Cerpen : Kau Cintaku

Dalia sibuk menyiapkan manuskrip novel keduanya. Pihak penerbit sudah beberapa kali menelefonnya untuk mengingatkannya tentang tarikh akhir untuk menghantar manuskrip tersebut. Seminggu dari sekarang.

Sedang dia sibuk menaip bab terakhir, telefon berdering minta diangkat. Dalia memandang skrin telefonnya, melihat nama pemanggil. Hisham! Entah apalah yang lelaki itu inginkan daripadanya. Dia membiarkan telefon itu terus menjerit. Sekarang bukan masanya untuk melayan Hisham yang menyampahkan itu.

Dia berkenalan dengan Hisham ketika mereka sama-sama menuntut di UTM. Mereka mengambil jurusan yang sama, iaitu kejuruteraan mekanikal dan menariknya, mereka juga mempunyai minat yang sama, iaitu menulis. Bezanya, karyanya lebih menjurus kepada genre cinta manakala karya Hisham berkait dengan soal agama dan sejarah.

Perbezaan itu membuatkan hubungannya dengan Hisham tidak pernah baik. Hisham memandang rendah karyanya. Dan dia sememangnya tidak suka dengan karya-karya yang dihasilkan Hisham. Sejarah, sesuatu yang amat membosankan!

Dalia mengimbas kembali peristiwa yang membuatkan dia menanam perasaan benci terhadap lelaki yang bernama Hisham itu.

"Ini novel pertama saya. Saya hadiahkan untuk awak," ujar Dalia sambil menghulurkan sebuah novel kepada Hisham.

Hisham memandang novel yang dihulurkan Dalia sebelum pandangannya jatuh ke wajah gadis itu. "Aku tak baca cerita cinta macam ni. Tak ada faedah langsung baca novel kau tu," balas Hisham. Angkuh sekali.

Bulat mata Dalia mendengar kata-kata yang lahir dari mulut Hisham. Kalau pun lelaki itu tidak sudi untuk membaca novelnya, janganlah sampai mengeluarkan kata-kata seperti itu. Terguris hati kecilnya. "Kalau awak tak sudi, tak apalah. Saya boleh bagi orang lain."

Hisham hanya diam. Dalia terus sahaja meninggalkan Hisham di situ. Hatinya sangat kecewa ketika itu. Setelah mengetahui Hisham berkongsi minat yang sama dengannya, dia sangat gembira sekali. Dia ingin Hisham membaca karyanya dan memberi komen terhadap karyanya. Namun, itu jawapan yang diterimanya dari Hisham. Memang menyakitkan!

Melalui beberapa orang rakan Hisham, barulah dia tahu bahawa lelaki itu menghasilkan karya bergenre agama dan sejarah. Lelaki itu juga tidak percaya dengan cinta. Bagi Hisham cinta di antara lelaki dan perempuan itu tidak wujud. Kerana cinta seperti itu, pelbagai kegiatan yang tidak sihat berlaku kini. Kes-kes seperti zina, pengguguran kandungan dan pembuangan anak adalah hasil daripada cinta sesama manusia. Jadi, secara tidak langsungnya, Hisham juga tidak sekali-kali membaca karya yang berkait rapat dengan cinta sesama manusia, seperti karya yang dihasilkannya.

Telefon bimbitnya sekali lagi berdering. Masih lagi pemanggil yang sama. Hendak atau tidak, Dalia terpaksa juga mengangkat telefon bimbitnya.

"Assalamualaikum," ucap Dalia sebaik sahaja menyambungkan talian.

"Waalaikumsalam. Kau ada ambil aku punya buku nota tak?"

"Buku nota yang mana satu?" soal Dalia. Sambil itu, dia cuba mengingati buku nota apa yang dimaksudkan oleh Hisham.

"Buku nota yang aku tulis pasal novel aku lah. Bukan ke aku suruh kau pegangkan semalam. Mana buku tu? Aku nak menulis ni. Semua maklumat ada dalam buku tu," jawab Hisham kasar.

