Cerpen : Alamanda untukmu

Angin beralun lembut petang itu. Damainya jelas terasa. Awan berarak seakan-akan tersenyum menutupi cahaya matahari yang menyengat. Waktu yang sesuai untuk beriadah. Di sebuah taman, seorang gadis sedang duduk bersila di bawah sepohon pokok yang rendang, beberapa tapak dari tasik. Gadis itu sedang melakar sesuatu di sebuah buku nota yang berwarna merah lembut. Dia memakai baju Punjabi labuh berwarna kelabu dipadankan dengan seluar slack longgar berwarna hitam. Dia memakai selendang labuh bidang 60 yang juga berwarna hitam. Kulit gadis itu berwarna putih pucat dan berwajah separa bujur. Matanya sedikit sepet dan berbulu mata lebat terpacak. Hidungnya separa mancung dan bibirnya berwarna merah jambu cerah. Sesekali gadis itu berubah kedudukan tempat duduknya kerana kakinya berasa kebas. Dia memakai stoking panjang paras tengah betis dan berkasut Converse. Gadis itu atau nama penuhnya ialah Mariah binti Ilyasa merupakan pelajar tingkatan empat di Sekolah Menengah Kebangsaan Merantau yang jaraknya hanya beberapa meter dari teratak rumahnya.

"Hoi, siapa kau?" sergah suatu suara garau gemersik tidak jauh dari tempat Mariah sedang berteduh. Dia tersentak. Spontan dia menoleh. Seorang jejaka sedang menghampirinya. Ah, dia? Hati Mariah berbisik. Mariah spontan bangun. Jejaka itu tinggi lampai dan kurus; namun badannya bukanlah ‘sekeping’. Kulitnya sawo matang. Wajahnya bujur dan rahang pipinya sedikit kelihatan. Rambutnya pendek tetapi kusut-masai. Matanya kecil sahaja tetapi pandangannya tajam menikam. Mariah tidak memandang lelaki tersebut. Matanya menekur tanah taman itu. Hatinya berdebar. Dia tidak pasti mengapa dia disergah sebegitu rupa. Dia ada berbuat salahkah?

"Pekak ke? Aku tanya siapa kau? Berani menceroboh kawasan berteduh aku!" tengkingnya. Darah Mariah tersirap. Mukanya merah padam. Oh, kawasan teduhan dia? Apa dia ingat kawasan ini dia yang punya? Hati Mariah menggerutu. Mariah mendongakkan kepala. Memandang wajah lelaki itu sekilas. Kemudian dia memalingkan badannya. Terus dia beredar dari situ tanpa bersoal jawab; tanpa protes.

Laju kakinya melangkah meninggalkan taman mini itu. Hatinya menyumpah lelaki itu. Huh, sudahlah di sekolah sudah membuat onar. Kini, di sini pula? Lelaki itu; si devian yang sering melakukan salah laku di sekolah. Ponteng kelas, kaki gaduh, pendiam dan berpakaian selekeh ke sekolah! Sebut sajalah nama Ahmad Yusuf bin Farid, mustahil tiada siapa di SMK Merantau yang tidak mengenalinya!

Sebagai pengawas sekolah,-Mariah, tentunya terlibat dalam bahagian memperbaiki disiplin pelajar. Namun dia belum pernah bertemu secara langsung seperti tadi dengan Yusuf. Yusuf; merupakan pelajar tingkatan lima dan mengambil aliran sains tulen. Sayang sekali, pelajar cerdas ketika di menengah rendah dahulu tidak dibawa ke menengah atas. Berbekalkan 7A PMR. Entah mengapa Yusuf mengalami perubahan mendadak apabila naik sahaja ke menengah atas. Jika dikatakan mengalami perubahan kerana pengaruh rakan sebaya; tidak mungkin! Sebab dengan sikapnya yang berubah demikian, dia manalah mempunyai kawan tambahan pula tahun ini dia tampak pendiam dan menyendiri. Dia akan bergaduh jika orang lain yang mengganggunya.

Mariah berjalan di tepi Jalan Desa. Terdapat kawasan perumahan di tepi jalan ini. Rumah teres dua tingkat yang sederhana berwarna jingga terang dan atap berwarna merah. Di hadapannya terdapat persimpangan jalan yang di tepinya mempunyai rumah-rumah teres dua tingkat. Kakinya berhenti melangkah di sebuah rumah. Di tepi pintu pagar itu terlekat perspek berwarna hitam yang tertera NO. 23. Di kawasan rumah itu terdapat sebuah kereta Honda Civic berwarna hitam dan dua buah basikal kanak-kanak serta sebuah basikal dewasa.

Mariah menolak pintu pagar yang dicat dengan warna emas yang tidak berkunci itu. Dia mengetuk pintu rumah yang diperbuat dari kayu jati dengan disertai salam. Dia memutarkan tombol pintu. Berkunci. Di dalam kedengaran suara-suara bising yang tidak asing lagi. Tangannya mengetuk pintu bertalu-talu. Dia memilih untuk tidak meninggikan suara, khuatir mengganggu jiran-jiran sebelah. Pintu dibuka. Seorang kanak-kanak lelaki berwajah bulat dan berkulit coklat cerah terjengul di muka pintu sambil tersengih. Gigi dua batangnya yang rongak kelihatan.

"Kak Mar dah balik!!" jerit kanak-kanak di hadapannya itu sambil menembak pistol air ke wajahnya. Mukanya tepat terkena palitan air tersebut. Pantas kanak-kanak itu berlari masuk ke dalam rumah.

"Am, jaga kau!" Mariah memberi amaran. Dia meletakkan kasut Converse yang dipakainya di rak kasut. Rak kasut kayu berjaring tiga tingkat itu penuh dengan kasut-kasut dan selipar. Selipar berwarna biru langit milik Abang Mus, kasut-kasut sekolah berwarna putih yang bersaiz budak-budak sekolah milik adik-adiknya, Hussein dan Masyitah. Dua pasang kasut hitam jenis kulit tiruan miliknya dan Abang Mus; kasut sekolah. Kasut berkilat jenis kulit milik ayah yang berwarna hitam, sandal milik ibu yang berwarna putih keperakan serta selipar-selipar adik-adiknya yang lain untuk pergi jalan-jalan. Dia masuk ke dalam rumah sambil mengesat mukanya yang terkena air dengan telapak tangan kanan.

