Cerpen : Selamat Ulang Tahun, Sayang

Cerpen : Selamat Ulang Tahun, Sayang
Nama Pena : haliza haliz

Hujan masih turun tiada hentinya. Sekali-sekala hati Nazrin tenang seolah hatinya disejukkan oleh air hujan yang turun membasahi bumi. Sejak pagi, rumah teres dua tingkat yang terletak di Jalan Permai itu tidak berpenghuni. Kata-kata Puan Reha iaitu bekas ibu mertuanya ternyata menyentuh perasaannya. Tergamak ibu mertua yang selama ini dianggap sebagai ibu sendiri itu menyuarakan hasrat ingin menuntut haknya ke atas harta peninggalan milik Allahyarham Hairi, suaminya.

Perkahwinan mereka selama dua tahun itu tidak dikurniakan walau seorang pun cahaya mata. Ini mungkin menyukarkan lagi dirinya untuk mempertahankan haknya sebagai isteri. Tiba di rumah, dia membuka pintu dan terus menuju ke ruang tamu. Gambar suaminya memeluknya di hadapan Eiffel Tower itu ditatapnya lama-lama.
"Abang tidak boleh tinggalkan Rin macam itu sahaja. Rin masih perlukan abang. Mana boleh abang tinggalkan Rin tanpa pesan apa-apa. Rin masih perlukan abang. Masih rindukan abang. Abang, seminggu abang menghilangkan diri. Tahu-tahu sahaja Rin terima berita kematian abang,"
Tangisan Nazrin semakin kuat. Dia mendakap gambar tersebut di dadanya.

Telefon rumahnya berbunyi tetapi Nazrin segera mencabut wayarnya. Telefon bimbitnya berbunyi tetapi dia terus membiarkannya. Di skrin telefon terpampang gambar adik kandungnya, Izura atau nama panggilan Zura. Mungkin Zura ingin mengetahui keadaannya sekarang. Keakraban mereka adik-beradik tidak dapat dinafikan. Sejak kematian ibu bapa mereka, mereka bagai simbiosis. Saling memerlukan. Tidak boleh berpisah dan dipisahkan.
"Hello, Zura. Kakak sihat. Kakak okay. Zura tidak payah datang, dik. Ya, kakak okay. Mak? Biasalah itu. Marah-marah itu biasalah. Mungkin masih terkejut dengan kematian anaknya. Yalah, baru dua hari abang Hairi tinggalkan kita. Jadi, emosi dia masih tidak stabil,"
Telefon bimbitnya segera dimatikan. Dia tidak mahu diganggu pada saat begini. Dia mahu ketenangan.
"Kaulah pembawa sial. Gara-gara kahwin dengan kau, anak aku mati. Dulu, ingat ke tidak, apa mereka kata? Ibu bapa kau pun mati kerana sial kau. Aku tidak peduli, aku akan tuntut harta anak aku. Sebagai ibu, aku ada hak,"
Kata-kata Puan Reha itu masuk. Nazrin membaringkan dirinya di atas katil.

Azan Maghrib berkumandang. Nazrin bagai dikejutkan oleh sang malaikat yang mungkin mengingatkan dia menunaikan tanggungjawabnya sebagai hamba Allah. Nazrin bangkit sambil mengesat matanya. Walaupun sedikit mengantuk dan malas, tetapi dia rasa meninggalkan solat pada waktu begini adalah bukan perbuatan yang baik. Allah sahaja yang boleh menguatkan dia pada saat ini. Selesai menunaikan solat Maghrib, dia duduk berteleku di atas sejadah sambil beristighfar. Dia membacakan surah Yassin untuk disedekahkan kepada orang tuanya dan suaminya. Selesai membacanya, dia menunggu azan Isyak pula. Secara tidak sengaja, matanya terpanah ke arah sesuatu di bawah meja soleknya. Dengan hati yang penuh tanda tanya, terus dia mencapainya.

Azan Isyak berkumandang tetapi, minatnya kini pada sampul surat berwarna pink itu. Dengan perasaan tidak sabar tetapi tenang, dia membuka sampul surat yang dilekatkan itu. Dia membaca satu persatu ayat yang ditulis tangan oleh Hairi.

