Cerpen : Cahaya yang Hilang

"Ibu!! Sakit, bu! Aduh..! Ibu jangan, bu...!" jeritan muncul dari sebuah rumah kampung di pedalaman itu. Seorang wanita yang berusia 40-an dilihat memukul anaknya dengan rotan sambil diperhatikan empat adik-beradik lain.

"Ibu hantar kamu ke sekolah untuk belajar bukan mencuri!" keras kata-kata wanita itu dan sambil menitiskan air mata dia memukul anaknya yang sulung, Iman. Kecewa.

"Imah, sudahlah tu. Budak kecil.. jangan dipukul sebegitu. Kasihan dia," Mak Uteh menegur wanita itu, dengan sedihnya melihat kejadian yang menimpa keluarga Imah. Dia menjadi ibu tunggal kepada lima orang anaknya sejak sepuluh tahun lalu ditinggalkan suami.

"Ibu, Iman janji takkan buat lagi," kata Iman sambil menahan kesakitan mengetap bibir sambil menangis.

"Ibu jangan pukul abang Iman..," Izzah adiknya menghalang ibunya sambil menangis tidak sanggup melihat abangnya dirotan. Kini, giliran Izzah pula hampir dirotan Imah tetapi dia tidak sanggup apabila hampir sahaja rotan itu mahu mengenai tubuh kecil yang menghalang Iman. Mak Uteh mencapai tubuh Imah yang jatuh layu tak berdaya.

Imah menanngung keperitan hidup tanpa seorang suami dan ayah kepada anak-anaknya. Entah ke mana suaminya hilang meninggalkan mereka tanpa khabar dan nafkah. Akhirnya, dia mengambil keputusan bekerja di sebuah kilang papan atas ihsan penduduk kampungnya yang baik hati dan bertimbangrasa atas nasib yang menimpa mereka sekeluarga.

"Imah, jangan macam ni. Bersabarlah..ini ujian Allah," nasihat mak Uteh melihat Imah menangis sambil dikerumuni anak-anaknya.

"Mak Uteh, Imah dah tak larat. Kenapa Abang Luqman tinggalkan Imah macam ini.. Imah kena besarkan budak-budak ni seorang," sambil berkata Imah terbatuk-batuk.

"Janganlah kamu risau. Kan Mak Uteh dan Pak Uteh ada.. Kami akan sentiasa bantu Imah." Mak Uteh mengusap belakangnya perlahan.

"Ibu, ampunkan Iman, bu.. Iman nak kerja nak bantu ibu. Iman tak sanggup tengok ibu buat kerja seorang siang dan malam..." Iman menangis teresak-esak di kaki Imah. Mendengarkan itu, Imah memeluk semua anaknya dengan erat terutamanya Iman. Rasa kesal timbul di hati melihat anak itu.

"Betul, ibu. Abang Iman tak mungkin mencuri. Pasti ada orang yang dengkikan abang." Mimi mempertahankan abangnya. Bertambah erat pelukan Imah.

"Iman, maafkan ibu. Kenapa kamu nak kerja? Kan ibu ada. Kamu semua belajarlah sungguh-sungguh. Ibu nak sangat tengok anak-anak ibu jadi pandai. Ibu mahu kamu semua hidup senang bila dah besar nanti," panjang nasihat Imah dalam tangisan.

Hari demi hari berlalu. Imah bekerja dalam keadaan yang semakin tenat. Batuknya kini makin menjadi-jadi. Adakalanya sehingga mengeluarkan darah. Imah rebah ke lantai suatu hari sewaktu sibuk bekerja. Dia dibawa ke hospital segera. Keputusan doktor mengesahkan dia menhidap radang paru-paru! Ke mana harus dicari duit yang diminta doktor untuk menjalani pembedahan? Pasrah! Ya, itu yang Imah mampu lakukan di saat ini. Hanya mampu berdoa.

Mulai hari itu, Iman, Izzah, Hakim, Helmi, dan Mimi mula sedar wajah ibu mereka semakin tidak berdaya. maka, masing-masing makin bertambah kuat belajar untuk tidak menyusahkan hati seorang ibu. Sewaktu musim cuti persekolahan, mereka menolong Imah menjual nasi lemak dari rumah ke rumah.

