Cerpen : Cinta Kenduri

Cerpen : Cinta Kenduri
Nama Pena : Jejaka Kejora

Siti memasuki bilik Qistina. Kipas berpusing laju. Rakan baiknya itu sedang membaca majalah hiburan, kegemaran nombor satunya. Kali ini dia nekad untuk memaksa Qistina mengikutinya ke kenduri kahwin rakan sekerja mereka, Zulaikha. Sejak semalam, sudah berpuluh-puluh kali dia mengajak. Segala ceramah sudah diberi. Tapi kawan yang seorang ini tak makan saman.
"Marilah ikut, Qis. Sekali sekala saja makan free." Siti puas mengajak.
"Kau ni dari semalam lagi. Aku ikutlah, cik puan datin..." Qistina membuat keputusan.
Tidak terbayang keceriaan terpamer di wajah Siti. Apa yang disangkanya, ribut taufan Qistina tapi sebaliknya persetujuan yang begitu mudah. ‘Kalau dari semalam macam ni kan senang’ desis hatinya. Sudah beribu gelen air liur dibazirkan, akhirnya begini saja memujuk Qistina. Siti tersenyum sambil menggeleng-gelengkan kepala.
"Apa kau tunggu lagi? Jom la mak cik." Qistina sudah siap berpakaian.
"Mak datuk, cepatnya kau siap. Alien ke?" Terbeliak biji mata Siti.
"Setakat pakai baju, nenek aku pun lagi laju daripada kau."
"Perli nampak.. Kau tak mandi ke?" Siti musykil. Selalunya Qistina mandi sampai setengah jam tiga minit dan dua puluh satu saat.
"Semalam aku dah mandi. Cepat la melaram tu." Jawapan Qistina memecahkan derai tawa Siti.
‘Semalam cerita lainlah’ Siti bermonolog lagi. Malas rasanya nak menegur Qistina. Nanti meletus pulak perang dunia macam selalu. Mereka pun segera menuju ke rumah Zulaikha. Akhirnya kahwin juga Zulaikha dan Norman. Sudah bercinta dekat lima tahun. Kalau tak kahwin, ingin dikutuk semahunya. Fikirannya menerawang jauh. Seketika kemudian, Siti ketawa sendirian. Tiba-tiba, bahunya dicuit Qistina.
"Hoi, mengelamun ke?! Nasib baik tak redah orang." Wajah Qistina mencuka.
"Ampun, Qis. Aku tergelak ingatkan Zu dengan Man. Kahwin jugak diorang kan?" Siti tersen yum.
Qistina hanya mengangguk. Kereta yang dipandu Siti menderum laju di atas permukaan jalan kota raya Kuala Lumpur. Bandar metropolitan yang semakin pesat membangun. Selepas beberapa minit, Siti dan Qistina tiba di destinasi mereka. Siti mencari tempat yang teduh untuk memarkir kereta. Kemudian, mereka jalan beriringan ke rumah pengantin kira-kira 200 meter di hadapan. Sambil itu, mereka rancak berbual melihat kemeriahan majlis. Mereka sedang ketawa ketika tiba-tiba Siti terlanggar seseorang. Kedua-duanya jatuh ke tanah.
"Hei, jalan tu tengok la orang." Seorang lelaki menengkingnya. Manakan tidak, nasi dan air yang dibawa telah tumpah.
"Sorry la, encik." Siti meminta maaf.
"Naik la lori dengan sorry kau." Lelaki itu berlalu pergi.
"Seronok, Ti?" Gelak tawa Qistina masih bersisa.
"Kau ni tak baiklah, Qis. Aku kena sembur, kau boleh gelak-gelak lagi." Siti menyapu rumput di bajunya.
"Aku ingat kau dah jatuh kolam. Gila hensem mamat tadi tu." Qistina masih sempat memuji.
"Banyak la kau jatuh kolam. Tak layan aku. Hensem tapi biadap. Macam monyet." Siti masih marah.
"Monyet tak hensem, Ti." Ketawa mereka berderai.

