Cerpen : Family Ko, Mahal na Mahal kita

Family Ko, Mahal na Mahal kita (Love You, so much My Family)

12 Disember 2009, satu tarikh keramat bagi Daniel yang tidak mengharapkan kehadiran tarikh itu walau sesaat menjelma. Ibu dan ayahnya bergembira kerana tahun ini baru dapat balik ke kampung setelah hampir 20 tahun tidak pulang. Daniel dan adiknya, Donald dibesarkan di Malaysia dan tidak pernah menjejakkan kakinya dikampung halamannya, Filipina. Ibunya, Mary dan ayahnya Richard telah berpindah dan berhijrah ke Malaysia dan membina kehidupan yang baru, setelah suatu ketika dahulu keluarganya menghadapi kesulitan dan kesengsaraan hidup. Ayah dan ibunya juga terpisah daripada adik beradik mereka, ada yang berhijrah ke Jepun, Brunei, Singapura dan Eropah. Akibat kekurangan tabungan dan modal, mereka tidak bertemu sekian lama. Dan setelah berkesempatan dan memiliki tabungan yang mencukupi, Mary dan Richard mengambil keputusan untuk menyambut Krismas di Filipina disamping melepaskan kerinduan dua puluh tahun terhadap ibu, bapa dan sanak saudara yang lain.

Pada awal usia perkahwinan ibu dan ayahnya, kehidupan mereka di Malaysia sangat daif dan sengsara dek kerana mereka dianggap sebagai pendatang asing walaupun mereka mempunyai pasport dan pengenalan perjalanan yang sah. Berhujan panas, berdepan dengan segala cabaran, dari satu tangga ke satu tangga, dari dasar hingga ke atas awan, semuanya bermula daripada bawah dan dari langkahan yang pertama. Kejayaan dalam perniagaan ayah dan ibunya ini adalah hasil usaha keras mereka sendiri. Jarang sekali, pendatang asing berjaya membina kejayaan di Malaysia. Semua ini berkat usaha dan sokongan daripada kedua-dua anaknya yang tercinta.

Daniel bermain dengan perasaannya, di dadanya penuh dengan tanda tanya dan persoalan. Tali yang disimpulkan ibu dan ayahnya tidak dapat dileraikan dengan tenang. Adakah keluarganya di Filipina tahu bahawa ayah, ibu, dia dan adiknya telah memeluk agam Islam setelah beberapa tahun menetap di Malaysia. Semuanya dirahsiakan daripada pengetahuan keluarga di Filipina kerana takut akan dimarahi dan mendapat tentangan hebat daripada mereka. Akibat perbezaan agama, mereka takut akan dipinggirkan dan dipulaukan.

Setelah mengetahui mereka akan pulang ke kampung untuk berhijrah dan menyambut krismas untuk keluarga mereka buat pertama kalinya setelah hampir 20 tahun terpisah, hati Daniel gusar dan resah. Dia bimbang sama ada dia dapat menyesuaikan diri dengan kehidupan di bandar Santa Cruz, sebuah bandar yang berdekatan dengan Ibu kota Manila. Walaupun keadaan Filipina tidak seperti dahulu, tetapi apa yang membimbangkan Daniel adalah pengaruh orang di sana, dan yang paling penting, tidak mungkin mereka solat secara sembunyi daripada pengetahuan keluarga di Filipina. Sebagai pelajar dalam jurusan undang-undang di Universiti di Malaysia, Daniel bimbang keadaan politik di Filipina yang kucar-kacir dan fahaman agama yang berlainan akan mengganggu keberadaannya di sana. Pada masa yang sama, dia memang tidak suka dengan negara tersebut walaupun itu adalah kampung halamannya. Persepsinya berbeza kerana dia menganggap Malaysia adalah kampung halamannya.

Resah dan gelisah dalam hati Daniel semakin menebal dan membeku apabila tarikh penerbangan ke Filipina semakin hampir. Tiada apa yang perlu dibuat selain menurut kata-kata ibu dan ayahnya. Hatinya tidak boleh berbicara lantang, dan terpaksa dibius supaya pita suaranya menahan tutur bicaranya.

