Cerpen : Arwah mak cik Siti

"Kembalikan anakku!Kembalikan anakkku.....!!!!"masih jelas pada ingatanku akan keadaan Mak Leha yang menjerit-jerit mengulangi ayat tersebut.
Malam ini aku berasa sukar untuk melelapkan mata.Di ruang mataku masih terbayangkan keadaan Mak Leha,janda Pak Samad sebentar tadi.Baru tadi aku dan bapa balik dari rumah jiran kami itu.Pak Samad baru sahaja meninggal dunia empat bulan yang lepas meninggalkan Mak Leha dan anak mereka,Sophia.Arwah merupakan seorang yang disukai ramai kerana sikapnya yang menyenangkan sesiapa sahaja.Namun sebaliknya pula dengan Mak Leha yang tidak begitu digemari penduduk kampung kerana sikapnya yang suka mengumpat dan memandang rendah pada orang lain mungkin kerana Pak Samad boleh dikatakan orang yang mempunyai lebih harta berbanding dengan penduduk lain di kampung kami.Dengan harta peninggalan suaminya,perangai buruk Mak Leha semakin bertambah.Oleh itu,penduduk kampung jarang ada yang mahu bergaul atau bertandang ke rumah Mak Leha.Agaknya disebabkan inilah maka Sophia datang meminta pertolongan bapa kerana bapa dulu berkawan baik dengan arwah.
Masih aku ingat,semasa menyiapkan kerja sekolah petang tadi,tiba-tiba Sophia,anak dara Mak Leha yang cantik itu berlari bagaikan dikejar hantu ke rumah kami.Dengan suara yang terketar-ketar,Sophia meminta bapa agar pergi ke rumahnya tolong lihatkan keadaan ibunya yang berubah secara tiba-tiba itu.Atas dorongan perasaan hairan,maka aku juga memilih mengikut bapaku ke rumah Mak Leha yang letaknya tak jauh dari rumah kami.
Ketika sampai di rumah Mak Leha,aku dapat rasakan bulu roma aku meremang serta-merta dan hatiku menjadi tak senang bagaikan ada sesuatu yang akan berlaku.Ah,segera aku menepis perasaan yang menyeramkan itu.Baru saja menjejakkan kaki ke rumah Mak Leha,tiba-tiba kami dikejutkan oleh bunyi hilaian yang menyeramkan.Segera Sophia berlari masuk ke bilik ibunya diikuti oleh aku dan bapa.

Aku berasa semakin tak senang hati sebaik sahaja menjejakkan kaki ke dalam bilik Mak Leha.Bilik tersebut agak gelap padahal ketika itu cuaca masih terang.Keadaan bertambah menyeramkan dengan keadaan Mak Leha.Mak Leha ketika itu duduk terperosok di sudut bilik dengan matanya yang merah dan rambutnya yang mengerbang itu.Sebaik sahaja ternampak kami,Mak Leha segera menerpa ke arah bapa hendak mencekik bapa.Dengan segera bapa mengucapkan ayat-ayat suci sambil cuba menenteramkan Mak Leha.Aku dan Sophia terpaku melihatkan keadaan itu.

"Kembalikan nyawaku!!!!Kembalikan anakku!!!!Mati kau..mati kau!!!!!!"jerit Mak Leha sambil menarik-narik rambutnya.Ada kalanya Mak Leha bertindak menghentakkan kepalanya ke dinding.Darah merah mengalir setiap kali Mak Leha menghentakkan kepalanya ke dinding lantas dinding bilik berlumuran dengan darah Mak Leha.Keadaan Mak Leha bertambah buruk apabila Mak Leha semakin rancak menghentakkan kepalanya ke dinding sambil diiringi oleh bunyi hilaian yang memenuhi ruang bilik dan menaikkan bulu roma sesiapa sahaja yang berada di situ.Mak Leha ketika itu bagaikan telah berubah menjadi seorang yang amat asing bagi kami.Dalam keadaan yang samar-samar itu,aku dapati kadang kala bagaikan terlihat wajah lain di sebalik wajah Mak Leha.Aku berasa semakin gerun.Memandangkan keadaan Mak Leha yang semakin tak terkawal itu,maka bapa meminta aku pergi meminta pertolongan daripada penduduk kampung yang lain.

