Cerpen : Cetra kehidupan

"Kenapa mandi sungai ni? Dah tak nak hidup? Tak takut kalau-kalau lemas? Dah puas hidup? Kalau mandi dengan orang besar tak apa, ni? Dengan tak pandai berenangnya. Kalau ayah tahu mandi sungai lagi sekali, jangan mengada-ngada nak balik rumah. Tidur aje kat situ!" marah ayah sambil melibas betisku dengan Baizura.
Aku hanya mengetap bibir antara sakit dengan marah. Antara malu dengan sakit hati. Semuanya bercantum. Aku dengan Baizura saling mengerling. Aku dengan Baizura akhirnya berjalan menuju ke rumah. Di belakang, ayah laju mengekori kami. Ditangannya tersisip ranting kayu yang melibas kami tadi dengan erat.
"Hah! Cepat lari! Ayah kat belakang tu. Cepat lari!" terdengar satu suara menyindir sambil ketawa kecil.
Segera pandanganku jatuh ke arah ayah yang berada di belakang. Wajah bengis ayah menyebabkan aku semakin kecut. Aku dengan Baizura semakin laju berlari. Kami segera menyusup ke bilik air.
"Pergi mana tadi?" tanya kak Min sambil menghulurkan kain tuala.
"Mana lagi kalau bukan sungai. Dah lewat macam ni tak ingat rumah. Nak hantu air tangkap la tu," sekali lagi ayah memberi momokan.
"Hantu air? Macam-mana tu, ayah?" aku sempat bertanya dari dalam bilik air.
"Hantu, lah. Dia hidup dalam air. Sebab tu tak boleh mandi lama-lama sangat. Tak boleh mandi air sungai kalau tak ada orang besar. Nanti hantu air ambil. Kalau hantu air ambil, tak bolehlah jumpa dengan ayah, dengan emak, dengan kak Min lagi."
Aku dari dalam bilik air hanya diam. Mula membayangkan wajah hantu air yang diceritakan oleh ayah sebentar tadi. Dek kerana takut, buat pertama kalinya aku naik dari bilik mandi lebih awal dari Baizura.
"Dah ambil air sembahyang?" tanya ayah mematikan langkahku.

"Min, bangun. Bangun! Sembahyang Subuh!"
Sayup-sayup aku mendengar suara ayah dan disusuli dengan suara emak. Aku membuka mataku perlahan. Berjalan dan menunggu giliran ke bilik air. Seorang demi seorang kakak dan abangku masuk ke dalam bilik air.
"Eh! Zam ke tu? Orang lain yang kita kejut, orang lain pula yang bangun. Zam, kenapa bangun?" soal ayah perlahan.
"Kan ayah yang kejutkan tadi." Jawabku setelah menguap.
Mataku terpejam rapat tetapi kakiku semakin melangkah ke depan. Tahu salah seorang daripada mereka sudah selesai mengambil air sembahyang. Sebaik sahaja selesai mengambil air sembahyang, aku cepat-cepat memakai kain sembahyang apabila melihat kak Zu dan ayah sedang menantiku. Apabila gagal mengikat kain sembahyang dengan sempurna, aku hampir menangis. Mujur kak Zu cepat-cepat membantu mengikat kain sembahyang tersebut.
Mataku hampir tidak terbuka sepanjang aku menunaikan solat Subuh hari itu. Tubuhku terhuyung-hayang. Sewaktu sedang membaca doa, aku melentukkan kepalaku di badan kak Zu.
"Kenapa panjang sangat doa ayah?" aku yang masih alang-alang bertanya.
Segera kak Zu meminta aku memperlahankan suara. Aku mengetap bibir kemas. Tahu dengan ‘kebesaran’ suara yang diberikan oleh Allah SWT kepadaku itu. Entah bila aku sendiri tidak tahu ayah sudah siap membaca doa. Matanya tajam mencucuk ke arahku. Kak Zu menyalami tangan ayah sebelum giliran aku. Nafasku semakin terkedu sewaktu ayah mencium pipiku setelah aku menyalami tangannya.