"Daniel, sudah kamu berkemas? Lusa kita akan bertolak" tanya Puan Mary kepada anaknya itu dalam bahasa Malaysia. Semenjak mereka menetap di Malaysia, penggunaan bahasa Tagalog jarang digunakan sebaliknya hanya berkomunikasi dalam bahasa Melayu atau bahasa Inggeris. Dilihat barangan Daniel tidak lagi disusun ke dalam bagasinya. Wajah Dainel dikerutkan, dahinya diangkat ke atas sebagai tanda menunjukkan dirinya tidak ingin ke Filipina.

"Daniel, look at me. Look into my eyes. Do you really love me and your dad?" Daniel memandang tepat ke arah bebola mata ibunya. Dirasakan satu kuasa ajaib yang tidak dapat dia menolak permintaan ibunya. Terbeku hatinya untuk menolak permintaan itu. Namun Daniel akur dengan semua itu.

"Of course, mum. Mahal na mahal kita. Only you, dad and Donald. Kenapa ibu tanya?" Wajah Daniel mula berubah, dia menatap sayu kelopak mata ibunya yang mula menakung air yang jernih. Tak tertahan hati Mary mendengar kata-kata anaknya itu yang memahami perasaan seorang anak yang merindui orang tuanya.

"Thank you, Dan. Ibu cuma mahu Daniel tahu, ibu dan ayah mempunyai orang tua, kami terpisah hampir 20 tahun. Dan ibu amat merindui mereka. Sekarang, kehidupan dan kewangan kita membenarkan kita kembali ke kampung. Inilah masanya" Puan Mary menjelaskan kerinduannya pada orang tuanya yang masih lagi hidup. Dia memegang rapat lengan anak sulungnya itu sambil perasaannya bercampur terharu. Hajat Puan Mary dan suaminya, Encik Richard adalah untuk memperkenalkan anak-anaknya kepada saudara-saudaranya di Filipina.

"Kalau itu kemahuan ibu, Daniel akan ikut sama. Daniel minta maaf kerana buat ibu bersedih" Daniel memeluk wanita berusia 42 tahun itu sambil menahan runtunan kesedihan dan menyesali perbuatannya sambil menahan dirinya daripada turut bersedih.

"Salamat anak." balas Puan Mary dalam bahasa Tagalog (Terima kasih anak).

"Ibu, ada satu kemusykilan yang Dan fikirkan selama ini" terpacul secara spontan soalan yang sering kali bermain di benak Daniel. Hatinya mula membuka isi yang tersirat yang selama ini menyelimuti pemikirannya.

"Apa dia Dan?" balas Mary dengan nada yang serius. Pandangan wajanya terus menatap vivir anaknya itu yang mula mengatur perbicaraannya.

"Atuk dan nenek serta keluarga lain di Filipina tahu ke yang kita ni muslim?" Daniel mula mengatur butir bicaranya. Matanya memandang tepat ke arah mata ibunya. Ibunya hanya menundukkan wajah dan menyembunyikan bebola matanya daripada menatap wajah anaknya itu.

"Takkan kita nak bersolat secara sembunyi dan makan makanan yang tidak sepatutnya kita makan ibu?" bertubi-tubi persoalan yang dipertanyakan oleh Daniel. Sesekali dia memandang redup wajah ibunya itu. Ibunya menundukkan kepalanya dan kemudian rintik-rintik jernih mula terbit daripada alis mata ibunya. Sebaik sahaja melihat rintik-rintik jernih itu, Daniel lantas menopang dagu ibunya dan jemarinya tangkas menyeka air mata Mary. Keputihan mata Mary bak salju, berubah menjadi berwarna merah saga, jelas terlihat oleh Daniel.

"Mum, I’m sorry. Dan minta maaf bu, Dan tak bermaksud nak buat ibu sedih. Tapi Dan keliru bu, Dan keliru dengan semuanya. Semua berlaku dengan tiba-tiba. Dan mula keliru bila ibu dan ayah menyatakan hasrat untuk pulang ke Filipina. Bukan Dan menolak atau tak nak ikut ibu dan ayah pulang, Dan teringin sangat tapi perkara inilah yang membuatkan Dan berfikir panjang." Sambung Daniel.

"Dan tak perlu risau, ayah akan uruskan semuanya" tiba-tiba suara Richard kedengaran di muka pintu. Rupa-rupanya Richard telah melihat dan mendengar perbualan di antara isteri dan anaknya itu.

