Cerpen : Jangan Pernah Berhenti Mencintaiku

Kepalaku terasa berdenyut-denyut. Sakitnya terasa menjalar ke seluruh urat sarafku. Kemunculan lelaki yang dihadapanku ini yang menyebabkan kepalaku terasa begini. Berat memikirkan tentang dirinya yang benar-benar menganggu-gugat kehidupan kini. Ah! kacau.
"Awak nak apa lagi?" Tinggi nada suaraku menyoalnya. Ketenangan yang terpamer diwajahnya, tidak langsung membuatkan perasaanku tenteram. Malah makin memarakkan perasaan amarahku.
"Tak boleh ke awak bagi saya peluang lagi?" perlahan nada suaranya menyoalkan. Malah pandangannya diredupkan memandangku. Terusik perasaanku seketika. Namun pantas kuusir jauh perasaan itu.
"Sudahlah Muaz! Saya dah berikan awak peluang tu. Tak mungkin saya akan ada lagi peluang itu untuk awak. Sekali awak buang saya dalam hidup saya, tak mungkin saya akan kembali dalam hidup awak lagi."
Dia menggeleng-geleng perlahan. Bagai menafikan kata-kataku. " Aira...dengar dulu apa penjelasan saya..."
Aku mengeleng-geleng. Pantas mula mengatur langkah meninggalkannya. Tidak betah berlama-lama bersama berhadapan dengan lelaki ini.
"Awak langsung tak beri saya peluang Aira..." kedengaran sayu suaranya.
"Tak mungkin awak dapat peluang tu," aku menlafazkan kata-kata ini seraya berjalan meninggalkan dirinya yang masih terpaku di situ. Ah! Tidak akan ada peluang untuk awak Muaz!
Sampai sahaja di rumahku, aku terus berkurung di dalam bilikku. Perasaanku benar-benar kacau saat ini. Ah, sebenarnya perasaanku menjadi kacau semenjak kepulangan Muaz ke tanah air, tiga minggu yang lalu. Setelah hampir enam tahun berada diperantauan, Muaz kembali ke tanah air yakni kembali semula ke kampung halaman kami ini.
Kenapalah dia kembali setelah aku hampir melupakan dirinya? Mengapa saat aku sudah hampir berjaya mengubati luka yang ditinggalkannya, dia muncul semula dalam hidupku? Ah! kenapalah lelaki bernama Wan Muaz bin Wan Tajuddin ada dalam hidupku? Lelaki yang benar-benar telah meninggalkan kesan luka yang cukup menyakitkan dalam hidupku.
Kalau dia setia pada cinta kami, sudah pasti aku begitu teruja menyambut kepulangan dia ke sini. Kalau dia benar-benar mengotakan segala janji yang telah dilafazkan padaku dulu sudah pasti aku sendri yang akan menyambut kepulangannya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur. Tetapi...ah! dia sendiri yang memungkiri janjinya.
Buat kesekian kalinya aku berjanji, bahawa aku tidak akan memaafkan Muaz! Itu janjiku.

"Takkan kau tak boleh bagi peluang pada dia, Aira?" tersentak aku dengan pertanyaan Rahila, sepupuku.
"Kau nak aku bagi peluang? Setelah apa yang dia dah buat pada aku? Kau sendiri tahu kan apa yang dia dah buat pada aku?" Bertubi-tubi soalan aku luahkan pada Rahila yang sememang mengetahui kisah aku dan Muaz.
"Ya. Aku tahu Aira. Aku tahu betapa kau kecewa, tapi..." belum sempat Rahila menghabiskan kata-katanya, segera aku memintas.
"Aku takkan beri peluang pada dia. Takkan!" ulangku dengan nada tegas.
Huh! Mana mungkin aku maafkan dia. Aku bukanlah seorang yang kejam, tetapi Muaz sendiri yang telah menjadikan aku kejam pada dirinya.
