Cerpen : Ada Rindu Di Hati

Mardiah menghempaskan pintu biliknya sekuat hati. Mahu bergegar satu dorm asrama dibuatnya. Namun kemarahan yang terbuku di hati masih belum puas dilepaskan. Semuanya gara-gara jejaka idaman kebanyakan gadis di kampusnya yang sentiasa dianggap gentleman dan tampan. Dia memang pelik bagaimana lelaki sedemekian rupa yang sentiasa menyakiti hatinya begitu disanjung-sanjung. Malahan ada di antara teman-temannya yang sanggup memarahinya kerana menggelarkan lelaki itu 'anak setan'.
" Memang dasar anak setan!! Harap muka je lawa tapi perangai...Selalu menyusahkan orang. Eeeii...geramnya aku!!!" Mardiah mengetap bibir dan mengenggam tangannya menahan geram. Silap hari bulan boleh meletup dadanya kerana memendam kemarahan yang amat meluap-luap itu.
Kedengaran pintu dibuka dari luar. Raihan memerhatikan keadaan Mardiah. Berombak-ombak dadanya menahan marah. Dia menggelengkan kepala sambil menutup pintu biliknya perlahan-lahan lalu duduk di belakang gadis yang dikenalinya 2 tahun yang lalu. Dia sebenarnya dalam perjalanan balik ke asrama semasa terserempak dengan Athirah, rakan sekuliahnya yang mengatakan Mardiah kelihatan seperti sedang mengamuk. Apalagi, Raihan terus memenjangkan langkahnya untuk mengetahui hal yang sebenar.
" Kenapa ni, Mar? Hakim buat hal lagi ek?" Raihan menyoal gadis yang sedari tadi hanya mendiamkan diri. Sedikit masa berlalu dan pertanyaannya dibiarkan tanpa jawapan. Hanya kedengaran hembusan nafas Mardiah yang masih kasar menandakan gadis bertudung litup itu masih marah.
" Apa yang...anak setan tu buat pada Mar lagi?" Sengaja Raihan menggunakan gelaran itu untuk satu-satunya manusia di kampus UiTM Shah Alam ini yang mampu membuatkan Mardiah naik hantu seperti sekarang untuk menarik perhatian Mardiah. Siapa lagi kalau bukan Aidil Hakim anak Dato' Muhamad merangkap salah seorang daripada teman baiknya.
Sejurus selepas itu kedengaran Mardiah tertawa kecil mendengarkan teman sebiliknya itu menggunakan gelaran itu. Umpan Raihan mengena. Mardiah berpaling dan mengubah posisi duduknya mengadap Raihan.
" Akak kalau tak sanggup nak sebut gelaran tu, baik tak payah sebut. Buat menambah dosa je. Akak tu baik, tak macam Mar ni panas baran..." Ujar Mardiah sambil tersenyum sumbing. Kebaikan gadis yang berambut pendek paras bahu yang berusia 2 tahun lagi tua daripadanya itu sepanjang tempoh perkenalan mereka cukup membuatkan Mardiah tidak senang hati untuk bermasam muka dengan Raihan. Selama ini, Raihanlah tempatdia mengadu semua masalahnya terutamanya anak setan yang selalu membuatkan hidupnya kacau-bilau.
" Adapun suara. Ingatkan putera bunian mana yang dah curi suara berlemak bak buluh perindu adik akak sorang ni..." Raihan manjawab sinis.
" Aww!! Sakitlah bertuah!" Raihan menggosok-gosok peha kanannya yang menjadi mangsa tamparan Mardiah. Kalau kena dengan tangan perempuan sorang ni, memang perit berbisa. Hajatnya untuk membalas balik tamparan tiu terbantut apabila dilihatnya Mardiah kembali murung.
" Apalagi Hakim buat pada Mar? Dia cium Mar ke?" Raihan mengusik, cuba menceriakan suasana.
