Cerpen : Harapan PadaMu Subur Kembali

Aku tetap di sini, ditemani tembok besi, gerigi-geriginya yang tidak mampu dilawan atau ditawan oleh manusia selemah aku ini. Hari ini, di sini, aku merenung jauh, sejauh-jauhnya sehingga mampu menembusi tembok ini yang membayangkan perjalanan aku di sini setelah ditetapkan kedudukan masa depan yang perlu aku lalui pada kata-kata keramat yang diutuskan pada perbicaraan semalam. Tembok sekukuh ini pasti dianggap sebagai neraka bagi insan-insan yang menghuninya. Namun disebalik kekuatan tembok ini, aku umpama mampu melihat keseronokkan dia di luar sana mengenggam segulung ijazah, melompat-lompat tanda kepuasan, menerima seribu satu kepujian, hadiah-hadiah serta kuntum-kuntum bunga yang diberi kepadanya.

Aku dapat membayangkan itu semua, kerana aku akan mengalaminya, akan memperolehinya seperti apa yang dia kecapi. Namun apakan daya di saat aku hampir mencapai itu semua, aku ditakdirkan di sini sekadar tunduk ke bumi dalam keadaan yang menuntut kebebasan. Pada saat-saat ini, aku hanya dalam keadaan tertekan kerana menghampakan dua jiwa yang mengorbankan hidup sejak aku kecil lagi. Jiwa aku meronta-ronta untuk membebaskan diri ini daripada menerima seribu satu herdikan dan cacian yang aku fikir tidak layak diberikan kepada aku kerana bukan di sini tempatku di dalam dunia ini. Percayalah aku tidak bersalah malah tidak sesekali aku halalkan tanganku untuk menyentuh benda itu.

Benda yang membawa aku untuk mendiami tempat ini, menerima keseksaan seperti ini. Seksa umpama diri ini dipukul ombak yang pada dasarnya nampak tenang tetapi memukul kuat sehingga tidak mampu dilawan oleh setiap objek di sekeliling apabila menerima daya tekanan yang tinggi pada dasar lautannya .

Entah mengapa hari ini aku begitu memikirkan dirinya. Mungkin kerana hari ini merupakan hari kebahagian baginya yang tidak dapat aku alami bersama. Atau aku masih mengingati untuk menyentuh kembali peristiwa semalam. Dia umpama membisik di hati ini untuk berusaha sekuatnya bagi membebaskan aku. Membebaskan aku seorang wanita yang sememangnya perlu dibebaskan kerana pada kebenaranya aku di pihak yang benar. Kehadiran dia disaat ini pada diri aku umpama aku dalam kegelapan dialah cahaya yang menerangi segalanya dalam mencari sebuah penyelesaian.

Aku masih ingat, kami pernah membicarakan bahawasanya hidup dalam dunia sementara ini sememangnya cukup bermakna jika diisi dengan sempurna. Saat bersama teman merupakan saat yang terindah bagiku, kerana tidak terucap keindahan yang hendak digambarkan. Bayangkan kami berkenalan umpama lautan yang terbentang luas, tiada gunung setinggi kekuatan perjanjian kami yang bagiku mampu menyatukan dua hati insani yang berbunga dalam kelopak mata yang penuh keikhlasan dalam erti sebuah pesahabatan.

Kami disatukan atas nama silaturahim, kami disatukan atas nama ilmu, kami disatukan atas nama persaudaraan yang mengikat sebuah perjanjian persahabatan yang tidak mampu memisahkan kami melainkan ketentuanNya sahaja mampu mengatasinya. Mungkin benar kata orang, sukar untuk menjadi sahabat jika yang bersahabat itu insan yang bernama wanita dan lelaki. Tapi tiada siapa tahu sememangnya hati kami mampu disatukan atas nama sahabat jika keikhlasan dalam persahabatan diikat serta digengam dengan kukuh kerana keikhlasan merupakan aset yang paling berharga dalam kehidupan ini.

