Cerpen : Keranamu Azizah

Cerpen : Keranamu Azizah
Nama Pena : RON APILZA

"Sejak bila kau suka dengar lagu tu?"


"Sejak aku terjatuh cinta dengan sorang awek ni…"


"Siapa dia? Aku kenal ke?"


"Tak."


"Macam mana aku boleh tak kenal perempuan yang kau suka?"


"Dia lain."


"Lain macam mana? Tak ada hidung ker?"


Esqan Kamil ketawa terbahak-bahak mendengar pertanyaan rakan sekamar dan sekepala iaitu Dinzly Akram. Manakan tidak, pertanyaan yang tidak logik langsung.


"Kau boleh guna otak sikit tak kalau cakap. Sedap mulut jer…"


"Habis tu…semua yang aku tanya kau jawab ‘tak’ memanjang. Mana aku tak boring." Dinzly mempertahankan diri.


"Dia perempuan, seorang wanita…gadis yang amat mempesona."


"Wah!! Hebat pujian kau pada dia. Aku nak kenal jugak yang mana satu awek yang kau berkenan tu. Nanti kenalkan pada aku ya." Dinzly amat berharap.


Esqan tersenyum sumbing, kemudian berpura-pura mengawal sengihnya pula.


"Kalau ketawa pun dah ikut gaya 60-an, sah kau memang parah! Kau kena demam ‘a-go-go’ ke?"


"Entahlah Dinzly, aku rasa macam aku hidup dalam tahun tersebut. Segala yang aku lakukan jadi lain. Memang aku dah gila!!" Esqan menjerit pada ayat terakhirnya.


Dinzly nyaris tergolek mendengarkan jeritan bak serigala dari mulut Esqan yang biasanya amat siuman orangnya. Dia menggoncang tubuh Esqan dengan sekuat hati bagi menyedarkan Esqan dari dunia halusinasinya.


"Sakitlah hoi! Aku okey. Saja test power tadi…"


"Aku ingat kau betul-betul biul. Boleh aku panggilkan orang Tanjung Rambutan."


Dinzly mengibaratkan Esqan patut disumbatkan ke hospital sakit jiwa yang terkenal itu. Rupa-rupanya Esqan hanya berlakon, terkena lagi aku rupanya. Getus Dinzly di dalam hati.


"Macam mana orangnya? Cantik tak? Ada macam rupa Maya Karin"


"Minah Karen tak mainlah. Ada kau sama kan dia dengan perempuan macam tu…"


"Hoi Esqan, kau memang sengal. Maya Karin tu artis terkenal kat Malaysia. Bukannya minah kilang yang kau maksudkan tu."


"Ya ker? Itu macam ka? Mana aku tahu. Kau pun satu. Aku kan baru balik dari overseas, belum update lagi pasal artis kita."


Dinzly ketawa mengiyakan kata-kata Esqan tadi. Tetapi yang peliknya cepat pulak dia terjatuh cinta dengan awek yang menjadi bahan perbualan mereka sekarang. Pelik bin ajaib si Esqan ni! Dinzly menggaru kepalanya yang tidak gatal.


"Umur aku sekarang berapa yek?"


"Eh! Kau tanya aku pulak. Aku bukan mak bapak yang lahirkan kau."


"Aku ingat nak kahwinlah…"


Mendengarkan itu Dinzly terus ketawa gelihati. Entah dah sunat atau belum si Esqan ini, berangan pula nak kahwin.


"Kau kecik lagi, study baru nak mula dah gatal nak kahwin. Dah sunat ke belum?" soal Dinzly terus terang.


"Yang itu lama dah dulu…masa belum pergi overseas."


"Dah lama ke kau kenal awek tu?!"


"Dah."


"Berapa tahun?"


"Dua…"


"Dua tahun? Lama tu…" Dinzly cepat menyampuk.


"Dua hari lah."


"Hah?!"




Sekali lagi Dinzly ketawa gelihati sehingga berguling-guling di atas tilam kerasnya. Sehingga sakit-sakit badannya dek asyik mentertawakan Esqan yang berangan tak ingat dunia. Kalau macam ini selalu boleh pecah usus dibuatnya, fikirnya sambil menyambung ketawanya.


Esqan tetap selamba walaupun ditertawakan separuh mati.


***


"Cari apa?"


"Cari awek tu. Selalu macam ni dia kat situ."


"Ini kawasan budak ABIM selalu berkumpul. Takkan kau jatuh cinta dengan…"


"ABIM tu apa?"


"Angkatan Belia Islam Malaysia. Budak-budak U yang islamik dan cenderung ke arah memperjuangkan maruah Islam. Aku segan dengan dia orang beb!"


"Kenapa pulak?"


"Entah."


"Jadi kau…"


"Ya. Nama dia Azizah…"


"Itu yang kau pulun nyanyi lagu Azizah pagi petang siang malam tu. Ha…ha…" Dinzly ketawa besar.


"Mana kau belajar lagu tu. Cepat betul masuk…"


"Bapak aku minat lagu-lagu lama. Tu yang aku tahu ada lagu ni…"


"Ohh…" Dinzly melopong tidak faham.