" Beranilah dia nak pegang Mar! Silap hari bulan ada yang kena cincang sampai lumat dengan Mar. Cubalah..." Serius benar ugutan daripada gadis itu. Mardiah masih mengingati pertemuan pertama dengan lelaki yang digelar anak setan itu iaitu semasa sesi perkenalan antara pelajar baru dengan pelajar lama dalam minggu orientasi. Lelaki itu merupakan mentornya sepanjang minggu orientasi tersebut. Ramai yang mengatakan dia bertuah mendapat lelaki itu namun sebaliknya hanya dia yang tahu betapa kejamnya lelaki tersebut. Malangnya tiada siapa yang mempercayai cerita Mardiah. Sangkanya cukuplah seminggu itu sahaja dia menjadi mangsa buli lelaki tersebut tetapi sehingga kini dia masih lagi terus dibuli, disakat dan diusik. Sudah hampir 2 tahun lamanya dia dijadikan seperti khadam kepada lelaki itu. Dan tahap kesabarannya sudah melebihi tahap maksimum hari ini.
" Dia ingat Mar ni kuli batak dia ke?! Sesuka hati je dia suruh Mar buat macam-macam. Mar tahu mesti dia sengaja letak kereta mewah dia tu jauh-jauh daripada library. Memang sengaja dia nak kenakan Mar. Panas-panas terik tu mamat tu suruh Mar bawak buku yang dia pinjam dari library sampai kereta dia. Lepas tu, boleh pulak dia suruh Mar pulangkan buku-buku yang dia dah pinjam kat library balik. Selamba dia je Mar bawak buku-buku tu. Bukan sikit kak, menimbun-nimbun. Macam nak semput nafas berulang-alik dari kereta dia pergi library. Berpeluh-peluh Mar dibuatnya. Dah la Mar tengah sibuk buat rujukan untuk assignment yang nak kena hanta minggu depan. Sampai hilang mood Mar nak sambung balik kerja tu. Macam nak juling mata budak-budak perempuan yang tengok Mar jalan dengan anak setan tu. Macam Mar nak sangat dengan mamat mereng tu. Bagi free pun tak hingin Mar nak tengok dia lagi!"
Raihan yang sedari tadi menjadi pendengar setia hanya mampu mengusap-usap belakang badan Mardiah. Perkara biasa yang akan dilakukan ketika gadis itu sedang marah.
" Mar tension tau, kak...Balik-balik nak mengadap muka dia. Lepas tu kena pandang serong dengan kakak-kakak senior yng lain. Mar malu tau, kak..." Suara Mardiah mulai kendur. Bergenang air matanya. Lantas Raihan mendakap erat tubuh genit itu untuk mententeramkan hatinya. Dia tahu mengapa Hakim memperlakukan Mardiah sedemikian rupa. Tapi kalau sampai menyebabkan gadis yang sudah dianggap sebagai adik kandungnya itu menangis, Hakim memang sudah melampau. Raihan tidak boleh berdiam diri lagi.

****************************************************************

Matanya meliar mencari seseorang di dalam kafeteria itu. Kalau mengikut andaiannya, lelaki itu berada di sini kerana sekarang waktu makan tengahari dan kuliah juga sudah tamat. Pencariannya berakhir tatkala terpandangkan lelaki itu sedang duduk bersendirian di satu sudut kafeteria.Pantas dia mengatur langkah menuju ke situ.
" Assalamualaikum. Aku ada hal nak cakap dengan kau." Tanpa menunggu salamnya dijawab, Raihan terus menarik kerusi kosong di hadapan Hakim lalu duduk dengan raut wajah yang serius. Hakim terpaku dengan aksi spontan perempuan yang sudahpun duduk di hadapannya. Dia seakan dapat meneka tujuan Raihan menemuinya di situ.
" Kau dah makan belum? Kalau belum, pergilah order. Aku belanja." Hakim memulakan mukadimah.
" Tak payah. Aku datang nak bincang pasal Mardiah, bukan nak melantak." Tegas kedengaran suara Raihan.
" Aku dah agak dah. So, apa buah hati aku mengadu pada kau?" Mendengarkan soalan Hakim yang selamba itu membuatkan Raihan mengeluh.