Bismillahirahmanirrahim,
Assalamualaikum dan selamat sejahtera sayangku……, Selamat ulangtahun, sayang. Hari ini genaplah dua tahun perkahwinan kita. Abang tahu, tentu sayang ternanti-nanti apakah hadiah yang bakal abang sampaikan pada tahun ini. Maaf sayang, pada tahun ini, tidak ada hadiah buatmu melainkan surat ini. Sayang, tahun ini mungkin tahun dugaan buat kita. Kita kurang bercakap kebelakangan ini. Abang sedar, abang kurang berkomunikasi dengan sayang kebelakangan ini. Tetapi, sayang tetap berusaha untuk mengusik hati abang.

Sekali-sekala tidak dapat dinafikan sayang. Abang terhibur dengan usikan manja sayang. Tetapi, sayang maaf abang bukan mahu membenci sayang tetapi ada sesuatu yang mengguris dan menyentuh perasaan abang kebelakangan ini. Sayang, abang ingat lagi. Ketika kita mula-mula bertemu dahulu. Janganlah kata sayang sudah lupa. Sayang berjalan di hadapan perpustakaan bersama rakan-rakan sayang dan nyata sayang paling menyerlah antara mereka. Dengan bertudung hijau dan fesyen ala Wardina, menyebabkan tumpuan abang terhenti seketika. Tidak pernah abang melihat gadis secantik sayang di sekitar Universiti Teknologi Malaysia pada waktu itu. Sayang ambil jurusan yang sama dengan abang iaitu seni bina atau biasa dipanggil "architecture".

Cuma bezanya, sayang ialah junior dan abang ialah senior. Abang tidak tahu cara hendak dekati sayang kerana sayang terlalu sukar untuk didekati. Sayang lebih selesa mendiamkan diri ketika abang menyapa sayang dan rakan-rakan. Rakan-rakan sayang ketika itu, kelihatan ramah dan selesa apabila abang menyapa dan ada antara mereka yang seolah seronok kerana mungkin menyangka abang meminati salah seorang dari mereka. Sayang, lirikan mata sayang ketika itu menyebabkan abang rasa sayang sedikit kurang percaya pada keikhlasan abang menyapa. Kawan baik sayang, Tasha kelihatan beria bercakap dan bermesra dengan abang. Mungkin sayang menyangka abang sendiri pun selesa dengan Tasha, jadi sayang meminta diri bersama rakan lain untuk beredar.

Sayang, sejak itu abang dan Tasha macam belangkas. Ke sana ke sini berdua sahaja. Kadang-kadang abang terlintas mahu bertanya tentang sayang tetapi abang malu. Tasha pula sering menceritakan kebaikan sayang serta kegemaran sayang. Mungkin sayang tidak tahu, tetapi setiapkali tarikh 14 Mei, abang akan belikan kad untuk diberikan kepada sayang. Tetapi, abang tidak tahu cara hendak memberinya. Sering juga abang cuba untuk menyampaikannya melalui Tasha tetapi seolah tiada kesempatan.

Suatu hari, abang cuba beranikan diri dengan membeli bunga untuk sayang. Sayang mungkin ingat lagi, bagaimana sayang terkejut menerima jambangan bunga dari tangan abang sendiri. Tetapi, sayang menolaknya kerana sayang kata Tasha sukakan abang. Sayang kata, sayang tidak mahu jadi perampas. Pantas, abang ceritakan apa yang berlaku kepada Fendi, rakan sebilik abang. Fendi kata, dia akan cuba Bantu selesaikan masalah abang. Tetapi, sejak itu abang lihat, Fendi pula kerap bersama sayang. Abang cemburu yang amat. Abang cuba minta penjelasan dari Fendi tetapi ternyata Fendi seolah berdalih dan mengelak setiapkali jumpa abang. Malah, Fendi jarang balik bilik. Keadaan itu membuatkan abang tidak boleh fokus pada pelajaran. Satu semester perit bagi abang. Mujurlah CGPA abang tidak jatuh pada semester itu.

Abang cuba buang sayang dari ingatan abang. Tetapi, abang gagal. Abang rasa, sayanglah paling abang mahu. Abang tidak sanggup kehilangan sayang, Suatu hari, abang temui Tasha yang kebelakangan ini juga dingin dengan abang. Tasha kata, dia tidak marah jika abang tidak sukakan dia. Tetapi, dia marah dan tercabar apabila berasa diri dipergunakan. Abang mohon maaf padanya dan minta Tasha supaya jelaskan segalanya kepada sayang. Tetapi, hati sayang bagai ais. Sayang sukar hendak percaya lagi. Tambah lagi,sayang cakap abang hanya mahu ambil kesempatan atas kekurangan sayang yang naïf. Sayang, abang tidak rasa begitu. Abang sukakan sayang sebab diri sayang.

