Cerpen : Peribahasa

Ayeng melangkah deras dengan wajah berkerut seribu. Tergambar rasa ketidakpuasan hati pada setiap langkah kakinya yang menderap berat pada laluan tar itu. Setiap kali dia melintasi rumah penduduk kampung, pasti ada yang menegur ramah padanya. Namun Ayeng tidak pula membalas keramahan itu. Jangankan membalas, menoleh pun tidak. Ayeng hanya mendengus berat sambil pandangannya dihalakan tepat ke hadapan. Reaksi ganjil itu menimbulkan kehairanan pada semua orang.

Itu bukan Ayeng yang biasa. Ayeng tidak berkelakuan seperti itu. Beliau dikenali oleh penduduk kampung Tualang Lapan itu dengan sikap yang bodoh-bodoh alang, peramah dan senyum yang jarang lekang dari bibirnya. Ayeng juga merupakan seorang yang amat ringan tulang. Beliau selalu kelihatan membantu orang kampung di majlis-majlis keraian seperti kenduri-kendara. Sebut saja nama Ayeng, pasti terbayang di kepala orang kampung akan seorang pemuda yang lurus bendul, cemerkap tetapi gemar menghulurkan pada yang memerlukan. Justeru itu, sikap Ayeng sebentar tadi amatlah memelikkan mereka.


Setelah agak jauh berjalan, Ayeng kemudiannya berhenti di sebuah kedai runcit milik seorang tua yang bernama Pak Jaeng Gaban. Beliau digelar sebegitu oleh penduduk kampung kerana suatu masa dahulu, ada penduduk kampung yang pernah terserempak dengan kelibat Pak Jaeng sedang beraksi seperti Gaban di pinggir kaki bukit Tualang. Sambil menumbuk sebuah busut anai-anai yang disangkanya seekor raksasa jahat, Pak Jaeng kemudiannya memekik-mekik dengan mengatakan busut berukuran sepemeluk itu adalah makhluk asing yang ingin memusnahkan bumi. Sudahnya beliau ditangkap oleh beberapa penduduk kampung bersama dua pegawai dari wad psikiatri hospital di pekan ketika sedang asyik melakukan aksi bertukar menjadi Gabannya di atas pokok manggis berdekatan dengan busut tersebut.


Setelah dua tahun dirawat di hospital, Pak Jaeng akhirnya disahkan telah sembuh lalu kembali semula ke kampung itu dan membuka sebuah kedai runcit hasil daripada simpanannya selama bertahun-tahun. Kini kedai runcitnya sudahpun semakin maju dan menjadi kawasan tumpuan muda-mudi kampung yang suka melepak sambil bermain gitar hingga ke dinihari. Begitupun, masih ada lagi di kalangan mereka yang pernah melihat Pak Jaeng melakukan aksi Gabannya sekali-sekala secara senyap-senyap di dalam stor kedainya.


Ayeng kemudiannya duduk di atas bangku yang diletakkan dihadapan kedai. Berjalan laju dengan nafas yang tidak teratur dek kerana marah membuatkan dirinya merasa lelah. Ayeng kemudiannya menyeluk kocek seluar dan mencari-cari sesuatu. Kemudian dia cuba menyeluk kocek baju pula sedangkan baju yang dipakai olehnya tidak memiliki sebarang kocek. Ayeng menggaru-garu kepalanya sambil memerhatikan sekeliling. Nampak gayanya dia terpaksa berhutang lagi dengan Pak Jaeng. Tekaknya terasa perit dan dia ingin membasahinya dengan minuman bergas berjenama terkenal.


"As'salamualaikum Yeng..", sapa satu suara di sebelahnya. Ayeng segera menoleh.


"Wa'alaikumussalam.. Engkau rupanya Shim..!!", balas Ayeng yang tiba-tiba bertukar ramah.


"Aku tengok dari tadi engkau seluk-seluk poket je kenapa..?! Yang engkau pulak macam keletihan sangat.. Dah tau penat pergilah beli air ke apa ke.. Hilanglah sikit penat kau tu..!!", bebel Hashim tanpa sengaja.


Hashim sudah terbiasa bercakap panjang-panjang begitu. Kerjayanya sebagai guru Bahasa Melayu di sekolah rendah dalam kampung Tualang Lapan itu menuntut dirinya agar sentiasa berbicara dengan panjang-lebar di hadapan anak muridnya. Ayeng menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal lagi. Hendak berterus-terang terasa malu pula. Tetapi apakan daya, kehendak perut mengatasi rasa malu yang semakin menikus membuatkan dia mula membuka mulut.


"Memang aku nak beli air pun Shim.. Tapi aku tak ada duit..!! Dalam poket aku ni ada sepuluh sen je.. Itupun duit baki mak aku masa aku tolong belikan kunyit semalam..", ujar Ayeng dengan wajah yang sengaja dicomelkan sehabis mungkin.


