Cerpen : Cinta Kita Kan Ke Syurga

Cerpen : Cinta Kita Kan Ke Syurga
Nama Pena : marmus

" Setiap yang hidup, pasti akan mati." Munir berkata lemah. Ya, setiap yang hidup pasti melalui gerbang kematian, setelah dibangkitkan dari pintu kematian sewaktu diawal penciptaan. Menempuh gerbang kematian kali ini adalah pasti buat Munir untuk dia melangkah ke alam barzakh, cuma masa untuk gerbang maut terbuka adalah masih misteri, walaupun keadaan Munir jelas menunjukkan nyawanya bila-bila masa saja akan terpisah dari badan.


Kata-kata Munir itu buat isteri tercinta, yang saban hari, tabah melihat penderitaan suaminya. Seorang isteri solehah, yang apabila malam, tidak sempurna tidurnya kerana terjaga apabila Munir mengerang kesakitan. Seorang isteri yang ketika melihat suami menangis dalam penderitaan sakit, air matanya ditahan untuk tidak membebankan lagi suami tercinta. Itulah Miftahul Huda, yang sudah 10 tahun berkongsi kehidupan dengan Munir, membesarkan pasangan puteri dan putera bersama-sama.


Kehidupan pasangan itu sangat bahagia. Ikatan perkahwinan mereka bukan atas perhubungan cinta yang terjalin sebelum perkahwinan, tetapi persetujuan ayah bonda kedua-dua pihak, sejak mereka kecil lagi. Tidak pernah mereka bercinta, duduk berdua-duaan di bawah pohon asmara dan bermadu kasih selama perkenalan sebelum pernikahan, walaupun sering bertemu.


Sewaktu masih anak-anak kecil, pertemuan mereka dirumah, sama ada rumah keluarga Munir atau rumah keluarga Huda. Pertemuan yang sering diisi dengan bermain bersama. Berkejar-kejaran dan bertepuk tampar. Itu pun, bersama dengan adik-beradik masing-masing. Di bangku sekolah, setiap masa akan bertegur sapa. Mana tidaknya, sentiasa berada di dalam kelas yang sama setiap tahun bersaing antara satu sama lain untuk keputusan yang terbaik di sekolah. Namun, persaingan itu tidak membawa perkelahian, bahkan meraka sama-sama belajar setiap masa. Tidak juga berdua-duaan, tetapi dengan teman-teman yang lain bersama dalam pembelajaran berkumpulan. Selama itu, pandangan mata sentiasa dijaga.


Munir tidak pernah menatap kepada mata Huda yang semula jadi menggoda pandangan setiap lelaki. Kecuali bila perlu sahaja. Bila menerangkan pelajaran kepada Huda, bila mendengar penerangan dari Huda, itu sahaja. Walau kadang-kadang, syaitan sengaja menahan mata dari dialih, Munir dan Huda cepat-cepat beristighfar kepada Allah S.W.T kerana antara mereka, dalam diam sudah diamit rindu untuk dihalalkan antara satu sama lain. Menunggu untuk saling mencurah kata-kata sayang yang penuh romantik, menunggu untuk mengenggam erat tangan agar kehangatan kasih terasa ke kalbu. Menunggu..


Dan hari bahagia menjelma juga buat kedua-duanya. Berwalikan walid, Munir dinikahkan penuh adab Islam dengan gilang gemilangnya, walaupun Munir terpaksa mengulang dua kali lafaz akad. Bukan kerana tidak sempurna akad pertama, tetapi kenakalan saksi-saksi dan walid yang sengaja mahu melihat kekalutan Munir. Apapun, Miftahul Huda sudah dalam gengamannya, itulah cita-cita yang Munir benar-benar menunggu sejak dia kenal rasa cinta terhadap wanita itu. Dan Miftahul Huda juga merelakan dirinya diikat kepada Munir, sebab sememangnya dia sanggup menyerahkan kehidupannya kepada Munir sejak dia tertawan dengan sikap Munir yang penuh hikmah.


Nyatanya, kedua-duanya tidak terpikat kerana keperawanan masing-masing walaupun Munir boleh sahaja mencairkan jiwa berduyun-duyun perempuan dengan senyum dan pandangan matanya yang maskulin. Lelaki mana yang tidak terdetak hatinya melihat wajah ayu Huda walaupun telah tertutup sempurna semua auratnya. Miftahul Huda yang sangat terkenal apabila mula-mula mengenakan sarung tangan ke sekolah, menjadi ikutan pula gadis-gadis lain. Bibir Huda merah merekah, hidungnya sederhana mancung dan matanya, ah itulah yang paling berbisa, alisnya hitam tebal, seolah-olah dikenakan maskara, anak matanya juga hitam berkilat, dan apabila mata itu merenung, seperti menyihir lelaki-lelaki agar datang dekat kepadanya. Kerana itulah, Munir meminta agar Huda sentiasa menundukkan pandangan, lebih kepada kerana cemburunya dia kepada lelaki-lelaki yang tidak reti menjaga pandangan. Dan kini, Munir tidak perlu berselindung untuk menatap puas-puas wajah pujaannya itu.


