Cerpen : Cinta Hakiki

Aku kembali membuka laptopku. 'Masih banyak lagi benda nak buat'. Aku bermonolog sendirian. Aku perlu menyediakan sesuatu input untuk adik – adik usrahku agar mereka ada pengisian hati. Tak pelah,ambik jelah cerita aku ni. Dah takde masa ni. Nanti aku cakaplah, 'artikel ni orang lain yang buat. Akak ambil jer.' Maaflah adik – adikku sayang, akak bohong sunat. Aku tersenyum sendiri.

ASYHADU A'LA ILA HA ILLA ALLAH, WA ASYHADU ANNA MUHAMMAD RASULULLAH.
Ya Allah, ampunkanlah diri ini. Hanya Engkau saja yang dapat mengampunkan diri ini. Ya Allah, dengarlah luahan hati ini. Aku tidak tahu pada siapa lagi yang aku harapkan untuk mendengar rasa hati ini selain dirimu, Ya Rabb.
Ya Allah, aku mendambakan cinta seorang kaum Adam. Makhluk ciptaanMu. Maafkan aku Ya ALLAH, sudah puas aku cuba menepis perasaan ini. Bermacam – macam cara sudah aku cuba untuk menidakkan rasa hati ini tapi aku tak mampu. Aku tersentak sejenak. Aku tahu semua ini, perasaan suci ini adalah anugerah dari Engkau jua. Lantas aku beristighfar kerana cuba melawan fitrah suciMu. Astagfirullah al - azim.
Dengarlah isi hatiku, Ya Allah..Aku mengimpikan diri ini menjadi sayap kiri perjuangannya. Aku mengharapkan diriku bersama – samanya dalam menegakkan deenMu. Berjuang bersama – samanya dengan manhaj Rabbani yang Engkau turunkan. Mengatur langkah jihad bersama dengan wahdah fikrah yang berlandaskan Al – Qur'an dan AS – Sunnah yang agung. Aku mengharapkan dirinya menjadi pembimbing diri ini agar bisa kucium bau syurgaMu. Agar bisa ku menjadi bidadari syurgaMu. Agar dapatku salurkan cinta ini hanya untukMu. Tiada lain. Hanya Engkau. Bisakah diri ini?
Ya Allah, dalam angan dan sedar, aku telah menyediakan sedikit ruang hatiku untuk hatinya agar hatinya bisa 'singgah' suatu hari nanti. Agar hatinya bisa berehat di sukma hatiku walaupun sebentar cuma. Walaupun pada ketika itu aku bukanlah permaisuri hatinya. Walaupun pada ketika itu, aku tahu arjuna hatiku akan menangis kecewa apabila yang diharapkan hancur lebur berkecai, tak kesampaian. Tidak berpeluang menjadi miliknya di dunia yang fana ini. Aku tahu betapa besarnya risiko yang kuambil ini kerana ia bisa menghancurkan hatiku yang lemah ini. Aku mohon Ya Allah, berikan aku kekuatan pada masa itu. Tenangkan hatiku dengan ketentuanMu.
Aku tahu diriku tidak layak duduk dan berdiri bersama – sama dengannya. Apatah lagi terbang di angkasa bersama – sama dengannya. Dia lebih berhak mendapat Hawa yang lebih baik daripada diriku. Bukannya aku yang masih mencari – cari diri. Bukannya aku yang masih 'merangkak' ini. Bukannya aku yang masih memerlukan 'tongkat' untuk berdiri . Bukannya aku yang tidak mempunyai 'masa' ini. Bukannya aku..
Namun, aku cuba juga berharap agar harapan ini mampu menenangkan hatiku yang resah ini. Aku berharap jua agar harapan ini menjadi doa dariku untuk hidup bersama dengannya suatu hari nanti. Ya, aku selalu berdoa agar aku berkesempatan menjadi miliknya di dunia ini walaupun sedetik cuma. Hanya itu sahaja yang mampu kubuat. Untuk berusaha mengenalinya lebih dekat, aku bukanlah Hawa seberani itu. Rasa maluku telah mengatasi segala – galanya. Walaupun aku tidak memenuhi konsep tawakal dalam erti kata sebenarnya tetapi itu sahaja inisiatif yang aku ada. Berdoa dan bertawakal. Tiada lagi yang lain.