"Zam! Dah lewat ni. Tak nak tidur?" tanya ayah sewaktu aku asyik menonton televisyen dengan kakak dan abangku.
Kak Zu, kak Min dan kak Da memandang sinis. Aku tersenyum dengan ajakan ayah. Tanpa mempedulikan cerita yang menarik , aku segera menuju ke katil ayah. Walaupun aku mempunyai tiga lagi adik kecil, tetapi aku sering mencari peluang untuk tidur bersama-sama dengan emak dan juga ayah. Sebaik sahaja aku melabuhkan kepala ke atas bantal, ayah seperti biasa akan mendodoikan aku dengan cerita-ceritanya.
"Kalau ayah tak ada nanti, Zam datanglah ke kubur ayah nanti. Bacakan Al-Fatihah untuk ayah."
"Kenapa ayah cakap macam tu? Ayah dah nak mati ke?" lantang aku bertanya walaupun suara cuba dikecilkan.
"Kita mati ni tak tahu bila tarikhnya. Mungkin esok, mungkin lusa, ayah dah tak ada. Ayah dah mati. Emak pun macam tu. Entah esok, entah lusa, emak akan mati. Nanti, bila ayah dah tak ada, dah tua, jaga diri baik-baik tau. Ayah sayangkan Zam. Ayah sayangkan anak-anak ayah," air mataku mengalir hangat di pipi. Terasa takut untuk membayangkan apa yang diperkatakan oleh ayah.
"Bila ayah tak ada nanti, kita dah tak jumpa ke? Zam tak boleh jumpa ayah lagi?"
"Di akhirat nanti kita jumpa. Bukan dengan ayah je, dengan mak, dengan kak Zu, kak Min, kak Da, abang Ijat pun. Siapa lagi? Tok ayah pun Zam boleh jumpa kat akhirat nanti. Tapi, kat situ, Zam dah tak nampak ayah sebab Zam hanya akan fikir pasal dosa-dosa Zam aje. Jadi, Zam kena buat benda-benda baik. Jangan jadi budak jahat tau," pesan ayah.
Aku hanya menganggukkan kepala. Tidak membalas kata-kata ayah. Dari getar suara ayah, aku tahu ayah sedih. Air matanya bergenang. Mungkin ayah takut bila mengenangkan soal kematian.
"Kalau ayah boleh masuk syurga, senanglah hidup ayah. Tenang saja kat sana. Kalau ayah kat neraka, tiap-tiap masa ayah akan diseksa. Malaikat Munkar dan Nakir akan seksa ayah atas dosa-dosa yang ayah lakukan. Kalau Zam sayang ayah, Zam mesti tak nak ayah masuk neraka. Jadi, Zam banyak-banyaklah berdoa untuk ayah dengan emak nanti, ye?"
Aku menganggukkan kepala sekali lagi sambil air mataku semakin laju menitis di pipi. Aku menarik nafas panjang. Memeluk ayahku itu seerat yang mungkin. Walaupun wajahnya kelihatan bengis, namun sikapnya malam itu berlainan benar dengan sikap sebenarnya. Dalam hati aku berjanji. Aku berjanji untuk menjadi anak yang terbaik untuknya dan juga emak.

"Kau cakap baik-baik. Kau mencuri ke?" tanya ayah kasar.
Waktu itu ada dua orang berada di rumahku. Aku takut melihat wajah ayah yang marah dengan tindakan abang Ijat. Turut terpamer wajah malu di raut wajah tuanya itu. Aku memandang ke arah abang Ijat. Berharap abangku itu berkata bahawa dia tidak bersalah. Aku memeluk tubuh emak yang berada di belakang pintu.
Aku melihat mulut emak terkumat-kamit. Aku yang tidak mengerti apa-apa cuma berharap jika ayah tidak melakukan perkara yang berada di luar jangkaan. Aku kenal benar dengan sikap ayah. Pasti dia mengamuk sakan nanti.
"Baik kau jawab! Kau mencuri ke tak?" tanya ayah lagi.
"Tak!" jawab abang Ijat perlahan sambil menggelengkan kepalanya.
"Kalau tak, kenapa mereka cakap kau mencuri? Selipar yang kau pakai tu, kau curi kan?"
"Bukan! Ijat tak tipu. Selipar tu memang bukan selipar Ijat. Selipar Ijat, Jumi yang pakai. Dia suruh Ijat pakai selipar tu. Ijat pakai je la. Ijat tak curi. Ayah percayalah cakap Ijat. Ijat tak bohong. Ijat tak tipu," aku lihat abang Ijat merayu pada ayah.
Ayah menundukkan kepala. Memandang ke arah dua lelaki yang tidak berpuas hati dengan apa yang dinyatakan oleh abang Ijat. Sebaik sahaja mereka berdua meninggalkan rumah, ayah masuk ke dalam rumah mencari sesuatu. Aku memeluk emak sekuat hatiku. Sebaik sahaja berjumpa dengan apa yang dicari, dia segera mencari abang Ijat. Aku terkejut mendengar bunyi hanger yang diperbuat daripada plastik yang agal tebal itu patah.
"Betul ayah. Ijat tak buat. Ijat tak curi pun selipar tu. Jumi yang suruh Ijat pakai sebab dia pakai selipar Ijat. Ijat tak bohong, Ijat tak tipu, ayah!" abang Ijat merayu sambil menangis.
"Ayah dah pesan banyak kali, jangan berkawan dengan Jumi. Kenapa degil? Kalau nak berkawan, kawan dengan Usop. Kawan dengan orang yang perangainya macam Usop. Ayah dah pesan banyak kali, kenapa susah sangat nak ikut?" marah ayah.
Sekali lagi ayah ingin memukul kepala abang Ijat dengan hanger yang patah itu tetapi dihalang oleh emak. Abang Ijat segera memeluk emak. Takut dengan hukuman yang diberikan oleh ayah itu.
"Abang, cukuplah tu," ujar emak sambil meraba-raba kepala abang Ijat.
"Abang, cukuplah. Ijat dah beritahu kita hal yang sebenar. Dia tak mencuri. Percayalah kat dia. Tak mungkin dia nak menipu kita. Ya Allah, berdarah," aku lihat emak memeriksa kepala abang Ijat apabila tangannya terlihat ada cecair pekat merah di tangan.
"Min, pergi ambil ubat. Kepala Ijat berdarah ni."

