Sekitar jam 10-11 pagi aku menerima berita yang amat memeranjatkan; mesej dari Hakim, Mastura dan panggilan berkali-kali dari amirul. Aku segera menelefon Hakim untuk kepastian dan untuk mengetahui lebih lanjut. Aku pasti, ramai diantara rakan-rakan yang mendapat khabar buruk hari ini, terdetik di hati mereka bahawa berita ini tidak benar, mungkin ada kesilapan, bukan, ini orang lain.. Namun apa yang ditentukan oleh Allah pasti berlaku, tidak lewat dan tidak segera walau sesaat. Kata-kata hakim seolah pisau yang menyiat hati. Hari selasa yang indah dan terang benderang terasa kelam dalam sanubariku.
Lantas, segera aku menghebahkan berita kepada kenalan-kenalan sekolah yang masih dapat aku hubungi melaui telefon, sms dan ym. Aku sempat menelefon Farhan, dia sedang berada di sekolah, juga baru mendapat berita. Dia memaklumkan bahawa mereka kini berada di hospital di perak. Segera aku berpesan supaya menghantar sms jikalau mengetahui berita terkini. Aku kemudiannya ke bilik air, mengambil wudhuk lalu pulang semula ke bilik. Tanganku segera mencapai buku kecil berwarna kuning yang tertera di mukanya dalam tulisan jawi: Yasin, tahlil dan doa selamat. Hanya apabila baru hendak aku mulakan bacaan al-Fatihah, dadaku mulai rasa sebak. Aku cuba untuk menahan-nahan tangisan, tetapi haruku makin menjadi. Air mata terlerai. Aku membaca al-Fatihah dengan tersedu-sedu. Aku teruskan bacaan selawat dan Yasin. Air mata berderai lagi apabila aku membaca doa tahlil. Bilik yang sunyi, dipenuhi tangisan aku sendirian pagi itu. Allahumma askinhum fi jannatin aliah, quthufuha daniah, wa syaffi' fihim saiyyidal mursalin wasshiyama wal quranal azhim..
Telefon bimbitku bergetar. Mesej dari hakim. Jenazah sudah bertolak lebih kurang 10 minit dari Perak menuju ke Shah Alam. Perjalanan mengmbil masa lebih kurang 2.30 jam. Aku berkira-kira sendiri. Jam sekarang menunjukkan pukul 2.10 petang. Mereka pasti sampai menjelang asar di Shah Alam. Aku panjangkan mesej tadi ke kenalan-kenalan sekolah. Segera aku menelefon Fariz untuk pergi bersamaku petang ini ke Shah Alam. Fariz juga mengenali Din. Malahan dia mempunyai lesen sedang aku masih lagi 'L' walaupun aku sekarang menggunakan kereta kancil kepunyaan kakakku. Ini mewajarkan lagi aku pergi bersama Fariz. Setelah berbincang, aku bersetuju untuk mengambil Fariz di rumahnya pada pukul 3.40 petang ini. Fariz diberi kelonggaran untuk keluar awal dari tempat kerjanya hari itu. Walaupun dibelenggu berita buruk pagi ini, aku gagahkan juga untuk hadir taklimat ekspidisi dakwah malam ini. Malam ini kami akan ke tasik titiwangsa - 'hotspot' untuk remaja berdua-duaan sempena menyambut tahun baru.
Pukul 3.40 petang, aku baru bertolak dari CFS IIUM kampus Petaling Jaya ke SS5C untuk mengambil Fariz. Dari Kelana Jaya, Fariz yang pandu ke Shah Alam. Sepanjang perjalanan, aku lebih banyak berdiam, merenung kembali kenangan yang tertayang bagai pemain video di kotak mindaku. Banyak kenangan bersama di zaman persekolahan dahulu. Aku masih ingat ketika aku dan dia hampir-hampir ponteng sekolah pada hari Jumaat, gara-gara urusan baju t-shirt asrama yang ditempah tidak siap-siap. Waktu itu, kami telah nekad untuk ke Perak, mengambil baju, walau tidak jelas arah tuju dan tempat untuk tidur. Kami betul nekad untuk jadi survivor yang hebat, untuk melalui apa sahaja asalkan matlamat tercapai. Namun akhirnya, tiket perjalan dua orang ke Ipoh menaiki bas, lebur begitu sahaja apabila menerima berita daripada pihak penjual. Aku masih ingat, apabila tiba aidilfitri, aku akan menghubunginya, dan bersama-sama beraya di sekitar Shah Alam. Aku masih ingat apabila kami berusaha bermati-matian untuk menyiapkan kotak coklat (hasilnya agak cantik) untuk tetamu VIP program di asrama. Dan aku masih ingat membonceng motornya ke Giant, jamuan kokurikulum dan rumah ustazah Hafizah, sehingga kadang kala aku nyaris terjatuh dari motor!