Kami berkenalan sejak di bangku sekolah lagi. Ketika kami bersama berada di tingkatan enam. Waktu ketika itu bagiku adalah bersahabat untuk bersama-sama berjaya dalam kehidupan. Bebasnya hidup ku ketika itu. Hanya di fikiranku mencari ilmu dami kejayaan. Tanpa aku sedari rupanya dia jua teman yang membina laluan untuk aku mencapai ke puncak kejayaan. Tetapi kini kebebasan itu tidak mampu aku teruskan kerana kini aku hanya di kelilingi tembok besi yang pada zahirnya tiada kebebasan lagi dalam jiwa ini. Bukan sahaja kebebasan untuk menyelami alam ini dengan bahagia tetapi kebebasan untuk memenuhi hati dengan berbagai corak kehidupan jua ku tidak mampu kini.

Perhubungan persahabatan kami ditakdirkan berpanjangan. Tanpa di rancang tetapi ketentuan tuhan aku dan dia dapat menyambung pelajaran sehingga ke menara gading di sebuah univesiti tempatan yang sama. Sebelum kaki ini melangkah meneruskan perjuangan kami telah berjanji untuk bersatu hati agar bersama-sama bersatu untuk menuntut ilmu dan berjanji antara kami hanya sekadar bersahabat tanpa lahir sebarang perasaan di hati. Dia berkata begitu mungkin aku tidak layak memenuhi hatinya atau mungkin dia berpegang teguh pada pasangannya. Aku tidak kisah itu semua kerana aku bukan perampas dan aku seorang yang menghormati hak seseorang. Bagiku soal perasaan tidak timbul dalam diri ini kerana ilmu dan janji aku ke sini bersama kedua ibu bapaku lebih diutamakan.

Hari pertama kami mengikuti kelas bersama. Kami ke kuliah bersama, mengulangkaji bersama hingga berterusan ke semester satu. Tanpa aku sedari pergerakkan kami di perhatikan. Pelbagai suara yang membicarakan tentang kami. Ada yang menyatakan kami berdua dua beradik ada jua yang mengatakan sepasang kekasih yang cukup mesra. Tetapi pada hakikatnya kami adalah dua sahabat yang cukup mesra malah lebih hebat daripada sepasang kekasih kerana bagi ku tiada siapa yang mampu bersahabat seperti kami kerana ke mana-mana sahaja dalam menuntut ilmu kami tetap bersama-sama.


Namun pada hakikatnya, aku sedari semakin lama kami bersama timbul perasaan dalam diri ini kepada dia namun aku tetap pendamkan kerana aku masih memikirkan aku tidak layak untuk dirinya serta aku masih mempunyai sebuah janji terhadap kedua ibu bapaku yang lebih banyak berkorban dalam hidup ini. Lamunan ku tiba-tiba terhenti dengan suara penjaga penjara. Waktu makan hampir tiba pastikan anda mematuhi masa". Suara penjaga tersebut menghentikan lamunanku pada dia. Kehidupan di sini cukup mengajar aku dalam menyelami ilmu yang selami ini aku jua tidak ketahui. Selama ini, aku hanya menumpukan sepenuh masa ku dengan hanya menghadap buku-buku ilmiah yang berkaitan dengan bidang yang ku pelajari. Tetapi di sini aku banyak mempelajari kemahiran yang mendidik aku untuk menjadi wanita yang memahami setiap perkara di dunia ini.

Waktu makan di sini bagi ku penuh dengan kesepian yang dipendam di dalam hati. Aku tidak bebas untuk memakan apa sahaja mengikut nafsu tekak ku, aku terpaksa makan apa sahaja yang disediakan di sini. Aku ingat kembali saat aku dan dia bersama. Kami selalu makan tengah hari bersama apabila waktu kuliah berakhir. Saling bertukar-tukar pendapat serta membincangkan isu-isu semasa serta bahan-bahan yang berkaitan dengan subjek kuliah ketika bersama-sama menjamu selera. Saat itu cukup bahagia bagiku, kerana kemesraan persahabatan kami begitu bernilai bagiku.