"Kalau solat, kita akan solat di bilik dan kalau makan kita pilih makanan dan katakan yang ibu, ayah, Daniel dan Donald vegetarian. Ayah dah fikirkan segala-galanya dan semua itu memang berisiko. Tapi walaupun kami berlainan agama, mereka tetap ibu dan bapa kepada ayah. Dan mereka juga tetap saudara kita." Richard mendekati anaknya sambil mengatur butir bicaranya. Merungkai kecamuk fikiran anaknya sedikit demi sedikit secara logik akal dan berhemah.

"Ayah tahu, mereka akan marah dan kecewa dengan kita apabila mengetahui kita sudah memeluk Islam. Dan ayah sedar semua itu. Tapi ayah lakukan semua ini demi kebaikan semua orang dan perkara ini memerlukan masa yang sesuai untuk dibincangkan dengan mereka" Jelas Richard kepada Daniel.

Daniel hanya terdiam membisu sambil menguntumkan senyuman kepada ayahnya. Dia berasa bersalah kerana membuatkan ibunya sedih dan menimbulkan persoalan yang bukan-bukan. Dia akan pulang ke kampung untuk menyambut Krismas bersama-sama dengan ahli keluarganya yang lain, yang tidak pernah dia temui. Dan merahsiakan agama yang ibu, ayah, Donald dan dia sendiri anuti. Hati Daniel mula kembali tenang sebaik sahaja mendapat jawapan yang jelas dariapda ayahnya, Richard.

* * *

"Chard, apakah tindakan kita ni betul. Saya risau kalau ada perkara buruk yang berlaku" Mary dalam keadaan risau dan bimbang setelah mengingatkan kembali kata-kata Daniel. Ada betul juga kata-kata anaknya itu. Wajahnya jelas menampakkan kerisauan dan kebimbangan yang hampir 20 tahun ini menyelubungi hidupnya. Tangan yang sibuk mengemas baju dan memasukkannya ke dalam bagasi terhenti seketika. Riak-riak redup wajahnya seakan kembali bertandang.

"Mary, kita peluk agama islam kerana kita yakin dengan agama itu. Agama yang membawa hidup kita dengan lebih tenang. Agama yang memberikan kita kekuatan. Abang yakin, kita dapat menghadapi semuanya. Kita perlukan masa untuk menjelaskan semuanya kepada keluarga di kampung" Richard bangkit dan tangannya menggengam erat telapak tangan isterinya itu. Air mata Mary membayangkan seribu getaran jiwa yang membayangi dirinya. Mary terikat dengan kerinduan dan ketakutan, hatinya dibelenggu oleh pelbagai perasaan dan keinginan. Tali yang tergantung, sudah di depan mata. Ibarat menanti sebuah jawapan kepada ketakutan yang dirasakan. Mary lemah tanpa kekuatan suami dan anak-anaknya, dia tidak boleh menghadapi semua ini seorang diri. Semuanya bercampur baur dirasakan. Richard hanya mampu memberikan kata-kata semangat kepada isterinya itu. Tirai kamar berterbangan di udara akibat ditiup angin yang mendinginkan lagi suasana senja nan sepi itu.

"Mary, ini adalah jihad terbesar yang perlu kita lakukan. Jihad yang dapat membawa perubahan dan pandangan ahli keluarga kita yang lain. Jangan pernah ada rasa marah dan takut sayang, kerana Tuhan itu sentiasa ada bersama-sama kita. Abang perlukan Mary, Daniel dan Donald sebagai kekuatan dalam diri abang." nada-nada lembut Richard terus membuatkan air mata Mary mengalir tanpa henti. Kepalanya diangguk perlahan-lahan sebagai tanda faham akan kata-kata suaminya itu. Mata mereka saling bertentangan dan hati mereka menjadi satu. Mary adalah seorang ibu yang berusia 42 tahun dan merupakan penganut agama Kristian Katolik sebelum ini, tetapi setelah masuk agama Islam, dia hendak menukar namanya kerana ada unsur kaitan dengan agama Kristian. Walau bagaimanapun, hajatnya tidak ke situ apabila Ustaz Azizi memberikan pendapat berkaitan dengan pertukaran nama. Ustaz Azizi adalah orang yang membawa Richard dan Mary ke sinar keislaman.

"Ustaz, setelah masuk Islam, saya bercadang untuk menukar nama saya kepada nama-nama Islam." aju Mary kepada Ustaz Azizi.