Tidak faham bagaimana seorang budak lelaki yang begitu sukar menyesuaikan diri beberapa minggu lalu bertukar menjadi begitu mudah berubah hanya kerana telah jatuh cinta kepada seorang wanita yang jauh berbeza dunianya. Butakah cinta?


"Dia kenal kau tak, Qan?"


Esqan menggelengkan kepala. Lagi satu penyakit budak ini. Fikir Dinzly sambil berjalan mengekori Esqan yang hendak pergi dari situ setelah menunggu hampir setengah jam.

"Macam mana kau boleh tahu dia suka kau atau tak?"


"Aku agak je…"


"Hei come on lah. Cinta mana boleh di agak-agak. Kau mesti firm. Tepat. Kalau dia sudah berpunya, melepas kau!"


"Ya tak ya jugak. Kenapa aku tak terfikir langsung."


***


Jaja mengemas bilik Dinzly yang berselerak. Sepupunya yang seorang ini memang tidak pandai berkemas. Pakaian kotor dan bersih bercampur aduk sehinggakan longgokan kain tersebut nampak membukit. Buku-buku yang terbuka, di tutup dan di simpan di rak yang tersedia. Beberapa keping album gambar juga di susun di tempatnya. Tiba-tiba sekeping gambar terjatuh di kakinya.


Matanya terbeliak tatkala terpandang wajah di dalam gambar tersebut. Dia teringat bagaimana lelaki di dalam gambar tersebut terhendap-hendap sewaktu mesyuarat AJK ABIM berlangsung di asrama beberapa hari lepas.


Mungkin inilah orangnya yang diceritakan oleh Dinzly. Anak mat saleh celup yang baru pulang ke tanahair.


‘Not bad jugak.’ Desisnya sendirian.


Jaja meneruskan kerja-kerja pembersihan di bilik Dinzly yang sebelumnya umpama kawasan longgokan sampah kepada padang jarak padang terkukur! Pasti Dinzly akan berterima kasih kepadanya nanti.


***


"Hoi! Sapa usik barang-barang aku hah?!"


Jaja sedang menolong mak ciknya di dapur ketika telinganya terdengar bunyi bising di bilik Dinzly. Dia tidak pasti apa yang dibebelkan oleh Dinzly sehinggakan suaranya begitu tinggi. Dinzly yang tinggal di asrama universiti, seminggu sekali akan pulang ke rumahnya.


"Kenapa tu?"


"Tak tahulah mak cik. Jaja pergi tengok sekejap."


Jaja memanjat tangga ke tingkat atas untuk meninjau apa yang berlaku. Sebaik sampai di muka pintu, dilihatnya merah padam muka si Dinzly. Tidak tahu apa yang dicarinya.


"Kau kenapa?"


"Siapa kemaskan bilik aku?" tanyanya balik tanpa menjawab pertanyaan Jaja tadi.


"Aku."


"Apa kau dah buat?"


"Aku tolong kemaskan."


"Kemas atau buang? Mana barang-barang aku yang kat atas katil?"


"Aku kemaskan. Semuanya aku letak balik kat tempat asal. Salah ke?"


Jaja menyoal balik dengan nada lebih tegas. Matanya yang bulat bersinar yang diwarisi dari darah Arab di sebelah bapanya mencerlung ke arah Dinzly mengharap pengertian.


Dinzly terduduk di tepi katil. Menyesal pula memarahi sepupu yang membantu membersihkan kamarnya. Renungan matanya begitu mendamaikan dan mempersonakan.


‘Aik! Kenapa dialog aku dah macam Esqan. Pelik! Pelik!’


Akhirnya Dinzly tersenyum kelat dan mengucapkan terima kasih kepada Jaja kerana membersihkan kamarnya.


"Eh! Jaja…kau dah ada boyfriend?"


"Mana boleh jawab. Rahsia."


"Kalau kau masih kosong, aku nak kenalkan pada mat saleh celup tu. Kau nak tak?"


"Nanti aku fikirkan."


"Bolehlah…" pujuk Dinzly bersungguh-sungguh.


"Paksa orang pulak!"


***


"Dapat cari dia tak?"


"Tak dapat."


"Curi gambar pakai handphone pun tak pandai. Itu belum lagi dah keluar berdua, aku rasa kau mesti gelabah maut punya." Usik Dinzly.


"Macam mana aku nak tangkap gambar dia, dia jalan tunduk je. Tak kan aku nak mencangkung bawah tangga, malulah orang tengok."


"Ya tak ya jugak!"


Inilah masalahnya berkawan dengan Esqan Kamil. Dia asyik mahsyuk jatuh cinta, aku yang jadi mangsanya. Aku pulak yang lebih risau dari dia. Bebel Dinzly di dalam hati.


"Lain kali kita cuba cara lain…"


"Okeylah." Berat sahaja perkataan yang keluar dari mulut Esqan.


"Kelas dah nak mula. Jomlah cepat."


Hari itu misi mereka untuk mendapatkan gambar Azizah gagal lagi.


