Cerpen : 1 April

Kad merah jambu itu kutatap berulang kali. Tidak jemu-jemu aku membaca isi kandungan di dalamnya. Sungguh, tidak pernah aku merasa begini sepanjang hidupku. Perasaan gembira, gementar dan takut silih berganti menghantui benakku. Kuulang membaca setiap baris perkataan di dalam kad itu lagi. Dan kali ini, aku menghela nafas panjang. "This is it." Terdengar hati kecilku berbisik.


Kad merah jambu itu bukan sembangan kad. Di dalamnya tersembunyi segala-gala yang aku pendam selama lebih 3 tahun. Selama itu, tidak pernah aku terfikir mahu pergi sejauh ini. Aku bukan gadis yang mudah melafazkan kata-kata cinta kepada seorang lelaki. Tapi akhirnya aku sedar, setelah 3 tahun aku masih tidak mampu melupakan lelaki yang seorang ini. Sudah jenuh aku berfikir-fikir, diakah Mr. Right yang aku cari-cari selama ini? Dan sekiranya dialah Mr. Right itu, akukah Miss Rightnya? Hanya ada satu jalan untuk memastikan jawapan itu.

"Iqbal, em..boleh jumpa?" Suaraku bergetar di dalam talian. Gemuruh benar mahu menyusun kata-kata, akhirnya hanya ayat pendek itu yang terkeluar dari bibir.

"Sure! Tempat biasa eh.." Lega benar aku apabila dia memberi kata persetujuan. Sekarang dugaan terbesar menantiku..


***

Lama dia memandang kad merah jambu itu. Kemudian, dia mengalihkan pandangan ke arahku yang hanya mampu tunduk memandang lantai kafe'. Saat itu benar-benar aku gemuruh. Tidak sanggup aku memandang ke arahnya. Kurasa pipi ini terasa begitu panas sekali. Tiba-tiba terdengar seseorang ketawa berdekah-dekah. Kuberanikan diri untuk mengangkat mukaku. Mata bulatku tepat memandang ke arahnya yang jelas sedang mentertawakan aku. Aku jadi hairan. Lucu benarkah ayatku di dalam kad itu?

"Nice try, Sarah. Happy April Fool!" Suara cerianya bergema di akhir tawa. Aku terpempan. Bodohnya aku! Dalam banyak-banyak hari dalam 365 hari, aku memilih 1 April untuk meluahkan perasaan hatiku. Hanya Tuhan yang tahu betapa malu aku saat itu. Malu kerana isi hatiku sudah disalah ertikan sebagai bahan jenaka. Akhirnya, aku hanya mampu tertawa bersamanya.

Jarang aku bertemu dengan Iqbal selepas kejadian memalukan itu. Tidak tahu bagaimana aku hendak memberi reaksi setiap kali aku berjumpa dengannya. Dia bukan lagi seorang sahabat biasa pada pandangan mataku. Dan setelah merasakan seolah-olah cintaku ditolak, aku semakin menjauhkan diri darinya..

Satu petang, setelah hampir sebulan kami tidak bertemu, aku mengambil keputusan untuk bertemu dengannya. Entahlah,mungkin aku rindukan suara dan wajahnya setelah sekian lama. Dia bersetuju. Dan aku jadi gembira tiba-tiba. Langkahku untuk pulang ke rumah jadi ringan saat itu. Sedang aku tersenyum sendirian, aku terlihat kelibat seseorang yang amat aku kenali. Dia sedang berbicara di dalam telefon.

"Kau kat mana ni?" Terdengar suara Iqbal di dalam talian. Orang itu turut sama menggerakkan bibirnya. Benarkah itu Iqbal? Tapi...mengapa dia berjalan berpimpin tangan dengan sahabatku, Maria? Aku jadi kaku tiba-tiba. "Helo, Sarah! Kau dengar tak ni?" Terdengar lagi suaranya di talian. Tapi saat itu, aku tidak mampu lagi untuk berkata apa-apa. Lidah ini kelu sekali untuk menjawab segala pertanyaannya. Tanpa sedar, air mata mengalir di pipi yang semakin memerah ini..

Sungguh aku tidak pernah perasan wujudnya rasa cinta di antara dua sahabat karibku. Maria tidak pernah membicarakan tentang lelaki idamannya, jauh sekali mahu bercakap tentang Iqbal. Iqbal juga begitu. Tiba-tiba sahaja mereka muncul di hadapanku sebagai pasangan kekasih. Sebagai seorang sahabat, aku mahu benar merasa gembira di atas penyatuan dua hati ini, tapi sungguh, aku tidak mampu. Hati ini terasa pedih sekali setiap kali melihat kemesraan mereka. Waktu itu air mata terasa begitu murah buatku. Namun atas dasar persahabatan, aku gagahkan diri untuk tersenyum apabila bertemu dengan mereka. Terasa seperti patung bernyawa tiap kali aku harus berlakon di hadapan dua sejoli ini.


