Cerpen : Diari 31 Disember

Sekitar jam 10-11 pagi aku menerima berita yang amat memeranjatkan; mesej dari Hakim, Mastura dan panggilan berkali-kali dari amirul. Aku segera menelefon Hakim untuk kepastian dan untuk mengetahui lebih lanjut. Aku pasti, ramai diantara rakan-rakan yang mendapat khabar buruk hari ini, terdetik di hati mereka bahawa berita ini tidak benar, mungkin ada kesilapan, bukan, ini orang lain.. Namun apa yang ditentukan oleh Allah pasti berlaku, tidak lewat dan tidak segera walau sesaat. Kata-kata hakim seolah pisau yang menyiat hati. Hari selasa yang indah dan terang benderang terasa kelam dalam sanubariku.

Lantas, segera aku menghebahkan berita kepada kenalan-kenalan sekolah yang masih dapat aku hubungi melaui telefon, sms dan ym. Aku sempat menelefon Farhan, dia sedang berada di sekolah, juga baru mendapat berita. Dia memaklumkan bahawa mereka kini berada di hospital di perak. Segera aku berpesan supaya menghantar sms jikalau mengetahui berita terkini. Aku kemudiannya ke bilik air, mengambil wudhuk lalu pulang semula ke bilik. Tanganku segera mencapai buku kecil berwarna kuning yang tertera di mukanya dalam tulisan jawi: Yasin, tahlil dan doa selamat. Hanya apabila baru hendak aku mulakan bacaan al-Fatihah, dadaku mulai rasa sebak. Aku cuba untuk menahan-nahan tangisan, tetapi haruku makin menjadi. Air mata terlerai. Aku membaca al-Fatihah dengan tersedu-sedu. Aku teruskan bacaan selawat dan Yasin. Air mata berderai lagi apabila aku membaca doa tahlil. Bilik yang sunyi, dipenuhi tangisan aku sendirian pagi itu. Allahumma askinhum fi jannatin aliah, quthufuha daniah, wa syaffi' fihim saiyyidal mursalin wasshiyama wal quranal azhim..

Telefon bimbitku bergetar. Mesej dari hakim. Jenazah sudah bertolak lebih kurang 10 minit dari Perak menuju ke Shah Alam. Perjalanan mengmbil masa lebih kurang 2.30 jam. Aku berkira-kira sendiri. Jam sekarang menunjukkan pukul 2.10 petang. Mereka pasti sampai menjelang asar di Shah Alam. Aku panjangkan mesej tadi ke kenalan-kenalan sekolah. Segera aku menelefon Fariz untuk pergi bersamaku petang ini ke Shah Alam. Fariz juga mengenali Din. Malahan dia mempunyai lesen sedang aku masih lagi 'L' walaupun aku sekarang menggunakan kereta kancil kepunyaan kakakku. Ini mewajarkan lagi aku pergi bersama Fariz. Setelah berbincang, aku bersetuju untuk mengambil Fariz di rumahnya pada pukul 3.40 petang ini. Fariz diberi kelonggaran untuk keluar awal dari tempat kerjanya hari itu. Walaupun dibelenggu berita buruk pagi ini, aku gagahkan juga untuk hadir taklimat ekspidisi dakwah malam ini. Malam ini kami akan ke tasik titiwangsa - 'hotspot' untuk remaja berdua-duaan sempena menyambut tahun baru.

