Cerpen : Harga Sebuah kesabaran

Cerpen : Harga Sebuah kesabaran
Nama Pena : Kayaizzat

Sebuah Kenangan

Huruf itu telah kucantum satu persatu menjadi perkataan bermakna. Gembiranya aku,bangganya aku bila melihat Cikgu Khalid tersenyum memandangku. Kembangnya hati kecilku bila segerombolan tepukan gemuruh tersangkut di gegendang telingaku. Meleret-leret senyumanku bagaikan tak bertepi.

Setakat hari ini,selamat aku dari hentakan maut suara cikgu Khalid. Kecutnya hatiku waktu hari pertama persekolahan. Malangnya aku…….,tidak seharipun tapak sekolah pernahku pijak, biar cuma Tadika Kemas kebanggaan penduduk kampungku. Namun hatiku berbunga mekar saat terpandang wajah Cikgu Khalid yang kacak dan tinggi lampai. Sukanya emak melihat leret senyuman Cikgu Khalid. Pagi itu,cikgu Khalid melayanku penuh kemesraan. Hilang perasaan takutku. Ternyata kata-kata Abang Hairil meleset sama sekali.

Seminggu dua,tak sabar-sabar aku mahu ke sekolah. Itulah hebatnya Program Transisi yang memakan masa selama 3 bulan. Kerja tak banyak. Hanya Tuhan yang tahu betapa bahagianya aku berada di tahun 1 Ariff. Seronoknya aku hingga termimpi, ngigau kemersaan Cikgu Khalid. Tapi aku lupa,cikgu Khalid juga manusia,seteguh mana hatinya,akhirnya punah juga tembok kesabarannya. Silapnya aku,terlalu dungu dan mengada-ngada. Anggapanku, tentu Cikgu Khalid macam Abang Latif,penyabar dan boleh dimakan hidup-hidup. Belum pun tiga bulan program dilaksanakan,kemarahan Cikgu Khalid telah meledak memecah kedamaian kelas 1 Ariff. Terasa berdentum-dentum suara lelaki itu menghancurkan keindahan pagi.

Pagi itu,kain yang kupakai telah lencun dengan air kencingku. Ku cuba membendung air mata dari mengalir,namun tembok yang kubina telah roboh akhirnya. Malunya aku,seorang gadis sunti terkencing di depan anak teruna. Kalau mak tahu,maut aku disesahnya.

Terasa…kemarahan lelaki itu menyentap seluruh urat sarafku. Betapa daif dan kerdilnya aku tika itu. Tak kuduga suara merdu cikgu kesayanganku meledak hebat merobek gegendang telingaku. Hatiku tak ubah seperti dedaun layu menyembah ke bumi. Kejamnya lelaki itu menghamburkan kemarahan pada gadis kecil seperti aku. Rasanya silapku kecil,,buat-buat lupa dan terlupa mengingat huruf keramat yang telah kusebut dan kubaca berulangkali. Lalainya aku,pelupanya aku,benda sekecil bi-bi telah kusebut menjadi" babi". Malunya aku suku kata semudah bo-bo ku sebut "bodoh". Ku perhatikan wajah lelaki itu tak ubah seperti singa lapar. Matanya bulat membutang. Giginya meryeringai mengetap-ngetap tidak ubah seperti pontianak harum sundal malam. Lidahku kelu membisu.
Kesiannya aku kepada lelaki itu. Berhari-hari dia menahan kesabaran mengajar aku membaca. Berminggu-minggu dia meniup ubun-ubunku dengan kalimah suci . Siapa menduga keikhlasan hatinya tercalar juga dek kemalasan diriku sendiri. Itulah harga yang terpaksa aku bayar akibat kemalasanku sendiri.


Nasibku baik,pelempang mautnya tidak singgah pada pipiku yang gebu. Tanganku digenggam erat oleh Cikgu Khalid. Dapatku rasakan gengaman lelaki itu begitu kuat mencengkam. Lelaki ini mengatur langkah pantas seolah-olah mahu mencampakkan aku ke dalam api neraka. Terasa sakit pergelangan tanganku. Senduku tak tertahan lagi.

