Cerpen : Cinta Yang Terlarang

Cerpen : Cinta Yang Terlarang
Nama Pena : norzaira

Kau dah fikir hal tu, Dila?"
Ema menatap wajah Dila yang sedang mencuka. Bukan niat Ema untuk mencampuri urusan Dila tapi sebagai kawan Ema perlu memberi pendapat jika itu melibatkan banyak pihak.

"Entah la.."
Dila cuma mengeluh panjang. Dia menyebamkan muka di atas bantal. Tiba-tiba dia rasakan dadanya sesak.

"Dila, kau jangan macam ni. Sampai bila kau nak biarkan semua ni. Kau perlu buat keputusan secepat mungkin."
Ema mengusap lembut rambut Dila. Bagi Ema, Dila perlukan sokongan untuk menghadapi semua ini.

"Aku akan cuba. Bagilah aku masa."
Airmata Dila mengalir perlahan di pipinya.

****************************

Syg, nk jmpa x?
Abg rndu..
SMS dari Adam. Hati yang gusar tiba-tiba lapang semula. Cepat-cepat dia membalas SMS itu.

Nk la.
Tmpt biasa, k.

Dila segera bangun dari pembaringan. Dia perlu berjumpa Adam. Sudah banyak hari dia menjauh dari lelaki itu. Tapi semakin ingin dia lupakan Adam semakin kuat ingatan terhadap Adam. Setiap saat dan ketika dia ingatkan Adam.

****************************

Dila masuk ke dalam kereta Iswara Adam sebaik saja dia mengunci keretanya. Adam tersenyum.

"Kenapa ni, sayang? Kenapa buat Abang macam ni?"
Di pandang wajah Dila penuh kasih sayang. Sejak beberapa hari lalu, Dila langsung tidak menjawab panggilannya malah SMS pun tidak dibalasnya.

"Abang, kenapa takdir kita macam ni?"
Dila terasa sebak. Dia cuma menundukkan wajah memandang HP di tangannya.

"Takdir apa? Dila pun tahu, Abang sayangkan Dila. Kenapa ni?"

Adam memegang lembut tangan Dila.

"Tapi hubungan kita ni tak akan ke mana. Dila dah tak sanggup macam ni."

"Kan abang dah kata. Macam mana pun abang akan kahwin dengan Dila. Cuma Dila perlu bersabar."

"Tapi macam mana dengan Fitrah? Anak-anak abang?"

"Abang akan berterus terang dengan Fitrah. Dah la, jangan macam ni. Abang tak suka tengok Dila sedih macam ni."

Airmata di pipi Dila disapunya penuh kasih sayang. Adam tahu, keputusan ini bukan saja akan melibatkan Fitrah dan anak-anaknya tapi juga melibatkan semua pihak. Keluarganya dan keluarga Fitrah akan tahu hal ini tapi bagaimanalah hendak dielakkan lagi. Hal ini sudah terjadi.

Dia sendiri tidak menyangka perasaan seorang sahabat tiba-tiba bertukar kepada kasih hanya sekelip mata. Bukan simpati tapi kasih itu lahir tanpa diduga sedangkan bukan baru hari ini dia mengenali Dila bahkan dah lebih dari sepuluh tahun. Malah selama itu, dia sedikit pun tidak pernah ada perasaan begini terhadap wanita itu.

"Dila dah tak sanggup, Abang.."

Adam menarik Dila ke dalam pelukannya. Dia harap dengan pelukan dapat mendamaikan perasaan Dila.

Dila sudah tidak mampu untuk menahan segalanya. Lelaki yang berada di pelukannya kini bukan saja suami kepada seorang wanita tapi malah suami kepada sahabatnya sendiri. Sahabat yang pernah dikenali bukan sekejap malah di pelukan wanita itu jugalah dia pernah menangis dan meluah segala duka.

Tiba-tiba kini dia cuba meragut kebahagiaan itu. Dia telah berkali-kali menidakkan perasaan itu tapi dia tidak mampu melawan segalanya. Setelah kasih dulu pergi, dia cuba mengelak dari bercinta lagi dengan mana-mana lelaki namun kehadiran Adam merubah segalanya. Kasihnya tulus.

**************************

"Dila, sanggup kau hancurkan kebahagiaan orang lain hanya kerana perasaan kau tu?"
Ema sudah tidak dapat menahan kemarahan. Dia tidak berniat memarahi Dila.

"Aku tak tahu.. aku terlalu sayangkan dia…"
Airmata Dila mengalir. Di pandang wajah Ema mengharap simpati.

"Fikirlah,Dila. Biar kau sengsara hari ini tapi tidak pada kemudiannya. Dia dah lama hidup bersama Fitrah.. Dia ada anak-anak.. Macam mana pun dia akan tetap lebihkan mereka."

Dila bangun memeluk Ema. Dia menangis di dalam pelukan sahabatnya itu. Dia tahu, seharusnya dia tidak bermain api yang akan membakar dirinya sendiri. Walau sekecil manapun api itu, bahangnya tetap membakar.

"Aku sayangkan kau. Aku tak nak kau hidup merana. Di luar sana masih ramai lagi lelaki yang yang menanti kau."