Iman sebagai anak lelaki sulung setiap malam resah memikirkan keadaan ibunya yang semakin kritikal. Semakin berlalu waktu, dia semakin membenci ayahnya yang mata duitan. Meninggalkan ibunya dek kerana seorang betina yang kaya dan cantik. Baginya, walau raut wajah seorang ibu dimamah usia ianya tetap suci bersih seperti bidadari yang turun dari langit.

"Imah, bangun..bangun!" Terdengar suara Mak Uteh dari dapur suatu malam Jumaat. Izzah kaget. Segera dia memanggil adik-beradik lain yang sedang bermain di luar. Keadaan menjadi huru-hara. Sampai sahaja di pintu dapur, mereka nampak sekujur tubuh yang tidak sedar. Pak Uteh merenjis air Yaasin ke wajah Imah. Matanya mula membuka sedikit.

"Ibu, kenapa dengan ibu..?" soal Helmi pada Pak Uteh.

"Baik kita bawa ibu kamu ke hospital segera. Izzah, cepat telefon ambulans sekarang!" arah Pak Uteh sambil memimpin Imah ke atas katil.

Setelah menelefon ambulans Izzah kembali ke sisi ibunya. Semua yang ada dalam rumah kini mula mengerumuni Imah.

"Tak payahlah Pak Uteh....usahlah. dah terlambat untuk segalanya... Mak Uteh macam mana dengan anak-anak saya bila saya dah tiada?" Imah mula bersuara lemah.

"Jangan kamu risau, Imah. Usah difikirkan... Kamu akan sembuh. Mak Uteh dengan Pak Uteh kan ada..," jawab Mak Uteh memangku kepala Imah.

"Ibu, kenapa ibu rahsiakan sakit ibu dari kami?" Iman menyoal ibunya setelah mengetahui penyakit ibunya apabila terjumpa ubat semasa menyelongkar barang dalam almari pagi tadi. Dia sengaja mendiamkan hal itu. Merintih keseorangan dalam dirinya sendiri. Imah terkejut mendengar soalan itu. Tetapi kemudiannya dia tersenyum. Imah mengusap ubun-ubunnya perlahan dengan penuh kasih sayang.

"Iman, ibu tak nak susahkan kamu semua. Sudah tiba waktunya untuk ibu pergi, nak," kata Imah sambil mengusap kepala anak-anak lain. "..kamu mesti fokus pada peperiksaan PMR nanti..bimbinglah adik-adik kamu yang lain nanti, Iman.. Ibu hanya mampu berharap pada kamu, nak.." sambungnya lagi.

"Ibu..janganlah cakap macam itu. Jangan tinggalkan Iman dan adik-adik lain. Kami nak ibu..!" Iman menangis dalam pelukan Imah. Nafas Imah mula tersekat-sekat. Akhirnya segala penderitaan Imah di atas bumi ini tamat dalam hembusan nafasnya yang terakhir. Itulah kali terakhir mereka semua di sisi ibu mereka.

Iman tersedar dari lamunannya yang panjang. Mengingati kisah lampau amat memilukan hatinya. Ahh! Sudah lima belas tahun berlalu. Iman mencapai kot yang tergantung di kerusi lalu beredar pulang. Sedang dia berjalan, semua kakitangan pejabat menunduk hormat dan memberikan salam kepadanya. Kini, Iman bukan lagi seperti dahulu. Risau tak tentu hala apabila setiap kali pulang dari sekolah demi adik-adik yang harus disaranya. Akhirnya, berkat jasa seorang sahabat, dia sampai ke mercu ini. Iman sekarang yang dikenali adalah pengarah kepada Syarikat Splendid! Holdings di Kuala Lumpur ini.

Amran, aku tak akan lupakan jasamu dan ayahmu. Alangkah bahagianya jika aku punya ayah seperti ayahmu. Lupakan! Iman bermonolog seorang dalam lif. Setelah pintu lif terbuka, dia meluru ke arah kereta yang sedang menunggunya. Hari sudah lewat. Azan Maghrib bakal berkumandang di setiap masjid.

"Pak Osman, berhenti dekat masjid itu. Lepas sembahyang, kita makan di Restoran Miss Sweet. Dia orang tengah tunggu kita," Iman menunjukkan arah masjid dengan jari telunjuknya dan kemudian dia bersandar. Pak Osman mengangkat kening sebagai tanda tanya. Iman hanya tersenyum padanya. Belum pernah dia bekerja dengan majikan sebaik ini. Baru sebulan sahaja dia bekerja dengan Iman, dapat merasai ketulusan hati anak muda itu dan keluarganya.