Dengan langkah yang pantas,aku berlari selaju-lajunya menuju ke rumah jiran lain.Tak sampai lima minit,berita perubahan Mak Leha yang menakutkan itu sudah tersebar di seluruh kampung.Rumah Mak Leha yang dulunya sepi kerana jarang dikunjungi orang lain kini riuh dengan suara penduduk kampung.Ruang rumah Mak Leha semakin dibanjiri oleh penduduk kampung yang ingin mengetahui apa yang berlaku.Sesetengah penduduk datang dengan hati yang bersimpati manakala sesetengahnya pula dapat aku rasakan datang untuk melihat balasan yang diterima oleh Mak Leha yang buruk sikapnya itu.

"Aku nak balik!!!Aku nak balik!!!Lepaskan aku!!!"ruang rumah bergema dengan jeritan Mak Leha itu.Keadaan menjadi semakin riuh dengan Mak Leha yang ingin meninggalkan rumah tersebut.Tiada siapa yang tahu ke mana dia hendak pergi dan dia hendak balik ke mana.Keadaan Mak Leha amat menakutkan sesiapa sahaja yang memandang.Darah berlumuran membasahi wajah Mak Leha,rambutnya yang mengerbang,matanya yang begitu merah dan tajam menjeling kesemua orang dan kadang-kala pula dia ketawa serta mengilai dan menangis pula secara tiba-tiba.Mak Leha ketika itu juga menjadi seorang yang amat kuat tenaganya.Bayangkan seorang wanita perlu ditahan oleh lima,enam orang penduduk kampung yang besar tubuh mereka untuk mengelakkannya melepaskan diri.Akhirnya Mak Leha tak sedarkan diri setelah iman kampung,Ngah Salleh membacakan ayat-ayat suci diiringi oleh semua penduduk kampung yang berada di situ.Beberapa orang penduduk kampung diarahkan berada di situ menemani Mak Leha dan Sophia.Aku dan bapa bersama dengan penduduk kampung yang lain balik ke rumah masing-masing dengan perasaan yang letih dan gerun.
Jam sudah menunjukkan tepat dua belas malam namun aku masih tak dapat melelapkan mata.Aku tak dapat melelapkan mata kerana masih teringatkan kejadian di rumah Mak Leha petang tadi.Tambahan pula,sejak balik dari rumah Mak Leha,aku berasa serba tak kena dan dapat aku rasakan bagaikan ada sepasang mata yang mengekori setiap pergerakkanku.Bulu roma aku juga sering menegak secara tiba-tiba dan keadaan menjadi dingin padahal malam itu cuaca agak panas.Sayup-sayup pula kedengaran bunyi bisikan di cuping telingaku.Aku menjadi semakin rimas dan tak senang hati dengan keadaan ini.Aku tak sedar bila aku terlelap.

"Min,Min tolong mak cik,boleh tak?Mak cik sejuk,mak cik takut,mak cik sakit,mak cik rindukan anak mak cik...."sayup-sayup aku terdengar rintihan pilu daripada satu suara yang tak pernah aku dengar.Segera aku membuka mata dan dalam kegelapan aku terlihat sesusuk tubuh yang berpakaian baju kebaya berwarna putih berdiri di sudut bilik.Wajah itu agak ayu dan manis dan wanita dengan baju kebaya putih itu sempat melemparkan sebuah senyuman kepadaku.Aku menjadi kaku tanpa sempat memberikan tindak balas.

"Min,Min tolong mak cik ya..."Sebaik sahaja melafazkan kata-kata tersebut,wanita tersebut hilang daripada pandanganku.Tiba-tiba aku tersedar daripada keadaan kaku dan tanpa berlengah aku mencubit lenganku."Adui!"lenganku terasa sakit akibat cubitan tersebut.Serta-merta aku berasa amat takut dan badanku mula menggigil ketakutan.Ini bermakna sebentar tadi aku terlihat hantu.....Tiba-tiba aku tidak sedarkan diri.

"Min,bangun Min..jangan menakutkan mak,Min."Aku terdengar suara emak terngiang-ngiang di telingaku.Aku membuka mata perlahan-lahan.Aku mendapati emak dan bapa duduk di sampingku sambil mulut bapa terkumat-kamit membacakan ayat-ayat suci.Emak segera memelukku sebaik sahaja melihat aku mula sedarkan diri.Selepas berehat untuk seketika,aku mula menceritakan apa yang berlaku kepada kedua-dua orang tuaku itu.Dalam kala aku bercerita, aku masih dapat rasakan ada sepasang mata yang asyik memerhatikan aku.