**************************

Syg, knp ni?
Jgn buat Abg mcm ni.

SMS Adam dibiarkan. Sudah seminggu dia tidak menjawab panggilan mahupun SMS Adam. Dia cuba untuk menjauhkan diri dari lelaki itu walaupun sebenarnya dia terasa amat payah. Petang kelmarin dia ternampak Adam dan Fitrah bersama 2 orang anak mereka di Sunway Carnival. Jelas tergambar kemesraan mereka sekeluarga. Tiba-tiba dia diburu perasaan bersalah yang teramat sangat terhadap Fitrah kerana selama sejak dari dulu lagi wanita itu sentiasa berada di sisi saat dia memerlukan. Kini, dia cuba merampas kebahagiaan wanita itu dan mengkhianati persahabatan mereka.

"Lelaki, Dila.. Mana pernah mengaku kekurangan yang ada pada mereka. Mereka menggunakan pelbagai alasan agar kita mempercayai mereka. Kau percaya Fitrah mengabaikannya?"

"Dila, aku tidak akan menghalang dan aku tak akan menggalakkan. Keputusan di tangan kau. Jika aku jadi kau, aku tak akan pilih jalan berliku. Biarlah aku terluka dan merana sekarang dari aku terpaksa menanggung derita berkongsi kasih."

Terngiang kata-kata Ema di telinganya.

Airmata Dila mengalir.

***************************

"Dah lama Dila tak ke sini ye, bang."
Fitrah memandang suaminya yang sedang menonton televisyen.

Adam pura-pura tidak dengar.

"Abang.."

"Mungkin dia sibuk kot.."

"Fitrah rasa dia macam dah jauh sangat dengan kita.."
Fitrah pandang wajah suaminya yang sejak tadi pura-pura tidak mendengar. Hatinya sedikit terguris.

Adam cuma mengangkat kedua-dua belah bahunya. Dia tidak mahu Fitrah menyoal lebih banyak lagi tentang Dila kerana ini akan membuatkan dia terlepas kata. Terlajak perahu boleh diundur tapi kalau terlepas kata, dia yang akan menanggung akibatnya.

Fitrah merasakan seperti ada yang tidak kena. Adam sering mengelak bila dia bertanya tentang Dila. Seolah ada sesuatu yang disembunyikan. Naluri seorang wanita mula diamuk rasa cemburu.

Entah-entah, mereka ada apa-apa.

Hati kecil Fitrah berkata.

Astaga… Tidak mungkin Dila sanggup buat begitu terhadapnya…

Segera Fitrah mengusir fikiran jahat dari kepalanya…

**************************


"Dila, kenapa ni? "
Adam memegang tangan Dila lembut. Wajah Dila yang muram seperti baru lepas menangis ditatapnya.

"Abang.."
Dila membalas tatapan Adam.

"Dah sampai masanya untuk kita berpisah.."

Kata-kata Dila umpama bom yang baru meletup. Adam terpana seperti tidak percaya.

"Tapi, kenapa? Kan Abang dah janji akan berkahwin dengan Dila. Tolong jangan buat Abang macam ni.."

"Dila…please.."
Adam mula rasa cemas melihat Dila yang masih mendiamkan diri.

Dila sendiri sebenarnya tidak yakin dapat membuat keputusan ini. Adam memang seorang lelaki yang baik. Selama ini, Adam tidak pernah mengambil kesempatan terhadapnya. Tetapi hubungan dia dan Adam tetap salah kerana Adam adalah hak isteri dan anak-anaknya.

"Kita kena back to normal. Abang. Seperti dulu… Dila tak sanggup nak lukakan hati Fitrah.."
Dila segera bangun dan berdiri di hadapan Adam.

"Abang, maafkan Dila.. Dila memang sayangkan Abang tapi Dila lebih sayangkan Fitrah dan anak-anak Abang.."

Mata Dila dan Adam bersatu. Dila tahu sinar yang terpancar di mata Adam adalah tulus namun dia tidak mampu untuk meneruskan hubungan ini. Betul kata, Ema. Dia tidak boleh pentingkan diri sendiri sehingga sanggup membiarkan hati wanita lain terluka.

Adam mengenggam tangannya.

"Cuma, Dila harap Abang dapat rahsiakan segalanya dari Fitrah jika Abang nak kita berkawan macam dulu."

Dila tinggalkan Adam yang masih terkejut dengan keputusan itu. Airmata bergenang di kelopak matanya. Namun dia tahan jua dari mengalir.

Cinta tidak semestinya kita perlu bersatu dengannya di dalam ikatan perkahwinan. Biarlah cinta itu tersemat kukuh dihatinya. Dan dia berharap Adam dapt menerima semua ini dengan redha. Biarlah dia terluka dari melukakan sahabatnya sendiri.

Bagi Adam, inilah saat yang amat memedihkan. Dia terlalu sayangkan Dila. Sama seperti dia sayangkan Fitrah dan anak-anaknya. Tapi Dila sudah tinggalkannya kini. Meskipun dia tahu, hubungan persahabatan mereka tidak akan putus tapi itu situasi yang berbeza.

Adam menangis di dalam hati.

 
You can follow any responses to this entry through the Contac Us. You can leave a response.