Cerpen : Kejora DI Hati

Loceng berbunyi menandakan sesi persekolahan telah habis untuk hari itu. Nina berlumba-lumba keluar dari kelas dan memilih untuk berdiri di barisan hadapan sekali diikuti oleh rakan-rakannya yang lain. Walaupun dia seorang pengawas tetapi perangainya sama sahaja dengan budak-budak lain, iaitu agak nakal dan gila-gila sedikit. Memang kebiasaan mereka akan berbaris sebelum masing-masing berkeliaran macam anak ayam keluar reban.

"Apa projek hari ni, Nina. Bukan main kelam kabut aku tengok." rakan lelaki sekelas menegurnya.

"Tak ada apa-apa. Nak balik cepat, tengok cerita Indon..."

"Patutlah cakap pun dah macam minah Indon."

"Baguslah. Ada juga kemahiran bahasa aku bertambah, English boleh, Indonesia boleh, dan Melayu lagi....bolehhh!" sengaja Nina menekankan percakapannya.


Rakan sekelas yang mendengar ikut ketawa. Tiba-tiba suasana menjadi sunyi sepi, bagai ada Malaikat lalu. Ya, tentulah sepi sebab semuanya ternganga dan melopong mulut melihat kehadiran ketua pengawas yang penuh dengan karisma itu. Aidit bin Malik namanya. Ketua Pengawas itu menuju ke arah Nina yang berdiri di hadapan sekali.


Nina hanya tunduk memandang lantai. Yang lain tertanya-tanya apakah kesalahan Nina, yang juga seorang pengawas. Lelaki itu mengeluarkan sepucuk sampul surat lalu diserahkan kepada Nina. Kemudian tanpa menoleh lagi dia terus berjalan laju menuruni anak tangga.



"Nina...kenapa?!" pertanyaan serentak dari rakan sekelas.


Nina hanya menggeleng, berubah menjadi batu yang berdiri tegak sambil membuka sampul surat pemberian Aidit, yang juga pelajar tingkatan lima sepertinya. Sebaik sampul surat terbuka, sesuatu terjatuh dari dalamnya. Semua mata menanti apakah barang yang dihantar oleh Aidit kepada Nina.


Tidak sampai seminit, rakan sekelas Nina bergelak sakan hingga ada yang berguling-guling atas simen melihat benda yang terjatuh itu. Pada mulanya Nina seperti mahu marah tetapi tidak jadi. Dia juga ketawa sampai terkeluar air mata.


"Orangnya bukan main tegas tapi..." tegur rakan lelakinya menyambung tawa.


"Hantar surat jiwang..." sambut yang lain.


"Kau nak baca tak!" tanya Adila temannya yang paling rapat.


"Tak nak!"


Seorang budak lelaki merampas surat tersebut dari tangan Adila, bersedia untuk membacakan isi surat tersebut.



'Seribu kali kau menolak kasihku, seribu kali juga cintaku datang menagih. Seribu tahun kan mungkin...daripada Hati Yang Luka Parah.'


Habis sahaja isi yang ringkas itu dibacakan, budak lelaki itu laju bertanya kepada Nina.


"Berapa kali dah kau tolak dia..."


"Aku tak kira." jawab Nina selamba.


"Ada sepuluh kali?" dia bertanya lagi memastikan.


"Mungkin..."


"Ahh...ada lagi 990 kali kau kena tolak dia..."


Ha! Ha! Ha! Semuanya ketawa mendengar gurauan budak lelaki itu. Akhirnya surat itu melayang ke dalam bakul sampah selepas dikoyak-koyakkan.


***


Selepas insiden memalukan berlaku terhadapnya iaitu gara-gara surat 'patah hati' yang dikirimkan kepada Nina Soraya, kelibat Aidit terus tidak kelihatan di kawasan sekolah. Seminggu berlalu, Nina tidak perasankan hal itu kerana mereka berlainan kelas. Nina pelajar aliran sains manakala Aidit pula menghuni kelas aliran sastera. Sebab itu bahasanya berbunga-bunga. Dia hanya menyedari ketiadaan ketua pengawas itu apabila tiba mesyuarat mingguan badan pengawas sekolah. Barulah dia dimaklumkan bahawa Aidit telah berpindah.


"Agaknya dia malu, kecewa dan patah hati...sebab tu dia pindah." Adila memberi pendapatnya ketika mereka makan di kantin sekolah.


"Biarlah dia! Siapa suruh hantar surat macam tu. Aku pun malu nak baca." tegas jawapan Nina.


"Memang betul. Tapi sepatutnya hari tu kau koyak terus. Jangan bagi orang lain baca. Kan dah heboh satu sekolah..."


"Aku memang nak koyak. Dah benda tu jatuh. Yang dia pun satu. Ada ke bagi logo hati yang ditampal 'handy plus'. Memanglah kena ketawakan..." Nina membela diri.


Mereka ketawa lagi mengenangkan 'benda' pemberian Aidit yang umpama menyaksikan satu lawak antarabangsa!