Teruknya diriku ini..masih mengharap. Tidak sedar diri itu siapa. Engkau hanyalah insan yang lemah, wahai diri. Engkau hanyalah seorang hamba yang masih tak mampu menepis hawa nafsu sendiri. Masih terkial – kial mencari mardatillahNya. Masih belajar mengurus diri..masih itu, masih ini… Ya Allah, banyaknya kelemahan dan kekurangan diri ini. Tapi, diri masih lagi berangan-angan dengan fantasi. Masih lagi bermimpi di siang hari. Masih lagi berharap pada sesuatu yang tak pasti. Sedangkan, syurga itu adalah hakiki. Cinta Allah adalah cinta hakiki. Bukannya duniawi yang hanyalah fatamorgana. Hipokrit dan retorik semata - mata. Alangkah ruginya diri ini..dek tertipu dengan permainan fantasi dan duniawi.
Ya Allah, aku tahu aku tidak sepatutnya mengharapkan semua ini. Aku tak sepatutnya mengangankan semua ini apalagi merencanakannya. Hatiku tak tahan lagi Ya Allah. Walau apapun, aku ingin meluahkan segalanya pada Engkau juga kerana aku tahu Engkau ada jawapannya. Bukan aku. Apatah lagi 'dia'. Kami cuma insan biasa. Apalah daya kami..Kami tiada kuasa sepertimu. Sedangkan Engkau ada segala – galanya. Dunia ni Engkau yang punya. Aku juga adalah kepunyaanMu. Dan 'dia' juga hak mutlakMu. Bukan kami. Hati – hati ini pun milikmu. Segalanya milikMu. Subhanallah.
Ya Allah, teruknya diri ini. Maafkan aku Ya Rabb. Aku bukan mengutuk ciptaanMu. Tapi, aku cuma menilai diri ini. Sudah tahu cinta yang abadi dan hakiki hanyalah cintaMu tapi masih mengharap cinta daripada ciptaanMu. Masih mengharap cinta kaum Adam tanpa mempunyai ikatan yang sah. Astagfirullah al –azim. Walhal, aku masih lagi bertatih belajar mencintaiMu. Cinta yang kuberikan untukMu masih lagi tandus dan gersang tapi sudah bekeinginan untuk mencintai selain diriMu . Ya Allah,maafkanlah aku.
Ya AllAH, aku tahu hati ini adalah milikMu. Aku tahu perasan yang Engkau berikan ini adalah darimu juga. Aku tahu semua ini adalah tarbiyah untukku sebagai hambaMu. Untuk menguji kesetiaanku kepadaMu barangkali. Ya, itulah jawapannya. Perasaan dan keinginan ini semua adalah ujian dariMu untuk menguji kesetiaanku. Adakah aku akan melupakanMu bila aku sudah mencintai orang lain? Mencintai ciptaanMu? Dengan izinMu, sudah tentu cinta ini hanyalah untukMu meskipun Engkau mengizinkan 'dia' menjadi imam ku suatu hari nanti. Insya Allah.
YA ALLAH, YA TUHANKU, REZEKIKANLAH KEPADAKU CINTAMU. DAN CINTA ORANG YANG MEMBERI MANFAAT KEPADAKU OLEH CINTAMU DI SISIMU.
YA ALLAH, YA TUHANKU, REZEKIKANLAH KEPADAKU DARIPADA APA - APA YANG AKU CINTAI. JADIKANLAH IA SUATU KEKUATAN KEPADAKU UNTUK MELAKSANAKAN APA YANG ENGKAU CINTAI.
YA ALLAH YA TUHANKU, APA YANG ENGKAU JAUHKAN DARIKU APA - APA YANG ENGKAU CINTAI, JADIKANLAH IA SESUATU KEKOSONGAN BAGIKU UNTUK MELAKUKAN APA - APA YANG ENGKAU CINTAI.
TAUTKAN HATI - HATI INI DALAM LINGKARAN MAHABBAH DAN MAWADDAHMU.
AMIIN YA ROBBAL A\'LAMIN.