" Sampai bila kau nak buat Mar macam tu, Kim? Kenapa kau tak berterus-terang je dengan dia? Kan lagi senang. Ni sampai menangis budak tu kau buat. Dah dekat 2 tahun, Hakim. Apa faedah kau nak menyakat dia terus-terusan macam ni? Boleh tekanan perasaan, kau tau tak?"
Hakim terdiam tatkala Raihan mengatakan Mardiah menangis. Namun disembunyikan perasaan itu.
" Kau tahukan kenapa aku buat macam tu? Aku rasa bahagia berada dekat dengan dia, Yan. Aku suka tengok muka dia merajuk, masam, marah-marah. Aku suka dengar dia membebel. Tapi aku takde niat nak buat dia menangis." Jujur dia membuat pengakuan itu. Memang benar, setiap kali dia menyuruh Mardiah melakukan sesuatu untuknya seperti menyanyi di depannya dan menemaninya ke library dirasakan seolah-olah ketika itu gadis itu miliknya seorang.
" Kau ni memang lelaki yang paling pelik pernah aku jumpa. Setahu aku, kalau kita sayangkan seseorang tu, kita akan bahagiakan dia. Ni tak, kau sakat dia, kau suruh Mar buat macam-macam sampai dia gelar kau anak setanlah, mamat merenglah...Sakit telinga aku ni mendengarnya, tau! Kau ni betul ke sayangkan Mardiah ni?" Untuk sekian ke berapa kalinya Raihan bertanyakan soalan yang sama kepada Hakim. Kalau orang lain pun, mesti tidak mempercayai apa yang sedang berlaku ini.
Hakim merenung Raihan yang sudah bertahun menjadi temannya. Dia faham keadaan sahabatnya itu umpama ditelan mati mak diluah mati bapak.
" Kau tahu jawapan aku kan? Biarlah beribu kali atau berjuta kali kau tanya soalan yang sama, jawapan aku tetap tak berubah dan aku takkan jemu menjwabnya, Yan. Ya, aku memang sayangkan Mardiah. Lebih daripada seorang kawan. Aku tak kisah kalau orang nak cakap aku gila sebab buat orang yang aku sayang macam apa yang aku buat pada Mar sebab diaorang takkan faham apa yang aku rasa. Bila aku tengok wajah dia tengah marah or whatever akulah orang paling bahagia sebab aku rasa dekat dengan dia. Aku tahu dia gelar aku macam-macam. Aku tak kisah sebab asalkan aku dapat tatap wajah dia. Aku ikhlas cintakan dia, Raihan. Belum ada perempuan dalam hidup aku yang buat aku rasa macam ni melainkan gadis kesayangan aku yang bernama Ainul Mardiah binti Zahim." Hakim menundukkan wajahnya. Seolah-olah dia dapat melihat wajah gadis yang dicintainya itu menyanyi di tubir matanya semasa pertemuan pertama mereka dalam minggu orientasi. Ketika itu dia menyuruh Mardiah menyanyikan satu lagu yang jarang didengari olehnya. Muka gadis itu hanya masam mencuka semasa mendendangkan lagu kumpulan Element yang bertajuk Cinta Tak Bersyarat. Sejak itulah hatinya terpaut pada gadis itu dan mula membulinya dengan menyuruh melakukan macam-macam kerja.
" Tapi Hakim, jangan sampai Mar dah tak boleh tengok muka kau lagi baru kau nak terhegeh-hegeh nak beritahu tentang peraaan kau. Mar tu suka memendam rasa. Aku takut lain jadinya nanti. Terus-teranglah dengan dia." Pujuk Raihan. Rasa simpatinya melimpah-ruah.