Jemaah baru sahaja selesi solat Asar apabila kami tiba di sana. Dari jauh aku lihat banyak kereta berderetan, tidak kurang juga dua buah bas dari Jabatan Pendaftaran Negara. Subhanallah, ramainya orang. Di perkarangan masjid ramai orang berkumpul, terdengar suara mereka seolah-olah berbisik-bisik sesama mereka. Pastinya tentang peristiwa kemalangan itu, getus hatiku. Sejurus kakiku melangkah masuk ke dalam masjid, aku terlihat dua keranda sudah tersedia di kaki lima masjid. Hatiku terus berasa haru lantas aku menghembus keluhan berat. Terselit pula rasa hairan - mengapa dua keranda sahaja? Bukankah tiga sekeluarga? Din tidak terlibatkah? Aku terus ke dalam masjid, mengaminkan doa imam. Kemudian aku baru berjumpa dengan sahabat-sahabat sekolah yang lama tidak bertemu, yang dirindui - Nu'man, Fahmi Paridin, Hafiz Sampol, Ahmad Hamdan, Hedir Siron, Abang Faris.. Selepas selesai, saudara mara dan hadirin kenalan diberi peluang untuk melihat muka jenazah buat kali terakhir. Keranda pertama dibuka. Ayanya. Orang ramai berkerumun sehingga menghalang pandanganku untuk melihat muka jenazah. Kemudian keranda kedua pula dibuka. Hatiku terus diselubungi keharuan melihat jenzah rakanku diletakkan bersama dalam satu keranda bersama ibunya.. Subhanallah, berada betul-betul disamping ibu sehingga ke akhir hayatnya. Mungkinkah petanda anak soleh? Ahli syurga? Di situ baru aku perasan Diana dan Ustazah Hafizah juga hadir. Mata ustazah bergelinangan air mata. Ustazah Hafizah anatara orang yang rapat dengan Din selain kelurga dan rakan-rakannya. Betapa tidak, aktiviti dia dalam PALAPES ke Vietnam dimaklumkan kepada usatazah, tidak rakan-rakannya yang lain termasuk aku.Diana dan ustazah juga cuba menjenguk-jenguk untuk melihat muka jenazah. Tetapi muka kedua-duanya tidak dibuka...
Sekali lagi aku menangis hari ini, mendengar bait-bait doa imam selepas solat jenazah. Aku teresak sendiri. Segera aku mengesat air mata setelah selesai doa. Apa kata kamu terhadap mayat ini? Baik. Sehingga tiga kali diulang kalimah-kalimah ini. Mengapa? Perkara inilah yang telah Rasulullah s.a.w. sabdakan, mafhumnya, apabila kamu mendengar orang menceritakan perkara-perkara baik tentang arwah itu, sehingga tiga kali, maka saksikanlah bahawa dia adalah penghuni syurga, apabila kamu mendengar orang menceritakan perkara yang buruk tentang arwah itu, sehingga tiga kali, maka saksikanlah bahawa dia adalah penghuni neraka. Sebab itulah kita hendaklah sentiasa menceritakan kebaikan jenazah setelah pemergiannya, jangan sesekali menceritakan perkara yang buruk tentang orang yang sudah pergi. Al-Fatihah. Jenazah diangkat dan diusung keluar. Semasa jenazah diusung keluar dari masjid, aku turut mengiring bersama para jemaah yang lain. Hadis enam hak orang islam terhadap orang islam yang lain sentiasa terpahat didadaku; antaranya ialah mengiringi jenazahnya apabila sudah meninggal dunia. Ketika inilah aku terdengar namaku dipanggil. Rupa-rupanya Puan Akma, sedang duduk di tepi bersama beberapa orang guru SMK Seksyen 18 yang lain. Wajah sepi mereka menyuramkan lagi petang itu yang sudah sedia mendung. Dari raut muka mereka dan hadirin yang lain, tampak kesedihan yang amat - siapa sangka, dalam usia yang amat muda, sedang sibuk menggapai cita-cita, nyawanya dicabut bersama kedua ibu bapanya.
Kali ini Hedir bersama kami dalam kereta kancil itu, menjadi penunjuk jalan ke tanah perkuburan. Kenangan sekali lagi berlayar di fikiranku, seolah-olah saat bersamanya baru berlalu semalam walau kami telah lama tidak bersua. Itu yang lebih memilukan hatiku. Tidak sempat untuk melafazkan penghargaan. Tidak sempat untuk mengucapkan selamat tinggal.Aku menjenguk ke luar tingkap kereta. Kosong. Subhanallah. Astaghfirullah. Ya Allah, tempatkanlah sahabatku ini di kalangan Anbiya', Mursalin, Syuhada' dan Solihin. Saksikanlah ya Allah, sesungguhnya hambamu ini adalah insan yang baik dan sentiasa inginkan ke arah kebaikan. Aku teringat, aku, dia dan Fahmi memohon untuk ke Darul Quran, namun aku seorang sahaja yang diterima. Dia cemburu dan kecewa, namun dia tetap menanam azam untuk menghafal Al-Quran.