Ya Allah, aku redha dengan sesiapa sahaja yang Engkau ciptakan untukku kerana aku tahu segala pemberianMu dan kurniaanMu adalah yang terbaik buatku. Aku hanya mampu berdoa dan merancang tapi Engkaulah yang menentukan segala - galanya. Sebaik – baik perancangan manusia, sungguh baik dan teratur lagi perancangan dan ketentuan yang Maha Esa. Ya, aku pasti itu. Biarlah kuserahkan segalanya hanya untukMu. Hanya untukMu.

Ya Allah, andai ditakdirkan aku menjadi miliknya..ataupun selain dia...
sebelum ikatan itu tersimpul rapi atas landasan syariatMu, berikanlah kekuatan padaku untuk mempersiapkan diriku. Ingatkanlah diriku agar selalu memuhasabahkan diriku. Janganlah Engkau membiarkan diri ini terkontang – kanting keseorangan menghadapi suka duka kehidupan. Janganlah Engkau izinkan diriku mengingati dirinya sebagai miliknya. Ingatkan pada diri bahawa hati ini adalah milikMu bukan miliknya. Cukup sahaja Engkau izinkan aku mengingatinya sebagai saudara seIslamku. Mengingati dirinya sebagai mujahid Islam. Mengenalinya sebagai da'ie. Cukup sahaja begitu. Aku takut,bila Engkau izinkan aku mengingatinya lebih daripada itu, aku akan lalai dan alpa daripada mengingatiMu. Ya Allah, Engkau biarkanlah diri ini menjadi 'halimunan' di matanya. Aku sanggup menjadi begitu daripada mengheretnya ke neraka Jahannam lantaran kerana terlalu leka dan lalai mengingati perhiasan dunia. Naudzu billah min dzaalik.
Ya Allah, Kau rawatlah hatiku ini. Hatiku sakit, Ya AllAH. Hanya Engkau sahaja yang mampu menyembuhkannya. Hanya Engkau. Kau ubatlah hatiku dengan cintaMu. Jadikanlah diri ini sentiasa mengingatiMu, sentiasa mengingati keindahan SyurgaMu, sentiasa takut apabila mengingatkan nerakaMu. Sentiasa redha dengan Qada' dan QadarMu. Sentiasa bersyukur dan bertawakal padaMu. Ya Allah, Engkau jadikanlah aku sebagai mujahidahMu. Jadikanlah aku seorang hamba yang tidak berputus asa meraih cinta agungMu walaupun mehnah yang dihadapi bukanlah sedikit. Jadikanlah aku pengemis cintaMu. Aku mahu menjadi semua itu walaupun ku tahu aku bukanlah sekuat Rasulullah untuk menhadapi ranjau itu. Bila – bila sahaja diri ini akan tumbang apabila Engkau membawa kekuatan itu pergi jauh dari diriku. Aku hanyalah insan yang do'ief..yang sentiasa mengharap kekuatanMu.
Ya Allah, kiranya di dunia ini aku tidak bisa berpeluang meraih cintanya, tenangkanlah hatiku dengan cintaMu. Sekiranya aku bukan miliknya di dunia ini, Engkau tenangkanlah hatiku dengan rahmatMu. Engkau bisikkanlah bisikan cintaMu di sanubariku. Engkau ketuklah kalbuku. Jagalah hatiku. Peliharalah hatiku. Jangan biarkan ia terluka. Parah kesakitan. Engkau damaikanlah hatiku dengan kasih sayang yang dicurahkan oleh orang yang mencintai diriku agar aku tidak berputus asa mencari cinta. Menggapai cinta. Agar hatiku tidak kecewa apabila dia bukan tercipta untukku di dunia ini lantaran kasih sayang daripadaMu dan orang sekeliling yang mengasihiku. Sudah cukup cinta itu menenangkan hatiku yang rawan ini. Lebih daripada cukup sebenarnya cinta itu.
Engkau mengizinkan aku menjadi anak kepada ibu bapa yang mithali. Ibu bapa yang tidak henti – henti memberikan kasih sayang kepadaku. Berada di sisi ketika susah dan senang. Sentiasa memberi sokongan dan dorongan setiap detik walaupun kadang – kadang tanpaku sedari perilaku ku mengguris hati kalian yang suci. Namun, kalian tetap dan sentiasa setia menantiku di muka pintu dengan senyuman yang amat manis. Sungguh tenang hati ini tatkala menatap wajah kalian. Kalian yang kusayang. Mama, ayah, maafkanlah anak kalian ini sekiranya selama ini anak ini cuai di dalam menunaikan hak kalian sebagai seorang anak. Maafkanlah diri ini. Ya Allah, aku mencintai mereka..aku mencintai kedua – dua ibu bapaku. Ampunkanlah dosa – dosa mereka di dunia dan akhirat. Amiin.