"Kenapa kamu bertanya sedemikian? Wahai Mary, tahukah kamu bertukar nama adalah perkara tidak dituntut dalam Islam. Malah ada pendapat mengatakan penukaran nama dan dengan menggunakan nama Melayu atau arab dan menggunakan bin dan berbintikan Abdullah adalah salah. Rasullah s.a.w memiliki anak angkat iaitu Zaid bin Haristha, namun nasab anak angkat tersebut tidak pula dikacau dan tidak berbinkan Muhammad. Hal ini sama juga dengan kemasukkan golongan mualaf dalam Islam dengan pertukaran nama. Islam tidak menggalakkan golongan mualaf menukar nama mereka kerana akan mengalami masalah di Padang Mahsyar" jelas Ustaz Azizi kepada Mary dan Richard.


"Maksud Ustaz, nama saya kekal sebagai Mary Guiterrez dan suami saya Richard Guiterrez?" tanya Mary yang inginkan penjelasan lanjut.

"Ya, itulah yang cuba saya sampaikan. Proses pertukaran nama dari Mary kepada Mariam adalah membawa maksud yang sama. Tetapi Mariam lebih kepada nama arab yang merupakan seorang wanita suci dan juga ibu kepada Nabi Isa a.s. Begitu juga dengan Mary, nama Mary dan Mariam adalah individu yang sama. Begitu juga dengan nama kamu, Richard. Mungkin nama kamu mempunyai maksud yang baik. Yang penting sekarang ini adalah, maksud nama kamu baik dan sedap di dengar. Bukannya menukar nama semata-mata nama kamu bukan nama dalam bahasa Arab. Itu adalah pandangan yang salah."

Mary dan Richard hanya menuruti sahaja kata-kata Ustaz Azizi kerana dia lebih arif dalam perkara seperti ini. Begitulah perihal kenapa nama Mary dan Richard dan anak-anaknya tidak ditukarkan kepada nama berbentuk lebih kepada Islam. Ini akan memberikan kerahsian pengislaman mereka daripada pengetahuan keluarga mereka di Filipina. Hanya tinggal beberapa hari sahaja mereka akan bertolak ke Filipina. Segala barang telah dipersiapkan. Setelah mendengar kata-kata daripada suaminya, Mary rasa bersemangat dan bertekad untuk pulang ke kampung dengan perasaan yang tenang. Hatinya yang gundah hilang kerana kekuatan kasih Tuhan yang satu, yang selalu melindungi umatnya ke jalan yang benar.

"Apa yang dimenungkan itu?" suara Richard tiba-tiba menyapa cuping telinga Mary.
"Abang, tidak ada apa-apa. Saja melihat-lihat halaman rumah kita yang tidak akan ada siapa yang jaga selama seminggu ini" Mary cuba menyembunyikan perasaan khyalannya daripada pengetahuan suaminya. Hatinya mula berasa tenang sebaik sahaja melihat wajah suaminya itu. Langkah demi langkah diatur, menghampiri susuk tubuh Richard lalu memeluknya dengan penuh rasa kasih sayang. Richard hanya membiarkan isterinya yang tercinta memperlakukan sedemikian.

"Mahal kita, abang" Luahan kasih cinta Mary dilafazkan dengan suara yang romantik kepada suaminya.

"Mahal na mahal kita, Mary" balas Richard sambil menguntumkan senyuman yang manis.

Dalam diam, Daniel mendengar semua perbualan antara ibu dan ayahnya. Daniel sudah mendapat agak apa yang cuba dibualkan oleh orang tuanya itu. Tetapi Daniel kagum dengan sikap ayah yang berani mempertahankan kesucian agama yang dianuti ini dan ibunya yang nekad berjihad dengan pulang ke kampung. Daniel mengharapkan penerimaan keluarganya di kampung akan memberikan sinar harapan baru dalam hidup keluarganya. Dalam diri Daniel, dia tidak menyesal ibu dan ayahnya memeluk agama Islam. Malah, dia bersyukur kerana dilahirkan dalam keluarga Islam. Daniel hanya melihat kelibat ibu dan ayahnya dari jauh, setelah itu dia beredar kerana masih banyak lagi barang yang belum di kemas. Lalu dia membiarkan ibu dan bapanya meneruskan perbualan.

"Mana Donald, saya tak nampak dia sedari pagi tadi?" tanya Richard kepada Mary. Dia risau kelibat anak keduannya itu keluar dengan kawan-kawan yang tidak tentu arah.

