Cerpen : Mengapa Dia Gila

MUNGKIN inilah sifat semula jadinya. Anugerah yang diberikan kepadanya. Tiada siapa tahu dan tiada seorang pun akan tahu apa penderitaan yang di hadapinya. Itulah azalinya manusia yang hidup di bawah bumi yang berbelah dua. Bumi yang ada satu baginya tidak cukup untuk meneruskan hidupnya. Sikap manusia yang mempamerkan kebodohannya juga dianggap kecurangan terhadap dirinya sendiri. Ini sikap tidak adil dipandang sebelah mata. Orang akan menganggap dia gila, tapi gila apa? Mengapa dia gila? Adakah sejak lahiriahnya kehidupannya seumpama ini?

Kelibatnya setiap hari memperwatakkannya seperti orang biasa. T-Shirt biru tua lengan pendek dan seluar paras lulut compang-camping disamping sebilah parang diikat dipinggangnya masih belum bertukar sejak dulu lagi. Mungkin T-Shirt biru tua lengan pendek dan seluar paras lulut compang-camping disamping sebilah parang diikat dipinggangnya tidak pernah disentuh air buih yang wangi. Kepalanya dibiarkan saja botak, jika ada tumbuh sehelai dua helai rambut akan dicabut dan mengeluarkan rasa gatal kepalanya akan digaru-garunya. Mulutnya kumat-kamit mengeluarkan air merah cair memang kebiasaannya. Giginya yang sudah kehitaman dan seperti tunggul-tunggul kayu berhunjaman memapak sirih dan pinang muda yang diambilnya dari laman rumah.
Kebun-kebun dan pohon-pohon buah peninggalan arwah ibu bapanya memang banyak, hasilnya dijual di gerai pondok buatannya sendiri. Buah-buah pisang, buah pinang, buah nangka, buah cempedak yang masih kehijauan akan kelihatan di sudut gerai pondok buatannya. Mungkin orang ramai yang melihatnya tidak pernah tahu nasib penjual di gerai pondok buatannya sendiri.

Aku masih waras berfikir, inilah kehidupan yang patut diambilnya. Mungkin usianya kini dalam lima puluhan yang aku agak-agak. Di zaman kanak-kanaknya juga sudah ada ciri-ciri yang dia ada sekarang. Aku masih ingat lagi.
"Mat.. pulangkan gojoh ibu.. pulangkan..". Seorang ibu berkelahi dengan anaknya memperebutkan gojoh pinang yang selalu dipakainya untuk melumatkan pinang dengan sirih.
Memang diusia kanak-kanak paling suka menyeloroh orang tua. Begitulah yang dia ada. Apabila diusik dia marah, dia akan memberontak dan akan menghentak besi atau parang kepada sesiapa yang mengganggunya.
"Nak.. Cepat masuk rumah, ada orang gila...", kedengaran suara jiran sekeliling dari laman rumah.
Semua pintu dan tingkap rumah sekeliling ditutup rapat. Namun aku cuba mencuri-curi pandang dari celah-celah lubang kecil dinding rumah kayu kepunyaan ibu bapaku. Kulihat ada beberapa orang polis membawanya pergi meninggalkan rumahnya, kedua belah tangannya digari dengan rantai besi. Oh! Betapa malang sungguh nasibnya, usia begini sudah hidup terpenjara.

Selang seminggu, dia dibawa pulang ke rumah. Ibunya tidak menyambutnya dengan riang, malah memaki-maki dan menyumpah-nyumpah.
"Anak sial! Mengapa kau tidak hidup selamanya di penjara tu?", suara seorang ibu yang mengesali kehadiran anak yang dianggapnya gila.
Kehadirannya kini di kampung yang permai sudah tidak lagi seperti biasa, hidup gotong royong antara jiran terdekat semakin kurang dengan adanya kehadiran orang yang dikatakan gila. Namun tiada siapa yang tahu mengapa dia dikatakan gila. Memang sukar difahami, mengapa akal fikirannya tidak waras? Sedangkan pekerjaannya adalah amal kebaikan yang dilakukannya setiap hari hanyalah untuk mengisi perutnya yang kosong dengan menjual buah-buahan yang mentah yang sepatutnya belum dipetik lagi. Tapi ada sikap orang memandang belas, mereka terpaksa membelinya dengan harapan dia akan boleh hidup dengan wang yang dia ada atas jualannya sebegitu rupa. Hatinya memang riang sekali bila mendapat wang yang hasil dari keringatnya. Dia akan kejarkan wang ke kedai runcit berhampiran rumahnya. Dia akan beli apa saja sesuka kemahuannya. Dia beli minyak wangi. Untuk apa minyak wangi baginya? Walau sebotol sehari disemburkan ke suluruh badannya, tidak mungkin akan menghilangkan baunya yang busuk yang tidak pernah mandi bertahun-tahun hidupnya. Mungkin dia suka-suka membelanjakan wangnya. Kelihatan dari segaknya tiada rupa yang menawan. Anggapan orang kampung sekeliling yang sudah tahu tabiatnya membiarkan begitu saja. Dia tidak mengganggu orang, dia cukup senang sekarang dengan kehidupan yang dia ada. Walau hanya sekadar makan nasi berlaukkan ikan masin, sudah cukup baginya. Jiran-jirannya yang sudah tahu dengan keadaannya akan bersedekah nasi bungkus dan makanan setiap hari kepadanya dengan tidak susah-susah memikirkan untuk mencari makan. Dia cuma tahu makan, tidur, berak, kencing dan membuat pekerjaan yang dianggapnya dia suka. Begitulah kebodohan yang dia ada.