"Laa.. Kenapa tak cakap dari tadi..?! Nah, ambil sepuluh ringgit ni.. Bakinya kau simpanlah buat belanja..", Hashim berkata sambil menghulurkan sekeping not sepuluh ringgit yang dikeluarkan dari koceknya.


Ayeng tersenyum seraya menyambut huluran dari tangan Hashim. Cepat-cepat dia masuk ke dalam kedai dan kemudiannya keluar semula dengan menjinjit sebuah beg plastik berwarna merah terisi dua tin minuman. Ayeng memberikan satu tin kepada Hashim sebagai tanda terima kasih. Hashim tidak pula menolaknya. Sebaik sahaja Ayeng melabuhkan duduk, mereka berdua sama-sama meneguk minuman di hadapan kedai Pak Jaeng Gaban.


"Kau ni dari mana Shim..?! Tiba-tiba je muncul..", soal Ayeng setelah separuh air minuman diteguknya dalam satu nafas.


"Aku baru balik mengajar budak-budak.. Ada kelas tambahan di sekolah tadi.. Maklumlah, dah dekat nak periksa UPSR ni aku kenalah kerja kuat sikit..!! Bukan untuk siapa, untuk dia orang jugak..", terang Hashim.


Ayeng mengangguk-anggukkan kepala. Hashim memang berdedikasi dalam mengajar anak-anak muridnya. Pernah sekali ada seorang anak muridnya yang nakal terlupa untuk menyiapkan kerja rumah yang diberi, Hashim punyalah mengamuk sampaikan dia terpaksa ditenangkan oleh guru-guru lain di sekolah itu kerana menggigit meja pelajar tersebut sehingga patah dua. Yang peliknya guru lain yang memujuk langsung Hashim tak endah tapi sebaik sahaja Cikgu Ayu yang memujuk, Hashim terus diam. Boleh tahan juga gatalnya Hashim ni.


Tiba-tiba Ayeng kelihatan bergegas bangun. Tin minuman yang telah kosong dibuangnya begitu sahaja di dalam semak bersebelahan mereka. Hashim terpelangah. Bukanlah dia meminta-minta tetapi sekurang-kurangnya Ayeng perlu berterima kasih kepadanya kerana sudi membantu. Adab sopan orang melayu perlu dijaga dan dipraktikkan. Budi bahasa budaya kita. Itulah yang menjadi pegangannya selama ini.


"Kau nak kemana ni Yeng..?! Kelam-kabut semacam je..?!", ujar Hashim meminta kepastian.


"Aku nak balik rumah cepat..!!", jelas Ayeng yang kelihatan tidak tentu arah.


Hashim tidak terkata apa lagi. Ayeng kelihatannya ingin benar segera sampai ke rumah walaupun beliau sempat melepak di hadapan kedai ini sambil minum air tin. Belum sempat dia mahu mengucapkan selamat jalan, Ayeng tiba-tiba duduk semula di bangku. Wajahnya bertukar murung sepertinya sedang dilanda musibah yang sukar ditangani olehnya. Hashim terkedu melihat perubahan mengejut dari Ayeng itu. Baginya Ayeng merupakan seorang lelaki yang ceria dan jarang berdukacita sepanjang dia mengenalinya selama berbelas-belas tahun.


Ayeng menyeka airmata miliknya yang mula berjujuran jatuh menuruni pipi. Bara api yang terpendam dalam dadanya harus diluahkan dengan segera. Mujurlah Hashim ada di sini. Sebagai seorang guru yang berpengalaman, Hashim tentu boleh menyelesaikan kekusutan di jiwanya. Namun bibirnya terasa begitu berat untuk digerakkan. Untuk menceritakan masalah sebegini kepada seseorang bukanlah menjadi kebiasaan olehnya. Dia harus berhati-hati menyusun setiap bait kata yang akan keluar dari mulutnya.


"Shim.. Aku tak tahu macam mana nak mulakan.. Tapi rasanya engkaulah orang yang paling layak untuk aku beritahu tentang perkara ni..", Ayeng memulakan bicara.


Hashim terus menumpukan perhatian pada Ayeng. Terasa berat benar beban yang ditanggung oleh Ayeng biarpun cuma melihat dirinya sahaja. Tak mungkin Ayeng yang terkenal dengan sikap kecohnya itu akan merahsiakan sesuatu jika tidak kerana sesuatu sebab. Pasti ada sesuatu yang menghalangnya dari berbuat demikian.


"Cakaplah Yeng.. Engkau dengan aku bukannya orang lain..!! Kita dah kenal lama.. Dah macam saudara-mara pun.. Aku akan cuba bantu sedaya yang termampu..", pujuk Hashim dengan nada suara yang sengaja direndahkan.