************

"Jauh fikiran, Mal." Teguran Mak Jah mengejutkan Akmal.
Segelas susu dihulurkan dan Akmal menyambutnya. Diletak di sudut meja kerjanya. Mak Jah duduk di katil. Seperti selalu, malam ini dia ditemani Mak Jah lagi. Sekurang-kurangnya untuk menceritakan apa yang dialaminya sepanjang hari. Kalau diharapkan ayah dan ibunya, pasti dia akan kesepian. Mereka selalu sibuk dengan kerja dan perniagaan.
"Tak jauh pun, dalam kawasan KL ni." Suara Akmal semakin perlahan.
"Dalam maksud ayat kau tu, Mal. Kau dah jumpa calon isteri ke?" Mak Jah meneka.
"Calon kekasih la. Pandai la Mak Jah ni. Selalu tahu apa yang saya nak cakapkan." Akmal hanya tersengih sumbing macam kera.
"Aku yang besarkan kau, Mal. Tak payah nak tipu aku." Mak Jah membidas.
"Mal suka dia la, Mak Jah. Entah bila dapat jumpa dia lagi." Akmal mengharap sesuatu yang tak pasti.
"Bila kau jumpa budak tu?" Mak Jah cuba mengorek rahsia sulit negara.
"Kat kenduri Norman anak Datuk Harun petang tadi." Akmal merenung jauh.
"Berdoalah kepada Tuhan, nak. Hanya kepada Dialah kita berserah hidup dan mati." Mak Jah bersyarah lagi.

************

‘Macam manalah boleh lambat ni?’ Siti tergesa-gesa bersiap untuk ke pejabat. Hari ini dia akan terlewat lagi. Dia harus cepat. Kalau terlalu lewat, pasti akan menjadi mangsa sindiran berapi mulut laser Tan Sri Kamal. Sudahlah dia orang kanan syarikat selaku ketua pegawai pemasaran Kamal Corporation. Yang paling penting, dia perlu menghadiri mesyuarat penting syarikat hari ini. Gigi digosok ala kadar. Mandi pun tidak bersabun. Baju disarung cepat. Sarapan yang disediakan Qistina tidak dijamah. Qistina hanya menggeleng-gelengkan kepala.
Segera dia memecut kereta mewahnya. Hasil titik peluh bekerja, itulah yang dimilikinya. Asal ada kenderaan menghalang, pasti dihon dengan kuat. Perangkap laju tidak dipedulikan lagi. Bukan sekali dua dia disaman, sudah lali. Namun, dia tetap akan lewat kerana terperangkap dalam kesesakan lalu lintas. Dia melepaskan kemarahan pada stereng kereta. Itulah yang selalu dilakukannya setiap kali lewat. Paling teruk, tangannya akan membengkak. Hon ditekan bertubi-tubi.
Dia berlari ke lif. Teguran selamat pagi oleh para pekerja tidak diendahkannya. ‘Lambat pulak lif ni’. Dia perlu sampai ke tingkat dua puluh. Dia melihat jam. Sudah 9.30 bermaksud mesyuarat sudah berlangsung kira-kira setengah jam. Habislah dia menjadi sasaran bedilan meriam mulut cabul Tan Sri Kamal. Dia memarahi diri sendiri. Apabila lif sampai di tingkat dua puluh, dia tidak menanti dan terus ke bilik mesyuarat.
"Maafkan saya terlewat lagi." Siti segera duduk di kerusinya apabila masuk.
"Saya ingatkan kamu cuti bersalin." Mahu saja dia mencurah kopi di depan mata ke muka Tan Sri Kamal.
Semua wajah yang terlibat dalam mesyuarat itu memandangnya. Tiada lagi rasa malu di hati kerana ini bukan kali pertama dia terlewat. Sudah beberapa kali ditegur namun dia sendiri tidak mengerti mengapa dia harus terlewat. Dia hanya berpura-pura tidak mengerti. Mesyuarat terus berlangsung sehinggalah di hujungnya, Tan Sri Kamal berdiri bersama seorang lelaki. Lelaki yang dilanggarnya tempoh hari.
"Sekarang saya perkenalkan anak saya yang baru tamat pengajian di Amerika, Akmal Kamarul. Dia akan menggantikan tempat saya selaku bos besar di syarikat ini. Siti, saya mahu kamu berurusan serta merta esok untuk tujuan pemasaran."
Siti tercengang. Senyuman manis Akmal disambut dengan wajah kelatnya.