"Oh! Buku nota tu. Saya dah bagi balik pada awak semalam. Cuba awak periksa betul-betul," beritahu Dalia.

"Aku dah selongkar semua. Beg, meja tulis, bilik... semua dah. Tak jumpa tahu, tak? Kau jangan nak berdengki dengan aku. Aku tahu, inilah peluang kau nak musnahkan sumber pendapatan aku, kan?" marah Hisham.

Dalia tidak dapat menahan geram. Kata-kata Hisham menusuk ke dalam hatinya. Sanggup Hisham menuduhnya begitu. "Apa yang awak cakap ni, Hisham? Saya ingat, saya dah bagi balik buku tu pada awak. Jangan tuduh saya macam tu. Saya bukan orangnya. Entah mana awak campakkan buku nota awak tu, salahkan saya, pula."

"Sudahlah! Cakap dengan kau memang tak ada gunanya."

Tut...tut... Hanya kedengaran bunyi talian yang sudah diputuskan. Dalia mengeluh perlahan. Mengapa Hisham begitu benci dengannya? Salahkah dia menghasilkan karya yang bertemakan cinta sesama manusia?

*****

"Kau ni, kenapa Sham? Bersepah bilik ni, kau buat," tegur Zafrul yang baru sahaja pulang.

"Aku cari buku nota aku. Mana ntah perginya. Seingat aku, aku minta Dalia pegangkan petang semalam. Sekarang ni, buku tu dah hilang. Bila aku tanya Dalia, dia kata dia dah bagi balik pada aku. Perempuan tu memang sengaja nak menyakitkan hati aku."

"Buku nota pasal novel kau ke?"

Hisham mengangguk.

"Aku yang pinjam malam tadi. Nak baca pasal sejarah negara-negara Timur Tengah. Macam menarik je. Nak beritahu kau, tapi kau tidur masa tu. Maaflah."

Hisham tersentak. Perasaan bersalahnya terhadap Dalia muncul. Tidak pasal-pasal dia menuduh Dalia sengaja menyembunyikan buku notanya untuk memusnahkan kerjayanya. Menyesal dia menuduh Dalia tanpa usul periksa.

"Apa yang kau cakap pada Dalia tadi? Mesti teruk, kan? Kalau tak, tak adalah muka kau macam tu."

"Tak ada apa. Nanti aku minta maaf pada dia." Hisham bersuara menutup perasaan bersalah dan menyesalnya.

"Kenapa kau benci sangat dengan Dalia tu? Dia tak ada buat salah pun pada kau, tapi aku tengok kau macam tak boleh nak bertolak ansur dengan dia. Sedarlah, dia tu perempuan. Perasaan dia sangat halus. Kau ingat dia tak terasa hati ke dengan kata-kata kau tu?"

Zafrul cuba menasihati Hisham. Bukan sekali dua dia melihat kedinginan sikap Hisham terhadap Dalia. Sudah terlalu kerap. Kadang-kadang timbul perasaan kasihan terhadap Dalia, ada sahaja kata-kata kasar yang keluar dari mulut Hisham.

"Kau sibuk nak menjaga hati dan perasaan dia tu, kenapa? Lantaklah. Dia terasa hati ke tidak. Aku benci dengan perempuan lebih-lebih lagi Dalia."

Zafrul menggeleng-gelengkan kepalanya. "Apa yang Dalia dah buat pada kau? Kau tak boleh menghukum dia macam tu."

"Aku benci dia. Full stop. Aku tak nak kau cakap pasal Dalia depan aku lagi."

Hisham terus sahaja keluar dari biliknya. Hatinya sebal. Zafrul sudah berani untuk menasihatinya. Bukan dia tidak pernah memikirkan perasaan Dalia. Setiap kali kata-kata kasar dilontarkan terhadap Dalia, perasaan bersalah dan menyesal terbit di dalam hatinya. Tetapi, dia tidak mahu mengaku di hadapan Dalia. Ego. Itulah yang lebih tepat.