# # #



Yusuf duduk bersandar di bawah pokok rendang di taman tersebut. Memikirkan siapa gadis pengecut yang melarikan diri tanpa sepatah bicara. Melawan tidak, menjawab tidak. Huh, penakut! Hatinya menafsir sendiri. Dia menarik nafas. Kakinya dilunjurkan. Tangannya disilangkan rapat ke perut. Tiba-tiba matanya menangkap sesuatu di sisinya. Terletak sebuah buku sebesar buku log berwarna merah lembut tergeletak di situ. Tertera tulisan tangan di atas kulit buku tersebut yang bulat-bulat dan tegak, tertulis ‘ALAMANDA’. Tangannya mencapai buku itu. Apabila dibuka, di tengah helaian muka suratnya terdapat sebatang pensel dan pemadam. Dilihatnya muka surat itu.


Sebuah lukisan cantik terlukis indah. Pemandangan sebuah taman, terdapat tasik yang berjambatan, angsa-angsa sedang berenang di tasik dan burung-burung berterbangan. Terdapat juga teratai di permukaan tasik dan bunga-bunga liar tumbuh di tebing tasik. Warna dan bayangan lukisan tersebut diwarnakan dengan pensel sahaja. Tetapi kelihatan sungguh cantik. Senikah ini? Cetus hatinya. Dialihkan pensel dan pemadam tersebut.

Halaman-halaman yang lain dibeleknya tanpa rasa bersalah menceroboh hak milik orang tanpa izin. Pada halaman yang pertama terdapat lukisan sekuntum bunga Alamanda yang dilukis cantik sekali dan hanya diwarnakan dengan pensil juga. Terdapat lukisan potret sebuah keluarga yang besar.

Terdapat seorang lelaki yang berada di tengah, mukanya sedikit berkedut. Berjanggut sedikit lebat dan berkopiah. Mungkin ini seorang bapa. Di sebelah kanannya pula seorang wanita yang juga berkedut sedikit di wajahnya. Bertudung labuh dan sedang tersenyum. Di kiri lelaki itu terdapat pula dua orang lelaki dewasa yang lain. Seorang berkaca mata manakala yang seorang lagi tidak. Di kanan wanita tadi pula terdapat gambar dua orang gadis. Seorang berselendang labuh manakala seorang lagi bertudung labuh. Di hadapan mereka terdapat tiga orang kanak-kanak. Yang paling kanan seorang kanak-kanak lelaki yang rambutnya kusut-masai yang sedang tersengih. Di tengahnya pula terdapat seorang kanak-kanak perempuan yang rambut panjangnya ditocang dua. Seorang budak lelaki yang botak berada di sisi kirinya.

Keluarga yang besar.


Dia terus membelek. Terdapat lagi lukisan-lukisan bertemakan flora dan fauna seperti bulan yang cahayanya dipantulkan ke dasar laut. Lukisan kucing yang sedang tidur, titisan hujan dan embun di dedaunan.


Ah, sungguh berbakat!


Barulah hatinya diterpa perasaan ingin tahu siapakah pemilik buku berwarna merah lembut ini. Dia membuka lembaran paling hadapan yang terlukis sekuntum bunga alamanda tadi. Baru dia tersedar di bahagian bawah di sudut kiri sebuah tulisan bulat-bulat dan tegak ditulis dengan saiz yang kecil;


MARIAH ILYASA a.k.a. MAR 4 MERANTI.


Yusuf tersentak. 4 Meranti? Dia bersekolah di SMK Merantau jugakah? Siapa? Dia mula berfikir. Gadis tadikah? Aneh, dia berasa baru pertama kali melihat gadis itu. Tidak pernah dia bertemu wajah itu di sekolah, agaknya. Dia tersenyum.



Gadis ini memang berbakat.


* ** *** ***

Mariah mulai berasa runsing. Buku lukisannya telah hilang. Dia terlupa di mana kali terakhir dia meletakkan buku lukisan yang berwarna merah lembut tersebut. Seluruh kamarnya telah digeledah, dipunggah, dibelek, namun sedihnya masih belum dijumpai. Dia hampir putus asa dan hampir menangis.



"Mar ada salah letak di mana-manalah tu. Nanti jumpalah, biasanya macam tulah kan?" kata-kata Abang Mus langsung tidak dapat melenyapkan kesedihan hatinya. Dia telah bertanya kepada seluruh penghuni teratak rumah itu, sama ada mereka terlihat akan buku berwarna merah lembut yang tertulis ‘ALAMANDA’ di kulit hadapannya. Namun semuanya menggeleng atau menjungkit bahu. Ketiga-tiga adiknya juga kelihatan tergeleng-geleng kepala menafikan mereka ada terjumpa buku lukisannya. Amran yang paling bongsu, berumur empat tahun kelihatan takut-takut apabila Mariah menyoalnya dengan serius. Masyitah, adiknya yang berumur tujuh tahun itu yang sangat suka menyuruh umi mengikat rambutnya bertocang dua pula siap menjerit mengatakan dia tidak pernah terjumpa atau mengambilnya.

"Sein pun tak ambil dan tak terjumpa pun kat mana-mana," Hussein, adiknya yang berumur 12 tahun menafikan dengan keras sebelum sempat Mariah bertanya kepadanya. Sekarang, fikirannnya sudah buntu. Dia amat sayangkan buku lukisan yang diberi nama Alamanda itu.. Ia merupakan hadiah hari lahirnya yang kelima belas yang dihadiahkan oleh Kak Da, satu-satunya kakaknya. Kak Da telah pun berumah tangga dua bulan yang lalu, tinggal bersama suaminya di sebuah apartmen di negeri suaminya itu.



Di sekolah, dia kelihatan sugul. Rakannya, Amirah telah sedia maklum apa yang menyebabkan rakannya itu bermuram durja. Amirah, gadis rendah dan kecil molek, berkaca mata dan berkulit sawo matang. Amirah cuba membuka topik supaya dapat menghilangkan sebentar kegusaran Mariah. Mereka ketika itu sedang berjalan kaki pulang ke rumah selepas tamatnya sesi persekolahan.



"Oh ya, kau tahu tak.. Aku ternampak si senior kita yang terlebih famous nak mampus tu tersenyum seorang diri di belakang blok form 5. First time aku nampak dia senyum, boleh tahan jugak," ujar Amirah sambil tersengih seorang diri.