Hakim meraup mukanya beberapa kali dengan kedua-dua belah tangannya. Tabiat yang biasa dilakukan apabila dia dalam dilema. Dia memerhatikan keadaan sekeliling sambil mencari jawapan yang sesuai untuk dikatakan. Dia menoleh ke sebelah kirinya lalu menoleh ke arah lain. Namun pandangannya terhenti. Hakim menoleh semula ke kirinya dan dia terkedu seribu bahasa. Jantungnya seolah berhenti berdegup. Nafasnya seolah berhenti menderu. Raihan yang menyedari perubahan itu turut menoleh ke arah yang sama. Raihan turut trpaku.
Ainul Mardiah kaku berdiri di hadapan mereka berdua. Air matanya berlinang. Pandangannya menikam ke kalbu Hakim. Hakim dapat merasakan ada sendu di sebalik renungan mata bundar milik Mardiah itu.
" Mardiah..." Hakim cuba memanggil nama itu namun seolah-olah tersekat di halkumnya.

***********************************************************

Mardiah merenung tasik di hadapannya. Tempat yang sentiasa menantikan kehadirannya tika dia dalam kedukaan. Namun hari ini, ada perhitungan yang harus diselesaikan di situ. Bersaksikan semua ciptaan Pencipta sekalian alam ini.
" Assalamualaikum..." Kedengaran suara lelaki yang memang ditunggu sejam yang lalu. Memang sengaja dia datang awal untuk menenangkan fikirannya di tasik itu.
" Waalaikumsalam..." Perlahan Mardiah menjawab salam itu. Sedikitpun dia tidak berpaling kerana dia yakin itu suara lelaki yang pernah mengharu-birukan hidupnya satu masa dahulu. Namun sejak sebulan yang lalu, lelaki itu sudah tidak menganggunya lagi. Mereka hanya berbalas pandangan dari kejauhan dan setiap kali pandangan mereka bertemu dapat dirasai ada harapan yang cuba disampaikan padanya. Tanpa disedari ada rindu bermukim dalam hatinya terhadap gelagat lelaki itu.
" Terima kasih sebab sudi jumpa abang." Hakim memulakan bicara. Dia sekadar berdiri di sisi bangku yang diduduki oleh Mardiah. Inilah saat yang ditunggu-tunggunya. Penjelasan terhadap semua salah faham yang berlaku.
" Kenapa? Tak puas nak buli Mar lagi ke?" Sinis kedengaran jawapan daripada Mardiah.
Hakim tersenyum mendengar suara yang sekian lama dirinduinya itu. Masih dalam nada yang sama. Tapi dia tidak kisah asalkan dia dapat menghiburkan hatinya yang semakin rawan.
" Abang masih belum jelaskan keadaan yang sebenarnya pada Mar."
" Mar dah tahu semuanya. Mar cuma nak tahu satu perkara saja daripada abang."
" Apa dia?"
" Kenapa abang sanggup nak buli Mar daripada berterus-terang hal yang sebenar?"
" Sebab Kak Yan beritahu abang yang Mar dah macam-macam nama kat abang." Mardiah mengerutkan dahi lalu berpaling ke arah Hakim.
" Pasal tu je?"
" Yupp! Abang lelaki, Mar. Tak lepas daripada perasaan ego. Hati abang makin suka nak menyakat Mar bila dapat tahu Mar gelar abang macam-macam." Hakim jujur mengakui keegoan dirinya. Mardiah mengetap bibirnya.
" Abang tak marah Mar gelar abang bukan-bukan?"
" Bukan abang yang dapat dosa.." Dengan selamba Hakim menjawab. Mardiah menjeling tajam.
' Macam ni pun ada hati nak kenakan aku lagi...Kurang asam betul'
Hakim sengaja ingin membakar peraasan gadis kesayangannya itu. Dia rindu mendengar suara Mardiah yang sentiasa lantang membantah setiap arahannya dulu namun setiap kali itu jugalah Hakim akan menang bertikam lidah dengan Mardiah.
" Betul apa yang abang cakap pada Kak Yan masa kat kafe dulu?" Hakim menoleh ke arah Mardiah. Tidak disangka pertanyaan itu yang akan keluar dari mulutnya. Sangkanya pasti teruk Hakim dimaki hamun oleh Mardiah yang memang sedia maklim dengan sifat panas barannya itu.