"Yang sudah tu sudahlah, Aira. Kalau kau tak terima dia sekalipun, maafkanlah dia." Perlahan sahaja suara Rahila menasihati aku.
Mana mungkin aku memaafkan dia. Percintaan yang dibina sejak kami di Tingkatan Empat lagi, berlarutan sehingga kami menyambung pengajian di universiti terputus tiba-tiba di pertengahan jalan. Hubungan kami tiba-tiba menjadi dingin sewaktu aku berada di tahun dua pengajianku di Universiti Putra Malaysia. Sebab hubungan dingin itu akhirnya terlerai apabila tiba-tiba ibu Muaz datang untuk bertemu umiku.
"Dia nak kahwin Jah. Dia dah nak kahwin! Semalam dia telefon beritahu saya." Hanya tuhan sahaja yang tahu betapa luluhnya hatiku saat mendengarkan berita itu daripada ibu Muaz.
"Ingatkan bolehlah kita berbesan Jah," kata-kata kesalan ibu Muaz itu membuatkan aku terasa agak terkilan. Ah! tidak ada gunanya lagi, berkali-kali aku mengingatkan diriku.
Dua minggu selepas berita itu kuterima, Muaz selamat diijabkabulkan dengan seorang gadis yang berasal daripada bumi Kanggaroo itu. Aku tidak ambil peduli lagi dengan berita-berita itu. Akhirnya terjawab sudah kenapa Muaz sudah jarang untuk berbalas email mahupun berbicara melalui Yahoo! Messenger denganku lagi.
Tiada kata perpisahan, malah tiada juga kata-kata maaf daripada Muaz. Mula daripada saat itu, aku mengajar diriku bahawa Nur Shaira binti Abdul Hadi tiada lagi dalam hidup lelaki yang bernama Wan Muaz bin Wan Tajuddin. Biarpun luka yang ditinggalkan cukup menyakitkan, namun perlahan-lahan aku mula bangkit daripada kesakitan itu. Namun hari ini? Ah! aku tak mungkin maafkan dia!

"Umi dah terima pinangan Mak Wan." Luah umi tatkala kami sedang menonton televisyen bersama.
Ya ALLAH, benarkah? Benarkah apa yang aku dengari? Aku pandang wajah umi, cuba mencari kebenaran kata-kata umi tadi. Namun saat umi mengulangi kata-katanya, terasa batu menghempap kepalaku! Terasa sesak nafasku!
"Umi! Kenapa umi terima?" Aku terjerit kecil.
"Eh, bukan ke dulu Aira dengan Muaz tu..." umi tidak menghabiskan kata-katanya apabila aku menggeleng-geleng.
"Mana mungkin Aira terima dia lagi umi. Umi tahukan apa dia pernah buat pada Aira? Lagipun dia pernah kahwin, umi." Suaraku mula mengendur.
"Yang lepas tu biarlah Aira. Lagipun dia benar-benar menyesal dengan kesilapan dia. Dia sendiri mengaku depan umi dan Mak Wan. Itu silap dia." Tersentak aku dengan penyataan umi. Patutlah, seminggu dua ini Muaz tidak mengangguku lagi, ada agenda lain yang dirancangnya.
"Aira tak nak." Getusku perlahan. Hatiku sudah bulat, nekad!
"Jangan macam tu Aira. Umi dah terima, takkan pula nak tolak pula? Jangan nak malukan umi, Aira. Mak Wan tu benar-benar nak buat kamu menantu. Dia tak mahu Muaz pilih orang lain." Kata-kata umi perlahan bagai memujuk. Ah, aku anak yang tak betah melawan kata-kata orang tua. Namun dalam soal yang satu ini? Ah! aku buntu!
Aku sendiri mula serba salah. Menerima lelaki itu sebagai suamiku? Berkahwin dengan dia? Bukankah itu janjinya padaku dulu? Dia akan mengahwiniku sebaik sahaja kehidupannya stabil? Itu dulu sebelum dia sendiri memungkiri janji itu. Sanggupkah aku menerima Muaz kembali? Banyak persoalan yang menerjah benakku. Aku perlu bertemu Muaz.