"Senior mana pulak ni? Headboy ke?" soal Mariah malas, tidak berminat.


"Hish..kau ni. Kalau dah terlebih famous siapa lagi kalau bukan si Yusuf tu, yang selalu buat onar kat sekolah ni," terang Amirah sambil memandang tidak percaya kepadanya. Spontan otak Mariah mencerna apa yang diberitahu oleh Amirah. Mata Mariah kemudiannya membulat, bersinar harapan.

"Alamandaku! Aku dah ingat kali terakhir aku letak kat mana! Thanks Ami, aku sayang kau.. Esok aku belanja kau makan, kau minta saja apa yang kau nak. Mari jalan cepat, aku ada tempat nak pergi nanti." Ujar Mariah bersemangat. Amirah terkebil-kebil mekihat rakannya yang telah sembuh daripada kesedihannya sebentar tadi. Seolah-olah telah diberikan ciuman oleh prince charming?

"Mar…apa.."

"Esok aku terangkan. Mari temankan aku ke taman mini di kawasan perumahan kita sekejap." Mariah menarik lengan Amirah supaya Amirah mengikutinya.

"Nak buat apa?"

"Ikut sajalah!"


Amirah kemudiannya menurut tanpa banyak soal padahal ketika itu dia merasakan ingin mengasak Mariah dengan bertubi-tubi soalan. Mereka tiba di taman mini di mana terdapat sebuah tasik kecil di tengahnya dan terdapat beberapa pohon yang rendang di sekelilingnya. Terdapat sebuah jambatan melengkung di tasik itu membolehkan pelawat menikmati panorama di taman mini itu. Bangku juga tersedia di taman permainan untuk kanak-kanak tidak jauh dari tasik itu.


"Kau datang sini nak ajak aku main gelongsor? Atau buaian? Atau jongkang-jongkit?" sindir Amirah. Mariah tidak mendengar dan terus menuju ke pohon rendang yang dia berehat di situ pada hari pertemuan yang tidak disangka dengan senior Yusuf. Amirah mengikutinya dari belakang. Mariah berpusing mengitari pohon itu sebanyak tiga kali dan apabila dia masih melalut mencari-cari untuk kali keempat, Amirah mencelah;


"Kau buat lawak tak jadi apa ni? Tolonglah jangan buat macam orang tak betul macam tu,"



"Aku tengah cari Alamanda! Baru aku teringat, aku tertinggal buku lukisan tu kat sini bila kau buka cerita pasal Yusuf. Tapi mana ni, tak ada pun.." Mariah kelihatan hampa. Amirah mengerutkan dahi.



"Apa kena mengena Yusuf dalam hal ni pulak? Watak utama sebagai hero penyelamat?"



"Ami!!"



"Yelah, yelah.. Boleh tak kau cerita satu persatu apa yang dah jadi sebenarnya supaya aku tak buat andaian aku sendiri?" pinta Amirah penuh berharap. Lalu mereka duduk di bawah pohon tersebut, melepaskan beg mereka lalu diletakkan di sisi sambil Mariah menceritakan seluruh kisah yang ingin diketahui oleh Amirah dari awal hingga akhir.



"Haha.. Boleh je kau blah camtu? Kalau aku, dah lama aku hambur balik pada dia. Apa dia ingat tempat ini nenek moyang dia yang punya ke?" komen Amirah sambil tersenyum lucu.



"Apa kes nenek moyang ni cik adik?" suatu suara garau gemersik menyampuk entah dari mana. Mariah dan Amirah terkedu, diam sejenak. Lalu Mariah memandang ke kirinya. Beberapa tapak dari tempat mereka berteduh, berdiri seorang jejaka yang tinggi lampai, berkulit sawo matang dan bermata kecil tetapi tajam menikam sedang mengangkat alis kanannya apabila Mariah memandangnya. Di tangan jejaka itu terdapat sebuah buku berwarna merah cerah. Mariah serta-merta berdiri, begitu juga dengan Amirah.



"Assalamualaikum, maaf kerana mengganggu. Ini buku lukisan awak ke..?" soal Yusuf sambil menghulurkan buku berwarna merah cerah tersebut. Anehnya, dia kelihatan ramah sahaja hari ini. Siap memberi salam lagi, tidak seperti pertemuan pertama dahulu. Jarak kedudukan mereka sama seperti tadi kerana Yusuf langsung tidak melangkah mara ke depan tetapi masih berdiri di tempatnya tadi. Amirah di sebelahnya termengkelan tetapi mereka berdua serentak menjawab salam jejaka tersebut. Yusuf juga ketika itu mungkin baru pulang dari sekolah kerana dia masih memakai pakaian seragam sekolah. Memang selekeh sekali dia ini.



"Ya, memang buku saya." Jawab Mariah apabila mengambil buku lukisannya itu dan membelek isi di dalamnya. Mariah memandang curiga ke arah Yusuf.



"Maaf, saya telah membelek bahagian isinya di dalam. Awak tertinggal buku ni pada hari tu.." ayat Yusuf mati di situ dan dia menundukkan wajahnya. Mariah dapat merasakan yang Yusuf mungkin berasa bersalah akan pertemuan mereka yang dingin dan kedinginan itu diwujudkan oleh Yusuf sendiri.



"Maaf pasal hari tu.."



"Takpe, saya faham. Terima kasih sebab memulangkan buku ni. Kami pergi dulu," Mariah pantas memotong sebelum Yusuf sempat menghabiskan kata-katanya. Mariah menggalas beg sekolahnya dan mengambil beg sekolah Amirah lalu menarik lengan Amirah dan berniat ingin meninggalkan tempat ini secepat mungkin.



"Tunggu dulu!"



Belum sempat Mariah melangsungkan niatnya, Yusuf memintanya tunggu. Amirah senyum bermakna pada Mariah.



"Boleh kita berkenalan?" pinta Yusuf dengan suara garau gemersiknya itu. Wajahnya tampak bersahaja, sukar ingin menebak tujuan sebenarnya. Mariah terkedu.



"Boleh, apa salahnya. Saya Amirah binti Osman. Ini kawan saya, Mariah binti Ilyasa. Kami sekelas di Tingkatan 4 Meranti dan juga satu kampung di kawasan perumahan ni. Salam perkenalan," Amirah dengan seenaknya menyambut permintaan Yusuf. Mariah merasakan wajahnya hangat disimbahi darah merah di dalam badannya yang menyerbu ke muka.