Sebaik tiba di dalam tandas,satu persatu pakaian kubuka. Aku menangis semahunya. Suara Cikgu Khalid yang mendehem-dehem kecil di luar tandas , mematikan terus tangisanku. Alangkan seksanya menahan sebuah tangisan. Kejamnya lelaki itu membiarkan aku sendirian di dalam tandas yang busuk dan gelap. Dapatku rasakan beberapa ekor hantu jemalang dan syaitan biru bertanduk dua sedang tertawa girang memerhatikan tingkahlaku ku yang tak ubah seperti Yuyu Si Pelawak bodoh. Air mataku tak henti-henti mengalir. Berbakul-bakul sumpah seranah ku hambur buat lelaki itu. Rasanya mahu kuadukan kepada mak dan abah perlakuan biadab lelaki itu . Mahu tidak mahu aku mengikut sahaja arahan lelaki itu . Aku tidak punya pilihan.

Tanpa belas kasihan,cikgu Khalid menghulur sehelai tuala dan sebuku sabun cap kapak kepadaku. Saat itu,dapat aku rasakan,betapa hinanya diriku dimata Cikgu Khalid. Air yang kujirus di atas tubuhku terasa panas membara membakar seluruh kulitku. Buih sabun yang memutih dirambutku terasa tajam seperti berus dawai,menikam-nikam ubun-ubunku yang lembut dan suci. Alangkah geramnya aku,..... hanya Tuhan sahaja yang tahu.

Kini tubuh mungilku telah lengkap berpakaian sukan yang sengaja disimpan oleh Cikgu Khalid di dalam begnya. Pipiku dilumur dengan losyen,rambutku kemas disisirnya. Terharunya aku dengan layanannya,namun air mataku tetap mengalir ketika tiba di kelas. Namun, kemurnian hati lelaki itu gagal memadam api kebencianku. Aku dapat bayangkan,wajahnya kini tidak ubah seperti talam dua muka. Depan sempurna,belakang hancur berderai. Tanpaku sedar, lelaki itu sudah memegang penyapu membersihkan kelas kami dengan muka masam mencuka. Rasanya, ini kali ke empat lelaki itu mencuci najisku. Perasaanku bercampur baur antara benci,dendam dan juga sekelumit simpati.

Apa yang mampu kulakukan cuma menitiskan air mata dan secara tidak sengaja kulihat air mata lelaki itu bergenang di kelopak matanya. Wajah lelaki itu kelat tak bermaya. Entah mengapa,tiba-tiba hatiku tersentuh. Aku cuba memandang wajahnya,namun dia mengalihkan pandangan ke arah jendela. Aku
tahu lelaki itu cuba membendung kesabarannya yang telah mula retak dan hampir berderai. Mungkin…….. masih ada secebis kekuatan yang bersarang dihatinya. Ku lihat lelaki itu begitu tabah dan kuat meredah gelora.

Bangkit kembali

Kini segalanya telah berubah. Senyuman cikgu Khalid sudah mula hilang sedikit demi sedikit. Aku dapat rasakan,dihadapanku kini bukan cikgu Khalid yang dulu,cikgu yang penuh kasih sayang,cikgu yang kaya dengan senyuman. Andai masa dapat diputar kembali,ingin rasanya ku kutip kembali sisa-sisa kenangan,ingin rasanya ku cantum-cantum semula memori bersama lelaki itu. Aku terlalu merindui saat-saat yang telah berlalu. Apakan daya semuanya sudah terlambat walau pelbagai gelagat telah kami pamerkan di hadapan cikgu muda itu. Apa yang pasti perbuatan kami tidak ubah seperti mencurah air ke daun keladi.

Entah mengapa perutku tiba-tiba mengembang. Terasa isi perutku berkeroncong menyanyikan lagu kepiluan. Kubawa buku "Bacalah Sayang" menuju ke arah lelaki itu. Kakiku terasa lemah longlai bila terpandang lelaki itu. Kalau ikutkan hati,lama sudah kubuka langkah seribu. Namun maruah juga perlu
dipertahakan. Kata emak"anak dara sunti macam Mira kena jalan sopan santun". Kata-kata emaklah yang sebenarnya telah menjulang kembali semangat juangku yang mula goyah bila terpandang lelaki itu.

"Duduk !!! . Buka muka surat satu,cepat". Terasa luluh tangkai jantungku mendengar gema suara lelaki itu. "Apa terkebil-kebil,cepat jangan buang masa saya". Seperti pesalah jenayah berat,aku menurut sahaja arahan lelaki itu." Ka-ki……..kaki, ku....ku…….kuku.,ko ..ko……..koko. "Kuat sikit!!!". Suara lelaki itu yang nyaring seperti suara gergasi membuatkan tali perutku terbelit-belit lalu menjerut kerongkongku sendiri. Terasa isi perutku sudah berada dihujung duburku. Kembang kempis nafasku menahan khazanah berharga miliku.