" Cakap pasal apa?" Hakim berpura-pura tidak mengerti. Namun apabila tidak mendapat respon daripada Mardiah, Hakim tidak mahu mengeruhkan lagi keadaan.
" Ya. Abang mengaku segala apa yang abang buat pada Mar bukan sebab abang dengki atau benci pada Mar tapi sebab abang sayang pada Mar. Abang nak sentiasa dekat dengan Mar..." Hakim mengeluh.
" ...walaupun abang tahu cara abang salah..." Perlahan saja Hakim menuturkan ayat itu menandakan kekesalan kerana perbuatannya dulu.
" Apa yang Mar dapat kalau Mar maafkan abang?" Mardiah sengaja menguji Hakim. Sebenarnya sudah lama dia memaafkan lelaki itu. Tiada gunanya kalau dia menyimpan dendam. Kak Raihan sendiri yang berusaha memujuk dan menyakinkannya bahawa niat lelaki itu memang ikhlas. Dan Mardiah rasa tidak salah sekiranya dia ingin merasai keikhlasan lelaki itu dengan cara yang betul.
" Mar akan dapat kasih sayang dan cinta yang tak terhingga daripada abang. Kalaulah itu benar-benar berlaku, abang dah bernazar nak botakkan kepala abang..."
Sejurus mendengar pengakuan itu, Mardiah terus berpaling memandang muka lelaki yang sedang berdiri di sebelahnya untuk mendapatkan kepastian namun Hakim hanya berwajah tenang memandang pemandangan tasik di hadapan mereka. Dia terkejut sebenarnya. Sehingga begitu sekali nazar Hakim?
" Kenapa sampai macam tu sekali abang bernazar?"
" Kenapa? Mar nak tinggalkan abang ke sebab abang dah tak handsome nanti? Takpe, jangan risau. Muka abang lepas botak pun masih segak dan tampan sama macam abang ada rambut..."
Mardiah merasakan seperti dirinya dikenakan lagi. Lantas dia bangun untuk menampar lelaki tersebut. Namun Hakim yang memang sedia maklum akan keperitan tamparan Mardiah itu terlebih dahulu menangkap kedua-dua belah tangan Mardiah. Gadis itu cuba melepaskan diri namun apalah sangat kekuatannya berbanding Hakim. Pipi Mardiah mulai merah. Masakan tidak, selama hari ini dia cuba mengelak daripada menyentuh lelaki bukan muhrimnya.
" Abang, lepaslah...Tak elok pegang orang bukan muhrim..." Kata Mardiah sambil menundukkan wajahnya yang sudah dirasakan sudah merah kerana menahan malu. Hakim yang maklum keadaan itu mengambil kesempatan untuk untuk mengenakan gadis kesayangannya itu sekali lagi.
" Abang akan lepaskan tangan Mar dengan syarat Mar kena terima abang dulu."
" Nak paksa-paksa pulak. Suka hati oaranglah..."
" Oh, berlagak eh? Ok, abang tak lepaskan tangan Mar."
" Yela, yela...Mar terima. Dah la, lepaskan tangan Mar..."
" Terima apa?"
" Mengada-ngadalah abang ni...Lepaslah..." Tiada respon daripada Hakim. Pautannya terasa kejap. Akhirnya Mardiah mengalah.
" Ainul Mardiah binti Zahim sedia menerima Aidil Hakim bin Dato' Muhamad sebagai lelaki yang istimewa yang akan disayangi dan dicintai selagi ada jodoh antara kita dan selagi Yang Maha Pencipta merahmati perasaan antara kita ini. Sekarang, boleh saya mintak balik tangan saya?" Mardiah menguntumkan senyuman yang paling manis untuk lelaki yang mula bertahta di hatinya itu. Hakim melepaskan tangan Mardiah sambil tersenyum nakal.
" Dah lama hafal skrip yang Mar cakap tadi?" Hakim tersenyum sinis.
" Abang!!!"

 
You can follow any responses to this entry through the Contac Us. You can leave a response.