Setibanya di tanah perkuburan, lebih kurang 5-6 liang lahad telah disediakan. Mungkin ada lagi kematian pada hari itu selain mereka. Sebelum jenazah diturunkan ke liang, muka jenazah dibuka untuk kali yang terakhir. Baru sekarang aku berpeluang melihat muka jenazah ayahnya. Jenazah ayahnya diturunkan dengan berhati-hati dengan lafaz bismillah. Keranda kedua seterusnya dikeluarkan dari van dan diletakkan di atas tanah. Penutupnya dibuka, dan terlihat dua kujur tubuh ibu dan anak bersampingan. Jenazah ibunya pula diturunkan ke liang dengan berhati-hati, bersebelahan kubur bapanya. Sebelum jenazah Din diturunkan, mukanya dibuka untuk kali terakhir. Kali ini aku berpeluang untuk meliht wajahnya untuk kali terakhir, sekurang-kurangnya dapat mengurangkan rasa pilu di hati lantaran sudah lama benar kami tidak bersua. Alhamdulillah, wajah Din masih elok serinya, tiada cacat cela, cuma kesan luka didahinya. Aku sentiasa mengharapakan ini bukan kali terkhir kita bersua. Aku mengiring terus jenazahnya dengan pandangan mata, diturunkan dengan perlahan-lahan, dipenuhkan dengan tanah dan akhirnya selamat dikebumikan.
Aku terus sebak setiap kali imam melafazkan nama Mohd 'Izzuddin Khair. Imam kini memulakan bacaan talkin, yang manfaatnya lebih untuk peringatan orang yang masih hidup, dan juga tahlil untuk arwah. Adik beradik dan saudara mara diberi penghormatan untuk duduk di atas tikar mengelilingi kuburan. Hafizul yang aku tertanya-tanya keberadaanya dari tadi kini muncul dengan kaki berbalut dan dahi bertampal; dipimpin oleh saudaranya untuk duduk di kuburan. Ketika itu, sedang hatiku dihambat rasa sedih dan pilu kehilangan seorang kawan, aku lebih sedih mengenangkan Hafizul, yang kini cedera serta kehilangan ibu bapa dan seorang abang. Begitu juga adik beradiknya yang lain. Kakaknya lantas duduk disamping Hafizul dan merangkulnya dengan tangisan. Aku sempat melihat Azmirul, cuba menahan rasa sebak dan tangisan daripada terus berderai. Keadaan pilu menyelubungi hari. Cuma kedua abang yang sulung tampak lebih tabah. Namun, pedih di hati siapakan tahu? Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Antal haq, wawa'dukal haq, waqaulukal haq, waliqaukal haq, waljannatu haq, wannaru haq, wassaatu haq, Allahumma laka aslamna wabika amanna. Mataku berkaca-kaca, menahan-nahan rasa sebak. Talkin dibaca hingga selesai dan doa untuk arwah..
Memang ramai orang di tanah perkuburan petang itu. Ramai juga budak-budak sekolah, rakan-rakan yang lain - Pedot Jr., Amzar, Azizi, Mimi, Syazwani, Aminah, Aqilah dan mungkin ramai lagi yang tidak sempat aku berjumpa dan bertegur sapa. Langit semakin gelap. Jam sudah pukul tujuh. Kami terpaksa balik, tidak sempat untuk ke tahlil malam ini, lantaran Fariz telah berjanji dengan ibunya. Namun insyaAllah aku akan cuba hadir untuk tahlil hari-hari berikutnya dan adakan tahlil di tempat belajarku. Aku pergi bersalaman dengan Azmirul, berpelukan, seraya menyampaikan ucapan takziah. Dia dikelilingi rakan-rakannya yang terus menerus memberi kata-kata semangat. Tidak tahu aku bagaimana hendak diterjemahkan dengan kata-kata tentang keadaan Azmirul petang itu. Azmirul; aku baru sahaja temui dia di surau Mid Valley ahad lalu. Tidak pula kusangka pertemuan seterusnya dia dalam tangisan. Aku sempat bertanyakan keadaan Hafizul dari dia dan mengambil nombor telefonnya. Niatku ingin menziarahi Hafizul di PPUM esok. Kakiku terasa berat melangkah pulang dari tanah perkuburan. Langkahku perlahan walaupun perjalanan dan kerja malam ini masih banyak dan jauh.