"Nama saya Ahmad Yusuf bin Farid. Tingkatan 5 Cengal dan juga tinggal di kawasan perumahan ni. Salam perkenalan juga.. Awak berdua tinggal di rumah nombor berapa?" soal Yusuf mesra sahaja, dan watak ‘mesra’ dan ‘ramah’ langsung tidak terlintas di fikiran Mariah yang ada pada Yusuf kerana khabar-khabar angin mengatakan Yusuf ini pendiam dan perengus. Jadi siapakah yang berada di hadapannya hari ini? Jembalang Yusuf?



"Maaf, kami terpaksa pergi sekarang. Assalamualaikum," pintas Mariah sebelum Amirah sempat menjawab soalan Yusuf. Lengan Amirah ditarik mengikutinya dan mereka berlalu meninggalkan Yusuf yang ketika itu sedang tersenyum simpul.







*** ***** ******






Hari masih pagi benar. Langit masih gelap membiru sementara matahari masih cuba untuk mencuri pandang untuk menebarkan cahayanya. Angin dini hari yang dingin terasa mencucuk-cucuk. Taman mini yang menjadi mangsa lepaknya lengang; sunyi sekali. Yusuf merebahkan dirinya ke atas rumput yang menghijau di tebing tasik. Dedaunan hijau masih lagi berembun. Sesekali dia melepaskan keluhan, mengimbau kembali peristiwa semalam yang menyebabkan dia merasakan dia disihir ketika itu. Entah mengapa dia berubah menjadi Yusuf yang peramah- sifat yang terakhir sekali untuk dia pilih apabila berkomunikasi dengan sesiapa saja sejak… Ah, lupakan!



Kuasa sihir apakah yang dimiliki oleh gadis itu yang menyebabkan dia begitu ringan mulut untuk memohon salam perkenalan? Mungkinkah kerana lukisan-lukisan gadis itu di dalam buku lukisannya yang membuat hatiku tertarik atau disebabkan kenangan bunga alamanda itu sendiri? Ah, sukar sungguh untuk menebak hati ini yang sudah tidak mendengar arahan tuannya! Yusuf mengeluh lagi lalu bangun berdiri, ingin berjoging seperti kebiasaan hariannya pada hari minggu sebegini.



Sejak dari peristiwa ‘perkenalan’ di taman mini tersebut, mereka sering sahaja terserempak di kawasan sekolah dan juga di sekitar kawasan perumahan Taman Merwing ini. Di mana ada Mariah, di situlah adanya Amirah menemani sisinya. Dua bulan selepasnya mereka bertiga menjadi kawan, kawan biasa kata Mariah. Mariah pernah terfikir dan bagaikan tidak percaya boleh berkawan dan bercakap dengan kaki ponteng, kaki gaduh dan perengus di sekolah mereka. Apabila berbual dengan Yusuf, dirasakannya Yusuf bukanlah seperti khabar-khabar angin yang pelajar-pelajar lain sering sebutkan.



"Yusuf, betul ke kau ni suka ponteng kelas dan suka cari pasal dengan orang? Aku rasa macam mustahil je bila kitorang berkawan dengan kau," Amirah memberikan pendapat ‘berani’nya pada suatu petang sewaktu mereka berada di taman mini di kawasan perumahan mereka, Taman Merwing. Mariah dan Amirah berteduh di bawah pohon rendang yang menjadi saksi perkenalan mereka dua bulan yang lalu. Yusuf pula berada di dalam jarak lebih kurang lima tapak kaki daripada mereka iaitu di tepi tebing tasik kecil itu. Mereka sedang mengulangkaji pelajaran di taman mini tersebut. Mata pelajaran add maths.



"Dulu..mungkin.. Tak, bukan ‘mungkin’ tapi memang ‘iya’. Dulu aku bagaikan dah hilang arah untuk hidup. Sekarang, mungkin pengalaman yang menyebabkan aku berubah dan menerima hakikat," jawab Yusuf sambil mengeluh, melemparkan pandangan kepada kanak-kanak yang sedang bermain di taman permainan. Mariah menjeling menegur ke arah Amirah. Mereka berdua sebenarnya sedikit kabur dengan jawapan jejaka itu tetapi tidak berani menyoal dengan lebih lanjut.



"Mariah, awak pandai melukis kan? Boleh tak saya minta tolong awak lukiskan sesuatu untuk saya?"



Mariah yang ketika itu sedang leka bermain dengan pensil dan buku lukisannya yang bernama Alamanda mendongak terkejut memandang Yusuf. Jejaka itu masih lagi memandang ke tempat permainan kanak-kanak tadi. Amirah memandangnya sambil tersengih sambil menaikkan ibu jari.



"Saya bukannya pandai sangat melukis. Conteng-conteng macam tu je bolehlah." Kata Mariah merendah diri sambil matanya menikam helaian buku lukisan kesayangannya. Buku latihan add maths miliknya ditindih dengan buku Alamanda itu.



"Please… Saya berharap sangat.." Yusuf terus mendesak dengan suara mendayu gemersiknya itu. Sekilas Yusuf memandang wajah Mariah dan sekilas itu juga dia berpaling, mengarah matanya menjamah telatah kanak-kanak sebentar tadi. Mariah serba-salah.



"Diam tandanya setujulah tu. Malu-malu pulak kau ni, Mar.. Biasalah tu, dia ni tak boleh orang puji sikit. Tengok, muka dia dah merah.." usik Amirah sambil ketawa kecil.



"Ami!!"



Amirah dan Yusuf serentak tergelak, membuatkan Mariah malu sendiri. Amirah mengerling jam tangan berwarna hitam di pergelangan tangannya. Hampir menunjukkan pukul lima petang.



"Dah nak pukul lima ni. Marilah balik, tak baik berlama-lama sangat kat sini. Jom balik sama-sama," ajak Amirah sambil membetulkan kaca mata berpetaknya.



"Mariah…boleh kan tolong lukis..?" Yusuf rupanya masih menanti jawapan Mariah sedari tadi yang masih membisu. Sedetik…dua detik.. Mariah kemudiannya mengangguk dengan mata masih menikam helaian buku lukisan Alamandanya. Terpancar sinar kegembiraan di wajah Yusuf ketika itu.



