Cerpen : Cinta Selat Tebrau

Cinta awal remaja selalu tidak kesampaian walau ditegak benteng kebal dan tiang kesetiaan. Cinta ini dipanggil 'cinta monyet' kerana perangai sang pencinta biasanya belum matang dan sering berlaku pertelingkahan. Begitulah juga dengan kisahku, seorang lelaki yang setia menanti selama 6 tahun untuk memiliki sang kekasih, tetapi...


"Aku tak boleh teruskan hubungan ini. Aku rasa antara kita tidak sesuai. Engkau masih sambung studi sedangkan aku dah bekerja. Aku ramai kawan kat luar sini yang semuanya satu kepala." luah Aruna satu hari sewaktu kami bertemu di Plaza Kotaraya.


"Setelah sekian lama kita menunggu tarikh kematangan ini, tarikh yang mana umur kita melepasi angka 22 tahun, itu yang kau cakapkan. Kau tak sabar Aruna..." jawabku tegas tetapi masih berlapik.


"Bukan tak sabar Azhari, tetapi perasaan cinta, sayang... tidak boleh nak diteruskan. Semua tu dah tak ada..." jawab Aruna memandangku tepat.


Aku lepaskan satu keluhan maha berat. Sarat kepala dengan pelbagai persoalan. Begitu rapuhnya kesetiaan seorang wanita, mudah dikaburi oleh keadaan dan masa.


Aku biarkan sahaja mata orang yang lalu lalang di kompleks beli belah ini melihat gelagat kami. Gelagat orang muda bergaduh. Tetapi kami bertengkar secara 'aman'. Hati di dalam Tuhan yang tahu.


"Kau tak nak bagi peluang pada diri kita, Aruna? Cuba kenang zaman manis percintaan kita waktu persekolahan. Cuba kau tengok balik kata-kata semangat yang kau tulis dalam surat-surat kau itu, Aruna. Please..."


Aku masih cuba mempertahankan perhubungan ini. Meminta dia mengenang memori manis bersama, tetapi Aruna tidak mahu mendengar itu semua. Padanya surat menyurat dan apa-apa lagi barangan peribadi yang di dalam simpananku, dia suruh buangkan jauh di Selat Tebrau. Kejamnya....


"Azhari, that's all nothing. Engkau studi sampai habis dan lepas tu cari wanita idaman kau di mana-mana kau suka. Aku tak kisah! Aku rasa setakat ini perjumpaan kita, jangan hubungi aku lagi!" Aruna sudah mencapai beg tangannya.


"Aku sanggup sambung studi kat JB semata-mata nak dekat dengan kau, Aruna. Malangnya kau pula semakin jauh. Bukan kah dulu kita saling memberi semangat, saling membantu dalam pelajaran, saling merindu walau terpisah berjuta batu...kau tak ingat semua tu, Aruna?!" Aku masih menyusun kata-kata harapan.


Sekarang dia memang berubah menjadi seorang yang penuh gaya dan berkeyakinan. Sedangkan aku, duduk memerhati perubahannya pun tak mampu. Aku seperti malu pada diri sendiri. Aku ikut bangun dan menuruti langkahnya ke stesen bas. Lihatlah... aku sendiri masih berjalan kaki, sedangkan dia bakal menahan teksi dan meninggalkan aku termangu-mangu.


"Aku nak pegang tangan kau, boleh? Untuk terakhir kalinya..." aku meminta izin. Sebelum ini pun aku tidak pernah bersentuhan dengannya.


"Tak payahlah... Aku tak suka. Lagipun kita dah break off!" begitu keras jawapan Aruna.


Sebuah teksi berhenti di hadapan kami. Aku cuba menyentuh lengannya sebagai pengubat kerinduan ini tetapi Aruna pantas menepis. Dia cepat-cepat masuk ke perut teksi lalu membelah Jalan Tun Razak menuju ke destinasi yang tidak diketahui.


Airmata lelaki ku tumpah. Merembes dibibir mata. Aku cuba menahan dari terus jatuh... bak kata pujangga: Lelaki kalau menangis jangan sampai tumpah di luar, pendamkan saja sampai ia jatuh di dasar hati! Mampukah aku?!