Peristiwa hari ini terus terbawa-bawa dalam ekspedisi malam itu. Aku berfikir-fikir sendiri, mengapa peristiwa ini terjadi terhadapku? Banyak andaian bermain difikiranku. Mungkin sebagai pengajaran supaya aku lebih menghargai setiap insan yang berada disekelilingku, jauh mahupun dekat, yang pernah aku kenali walaupun sementara, yang secara langsung atau tidak banyak memberi manfaat dalam perjalanan hidupku sehari-hari. Mungkin juga supaya aku lebih memahami erti kehilanagn orang tersayang - tidak semudah membaca berita di akhbar, tidak semudah melihat berita di televisyen atau lakonan drama. Lebih-lebih lagi apabila ingin menceburi bidang perubatan yang pasti sahaja menghadapi banyak kematian. Bukan tidak pernah aku mengalami kematian saudara terdekat sebelum ini, tetapi mungkin kerana usia yang masih muda, dan hubungan yang tidak begitu erat. Tetapi hari ini, aku sudah mampu berfikir sendiri dan bukan sekadar kenalan yang biasa. Maka, aku terasa kehilangan.
Sebenarnya, bukan sengaja ingin membuai emosi dalam kesedihan, bukan juga untuk mengharap simpati daripada penulisan ini, tetpi sekadar berkongsi dan cuba belajar untuk melepaskan apa yang disayangi, belajar meredai takdir Ilahi yang telah tersedia termaktub di lauh mahfuz. Malam itu, mudah sahaja mataku mengalirkan air mata apabila menadah tangan berdoa kepada Allah - kerana mengenangkan satu kehilangan, kerana mengenangkan bila pula masaku akan tiba.
Sedesir pasir di padang pasir, sejernih air dikali, sedingin salju di utara, tidak seindah yang diduga dan dikira. Satu coretan hidup yang ingin dibentuk oleh Richard tidak diterima oleh anak-anaknya. Kisah hidup dan persekitaran yang berbeza membuatkan Richard jatuh tersungkur kehampaan. Dirinya terumbang dilanda badai gelombang tsunami yang dahsyat, terlalu dirinya berasa bersalah kerana mengecewakan anak-anaknya terutama Donald. Takdir hidup yang dia tulis untuk anak-anaknya tidak diterima malah semua itu kehendak Yang Esa. Sejuta air mata, seribu kemaafan dan seratus kali dia bersedih belum tentu semua itu terurai dan terbongkar dengan selesa. Rambut yang ditarik dalam tepung secara perlahan-lahan akhirnya bertaburan jatuh menghujani bumi.
Setelah mendengar ungkap bicara Daniel yang sepanas lava berapi membuatkan Richard sedar dan terduduk di muka pintu. Tersandar sambil matanya dipejam dan dibuka kembali. Hatinya tertanam semua kekesalan yang dirasainya. Mary yang masih tercegat di luar sambil lirik matanya menemani kelibat Daniel yang berlari dalam hujan mengekori Donald yang hilang beredar.
"Abang…abang" suara Mary kuat kedengaran sebaik sahaja melihat suaminya terduduk di atas lantai sambil menangis. Dia terus berlari dan mematikan penglihatannya terhadap Daniel. Hatinya mula bersantun dengan tangisan, kata-kata yang diujarnya penuh dengan kelemahan bicaranya. Mendung wajah suaminya ditatap, menambah duka yang terperosok di sudut sukma.
"Aku dah buat salah, aku dah buat salah." teriakan Richard. Mary mendapatkan suaminya itu dan memeluknya sekuat mungkin. Kekesalan jelas terpancar di sebalik mendung wajah Richard. Air matanya tidak berhenti berjurai menghujani lantai mamar. Teriak rengek tangisannya, menyelimuti segenap inci ruangan rumah. Saat dituai kesedihan dan tangisan, Mary merapatkan dirinya.
"Abang dah buat salah, abang banyak buat salah pada anak-anak kita. Abang minta maaf. Abang bukan ayah yang baik" kekesalan Richard. Dia memeluk isterinya seerat mungkin.
"Abang, semua manusia pernah buat silap. Tetapi masih ada jalan untuk memperbetulkannya. Mary yakin, Dan dan Don akan memaafkan abang. Tak terlambat abang nak minta maaf. Lagipun, beberapa hari lagi kita akan pulang ke kampung dan kita mulakan suasana baru di kampung sebelum kita pulang ke Malaysia" kata-kata Mary untuk menenangkan suaminya itu. Dia meyakinkan Richard dengan satu nada kata yang bermakna.
"Mungkinkah ada kesempatan untuk aku mengubah semua ini. Ya Allah, berikanlah aku petunjuk dan jalanMu. Janganlah Kau bawa aku jauh dari kesalahan yang telah aku lakukan. Berilah aku kekuatan untuk menerima semua ini" desir-desir Richard di dalam hati. Apa yang digenggam dalam kehidupan ini terpaksa dileraikan dek kerana sayang akan anak-anaknya. Sikapnya terlalu tegas dan mengongkong mungkin menyebabkan Donald memberontak.