"Kenapa Nir tengok Iftah macam tu?" Pipi gebu yang tadi putih melepak dilanda merah, apabila Munir tidak berkelip menatap wajah isterinya. Mereka berdua-duaan di bilik waktu itu, sesuai lakunya pengantin sehari bila malam menyapa.


"Kenapa, tak boleh Nir tengok isteri Nir?"


"Bukan tak boleh, tapi Iftah segan?"


"Kenapa segan, Nir dah jadi milik Iftah. Iftah dah jadi milik Nir. Ha, Iftah pun tenunglah Nir puas-puas." Munir berseloroh menyebabkan Miftah tergelak halus. Itulah yang Munir tunggu dari Miftah, tawanya yang tidak dapat dinikmati sebelum ini. Indah wajah Miftah bila sedang riang ditambah dengan adab yang masih dijaga walau sedang bersama suami. Hati Munir berbunga riang.


"Iftah tak tahu, macam mana gelora jiwa Nir bila hari-hari jumpa Iftah, tapi tak dapat nak tatap keayuan wajah Iftah." Munir menceritakan.


"Adakah kerana wajah ini, Nir bernikah dengan Iftah?" Miftah menduga.


Munir berfikir lama. Masakan tidak, kerana keayuan itulah Munir tidak banyak memberontak dengan keputusan keluarganya. Tetapi, tarikan utama Miftah bukan pada kecantikan yang tidak terperi itu, tetapi kemuliaan lakunya.


"Emmm, ada menyumbang." Munir menjawab.


"Kalaulah Iftah tak cantik, adakah Nir masih inginkan Iftah." Miftah masih menduga.


Soalan itu membuatkan Munir terkedu, lalu diam menyapa seketika. Munir memikirkan jawapan yang terindah.

"Ada empat perkara yang dilihat pada wanita. Keturunannya, kekayaannya, kecantikannya dan agamanya. Maka Nir melihat kempat-empatnya, tapi Nir mengikut saran Rasulullah, melihat agama sebagai keutamaan. Dan, yang paling memikat Nir, adalah keanggunan Iftah dalam budi bahasa. Kecantikan Iftah, mengikat Nir agar sentiasa menunggu Iftah. Kenapa Iftah Tanya macam ni? Kecantikan memang aset Iftah, syukurlah terhadap pemberian tuhan." Munir menjawab agar Miftah berpuas hati.


"Kalau lepas ni Iftah jadu hodoh, apa Nir masih sayang Iftah?" Miftah tidak lagi bepuas hati, dia menduga dengan soalan yang seterusnya.


"Iftah, hodoh atau cantik dah bukan soalnya, Nir akan selalu sayang Iftah sampai bila-bila. Sampai bila-bila tahu?" Munir menegaskan katanya. Dicuitnya hidung Miftah, menyebabkan Miftah merenget manja, dan memegang erat tangan Munir itu, diletakkan diribaannya.


"Atau, sebenarnya, selama ni Iftah pakai topeng? Muka Iftah macam nenek kebayan ya?" Munir masih menyakat dan balasannya adalah tamparan lembut Miftah pada tangannya. Tamparan sayang. "Ada-ada aja la Nir, nih."


"Nir akan sentiasa sayang seorang perempuan yang bernama Miftahul Huda"


"Iftah akan sayang selalu seorang lelaki yang bernama Munir." Miftah mengikut dialog Munir.


"Mula-mula Munir sayang Allah, kemudian Rasulullah, kemudian umi, lepas tu abi, ma, walid dan Miftahul Huda." Munir menyusul penuh manja. Miftah yang mendengar berbunga riang walaupun namanya yang terakhir. Itulah yang selayaknya.


"Mula-mula, Miftahul Huda sayang Allah, kemudian Rasulullah, kemudian Munir." Miftah pula mengikut.