Engkau mengurniakan kepadaku adik – beradik yang sangat memahami. Walaupun,kadang – kadang berselisih pendapat, saling mencemburui antara satu sama lain tetapi hubungan suci ini tidak pernah putus ibarat air yang dicincang tidak akan putus. Selang beberapa detik kemudian, kita pasti akan berdamai. Bergelak tawa bersama – sama. Indahnya suasana itu. Rupa – rupanya, perselisihan itu mencambahkan lagi kasih sayang kita agar sentiasa mekar di taman hati. Agar kita lebih memahami antara satu sama lain. Agar kita menjadi 'perindu' tatkala berjauhan apabila tiba masanya kehidupan itu perlu dicari. Perlu dikejar. Ya, aku sayang kalian sangat – sangat. Semoga cintaNya milik kita bersama. Amiin.
Engkau memberikan peluang pada diriku untuk menuntut ilmu. Menuntut ilmuMu yang tidak terbatas. Aku berpeluang diajar oleh guru – guru dengan variasi ilmu yang hebat. Mantap. Kemudian, aku berpeluang lagi dididik dan dibimbing oleh pensyarah ilmuan dengan ilmu yang berguna sebagai bekalan hidup. Dalam kalian sibuk mengajarku erti kehidupan, terselit nasihat dan terguran dalam lisan kalian. Dalam ketegasan wajah kalian, terselit cinta yang menggunung. Walaupun kalian tidak mengakuinya, aku tahu kalian cinta sama aku. Sayang sama aku. Bukan sedikit tapi banyak. Insya Allah, pesan kalian akan kusematkan di hatiku dan kalian tidak akan kulupakan buat selama – lamanya. Ya Allah, semoga Engkau memberkati guru – guru, pensyarah – pensyarah dan sesiapa sahaja yang telah memberikan ilmu kepadaku dan seterusnya mengajarku erti kehidupan.
Tidak cukup lagi dengan rahmat itu, Engkau izinkan aku bersahabat. Engkau mengizinkan aku menjadi sahabat kepada ciptaanMu yang lain. Betapa berkuasanya Engkau. Subhanallah. Engkau mengizinkan aku mencintai sahabat dan Engaku mengizinkan sahabat mencintai diriku. Engkau menjalinkan tautan ukhuwwah antara kami. Apabila aku sedih, Engkau biarkan sahabat menenangkan hatiku yang gundah. Apabila aku menangis, Engkau izinkan sahabat mengelap air mataku. Apabila kami berpisah, Engkau menciptakan rindu antara kami. Rindu untuk berhalaqah. Ya Allah, jadikanlah aku sebagai sahabat yang sentiasa memberi kebaikan pada sahabatku. Jadikanlah aku sebagai seorang sahabat yang sentiasa mengajak sahabat ke jalan yang benar bukannya sahabat yang membiarkan sahabat hanyut lemas dengan arus duniawi. Ya Allah, andainya aku berpeluang menjejakkan kaki di mahligai kasihMu, izinkanlah sahabatku menjadi temanku di syurga nanti. Dan izinkanlah diri ini bertemu dengan sahabat di istana agungMu. Insya Allah. Amiin.
Ya Allah, banyak sungguh rahmat yang Engkau beri kepadaku. Tak terhitung rasanya rahmat itu. Cuma aku sahaja yang selalu lupa akan pemberianmu. Lupa untuk bersyukur dengan nikmatMu. Astagfirullah al - azim. Jauhkan aku dari sifat ini. Naudzubillah min dzaalik.