Dalia memang tidak bersalah. Dia sahaja yang dihantui bayangan sejarah. Kerana seorang gadis bernama Adila. Dia dan Adila merupakan sepasang kekasih ketika menuntut di sekolah menengah. Hubungannya dengan Adila menemui titik noktah kerana kecurangan Adila. Gadis yang selama ini dipercayainya, rupanya bermain kayu tiga di belakangnya. Lebih teruk lagi, Adila mengikut lelaki itu sehingga ke bilik.

Sejak itu, dia membenci kaum Hawa dan juga anti dengan perasaan cinta. Juga menyebabkan dia menjadi benci dengan novel yang bertemakan cinta sedangkan menulis novel bergenre cinta adalah kesukaannya dahulu.

Rahsia itu disimpan kemas di dalam hatinya. Tiada siapa yang mengetahui isi hatinya. Betapa sengsaranya hatinya menanggung rasa kecewa. Pedih.

*****

Hisham berjalan menuju ke arah Dalia yang sedang duduk sendirian di taman sambil menghadap komputer ribanya. Mesti gadis itu sedang tekun menulis. Dia ingin memohon ampun daripada gadis itu di atas ketelanjuran kata-katanya selama ini.

Nasihat Zafrul sentiasa terngiang-ngiang di cuping telinganya, membuatkan dia diburu perasaan bersalah terhadap Dalia.

"Assalamualaikum," ucap Hisham memulakan bicara.

Dalia berhenti menaip. Wajahnya di angkat ke atas, melihat tuan empunya suara. Hisham! Mengapa lelaki yang selalu menyakitkan hatinya ini selalu sahaja mucul di hadapannya? Kali ini, entah apalah yang bakal dikatakan oleh Hisham terhadapnya.

"Menjawab salam hukumnya wajib, tau."

Dalia tersedar yang dia belum lagi menjawab salam lelaki itu, seperti tidak mengalu-alukan kedatangan Hisham sahaja lagaknya. Tetapi, itulah yang sebenar-benarnya. Kalau boleh, dia tidak ingin melihat wajah Hisham. "Waalaikumsalam." Akhirnya dia menjawab perlahan.

"Boleh duduk?" soal Hisham.

"Dipersilakan."

"Tengah sibuk ke sekarang ni? Aku nak cakap something dengan kau."

"Agak sibuk. Penting sangat ke?"

"Lebih penting dari manuskrip kau tu."

Dalia menekan butang save sebelum menutup tetingkap dan seterusnya menutup komputer ribanya dan menolak ke tepi. Hisham tersenyum. Senyuman puas yang membuatkan Dalia rasa meluat yang amat. Mengapalah dia bertindak sedemikian?

Hisham mengeluarkan sesuatu daripada beg galasnya. Sebuah kotak yang elok bersampul. Hisham nak bagi hadiah ke? Tetapi, hari ini bukan hari yang istimewa. Bukan juga hari lahirnya.

"Untuk kau," ujar Hisham pendek.

Dalia terkaku seketika. Tidak percaya sebenarnya. Hisham demam ke hari ini sehingga melakukan perkara yang tidak pernah terlintas di fikirannya.

"Tak sudi ke nak terima?"

Dalia tersengih-sengih. "Orang dah bagi hadiah, saya dengan berbesar hatinya menerima. Terima kasih." Hadiah sudah bertukar tangan. "Boleh buka sekarang?"

Hisham mengangguk.

Dengan berhati-hati, pembalut kertas itu dibukanya. Sebuah novel nipis bertajuk ‘Kau Cintaku’ oleh Helmi Hisham. Dalia memandang tepat wajah Hisham. Tidak tahu apa yang hendak dikatakan terhadap Hisham. Terkejut memandang nama penulis novel itu. Helmi Hisham, lelaki yang berada di hadapannya ini menulis sebuah novel cinta?

"Maafkan aku, Dalia. Aku dah banyak melukakan hati kau."

Perlahan sahaja suara Hisham kedengaran di telinganya. Dia faham. Sukar bagi seorang lelaki untuk memohon kemaafan dari seorang perempuan.