"Jom gerak! Aku dah bosan tengok drama korang ni..aishh.." usik Amirah sambil berpura-pura mempamerkan wajah bosannya lalu bingkas berdiri. Nota add maths di tangannya yang terkuak sedari tadi dicantumkan kembali yang juga terselit pensil 2B di tempat yang baru dibacanya.



"Ami!!" kali ini jeritan kecil itu serentak keluar daripada mulut Mariah dan Yusuf. Amirah tergelak. Wajah keduanya telah berubah riak.





* * *





"Berkawan dengan si Yusuf yang perangai ‘bagus’ tahap gaban tu? Korang tak fikir ke pasal keselamatan korang? Budak macam dia tu mesti ada muslihat apa-apa untuk dekati kamu berdua ni!" bentak Abang Mus marah ketika berada di belakang halaman rumah Mariah. Mariah dan Amirah terkulat-kulat mendengar ‘syarahan’ Abang Mus. Abang Mus ternampak mereka bertiga berjalan beriringan bersama jalan-jalan di Taman Merwing sementara haluan pulang rumah mereka masih lagi sama. Abang Mus merupakan bekas pelajar SMK Merantau dan tahun ini sedang menunggu keputusan peperiksaan SPM. Semasa tahunnya, nama Yusuf telah cukup popular.



"Yusuf tu baik aje, dia tak pernah ambil kesempatan pun dekat kitorang. Cubalah Abang Mus sendiri berkawan dengan dia.." Amirah menjawab dengan wajah yang tegang.



"Oh, ‘baik’ la kononnya? Mula-mula memang la baik sebab nak raih percaya korang, lepas dapat yang tu, barulah dia pedajal! Dia kasi korang merokok ke...apa entah nanti.."



"Abang Mus jangan nak main cakap sedap mulut aje!! Dia dah berubah. Sekarang dia selalu hadir ke kelas, datang awal ke sekolah, penampilan pun semakin kemas...dan juga.." ayat Amirah pantas dipintas oleh Abang Mus yang semakin berang.



"Apa-apa pun aku tak suka korang berkawan dengan orang yang ada masalah macam dia tu! Hati orang ni kita tak boleh jangka baik buruknya!"



"Abang Mus mungkin ada hak untuk halang Mariah daripada berkawan dengan Yusuf, tapi bukan dengan saya!! Abang Mus bukannya sesiapa dan langsung tiada hak untuk halang saya berkawan dengan Yusuf. Macam yang Abang Mus cakap tadi, hati orang lain kita tak dapat jangka baik buruknya. Jadi, Abang Mus ni ada kuasa psikik dapat tahu yang Yusuf tu memang jenis pedajal orang?" hambur Amirah tanpa berlapik.



Abang Mus hanyalah abang kepada Mariah, rakan karibnya dan bukannya keluarganya yang hendak melarang itu ini. Pantas dengan itu, Amirah lantas keluar dari halaman rumah Mariah, menuju pulang ke rumahnya yang hanya selang beberapa buah rumah dari rumah Mariah. Abang Mus mendengus menjeling kelibat Amirah yang berlalu pergi. Mariah pula yang diam tidak menjawab sedari tadi, masuk ke dalam rumah tanpa memandang wajah abangnya yang sedang dilanda nafsu amarah.






*** **** ***** ***






Alamanda. Pokok ini jenis renek. Bunganya berwarna kuning. Berasal dari Brazil. Bunganya di hujung tangkai dan berbentuk corong seperti cawan.



Yusuf tersenyum apabila membaca info yang diperoleh oleh internet yang dicarinya. Entah mengapa di dalam kesibukannya membuat kerja kursus untuk SPM di cyber cafe, dia tiba-tiba sahaja tergerak hati untuk mencari maklumat tentang bunga Alamanda.



Nama Melayu: Bunga Alamanda Kuning

Keluarga: APOCYNACEAE

Nama Saintifik: Allamanda cathartica L.

Saiz Biasa: 8 cm

Nama Lain: Small Leaved Butter Cup



Tanpa disedari, bibirnya mengukir senyum di depan komputer di dalam kesesakan remaja di cyber cafe Taman Merwing tersebut. Alamanda... ibu.. Ida.. dan.. Mariah…? Mengenali Mariah menyebabkannya kembali mengingati dua orang perempuan yang amat dikasihinya, seakan-akan mereka telah hidup kembali mengisi ruang hatinya. Atau mungkinkah tempat itu telah diisi oleh gadis pemalu itu? Yusuf menggeleng kepalanya.



Tidak mungkin! Tiada siapa dapat mengisi ruang hati ini selain mereka! Begitu juga dengan abah.. Tiada sesiapa..



Amirah pula gadis yang peramah dan kuat menyakat. Yusuf juga amat menyenangi Amirah yang sentiasa punya topik untuk dibualkan berbanding dengan Mariah, yang lebih banyak mendiamkan diri. Mariah lebih banyak mendengar dan juga mempunyai bakat melukis. Sama seperti Ida.. Yusuf menarik nafas panjang, langsung tersenyum sendiri lagi. Yang pastinya dia kini tidak lagi seperti orang yang meraba dalam keadaan antara gelap dan terang.. Mahupun malap.. Tiba-tiba sahaja di dalam benaknya menerjah tafsir ayat al-Quran yang dibacanya semalam.



"Barangsiapa yang disesatkan ALLAH maka adalah petunjuk baginya dan dibiarkan-Nya mereka dalam kedurhakaan serta dalam keraguan." [Al-A’raf: 186]



Dan aku bersyukur kerana masih diberi peluang untuk memperbaiki masa lalu.. Terima kasih Ya Rabb..





* * * *



Mariah menengadah siling. Memandang kosong kipas yang sedang berputar ligat, bagai sedang berusaha memusingkan kepalanya bersama. Terasa sesuatu yang mencucuk-cucuk di hatinya. Perasaan apakah ini? Hampir seminggu dia seperti ibu mati anak. Buat sesuatu serba tak kena. Astaghfirullah, laghakah dia?



"Apabila kita berasa resah, kembalilah pada ALLAH. Hanya DIA yang memahami apa yang ada di dalam hati hamba-Nya." Kata-kata abi semalam tiba-tiba sahaja mencucuk dalam benaknya. Nampaknya abi tahu bahawa anaknya ini sedang dalam keresahan, kebuntuan. Mariah segera bangun daripada perbaringan, menuju ke bilik air. Rambut separas siku ditocang kuda. Dia mengambil wuduk.