"Semalam dia ada minta izin dengan saya, dia keluar dengan Haikal dan Isma. Keluar pergi main bowling. Abang lupa ke? Kan bulan depan dia ada pertandingan kat Perlis. Sebelum dia bertolak ke kampung, dia perlukan latihan yang secukupnya." jelas Mary sambil membelai tanaman kesayangannya. Tangan kanannya memegang paip air yang menyirami pokok bunga ros merah di halaman hadapan rumahnya.

"Saya bukan apa. Saya bimbang dengan perangai Donald. Dia berbeza sekali dengan Daniel. Suka keluar rumah dan balik tak tahu pukul berapa. Lain dengan Daniel, dia selalu ada di rumah mengulangkaji pelajaran." Richard menghela nafas panjang apabila memikirkan perangai anak keduanya itu.

"Abang janganlah cakap macam tu. Tak baik membezakan anak-anak kita. Kalau Donald dengar kecil hati dia" Mary berbisik perlahan walaupun hanya mereka berdua sahaja di halaman rumah ketika itu. Jari telunjuk kanannya diletakkan dibibir sebagai syarat, meminta suaminya itu tidak mengelurkan kata-kata yang diujarkannya sebentar tadi.

"Dah kenyataannya macam tu. Saya cuma cakap apa yang betul. Dari dulu lagi saya tak suka Don berkawan dengan Haikal dan Isma. Mereka tahun ini bakal mengambil SPM, masih lagi nak bersukan. Pelajaran diabaikan. Saya pelik, kenapa kita ada anak yang berbeza perangai" bentak Richard dengan nada seolah-olah tidak berpuas hati.

Keadaan menjadi sunyi seketika. Setelah melihat keadaan Richard kembali reda, Mary bangkit dan mematikan siraman pokok lalu melangkah menuju ke arah suaminya. Mary mendapatkan dan memeluk suaminya dari belakang. Tangan kirinya mengusap-usap lengan suaminya dengan tujuan perasaan tidak puas hati Richard terhadap Donald akan beransur reda.

"Abang, Daniel anak kita, Donald pun anak kita. Kedua-duanya kita sayang. Mereka bukan kembar, kalau kembar pun tak mungkin perangai mereka sama. Donald ada kelebihannya, begitu juga dengan Daniel. Walaupun Donald tidak secerdik abangnya tapi dia aktif dan berbakat dalam bidang sukan. Kita sebagai orang tua, perlu memberi sokongan terhadap apa jua yang anak kita lakukan." jelas Mary dengan nada yang perlahan.

Richard terdiam membungkam, riak wajahnya menampakkan dia sedang memikirkan sesuatu. Mungkin dia memikirkan kata-kata yang diucapkan isterinya sebentar tadi. Tetapi baginya pelajaran lagi penting daripada segalanya. Sikap keras kepala Richard membuatkan dia tidak suka dengan cara hidup yang diamalkan oleh Donald. Sehingga sukar untuk mereka berdua untuk berbincang dan bertentang empat mata. Setelah beberapa saat diam membisu, Richard tidak mengatakan sepatah perkataan. Lalu kakinya mula melangkah dan masuk ke dalam rumah tanpa melihat wajah isterinya. Jelas terlihat raut wajah marahnya terhadap Donald. Dengan sikap Richard yang selalu memarahi Donald, menyebabkan Donald keluar pergi sekolah awal pagi dan hanya pulang ke rumah pada lewat malam. Dengan cara itu, dia dapat mengelakkan dirinya daripada bertembung dengan Richard.

"Anak bapak sama sahaja. Sama-sama degil." bentak Mary di dalam hatinya sambil melihat suaminya meninggalkannya seorang diri.


* * *


"Dan, turun Dan. Buka pintu, aku terkunci ni. Aku kat luar. Cepatlah, hujan ni, sejuk." Donald menghantar pesanan ringkas kepada Daniel melalui telefon bimbit. Sebaik sahaja mendapat pesanan mesej tersebut, Daniel bingkas bangkit daripada meja belajarnya dan melangkah keluar untuk membukakan pintu untuk adiknya itu.