Emak dan ayah tidak mempercayai apa yang aku katakan dan mereka berpendapat itu hanya khayalanku semasa dalam keadaan keletihan serta khayalan yang direka sendiri lantaran peristiwa di rumah Mak Leha petang tadi.Memandangkan kedua orang tuaku tidak menerima apa yang aku katakan,maka aku memilih untuk mendiamkan diri.Namun begitu dalam hati,aku masih tertanya-tanya perisitwa sebentar tadi.Aku bertekad akan menyiasat apa yang berlaku.

Keesokkan harinya,emak dan ayah mengajak aku bersama-sama mereka bertandang ke rumah Mak Leha melihat keadaan Mak Leha.Emak turut membawa bersama sarapan yang disediakan untuk Sophia dan Mak Leha.Melihatkan kedatangan kami,maka jiran yang bertugas menemani Sophia dan Mak Leha malam tadi pun meminta diri.Keadaan rumah Mak Leha masih sama seperti kelmarin.Suram dan menyeramkan.Sebaik sahaja melangkah masuk ke rumah mereka,aku dapat rasakan bulu romaku terus meremang.Sophia duduk bersujud di sebelah ibunya di bilik ibunya.Wajah Sophia kelihatan kuyu dan matanya kemerahan-merahan.Agaknya puas menangis akibat keadaan ibunya.Mak Leha pula lebih tenang keadaannya pada masa itu.Mak Leha duduk di birai katil sambil merenung ke luar tingkap.Entah apa yang tenungkannya itu.Rambut Mak Leha kelihatan kusut masai dan ada kalanya dia tersenyum,ketawa secara tiba-tiba dan bercakap seorang diri tanpa mengendahkan orang lain.Emak mengajak Sophia untuk bersarapan dan baru sahaja aku hendak mengekori mereka meninggalkan bilik tersebut,tiba-tiba Mak Leha memandang ke arahku.Aku tidak tahan dengan jelingannya yang tajam itu lalu segera melangkah ke luar bilik.

"Min,Min jangan lupa ya...ha ha ha......."baru sahaja sampai ke muka pintu,tiba-tiba kedengaran suara Mak Leha diikuti dengan hilaian yang menakutkan.Segera aku mempercepatkan langkah ke dapur.Aku menjadi semakin takut dan keliru.Aku binggung sama ada Mak Leha ketika itu merupakan Mak Leha yang sebenarnya ataupun wanita yang aku lihat dalam bilik aku malam tadi.Aku dengan sepenuh usaha cuba menepis perasaan takut itu dan memberanikan diri melangkah masuk ke bilik Mak Leha.Baru saja sampai di muka pintu,Mak Leha terus menoleh ke arahku dengan satu senyuman di mukanya.Walaupun aku berasa takut dengan situasi tersebut,namun aku memberanikan diri melangkah masuk ke dalam bilik.Aku berdiri agak jauh dari katil Mak Leha.Mak Leha mengilai perlahan melihatkan perlakuanku itu.

"Mak Leha...."aku cuba memulakan perbualan dengan menegur Mak Leha."Ahhhh!!!!!Aku bukan Mak Leha...perempuan jahanam tu!!Aku Siti..Siti gadis pujaan Bang Samad..."kata Mak Leha sambil tersenyum kemalu-maluan.Tiba-tiba Mak Leha menangis teresak-esak."Siti rindu Bang Samad,Bang Samad......Siti sakit,badan Siti panas......"aku berasa seram mendengar rintihan pilu Mak Leha itu.Pada masa yang sama,aku binggung dengan apa yang berlaku.Siti?Siapa pula Siti yang dikatakan Mak Leha itu???Tidak dapat aku lupakan riak wajah Mak Leha ketika mengatakan dirinya sebagai Siti dan ketika nama arwah Pak Samad disebut.Wajah Mak Leha kelihatan begitu mesra dan ayu tidak sama seperti Mak Leha yang aku kenali,sombong dan garang.Tanpa berfikir panjang,aku lantas berlari meninggalkan bilik tersebut.