"It’s okay. Aku dah lama maafkan kau."

"Aku minta diri dulu. Jangan lupa baca novel tu."

Dalia mengagguk. Novel di tangannya dibelek berulang kali. Sungguh dia tidak menyangka Hisham akan menulis novel berunsurkan cinta dan menghadiahkan kepadanya.

*****

Dalia termenung sendirian. Baru dia tahu sejarah hidup Hisham. Baru dia tahu kenapa Hisham bersikap dengin terhadapnya dahulu. Dan dia juga baru mengerti mengapa Hisham begitu benci dengan karya yang bertemakan cinta.

Begitu sekali remuknya perasaan Hisham kerana gagal dalam cinta pertama. Sehingga sanggup melupakan minatnya. Penangan cinta pertama. Dia sendiri tiada pengalaman lagi dalam bercinta, sekadar menjadi pemerhati dan pendengar. Daripada kawan-kawan sekitarnya, dia mengutip pengalaman tentang dunia percintaan.

*****

Dalia mendapatkan Hisham yang sedang khusyuk membaca novel. Suka benar lelaki itu membaca novel cinta. Nampaknya, Hisham yang dikenalinya hari ini, tidak macam dahulu lagi. Tiada lagi kata-kata kasar keluar dari mulut Hisham. Lelaki itu cuba belajar untuk menerima segala yang menimpanya itu sebagai satu takdir yang telah ditetapkan. Syukurlah.

Mungkin Hisham akan bertemu dengan gadis yang lebih daripada Adila. Gadis yang lebih memahami jiwa Hisham. Itu adalah di antara nasihat yang pernah disuarakannya kepada Hisham. Dan lelaki itu menerima nasihatnya dengan terbuka.

"Hai, nak kacau boleh tak?" soal Dalia. Dia menarik kerusi dan duduk di sebelah Hisham.
"Kacaulah kau ni. Main tempat lainlah, tak nampak ke aku sibuk sekarang ni?" Hisham merengek bagai anak kecil apabila Dalia mengganggu konsentrasinya.

"Kalau tak nak orang kacau, bacalah kat dalam bilik. Tak ada siapa yang nak kacau awak." Berubah nada suara Dalia. Hisham bagai tidak menyenangi sahaja kedatangannya itu. Adakah dia tersilap waktu, mengganggu Hisham ketika ini?

"Ala, Dalia. Janganlah merajuk macam ni. Aku bergurau je tadi."
Hisham bersuara. Dia terus menutup novel yang sedang dibacanya itu dan memberi sepenuh perhatian kepada gadis di sisinya itu. Sensatif rupanya Dalia ini. Apa agaknya perasaan gadis itu dahulu ketika dia sering memarahi Dalia? Mungkin sampai ke tahap menangis.

Bibir Dalia menguntum senyuman. "Manuskrip novel kedua saya diterima dan akan diterbitkan tak lama lagi. Nanti, saya bagi pada awak, ya."

"Alhamdulillah. Syukurlah macam tu." Hisham mengucap syukur. Dia turut bergembira dengan kejayaan Dalia ini. Bukan senang untuk menghasikan sebuah novel.

"Awak? Macam mana dengan karya awak? Awak nak teruskan ke dengan novel begenre agama dan sejarah ke?" tanya Dalia ingin tahu.

"Kenapa tanya macam tu?"

"Kalau awak nak teruskan juga, saya nak beritahu awak awal-awal yang saya tak baca novel macam tu, lagi-lagi sejarah. Saya layan novel cinta aje."

Hisham ketawa kecil. "Kalau aku cakap aku nak terus menulis novel bergenre macam tu juga?"

"Ikut awaklah. Tapi saya tak akan baca."

"Kalau aku paksa kau baca juga macam mana?" soal Hisham lagi. Sengaja dia bertindak sedemikian, menguji kesabaran Dalia.

"Teruklah macam tu."

