Cerpen : Rya Maafkan Papa

Rya..Rya..!
Berkali-kali nama itu diseru, namun tiada jawapan. Sepasang anak mata bening itu liar mencari kelibat anak kecil itu. Namun tiada juga kelihatan. Pemuda yang bertubuh tegap, sasa dan tinggi lampai itu segera meletakkan briefcasenya di atas sofa hijau buatan Itali itu. Dia mula melonggarkan tali lehernya yang sehari-hari membelenggu nafasnya. Rambutnya yang sedikit ikal keperangan itu dirapikan kebelakang. Sedikit mengganggu pandangannya setiap kali anak rambutnya mampir ke dahi.
Pemuda yang masih berpakaian pejabat itu mula mendaki setiap anak tangga menuju ke bilik anaknya, Rya. Tombol pintu itu dipulasnya perlahan-lahan. Manalah tahu, jika anaknya itu tertidur sementara menunggu kepulangannya dari kerja. Dia menjengahkan kepalanya dari celah daun pintu yang ternganga sedikit. Benar telahannya. Rya sedang nyenyak tidur di kamarnya. Dia tidak pula menghampiri gadis kecil itu. Takut mengganggu tidurnya pula. Langsung saja dia melangkah pergi ke bilik dan terus mandi. Sebentar kemudian, dia turun semula, siap dengan pakaian kemas seolah-olah hendak menghadiri parti. Dengan kot hitamnya, dengan minyak wangi yang harum semerbak memperlangkapkan dirinya sebagai seorang duda beranak satu yang paling macho sekali di kawasan kediaman golongan kaya itu.
Di ruang tamu, pemuda itu sudah kelihatan bersiap-siap untuk pergi. Baru saja kakinya melangkah, seseorang menyapanya dari arah belakang. Dia berpaling. Sepasang mata bening itu merenungnya penuh sayu. Ada seseorang bersamanya. Matanya berkaca seperti meminta simpati daripada pemuda itu. Meminta dia mengerti kemahuannya.
" Papa nak ke mana?" Suara manja itu kedengaran.
" Err..Rya sayang. Papa nak pergi kerja malam. Papa mungkin balik lambat. Jadi...Rya tak payah tunggu Papa macam selalulah ye.." Pujuk ayah. Rya menundukkan wajahnya. Beberapa titis mutiara putih gugur menimpa pahanya.
" Tuan Razlan..."
" Ada apa Mak Nab?"
" Boleh tak tuan tak pergi kerja malam ini?"
" Eh..mengapa pulak Mak Nab?" Razlan kehairanan. Wajah tua itu ditatapnya.
" Rasanya tuan sudah lupa agaknya malam ini malam apa?"
" Alah..Mak Nab. Sudah tentulah saya ingat. Tetapi..saya ada urusan yang lebih penting lagi daripada istimewanya malam ini. Dahlah Mak Nab. Tolong tidurkan Rya awal sikit. Esok saya nak bawa dia pergi appointment..!"
Razlan langsung ingin pergi. Namun langkahnya mati sekali lagi sebaik saja suara anak kecil itu memanggilnya dalam esakan yang penuh sayu. Razlan sedikit leler hati. Rya tidak pernah menghalangnya untuk pergi sebelum ini. Tetapi..lain benar perangainya malam ini. Mahu tidak mahu, dia berjalan menuju ke arah Rya.
" Ada apa sayang. Papa dah lambat ni.."
" Papa sayang Rya?"
Razlan mengerut dahinya. Langsung ketawa kecil mengingati kenaifan anaknya itu.
" Rya sayang...sudah tentulah papa sayangkan Rya. Papa sanggup buat apa saja untuk Rya tau. Sebab itulah papa mesti kerja. Kalau tidak, bagaimana papa nak beri kasih sayang yang cukup untuk Rya kalau papa tiada wang nak belikan mainan untuk Rya.." Razlan cuba membujuk. Wajah anak kecil itu disentuhnya dengan penuh belai. Tak ubah seperti arwah isterinya, Maya. Mak Nab hanya mampu memerhati dua beranak itu.
" Papa..." Serunya lagi. Kali ini dia menarik lengan papanya, langsung membisikkan sesuatu ke copeng telinga papanya. Kejap-kejap air muka papanya berubah. Dipandangnya lagi wajah bulat anaknya itu. Razlan cuba tersenyum. Namun, terlalu payah kerana perasaannya terasa lain benar. Wajah pengasuh anaknya itu direnungnya penuh pengharapan.