Pukul 3.40 petang, aku baru bertolak dari CFS IIUM kampus Petaling Jaya ke SS5C untuk mengambil Fariz. Dari Kelana Jaya, Fariz yang pandu ke Shah Alam. Sepanjang perjalanan, aku lebih banyak berdiam, merenung kembali kenangan yang tertayang bagai pemain video di kotak mindaku. Banyak kenangan bersama di zaman persekolahan dahulu. Aku masih ingat ketika aku dan dia hampir-hampir ponteng sekolah pada hari Jumaat, gara-gara urusan baju t-shirt asrama yang ditempah tidak siap-siap. Waktu itu, kami telah nekad untuk ke Perak, mengambil baju, walau tidak jelas arah tuju dan tempat untuk tidur. Kami betul nekad untuk jadi survivor yang hebat, untuk melalui apa sahaja asalkan matlamat tercapai. Namun akhirnya, tiket perjalan dua orang ke Ipoh menaiki bas, lebur begitu sahaja apabila menerima berita daripada pihak penjual. Aku masih ingat, apabila tiba aidilfitri, aku akan menghubunginya, dan bersama-sama beraya di sekitar Shah Alam. Aku masih ingat apabila kami berusaha bermati-matian untuk menyiapkan kotak coklat (hasilnya agak cantik) untuk tetamu VIP program di asrama. Dan aku masih ingat membonceng motornya ke Giant, jamuan kokurikulum dan rumah ustazah Hafizah, sehingga kadang kala aku nyaris terjatuh dari motor!

Jemaah baru sahaja selesi solat Asar apabila kami tiba di sana. Dari jauh aku lihat banyak kereta berderetan, tidak kurang juga dua buah bas dari Jabatan Pendaftaran Negara. Subhanallah, ramainya orang. Di perkarangan masjid ramai orang berkumpul, terdengar suara mereka seolah-olah berbisik-bisik sesama mereka. Pastinya tentang peristiwa kemalangan itu, getus hatiku. Sejurus kakiku melangkah masuk ke dalam masjid, aku terlihat dua keranda sudah tersedia di kaki lima masjid. Hatiku terus berasa haru lantas aku menghembus keluhan berat. Terselit pula rasa hairan - mengapa dua keranda sahaja? Bukankah tiga sekeluarga? Din tidak terlibatkah? Aku terus ke dalam masjid, mengaminkan doa imam. Kemudian aku baru berjumpa dengan sahabat-sahabat sekolah yang lama tidak bertemu, yang dirindui - Nu'man, Fahmi Paridin, Hafiz Sampol, Ahmad Hamdan, Hedir Siron, Abang Faris.. Selepas selesai, saudara mara dan hadirin kenalan diberi peluang untuk melihat muka jenazah buat kali terakhir. Keranda pertama dibuka. Ayanya. Orang ramai berkerumun sehingga menghalang pandanganku untuk melihat muka jenazah. Kemudian keranda kedua pula dibuka. Hatiku terus diselubungi keharuan melihat jenzah rakanku diletakkan bersama dalam satu keranda bersama ibunya.. Subhanallah, berada betul-betul disamping ibu sehingga ke akhir hayatnya. Mungkinkah petanda anak soleh? Ahli syurga? Di situ baru aku perasan Diana dan Ustazah Hafizah juga hadir. Mata ustazah bergelinangan air mata. Ustazah Hafizah anatara orang yang rapat dengan Din selain kelurga dan rakan-rakannya. Betapa tidak, aktiviti dia dalam PALAPES ke Vietnam dimaklumkan kepada usatazah, tidak rakan-rakannya yang lain termasuk aku.Diana dan ustazah juga cuba menjenguk-jenguk untuk melihat muka jenazah. Tetapi muka kedua-duanya tidak dibuka...