***


Kerana minatnya kepada Azizah yang begitu mendalam, Esqan sanggup menunggu wanita itu lalu di tempat biasa dan curi-curi melihat kelibatnya. Baru diketahui gadis bertudung labuh itu mengambil kursus Usuluddin. Satu kursus yang sangat asing baginya. Apakah Usuluddin? Nanti akan ditanyakan kepada Dinzly atau mencari maklumatnya di internet.


"Kau dari mana?"


"Tempat biasa."


"Dapat?"


Soal Dinzly menanyakan jika Esqan dapat menangkap gambar Azizahnya.


"Gagal lagi."


"Baik kau lupakan saja."


"Tak boleh. Makin lama makin sayang."


"Dunia kau dan dia sangat berbeza. Macam langit dengan bumi."


Esqan mengiyakan kata-kata Dinzly itu. Telah hampir enam bulan berusaha, tetapi masih gagal melaksanakan hajatnya.


"Aku nak cakap dengan kau sikitlah. Tapi kau jangan marah."


"Cakaplah."


"Kau kenal tikar sembahyang?"


"Mestilah.."


"Kau bersolat?"


"Kadang-kadang…"


"Kau puasa tak masa kat overseas?"


"Puasa. Kalau tak tahan, aku makan."


"Cuba kau mengucap dua kalimah syahadah."


"Sahaja aku naik saksi bahawa …"


Dinzly ketawa terbahak-bahak tetapi kemudian berhenti tiba-tiba. Kasihan melihatkan wajah Esqan yang penuh luhur.


"Cuba mengucap di dalam bahasa Arab."


Terkial-kial Esqan mencuba sehingga akhirnya dia berjaya menghabiskan kalimah syahadah itu seperti dikehendaki oleh Dinzly.


"Syabas. Kau boleh berkawan dengan Azizah. Aku rasa kalau dia tahu perubahan yang kau lakukan ini, pasti dia bangga."


"Boleh kau kenalkan aku dengan dia?" mata Esqan bersinar-sinar.


"No problem."


"Kenapa tak cakap dari awal."


"Nak kan sesuatu bukan boleh dengan cara mudah. Mesti berusaha dulu. Baru ada ‘kick’!"


Esqan mengangguk bersetuju dengan pendapat Dinzly itu.


***


"Hello Dinzly. Aku dah sampai."


Dinzly yang ternampak kelibat Esqan di luar rumahnya segera meluru keluar.


"Shh…beri salamlah."


"Assalamualaikum…"


"Wa’alaikumussalam…"


Ibu dinzly menyambut kedatangan Esqan di muka pintu. Dia mempersilakan tetamunya itu masuk. Dinzly segera mendapatkan Esqan yang berpakaian agak pelik pada pandangannya.


"Kenapa pakai macam ni?"


"Salah ke?"


"Tak salah. Tapi sapa yang suruh kau pakai macam ni. Kan tengahari buta ni. Tak panas ke?" soal Dinzly menahan tawa.


"Ayah aku."


"La…patutlah"


"Aku jemput kau makan tengahari, bukannya kenduri pengantin. Siap bersamping lagi…huh! Tak faham aku."


Esqan ikut ketawa gelihati melihatkan penampilan dirinya sendiri. Tidak pernah seumur hidup dia berpakaian begitu sewaktu berada di luar negara selama berbelas tahun dahulu. Sesekali pakaian tradisional itu disarung ketika musim perayaan.


"Dinzly…ajak kawan makan sekali. Dah siap semuanya ni hah."


"Okey bu..."


Esqan menyusul Dinzly ke ruang makan. Dia terpempan dan nyaris pengsan melihatkan kewujudan wanita yang selama ini dikejarnya. Azizah yang dipuja siang dan malam sudah berada di depan mata. Tanpa sedar, kain sampingnya terburai di hadapan semua orang.


"Itulah…pakai tak padan-padan."


"Aku gabra beb! Macam mana dia boleh ikut kau ke sini."


"Dia cousin aku la."


"Patutlah."


Jaja memandang Esqan dan Dinzly silh berganti. Entah apa yang dibincangkan, dia tidak pasti. Dengan cermat dia menuang air ke dalam gelas.


"Kau kenalkan aku pada dia lah. Cepat sikit."


"Ya…ya…"


Dinzly menggamit Jaja ke arahnya. Jaja datang mendekat.


"Kenapa?"


"Kawan aku nak kenal dengan kau. Dia ni Esqan Kamil."


Esqan memanjangkan tangannya untuk bersalaman tetapi Dinzly cepat-cepat menepis tangan rakannya itu.


"Tak boleh. Bukan muhrim."


Jaja ikut tersenyum. Tudung kepalanya dibetulkan sedikit.


"Saya Azizah."


"Yess!"


"Apanya yang ‘yes’?"


"Mana kau boleh tahu. Rahsia lelaki."


Jaja dan mak ciknya yang mendengar hanya tersenyum. Esqan berpendapathidangan tengahari itu di rasakan makanan paling lazat pernah dijamahnya apatah lagi makan semeja dengan Azizah.

-TAMAT-

 
You can follow any responses to this entry through the Contac Us. You can leave a response.