Namun begitu, persahabatan kami yang begitu mesra terhenti ketika kami memasuki tahun pengajian yang kedua. Aku sendiri yang menghentikan perjanjian yang diikat bersama sebelum memasuki menara gading. Aku sendiri tidak mengerti apakah sebenarnya yang bermain di dalam hati ini. Jika benar kami bersahabat kenapa perlu aku memisahkan kemesraan ini. Aku tidak tahu sejak akhir-akhir ini, aku rasakan sikapnya tidak seperti ketika awal bersama. Semakin hari aku rasakan dia sendiri hendak menjauhkan diri daripada aku. Setiap kesilapan aku begitu cepat dia mengungkit kembali.

Mungkin jua aku rasa cemburu bila dia bersama wanita lain. Tetapi kadang-kadang aku jua terfikir kenapa perlu aku cemburu sedangkan kami berdua hanya bersahabat. Dia berhak untuk memilih siapa sahaja sebagai temannya. Mungkin kerana aku mahu mengelak daripada tersasar dengan tujuan sebenar aku ke menara gading, aku sendiri yang meminta untuk membawa haluan masing-masing. Pada awalnya memang sukar untuk dia menerima permintaan aku. Tetapi akhirnya dia akur pada permintaan aku tanpa banyak bertanya sebabnya aku melakukan sedemikian.

Pada awalnya begitu sukar untuk aku membawa diri. Tetapi mungkin jua ada hikmahnya kerana aku merasakan ketenangan hadir dalam diri ini apabila tidak bersama dia kerana hati aku bebas tanpa dikongkong dengan pelbagai perasaan. Pada saat itu aku akui begitu sukar untuk kami bergelar sahabat jika tiada ikatan yang kukuh pada keikhlasan sebuah persahabatan. Sepanjang tidak bersama dia, aku dapat melihat dari jauh bahawa dia begitu gembira dengan cara dia namun semakin hari aku dapat merasakan sebenarnya dia kesepian. Namun aku gagahi hidup untuk tidak mengambil berat tentang dirinya untuk mengelakkan wujudnya perasaan antara kami. Hari demi hari hubungan kami semakin jauh tetapi ada kala aku mudah mengenang kembali setiap memori suka dan duka ketika bersama dia.

Namun sejak akhir ini, dia seperti cuba mendekati aku mungkin kerana masih setia untuk digelar sahabat baik atau dia masih memerlukan aku untuk bersama-sama mencapai impian demi sebuah kejayaan. Pada awalnya aku tidak memperdulikan setiap permintaannya. Namun bila difikirkan kembali bahawasanya kita hanya hambaNya sahaja, aku cuba mengeratkan kembali persahabatan ini. Sebelum aku mengalami peristiwa ngeri ini, hubungan kami sebagai sahabat kembali pulih walau tidak semesra dulu setelah masing-masing menghulurkan kemaafan dan mengakui kesilapan masing-masing. Namun begitu, kali ini aku bertekad hanya sekadar berkawan kerana hati ini kembali tertutup setelah merasakan diri ini hanya satu mainan yang digunakan apabila diperlukan dan hanya dijadikan hiasan untuk dipamerkan jika tidak diperlukan.

Genap hari rabu 9 haribulan 9 bersamaan 27 Syaaban merupakan hari yang menentukan kehidupan aku sebenarnya selepas ini. Aku mendengar dengan teliti hujah-hujah yang diberikan daripada pihak yang mendakwa aku dan membela aku. Fikiran ku melayang-layang mengingatkan kembali keadaan aku semasa bersama kawan-kawanku di dalam dewan kuliah pada setahun yang lalu. Ketika itu tanpa aku sedari sepasukan pihak berkuasa datang menyerbu dewan kuliah kerana ada aduan menyatakan bahawa ada pelajar yang terlibat dengan pengambilan dadah. Ketika itu aku satu kelas bersama dia, tanpa diduga ketika siasatan dijalankan didapati di dalam beg aku terdapat sebungkus dadah yang aku sendiri tidak tahu jenis apa. Bayangkan ketika itu bertapa malunya aku bukan sahaja di hadapan dia serta sahabat aku malah di hadapan pensyarah serta seluruh warga kampus aku sendiri.