Sekali lagi aku menangis hari ini, mendengar bait-bait doa imam selepas solat jenazah. Aku teresak sendiri. Segera aku mengesat air mata setelah selesai doa. Apa kata kamu terhadap mayat ini? Baik. Sehingga tiga kali diulang kalimah-kalimah ini. Mengapa? Perkara inilah yang telah Rasulullah s.a.w. sabdakan, mafhumnya, apabila kamu mendengar orang menceritakan perkara-perkara baik tentang arwah itu, sehingga tiga kali, maka saksikanlah bahawa dia adalah penghuni syurga, apabila kamu mendengar orang menceritakan perkara yang buruk tentang arwah itu, sehingga tiga kali, maka saksikanlah bahawa dia adalah penghuni neraka. Sebab itulah kita hendaklah sentiasa menceritakan kebaikan jenazah setelah pemergiannya, jangan sesekali menceritakan perkara yang buruk tentang orang yang sudah pergi. Al-Fatihah. Jenazah diangkat dan diusung keluar. Semasa jenazah diusung keluar dari masjid, aku turut mengiring bersama para jemaah yang lain. Hadis enam hak orang islam terhadap orang islam yang lain sentiasa terpahat didadaku; antaranya ialah mengiringi jenazahnya apabila sudah meninggal dunia. Ketika inilah aku terdengar namaku dipanggil. Rupa-rupanya Puan Akma, sedang duduk di tepi bersama beberapa orang guru SMK Seksyen 18 yang lain. Wajah sepi mereka menyuramkan lagi petang itu yang sudah sedia mendung. Dari raut muka mereka dan hadirin yang lain, tampak kesedihan yang amat - siapa sangka, dalam usia yang amat muda, sedang sibuk menggapai cita-cita, nyawanya dicabut bersama kedua ibu bapanya.

Kali ini Hedir bersama kami dalam kereta kancil itu, menjadi penunjuk jalan ke tanah perkuburan. Kenangan sekali lagi berlayar di fikiranku, seolah-olah saat bersamanya baru berlalu semalam walau kami telah lama tidak bersua. Itu yang lebih memilukan hatiku. Tidak sempat untuk melafazkan penghargaan. Tidak sempat untuk mengucapkan selamat tinggal.Aku menjenguk ke luar tingkap kereta. Kosong. Subhanallah. Astaghfirullah. Ya Allah, tempatkanlah sahabatku ini di kalangan Anbiya', Mursalin, Syuhada' dan Solihin. Saksikanlah ya Allah, sesungguhnya hambamu ini adalah insan yang baik dan sentiasa inginkan ke arah kebaikan. Aku teringat, aku, dia dan Fahmi memohon untuk ke Darul Quran, namun aku seorang sahaja yang diterima. Dia cemburu dan kecewa, namun dia tetap menanam azam untuk menghafal Al-Quran.

Setibanya di tanah perkuburan, lebih kurang 5-6 liang lahad telah disediakan. Mungkin ada lagi kematian pada hari itu selain mereka. Sebelum jenazah diturunkan ke liang, muka jenazah dibuka untuk kali yang terakhir. Baru sekarang aku berpeluang melihat muka jenazah ayahnya. Jenazah ayahnya diturunkan dengan berhati-hati dengan lafaz bismillah. Keranda kedua seterusnya dikeluarkan dari van dan diletakkan di atas tanah. Penutupnya dibuka, dan terlihat dua kujur tubuh ibu dan anak bersampingan. Jenazah ibunya pula diturunkan ke liang dengan berhati-hati, bersebelahan kubur bapanya. Sebelum jenazah Din diturunkan, mukanya dibuka untuk kali terakhir. Kali ini aku berpeluang untuk meliht wajahnya untuk kali terakhir, sekurang-kurangnya dapat mengurangkan rasa pilu di hati lantaran sudah lama benar kami tidak bersua. Alhamdulillah, wajah Din masih elok serinya, tiada cacat cela, cuma kesan luka didahinya. Aku sentiasa mengharapakan ini bukan kali terkhir kita bersua. Aku mengiring terus jenazahnya dengan pandangan mata, diturunkan dengan perlahan-lahan, dipenuhkan dengan tanah dan akhirnya selamat dikebumikan.