"Ha……..,apa lagi,baca pulak petikan yang bawah tu". Kualihkan bebola mataku pada deretan ayat tunggal di hadapanku. Mataku mulai kelabu. Berjuta-juta bintang berkerdipan muncul secara tiba-tiba di mindaku. Aku menggigil ketakutan. Rasanya aku tidak mampu mendendangkan walau sebaris ayatpun, buat lelaki itu untuk kali ini."Cepat,apa terkebil-kebil ". Menyesalnya aku kerana tidak mendengar kata emak malam tadi. Kulihat lelaki itu menguis-nguis sepatunya yang besar dan berat. Kuingat lagi macam mana takutnya kami bila lelaki itu menendang sepatunya sendiri kearah Leong yang gagal mengingati apa yang dibacanya seminggu yang lalu dan kuingat lagi bagaimana takutnya Leong
memandang kasut lelaki itu jatuh betul-betul di hadapannya. Dapat kuperhatikan wajah Leong pucat- lesi seperti mayat Tapi hari ini Leong menjadi lelaki terhebat di mata cikgu Khalid. Cemburunya aku.

Air mataku mula mengalir selebat salji di Gunung Fujiyama . Mungkin.....masanya telah tiba,sebuah penampar Jepun akan singgah di pipiku yang gebu ini atau sepasang sepatu hantu milik lelaki itu akan terhentak di atas mejaku membenam seluruh perasaanku yang mula berkembang biarpun aku dapat rasakan ia sekadar kembang kuncup sahaja. Ku lihat mata lelaki itu. Renungannya setajam mata pedang yang bisa menyiat-nyiat dan menghancurkan tulang -temulangku. Azabnya hatiku mengenang segala kebarangkalian yang mungkin terjadi.

"Dah berapa kali cikgu ajar,dah berapa kali cikgu suruh baca kat rumah,agak telinga awak dah sumbat atau awak sendiri buat-buat pekak!!!!". Pedihnya gegendang telingaku. Marah benar lelaki itu kali ini. Air mataku semakin deras membasahi tangkai hatiku. "Sikit-sikit nak nangis,sikit-sikit nak nangis,tu yang awak tahu. Awak ingat awak seorang je yang ada perasaan !!!!!". Aku menangis tersedu-sedan. Terasa ada cecair hangat mengalir laju di pangkal pehaku. Kali ini,kubuang perasaan malu mengatur langkah seribu menuju ke tandas. Biarlah mak kata aku tidak sopan,biarlah nenek kata aku tak berbudi bahasa,namun sanggupkah aku menahan malu membuang najis di dalam kelas sendiri dengan disaksikan oleh lelaki bengis yang berada di hadapanku. Cukup sekali aku diheret ke tandas dengan hati yang luluh berkecai. Apa yang pasti….aku mesti berani merubah nasib sendiri. Itulah azamku.


Teguh

Kini,segalanya telah berubah. Aku bukan lagi Fatin Nadira yang kuat melalak. Aku bukan lagi gadis sunti yang mudah melatah bila digertak bertalu-talu dan aku juga bukan gadis yang tak bermaruah menabur kekotoran di sana sini.

Biarlah lelaki itu memakiku hingga pecah gegendang telinga ini, biarlah lelaki itu menghentak sepatu hantunya di atas mejaku,aku tidak akan gentar melawan segalanya. Bagiku,apa sahaja yang dilontarkan adalahlah untuk kebaikanku sendiri. Ibarat mentimun,aku rela menadah onak dan duri demi sebuah kejayaan yang aku angan-angankan.

Aku perlu kuatkan semangat,aku mesti tabahkan hati melayan segala macam karenah lelaki itu. Sudah masanya aku membalas kembali segala susah payahnya mengajar dan mendidik aku selama ini. Janjiku,biarlah lelaki itu bisa mencerikan kembali perasaannya dengan bunga-bunga yang berkembang dan harum baunya. Cukuplah ku panggang hatinya mencuci najisku hingga panas membara perasaannya beberapa bulan yang lalu, dan cukuplah sekali ku lihat air matanya mengalir deras dipipinya ketika dia menghadap jendela dahulu.
Janjiku,……..akan ku tebus kembali kepayahannya dengan kesabaranku sendiri. Cukuplah rasa bersalah bernanah di hati. Biarlah ia terhenti setakat ini,tak tertanggung azab untukku memikulnya lagi.