Keluar dari kamar mandi, Mariah mencapai jam tangannya di tepi katil. Lagi dua minit sebelum mencecah pukul 10 malam. Tadi dia sudah solat isyak. Baiklah Mar, kali ini tunaikan solat sunat hajat! Mariah tersenyum sendiri.



Sesungguhnya ALLAH ialah sebaik-baik tempat untuk mengadu. Kadang-kadang kita alpa, kita lupa pada-Nya. Namun pintu taubat-Nya terbuka luas untuk hamba-Nya. ALLAH AL-GHAFUR, Maha Pemberi Ampun. Okey, Mar.. Lepas ni solat sunat taubat pula!



Mariah bermonolog dengan hatinya. Kain sembahyang telah disarung. Tarik nafas. Niat. Takbir. Mariah mulai bertemu dengan Rabbnya.






**** **** ***** ***






"Dia pindah ke Selangor ikut keluarganya minggu lepas." Cerita Amirah padanya pada waktu petang yang membingitkan di taman mini kawasan perumahan mereka. Di bawah pohon rendang yang dahulunya sebahagian merakam cerita mereka di taman tersebut.



"Emm.."



"Terkejut? Aku lagi terkejut, tahu last minute bila dia telefon kasi tahu yang dia sudah pindah sana. Bukannya nak kasi tahu awal-awal pada kita." Bebel Amirah lagi. Mariah hanya diam walhal pada awalnya dia juga terkejut dengan berita tersebut. Hatinya terasa terkilan. Potret lukisan yang dipinta oleh Yusuf baru sahaja dia siapkan semalam, setelah seminggu bertungkus-lumus melukisnya. Tup tup, Yusuf pindah ke Selangor tanpa pemberitahuan mereka. Dan mungkin juga dia terkilan kerana.. Yusuf hanya memberitahu Amirah yang dia telah pindah ke Selangor? Soal hatinya sendiri. Tanpa sedar, dia telah meramas pasir dengan tangan kirinya. Menggigil tangannya.



"Lukisan tu dia belum ambil lagi.." Mariah mengeluarkan suaranya tika ini seolah-olah suaranya tadi tersekat di kerongkong.



"Oh, pasal lukisan tu dia suruh kau simpan dulu. Maklumlah, dia kan pindah tergesa-gesa. Belum sempat aku tanya lebih lanjut, dia sudah letak telefon. Dia tak nak kita contact dia kut, tu pasal dia call aku guna public phone."



Tangan Mariah makin kuat mencengkam pasir di atas tanah bawah pohon tersebut. Dia masih ingat lagi sebulan yang lepas, Yusuf memberinya sepucuk gambar ketika dia berjalan pulang dari sekolah. Katanya, tolong lukiskan gambar orang di dalam gambar tersebut. Kemudian, dia hanya beredar meninggalkan mereka berdua begitu sahaja. Agaknya dia tahu bahawa Abang Mus tidak suka dia mendekati mereka. Ataupun Abang Mus telah berjumpa dengan dia memberi amaran? Entahlah, dia tidak berani meneka, apatah lagi bersangka buruk pada abangnya sendiri.



Dia dan Amirah meneliti gambar tersebut. Seorang gadis manis sedang bersimpuh sopan di atas bangku. Latar belakang tempat dia berada itu seperti di sebuah taman rekreasi. Gadis tersebut memakai sepasang baju kurung berona merah jambu lembut dengan corak bunga-bunga kecil berwarna merah terang, dipadankan dengan tudung hitam. Bibir gadis itu mengukir senyum. Kulitnya putih bersih, wajahnya bujur dan bermata bulat tajam. Amirah membuat andaian yang gadis itu mungkin adik Yusuf, bukannya ‘makwe’ seperti yang Mariah andaikan. Sampai di rumah, dia hanya membiarkan gambar tersebut di dalam buku lukisan Alamanda.



Esokan harinya dia dan Amirah terserempak lagi dengan Yusuf seperti hari-hari kebiasaannya. Dia mengambil peluang tersebut untuk bertanya pada jejaka itu.



"Dia adik saya, Shahida." Jawapan yang ringkas, tetapi cukup untuk membuatkannya puas hati. Amirah pula asyik mengacahkannya sepanjang pulang ke rumah pada hari tersebut.



"Macam mana dia tahu nombor handset kau?" Soalnya tanpa ditahan-tahan pada saat ini, kepada Amirah.



"Seminggu sebelum dia pindah, dia ada minta. Katanya penting untuk berhubung suatu hari nanti. AKu ingatkan dia buat lawak ke apa." Amirah mengeluh. Jadi, di sinikah semuanya berakhir? Beginikah? Mariah menarik nafas panjang. Yusuf, siapa kau sebenarnya? Sepanjang perkenalan mereka hampir tujuh bulan, tiada apa pun perkara tentang Yusuf diketahui oleh mereka. Dia peramah, tetapi langsung tidak pernah menyentuh hal peribadinya. Mereka juga tidak menyangka dia mempunyai seorang adik. Patutlah mata gadis itu mirip sahaja dengan mata Yusuf. Sesenang Yusuf berkawan dengan mereka, sesenang itu jugalah dia meninggalkan mereka.





* * *



Yes! Paper akhir!! Mariah menarik nafas lega. Satu lagi kertas; add math. Kertas fizik tadi pun alhamdulillah, sedikit sebanyak dapat jugalah dia jawab. Jawab kertas peperiksaan akhir tahun bagaikan kalah menjawab kertas peperiksaan SPM pula rasanya. Padahal lagi tahun hadapan dia akan mengadap ujian besar tersebut! Bahangnya seakan terasa pula.



"Mar, dapat jawab last paper tadi?" soal Amirah ketika mereka sama-sama dalam perjalanan ke kantin sekolah.



"Alhamdulillah, boleh la. Cuma takut terkejut sakit jantung aja bila result sampai kat rumah cuti nanti." Jawabnya sambil tergelak kecil. Yalah, dia bukannya sepintar gadis kecil molek berkaca mata di sebelahnya ini yang berada dalam top 10 ranking sekolah!



"Terkejut konon. Manalah tahu result kau nanti kasi gegar satu sekolah. Nama aku pun boleh tumpang naik sekali." Amirah berkata sambil tergelak kecil. Mariah menjungkit bahu sambil mengeleng kepala. Apa yang dia sedar sekarang, dialah sebenarnya yang tumpang sekaki dengan nama baik Amirah yang pintar itu.