***



Selepas menamatkan pengajian Ijazah Sarjana Muda Ekonomi dari UM, Nina bekerja dengan satu syarikat swasta sebagai pegawai perancang. Pekerjaannya memerlukan dia menghadiri pelbagai seminar kewangan dan bertemu dengan pelanggan korporat.


"I kena outstation seminggu. You jaga diri kat sini, jangan menggatal pulak." Nina memberi amaran kepada tunangnya yang dahulunya memang agak terkenal sebagai kaki perempuan.


"Itu dulu. Lepas tunang dengan you, I dah buang semua contact number dia orang. Berkasih biar satu, Cik Nina..." ujar Mohd Danish bersungguh-sungguh.


Nina mendengarnya dengan lapang dada, tidak perlu risaukan hal yang remeh temeh semasa berseminar nanti.


"Tapi, jangan you pulak yang terbalik. Mana tau terjumpa mat 'patah hati' kat sana. I pulak yang patah hati kat sini nanti..."


Tawa Nina berderai. Cerita lucu zaman persekolahannya itu pernah diceritakan kepada Mohd Danish. Bagaimana bencinya dia pada si ketua pengawas yang asyik mencari peluang mendekatinya sehingga dia naik rimas. Kadang-kadang dia takut juga, jangan terlalu membenci seseorang! Bimbang benci jadi rindu pula, usik tunangnya itu apabila mengingat memori zaman persekolahan.


***

Nina membelek-belek buku seminar yang mengandungi panduan tajuk seminar, nama penceramah serta maklumat lain yang berkaitan dengan perkembangan ekonomi negara masa kini.


'Boleh tahan, semua tajuk bagus-bagus. Mesti interesting...' Nina berdialog dengan diri sendiri. Separuh jalan pembacaannya terganggu. Seorang perserta seminar meminta izin duduk di sebelahnya. Mereka bertukar senyum dan nama. Haleeda berasal dari Terengganu dan bekerja di sektor perbankan.


Tepat 9.00 pagi ceramah dimulakan dengan tajuk 'Economic Review'. Pembentang kertas kerja adalah seorang ahli perbankan dari Bank Negara. Nina tambah berminat apabila di lihat dari sisi lelaki itu berkarisma dan penuh keyakinan. Dia tidak sabar untuk mendengar ceramahnya sekaligus melihat tuan empunya wajah. Sekali sekala cuci mata apa salahnya, sebagai sumber inspirasi supaya tidak mengantuk. Bukannya Danish tahu, kalau tidakpun balik nanti aku ceritalah yang sebenarnya...; bisik naluri nakal Nina Soraya.


Sebaik lelaki muda itu membuka mulut dan mengucapkan kata-kata aluan, Nina Soraya hampir pengsan. Tetapi digagahkan juga tubuhnya untuk duduk dan kepalanya di tundukkan sedikit agar kehadirannya tidak disedari. Apabila kepala peserta seminar di hadapannya melentok ke kanan, dia pun mengikut dan begitulah sebaliknya.


Ya Allah...kenapa kau temukan si mamat 'patah hati' dengan aku di sini? Sudahlah bilik seminar ni kecil, mana aku nak lari!; getus Nina sendirian. Keluhannya di dengari oleh Haleeda.


"Kenapa, tak best ke?" bisiknya perlahan.


"Best...best...tapi aku rasa tak selesa. Macam sakit tengkuk ni...kau ada minyak angin?" Nina melindungi kegusarannya dari diketahui oleh Haleeda. Namun sebenarnya tiada satu butir pun kandungan ceramah itu singgah di mindanya.


Nina menyapu minyak angin di tepi matanya dan kemudian mengurut tengkuknya yang lenguh dek terlentok ke kiri kanan mengikut rentak peserta di hadapannya. Huh! Nyaris tak duduk di barisan hadapan, kalau tidak dah lama aku cabut dari dewan seminar ini!; desisnya menahan nafas yang turun naik.


"Cik Nina Soraya...ada masalah?"


Siapa pulak ni, orang tengah pening dia menybuk pula! Nina malas mahu melayan sapaan salah seorang peserta seminar yang di rasakan telah duduk di sebelahnya. Eh! Mana Haleeda? Dia mengangkat kepala yang sedari tadi di sandarkan di kerusi di hadapannya, nyata hanya tinggal dia seorang di dalam dewan seminar itu. Dah 'break time' rupanya, kenapalah aku tak perasan! Fikirannya bercelaru sambil dia membetulkan rambutnya yang terjatuh di dahi.


"Are you okey?"


Apa? Alamak...dia di sebelahku. Apa nak buat ni...; Nina buntu. Di dalam fikirannya hanya teringat hendak lari 100 meter dari si Aidit Malik, penceramah hari itu a.k.a 'mamat patah hati'.


Nina menyangkutkan beg tangan di bahu dan selamba tidak melayan pertanyaan dari Aidit. Buat macam tak kenal. Pasti selamat, begitu fikirnya.


"Eh! Nina...are you okey? You nak ke mana tu?"

"I nak ke toilet..." sambut Nina tanpa menoleh.