Malam itu aku tidak dapat melelapkan mata.Aku berasa cemas dan gelisah.Aku dapat rasakan bagaikan terdapat sepasang mata dengan renungan tajam mengekori setiap pergerakkanku.Aku berasa gelisah dengan keadaan tersebut.Dapat aku rasakan bagaikan ada sesuatu yang akan berlaku sebentar nanti.Malam semakin larut namun aku masih tidak dapat melelapkan mata.Hujan kini juga mula turun dengan lebatnya.AH...sepatutnya cuaca begini pasti enak tidur,namun entah apa yang menyebabkan aku tidak dapat melelapkan mata.Bagaikan ada kuasa yang melarang aku berehat.Tiba-tiba bulu roma aku meremang dan angin mula bertiup kencang di luar situ.Sayup-sayup kedengaran bunyi salakan anjing dari rumah sebelah.Tiba-tiba pula bilik aku dipenuhi bau harum yang tidak aku pasti.Yang aku pasti, dugaan Allah sudah tiba.
Secara spontan aku membuang pandang ke arah sudut bilik dan sama seperti apa yang telah aku jangkakan,sesusuk tubuh dengan baju kebaya putih berdiri tegak di situ.Aku cuba kuatkan semangat untuk mengamati wajah tuan punya tubuh tersebut.Dalam samar-samar aku mendapati wajah tersebut agak pucat.Namun begitu,wajah tersebut agak manis dan ayu.Aku menjadi takut mendapati susuk tubuh wanita tersebut semakin hampir dengan diriku.Dalam sekelip mata, tubuh tersebut sudah berada di sisi katilku.Aku menjerit sambil menutup diriku dengan selimut dan menutup rapat mataku.Badan aku menggigil dan peluh mula membasahi tubuhku.Aku tidak pasti sama ada tubuh tersebut masih berada di sisi katilku atau tidak kerana aku tidak berani untuk membuka mata.

"Min,mak cik tahu Min takut..tapi jangan risau kerana mak cik tak akan apa-apakan Min."jantungku bagaikan hendak terhenti apabila wanita tersebut mula berkata-kata.Tambahan pula suara tersebut kedengaran amat pilu."Sebenarnya mak cik ingin meminta bantuan Min..Min tolong mak cik ya..kalau Min tak tolong,mak cik akan terus mengganggu Leha.."wanita tersebut mula menceritakan asal-usulnya serta apa yang telah berlaku.Turut wanita tersebut yang memperkenalkan dirinya sebagai Siti menjelaskan tujuan kemunculannya serta bantuan yang diperlukan.Aku mendengar dengan sepenuh hati walaupun masih diselubungi perasaan takut.Tiba-tiba keadaan menjadi sunyi sepi dan tidak lagi kedengaran suara wanita tersebut.Dengan perlahan-lahan aku menurunkan selimut yang menutupi wajahku.Lega rasanya mendapati wanita tersebut tiada lagi dalam bilikku.

Aku menarik nafas panjang cuba menenteramkan diri ekoran apa yang berlaku sebentar tadi.Setelah bertenang,aku cuba mengimbas kembali apa yang berlaku serta kata-kata mak cik Siti sebentar tadi.Aku semakin hairan dengan apa yang berlaku.Perasaan ingin tahu mula menghantui diriku.Kini aku bertekad untuk mencari kebenaran atas segala yang berlaku.Ya,akanku tepiskan segala perasaan takut demi mencari kebenaran atas apa yang berlaku.Aku tidak sedar bila aku melelapkan mata.Namun yang aku pasti aku terlena dengan satu semangat baru dalam diriku.Ya,akanku membantu mak cik Siti.
Keesokkan harinya, awal-awal pagi lagi aku mengajak emak untuk berbual-bual. Aku memulakan cerita dengan menunjukkan minat tentang peristiwa lalu yang berlaku di kampung kami sambil berkisar di sekitar cerita tentang arwah Pak Salleh.Aku berpura-pura menunjukkan minat yang mendalam tentang arwah dengan harapan dapat mencungkil sedikit sebanyak maklumat yang dikehendaki.Aku menjadi semakin bersemangat untuk mencari kebenaran kisah mak cik Siti setelah berbual dengan emak sebentar tadi.Menurut emak,arwah pada asalnya mempunyai seorang isteri yang baik budi pekertinya,iaitu Siti.Namun sebaik sahaja melahirkan seorang bayi,Siti terus hilang.Siti bagaikan telah lenyap dari dunia ini.Semua orang tidak tahu ke mana perginya Siti walaupun pelbagai cara telah dilakukan untuk menjejaknya.Tidak lama selepas kehilangan Siti maka arwah telah mengahwini makcik Leha dengan harapan ada orang yang menolong menjaga makan minumnya dan anaknya.Kehilangan Siti lama-kelamaan dilupakan begitu sahaja dan Sophia pula tidak diberitahu tentang ibu kandungnya.Peristiwa kehilangan Siti terus menjadi satu misteri yang akhirnya dilupakan begitu sahaja.