" Papa janji. Malam ni papa akan cuba balik awal. Rya rehat dululah ye. Mak Nab.."
Razlan memberi isyarat kepada pengasuh anaknya itu untuk membawa Rya naik ke atas semula. Terasa berat juga kakinya hendak melangkah keluar meninggalkan anaknya malam ini. Jam di tangannya dibelek lagi. Hampir 7.45 malam. Sudah hampir bermula. Sebenarnya malam ini juga dia ingin membuat kejutan untuk anaknya itu. Sudah lama dia ingin menghadiahkannya kepada Rya. Cuma belum tiba saatnya lagi. Tetapi malam ini, Rya pasti akan suka dengan kejutan yang dia akan berikan. Razlan menyimpul senyum. Sudah terbayang bagaimana reaksi anak gadis kecilnya itu menerima hadiah ‘besar’ daripadanya malam ini. Razlan pun terus berlalu, memacu kereta Mercedes Benz menuju ke tempat yang sudah dijanjikan.
Di dalam bilik, Rya tidak mahu lelap. Sebaliknya dia merenung gambar mama bersama dia dan papanya dua tahun lepas. Waktu itu kali terakhir dia menatap wajah mamanya. Dia pula baru menjangkau usia 6 tahun. Begitu bahagia sekali kelihatannya mama dan papanya ketika menyambut hari lahirnya. Namun, beberapa bulan selepas itu, mamanya meninggal dunia akibat kanser pangkal rahim. Kini, biarpun sudah dua tahun berlalu, namun kehilangan mamanya masih tetap terasa. Rya terlalu rindukan mamanya dan kasih sayang papanya yang kian liar dari rumah. Rya menangis semahunya.
" Mama..."
" Rya...janganlah nangis anak mama ye. Nanti mama dan papa bawak Rya jalan-jalan kat taman. Atau...Rya cakap sendiri Rya nak apa untuk ulangtahun kali ni?"
" Papa dan mamalah. Rya tak mahu benda lain. Rya nak mama, papa dan Rya.."
Maya mengucup dahi anak kesayangannya itu biarpun Rya tidak sempurna seperti kanak-kanak yang lain. Rya bukan cacat sejak lahir tetapi dia tidak dapat berjalan akibat kemalangan kereta. Nasib dia dan suaminya baik kerana hanya mengalami luka ringan saja. Sebaliknya, Rya yang baru berusia 4 tahun ketika itu terpaksa dikejarkan ke ICU. Lantaran akibat kemalangan itu, kaki sebelah kanan Rya tidak dapat lagi digunakan dan terpaksa dipotong. Sebab itulah sehingga kini Rya duduk di atas kerusi roda sahaja dan belajar di rumah.
Namun, semenjak Maya meninggal dunia, Razlanlah tempatnya bermanja. Akan tetapi papanya tidak seperti mama. Rya selalu kesunyian. Adapun Mak Nab, tidaklah sama seperti papa dan mamanya. Rya selalu sendiri. Bermain sendiri. Bercakap sendiri. Malah menangis dan sedih pun, tiada seorang pun yang memujuknya. Dia seolah kehilangan sayap untuk terbang mencari kegembiraan. Sudah tiada lagi bait-bait keindahan dalam hidupnya, apatah lagi sejak papanya sudah ada teman wanita baru.
" Mama...bawalah Rya bersama mama. Papa dah tak sayangkan Rya lagi, mama.." Rya langsung menutupkan matanya, membiarkan air matanya bercucuran meleleh membasahi hatinya yang terluka. Pedih dan ngilu. Gambar dia bersama mama dan papanya erat dalam dakapannya.
" Hai...kasihan anak ini. Setiap kali ditinggalkan saja oleh papanya. Razlan tidak tahu menilai kemahuan anak sebenarnya. Maya..Maya..kalaulah kamu masih hidup.." Mak Nab menggelengkan kepala, lalu membiarkan Rya lelap di kamar papanya.
Di hotel serba mewah bertaraf lima bintang itu, Razlan bersama-sama teman-teman sedang sibuk berbicara soal bisnes dan juga saling memperkenalkan teman masing-masing. Sudah pastilah Razlan yang terbaik kerana bakal isterinya itu merupakan seorang peragawati yang tidak asing lagi. Dialah hadiah dan kejutan yang akan diberikannya kepada Rya kelak. Sudah pasti anaknya akan gembira kerana akan mendapat mama yang baru.
" Razlan...you tak cakap pun yang you dah ada anak seorang. You ni nakallah. Dah perangkap I baru you nak beritahu.."
" I nak tahu saja, bakal isteri I nak kat I saja ke atau dua-dua sekali?"