Aku sendiri tidak mengerti bagaimana benda yang aku jijik untuk memegang itu ada di dalam beg aku. Pada saat itu aku tidak mampu untuk membela diri walaupun aku percaya aku dianayai. Saat itu banyak mata memandang aku, ada yang berbisik-bisik, serta ada yang memberi reaksi simpati. Aku terus dibawa oleh pihak berkuasa tanpa ada secebis kesempatan untuk aku membela diri.

Kata-kata terakhir telah diberikan oleh hakim yang mengendalikan kes aku. Setiap butir kata-katanya aku dengar dengan teliti serta jelas menyatakan bahawa Siti Farahin binti Azmi dengan ini mahkamah menjatuhkan hukuman mati mandatori di bawah akta dadah berbahaya 1952 di bawah seksyen 39(B)(2) berdasarkan setiap bukti-bukti yang diberikan oleh pihak pendakwa". Kata-kata itu jelas menyatakan bahawa aku bersalah sebagai pengedar kerana bukti yang kukuh tiada untuk membela diri ini. Akhirnya aku tertunduk dan akur ketentuan Ilahi kerana bagiku hanya dia sahaja yang tahu siapakah dalang semua ini.

Lamunan ku terhenti di sini apabila warden penjara datang memberitahu ku bahawa ada seseorang datang untuk berjumpa dengan aku. Aku melangkah ke bilik perjumpaan dan memandang dari jauh dia di hadapan yang sedang asyik memandang setiap langkahku. Saat ini bertapa malunya aku umpama aku berada dalam keadaan berlumpur keringat yang membasahi bumi. Aku hidup di penjara ini terkubur dalam kesepian yang bukan aku bina atas kerelaan sendiri.

Dari cermin kaca yang memisahkan kami, dia dengan wajah yang boleh digambarkan kegembiraannya setelah berjaya mengengam segulung ijazah menyatakan dengan wajah yang tenang akan membantu keluargaku untuk membebaskan aku melalui mahkamah rayuan. Aku janji akan bebaskan kau, bawa bersabar, aku akan cuba lakukan sesuatu untuk memastikan kau dibebaskan". Aku hanya mendiamkan diri dan hanya memberikan senyuman pada kata-katanya. Bagiku dia bertindak begitu kerana mungkin masih menghargai persahabtan kami atau masih ada secebis simpati pada diri ini.

Namun pada hakikatnya aku bersedia menghadapi semua ini walau pahit untuk menerimanya dalam kehidupan ini. Aku tetap memikirkan walaupun sejarah dunia menyatakan aku bersalah tetapi sejarah akhirat tetap mempertahankan aku sesorang wanita, seorang hamba Allah yang tetap berada di landasan yang benar dan bersih daripada menyentuh benda haram itu.

Izinkan aku bahagia walau tidak di dunia ini, biarlah di sana jua aku tempuhi kebahagian itu. Zafir, ingatlah aku sebagai rakanmu, kenanglah aku dalam doamu sebagai sahabatmu serta teman sejati yang pasti akan tiba saat dan waktunya untuk kita berpisah". Kata terakhir aku kepadanya. Sesungguhnya tulus ikhlasmu, luhur budimu tiada penganti dan memori indah kita bersama akan terus bersemadi dalam kotak pemikiranku. Aku pasrah di atas kehendak yang esa, teruskanlah perjuangan hidup bagaikan semalam kita bersama walaupun pada hakikatnya aku perlu tempuhi semua dugaan ini dan berharap harapanku padaNya akan sentiasa subur kerana dialah yang maha esa lagi maha mengetahui segalanya.

 
You can follow any responses to this entry through the Contac Us. You can leave a response.