"Cuba kau tengok ayah. Sekarang ni, siapa yang sara hidup kita? Kalau emak tak kerja jual ubat, tak adanya kita dapat hidup macam ni. Tengoklah, kita nak bayar yuran sekolah pun susah. Kau tak apalah dapat biasiswa, Zam. Aku ni?"
Aku hanya diam. Tidak tahu apa sebenarnya yang ingin disampaikan oleh kak Zu. Aku akui dengan biasiswa yang aku terima setiap tahun itulah, yuran sekolah dibayar. Malah, yuran sekolah kak Zu juga aku yang bayar kerana tidak mahu menyusahkan emak. Aku tidak mahu menyusahkan emak yang terpaksa menanggung 5 orang anak yang masih bersekolah.
"Aku kesiankan emak. Kalau emak tak kerja, kita nak hidup pun entah macam mana. Cuba kau tengok ayah. Setiap kali kita balik dari sekolah, dia buat apa? Kalau tak tidur dekat dapur kayu tu, tengok tv. Emak pulak? Pagi, kemas rumah. Dah siap, pergi jual ubat. Balik rumah baru dapat makan. Malam pula, anyam tikar. Aku tak tahu mana tugas dia sebagai seorang suami, atau seorang ayah sekurang-kurangnya."
Aku masih diam. Tidak membalas kata-kata kak Zu. Dalam diam, aku mula terpengaruh dengan kata-kata kak Zu. Pelbagai cerita dipersembahkan olehnya untuk diperdendangkan. Aku tidak membantah kerana aku sendiri kini kurang rapat dengan ayah, apatah lagi dengan emak. Rasa segan dengan mereka menyebabkan aku sering mengurungkan diri di dalam bilik air.
"Aku tak kisah kalau ayah nak rehat macam tu. Tapi, apa salahnya jika dia tolong emak sekali-sekala. Apa salahnya jika tolong emak angkat mengkuang, buang duri, layur mengkuang tu? Apa salahnya jika dia tolong emak buat pagar kebun kita tu sekali dengan kita? Setiap kali buat kerja sikit, mulalah mengeluh. Sakit itulah, sakit inilah. Macam budak-budak!" marah kak Zu.
Aku tidak menjawab seperti biasa. Walaupun sedikit sebanyak aku telah terpengaruh dengan kata-kata kak Zu, Aku akui kak Zu sebenarnya cuba untuk berkongsi perasaan denganku. Meluahkan ketidakpuasan hatinya itu. Aku tahu, kak Zu sebenarnya malu dengan rakan-rakannya yang mengejek dirinya kerana mempunyai seorang ayah yang menganggur di rumah, sekaligus menyerahkan tugas mencari nafkah kepada emak.