Hati Munir sudah sangat berbunga sayang dan bahagia, dirapati Miftah dan diciumnya ubun-ubun gadis itu. Halus dan hangat. Kehangatan itu sampai ke hati Miftah dan air mata syahdu mengalir ke pipinya. Munir menanggalkan kelubung yang masih menutup kemas kepala Miftahul Huda dengan lembut. Miftah diam sahaja. Kaget barangkali kerana belum ada lelaki lain selain keluarga yang mahram melihat tanpa kelubung. Maka terlihatlah rambut Miftahul Huda yang panjang dan lembut, menambahkan keserian wanita perawan itu.


Munir sekali lagi mencium ubun-ubun Miftah. "Nir tak akan mensia-siakan kurniaan tuhan yang cukup berharga seperti Miftah." Munir berkata syahdu.

"Iftah juga" Miftah mengiakan, seraya mencium tangan suami yang tercinta, Dan malam itu, mereka berbahagia sebagai pasangan yang diredhai Allah.


Hari itu Munir mengalami sakit kepala yang teramat. Mungkin kerana tidak cukup tidur, memandangkan begitu ramai pesakit yang perlu dirawat. Munir baru beberapa minggu bertugas sebgai doktor di Hospital itu, masih belum begitu sesuaikan diri.


Tiba-tiba pintu biliknya diketuk seorang jururawat.\"Dr. Munir, anda diperlukan di bilik kecemasan, ada pesakit yang perlu dibedah kerana kecelakaan jalan raya.\"


"Ya, saya bergegas ke sana" Cepat-cepat Munir mengatur langkah walaupun sakit kepalanya masih terasa. Dia masuk ke bilik kecemasan menuju bilik operasi. Lalu dia menuju ke kumpulan perawat yang terdiri daripada beberapa dockor dan jururawat. Kali ini, Munir bertugas sebagai doktor yang utama melakukan pembedahan. Munir sepatutnya boleh sahaja menolak kerana keadaannya yang benar-benar sakit kepala. Tetapi, mengingatkan dia masih dalam tempoh percubaan, terlalu manja mengadu boleh membuat orang benci. Lalu digagahkan juga diri melakukan pembedahan itu.


Kaki pesakir selesai dipotong. Teruk kecederaanya kerana digilis tayar lori. Waktu itulah Munir dilanda sakit kepala yang tidak tertahan. Dibukanya sarung tangan yang berlumuran darah tanpa sengaja untuk mengurut kepala yang sangat sakit. Semua berlaku dengan pantas apabila pisau bedah yang dipegang seorang jururawat untuk diberi kepada Munir terkena tangannya itu dan tangan Munir yang sedang luka kecil, terdedah kepada darah yang pekat di katil pesakit apabila dia menahan dirinya dari jatuh di katil pesakit itu. Semuanya berlaku sekelip mata. Munir dipapah keluar oleh jururawat untuk berehat sedang luka yang terdedah itu tidak disedari sesiapa, malahan Munir sendiri.


"Munir, anda positif." Itulah kata-kata yang paling mengoyakkan jiwa Munir hari itu. Bagaimana akan ditempuh hari-hari yang mendatang, menghitung saat-saat kematian. Dan Miftahul Huda? Bagaimana dia menerima berita ini? Bagaimana pula Miftahul Aqilah dan Zaid Naiman? Bagaimana abi dan umi, bagaimana ma dan walid? Bagaimana?!!!


"Mati itu pasti, Nir." Miftahul Huda membalas kata-kata Munir.


"Iftah selalu macam ni, suka mengajuk cakap Nir." Munir berjenaka lemah. Senyum terukir pada wajah Miftahul Huda. Senyuman ketabahan.


"Mati itu ujian bagi, Nir yang akan menghadap ilahi, ujian bagi Iftah yang akan kehilangan seorang insan tersayang. Maka bertabahlah kita menghadapi ujian Allah, sebab disebalik sengsara ini ada kesenangan, Nir." Miftah menjawab perlahan-lahan, memberikan semangat kepada suaminya, juga motivasi merawat duka diri sendiri.


"Syukurlah Nir kalau Iftah berpandangan begitu, tak perlu Nir risaukan lagi bila Nir pergi nanti. Jaga anak-anak kita dengan baik, ya Iftah. Jadikan mereka anak-anak yang soleh solehah. Sentiasa doakan Nir bila Nir tiada, ya Iftah." Munir berkata-kata sayu.


Miftahul Huda yang mendengar ditampar hiba. Matanya berkaca tetapi tidak dipecahkan takungan itu. Munir tidak akan melihat isterinya ini menangis. Tidak akan. " Ya, Nir. Bahkan Iftah selalu mendoakan Nir akan menemani Iftah sampai ke hujung hayat Iftah." Miftah membalas.