Suatu hari, abang pulang dari kelas dan melihat bilik abang kosong. Abang diberitahu Fendi sudah bertukar bilik. Abang beranikan diri membuka lacinya dan terjumpa diari berwarna hitam. Menyangka itu barang paling berharga, abang buka diarinya. Abang tahu, itu salah. Akhirnya, abang menemui sesuatu. Tidak disangka, dalam diam, Fendi meminati Tasha. Dia marah kerana abang seolah mempermainkan perasaan Tasha dengan memberinya harapan. Sedangkan niat abang bukan mahu sakiti Tasha tetapi sekadar ingin mengenali sayang menerusi Tasha. Sayang, Fendi juga menyuarakan hasrat ingin merosakkan kesucian sayang semata-mata ingin menyakiti hati abang. Mungkin ketika itu sayang tidak tahu betapa risau dan bimbangnya abang ketika itu.

Dengan pantas, abang temui Tasha dan menceritakan isi hati Fendi padanya. Abang mahu, Tasha halang Fendi. Nyata, setiap yang berlaku ada hikmahnya. Malam itu, kita berempat menjadi dua pasang kekasih yang baru hendak bercinta. Sejak itu, kita berempat sering ke sana ke mari berdua. Sayang, ingat lagi tak? Apabila Fendi memberitahu kita ibu bapa Tasha cuba halang mereka berdua. Kita berdua sama-sama simpati dengannya. Kitalah jadi penghubung cinta mereka dengan pergi ke kampung Tasha. Di sana, kita ceritakan kebaikan Fendi dan akhirnya ibu bapa Tasha bersetuju untuk tidak halang hubungan mereka berdua selagi tidak menjejaskan pelajaran mereka berdua.

Sayangku, Nazrin, abang masih ingat lagi kata-kata sayang. Sayang kata, cinta itu pengorbanan. Jangan berani berkata cintakan seseorang jika kita tidak sanggup berkorban. Kisah cinta Fendi dan Tasha menjadi inspirasi kita berdua. Nazrin, abang ingat lagi. Ketika itu, ibu sering bertanya tentang teman istimewa. Abang tahu, hasrat ibu ingin bermenantukan Nora iaitu anak gadis rakan baiknya dan rakan sepermainan abang semasa kecil. Semasa cuti semester, ibu cuba-cuba untuk mencucuk abang dengan memuji kebaikan Nora tetapi abang hanya biarkan kata-katanya. Bagi abang, Nora itu tiada cacat celanya tetapi hati abang sudah terbuka hanya untuk sayang. Kita sering saling balas-membalas sms dan menelefon. Abang tidak kisah sekiranya dalam masa satu hari abang terpaksa menambah nilai kad prepaid sebanyak 3 kali.

Masa terus berlalu. Suatu hari, ibu suarakan mahu tunangkan abang dengan Nora. Pada awalnya, abang tidak berani menolak. Abang redha sahaja. Dua bulan kita tidak berhubung kerana abang sering sibukkan diri dan mengelakkan diri dari berjumpa sayang. Suatu hari semasa cuti pertengahan semester, abang berjalan kaki seorang diri di Bangsar. Abang ternampak Nora berjalan sambil berpimpin tangan berjalan masuk ke kelab malam. Malam itu, terbuka hijab depan mata abang. Abang rasa bagai panah api masuk ke dalam jantung abang. Abang tidak sangka inilah calon pilihan ibu. Ibu mahu bermenantukan setan? Abang segera memberitahu ibu tentang hasrat ingin memutuskan tunang. Bila ibu tanya alasan abang, abang ceritakan segalanya. Sungguh abang tidak sangka, ibu kata ibu tahu perangai Nora. Tetapi, ibu mahu kahwinkan abang atas alasan status. Kata ibu, urusan perniagaan juga ada kena-mengena. Abang pun terus geram lalu meninggalkan rumah pada malam itu.


