antara mereka mula berlaku dimana Adamlah yang paling banyak membuat serangan. Pergaduhan itu kemudiannya terlerai apabila guru disiplin melintasi kelas tersebut. Kedua-dua mereka dibawa ke bilik guru dan dirotan seterusnya nama mereka dicatat sebagai pelajar yang melakukan kesalahan disiplin. Ini pertama kali Adam dicatat namanya sebagai pelajar yang melakukan kesalahan disiplin. Satu rekod sebagai pelajar yang dilihat skema pada pandangan pelajar lain.
Keesokan harinya, Adam datang ke sekolah seperti biasa. Wajahnya hanya murung seperti semalam. Hadirnya dia pada hari itu kelihatan seperti mayat hidup. Tidak berkata-kata, tidak mendengar. Hanya diam membisu. Entah apa yang difikirkannya, hanya Tuhan yang tahu. Hari itu, seorang pelajar baru masuk ke kelas Adam. Terdapat seorang guru yang mengiringinya.
"Perhatian pelajar-pelajar sekalian, hari ini kelas kamu menerima pelajar baru. Sila perkenalkan diri kamu," setelah membuat pengumuman tak rasmi pada pelajar-pelajar kelas tersebut, guru yang bernama Encik Razilan itu meminta pelajar baru itu memperkenalkan dirinya.
"Nama saya Nadia binti Rosman. Saya berasal dari Kuala Lumpur. Ibu bapa saya merupakan ahli perniagaan,". Pelajar baru itu memperkenalkan dirinya. Adam agak tertarik dengan pelajar tersebut tapi dia tidak menzahirkan apa yang dirasainya, sebaliknya menyambung menungannya.
"Nadia, awak duduk di belakang sana," jari Encik Razilan menunjukkan tempat duduk di belakang Adam. Nadia berjalan menuju ke tempat duduk yang ditunjukkan oleh Encik Razilan. Tanpa bersuara dia melabuhkan punggungnya di tempat duduk tersebut. Setelah kelas Encik Razilan berakhir, Nadia memanggil-manggil Adam dengan nada yang perlahan.
"Awak! Awak!" Adam menoleh ke belakang.
"Nama awak siapa?" Nadia mengajukan soalan. Terdapat rakan sekelas mereka yang menyampuk.
"Cik Nadia, tak payahlah cakap dengan dia. Dia tu mayat hidup. Silap-silap dia gigit Cik Nadia jadi spesis macam dia," rakan-rakan lain ketawa bersama-sama mendengar lawak yang langsung tidak lucu bagi Nadia dan Adam.
Pada waktu pulang, Adam menunggu bas sekolahnya sambil duduk di pondok berhampiran. Kebetulan Nadia juga menunggu bas yang sama di pondok yang sama. Apabila bas sampai, kedua-dua mereka mengangkat punggung dan menuju ke bas tersebut. Tanpa sengaja, kedua-dua mereka cuba masuk ke bas serentak, namun sebagai lelaki yang merasakan dirinya gentleman, Adam membiarkan Nadia naik masuk dahulu. Adam duduk di tempat duduk hadapan Nadia, sama seperti waktu di dalam kelas. Kelihatan Adam cuba menulis sesuatu sambil diperhatikan Nadia. Apabila dia sedar tentang mata Nadia memerhatikannya , dia terus menyimpan apa yang ditulisnya ke dalam beg. Nadia pula menghulurkan gula-gula getah yang dibelinya kepada Adam. Adam dengan rasa segan-silu mengambil sebungkus gula-gula getah tersebut. Nadia hanya tersenyum melihat Adam menerima pemberiannya.
Sejak hari itu, mereka berdua mula berkawan. Mereka sering bantu-membantu antara satu sama lain. Salah satu contoh yang dapat dilihat ialah dalam pelajaran. Adam yang mahir dalam Kesusasteraan Melayu memberi tunjuk ajar kepada Nadia dalam mata pelajaran tersebut sementara Nadia mula memberi tunjuk ajar dalam mata pelajaran yang merupakan kepakarannya, iaitu Matematik. Adam secara perlahan-lahan mula berubah daripada seorang yang murung kepada seorang yang sentiasa tersenyum. Daripada seorang yang nakal kepada seorang yang mempunyai sikap yang terpuji di samping mengekalkan gaya pemakaiannya yang tidak terlalu skema. Perasaannya terhadap Nadia juga mula berubah daripada sekadar tertarik kepada perasaan angau. Setiap malam, dia asyik teringatkan Nadia dan mula mempertimbangkan niatnya untuk meluahkan perasaan terhadap gadis idaman buat kali ke-4.
"Dia tu lawa. Baik pula tu. Apa lagi yang aku ragu-ragu. Mungkin sudah sampai masa untuk aku meluahkan perasaan ku kepadanya. Tapi kalau aku ditolak lagi macam mana? Apa yang harus aku buat. Aku ingin hubungan kami lebih daripada hanya sekadar kawan. Tapi dalam masa yang sama aku takut hubungan kami terjejas hanya kerana aku meluahkan perasaanku. Jadi, macam mana?" fikir Adam sendirian.