"Terima kasih Mary. Abang nak cari Don dan Dan sekarang juga. Nak minta maaf." Sambung Richard sambil menyeka sisa air matanya. Richard terus berlari keluar mencari Donald dan Daniel dalam hujan. Langkah Richard diekori oleh Mary.
Dalam hujan yang lebat, sepasang suami isteri itu mencari anak-anak mereka. Richard telah sedar akan kesilapannya. Dia mahu meminta maaf kepada anak-anaknya, Donald dan Daniel, dan mengharapakan kemaafan dari mereka. Sedang Mary dan Richard berlari-lari dalam hujan sehingga ke satu simpang, langkah mereka terhenti termati.
"Don…" teriakan kuat Mary dan Richard serentak. Mereka berlari menuju ke arah Donald yang terbaring di sisi jalan. Dan berada di samping Donald sambil memangku kepala adiknya itu.
"Don…" Rintik-rintik jernih kembali berjuraian dari alis mata Mary sebaik sahaja melihat keadaan Donald. Richard tangkas mendapatkan Donald dan mencium dahi Donald yang hanya terbaring di sisi jalan. Daniel hanya memandang gelagat orang tuanya. Rengekan Mary semakin kuat dan Richard juga turut menangis dan mula sedar apabila anaknya, Donald hanya terbaring kaku sambil memejamkan matanya.
"Don... bangun Don..." Jeritan Richard sebaik sahaja mendapati Donald tidak bergerak walau sesaat. Wajah Richard dan Mary mula berubah. Mary cuba menggoyangkan badan Donald dengan menggunakan tangannya. Richard menampar secara perlahan-lahan pipi Donald. Daniel hanya memandang kelakuan ayah dan ibunya itu sambil berdiri di penghadang jalan.
"Don bangun Don. Jangan tinggalkan ayah Don. Ayah minta maaf, ayah sayangkan Don. Bangun Don." sambung Richard.
"Abang, kenapa dengan Don?" Suara Mary mula terdengar.
"Cakap abang, kenapa dengan Don? Cakap abang." sambung Mary. Richard hanya menangis dan terdiam tanpa melontarkan satu nada kata. Lidahnya bagaikan kelu tidak bisa berbicara.
"Dan, apa yang berlaku dengan Don, cakap Dan" Mary hilang arah dan tidak keruan, hatinya berbisik yang bukan-bukan. Keadaannya seolah-olah disulami ketakutan dan mula menjerit kesedihan. Riak cemas dan gusar jelas terbias diwajahnya.
"Ya Tuhan, kenapa semua ini harus berlaku disaat keluarga aku hampir sahaja mengecapi kebahagiaan?" Pinta Mary sambil tangannya diangkat seolah-olah ketika orang sedang berdoa. Air matanya bercampur dengan hujan gerimis pagi itu, lalu Mary jatuh melutut dek kerana terlalu bersedih.
Richard hanya memeluk erat anaknya itu dan menangisi kerana anaknya hanya terdiam kaku.Fikiran Mary dan Richard terganggu dan bercelaru kerana perkara yang berlaku pada awal pagi itu. Daniel hanya membiarkan gelagat ayah dan ibunya. Dia hanya berdiri seperti patung yang bernyawa dan tidak boleh berbuat apa-apa.
"Dan, bagi tahu mak Dan. Apa yang berlaku lepada Don sebenarnya" Mary mendapatkan anak sulungnya sambil menggoyangkan tubuh Daniel yang hanya berdiri kaku.
Dalam suasana yang tegang dan kesejukan dek kerana hujan yang turun walaupun masih lagi renyai-renyai, tiba-tiba…
"Aduh...ayah sakitlah. Janganlah peluk kuat-kuat. Don tak dapat bernafaslah" suara Donald mula kedengaran dalam keheningan tangisan sambil terbatuk. Nafasnya tercunggap-sunggap.
Mary dan Richard terdiam daripada tangisannya sebaik sahaja terdengar suara Donald. Jelas kelihatan wajah mereka berdua mula berkerut tanda kehairanan. Daniel hanya berdiri sambil menguntumkan senyuman. Donald mula bangkit setelah lama terbaring di sisi jalan. Keadaan Mary dan Richard sekali lagi kebingungan mencari jawapan kepada semua yang berlaku. Terlakar sebuah wajah yang penuh kehairanan.
"Sakitlah ayah peluk kuat-kuat" kata Donald sebaik sahaja berdiri. Daniel hanya berdiri di belakang Donald.
"Don, kau tak apa-apa nak?" tanya Mary sambil membelai wajah anaknya itu.
"Don sihat walafiat bu. Don tak ada apa-apa" jawab Donald.
"Yang Don terbaring tu tadi apa?" tanya Richard. Wajahnya mula berubah dan dari sesuci salju menjadi sehangat mentari.