Aku cuba untuk melupakan Iqbal setelah aku tahu dia kini milik Maria. Pernah aku cuba keluar dengan lelaki lain. Tapi aku tidak dapat mengelakkan diri daripada membandingkan mereka dengan Iqbal. Sukar benar mahu melupakan layanan mesranya terhadapku. Segala kenangan aku bersamanya masih kekal sebagai memori paling indah buatku. Aku terus jadi begitu sehinggalah..


"Sarah, Maria accident..." Perlahan sekali suaranya di dalam talian. Terdengar esak tangis di hujung bicaranya. Aku hanya mampu mengucap panjang sambil kaki pantas melangkah menuju ke kereta. Di dalam hati aku hanya mampu berdoa moga-moga Maria selamat. Sampai di hospital, Iqbal kulihat berada di suatu sudut. Dia terduduk di situ sambil terus menangis. Melihat dia begitu, kerongkongku terasa ketat. Ya Allah, apa terjadi kepada Maria? Setelah hampir 5 minit aku berada di hadapannya, Iqbal mendongak. " Dia koma.."


***

Sehari, sebulan, setahun berlalu pergi..namun Maria masih tidak mahu membuka matanya. Entah apa agaknya yang dia mimpikan. Mungkin mimpi yang sangat indah, sehingga dia masih tidak mahu bangkit daripada lena panjangnya. Aku melawat Maria hampir setiap hari, memandikannya, menggantikan bunga di dalam pasu dan bercerita kepadanya. Setiap kali itu juga aku bertembung dengan Iqbal. Lama-kelamaan, kami jadi rapat semula, seperti di alam sekolah menengah dahulu. Dia menceritakan hampir semua perkara kepadaku. Dan secara tidak sedar, perasaan sayangku kepadanya kembali hadir. Namun aku sedar kedudukanku. Dia hanya sahabat baik dan akan kekal menjadi sahabat baik sampai bila-bila.

Lalu bila satu hari dia duduk di salah satu bangku hospital sambil memegang kad merah jambu yang amat kukenali, aku jadi hairan. Mengapa tiba-tiba sahaja dia mengingatkan aku kepada kenangan 1 April itu?

"Aku..baca balik apa yang kau tulis hari tu.." Kemudian dia tertawa kecil "I'm so stupid..forgive me.." Mata sayu itu memandang aku dengan penuh rasa bersalah. Dia tahu! Setelah sekian lama kad itu berada di dalam simpanannya, akhirnya dia faham isi hati aku. Aku jadi bingung. Tidak tahu apa yang harus kulakukan seterusnya. Sedang aku berusaha mencari kata-kata, dia bingkas bangun. Tangan sejuknya memegang tanganku. "Let's go back to where it should start.." Dan sekali lagi, air mata ini tumpah..

Benar manusia ini tamak. Walau bagaimana sekalipun mereka cuba untuk tidak mementingkan diri sendiri, perasaan itu tetap wujud di dalam diri masing-masing. Mereka mahu segala-galanya yang terbaik buat diri mereka. Dan bagi aku, Iqbal adalah yang terbaik buatku. Lalu bila dia menghulurkan kasihnya, aku jadi tamak. Aku tewas dengan kehendak diri aku sendiri.

Iqbal adalah kekasih yang sempurna. Dia memberikan hampir segala-gala yang aku idamkan. Kami jadi kekasih paling akrab sejak hari itu. Namun tidak pernah sehari pun tidurku nyenyak. Setiap kali dia memandang aku dengan penuh kasih sayang, aku akan lihat bayangan Maria di dalam matanya. Begitu juga setiap kali kami keluar bersama, Maria ada di mana-mana. Nyata aku terperangkap di antara kasih Iqbal dengan persahabatan Maria.
Pernah satu petang aku bertanya kepada Iqbal, bagaimana sekiranya suatu hari nanti Maria sedar daripada koma? Dia tidak menjawab, sebaliknya hanya mendiamkan diri. Sesekali terdengar dia mengeluh berat. Tahulah aku bahawa dia juga merasa bersalah dengan hubungan ini. Sudahnya, kami masing-masing terdiam. Petang itu terasa begitu hambar sekali buat kami.