Keesokan harinya, seperti biasa Adam menghabiskan masanya bersama satu-satunya rakan baiknya yang juga merupakan gadis idamannya, Nadia. Dia memberitahu Nadia sesuatu.
"Petang nanti jumpa saya di taman,".
"Boleh," Nadia menjawab ringkas.
Petang itu mereka berjumpa. Adam membelanja Nadia minuman yang dibelinya di kedai runcit sebelum dia datang ke taman.
"Ada apa awak nak beritahu saya sampai kena jumpa di sini pula?".
"Saya…saya…" Adam tergagap-gagap untuk menyuarakan apa yang tersimpan di hatinya.
"Awak apa?"
"Sebenarnya saya suka pada awak. Jadi sudi tak kalau awak menerima saya sebagai teman istimewa awak," berjaya juga Adam meluahkan perasaannya. Nadia hanya tersenyum, dan kemudiannya menganggukkan kepala. Itu membuatkan Adam melompat kegembiraan.
Keesokan pagi, mula kecoh dalam kalangan pelajar tentang Adam yang berjaya memikat seorang perempuan buat pertama kali. Adam dan Nadia masuk ke kelas bersama diiringi dengan tepukan gemuruh oleh rakan sekelas mereka. Nadia hanya tersenyum sementara Adam pula control macho. Salah seorang rakan mereka bersuara kepada Adam.
"Tahniah, bro. Berjaya juga kau akhirnya setelah tiga kali kena reject!" diiringi gelak ketawa oleh rakan-rakan yang lain. Namun, Adam sedikit pun tidak marah kerana dia akhirnya dapat juga merasa nikmat bercinta.
Namun kebahagiaan Adam itu ternyata hanya sementara. Keesokan harinya pula kecoh satu berita tentang kejadian yang bakal mengubah hidup Adam buat selama-lamanya. Dalam majlis perhimpunan pada hari tersebut, seorang guru mengumumkan sesuatu yang amat menyedihkan.
"Semalam pelajar kita yang bernama Nadia binti Rosman telah menghadapi kemalangan jalan raya. Dia dikejarkan ke hospital tapi sebelum sempat sampai ke hospital, dia menghembuskan nafasnya yang terakhir," semua pelajar terkejut mendengar berita mengejut tersebut, terutamanya Adam yang akhirnya jatuh pengsan. Dia dikejarkan ke hospital.
Sebaik saja dia sedar, dia mendapati kedua ibu bapanya berada di sisinya.
"Adam, Adam dah sedar?! Adam tahu tak risau mak dibuatnya bila dapat tahu Adam masuk hospital,".
"Mak jangan risau. Tak ada apa-apa. Adam cuma terkejut. Kawan baik Adam dah meninggal, mak," mata Adam mula berkaca.
"Adam tidak boleh bersedih. Semua yang berlaku adalah ketentuanNya. Kita sebagai manusia hanya boleh menghadapinya," bapa Adam memberikan nasihat. Tiba-tiba mereka didatangi seorang pelawat. Pelawat itu merupakan gadis yang pernah menolak cinta Adam, Ila.
"Assalamualaikum, Pak Cik, Mak Cik,".
"Mak, ayah…boleh tak tinggalkan kami sebentar," Adam bersuara perlahan. Ibu dan bapanya lalu beredar kerana mahu menenangkan hati anak kesayangan mereka.
"Awak jangan salah faham. Saya datang bukan sebab saya risaukan awak. Saya cuma bersimpati pada awak. Dan saya nak jelaskan sebab kenapa saya menolak cinta awak dahulu. Bukan sebab saya tak suka awak. Bukan sebab awak ni skema aje masa tu. Tapi sebab saya tak boleh terima awak hanya meluahkan perasaan awak melalui panggilan telefon. Itu menunjukkan awak seorang lelaki yang pengecut kerana tidak berani mengambil risiko untuk meluahkan perasaan awak untuk memenangi hati saya. Tapi awak lihat sendiri bila awak meluahkan perasaan awak kepada Nadia. Dia menerima awak kerana awak berani meluahkan perasaan awak tu di depannya, bukan hanya melalui sms mahu pun panggilan telefon. Jadi apa yang saya nak beritahu awak ialah saya respek terhadap awak kerana telah berubah menjadi seorang lelaki yang lebih berani," setelah berbicara panjang lebar, Ila terus beredar untuk pulang. Penerangannya yang panjang lebar itu telah membuatkan Adam sedar kenapa pelajar-pelajar perempuan di sekolahnya memandangnya dengan wajah yang penuh dengan kebencian. Semuanya berpunca daripada dirinya sendiri yang tidak mempunyai keyakinan diri dan jarang bergaul dengan golongan seperti mereka.
Setelah sembuh, Adam kembali semula ke sekolah dengan sikap yang berbeza. Dia mula menjadi seorang yang peramah dan bergaul dengan ramai orang terutamanya yang sebaya dengannya. Hal itu menjadikan dirinya seorang yang berkarisma dan menarik perhatian orang lain sekali gus meningkatkan keyakinan dirinya. Kononnya dia mula menerima banyak surat cinta.

 
You can follow any responses to this entry through the Contac Us. You can leave a response.