Suasanan di dalam rumah pada ketika itu gelap gelita dek kerana lampu dipadamkan, sama ada di ruang tamu atau di ruang dapur. Daniel melangkah dengan perlahan-perlahan, supaya ayahnya tidak sedar Donald baru pulang. Seperti biasa, ayah dan ibunya selalu masuk tidur awal dan Daniel tiap-tiap malam mengulangkaji pelajaran dan Daniel jugalah yang membukakan pintu untuk Donald setiap kali dia pulang lewat walaupun telah ditegah oleh ayahnya beberapa kali. Daniel tidak sanggup melihat adiknya tidur di luar kesejukkan. Walaupun kelakuan adiknya terhadap Daniel agak kasar, teruk dan keras, Daniel tetap menganggapnya sebagai seorang adik yang disayangi. Hanya Donald yang Daniel ada selain daripada ibu dan ayahnya.

Sebaik sahaja Daniel mengambil kunci pintu pagar daripada kotak kunci yang terdapat di dinding tangga, cahaya neon pantas menyimbahi ruang tamu. Daniel sedikit terkejut apabila lampu bernyala, disangkakan dia tertekan suis lampu. Sebaik sahaja lampu bernyala, Daniel melihat kelibat ayahnya berdiri terpacak di badan tangga. Sangkaan Daniel bahawa ayahnya telah masuk tidur seperti hari-hari sebelumnya meleset kerana pada hari tersebut Richard terlalu marah dengan sikap Donald yang tidak pernah berubah walaupun telah beberapa kali diberi amaran keras. Richard dengan wajah yang garang dan ganas, membuatkan Daniel terkejut dan terpaku. Keadaan di luar hujan lebat, dan bimbang adiknya kesejukkan dan akan demam. Lalu Daniel cuba meminta Richard untuk memaafkan adiknya.

"Ayah, kat luar hujan. Benarkanlah Donald masuk. Kesian dia ayah, nanti dia demam" rayu Daniel. Richard berdiam diri dan wajahnya hanya kaku seperti mayat.

"Ayah tak kesiankan Don ke? Dan tahu, walaupun Don banyak buat ayah marah, tapi semuanya sebab ayah" kata-kata Daniel membuatkan Richard berubah wajah. Matanya yang tepat memandang tajam ke arah dinding, diubah haluannya ke arah wajah Daniel. Richard kehairanan kerana Daniel berkata sedemikian. Kerut wajahnya menenggelamkan tegang wajah amarahnya sebelum ini.

"Apa maksud Dan?" Tanya Richard dengan suara yang keras sehingga menyebabkan Mary yang nyenyak tidur, tersentap dan bangun. Dilihat Richard dan Daniel sedang bertentang mata. Setelah melihat suasana begitu tegang, Mary segar dari mamai tidurnya.

"Ada apa ni? Abang? Dan?" tanya Mary sambil melangkah menuju ke arah tangga. Tanganya di gosok ke mata untuk menyegarkan ngantuknya.

Suasana menjadi tegang menyebabkan semuanya terdiam membisu sehingga keadaan Donald di luar kehujanan dilupakan seketika. Mary cuba mendapatkan perkara yang sebenarnya berlaku tetapi Richard memandang tajam ke arah Daniel sambil menunggu jawapan daripada percakapan yang diujarkan Daniel sebentar tadi. Daniel hanya tunduk diam membisu dan matanya dipejamkan dek kerana ketakutan.

"Apa maksud Dan?" Richard mengulangi kata-katanya setelah Daniel diam seribu bahasa. Kakinya melangkah menuju ke arah Daniel.

"Apa maksud Dan?" diulangi oleh Richard sambil memegang lengan dan mengoyangkan tubuh Daniel untuk mendapatkan jawapan.

Raut wajah Mary jelas menunjukkan perasaan kehairanan. Mary tidak tahu Doland kehujanan di luar kerana Mary baru sahaja terbangun daripada tidur. Dahinya cuba dikerutkan, dan bibirnya di kemamkan. Kedua-dua tangannya disilangkan ke dada, sambil mengosok di bahagian lengan dengan tujuan untuk menghangatkan tubunya dek kerana kesejukkan hujan pada pagi itu. Jam di dinding telah menunjukkan pukul 1.30 pagi dan ini bermakna telah 30 minit Donald kesejukkan di luar. Richard tetap berkeras untuk tidak membenarkan Donald masuk dan menghalang Daniel daripada membuka pintu pagar.

"Pannnggggg…" satu tamparan hinggap di pipi Daniel. Mary terkejut dengan tindakan suaminya. Dia berlari dan mendapatkan Daniel lalu memeluknya.