"Mat.. Kalau kau nak makan, nasi ada di dapur," suara seorang perempuan yang juga sebayanya mengarahkan untuk mencari makan sendiri.
Kelibatnya kelihatan lagi dengan T-Shirt biru tua lengan pendek dan seluar paras lulut compang-camping disamping sebilah parang diikat dipinggangnya. Dia memberikan senyuman ringan. Aku turut terharu ke atas nasibnya. Sekarang dia hanya tinggal di sebuah rumah besar bersama kakaknya yang sekarang masih belum ingin berumah tangga. Nasib baik kakaknya ini masih sanggup menyara hidupnya disamping dia melakukan pekerjaan yang dia suka.
"Mat, lepas makan pergi kau ambilkan kakak buah kelapa tua, kau buka kulitnya sekali."

Begitulah sikap kakaknya yang sering mengarah adiknya ini tanpa sebarang bantahan. Dia tidak pernah membantah apabila disuruh, walaupun pandangan orang dia seorang gila, tapi akal dan fikirannya masih waras, suka membantu dan menolong orang jika diperlukan. Inilah jadi tanda tanya pada diriku bila aku sering melihat kelibatnya dengan T-Shirt biru tua lengan pendek dan seluar paras lulut compang-camping disamping sebilah parang diikat dipinggangnya di tepi jalan dekat gerai pondoknya.
Dia akan duduk sambil termenung. Wajahnya didongakkan ke langit, merenung nasib seterusnya. Mungkin kehidupan di luar sana lebih meriangkan. Di telusurinya sebuah demi sebuah kereta yang berpusu-pusu di hadapan gerai pondok buatannya. Mungkin dia berangan memandu sebuah kereta, tapi kereta jenama apa? Ah! Tidak mungkin kakaknya akan membenarkannya. Orang anggap dirinya gila mana boleh memandu, hendak mendapatkan lesen memandu pun mesti ada sekolah. Sekolah pun dia tidak pernah, apalagi memegang pensil dan buku-buku pelajaran.

Suatu hari keinginannya untuk belajar membuatkan kakaknya terkejut. Kakaknya marah kerana bilik tidurnya digeledah. Disebabkan sebatang pensel dan kertas membuatkan hati kakaknya marah padanya. Dia hanya mampu senyum dan tidak pandai menyusun kata. Dia hanya angguk dan geleng.
"Mat.. kau ni sudah tua, tidak perlu lagi belajar menulis, kau usahakan saja kebun buah-buahan arwah ibu bapa kita ni."
Dia sedar, memang orang gila seperti anggapan semua orang dia tidak perlu menulis. Untuk apa menulis? Kalau sudah kategori dikatakan gila, sampai bila-bila orang panggil gila. Memang sudah nasibnya dan tidak mungkin akan ada orang menyebelahinya. Apalagi diberi kasih sayang. Sejak kecil, ibu bapa, adik beradiknya dan ahli keluarganya tidak pernah memberikannya kasih sayang. Sejak merah tapak kaki mungkin dia sudah ada tanda-tanda bakal seorang anak yang gila yang tidak pernah dimintanya. Inilah nasibnya yang telah diabaikan oleh orang tua dan keluarga, padahal jika dikaji sedari awal, psikologinya tidak terlalu mendalam, hanya orang-orang yang tidak mengerti akan hidupnya ketika masih kecil. Mengapa mereka tidak bertindak sedari awal untuk memenuhi jiwaku yang mungkin dapat hidup seperti orang lain yang punya hati dan perasaan, hidup dengan kemewahan, berpendidikan, punya keluarga, dan aku hanyalah seorang gila yang akan menjadi orang gila seterusnya hingga ke nafas terakhirku. Siapa patut dipersalahkan? Mengapa dia gila?

 
You can follow any responses to this entry through the Contac Us. You can leave a response.