****************************


Empat tahun sudah berlalu. Aku berjaya mendapatkan segulung ijazah dari sebuah institusi pengajian tinggi di JB. Kini aku kembali ke negeri di bawah bayu, tempat aku membesar dan mengenal cinta merentasi Selat Tebrau. Kampung yang sesekali ku jenguk pada cuti semester tetap begitu keadaannya, indah dan nyaman.


Sehari dua di kampung aku berehat, melayan pantai dan laut, menyusun buku-buku yang ku angkut dari masa pembelajaranku dan meratah segala makanan yang selama ini ku rindui.


Empat tahun tanpa cinta Aruna. Aku bagai kapal hilang nakhodanya. Cinta monyetku adalah satu cinta abadi, ku kenang sampai mati. Walau dicuba beratus kali menjejak pengganti, akhirnya aku tetap gagal menemuinya.


Aruna entah di mana. Aku pernah menghubunginya di pejabat, tetapi dia tidak mahu bercakap denganku. Sebak di dadaku setiap kali dia menolak berkomunikasi denganku hanya Tuhan dan rakan-rakan rapat yang tahu. Bila hendak menangis, ku ingati kata pujangga tersebut. Simpan tangis itu biar jatuh di dasar hati.


Hasilnya kini aku menjadi seorang yang amat tegar hatinya, terlalu tabah jiwanya apatah apabila dikecewakan berkali-kali. Aruna yang menjadikan aku seperti aku hari ini.


Sudah dua minggu aku melepak-lepak di kampung sementara menunggu panggilan kerja. Masa lapang aku habiskan dengan mengarang puisi atau cerpen atau kadangkala memberikan pendapatku terhadap senario politik masa kini. Aku memang berminat dengan dunia politik semenjak di sekolah menengah lagi. Sesekali figura Aruna menerjah minda, meremangkan perasaanku menjadi sebak tiba-tiba. Itu satu petanda rupanya.


"Azhari, aku nak minta maaf atas perbuatanku pada kau sebelum ini. Aku tahu aku menyakitkan hati kau. Sekarang aku tahu bagaimana sakitnya hati apabila cinta dipermainkan..." luah Aruna yang tiba-tiba muncul di hujung talian.


Aku tersentak menerima panggilannya. Sayup-sayup suara Aruna di bumi Selat Tebrau menghubungi aku yang sedang memerap di negeri bawah bayu ini. Jam di sudut mejaku menunjukkan ke angka 11.00 malam. Pelbagai pertanyaan menerjah di benakku tetapi tidak terluahkan. Bukankah aku sudah semakin tegar sekarang.


"Azhari... aku dipermainkan oleh tunangku. Dia ada perempuan lain. Dia curang, Azhari. Aku tak tahu nak buat apa lagi! Tolong aku Azhari..." satu persatu ayat keluar dari mulut Aruna dan itu membuatkan aku faham apa yang telah terjadi kepadanya.


Dalam hati bersorak riang, akhirnya Aruna mendapat balasan atas perbuatannya kepadaku. Ego lelakiku tinggi melangit. Takkan ku pujuk dia walau jauh di dasar hati teringin sekali berkata yang indah-indah buat mendamaikan hati Aruna yang sedang rawan. Untuk apa? Untuk kebahagiaannya dan menderitakan perasaan sendiri. Cukup sekali aku menangisi perpisahan lalu.


"Azhari! Kenapa kau hanya mendengar. Bantulah aku..." tangisnya berderai di hujung talian.


Aku masih berdiam, hanya kedengaran nafasku yang menahan sedih.


"Aku buntu..." rayunya lagi. Tangisan masih mengiringi ucapannya.


Aku kalah. Aku merasa sebak. Maafkan aku wahai pujangga, kali ini air mataku jatuh di tubir mata, tidak lagi di dasar hati seperti selalu. Apabila tangisan itu di tahan-tahan, maka air hingus lebih laju keluar dari air mata. Bagaimana nak ku tipu diri, sebenarnya aku terlalu cintakan kamu, Aruna. Ayat itu hanya ku telan, tidak ku luahkan.