"Ayah tu dah tua. Esok lusa nanti, tak ada. Soal maut ni, bukan kat tangan kita. Tapi, kalau kita benci ayah, kalau kita tak sempat minta maaf dekat ayah, macam-mana tu? Emak tak suka anak-anak emak buat macam tu kat ayah. Ayah tu, tak pernah buat kerja berat-berat. Bila kahwin dengan emak, baru dia hidup susah. Buat kerja berat-berat. Dia tak biasa buat kerja berat-berat macam Zam tengok sekarang ni.
"Cuba Zam kira berapa umur ayah sekarang. Ayah dah tua, Zam. Dengan umur ayah sekarang, boleh ke dia buat kerja-kerja berat? Zam tak ingat apa pengorbanan ayah selama ni pada Zam? Pada keluarga? Zam jangan fikirkan salah ayah aje. Kekurangan ayah tu aje. Zam kena fikir pengorbanan ayah pada kita juga.
"Zam, emak hidup tak lama. Nanti, kalau emak pergi dulu, Zam bertanggungjawab jaga ayah tau. Sayang ayah sama macam Zam sayang emak. Ayah sayang Zam sangat-sangat. Bukan pada Zam aje, malah semua anak-anak ayah, ayah sayang."
Begitu lembut emak menasihatiku. Memberikan aku pandangan dari sudut yang berbeza. Kemudian, aku membandingkan diriku dengan dirinya. aku sama dengan ayah. Sikapku yang bila marah, aku akan jadi pendiam seperti ayah. Dan bila terlalu marah, aku akan jadi seperti emak. Aku mudah sakit bila bermandikan air hujan dan sakit segala urat dawai dalam badan bila mengangkat beban yang berat.
Aku sama dengan ayah yang aku jauhkan diri sejak aku menginjak usia akhir baligh. Aku sama dengan ayah yang pernah aku dendami kerana dihasut dengan kata-kata dan cerita yang dilemparkan oleh kak Min dan kak Zu. Aku marah dengan ayah yang menyebabkan abang Ijat semakin jauh dan tidak lagi suka bergurau senda denganku. Sedangkan masa yang berlalu itu satu pengajaran dalam hidup tentang kehidupan yang bakal terjadi.
Masih sempat emak mengejutkan aku dengan kata-kata yang menyebabkan aku sendiri takut untuk menghadapinya.
"Apa yang kita buat sekarang akan terkena balik pada kita bila kita dah tua nanti. Kalau Zam bencikan ayah, tak mustahil nanti anak-anak Zam pula yang akan bencikan Zam. Tengoklah macam ayah sekarang. Dulu, mana ada dia rapat dengan tok ayah. Sekarang anak-anak dia pula tak rapat dengan dia. Tok ayah dulu, garangnya bukan main. Lebih garang dari ayah sekarang. Sebab tu ayah selalu marah-marah. Sekarang, Zam tak rapat dengan ayah sebab kesilapan ayah dulu. Tapi, Zam nak ke nasib yang menimpa ayah turut terkena pada Zam?"
Aku mengeluh perlahan dengan kata-kata emak. Seboleh yang mungkin aku cuba menahan air mata yang bergenang di kelopak mata. Dalam hati, aku akui bahawa aku sebenarnya terlalu menyayangi ayah setulus hati kecilku ini.

"Emak! Dah la tu. Lama lagi ke kita kat sini? Adik nak balik semua orang dah balik. Tinggal kita bertiga aje kat sini," suara Halim merengek mengejutkan aku.
Aku memandang ke arah kiri dan kanan. Halim yang berada di paha Naim kemudiannya berdiri dan memeluk tengkukku manja. Naim yang segak memakai baju melayu mengelengkan kepala. Dia cuba menemteramkan Halim yang kelihatan sudah tidak sabar untuk beraya dengan sepupu-sepupunya yang lain.
"Maaf, emak tak sedar. Marilah kita balik. Sebelum tu…"
"Bagi salam pada tok dengan toki dulu," Halim memintas.
Aku dan Naim hanya tersenyum. Mana mungkin Halim terlupa pesananku yang satu itu. Apatah lagi, setiap bulan aku pasti akan membawa Halim ke situ. Menjenguk pusara ayah dan emak. Menunaikan janji yang pernah aku ucapkan seketika dahulu kepada ayah.
"Zam jangan bimbang. Insya-Allah Halim tidak akan melakukan kesilapan yang sama macam Zam pernah buat dahulu." Suamiku seakan memberi janji sewaktu kami keluar dari kawasan perkuburan.

TAMAT

 
You can follow any responses to this entry through the Contac Us. You can leave a response.