"Dalia, kau pun tahu kan, jiwa aku macam mana. Aku ingat nak tulis novel cinta tapi cinta yang berlandaskan agama kita. Bab sejarah pun, aku akan masukkan sikit. Tanpa sejarah lampau, kita tak akan ada jati diri, Lia. Kalau yang macam tu, kau baca tak?"

"Kalau saya kata tak nak baca, awak mesti suruh saya baca juga, kan?"

"Taklah. Kalau kau tak nak baca, apa aku kisah? Bukan kau seorang je pembaca kat Malaysia ni."

"Cakap dengan awak ni, macam..."

"Macam apa lagi? Dulu, kau kata aku ni kasar sangat. Sekarang ni, aku cuba berlembut pun, kau nak komen juga ke?"

"Kalau dah awak yang bercakap, memang tak pernah nak lembut. Sentiasa kasar je bunyinya tapi nada tu dah tak sekeras dulu. Itu aje yang improve."

"Yelah tu," balas Hisham acuh tidak acuh.

Dalia tersenyum riang. Kemenangan berada di tangannya. Bukannya mudah untuk membuatkan Hisham rasa bersalah seperti itu.

"By the way, aku ada sesuatu untuk kau," ujar Hisham.

Senyuman di bibir Dalia semakin melebar. Hadiah! Apa agaknya hadiah yang dimaksudkan Hisham? Novel lagi ke?

"Suka betul bila dengar hadiah," sindir Hisham.

"Sukalah. Awak ingat selalu ke orang nak bagi hadiah kat saya? Time birthday pun belum tentu ada yang sudi nak bagi hadiah."

Hisham menggelengkan kepalanya. Dia membuka beg galasnya dan mengeluarkan sebuah novel.

"Itu ke hadiahnya?"

"Aku tak sempat nak sampul kali ni. Ambillah," ujar Hisham sambil menghulurkan novel itu kepada Dalia.

Dalia mengambil novel itu. ‘Kau Cintaku 2’ oleh Helmi Hisham. "Sambungan novel yang awak bagi saya dulu?"

Hisham mengangguk.

"Kenapa saya tak jumpa pun novel Kau Cintaku kat pasaran?"

"Aku tulis novel Kau Cintaku hanya untuk kau. Ada dua buku sahaja, satu aku simpan dan satu lagi aku hadiahkan untuk kau."

Dalia hanya mengangguk. Namun, di dalam hatinya, pelbagai persoalan menjengah. Kenapa Hisham menulis novel ini kalau hanya untuk dihadiahkan kepadanya sahaja sedangkan menulis novel adalah satu-satunya sumber pendapatan lelaki itu? Pelik. Lelaki itu tidak kisah ke kalau lebih masanya dihabiskan untuk menulis novel ini tetapi tidak mendapat pulangan apa-apa?

"Kenapa dengan kau ni? Tadi, bukan main suka lagi bila dapat tahu aku nak bagi kau hadiah. Ni, termenung jauh pula. Ingat kat siapa?"

"Mana ingat kat sesiapa. Cuma, saya tertanya-tanya."

Hisham menghadap Dalia, bersedia untuk mendengar bicara yang seterusnya.

"Kenapa awak korbankan masa awak menulis novel ini untuk saya? Saya ni, tak menutup punca pendapatan awak ke?"

Hisham mengeluh. "Kau bacalah novel aku tu dulu. Kau akan tahu jawapannya."

"Awak ni, susahnya nak berterus-terang dengan saya. Apa-apa baca dalam novel je."

"Kau baca ajelah. Banyak songel pula."

"Baca kat sini boleh tak?"

"Tak boleh."

"Kenapa?"

"Aku kata, tak boleh. Maksudnya tak boleh. Jangan banyak tanya."

"Okey. Saya balik dulu. Tak sabar nak tahu apa yang ada kat dalam hati awak tu. Kena baca novel dulu, baru tahu," rungut Dalia. Dia terus mengangkat punggungnya dan terus beredar dari situ.

Hisham tidak mengambil pusing. Dia tidak kisah apa yang Dalia katakan saat ini. Dia memang tidak mempunyai kekuatan untuk berterus terang dengan Dalia. Hanya novel sahaja yang membolehkan dia meluahkan isi hatinya.