"Doamu terbalas juga, Iftah. Nir sudah Allah panjangkan usianya bertahun-tahun dari tarikh sepatutnya. Mungkin panggilan Allah lebih kuat dari doamu."


Kali ini Miftahul Huda tidak mampu membalas apa-apa. Kalau diteruskan kata-katanya, akan hancur luluh air mata yang menujah-nujah kaca yang menahan titisan. Kedua-duanya diam.


"Iftah, Nir nak jalan-jalan dengan Iftah." Munir membuat permintaan. Keadaan Munir sudah sangat kronik untuk pengidap HIV, masakan dibiarkan berjalan bebas. Malahan kini, Munir dikuarantin habis-habisan, Miftah yang menemaninya juga memakai berlapis-lapis baju keselamatan, Tetapi itu permintaan suami tercinta. "Nanti Iftah uruskan, abang tunggu sini, ya."Miftah berjalan keluar.


"Dr. Razlan, izinkan saya bawa Munir jalan-jalan." Miftahul Huda meminta kebenaran walaupun itu seolah anjing menyalak ke pokok.


"Dr. Huda, awak pun tahu keadaan suami awak. Masakan saya membenarkan."Jawapan itu sudah dijangka, tapi Miftah masih belum mengalah.


"Razlan, kau bayangkan kalau didalam itu isterimu. Dan ini seolah-olah permintaan terakhirnya, mampukah kau menolak? Fahami aku, Razlan." Miftah merayu. Formalitinya sudah tidak ada berhadapan dengan rakan sejawatnya itu.


Razlan diam sejenak. Berfikir.


"Tolong, Razlan. Ini permintaannya. Tak kasihankah kau kepada kawanmu itu? Tidakkah?" Miftah masih merayu.


"Jururawat, sediakan kelengkapan untuk Dr. Munir dibawa keluar." Razlan mengarah, dan bunga gembira terpampang pada wajah Miftahul Huda, lalu segera dia berlalu kepada suaminya. ‘Huda, aku mengasihanimu, kalau aku boleh meringankan bebananmu dan Munir.’ Hat i Dr. Razlan menyapa hiba.


Miftahul Huda dan Munir sedang berdua-duan ditepi lerang bukit. Sedang doktor Razlan dan beberapa jururawat berdiri sedikit jauh dari mereka. " Nir rasa macam kita dekat Dunedin dulu." Munir mula berbicara.


"Nir ni, ada-ada ja la." Miftah juga menjawab dan kepalanya memang ligat memikirkan itu, enam tahun melanjutkan pelajaran dalam bidang perubatan di universiti paling hujung di dunia, berdua suami isteri banyak meninggalkan kenangan manis. Keindahan yang masih segar diingatan.


"Iftah"


"Ya, Nir."


"Iftah redho?"


"Iftah serahkan kepada Maha Pengatur. Iftah redho dengan harapan Allah juga redho akan kita."


"Baguslah, sayang."Mendengar perkataan sayang itu menghibakan hati Miftahul Huda.


"Iftah".


"Ya, Nir."


"Nanti di syurga, Nir tak mahu bidadari-bidadari. Nir nak Iftah sorang."


"Iftah pun tak mahu bidadara-bidadara, Iftah nak Nir sorang".


"Tapi, Iftah kena ada seorang lagi di syurga kita."


"Iftah tak sanggup, Nir."


"Untuk anak-anak, Iftah. Nir tak sanggup mereka tak dapat kasih-sayang seorang ayah."


"Tapi Iftah tak mampu nak sayang orang lain, selain Nir." Dari tadi lagi, sejak bercerita tentang

keredhoan Iftah, air matanya telah mengalir.


"Aku sanggup menikahimu untuk menyayangi anak kalian walau kau tak mungkin cinta aku, Huda." Tiba-tiba Dr. Razlan menyapa. Miftahul Huda terkejut, antara terharu dan sebak.


"Kalau begitu, senanglah aku menghadap tuhan, Razlan.Terima kasih menunaikan permintaan akhirku" Dr. Razlan berlalu pergi setelah itu. Mungkin diamit pilu, teman baik akan pergi berangkat kepada tuhan.


"Mula-mula Munir sayang Allah, kemudian Rasulullah, kemudian umi, lepas tu abi, ma, walid dan Miftahul Huda."


"Mula-mula, Miftahul Huda sayang Allah, kemudian Rasulullah, kemudian Munir." Miftah pula mengikut.


Munir diam. Munir diam. Bisu. Tak bersuara. Miftah Cuma menangis. Innalillahiwainnailahirajiun.

 
You can follow any responses to this entry through the Contac Us. You can leave a response.