Aku terus sebak setiap kali imam melafazkan nama Mohd 'Izzuddin Khair. Imam kini memulakan bacaan talkin, yang manfaatnya lebih untuk peringatan orang yang masih hidup, dan juga tahlil untuk arwah. Adik beradik dan saudara mara diberi penghormatan untuk duduk di atas tikar mengelilingi kuburan. Hafizul yang aku tertanya-tanya keberadaanya dari tadi kini muncul dengan kaki berbalut dan dahi bertampal; dipimpin oleh saudaranya untuk duduk di kuburan. Ketika itu, sedang hatiku dihambat rasa sedih dan pilu kehilangan seorang kawan, aku lebih sedih mengenangkan Hafizul, yang kini cedera serta kehilangan ibu bapa dan seorang abang. Begitu juga adik beradiknya yang lain. Kakaknya lantas duduk disamping Hafizul dan merangkulnya dengan tangisan. Aku sempat melihat Azmirul, cuba menahan rasa sebak dan tangisan daripada terus berderai. Keadaan pilu menyelubungi hari. Cuma kedua abang yang sulung tampak lebih tabah. Namun, pedih di hati siapakan tahu? Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Antal haq, wawa'dukal haq, waqaulukal haq, waliqaukal haq, waljannatu haq, wannaru haq, wassaatu haq, Allahumma laka aslamna wabika amanna. Mataku berkaca-kaca, menahan-nahan rasa sebak. Talkin dibaca hingga selesai dan doa untuk arwah..

Memang ramai orang di tanah perkuburan petang itu. Ramai juga budak-budak sekolah, rakan-rakan yang lain - Pedot Jr., Amzar, Azizi, Mimi, Syazwani, Aminah, Aqilah dan mungkin ramai lagi yang tidak sempat aku berjumpa dan bertegur sapa. Langit semakin gelap. Jam sudah pukul tujuh. Kami terpaksa balik, tidak sempat untuk ke tahlil malam ini, lantaran Fariz telah berjanji dengan ibunya. Namun insyaAllah aku akan cuba hadir untuk tahlil hari-hari berikutnya dan adakan tahlil di tempat belajarku. Aku pergi bersalaman dengan Azmirul, berpelukan, seraya menyampaikan ucapan takziah. Dia dikelilingi rakan-rakannya yang terus menerus memberi kata-kata semangat. Tidak tahu aku bagaimana hendak diterjemahkan dengan kata-kata tentang keadaan Azmirul petang itu. Azmirul; aku baru sahaja temui dia di surau Mid Valley ahad lalu. Tidak pula kusangka pertemuan seterusnya dia dalam tangisan. Aku sempat bertanyakan keadaan Hafizul dari dia dan mengambil nombor telefonnya. Niatku ingin menziarahi Hafizul di PPUM esok. Kakiku terasa berat melangkah pulang dari tanah perkuburan. Langkahku perlahan walaupun perjalanan dan kerja malam ini masih banyak dan jauh.

Peristiwa hari ini terus terbawa-bawa dalam ekspedisi malam itu. Aku berfikir-fikir sendiri, mengapa peristiwa ini terjadi terhadapku? Banyak andaian bermain difikiranku. Mungkin sebagai pengajaran supaya aku lebih menghargai setiap insan yang berada disekelilingku, jauh mahupun dekat, yang pernah aku kenali walaupun sementara, yang secara langsung atau tidak banyak memberi manfaat dalam perjalanan hidupku sehari-hari. Mungkin juga supaya aku lebih memahami erti kehilanagn orang tersayang - tidak semudah membaca berita di akhbar, tidak semudah melihat berita di televisyen atau lakonan drama. Lebih-lebih lagi apabila ingin menceburi bidang perubatan yang pasti sahaja menghadapi banyak kematian. Bukan tidak pernah aku mengalami kematian saudara terdekat sebelum ini, tetapi mungkin kerana usia yang masih muda, dan hubungan yang tidak begitu erat. Tetapi hari ini, aku sudah mampu berfikir sendiri dan bukan sekadar kenalan yang biasa. Maka, aku terasa kehilangan.

Sebenarnya, bukan sengaja ingin membuai emosi dalam kesedihan, bukan juga untuk mengharap simpati daripada penulisan ini, tetpi sekadar berkongsi dan cuba belajar untuk melepaskan apa yang disayangi, belajar meredai takdir Ilahi yang telah tersedia termaktub di lauh mahfuz. Malam itu, mudah sahaja mataku mengalirkan air mata apabila menadah tangan berdoa kepada Allah - kerana mengenangkan satu kehilangan, kerana mengenangkan bila pula masaku akan tiba.

 
You can follow any responses to this entry through the Contac Us. You can leave a response.