" Heii..pleaselah. Kalau untuk you, semuanya boleh diatur. Lagipun..I memang suka kat budak-budak ni.."
" You betul-betul tak kisah? You belum tahu lagi cabaran yang seterusnya. Sebenarnya anak I tu...cacat!"
" What? You jangan nak mainkan I. You nak I jadi isteri you dan kemudian jadi pengasuh kat anak you yang cacat tu? Sorry. Kalau itulah kemahuan dan niat you, I tak boleh terima. Banyak lagi ahli korporat lain yang duda tak beranak nakkan I. Boleh jalanlah.."
Bagaikan sembilu menghiris hati, Razlan benar-benar tertipu. Gadis itu bukanlah yang terbaik untuk Rya. Mujurlah gadis seperti itu belum lagi menjadi ibu tiri kepada Rya. Kalau tidak, sudah tentulah anaknya akan menderita. Malah tiada lagi hari ulangtahun untuknya mungkin sebab gadis seperti ini hanya mementingkan status daripada menjaga hati anak kecil.
" Mujurlah I belum lagi lamar you sepenuhnya. Sekarang I dah tahu jenis manusia apa you ni. Dasar perempuan murahan. Mata duitan. Kalau you nakkan segalanya sempurna, you boleh blahlah. Lagipun…" Razlan sengaja melengahkan bicaranya. Membiarkan hatinya benar-benar tenang. Amarahnya cuba dikawal. Terbayang wajah arwah siterinya dulu. Terlalu jauh pekertinya berbanding perempuan-perempuan yang dia kenali kini. Dia cukup sempurna. Malah, cukup istimewa kerana menghadiahkan Rya kepadanya biarpun keadaanya begitu.
" Lagipun apa,hah? You sengaja nak perangkap I, bukan? Dasar lelaki dayus!!" Jerkah peragawati muda itu dengan angkuhnya. Razlan benar-benar rasa tercabar. Kalau setakat dia dihina, mungkin dia masih boleh bertahan. Tetapi tidak untuk anak kesayangannya.
" You bukan wanita yang layak untuk ganti tempat arwah mama Rya. Percayalah..you takkan dapat jadi seorang yang sempurna sekalipun you mencuba. Kerana..apa yang benar-benar sempurna adalah…insan yang kita anggap tiada apa-apa.." Razlan terus meninggalkan gadis itu dalam kegurisan.
Sepanjang perjalanan pulang, fikirannya benar-benar kacau. Tiba-tiba wajah isterinya, Maya datang menerpa ke ruang ingatannya. Dari raut wajahnya saja menjelaskan betapa dia sedih dengan apa yang dilakukan oleh dirinya. Razlan kesal. Sekonyong-konyong, dia teringatkan Rya di rumah. Apa yang berlaku sebelum dia pergi ke majlis itu tadi benar-benar menyentuh hatinya. Tidak pernah pula dia berasa sedih semacam ketika meninggalkan anaknya seorang. Kerana selalunya Rya akan menunggu kepulangannya di ruang tamu. Dia teringatkan kata-kata Rya yang sebenarnya telah mengganggu fikirannya. Apakah maksudnya?
" Papa sayangkan Rya? Sayangkan mama?"
" Mestilah papa sayangkan Rya dan mama. Habis, papa nak sayangkan siapa lagi?"
" Papa janji jangan cari mama lain untuk Rya ya. Rya sayang mama. Mama janji dengan Rya nak bawa Rya jalan-jalan kat taman. Semalam pun Rya dah pergi, papa. Rasanya...Rya akan tinggal dengan mama tak lama lagi, papa. Sebab malam ni..mama janji nak datang ambil Rya.."
Kata-kata itu benar-benar menyengat perasaannya. Dia teringat semula tentang pertanyaan Mak Nab tentang keistimewaan malam ini. Lama juga Razlan memikirkannya, namun dia tidak pula ingat apa-apa. Setahunya, malam ini hanyalah malam Jumaat yang seperti selalunya. Tiada apa-apa yang menarikpun mengenainya. Mungkin Rya sengaja ingin mencari alasan agar dia tidak keluar rumah. "Hai anak itu memang nakal!" Fikirnya dalam senyuman. Dia terus memecut laju untuk segera sampai ke rumah.
Di rumah, Razlan terus mendapatkan Mak Nab yang kebetulan belum lagi tidur. Jam sudah mampir 11.30 malam. Selalunya Rya akan menunggunya di ruang tamu itu. Tetapi malam ini kelibatnya tiada kelihatan. Razlan mendapatkan Mak Nab.