"Dan yang suruh Don baring dan diam je macam orang tidur. Dia suruh Don abaikan apa yang ibu dan ayah cakapkan. Don ikut je." Jelas Donald sekali lagi.
Mary dan Richard terus memandang ke arah Daniel untuk mendapatkan jawapan. Belum sempat Mary dan Richard mengatur butir bicaranya. Daniel mula menerangkan perkara yang berlaku.
"Ayah, Ibu terlebih dahulu Dan nak minta maaf sebab buat ibu dan ayah risau. Dan minta maaf sebab Dan meninggikan suara pada ayah. Dan terpaksa ayah. Dan merayu dan memujuk Don supaya jangan merajuk dengan perangai ayah. Don terdengar perbualan kita dan terus pergi. Kemudian Dan mengejar Don sampai ke simpang jalan ni. Dah berbuih mulut Dan pujuk Don supaya jangan pergi tetapi Don cakap ayah tak sayangkan Don. Ayah bencikan Don. Untuk menunjukkan bahawa ayah sayang dan cintakan Don, Dan hanya meminta Don baring dan mendengar apa yang ayah katakan bila melihat Don terbaring di sisi jalan. Mungkin ayah sangkakan Don kemalangan dan tidak sedarkan diri, tetapi kata-kata ayah telah membuktikan dan meyakinkan bahawa ayah amat mencintai kami semua. Itulah yang cuba Dan buat untuk meyakinkan Don, ayah. Dan minta maaf ayah jika perbuatan Dan ini terlampau. Dan minta maaf Ibu sebab menjadikan ibu sebagai pelakon pembantu walaupun tanpa ibu sedari" penjelasan panjang oleh Don.
Setelah mendengar penjelasan daripada Daniel, Richard mula merapatkan dirinya kepada Daniel. Mukanya agak bengis dan merah kemerahan. Richard mengetap bibirnya sebagai tanda menahan marah. Bebola matanya dibulatkan dan ditenung hebat ke arah Daniel. Mary pula takut jika suaminya itu, cuba untuk menampar Daniel untuk kali ke dua. Mary cuba menghalang suaminya itu dengan menarik lengan Richard.
"Chard, maafkanlah mereka" Pinta Mary. Tetapi semakin dihalang, Richard semakin mendekatkan dirinya kepada Daniel dan wajahnya seakan-akan mahu melepaskan geram. Donald mula menampakan wajah kebimbangan sambil tangannya digenggam. Khuatir juga dia jika ayahnya memukul Daniel lagi.
"Ayah, jangan salahkan Daniel ayah. Pukulah Donald. Donald yang punca semua ini. Tolonglah ayah. Tolonglah jangan pukul Daniel lagi." Namun, rayuan Donald dan ibunya tidak diendahkan oleh Richard. Daniel mengundurkan dirinya setapak demi setapak apabila ayahnya mendekatinya. Mukanya menunjukkan seribu ketakutan. Namun Daniel redha jika ayahnya memukulnya kerana perbuatannya telah melampaui batas.
Setelah selangkah demi selangkah Richard mendekati Daniel, apabila Daniel sudah tidak boleh berundur lagi dek kerana dihalang oleh penghadang jalan, akhirnya mata Richard dan mata Daniel mula bertentangan secara hadapan dan terus. Setelah itu, tiba-tiba Richard mendakap Daniel seerat mungkin dan mencium pipi anak sulungnya itu.
"Terima kasih Dan, kerana sedarkan ayah. Terima kasih. Sepatutnya ayah yang perlu meminta maaf kepada Dan dan Don. Minta maaf Dan." Richard mula menitiskan air mata. Setelah didakap oleh Richard, Daniel pula membalas dakapan ayahnya itu sambil turut menitiskan air mata. Mary dan Donald menghampiri dua beranak itu dan turut sama berdakapan.
"Bukan, Donald dan Daniel saja yang tahu berlakon, ayah pun pandai berlakon juga." Richard mula bersuara setelah beberapa saat berpelukan dan bergembira. Kata-kata ayahnya itu membuatkan Mary, Donald dan Daniel tersenyum manis lalu tergelak bersama.
"Don, ayah minta maaf ya. Ayah nak minta maaf pada Don sebab ayah menggongkong dan tidak memahami kehendak Don. Ayah benar-benar minta maaf" sambung Richard.
"Terima kasih ayah. Donald pun nak minta maaf sebab selama ni Don banyak buat silap pada ayah. Don nak minta maaf pada ibu dan abang Daniel kerana selama ini Donald banyak buat silap dan menyusahkan semua orang" balas Donald.
"Don panggil Dan, abang?" tersentap Daniel kerana selama ini Donald tidak pernah memanggil Daniel dengan kata-kata itu.