*********

Pintu bilik diketuk dan sebaik dibenarkan masuk, dia segera melakukannya dan menghempas pintu. Tidak dipedulikan dengan siapa dia berhadapan. ‘Anggap dia macam cicak, dah la kurus kering’ pinta hati Siti. Akmal hanya ketawa melihat sikap Siti. Ternyata kemarahannya masih berbekas walaupun sudah seminggu peristiwa itu berlalu. Pendendam rupanya minah ni, itulah yang difikirkan Akmal.
"Sila duduk." Akmal menjemput.
"Tak perlu ajar saya." Siti menghempas fail yang dibawanya.
"Senyumlah sikit, Cik Buta." Akmal ketawa geli hati. Menawan, gejolak hati Siti berkata.
"Jangan panggil saya macam itu, Encik Biadap." Siti cuba memandang ke tempat yang lain.
"Pendendam jugak awak ni. Patutnya awak yang mintak maaf." Akmal mengemaskan fail di mejanya yang berterabur.
"Cukup sekali. Orang biadap macam encik ni tak layak dapat permintaan maaf." Siti membentak, agak kurang ajar sebagai heroin cerpen ni.
Terkejut Siti apabila melihat Akmal bangun dari kerusi dan menuju ke sebelahnya. Akmal melutut tanpa mempedulikan kemungkinan dia akan dipandang staf lain. Jatuhlah standardnya selaku anak Tan Sri Kamal. ‘Aku terpesona’ bisik hati kecil Siti melihat tindakan spontan Akmal Kamarul. Belum pernah Siti melihat orang kaya yang mempunyai hati semurni Akmal. Dia telah tertawan.
"Maafkan saya..." Akmal memegang tangan Siti.
"Ya, saya maafkan encik. Tolonglah bangun. Apa kata staf nanti." Pandangan Siti meliar.
Akmal kembali ke tempat duduknya. Senyuman kepuasan kerana berjaya mencairkan wanita idaman di hadapannya. Sudah lama dia mencari di manakah gadis yang menakluk hatinya semasa kenduri itu. Selepas pulang, dia menyesal kerana menengking gadis itu dan berhajat memohon maaf. Hari ini cita-citanya tercapai dan doanya dimakbulkan.
"Janganlah berencik-encik dengan saya. Panggil Mal saja dah cukup." Akmal memulakan semula perbualan dan menghulur salam persahabatan.
"Siti... Siti Amirah." Ringkas balasan Siti dan dia menyambut salam yang dihulurkan.
"Sebagai balasan atas nasi dan air saya yang tumpah, saya nak nombor telefon awak." Pandangan mereka bersatu.