Mujurlah ketika itu, abang sudah tamatkan pengajian. Sayang pula, masih menuntut dan sedang bercuti semester. Abang ingat lagi, bagaimana terkejutnya sayang ketika melihat wajah abang di muka pintu. Sayang ketika itu tinggal bersama nenek sayang yang sedang uzur. Abang lihat, sayang semacam segan kerana bimbang apa kata nenda tersayang. Dua hari abang di rumah sayang. Abang mula rasa ketenangan. Sejadah yang telah lama abang tinggalkan, abang cuba serasikan. Dari sayanglah, abang belajar membaca Al-Quran. Sayang, abang ucapkan syukur tidak terkira. Abang rasa ingin melamar sayang suatu hari nanti. Abang pulang ke Kuala Lumpur dan cuba mencari kerja tetapi ternyata mana-mana syarikat abang pergi, semuanya bertanya tentang ibu abang, Puan Reha Abdullah. Nyata,ibu abang sudah menjaja cerita yang buruk-buruk tentang abang kepada rakan-rakannya. Abang gagal dapat tempat mana-mana syarikat. Akhirnya, abang bekerja sebagai tukang lipat pelan di salah sebuah firma arkitek kecil yang terletak di celahan Kampung Baru, Kuala Lumpur.

Abang mendapat berita pemergian nenda kesayangan sayang. Dengan hati yang cemas berbaur bimbang, abang ke kampung untuk menemui sayang. Nyata, ketika itu sayang bersama adinda sayang, Zura yang berbaju kurung putih saling berdakapan. Air mata sayang tidak henti mengalir. Hujan pada hari itu mengiringi pemergian nenda tersayang. Bagaimana mendung hari tersebut, begitulah mendung wajah sayang. Abang mendekati sayang dan melamar sayang. Selesai pengebumian, kita berdua dinikahkan….

Telefon bimbitnya berbunyi. Nazrin mendapatkan telefon bimbitnya yang terletak di atas katil. Dari Jamal, rakannya merangkap doktor peribadinya. Doktor tersebutlah yang menjadi rujukannya setiapkali ada penyakit datang menyerang.
"Assalamualaikum,"
"Waalaikumussalam," seraya Nazrin menjawab lembut.
"Naz, aku minta maaf. Tapi, hal ini penting. Aku kena cakap,"
"Apa dia, Mal? Jangan buat takut aku,"
"Erm….., I have surprise for you. Congratulation, Mrs. Nazrin, you would be a mother,"
"Betul ke, Mal? Kau jangan buat lawak. Bukan ke, aku ada masalah ke?"
"Siapa cakap? Naz, ini kuasa Allah SWT. Kau cuma disahkan sakit pangkal rahim. Hanya sakit. Bukan mandul. Lagipun, aku ke, mana-mana doktor ke bukan Tuhan. Kepakaran kami tidak mampu mengatasi qadha dan qadar Allah SWT,"
Nazrin mengucapkan Alhamdulilah. Tidak dia sangka, pening dan muntah-muntah yang dia alami sejak dua minggu lepas itu bukan demam atau muntah-muntah biasa tetapi itulah simptom yang menunjukkan dia tidak bersendirian. Ada seorang lagi insan akan bakal menemaninya.
"Alhamdulilah, moga-moga berita yang bakal kau sampaikan ini, akan meringankan beban aku sedikit. Moga-moga mahkamah akan bertambah simpatinya dengan aku. Kini, aku ada sebab kenapa aku kena pertahankan hak aku sebagai isteri,"
"Betul, Naz. Tetapi, kau kena kuat. Jangan kata-kata Puan Reha itu lemahkan semangat kau," pujuk Jamal lagi. Air mata Nazrin bertambah laju mengalirnya.
"Terima kasih, Jamal. Kaulah sahabat aku dunia, akhirat. Sampaikan salam aku pada Tasha,"
"Insya-Allah, kalau ada apa-apa, jangan segan dan malu untuk telefon kami. Pintu rumah kami sentiasa terbuka untuk kau,"
Nazrin mengangguk sambil mengesat air matanya.

Jam 6.30 pagi lagi Nazrin sudah bangun. Dia melihat sekeliling. Dia menuju ke bilik air dan menunaikan solat Subuh. Dia memanjatkan kesyukuran yang tidak terhingga kerana masih diberi peluang bernafas. Dia melihat ke arah luar. Hari hampir siang. Nazrin makin berdebar. Hari ini, dia akan menemui Jamal dan mahukan surat pengesahan tentang kehamilannya. Telefon bimbitnya berbunyi lagi. Panggilan dari Zura.
"Kak, kakak okay ke?" soal Zura dengan nada yang agak cemas.
"Okay. Kakak ada berita hendak beritahu Zura,"
"Berita?" soal Zura bertambah cemas suaranya. Mungkin adiknya itu bimbang sangat dengan keadaan dirinya yang semakin tidak menentu itu.
"Kakak hamil,"
"Betul ke?" soal Zura dan suaranya lebih riang dari sebelumnya.
"Betul. Itu yang Jamal beritahu kakak,"

"Alhamdulilah. Wah, jadi Zura akan dapat anak saudara," riang sungguh hatinya. Macamlah dia yang hamil.