Ya Allah, ampunkanlah segala dosa – dosaku. Ampunkanlah dosa – dosa orang yang kucintai. Engkau ampunkanlah dosa – dosa orang yang mencintaiku. Ampunkanlah dosa – dosa orang Islam. Ya Allah, ampunkanlah dosa kedua – dua orang tuaku. Kasihilah mereka sepertimana mereka mengasihiku dengan penuh kasih sayang. Kasihilah guru – guru, pensyarah – pensyarahku, keluargaku dan sahabat - sahabatku. Engkau jagalah mereka. Engkau limpahkanlah rahmat ke atas mereka. Tunjukkanlah jalan yang lurus kepada kami. Bimbinglah perjalanan hidup kami. TanpaMu, kami tak berdaya. Berikanlah kekuatan pada kami untuk menegakkan deenMu.. Berikanlah kekuatan pada mujahid dan mujahidahMu. Berikanlah kami kekuatan untuk menghabiskan sisa – sisa hidup ini. Dekatkanlah diri kami dengan dirimu Ya Allah. Jadikanlah diri kami sebagai pengemis cintaMu yang tidak pernah berputus asa untuk meraih cinta agungMu dan kasih sayangMu. Terimalah taubat kami. Terimalah kami. Hanya padamu tempat kami kembali. Hidup dan mati kami hanya untukMu. Sesungguhnya, hanya Engkau sahajalah yang kami harapkan. Hanya Engkau sahaja tempat kami memohon segalanya. Agar bisa diggapai destinasi cinta itu. Aku mohon ya Allah. Mohon dengan sangat. Amiin…
Oleh : Pengemis CintaMu

Mataku berpinar – pinar. Penat barangkali membaca artikel yang baru kusiapkan kelmarin itu. Aku menggosok mataku. Aku menghela nafas lega. Lega kerana sudah ada pengisian hati untuk adik – adik usrahku esok. Kukerling jam tangan pemberian ayah. Arggh, belum tiba masanya makan ubat. Aku tahu hayatku makin sampai ke penghujungnya. Artikel ini lebih kepada luahan hatiku yang terkandung pelbagai anganan yang tidak pasti. Kuselitkan jua harapan dan doaku untuk orang yang kusayang. Sekurang – kurangnya apabila aku sudah tiada nanti, coretan hati ini boleh ditatap oleh insan yang tersayang. Aku kira ini sahaja cara yang dapat mengingatkan diriku di dalam hati mereka apabila aku tiada lagi di dunia ini.
Aku buat semua ini kerana aku tahu mungkin aku tiada masa lagi untuk melakukan semua ini. Aku mungkin tiada masa lagi untuk berjuang di jalanMu. Aku mungkin tiada masa lagi untuk mengimpikan semua ini. Aku mungkin tiada masa lagi menatap wajah orang yang kukasihi. Mama, ayah, abang, kakak, adik..ustaz, ustazah dan sahabat. Aku mungkin tiada masa lagi…kerana kondisi badanku yang makin tenat sedikit sebanyak menghalang pergerakan jasadku. Hanya rohaniku sahaja yang sihat walaupun kadang – kala ia menjadi sakit lantaran kekurangan dan tiada tasjie' yang mengiringi perjalanan hidup. Ya Allah, maafkanlah aku. Tidak sepatutnya aku berputus asa begini kerana ajal dan maut itu di tanganMu. Semua itu sudah termaktub di Luh Mahfuz. Aku menenangkan diriku. Tetapi aku tidak berani berharap yang aku akan sihat seperti sedia kala. Aku tidak berani melakar mimpi indah itu. Aku tidak berani…Aku tahu aku sakit. Aku ada kanser hati. Tahap kritikal. Bila – bila sahaja aku akan meninggalkan dunia ini. Semua ini. Ya, mati itu pasti! Semua orang akan mati. Hanya Pencipta sahaja yang kekal selamanya.