Keesokkan harinya tanpa bertangguh, aku terus menemui Muaz. Dia sudah setia menanti sebaik sahaja aku tiba ditempat yang dijanjikan. Tanpa salam aku terus berdiri dihadapan Muaz. Senyumannya tidak kubalas.
"Awak memang teruk kan? Terdesak sangat ke sampai gunakan orang tua kita? Hah?" suaraku melengking. Berbeza sungguh watakku apabila berhadapan dengan lelaki ini. Aku menjadi amat dingin dan pemarah.
"Susah sangat ke awak nak terima saya?" perlahan nada suaranya jauh benar dengan nada suaraku.
"Muaz, awak tak faham lagi ke? Berapa kali dah saya cakap? Saya takkan terima awak lagi. Cukuplah sekali dulu!" bentakku sebal. Hatiku cukup keras untuk menerima lelaki ini kembali.
"Betul ke Aira? Tak ada lagi ruang untuk saya?" kedengaran saya suaranya. Ah! kejamkah aku?
Aku menggeleng-geleng. " kenapalah awak perlu balik ke sini? Dulu hidup saya aman tenteram. Namun bila awak muncul semula, semuanya jadi kucar-kacir! Saya menyesal pernah mencintai awak, saya menyesal pernah kenal dengan awak!" entah dirasuk apa, aku meluahkan kata-kata itu.
Jelas kulihat Muaz tergamam dengan luahanku itu. Matanya sayu memandangku. "Sampai macam tu sekali awak bencikan saya Aira? Saya tahu saya dah buat kesalahan besar pada awak, saya tak tepati janji saya pada awak. Tapi saya boleh jelaskan semuanya. Awak kena beri peluang pada saya.."
Segera aku memintas kata-katanya, "Berapa kali saya nak cakap, saya tak mahu dengar penjelasan awak tu. Tolonglah Muaz, saya tak nak ada apa-apa kaitan dengan awak. Tolonglah jangan ganggu saya lagi Muaz." Rayuku. Suaraku berubah perlahan.
Terdengar keluhan Muaz menampar deria dengarku. "Baiklah Aira...kalau itu yang awak mahukan. Saya takkan ganggu awak lagi lepas ni. Maafkan saya. Tapi saya nak awak tahu yang saya takkan berhenti mencintai awak..." sayu kedengaran suaranya.
Saat Muaz melangkah meninggalkan aku, aku masih terpaku cuba mencerna kata-kata terakhirnya. ‘Saya takkan berhenti mencintai awak.’ Apa maksud kata-katanya itu? Ah! Pedulikan!

Aku terkejut apabila mendapat panggilan daripada seorang wanita yang ingin betemu denganku kerana ada hal penting untuk dicakapkan. Disebabkan kesungguhan wanita itu yang berkali-kali menelefonku, tidak sampai hati untuk aku menghampakannya.
Kini, wanita tersebut sudah berada dihadapanku. Alangkah terkejutnya aku melihatkan seorang wanita berwajah kacukan berada dihadapanku kini. Mata hazelnya jelas menatapku.
"Nur Shaira?" tanya padaku. Lantas aku mengangguk. Segera dia melabuhkan duduk dihadapanku.
"Siapa awak? Macam mana boleh kenal saya?" soalku bertalu-talu. Itulah persoalan yang berlegar dibenakku sejak mendapat panggilan daripada wanita ini.
"Saya Iyv Melissa. Bekas isteri Muaz." Ringkas pengenalan dirinya. Aku? Sungguh tidak menyangka. Inilah wanita yang telah merampas Muaz daripadaku! Wanita yang turut menghancur luluhkan perasaanku. Perlukah aku memaki hamun wanita ini? Huh! Tidak ada gunanya lagi.
"Saya nak minta maaf pada awak, Shaira. Saya tahu, saya dah buat salah pada awak." Perlahan kedengaran suaranya.