Nazrin selesai mengikat tudungnya. Terdetik rasa syukur di hatinya kerana dikurniakan Allah rupa paras yang tiada cacat celanya.
"Aku bersyukur pada-Mu, Ya Allah. Kau elokkanlah akhlakku sepertimana Kau elokkan rupa parasku," doa Nazrin di dalam hati.
"Abang, Rin mengandung. Zuriat abang ada dalam rahim Rin. Insya-Allah, dia akan doakan abang. Biar sejuk sedikit kubur abang,"
Nazrin masuk ke dalam kereta Honda Camry milik arwah suaminya. Nazrin tidak sabar hendak melihat surat pengesahan kehamilannya. Tiba di klinik, manis sahaja senyuman yang dilemparkan Azuraidah, jururawat yang bertugas itu menyapanya.
"Doktor sedang merawat pesakit. Puan tunggu ya,"
Nazrin mengangguk. Nazrin tidak mahu membuang masanya. Dia mencapai lagi surat yang ditulis oleh suaminya. Dia ingin baca lagi tentang isi hati suaminya.

Abang bahagia sangat. Pada waal perkahwinan, segalanya baik dan lancer. Kita mulakan hidup walaupun sukar. Alhamdulilah, kita berdua mudah mendapat kerja. Prestasi kerja kita berdua pun sangat membanggakan. Tetapi, sayang ada yang cemburu dengan kebahagiaan kita berdua. Selepas pulang dari berbulan madu di Paris, ada suara sumbang yang mula bercerita tentang hubungan rapat sayang dengan Encik Syafiq yang merupakan salah seorang Pengarah di tempat kerja kita berdua. Encik Syafiq dikatakan begitu baik dengan sayang sehingga abang dengar khabar sayang belikan dia buah tangan yang mahal dari Paris.
Sayang, abang sedar dia masih bujang dan dari kalangan anak orang kaya. Cara dia memandang sayang juga berbeza semasa menyambut ulang tahun syarikat. Abang pula ketika itu, didatangi semula Nora yang mula menagih cinta abang. Nora kata, dia sudah insaf bahkan sedia jadi isteri kedua. Tetapi, abang tidak sanggup khianati sayang. Abang mula rasa ada yang tidak kena dengan perkahwinan kita apabila kita berdua menghadapi krisis kewangan beberapa bulan lalu.
Sejak itu, En. Syafiq sering menawarkan diri hulurkan bantuan. Bahkan, hubungan sayang dan dia semakin rapat. Abang mula rasa bersalah yang amat. Abang gagal menjadi suami yang baik. Kita sering bertengkar tentang bil elektrik dan air yang makin melambung. Sayang kata abang ego kerana tidak sanggup gunakan duit sayang untuk menampung kos rumah tangga.
Ibu pula, sekali-sekala datang mengapikan keadaan. Semalam,, abang jatuh sakit dan demam. Ibu datang bersama Nora dan mereka berdua menunjukkan sesuatu kepada abang iaitu gambar sayang bermesra dengan En. Syafiq dalam kereta. Abang rasa panas membakar. Apabila mereka berdua balik, abang berfikir panjang. Abang tidak sanggup dera sayang. Malam itu, kita berdua memadu kasih. Abang sedar, sayang layak dapat seseorang yang lagi baik. Abang sudah ambil keputusan. Abang mahu pergi dari sini. Abang bebaskan sayang. Bebaskan sayang tanpa syarat.
Selamat Ulangtahun Sayang, pergilah. Kau kini bersayap dan terbanglah ke mana kau suka. Terbanglah rentaslah langit cita-citamu. Walaupun berat, tetapi ungkapan ini abang harus lafazkan juga.
Nur Nazrin Binti Hadi, aku suamimu sebaik kau selesai membaca surat ini, gugurlah talak satu ke atas kau,"

Hairi

Tangan Nazrin bergetar. Nazrin teringat, ketika itu dia sedang membantu En. Syafiq yang tiba-tiba diserang sakit dada. En. Syafiq sekarang sedang terlantar sakit di hospital dan sedang bertarung maut.
"Ya Allah, abang,"
"Puan Nazrin, doktor…..,"
Azuraidah menghampiri Nazrin yang sudah terlentang di atas lantai.

 
You can follow any responses to this entry through the Contac Us. You can leave a response.