"Ha, itu pun abang Iman! Apalah abang ni..lambat betul. Kami tunggu sini setengah jam dah." Izzah mula berleter setelah melihat ketibaan Iman tetapi kemudian dia tersenyum mengambil beg abangnya dan diletakkan di atas kerusi.

"Baru setengah jam...," Iman menjuihkan bibirnya dan ketawa kecil. Izzah mencubit pipi abangnya. Hakim pun baru sahaja sampai lalu memohon maaf atas kelewatan itu. Dia baru sahaja pulang dari kampus.

"Ini seorang lagi. Janji pukul lapan setengah. Semalam bukan main confirm kata dialah orang paling awal akan sampai sebelum kak Za datang konon!" Izzah bercekak pinggang di depannya. Hakim terkekek-kekek gelak.





Pak Osman hanya mampu tersenyum melihat mereka semua. Dia sudah maklum sikap Izzah yang suka berleter. Semakin hari dia semakin senang dengan keluarga itu. Alangkah baiknya jika seorang ayah sepertinya punyai anak-anak sebegini. Ah! Lupakan. Sejak dia berkahwin dengan Mirna dulu hidupnya bak sampah. Anak-anak langsung tidak menghormati termasuk isterinya sendiri. Lalu dia dihalau isterinya sendiri kerana dituduh mengambil barang kemas menantunya. Kejamnya dunia ini!

"Mana Mimi ni? Tak sampai-sampai lagi." Datang Helmi membawa kek yang sudah ditempah dan diletakkan di atas meja yang telah dihias indah. Semua yang dijemput bagi meraikan hari lahir Mimi datang satu persatu kemudiannya. Akhirnya, Mimi pun sampai. Masing-masing menyanyikan lagu hari lahir dan disambut dengan meriah. Mimi sudah pun mencecah usia 19 tahun.

Hari itu berlalu dengan meriah sekali. Iman kembali lagi ke pejabat. Berlonggok kerja di pejabat. Nampaknya pesaing bagi Syarikat Splendid! Holdings semakin kuat menekannya. Syarikat Mercu Holdings selalu merampas projek yang berharga berbilion-bilion darinya. Apalagi kalau bukan rasuah! Iman menghela nafas yang panjang di kerusi. Setiausahanya masuk setelah mengetuk pintu.

"Assalamualaikum, tuan," ucap Murni, setiausahanya.

"Waalaikumsalam." Iman menatap fail yang diberikan Murni. Dahinya berkerut-kerut meneliti setiap isi kandungan. kemudian, dia tersenyum.

"Baguslah. Oh, ya kalau saya tak silap petang ini kita ada perjumpaan dengan Syarikat Solo Holdings kan?" tanya Iman tegas. Matanya masih tertancap pada fail. Murni mengangguk dan mengiyakan. Kini, giliran dia pula mengambil kesempatan ini meneliti wajah majikannya. Walau dalam keadaan tegas sekalipun dia cukup tidak gentar malah rasa sayang lagi tercurah. Murni cepat menundukkan wajahnya apabila Iman mengangkat kepala.

"Saya nak awak ikut saya." Murni mengangguk dan keluar dengan perasaan berdebar-debar.


Iman pulang dengan perasaan marah dan benci. Sampai sahaja pejabat dia menghempas pintu bilik. Semua kakitangan amat terkejut dengan sikapnya. Tidak pernah dia marah sebegini. Mengimbau kembali kejadian tadi.

Iman terhenyak di kerusi tatkala melihat seorang lelaki yang berusia 60-an masuk ke bilik mesyuarat di Syarikat Solo tadi. Encik Luqman, pengasas Syarikat Solo! Begitu megah sekali cara berpakaian dan berjalan mahupun dimamah usia. Ah! Bagaimana mungkin dia ingin bekerjasama dengan syarikat itu sedang lelaki itu punca kematian ibunya.Yang peliknya mengapa Murni dan lelaki itu saling membalas senyuman. Pintu biliknya diketuk perlahan.

"Tuan, jadi ke kita dan Syarikat Solo.." belum sempat Murni menghabiskan kata-kata, Iman menyampuk.

"Nanti saya fikirkan. aturkan menyuarat saya bersama ahli lembaga pengarah yang lain," itu sahaja arahan. Murni akur lalu keluar.