"Dan minta maaf ya kerana selama ini Don tidak menganggap abang Daniel sebagai abang. Tapi jujur Don cakap Don sayangkan abang Daniel, Don sayangkan ibu dan ayah" jelas Donald. Daniel dan Donald saling berpelukan sambil diperhatikan oleh Richard dan Mary. Mary hanya tersenyum gembira kerana keluarganya telah bersatu kembali.
Setelah Donald dan Daniel berpelukkan. Mary mula bersuara, "Alhamdulilah, keluarga kita telah bersatu kembali. Kita bina suasana baru di Filipina sebelum kita pulang semula ke Malaysia. Ibu mahu, kita cekalkan hati dengan cabaran baru yang kita hadapi di kampung nanti ya" jelas Mary yang bertambah yakin untuk pulang ke kampung walaupun perbezaan agama yang dianuti antara mereka sekeluarga dengan keluarga di kampungnya iaitu di Santa Cruz, Filipina.
"Setelah kita pulang dari kampung, kita akan menyokong pasukan bowling Donald, ok" jerit Richard. Mary, Donald dan Daniel hanya menganggukkan kepala tanda mereka setuju dengan kata-kata Richard sambil tersenyum.
"Mary, Donald dan Daniel, mahal na mahal kita" sambung Richard. Teriak Richard di awal pagi dalam keadaan hujan masih lagi renyai-renyai.
"Family ko, Mahal Na Mahal Kita" Daniel menyambut teriakkan ayahnya. Sekali lagi mereka berpelukan sambil ketawa dan berjalan pulang dalam hujan yang masih renyai-renyai.
* * *
12 Disember 2009, tarikh yang dahulunya dianggap keramat kini telah tiba dan Richard sekeluarga telah menjejakkan kaki di Lapangan Terbang Antarabangsa Diosdado Macapagal, Clark, Filipina yang terletak kira-kira 80 km dari Ibu Kota Manila. Segala urusan barang, bagasi dan kenderaan telah disediakan oleh saudara Richard, Stenly yang kebetulan bekerja di Lapangan Terbang tersebut. Kalau tidak, sukar untuk mengambil kenderaan untuk pergi ke Santa Cruz. Kebiasaannya penumpang akan mengambil bas di Lapangan Terbang Antarabangsa Clark dan kemudian menuju ke Terminal Philtranco, Manila untuk mendapatkan bas.
Ketika kaki mula mencecah bumi Filipina membuatkan hati Mary sebak dan menitiskan air mata. Hatinya sangat terharu dan tidak percaya dia sudah berada di bumi kelahirannya. Richard hanya tersenyum gembira sambil diperhatikan oleh Daniel dan Donald yang mengangkat bagasi pakaian mereka masing-masing. Langit di awan secerah harapan Mary dan Richard terhadap mereka setelah hampir 20 tahun tidak bertemu sanak saudara. Seakan-akan bumi Filipina menerima dan meraikan kehadiran insan baru iaitu Donald yang dilahirkan di Malaysia. Bagi Daniel, dia pernah menetap di Filipina sehingga usianya hampir mencecah setahun dan kemudian dibawa oleh Mary dan Richard untuk berhijrah ke Malaysia.
"Tidak banyak berubah di sini. Pembangunannya semakin pesat terutama di ibu kota. Santa Cruz pun sekarang ini sudah pesat membangun. Kalau aku tidak mengambil kamu di lapangan terbang mungkin kamu semua akan tersesat." Terang Stenly dalam bahasa Tagalog kepada sepupunya, Richard yang duduk di sebelahnya sambil memandu kenderaan. Mary hanya memadang luar tingkap merakamkan impian yang telah menjadi kenyataan dengan sepasang bebola matanya. Bumi dan lakaran realiti yang dilihat itu adalah benar-benar berada dihadapannya. Daniel juga menongkah dagunya pada cermin pintu belakang sebelah kiri sambil menyaksikan bumi yang pernah dipijaknya walau untuk seketika. Donald yang terlena dek kerana kepenatan hanya duduk terhimpit antara Daniel dengan Mary.
"Sten, hari ini kau ambil cuti ke?" getus Richard memecah kesunyian perjalanan.
"Ye, aku ambil cuti kerana nak menjemput kamu semua. Akhirnya sampai juga kamu di bumi Filipina." balas Stenly sambil melirikan senyuman.
"Sten, Jess sihat ke?" Mary mula menyampuk perbualan antara Richard dengan Stenly. Pertanyaan Mary membuatkan Stenly terdiam seketika. Matanya menajam tepat ke arah cermin hadapan. Kedua-dua tangannya menggenggam kuat stereng, sambil badannya berdiri tegak tepat ke hadapan.