Perlahan-lahan Ayeng menarik nafas sedalam-dalamnya dan kemudian dilepaskan dengan berat. Hashim yang memerhati hanya berteleku menunggu dengan sabar. Terburu-buru bertanya hanya akan mengundang salah faham. Hashim membiarkan sahaja Ayeng bersedia sebelum meluahkan apa yang terbuku dalam hati.


"Aku tak kisah kalau orang nak kutuk aku bodoh ke, aku tak sekolah ke.. Tapi jangan caci adik aku.. Aku tahu dia tak sesempurna orang lain tapi jangan jadikan itu alasan nak membuli adik aku..", luah Ayeng setelah berfikir semasak-masaknya.


Tahulah Hashim kini apa yang membuatkan Ayeng susah hati. Seribu pujian perlu diberikan pada Ayeng kerana sanggup menangis demi adik lelakinya yang istimewa atau panggilan kasarnya cacat. Kata orang semasa emak Ayeng mengandungkan anak bongsunya itu, dia selalu mengejar dan memukul lotong-lotong yang berkeliaran memanjat atap rumah mereka. Akibatnya adik Ayeng dilahirkan dengan keadaan wajah yang berbulu hitam dan tubuh badannya mengerekot seperti sedang membongkok.


Pada mulanya orang-orang kampung suka mengherdik kejadian Tuhan seperti adik Ayeng tapi lama-kelamaan mereka dapat menerima adik Ayeng dengan hati yang terbuka. Malah adik Ayeng dilayan dengan sangat baik. Timbul rasa hairan di hati Hashim apabila memikirkan kebenaran kata-kata Ayeng sebentar tadi.


"Siapa yang buat adik engkau tu Yeng..?! Yang setahu aku, orang-orang kampung ni semua sudah tak membuli adik engkau lagi.. Orang luar yang buat ke..?!", ujar Hashim sambil memegang bahu Ayeng.


"Bukan.. Orang kampung ni juga..!!".


"Siapa..?!", soal Hashim lagi.


"Si Mat Nor Gobek dengan Mail Tempang tulah..!! Entah apa yang diorang tak puas hati dengan adik aku.. Aku pun tak tahu..!!", marah Ayeng. Hashim segera mengurut-ngurut bahu Ayeng untuk menenangkannya.


"Takkanlah Mail Tempang tu nak buli adik engkau..?! Dia sendiri pun tempang..", tanya Hashim.


Ayeng serta-merta merenung wajah Hashim dengan pandangan yang tajam. Seram Hashim dibuatnya. Takut juga kalau-kalau Ayeng tiba-tiba mengamuk. Dia tak tahu kemana lagi nak lari. Kiri kanan semuanya hutan. Sedangkan Hashim cukup takut untuk masuk ke dalam hutan kerana pernah tersesat ketika mengikuti perkhemahan pengakap semasa kecil dahulu.


"Kau pun nak menangkan diorang jugak..?!", tengking Ayeng agak keras.


"Bukan Yeng.. Kau dah salah faham ni..!! Bukan maksud aku nak menangkan diorang.. Aku cuma tak faham kenapa diorang nak buli adik engkau sedangkan diorang tu dah lama berkawan baik..!! Diorang buli macam mana ni..?! Apa yang diorang buat pada adik engkau..?!", Hashim memujuk Ayeng.


"Tengahari tadi adik aku lepak dengan Mail Tempang dan Mat Nor Gobek dekat simpang Jalan Cipan Bukit sana.. Diorang berborak pasal peribahasa..!! Mail Tempang tanya dekat adik aku makna 'genggam bara api, biar sampai jadi arang'.. Adik aku tu pun terangkanlah pada diorang..", terang Ayeng.


"Dah tu..?! Apa masalahnya..?!", tanya Hashim yang semakin tidak faham.


"Masalahnya diorang tu tak faham-faham..!! Diorang cakap peribahasa tu bermaksud mengerjakan sesuatu yang sukar hendaklah sabar sehingga mencapai kejayaan.. Diorang ni tak pergi sekolah agaknya.. Adik aku pun cakaplah yang diorang tu dah salah..", suara Ayeng semakin meninggi.


"Eh.. Betullah makna dia macam tu..!!", ujar Hashim mencelah.


"Makna peribahasa tu sebenarnya bermaksud jangan genggam bara api sampai jadi arang, nanti melecur tangan..!! Aku tahulah.. Aku yang ajar dia macam tu..!!", terang Ayeng lagi.


Hashim terlopong melihat kesungguhan Ayeng mempertahankan adiknya. Kemudian dia berpaling dari memandang Ayeng dan menangis sambil menepuk-nepuk dahinya sendiri sebanyak tujuh juta kali tanpa henti.


Keesokkan harinya pada waktu yang sama, Ayeng terpaksa duduk dengan wajah muram bersama-sama budak-budak sekolah yang lain yang mengikuti kelas tambahan sambil cikgu Hashim mengajar dengan teresak-esak menangis kesedihan.

 
You can follow any responses to this entry through the Contac Us. You can leave a response.