" Mak Nab.."
" Eh..Tuan Razlan. Baru sampai?"
Razlan mengangguk.
" Rya bagaimana? Sudah tidur?"
" Sudah tuan. Sepemergian tuan tadi, dia langsung tidur selepas membelek foto keluarga tuan. Kesian saya melihatnya. Begitu sepi sekali biarpun malam ini tuan sepatutnya meraikan hari ulangtahunnya yang ke sembilan.." Jelas Mak Nab, menghabiskan kata-katanya yang belum dihabiskan tadi. Sebaik saja menyedari hari ulangtahun Rya, Razlan terhenyak di atas kerusi. Dia benar-benar khilaf kali ini. Dia sedar sejak kebelakangan ini dia sering mengabaikan Rya, bukan saja kerana tugas di pejabat sebaliknya sibuk mencari mama baru untuk menggantikan arwah isterinya. Sehinggakan dia lupa hari ulang tahun anaknya sendiri.
" Mak Nab, Rya mana? Ada di biliknyakah?"
" Tidak, tuan. Katanya, malam ini dia kepingin hendak tidur di kamar tuan. Katanya dia hendak berjumpa mamanya. Budak-budak, tuan. Sudah tentulah berfikiran yang bukan-bukan."
Razlan terus berlari mendapatkan anaknya. Dia pergi ke biliknya. Cahaya malap yang menyimbahi ruang kamarnya begitu renduh sekali. Sudah pasti begitulah perasaan anaknya yang seorang itu. Dia sedar kesilapannya. Rya pasti tidak memaafkannya kali ini. Dia terus mendapatkan Rya yang sedang lena baring di atas katilnya yang beralaskan kain sutera putih.
" Rya...maafkan papa. Papa benar-benar tidak sengaja, nak. Tetapi esok papa janji akan bawak Rya jalan-jalan makan angin kat mana-mana saja yang Rya nak. Ye..sayang." Razlan mengusap rambut anaknya. Rya tidak jaga. Masih lagi lelap. Matanya tertutup rapat. Cuma air matanya masih lagi berpupuk di bawah kolam matanya.
" Rya..anak papa. Bangun sayang.."
Beberapa kali nama itu diseru papanya, namun Rya tidak juga jaga. Foto keluarga masih lagi erat di dalam dakapannya. Razlan mengerut dahinya yang luas. Rya masih juga lelap. Razlan cuba melepaskan bingkai gambar keluarganya yang masih utuh di dalam genggaman gadis kecil itu. Belumpun sempat jemarinya mencapai anaknya, Razlan terkejut apabila bingkai gambar itu terkulai jatuh dari genggaman anaknya, pantas menghempas lantai bilik. Berkecai. Berteraburan serpihan kaca di ruang bilik. Razlan bingar. Saat tersentuh jemari lembut anaknya, Razlan sedikit leler. Dingin. Mak Nab muncul. Hatinya tidak senang melihat kejadian itu, lalu mengutip serpihan kaca yang liar di merata tempat.
" Rya..Rya..anak papa.." Seru Razlan. Bibirnya sudah manai. Degupan jantungnya berdetak dengan deras sekali. Rya tetap tidak bangun biarpun tubuh kerdil itu digerak-gerak oleh papanya. Razlan leler. Ada air mata jatuh berpupuk dari jendela matanya yang sudah basah.
" Mak Nab...Rya..anak saya.."
" Ada apa, Tuan? Mengapa dengan Rya?" Mak Nab juga kelihatan teruja.
" Rya..." Razlan tidak dapat menahan sebak di dadanya. Tubuh kerdil itu dipeluknya dengan erat sekali.
Tiba-tiba Razlan teringat sesuatu. Kata-kata Mak Nab.
" Rya ingin bertemu mamanya. Sebab itu dia kepingin untuk tidur di bilik tuan malam ini." Masih terngiang-ngiang lagi kata-kata itu di copeng telinganya. Razlan tersentak. Dia mula menyedari kedunguan dirinya. Tidak dapat menangkap kelakuan pelik anaknya kebelakangan ini. Malah malam ini juga…malam istimewa untuk dia dan juga Rya. Malam ulangtahun. Patutlah Rya tidak ingin melepaskannya pergi malam ini. Sebetulnya dia ingin meninggalkannya sebatang kara di dunia ini. Razlan menyeka air mata penyesalan di birai matanya.
" RYAAAA…maafkan papaaa!!!!"

 
You can follow any responses to this entry through the Contac Us. You can leave a response.