Kusapu air mata yang mula merembes dipipi gebuku. Bersyukurnya aku,kini segalanya telah berubah. Lelaki itu telah mula membentuk senyumannya kembali biar dapatku rasakan itu sekadar secalit cuma. Dapatku rasakan kini,kelas 1 Ariff penuh dengan kemersaan. Tak kuduga,rupa-rupanya lelaki itu memiliki sekeping hati yang begitu luhur. Bahagianya aku dapat merebut kembali kemersaan lelaki itu yang telah hilang 5 bulan yang lalu. Pengajaran yang cukup bermakna kuperolehi ialah jangan menilai seseorang dari luarannya sahaja.


Manisnya sebuah kesabaran

"Pelajar terbaik UPSR 2009 ialah Fatin Nadira Aiman". Aku tergamam mendengar pengumuman itu,air mataku mengalir tiba-tiba. Tidak ku duga akhirnya aku berdiri di atas pentas Sekolah Kebangsaan Durian Chondong sebagai satu-satunya pelajar yang mendapat 5A di sekolah kami. Ternyata perjalananku ke puncak kejayaan terlalu beranjau dan berliku. Kutatap kembali slip keputusan yang dihulurkan oleh Cikgu Rizal kepadaku.Siapa menyangka,siapa menduga seorang kanak-kanak yang tidak pernah kenal huruf,bebal dan tidak pernah memijak tanah sebuah sekolah tadika akhirnya mencipta kegemilangan.

Kuperhatikan satu persatu wajah guru kami,jelas terpancar kepuasan diwajah mereka. Akhirnya pandanganku tertumpah pada seraut wajah lelaki di hadapanku. Wajahnya tetap sama seperti dahulu. Kurenung matanya,ada butir-butir jernih yang bertakung di kelopak matanya. Pandangan kami bersatu dan tanpa disuruh air mataku meluru laju memecah kolam mataku.

Lelaki itulah yang mengubah seluruh hidupku,lelaki itulah yang sering meniupkan semangatku,lelaki itulah yang sering mengubat luka dihati saat aku tersungkur dipintu peperiksaan. Besarnya pengorbannya dalam usaha meroboh tembok keegoanku. Tanpanya...….entah di lembah mana aku berada dan tanpanya aku bukan siapa-siapa.

Kurenung kembali wajah lelaki itu. Kuatur langkahku dengan begitu sopan sekali. Sebagai gadis sunti yang jelita,aku perlu menjaga setiap langkah dan sikapku. Bersaksikan beratus-ratus pasang mata,bersaksikan unggas dan pepohon menghijau disekeliling kami,kudakap tubuh lelaki itu dengan erat sekali. Terasa inginku dakap tubuhnya buat selama-lamanya.

Kali ini,kubuang perasaan malu demi meraikan kejayaan ini. Tangisku tidak dapat kutahan lagi. Aku menangis teresak-esak lagi seperti enam tahun lalu ketika lelaki ini menyepak sepatu hantunya ke arahku. Bezanya kini,aku mengalirkan air mata demi sebuah kejayaan yang tidak pernah termimpi dalam kamus hidupku. Sayang...kemanisan ini tidak dapat kuraikan bersama abah. Namun,aku terlalu bersyukurnya bila pintu kejayaan tersenyum manis di hadapan. Kulihat ada bunga yang telah mekar menebarkan haruman Firdausi di taman hatiku. Mungkin,ini yang dikatakan emak,kemanisan yang akan kutuai di atas kesabaranku meredah onak duri,menampan ribut gelora lewat musim lalu.

Kuperhatikan senyumannya kali ini terlalu indah. Senyuman itulah yang kunanti-nantikan setelah lama ia pergi. Kini,ia mekar kembali mewarnai bumi indah sekolah kami. Beruntungnya aku,lelaki itu akhirnya menghadiahkan air mata kesyukuran buatku seorang. Jelas terbayang ketulusan hatinya . Terlalu tinggi kesabarannya melentur dan membentuk aku menjadi buluh yang mahal harganya, Pengorbanan mendidik, mengasuh,tidak dapat kunilai dengan emas permata. Sampai matipun, budinya mungkin tak akan terbalas... "Cikgu Khalid...terima kasih atas segalanya...". Air mataku terus mengalir dan aku kehilangan kata-kata. Hanya tepukan gemuruh bergema di ruang udara sekolah kami.

 
You can follow any responses to this entry through the Contac Us. You can leave a response.