Suatu hari, waktu aku melangkah ke dalam hospital dengan membawa sejambak bunga mawar putih buat Maria, hatiku jadi gundah tiba-tiba. Aku mempercepatkan langkahku, takut sesuatu yang buruk berlaku kepada Maria. Sampai di depan pintu biliknya, kulihat ahli keluarganya sudah ramai berhimpun. Ibu Maria pantas memelukku sebaik sahaja dia melihatku. "Maria dah sedar! Syukur Alhamdulillah nak..berkat doa kita semua, Allah dah sedarkan dia daripada koma..!" Perkataan ibu Maria bagaikan terawang-awangan di udara. Aku tidak dapat mendengar butir bicaranya selepas itu, kerana yang aku lihat di hadapanku ketika itu adalah Iqbal dan Maria. Mata bundar Maria digenangi air sambil dia erat memeluk Iqbal yang membelakangi aku. Walau aku tidak dapat mendengar bicara Maria, pergerakan bibirnya jelas mengungkapkan "I love you" berulang kali. Saat itu, tidak mampu lagi untuk aku mengalirkan air mata kerana aku sudah tahu, hari ini akan tiba bila sampai waktunya. Bagai dalam cerita dongengan kanak-kanak Sleeping Beauty, Maria akan sedar dari lena panjangnya dan orang pertama yang dicarinya sudah pasti Putera Iqbal. Lalu siapa agaknya aku di dalam kisah ini? Dari situ barulah aku sedar, tidak ada tempat bagi orang ketiga di dalam mana-mana rangkap cerita. Lalu dengan berat, kaki ini melangkah meninggalkan mereka. Beberapa tapak melepasi bangunan hospital, sejambak mawar putih itu masih kugenggam erat..

Malam itu telefon bimbitku dihujani panggilan berulang kali oleh Iqbal. Setelah hampir 10 missed call, aku menekan butang hijau. Perlahan kudekatkan telinga ke gagang telefon. "Sarah, kenapa awak tak angkat telefon?" Suara sayu itu terasa bagai sembilu menikam jantung ini berkali-kali. Aku menangis semahunya di dalam talian. Iqbal jadi kaget. "Let's tell her the truth. She'll know sooner or later." Pandanganku jadi kabur. Aku tahu aku tidak cukup kuat untuk berhadapan dengan Maria dan menyatakan kebenaran. Tidak dapat aku bayangkan perasaannya apabila dia mengetahui perkara yang sebenar. Baru pagi tadi wajah lembutnya dihiasi cahaya kegembiraan, sanggupkah aku memalapkannya dengan berita cinta aku dan Iqbal?


"Iqbal, saya tak sanggup.." Suaraku bergetar, antara dengar dan tidak. Namun aku pasti Iqbal mendengarnya kerana selepas itu, dia merayu-rayu di talian.

"She's my past, Sarah! You're my present and also my future! Tolong, jangan buat saya macam ni-" Tak sanggup lagi mendengar walau sepatah kata darinya, aku segera mematikan talian. Di atas katil, aku terus menangis dan menangis..

Pagi esoknya, Iqbal sudah tercegat di hadapan apartmentku. Rambutnya kusut masai dan dia masih memakai baju yang dipakainya semalam. Aku menguatkan diri untuk melangkah ke hadapan, menghampirinya.

"Saya tak patut mendampingi dua orang wanita dalam satu masa, tapi jika saya harus memilih, saya akan pilih awak. Awak tahu kan?" Perkataannya satu persatu menghiris hati ini. Di hadapannya, sekali lagi aku menangis. Namun belum sempat aku mahu mengeluarkan kata-kata, telefon bimbit Iqbal berbunyi. Air mukanya berubah serta merta sesudah itu. Aku tahu benar siapa gerangannya di hujung talian. Maria. Nama itu membuatkan kaki ini pantas meninggalkan Iqbal. Dia terkial-kial mengejarku yang sudah berada di dalam kereta. Swift biru memecut laju meninggalkan perkarangan apartment. Melalui cermin pandang belakang, aku melihat Iqbal. Dia masih berdiri di situ. Jelas terlihat riak kecewa di wajahnya. Dan selepas itu aku tidak sanggup lagi untuk menoleh ke belakang.

Menjelang tengah hari, baru aku tersedar sesuatu. Hari ini 1 April. Bermakna hari ini, genap satu tahun aku memberikan kad merah jambu itu kepada Iqbal. Masih aku teringat saat-saat aku mahu memberikan kad itu kepadanya. Gementar sungguh rasa hati ini. Tanpa sedar, aku tersenyum sendiri. Tak kusangka,sekeping kad itu telah menyatukan kami.

Memori lama tiba-tiba mati di situ. Aku segera membuka laci dan mengeluarkan satu sampul. Di dalamnya, ada sekeping kad merah jambu. Kad kosong itu lalu kuiisi dengan perkataan. Satu demi satu.

Iqbal,
With one pink card, I started our relationship. And with one pink card, I'll end up this romance. She certainly deserves better, Iqbal. I'm so sorry and thank you for everything. Thank you for every sweet memory you gave me. I'll cherish each and every one of them until the day I die.
Happy April Fool,
Sarah.

Tepat satu tahun dahulu, dia pernah mentertawakanku saat aku memberikan kad merah jambu kepadanya. Dia menganggap aku hanya mahu berjenaka. Benar. Kini aku sedar, ini semua sememangnya hanya satu jenaka. Hubungan ini adalah satu jenaka.

Dan kali ini, aku benar-benar berharap dia dapat ketawa bersama-samaku.

 
You can follow any responses to this entry through the Contac Us. You can leave a response.