Setelah mesyuarat bersama ahli lembaga pengarah tamat, Murni segera mendapatkan Iman. berkerut dahinya. Iman sedar sejak kebelakangan ini Murni seperti merahsiakan sesuatu darinya. Entah apa-apa setiausahanya ini..

"Ya, ada apa Murni? Masih tak putus asa nak ajak saya makan sekali," Iman seperti tahu apa yang sedang difikirkan Murni. Terkejut Murni. Tidak menyangka Iman dapat meneka.

"Tapi kali ini lain tuan Iman. Tuan tak perlu fikir bukan-bukan." Murni memulakan kata-katanya, ceria sedikit bunyinya. Iman mengangkat kening. Murni tersipu-sipu malu.

"Mak ayah saya nak buat makan malam besar. Jadi saya nak jemput tuan datang sekali." Murni menerangkan keadaan sebenar.

"Apa? Awak ni biar benar.. takkan awak nak saya datang seorang. Kenapa tak jemput kakitangan lain sekali? Awak ni macam-macamlah. Yalah nanti saya fikirkan. Kerja kita ni dahlah berlonggok. Mesyuarat dah sepakat nak kerjasama dengan Syarikat Solo tu. Lagi pening kepala saya." Iman memulas tombol pintu setelah sampai di hadapan bilik pejabatnya.

"Eh, kenapa pula tuan. Bukankah bagus," Murni mula hairan dan tidak sedap hati. Usahanya akan sia-sia jika kedua-dua syarikat ini tidak bekerjasama. Iman hanya berdiam diri.

Malam itu, Iman bersiap untuk memenuhi janjinya pada Murni. Tidak disangka Murni anak orang kaya. Rancak sekali mereka berbual. Murni mula senang dengan keadaan ini. Inilah peluangnya memperkenalkan Iman pada keluarganya. Cuma kurangnya papa Murni belum pulang dari kerja lagi. Iman merasakan seolah-olah pernah melihat perempuan tua di hadapannya. Bergaya sungguh ibunya ala mak datin. Berbeza dengan anaknya yang sopan santun memakai tudung.

"Marilah, Iman. Kita ke meja makan dulu. Papa Murni kejap lagi datanglah dia," pelawa Masyitah, ibu Murni. Iman mula merasakan kelainan. Lain benar cara mereka semua melayannya. Tetapi disimpan saja dalam hatinya. Bersabarlah!

"Ya, mak cik." jawab Iman ringkas. Murni memimpin Iman ke ruang makan yang eksklusif itu. Tidak sampai lima minit, papa Murni pun tiba. Di saat dia menjejak kaki ke meja makan itu, Iman tersentap. Rupanya Murni anak kepada pengarah Syarikat Solo. Patutlah Murni beria-ia ingin syarikat aku bekerjasama dengan dia! Ditahan perasaannya seboleh mungkin. Biar dia berdepan dengan lelaki itu hari ini. Dia harus berdepan dengan kebenaran.

"Papa, inilah Iman, majikan yang Murni cakapkan tu. Sebelum ini kan kita pernah bermesyuarat?" Murni bercakap dengan berhati-hati. Mendengar nama itu, papa Murni memandang wajah Iman. rasanya seperti pernah melihat Iman. Dia hanya mengangguk.


"Oh, ya. Anak ini Iman ya? Murni selalu menyebut tentang kamu. Lagi satu, saya ucapkan berbanyak terima kasih atas kesudian Syarikat Splendid! Holdings untuk bekerjasama dengan kami." Datuk Luqman tersenyum. Boleh tahan taste anakku ini ya! Bagi Iman, tidak terukir senyuman langsung di wajahnya. Kisah-kisah lampau mula bermain di fikiran.

"Datuk tak nak tahu background keluarga saya?" soal Iman berterus-terang. Iman sudah tahu kini apa yang sedang berlaku. Kemarahannya membuak-buak. Tunggu masa nak meletus. Ya, Murni sedang cuba merapatkan hubungannya dengan keluarga itu. Dan dia semakin yakin akan perasaan Murni terhadapnya. Tapi Murni silap! Kalau dia bukan anak kepada Datuk Luqman mungkin hasrat itu akan kesampaian. tetapi ini sebaliknya.

"Biar saya ceritakan satu persatu kisah hidup saya sampai saya berjaya sekarang," tegas kata-kata Iman. Semua yang berada di meja makan kehairanan. Termasuk Datuk Luqman. Barangkali, dia sudah tidak sabar memiliki anakku! Ketawa bangga Datuk Luqman dalam hatinya.