"Mar, aku ada benda nak bagi pada kau balik sekolah nanti. Kita duduk-duduk dekat taman dulu ya."



"Okey." Mariah bersetuju tanpa banyak soal. Lantai kantin dihentam dengan kaki-kaki mereka dan beberapa pelajar yang lain. Kantin lengang sahaja. Maklumlah, hari-hari akhir persekolahan tahun biasanya pelajar dibenarkan pulang awal dari sekolah.



Dalam perjalanan pulang dari sekolah, mereka melalui kawasan perumahan mereka menuju ke taman mini. Cuaca agak panas sedang matahari memacak di atas, meresap ke ubun-ubun kepala. Jam di tangannya sudah menunjukkan pukul 1.12 petang. Wajah Mariah yang kulitnya putih pucat itu sudah mulai memerah. Matanya yang sedikit sepet itu mulai mengecil.



"Kau nak bagi aku big hug ke dekat aku ni? Pelik benar aku rasa.. sampai kena ajak pergi ke taman?"



"Tak kuasa aku nak peluk kau yang baru balik sekolah. Nanti habis bau badan kau melekat kat tubuh aku! Huh!" Amirah menyambut gurauan Mariah sambil tersengih-sengih.



"Tak boleh ke beri benda tu dekat rumah aku je?"



"Tak hendak aku tengok muka abang kau yang tersayang tu!" suara Amirah sudah meninggi sedikit nadanya. Mariah pantas menampar dahinya, terlupa yang Amirah jarang ke rumahnya sejak peristiwa Abang Mus memarahi mereka berkawan dengan Yusuf. Dia tidak menyangka yang Amirah masih belum dapat melupakan peristiwa hari tersebut. Atau Amirah ada menyimpan perasaan pada Yusuf? Sebab itulah dia terlalu marah dan tidak dapat menerima Abang Mus mencela Yusuf?



Hati Mariah berdegup dengan lebih kencang. Barulah dia terfikir, apakah ‘benda’ yang ingin diberi oleh Amirah padanya? Mungkinkah sebenarnya Amirah sebenarnya ingin memberitahunya tentang isi hatinya tentang Yusuf? Mengarut! Mariah menggeleng kepalanya sendiri separa sedar.



"Geleng-geleng kenapanya? Memang betul pun, Abang Mus tu dah melampau sangat-sangat." Kata Amirah pantas apabila melihat Mariah menggeleng kepalanya sebentar tadi. Padahal sebenarnya Mariah memikirkan hal yang lain.



"Huh?"



"Okey.. Destinasi kita dah sampai!" ujar Amirah sambil menunjukkan telunjuk kanannya tepat pada pokok yang rendang di taman tersebut. Pokok yang membawa nostalgia pada mereka. Kakinya pantas melangkah menuju ke pohon tersebut meninggalkan Mariah yang jauh ke belakang yang masih terpinga-pinga. Mariah berlari-lari anak mengekori rakannya itu. Di bawah pohon tersebut, Amirah melepaskan beg sekolah berwarna kuning cairnya lalu dibuka zip. Mariah hanya memerhati. Sebuah kotak hadiah yang berwarna merah jambu pudar dikeluarkan.



"Untuk kau." Amirah menghulurkan kotak hadiah itu kepadanya. Mariah mempamerkan raut wajah yang kehairanan. Tanpa diduga, Mariah ketawa galak. Sah la Ami ni kena virus demam pelik, apahalnya bagi aku hadiah ni?



"Gelak nak mati ni kenapa? Mana ada aku buat lawak?" marah Amirah sambil menepuk bahu Mariah yang masih ketawa. Wajah Mariah yang merah dek terkena panasnya pancaran matahari semakin memerah.



"Okey.. okey.. Maaf la.. Kau buat lawak tak dirancang la, Ami. Birthday aku dah lepas berkurun lamanya. Kau kan dah bagi hadiah buku ‘Jangan Bersedih’ oleh Dr. Aidh Al-Qarni tu.. Aku dah sempat khatam lima kali dah.." Tawa Mariah masih bersisa. Pada ulangtahun hari jadi Amirah yang keenam belas, Mariah telah menghadiahkannya novel ‘Tautan Hati’ oleh Fatimah Syarha. Kemudian pada hari ulangtahun keenam belas Mariah, Amirah menghadiahkannya buku terjemahan ‘La Tahzan’ itu. Ustazah mereka pernah menasihati, jika ingin menghadiahkan sesuatu buat orang lain, hadiahkanlah sesuatu yang boleh dimanfaatkan oleh penerima tersebut. Kelak, mungkin kita juga akan mendapat pahala yang berterusan jika menghadiahkan sesuatu yang bermanfaat.



"Tulah, aku belum habis cakap lagi kau dah gelak. Cubalah teka hadiah kali ini untuk apa?" wajah Amirah yang kelat sebentar tadi berubah manis semula. Mariah menjungkit alis kanannya.



"Hadiah sempena tamatnya alam persekolahan tingkatan empat?"



"Salah."



"Hadiah sebab kau nak bodek aku untuk dapatkan sesuatu..?"



"Kepala hotak kau. SALAH."



"Kau nak suruh aku bagi kotak tu untuk Abang Mus?"



"Sah la kau nak kena hempuk dengan beg aku ni, Mar!" suara Amirah sudah mulai meninggi. Mariah tertawa kecil sambil mengundur tiga langkah. Kononnya takut dengan ugutan Amirah.



"Kau dah pandai loyar buruk sekarang ni ya? Belajar daripada siapa ni? Besi buruk?"



"Aku belajar dengan kaulah, Amirah binti Osman!"



"Mariah budak bertuah!! Tak naklah aku kasi gift box ni kat kau." Amirah sudah naik berang dengan sikap Mariah yang selayaknya seperti anak kecil. Serta-merta Mariah berhenti ketawa.



"Yalah.. Aku seriuslah ni. Aku tak tahu inferens apa kau nak beri hadiah tu. Sungguh." Mariah memberikan ekspresi wajah yang meminta simpati. Amirah mencebir.



"Lagi lima minit nanti kau akan tahu sendiri." Katanya pabila mengerling jam tangan Quartz berwarna biru lembut yang dipakai kemas di pergelangan tangan kirinya. Mariah menghembus nafas panjang. Menjeling Amirah seketika. Dia melepaskan beg daripada bahunya, lalu duduk di atas salah satu akar besar yang timbul di tanah pada pohon tersebut..