*****

Muka Dalia merah. Malu. Itulah perasaannya sekarang. Hisham. Kerana lelaki itu lah dia berasa malu yang teramat. Namun, jauh dia sudah hatinya dia berasa gembira. Novel Kau Cintaku 2 merupakan isi hati Hisham, seperti novel yang dihadiahkan lelaki itu sebelum ini.

Dalia segera mencapai telefon bimbitnya. Nama Hisham dicarinya sebelum menekan punat call. Dia melekapkan telefon itu ke telinganya. "Assalamualaikum," ucapnya memulakan bicara.

"Waalaikumsalam," jawab Hisham.

Suara lelaki itu kedengaran lemah sekali. Dalia mengerling ke arah dinding, jam menunjukkan angka 3 pagi. Mungkin Hisham sudah enak dibuai mimpi ketika ini dan dia mengganggu tidur lelaki itu. "Awak dah tidur ke?"

"Yelah Dalia oi. Dah pukul 3 pagi ni. Kau tak reti nak tidur ke?"

"Maaflah kalau saya menganggu awak malam-malam macam ni. Saya baru je habis baca novel awak tu."

"Apa?" soal Hisham terkejut. Matanya sudah terbuka luas.

"La, janganlah terkejut macam tu sekali. Saya... suka dengan ending novel tu," perlahan Dalia menuturkannya. Malu untuk berkata seperti itu, tetapi untuk mengharapkan Hisham memulakan langkah pertama adalah agak mustahil.

"Kau suka?" Hisham sudah tersenyum sendiri.

"Suka. Novel tu, menggambarkan perasaan awak, apa yang ada dalam hati awak. Saya nak ending tu jadi kenyataan."

"Dalia, kau serius ke?" tanya Hisham tidak percaya.

"Sham, saya bahagia selama berkawan dengan awak."

"Dalia, kau nak aku melamar kau sekarang ke?"

"Tak bestlah awak ni. Awak kena tanya saya dulu ke kalau nak melamar saya? Tak romantik langsung. Nama je penulis novel, tapi bab melamar saya, hancur!" tutur Dalia geram.

Hisham ketawa di hujung talian. "Siapa suruh kau telefon aku time macam ni. Otak aku pun tak boleh berfungsi dengan baik. Tak terlintas ayat-ayat romantis untuk kau."

"Yelah tu."

"Dalia, kau sudi kan, jadi teman hidup aku?" Hisham menyoal secara serius.

"Awak tengah melamar saya ke?" tanya Dalia seperti orang bodoh. Sebenarnya, dia ingin mengenakan Hisham.

"Aduh, kau ni! Yelah, sayang. Abang tengah melamar sayang ni. Sudi tak jadi teman hidup abang?"

"Abang?" sekali lagi Dalia bertindak seperti tadi.

"Dalia, janganlah main-main dengan aku," rayu Hisham. Merah sudah mukanya menahan malu. Nasib baik Dalia tiada dihadapannya.

Dalia ketawa. Hatinya terhibur dapat mengenakan Hisham. Patutlah lelaki itu tidak membenarkannya membaca novel itu patang tadi. Malu rupanya. Tapi, sekarang ni, elok sahaja.

"Dalia, kau dah tidur ke tu?"

"Tak adalah. Ada lagi. Awak, kalau saya kata tak sudi jadi teman hidup awak, awak paksa saya tak?"

"Apa punya soalan tu? Kalau kau tak sudi, tak apalah. Aku sedar siapa diri aku ni."

"Ala, awak jangan merajuk. Saya sudilah. Kalau saya tak sudi, tak adalah saya telefon awak malam-malam macam ni."

"Terima kasih, sayang. Sekejap lagi tidur mimpikan abang, okey?"

"Yelah, abang." Dalia tersenyum. Hatinya berbunga. Bahagia sekali.

 
You can follow any responses to this entry through the Contac Us. You can leave a response.