Setiap inci kisah derita hidup diceritakan. Tiada air mata yang mengalir di pipi Iman. Pendiriannya lebih jelas sekarang.

"Siapa nama ibumu Iman?" tanya Datuk Luqman setelah mendengar kisah hidup Iman. Dia mula merasa sesuatu pada diri anak muda di hadapannya. Kakinya menggeletar. Tanpa membuang masa, Iman bangun berdiri dan memperbetulkan kot yang dipakai.

"Nama saya yang sebenar adalah Mohd. Iman bin Luqman. Adik-adik saya pula semuanya empat orang. Izzah, Hakim, Helmi dan Mimi. Dan yang paling penting, untuk pengetahuan awak Datuk Luqman ibu saya namanya Rahimah binti Daud!" Kata-katanya itulah yang membuatkan lelaki tua tadi tersedak. Iman berlalu dari meja makan dengan keras.

"Iman, maafkan ayah nak..!" Datuk Luqman hilang pertimbangan. Fikiran Murni terasa berserabut. Masyitah pula berusaha menenangkan suaminya yang kemudiannya cuba mendapatkan Iman yang sudah pun keluar dari rumah istana itu. Datuk Luqman terjatuh di hadapan Iman.

"Tak ada guna maaf itu di saat ini, Datuk. Hati saya mahupun adik-adik lain dah kering. Kami dah tak perlu risau sekarang. Berkat Allah Taala kami hidup gembira sekarang. Bangunlah, datuk. Tak malukah melutut di hadapan anak isteri Datuk di kaki orang lain?" Iman tersenyum sinis sambil menekan istilah ‘datuk’ setiap kali bercakap.

Hujan mula turun dengan lebatnya. Masyitah tidak dapat berkata apa-apa. Dia seolah-olah melihat drama di depannya. Murni menangis keseorangan melihat harapannya yang hancur berkecai.

"Iman, dengar penjelasan ayah dulu," rayu Datuk Luqman.

"Saya tak nak dengar apa-apa. Syukurlah kita dipertemukan seawal ini. Tak adalah awak berharap sangat nak bermenantukan lelaki miskin macam saya." Iman masuk ke dalam kereta.


"Iman, ayah pernah cari kamu dan ibu dahulu. Tapi orang kampung cakap kamu semua dah pindah. Ke hulu hilir ayah cari kamu semua...Ayah tahu ayah berdosa pada kamu semua nak..Ampunkan ayah, nak..!" Di sebuah rumah banglo kedengaran jeritan dan rayuan seorang lelaki tua pada anaknya yang ditinggalkan suatu ketika dahulu. Murni mengejar Iman. Iman keluar dari kereta sebentar. Dia tahu Murni tak bersalah.

"Boleh awak terangkan? Saya tak faham. Apa yang berlaku ni?" soal Murni bertubi-tubi. Iman memandang ke arah lain.

"Panjang ceritanya Murni. Saya memohon maaf atas kebiadaban saya. Saya tak dapat menolong awak.." Belum sempat Murni menuturkan kata, Iman menyambung lagi. "..esok saya nak adakan mesyuarat tergempar. Kita tak jadi nak bekerjasama dengan Syarikat Solo Holdings." Iman menghidupkan enjin. Bajunya sudah basah kuyup.

"Kenapa? Kenapa awak tak nak bagi saya peluang..? Apakah salah saya menyintai seorang lelaki seperti awak?" Murni menangis di hadapan cermin pintu kereta Iman. Iman merasa kasihan atas nasib yang menimpa gadis itu.

"Tak mungkin saya akan mengahwini seorang gadis yang merupakan adik tiri saya." Itu sahaja kata-kata Iman yang terakhir yang Murni dengar sebelum kereta BMW itu bergerak keluar dari tempat parkir kereta. Tergamam Murni.

Iman menangis sendirian dalam kereta mengingati kesengsaraan ibunya. Tiba-tiba setelah keretanya keluar sahaja dari pintu pagar rumah itu. Kedengaran bunyi bising. Dia memberhentikan kereta dan menoleh belakang. Kelihatan Murni dan ibunya mengangkat ayahnya yang jatuh terbaring di lantai yang basah itu. Iman kaget. Apakah dia anak yang derhaka? Kalaupun dia menolong, dia tidak mungkin berharap segalanya kan kembali pulih seperti sediakala!

 
You can follow any responses to this entry through the Contac Us. You can leave a response.