"Kalau nak kenakan aku lain harilah, Ami. Aku nak balik rumah, solat zuhur dulu. Sudah hendak pukul 1.30 dah ni.." rayu Mariah, tidak sedap hati melihat raut wajah pelik Amirah pada awal petang itu. Tetapi tidak pula dia berasa ada sifat ingin tahu atau curious dengan apa yang bakal berlaku nanti, yang dirancang oleh Amirah. Entahlah, mungkin disebabkan Amirah itu rakan karibnya menyebabkannya tidak perlu berprasangka yang tidak baik.



"Alah, sekejap la.." Amirah masih lagi berdiri sambil matanya melilau ke sana ke mari. Sesekali dia mengerling jam tangannya. Irama lagu ‘Hasbi Rabbi’ oleh Sami Yusuf berkumandang perlahan daripada beg kuning cair miliknya. Pantas Amirah meraba di dalam poket kecil di hadapan beg sekolahnya itu. Punat ditekan.



"Assalamualaikum.."



Mariah yang sedang duduk meluruskan kakinya di bawah pohon itu hanya memerhati gelagat Amirah yang sedang berdiri. Wajah Amirah berkerut.



"Kenapa?" Amirah menyoal pada empunya di talian. Mariah mengambil daun gugur yang berhampiran lalu menguis tanah untuk menghilangkan rasa bosan. Wajah Amirah yang kelihatan hampa itu disertai dengan keluhan di bibirnya.



"Okey..okey.. Aku sedang beritahu dia ni. Bye. Wa’alaikumussalam." Amirah mematikan perbualannya lalu memandang Mariah dengan wajah kelat.



"Yusuf kirim salam. Dia kasi gift box ni dekat kau."



Mariah hanya memandangnya dengan wajah yang kosong..





* * *





Assalamualaikum…



Mar tahu kan, yang saya ada seorang adik perempuan. Namanya Shahida, atau kami biasanya panggil dia Ida. Kami dua beradik saja, sebab itulah yang membuatkan kami ini rapat. Dia lebih kurang baya Mar dan Ami. Dia sangat pandai melukis, selalunya saya yang akan jadi ‘model’ untuk lakarannya. Dia juga sangat suka berceloteh dan ceria macam Ami. Satu lagi, dia sangat sukakan bunga Alamanda kuning, seperti Mar. Entah kenapa.. Dia suka sangat melukis berpuluh-puluh lukisan bunga itu.



Apabila saya bertemu dengan Mar dan Ami, saya ternampak bayangan Shahida di dalam diri kamu berdua. Ami seorang yang sentiasa ceria dan suka buat lawak. Mar pula pandai melukis dan sukakan bunga Alamanda. Semuanya mengingatkan saya kembali pada dia.



Sebenarnya, Shahida sudah tiada lagi di sini. Dia sudah sampai ke ‘alam sana’ bersama dengan ibu saya.. Saya sangat rindukan mereka.. Mereka meninggal apabila kami menghadapi satu kemalangan jalan raya. Saya dan ayah saya selamat, tetapi mereka berdua yang pergi meninggalkan kami. Saya masih lagi trauma dengan kejadian tersebut. Ketika itu saya berada dalam tingkatan 3, percutian akhir tahun. Kalaulah saya yang boleh ganti kematian mereka.. Astaghfirullah.. Memang saya rasa hidup saya kosong sangat tanpa mereka.



Hubungan saya dan ayah tidak begitu baik. Masuk tingkatan empat, jiwa saya memberontak. Saya masih tidak dapat terima apa yang berlaku. Pelbagai kesalahan disiplin yang saya lakukan, semata-mata kerana saya benci dengan diri saya sendiri. Saya rasa saya memang dilahirkan sebagai insan yang tidak berguna. Itulah pemikiran saya pada waktu itu.



Apabila saya berkawan dengan kalian, persepsi saya sedikit berubah terhadap diri sendiri. Saya masih ingat lagi apabila kita berdebat tentang ucapan awak secara spontan ketika itu, "Kita hidup untuk mati dan kita mati untuk hidup". Secara tak langsung sebenarnya perdebatan kita pada hari tersebut amat berbekas dalam jiwa saya.



Perpindahan saya sebenarnya bukan atas kehendak saya. Ayah saya ingin kami memulakan hidup yang baru kerana kami mempunyai ramai saudara-mara di sini. Hubungan saya dan ayah sedikit pulih.



Oh ya, semoga mendapat keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan! Doakan saya untuk menghadapi ujian SPM beberapa hari lagi.



p/s; Maaf, tulisan saya tak cantik!



Salam,

Ahmad Yusuf bin Farid



------------------------



Mariah melipat semula surat tersebut. Dia membetulkan duduknya di atas katil. Dikerlingnya keychain di dalam gift box tersebut. Keychain kartun Simpson. Tadi dia hanya diam kaku, tanpa menyoal Amirah dengan soalan bertubi-tubi, dia mengambil gift box di tangan Amirah dan terus berlalu tanpa mendengar apa-apa yang keluar daripada mulut temannya. Sebenarnya hati kecilnya dapat mengagak siapa yang memberinya hadiah ini dan siapa yang sebenarnya ditunggu oleh Amirah. Mungkin dia kecewa kerana orang tersebut tidak dapat datang?



Sebenarnya surat Yusuf tidak begitu banyak merungkaikan kekususutan yang melanda di dalam dirinya disebabkan jejaka itu. Dia tidak menjelaskannya mengapa dia berpindah begitu sahaja tanpa memberitahu dia dan Amirah.. Dia tidak menjelaskan mengapa dia baru sahaja menghubungi mereka (Amirah sebenarnya) sebaik sahaja seminggu dia berpindah di sana? Yusuf.. dia masih dengan sikapnya.



Namun, ada sesuatu yang menguntum senyumnya. Sekuntum bunga berwarna kuning disertai juga dengan kad kecil di dalam gift box tersebut.. Tertulis..

BUNGA ALAMANDA INI UNTUKMU


P/s; aneh, ada juga yang menyukai bunga berwarna kuning ini. Apa pun, Mar sesuai dengannya.

-TAMAT-

 
You can follow any responses to this entry through the Contac Us. You can leave a response.