**********

"Sedap tak?" Akmal terus menyuap makanan.
"Dengan Mal semuanya sedap." Siti tersenyum.
Sudah tiga bulan berlalu sejak mereka bersua muka di pejabat Akmal. Dia tidak pernah menyangka hubungan mereka akan serapat ini. Tetapi apakan daya. Mana mungkin dia tidak tertawan dengan kelembutan, keramahan, kesopanan dan kehebatan Akmal. Akmal seorang yang puitis, romantis, baik hati, penyayang dan memiliki ciri-ciri lelaki idamannya. Tetapi mereka belum ada sebarang ikatan. Masih sahabat, teman tapi mesra.
"Buka mulut." Mana mungkin dielak suapan Akmal. Nanti apa kata pelanggan restoran mewah itu yang lain. Senyuman mereka serentak.
Itulah yang menyenangkan hatinya setiap kali bersama Akmal. Siti akan dilayan seperti puteri raja dari kayangan. Sudah lama dia tidak merasakannya. Kali terakhir bersama Faruk suatu masa dulu. Tapi sayang, Faruk curang. Dia harus melupakannya. Sesekali pandangan mereka bersatu, pasti senyuman terukir. Dia tidak tahu, apa mimpi Akmal mengajaknya makan di restoran mewah malam ini. Selalunya mereka akan makan di hotel yang menjadi tempat kebiasaan mereka. Tiba-tiba ada panggilan di handphonenya.
"Hello!"
Sebak hati Siti. Lima minit perbualan yang penuh duka. Tidak sanggup dia mengherdik insan yang pernah bertakhta di hatinya itu. Faruk memohon untuk kembali. Namun dia tidak mahu. Dia tidak ingin dilukai lagi. Tetapi dia akui, dia masih sayangkan Faruk. Tidak pernah ada lelaki lain sejak dia berpisah dengan Faruk. Hinggalah kemunculan Akmal dalam hidupnya. Perasaannya bercampur baur. Perlukah dia menerima semula kehadiran Faruk? Atau perlukah dia mengecewakan hati yang pernah dicintainya itu? Kecurangan Faruk benar-benar mengguris perasaannya.
Pertanyaan Akmal bertalu-talu tidak dilayan langsung. Dia ingin menenangkan perasaan. Dia berlari ke kolam renang di luar restoran. Dia duduk di satu kerusi yang kosong. Langsung tidak menghiraukan panggilan Akmal semasa dia berlari tadi. Siti sedar Akmal menghampiri namun dia belum bersedia untuk bersoal jawab dengan Akmal. Biarlah Akmal memahami perasaannya sendiri. Dilihat susunan lilin "I LOVE YOU" di kolam. Romantik sungguh, tetapi dia tidak sempat menghayati keindahan itu.
"Kenapa Siti nangis?" tanya Akmal perlahan.
"Faruk nak kembali." Air mata Siti makin lancar dan Akmal hadir di sisi untuk meminjamkan bahunya.
Beberapa minit berlalu, lencun bahu Akmal dek penangan air mata Siti. Akmal hanya merelakan bahunya dipinjam oleh insan tersayang. Dia tidak menyangka susunan lilin di kolam khas untuk Siti dilihat lebih awal. Dia harus melamar secepat mungkin. Dia harus. Sebelum Siti bertanya, dia harus memulakannya. Dia lelaki sejati. Pantang keturunannya menyerah sebelum bertarung.
"Lupakanlah dia, Siti." Itu yang mampu diucapkan Akmal.
"Ya, Mal. Cantik kan susunan lilin tu." Kepala Siti diangkat dan cuba mengalih topik perbualan mereka.
Inilah masa yang paling sesuai. Akmal menarik tangan Siti dari tempat duduk mereka ke tepi kolam. Dia memberi isyarat kepada seorang lelaki dan terdengarlah bunyi tembakan. Bunga api memancar ke ruang langit. Tertulis perkataan, ‘Akmal Kamarul sayang Siti Amira’. Air mata Siti menitis lagi. Dia menekup mulut kerana terharu. Sungguh romantis jiwa Akmal. Dia menggenggam erat tangan lelaki itu.
"Sudikah Siti menjadi kekasih Mal?" Akmal melutut di sisinya dengan sejambak bunga yang diberikan oleh seorang pelayan.
Siti sekadar menarik tangan Akmal untuk bangun dan menghadiahkan senyuman paling manis ke dalam mata jejaka itu. Hanya itu yang mampu dilakukan tanda persetujuannya. Sejambak mawar merah bertukar tangan. Tepukan gemuruh kedengaran. Tidak disangkanya ramai penonton yang menyaksikan drama itu. Seingatnya, tadi kolam itu kosong. Ini pasti kerja buah hatinya, Akmal Kamarul. Dia mencubit manja tangan Akmal.

*********

"Aku nak kau tinggalkan Akmal." Itulah amaran Daniella petang tadi.
"Takkan sama sekali!" Siti berkeras.
"Kau akan menyesal!" Daniella tersenyum sinis.
Panas sungguh rasa hati Siti. Daniella mengugut untuk mencederakan Akmal jika Siti berdegil. Mana mungkin hati kecilnya sanggup menerima berita kecelakaan menimpa Akmal yang disayanginya. Dia rela berkorban dan meninggalkan Akmal demi keselamatan kekasihnya itu. Dia bercadang untuk bercuti dan menenangkan perasaan di Pulau Langkawi.
"Kau dah nekad, Ti?" Qistina pula memujuknya supaya tidak pergi.
"Aku tak rela jadi apa-apa dekat Mal. Aku sayang dia, Qis." Siti menangis lagi.
"Kita lodge police report nak?" Qistina mencadangkan sambil memegang tangan Siti.
"Daniella tu gila, Qis. Aku takut dia bunuh Mal. Aku tak nak." Sebak beraja di hati Siti. Dia menangis di pangkuan Qistina.
"Tak perlulah sampai membawa diri, Ti. Aku rayu kat kau." Qistina cuba memujuk lagi.
"Kau kawan baik aku kan, Qis? Aku mintak tolong sangat. Janganlah bocorkan rahsia aku dekat Mal." Siti menangis teresak-esak.
"Tapi.." Qistina belum sempat mengakhiri ayatnya.
"Please, Qis... Kau kawan baik aku." Siti terus mengalirkan air mata.
"Macam budak kecik. Iyalah, aku janji." Janji termeterai dan Siti memeluk sahabat baiknya.