"Aruna... itulah balasan yang kau terima kerana mengecewakan aku! Sekarang baru kau tahu sakitnya putus cinta! Sekarang baru kau sedar siapa yang lebih mencintai kau..." aku melepaskan dendam 4 tahun yang tertanam di dalam hati.


"Kau berdendam dengan aku, Azhari! Aku kan dah minta maaf. Tak ada ruang untuk aku lagi di hatimu? Berilah aku peluang kedua, Azhari." tangisan Aruna sudah reda.


"Maaf! Pintu hati aku dah tertutup rapat untuk kau. Anggap kita tidak pernah kenal." aku memutuskan talian.


Berderai-derai air mataku membasahi bumi. Kau masih terlalu ku sayangi, Aruna! Terlalu! Sehingga aku tidak mampu lagi mendengar tangisanmu... Aku lelaki yang tegar tetapi tewas dengan air mata bekas kekasih.


Mulai sekarang aku belajar membencimu lagi untuk kesekian kalinya. Tetapi aku pasti, api benci itu tidak ada untuk kau wahai Aruna. Kerana... kau telah abadi menjadi nadi perjalanan hidupku.


******************************


Aku telah bekerja di sebuah syarikat penerbitan akhbar cawangan Sabah sebagai 'part timer'. Daripada menghabiskan masa menanti kerja tak kunjung tiba, lebih baik ku rebut semua peluang yang datang. Aku makin ligat menghasilkan karya samada cerpen, novel atau kritikan politik semasa untuk menajamkan lagi kemahiran bahasaku.


Pada ketika ini aku berkenalan dengan seorang gadis yang juga berkecimpung di dalam bidang penulisan. Kami berkenalan secara maya dan tidak pernah bertemu sehingga kini. Walau tidak mengenalinya di alam nyata, tetapi aku dapat rasakan semangat dan auranya sama seperti Aruna. Ah! Nama itu lagi yang melatari bibit-bibit percintaan kami. Padanya aku berterus terang. Tanpa segan atau rasa bersalah aku menyatakan harapan sekiranya aku dapat tawan hati Aruna semula. Kejam kah aku! Memberikan ruang cinta terbuka kemudiannya meracuni dengan kenangan silamku sendiri? Aku keliru...


"I faham apa yang you lalui, Azhari. Berikan masa pada diri you untuk melupakan itu semua. Lambat laun kau akan terbiasa..." begitu lembut tutur katanya.


Iryanti seorang penyabar dan pendengar yang setia. Tuhan masih mengurniakan aku seorang wanita yang berhati mulia walhal kaum tersebut seringkali aku lukai hati mereka.


"I tak tahu berapa tahun lagi harus I lalui untuk lupakan Aruna. Selagi masih bernafas, selagi itu I rasa dia menghuni lubuk hati I yang paling dalam. Sudah hampir enam tahun, Yati..." aku berterus terang.


Setiap kali aku berkongsi masa silamku dengan Iryanti, dengan sabar gadis Pahang itu sentiasa memberikan perangsang untuk aku melupakan Aruna. Bak katanya; Barang yang lepas jangan dikenang, dah menjadi hak orang lain. Aku mengiyakan apa yang diperkatakannya tetapi ia cuma sementara. Akhirnya, di sepertiga malam aku mengadu pada yang Esa. Berdoa untuk melupakan Aruna.


Suatu hari yang mendung sedang aku menatap komputer riba di dalam kamar, mama menghulur sepucuk surat bersampul ungu. Wangi baunya. Mataku meliar mencari maklumat pengirim saat sampulnya terbuka.


"Jemputan Perkahwinan Aruna dengan pasangannya."


Cinta hatiku bakal berkahwin. Secara automatik meluputkan langsung peluangku untuk menawan hatinya semula. Lihatlah lelaki ini... sehingga hujung waktu begini masih mengharap 'cinta monyet'nya diterjemah menjadi cinta abadi. Diluar hujan yang tadinya renyai semakin lebat turunnya membasahi bumi. Tanpa dapat ditahan, air mata lelakiku tumpah lagi.


Aku berdoa biarlah air mata ini yang terakhir untuk Aruna!

 
You can follow any responses to this entry through the Contac Us. You can leave a response.