"Apa abang buat ni?" jelas Mary dengan nada yang keras.

"Tanya pada anak awak sendiri" balas Richard. Mary memeluk erat Daniel sambil bertanyakan perkara yang sebenar.

"Cuba bagi tahu ibu, kenapa ni?" Tanya Mary. Namun Daniel hanya berdiam.

"Kenapa diam? Sekarang Dan pun nak kurang ajar sama dengan Don." Suara Richard terdengar sekali lagi.

"Dan diam pun ayah cakap kurang ajar, nanti Dan cakap pun ayah cakap kurang ajar juga." Balas Daniel setelah lama membisu dengan nada yang keras.

"Kurang ajar…" Richard cuba mengangkat tangannya dan menampar Daniel sekali lagi. Tetapi dihalang oleh Mary.

"Dan tak suka cara ayah memperlakukan Don seperti itu. Don berubah sebab ayah, Don balik lewat sebab ayah, Don ponteng kelas sebab ayah.Ada ayah fikir semua tu?" balas Daniel dengan nada yang keras dan tersekat. Tangannya dihalakan ke arah Richard. Richard hanya terdiam membisu sebaik sahaja anaknya, Daniel meninggikan suara dan menyalahkannya. Mary pula mula menitiskan air mata, tanganya masih lagi memeluk Daniel.

"Ayah, Dan dan Don orang yang berbeza dan kami bukan kembar ayah. Dan cuma nak ayah faham Don, ayah faham Dan, ayah faham anak-anak ayah. Itu je. Don memberontak sebab ayah selalu mencari kesalahan Don, kebaikan dan kelebihan yang ada pada Don sikit pun ayah tak lihat.Memang Don tak secerdik Dan, tapi tak boleh ke ayah berbangga dengan Don dalam sukan bowling. Semua orang puji dia, kawan-kawan, jiran tetangga, tetapi nak dapat pujian daripada ayah sendiri sikit punya susah. Ada ayah fikir tu?" sambung Daniel yang masih dalam pelukkan Mary. Suara tangisan Mary jelas kedengaran semakin kuat. Richard hanya terpaku membisu, mulutnya dikemam dan matanya mula berubah pandangan. Dari pandangan yang tajam berubah kepada pandangan yang sayu. Richard mula berfikir panjang.

Setelah tidak puas hati terhadap sikap Richard, Daniel meminta ibunya melepaskan pelukkan dan melangkah menuju ke arah pintu. Sebaik sahaja pintu dibuka, kelibat Donald tidak lagi terlihat di hadapan pintu pagar. Daniel mula menoleh ke kiri dan ke kanan, namun tidak terlihat juga kelibat adiknya itu. Hatinya mula rungsing dan gelisah lalu dia berlari dalam hujan dan mencari adiknya di simpang jalan di hadapan rumah dengan harapan Donald masih tidak jauh berjalan dari rumahnya. Mary berlari ke halaman rumah sambil melihat Daniel berlari dalam hujan. Richard hanya mampu terdiam dan membisu, lalu terduduk di atas lantai. Air matanya mula mengalir, dan timbul seribu penyesalan. Dia tidak sangka selama ini apa yang dilakukan untuk kebaikan anak-anaknya adalah perkara yang tidak sepatutnya dilakukan dan terlalu memaksa anak-anaknya tanpa bertanya minat dan pandangan Donald dan Daniel terlebih dahulu.

Titisan air mata Richard mula membentuk, bebola matanya mula kemerah-merahan. Mukanya yang bengis berubah wajah dek kerana kata-kata Daniel. Richard menyesal tak sudah dengan perlakuannya selama ini.. Dia tidak sangka, dia terlalu mengawal perlakuan anak-anaknya. Richard amat menyayangi Donald dan Daniel, semua yang dilakukan untuk masa hadapan Daniel dan Donald.

*** Terima kasih kerana sudi membaca cerpen ini. Kisah ini bersambung, bagaimana nasib keluarga Richard di kampungnya? Nantikan siri kedua Family Ko, Mahal na Mahal kita 2. Saya mengharapkan pandangan anda untuk penambahbaikkan cerpen-cerpen saya akan datang. Terima kasih atas komen anda pada cerpen Warkah Terakhir Sofea, saya akan perbaiki penulisan saya pada masa-masa akan datang. Sekian terima kasih...abg aloha ***

 
You can follow any responses to this entry through the Contac Us. You can leave a response.