*********

Sudah dua minggu dia menyimpan dukanya sendirian. Rindu pada Akmal sudah tidak mampu ditanggung Siti. Namun dia tidak rela membunuh kekasihnya itu. Biarlah Daniella memiliki Akmal tetapi dia tidak sesekali akan bercinta lagi. Dia berjanji pada dirinya sendiri, ini kali terakhir. Cinta yang dianyam kini musnah kerana nenek sihir itu. ‘Daniella, aku benci kau!!!’ hati Siti menangis. Hanya dia dan Tuhan yang mengetahui tangisan jiwanya saat itu.
Dia berjalan di tepi pantai dengan perasaan rindu bersulam benci. Dia rindu akan Akmal dan benci akan Daniella. Mengapa cinta dia dan Akmal harus diuji? Malam ini bintang bergemerlapan. Tetapi di manakah bintang hatinya yang paling terang. Walaupun dia cuba menjauhkan diri, tetapi dia mengharapkan Akmal ada di sisinya saat itu. Menemaninya kala dia kesepian. Tapi dia sedar semuanya hanya mimpi yang tak sudah.
"Dunia ini terlalu kejam." Siti menjerit. Tidak dihiraukan reaksi tetamu pantai yang lain.
"Tidak!" Suara nakal seperti itu malas hendak dilayannya.
"Akmal Kamarul, di manakah kau?" Siti menjerit lagi sekadar memuaskan hatinya.
"Aku di sini, sayang!" Dia berpaling.
Dia seperti tidak percaya. Baru dia sedar suara yang sama menjawab kata-katanya tadi. Air matanya begitu mudah menitis dan tumpah lagi. Melihat Akmal yang dicintainya itu hadir saat dia memerlukan sangat mengharukan. Akmal berdiri di sisi Qistina. ‘Jagalah kau, Qis!’ hatinya mengancam Qistina. Tetapi sudut lain hatinya memuji kewajaran tindakan Qistina itu. Dia sendiri tidak tahu bagaimana melepaskan rindu kepada Akmal.
Akmal berlari ke arahnya dan dia melakukan perkara yang sama hinggalah mereka berhadapan lagi. Dia berasa selamat dalam renungan Akmal. Mana boleh peluk, haram woo... Dia tidak mahu saat ini berakhir. Dia mahu selamanya di sini. Cinta mereka bersatu lagi disaksikan bintang-bintang dan rembulan mengambang penuh. Qistina menghampiri mereka. Dia melepaskan pandangan Akmal dan memeluk Qistina.
"Qis yang bagitahu ke mana Siti lari." Akmal tersenyum. Ketika itu, Qistina sudah berlalu dan lidah Siti kelu untuk berbicara.
"Maafkan Siti." Siti cuba untuk berbual.
"Siti tak salah pun." Akmal juga berasa janggal. Dulu mereka sangat mesra.
"Siti cuma nak Mal selamat." Siti membalas. Mereka sedang berbaring di pasir pantai.
"Daniella kemalangan." Akmal menceriakan Siti.
"Jangan biarkan Siti terkapai lagi.." Genggaman tangan mereka bersatu tanpa dipaksa, bukan atas kerelaan mereka.
Siti dan Akmal terus bahagia. Cinta mereka kembali diikat di bawah sinaran bulan dan bintang seperti mana cinta mereka disatukan dalam suasana yang sama suatu masa dahulu. Kenangan itu singgah di benak fikiran Siti dan dia tersenyum lagi. Akmal pula senang melihat senyuman buah hati pengarang jantungnya yang dirinduinya. Dua minggu masa yang diambil untuk membuka mulut Qistina membocorkan rahsia.
"Mal janji takkan tinggalkan Siti, cinta kenduriku..." Mereka ketawa bahagia bersama.

 
You can follow any responses to this entry through the Contac Us. You can leave a response.