"Tak ada yang perlu saya maafkan." Ringkas jawapanku. Kalau boleh memang aku akan memarahi dan menghambur kata-kata amarah pada Ivy Melissa. Tapi bukan sebegitu sifat semula jadiku. Cuma dengan lelaki bernama Muaz itu agak berlainan sifatku.
"Apa yang awak nak cakapkan dengan saya? Kata ada hal penting?" soalku tanpa bertangguh lagi.
"Saya nak beritahu awak pasal Muaz..." tersentak aku dengan jawapan Ivy Melissa. Huh! Ada apa pula dengan Muaz?
"Kenapa dengan Muaz?"
"Erm...dia sebenarnya masih cintakan awak."
Amat menjengkelkan apabila aku mendengar kata-kata itu. "Muaz suruh awak pujuk saya ke? Ataupun minta awak jadi orang tengah?" sindirku. Kulihat, Ivy hanya tergeleng-geleng menafikan kata-kataku.
"Bukan macam tu Shaira. Muaz tak pernah minta saya untuk jumpa awak. Saya sendiri yang terpanggil nak jumpa awak." Tegas Ivy Melissa.
"Saya tahu, awak marah pada kami berdua. Tapi tolonglah dengar apa yang saya nak cakap dulu."
Aku diam. Tidak memberikan reaksi langsung. Huh! Macamlah aku berminat sangat nak tahu. Ivy Melissa mula berkisar tentang kehidupannya di bumi Kanggaroo yang agak terumbang-ambing, kemudian dia bercerita pula tentang kemunculan Muaz.
"Muaz memang tak pernah nak kahwin dengan saya. Dia kahwin dengan saya pun disebabkan tak mahu saya terus hanyut lagi. Papa saya pun beriya-iya mintak Muaz kahwin dengan saya.
Muaz pun akhirnya kahwin dengan saya. Tapi dia ada cakap pada saya yang dia memang tak cintakan saya. Dia ada kekasih di Malaysia, dia tunjuk pada saya gambar awak. Saya pun terima Aira, saya tahu dia kahwin dengan saya pun sebab nak membimbing saya. Dan alhamdullillah dia melepaskan saya saat saya dah berubah dan kami berpisah dengan cara yang baik Shaira."
Terkesima aku dengan kata-kata Ivy Melissa. Tapi benarkah? "Betul ke Ivy? Susah saya nak percaya."
"Demi ALLAH, Shaira. tak mungkin saya tipu awak." Jujur Ivy Melissa mengakui. Ah! kacau!
Sy xkan pernah berhenti mcintai awk.
Maaf sy xkan ganggu awk lg. Sy akn pg jauh dr hdup
awk.
Tersentak aku tatkala mesej itu kuterima tatkala aku baharu sahaja pulang daripada bertemu Ivy Melissa. Muaz! Segera aku memberhentikan kereta di bahu jalan. Segera aku menghubungi Muaz. Namun tiada jawapan. Dua kali aku menghubunginya namun tidak diangkat. Kali ketiga terus ada pesanan bahawa talian tidak dapat dihubungi.
Ah! kalut. Pantas aku menghubungi umiku. "Muaz dah pergi semula ke Australia, Aira!" saat mendengarkan kata-kata umi itu, kurasakan kelam seluruh duniaku! Aku bersalah kerana terus-terusan menyimpan rasa marah, benci dan dendam padanya. Mengapalah aku tidak memberi peluang untuk Muaz menjelaskan perkara yang sebenarnya?
Bukan salah Muaz sebenarnya! Malah aku patut berbangga memiliki cinta lelaki yang benar-benar mulia itu. Betapa kejamnya aku!
Kini, Muaz sudah kembali meninggalkan aku...ya ALLAH, kau tolonglah hambamu ini..Aku tidak tahu lagi apa yang harus aku lakukan...
Muaz, saya juga tak pernah berhenti mencintai awak...jeritku di angin lalu.

 
You can follow any responses to this entry through the Contac Us. You can leave a response.