Setelah mendengar cerita emak,aku cuba membandingkannya dengan dengan apa yang dikatakan oleh mak cik Siti semalam.Peluh dingin mengalir membasahi bajuku dan aku mula berasa takut memikirkan apa yang dikatakan oleh mak cik Siti.Menurut mak cik Siti,mak cik Leha,sahabatnya sejak kecil lagi yang telah membunuhnya.Mak cik Leha berdendam dengan mak cik Siti apabila arwah memilih Siti sebagai teman hidupnya.Hal ini demikian kerana mak cik Leha turut menaruh perasaan terhadap arwah.Maka mak cik Leha sentiasa mencari peluang untuk menghapuskan mak cik Siti.Walaupun mak cik Siti sedar akan rancangan mak cik Leha,namun dia memilih mendiamkan diri memandangkan persahabatan mereka yang sekian lama.Namun begitu,selepas mak cik Siti melahirkan anak,mak cik Leha menjemputnya ke rumah dengan alasan telah menyediakan hidangan berkhasiat untuk memulihkan badan mak cik Siti selepas bersalin.Tanpa curiga,mak cik pun bertandang ke rumah mak cik Leha dan selepas makan mak cik Siti mula berasa pening kepala.Pada masa itu barulah mak cik Leha menunjukkan belangnya.Dengan kekuatan yang ada tambahan pula pada masa itu mak cik Siti tidak mempunyai tenaga untuk menentang,maka mak cik Leha menggunakan sebatang kayu memukul mak cik Siti secara bertuli-tuli sehingga akhirnya mak cik Siti menghembuskan nafas yang terakhir.
Menurut mak cik Siti,mayatnya ditanam berhampiran kebun kepunyaan arwah.Mak cik Siti turut menjelaskan sebabnya mengganggu mak cik Leha.Semuanya atas dorongan perasaan keibuan.Menurut mak cik Siti,dia dapat merasakan perasaan anaknya yang menderita sejak kebelakangan ini.Rupa-rupanya mak cik Leha ingin mengahwinkan Sophia dengan seorang lelaki kaya dari bandar.Namun,lelaki tersebut telah lanjut usianya.Sophia tidak bersetuju dengan rancangan ibunya tetapi tidak mampu berbuat apa-apa kerana sikap mak cik Leha yang keras.Mak cik Siti muncul mengganggu hidup mak cik Leha kerana ingin membantu menjamin kebahagiaan anaknya.Mak cik Siti tidak mahu kebahagiaan anaknya dimusnahkan oleh mak cik Leha. Cukuplah dengan dirinya yang menjadi mangsa mak cik Leha.Tambahan pula,mak cik Siti amat menderita kerana mayatnya yang tidak diuruskan dengan baik.Jadi mak cik Siti mengharapkan bantuan daripadaku untuk membongkarkan perbuatan mak cik Leha agar jenazahnya disemadikan dengan baik.Yang penting,anaknya dapat melepaskan diri daripada menjadi mangsa ketamakan mak cik Leha.

Petang itu aku mengikuti ayah berkunjung ke rumah mak cik Leha.Keadaan rumah tersebut masih muram dan menyeramkan.Mak cik Leha terbaring dalam biliknya dengan wajah yang kuyu dan sekali sekala menjerit kecil dengan rupa ketakutan."Pergi!pergi!jangan ganggu hidupku!!!!!"menurut Sophia,itulah kata-kata yang terlontar dari mulut mak cik Leha sejak pagi tadi.Pada ketika itu,aku berasa sedih dengan keadaan mak cik Leha.Kini dia telah menerima balasan atas segala perbuatannya pada masa lalu.Dengan terketar-ketar,aku menghampiri mak cik Leha dan mengusap lembut wajahnya sambil melembarkan sebuah senyuman manis kepada mak cik Leha,dan aku pasti yang memandangku kini ialah mak cik Siti.Segala-galanya akan berakhir tak lama lagi,akanku bantu mak cik Siti memastikan anaknya mencapai kebahagiaan dalam hidupnya dan akuku pastikan juga mak cik Leha menerima hukuman atas perbuatannya.

 
You can follow any responses to this entry through the Contac Us. You can leave a response.