Sudah puas mama dan ayah memujukku balik ke Sabah. Berehat sahaja di rumah kata mereka. Tapi aku menolak lembut. Tidak berniat mengguris perasaan orang yang kusayang. Tinggal 4 bulan lagi, aku akan graduate. Aku akan bergelar Graduan Universiti Malaya. Aku akan bergelar ustazah. Aku akan balik ke kampung halaman untuk menabur bakti di sana. Mereka memujuk lagi agar aku akan membatalkan niatku itu. Mungkin mereka takut aku akan menghembuskan nafas terakhirku di Universiti Malaya Kuala Lumpur. Aku berkeras juga untuk menghabiskan kuliah dan tutorialku. Sayang sungguh pengajianku kalau dibiarkan begitu sahaja. Sayang duit ayah terbazir begitu sahaja. Peluang untuk belajar ke 'U' bukanlah peluang yang senang bagi orang miskin macam aku. Lantaran kehidupan yang serba kekurangan tidak mengizinkan aku mencorak mimpi indah itu. Ya, siapa tahu rezeki aku. Rupa – rupanya sudah tertulis namaku sejak azali lagi dapat menyambung pelajaran di universiti idamanku. Universiti tertua di Malaysia. Sudah pasti peluang itu tidak akan aku persiakan. Akanku genggam anugerah itu sekemas – kemasnya. Aku berjanji pada mereka akan sentiasa menjaga diriku dengan baik. Begitulah pujukanku pada mereka walaupun aku sendiri tidak pasti pada diriku sendiri. Mampukah aku melakukan semua itu? Akhirnya,dengan tangisan mama dan ayah melepaskanku ke UMKL. Ya, tinggal 4 bulan lagi. Aku akan balik ke Sabah. Aku mencongak – congak waktu. Tinggal 3 bulan sahaja lagi aku akan mati. Itulah kata doktor Cina yang merawatku. Sungguh berterus – terang kata – kata doktor itu. Takut aku dibuatnya. Ngeri. Tetapi, aku optimis. Masa lama lagi. Aku menenangkan perasaan ku yang takut ini. Aku takut amalanku masih tidak menepati piawaian dan kriteria yang telah disediakan khas oleh Pencipta untuk penghuni mahligai syurgaNya. Aku takut.
Dalam ketakutan menyelubungi diri ini, sempat lagi aku berdoa agar nyawaku dilanjutkan lagi. Dipanjangkan lagi walaupun aku tahu itu amat mustahil untuk berlaku. Sekurang – kurangnya aku mencuba. 'Belum cuba belum tahu'. Bisik hatiku. Sekadar menenangkan sekeping hati ini. Sekurang – kurangnya, aku dapat menjejakkan kakiku ke Sabah. Balik dan mati di sana. Taklah mama dan ayah serta keluarga menempah tiket untuk mengurus kematianku di sini. Pasti mahal harga tiket. KL dan Sabah bukannya dekat. Amat jauh, terpisah dek Laut China Selatan. Astagfirullah, aku dah makin mengarut ni. Aku malu sendiri pada Yang Satu dek lupa bahawa diri hanyalah insan biasa. Mana bisa mengatur semua itu melainkan dengan izinNya. Ya Allah, sesungguhnya hamba yang hina ini memohon agar Engkau mengizinkan aku kembali ke kampung halaman untuk menatap wajah kesayanganku lagi. Aku mohon..Arggh, hatiku sakit lagi. Sakit. Pedih. Hatiku merintih pilu. Air mataku mengalir laju. Aku takut masa itu akan tiba. Lantas, aku bangkit untuk mempersiapkan diri sebelum masa itu tiba. Ya, masa itu akan tiba bila – bila masa sahaja.
'Selagi nadiku berfungsi, selagi jantungku berdegup, selagi hatiku bernafas, selagi jiwaku hidup, aku tidak akan berputus asa untuk hidup. Aku akan memperjuangkan agamaku. Aku akan memperjuangkan cita dan cintaku. Aku akan memperjuangkan kehidupanku. Aku akan memperjuangkan segalanya. Ya, aku akan perjuangkan segalanya dengan apa yang aku ada! Aku perlu kuat untuk berjuang.' Tekadku dalam hati. Inilah tekad dan ikrarku. 'Semoga Allah mempermudahkan perjalanan hidup ini.'
Perlahan – lahan kakiku menapak ke bilik air. Aku mengambil wudhu'. Aku ingin menenangkan hatiku ini. Aku ingin bertemu denganNya. Aku ingin meminta secebis kekuatan dariNya. Hanya Dia sahaja memiliki penawar yang kudambakan. Hanya Dia sahaja yang mempunyai 'ubat ajaib' itu. Hanya Dia. Tiada lain. Hanya Dia. Di atas sejadah cinta, aku meluahkan segala – galanya pada Dia. Cinta hakiki. Cinta agungku.

 
You can follow any responses to this entry through the Contac Us. You can leave a response.