Keadaan menjadi sunyi seketika, suasana ketika itu hanya digamitkan dengan deruan enjin kenderaan yang lalu-lalang disulami dengan pekik lolong hon kenderaan beserta gumpalan asap kenderaan yang memenuhi persekitarannya. Bangunan batu di ibu kota Manila akhirnya tenggelam juga apabila jalan yang dipandu oleh Stenley menuju ke satu tempat yang dipenuh dengan pepohan nan hijau. Kicauan burung mula menyanyi, dari udara kotor dan hangat bertukar segar dan bersih. Rupa-rupanya mereka telah keluar dari ibu kota, dan menuju ka arah Santa Cruz.
Pertanyaan Mary belum lagi disahut dan Mary terus mematikan niatnya untuk bertanya soal Jessica. Sebaliknya Stenly terus bertanyakan soalan kepada Mary iaitu soalan yang membuatkan Mary berfikir panjang sebelum dia menjejakkan kaki di bumi Filipina.
"Mary, kenapa kamu menutup kepala kamu dengan kain? Tidak panas ke?" tanya Stenly.
Pertanyaan itu membuatkan mulut Mary terkumat kamit, wajahnya hilang seri kesenyuman. Daniel cepat-cepat memegang tangan ibunya itu sambil diperhatikan Richard. Suasana dalam perjalanan menuju ke Santa Cruz dipenuhi dengan kebisuan untuk beberapa saat walaupun panorama sekitar perjalanan mereka amat mengasyikan dan mendamaikan.
"Chard, kenapa dengan Mary?" Tanya Stenly kepada Richard setelah Mary membisu.
"Eh, ermmm…ermmm…" Kekeliruan di hati Richard terus menerpa wajah yang putih dan masih lagi tampan itu. Kegelisahan Mary terus menyinggah di sudut ruang ketakutan. Sayup-sayup keresahan kembali menyelubungi Richard.
"Ayah sudah lupa ke?" sampuk Daniel.
"Ah, lupa? Lupa apa?" Richard semakin keliru sambil menjeling ke belakang melihat Daniel.Mary hanya mengerutkan wajah ketakutannya itu.
"Ayah cepat sangat lupa. Pak cik Stenly, ibu menutup kepada dia kerana beberapa tahun kebelakang ini, rambut ibu gugur sehingga hampir botak. Ibu salah guna syampu rambut, sebab itu rambut dia gugur. Sejak hari itu, Doktor meminta ibu pakai penutup kepala sama seperti kebanyakan wanita lain di Malaysia. Kulit kepala ibu sekarang terlalu sensitif." Daniel memberi penerangan dalam bahasa Inggeris kerana Daniel tidak tahu bertutur dalam bahasa Tagalog, tetapi hanya memahaminya. Penipuan Daniel secara terpaksa untuk kebaikan mereka semua. Belum masanya mereka menceritakan keislaman mereka, dan belum saatnya kerana semua itu memerlukan masa dan waktu yang sesuai.
"Ooh, macam tu, baru pak cik faham."
Mary dan Richard menarik nafas panjang dan kerisauan, keresahan dalam hatinya kembali reda. Bayang-bayang hitam ketakutan menghilang oleh sinaran mentari. Ini adalah cubaan pertama yang perlu dihadapi oleh mereka. Terdapat pelbagai cubaan yang perlu dilalui mereka, kerana mereka mesti dan harus melakukan sesuatu untuk menegakkan kebenaran. Mereka perlu berjihad dan berperang minda habis-habisan supaya keluarga menerima mereka seadanya. Itulah yang perlu mereka lakukan, dan golongan mualaf lain yang memeluk Islam tanpa pengetahuan keluarga mereka. Perbezaan ajaran, pantang larang dan sembahan menyebabkan banyak perkara yang terpaksa ditipu dan difikir secara logik. Ini semua memerlukan kesabaran dan ketaatan kepada Yang Esa.
Donald masih lagi nyenyak tidur kerana kepenatannya dari berlatih bowling semalam, belum lagi hilang. Ditambah pula dengan perjalanan mereka ke bumi Filipina. Keadaan menjadi sunyi semasa dalam perjalanan sehingga membuatkan Daniel dan Mary bermimpi bersama-sama dengan Donald. Hanya Richard yang duduk menemani dan berbual-bual dengan Stenly sepanjang perjalanan mereka ke Santa Cruz.
*** Terima kasih kerana sudi membaca cerpen ini. Kisah ini bersambung, Bagaimanakah Richard bertemu dengan Mary? apakah perasaan dan situasi yang menyelubungi perpisahan Richard dan Mary terhadap keluarganya? Nantikan siri ketiga Family Ko, Mahal na Mahal kita 3. Saya mengharapkan pandangan anda untuk penambahbaikkan cerpen-cerpen saya akan datang. Terima kasih atas komen anda pada cerpen Warkah Terakhir Sofea dan Family Ko Mahal na Mahal kita, saya akan perbaiki penulisan saya pada masa-masa akan datang. Sekian terima kasih...abg aloha ***