"Toilet kat kiri, bukan kanan..." tegurnya membetulkan arah yang di tuju oleh Nina.


Malunya aku, konon nak lari, salah jalan pulak! Nina menyembunyikan rasa malu dengan berjalan laju.


Tanpa disangka-sangka kasut tumit tinggi yang di pakainya tercabut. Tumitnya tanggal dan dia nyaris terjatuh namun masih sempat berpaut pada kerusi. Kedengaran bunyi tapak kasut orang berlari mendapatkannya.


"You ni kenapa? Dah tau pening tak cakap. Bodoh sombong! Kan dah jatuh." bebel Aidit yang sedari tadi memerhatikannya yang berjalan agak laju.


"I'm okey. Don't worry. Bukannya pening, kasut I ni tertanggal tumitnya..." Nina mengadu pula.


Aidit yang pada mulanya risau kemudian ketawa terbahak-bahak. Kacaknya bila dia ketawa; puji Nina di dalam hati sahaja. Sebentar kemudian dia sedar diri yang dia kini tunangan orang.


"You boleh jalan tak? Kalau tak boleh, I dukung..." Aidit mengusik kemudian ketawa akhirnya.


"Boleh...buka kasut, habis cerita!"


"You ni cantik, bergaya...tapi tetap selamba. Dan selamba juga kenakan orang!" Aidit mengenakan Nina secara tak sedar.


Nina menjeling dan faham apa yang dimaksudkan oleh Aidit. Ini mesti kes masa sekolah dulu. Tiba-tiba dia tersenyum sendiri, bukannya rasa bersalah seperti diharapkan oleh Aidit.



"Nanti jumpa lagi!"


"Jangan harap." bisik Nina perlahan.


Mereka berpisah kerana masa rehat sudah tamat dan pembentangan kertas kerja seterusnya akan dimulakan sebentar lagi.


***

"Kenapa lari dari I. I bukannya makan orang, tengok ni...I makan karipap!"


Argh! Buat lawak lagi dia ni. Tak terpikat pun, tunang aku lagi lawak. Nina mengomel dalam hati.


"Aidit...kenapa dari dulu you tak berhenti kejar I. You suka ganggu ketenteraman orang. Can you stop it!" Nina berang.


"I tak ganggu orang, cuma I express myself. I suka you, I ngaku. Kalaupun I tak dapat you, at least I give my best to tackle you. Yang lain, berserah..."


"Tapi you buat I rimas. I dah bertunang. Full stop!"


Wajah Aidit berubah kendur. Karipap yang baru di gigit separuh, diletakkan di dalam piring semula.

"Ya ke?"


"Ya. Lagi enam bulan kami nak kahwin."


"Melepaslah I..."


Nina bangga mengatakan dirinya sudah berpunya kerana selama ini pun dia tiada hati pada Aidit. Memang dari zaman persekolahan, dia tidak membalas perasaan Aidit. Itulah kenyataannya.


"Suka tak semestinya jadi kekasih, cinta tak semestinya berkahwin. Kita kena terima itu semua. Jodoh pertemuan ajal dan maut Allah tentukan." Nina memberikan semangat.


"Tapi..belum kahwin I masih ada chance 50 persen. Siapa terbaik dia akan menang!"


'Best man win!' Gerun Nina mendengar kata-kata Aidit yang terakhir itu.


***

"You kata tak jumpa lagi dengan your ex. Ini apa ni...you tengok wayang dengan dia kan?" Nina tidak dapat menahan marah, sebaik dia pulang dari outstation, ini pula khabar yang diterima.


"Kita orang cuma pergi tengok wayang. Itu pun beramai-ramai..."

"Satu bas maksud you! Jangan tipu I lah, Danish. Ramai kawan I yang nampak."


Pertemuan untuk melepaskan rindu diakhiri dengan pertengkaran. Nina tidak dapat menahan perasaan geram dan marah, bersungguh dia mempertahankan hubungan mereka tetapi satu pihak lagi mengkhianati. Rajuknya bagai tidak terpujuk lagi.


Keesokan harinya Nina menerima satu jambangan bunga ros merah yang besar, jika ditafsirkan maksudnya, 'maafkan aku'. Dia tersenyum penuh makna. Romantik juga tunang aku ni; tuturnya di dalam hati dengan senyum meleret sampai ke telinga. Yang peliknya, sebelum ini Danish tidak pernah menghadiahkan bunga hidup kepadanya, yang ada pun hanyalah bunga plastik yang telah digubah di dalam bakul. Memang kayu habis dia tu, rungut Nina di dalam hati. Tetapi kini mungkin dia telah berubah...siapa tahu!


"Thanks dear, hadiahkan I bunga. I appreciated sangat..."

"Bunga?!"

"I tahu you tak kan mengaku, tapi I tetap happy." rajuknya telah hilang.


Danish gembira apabila Nina telah tidak merajuk lagi walau dia pelik bila pula dia menghadiahkan bunga kepada Nina. Ah! Tak mau fikirlah...yang penting dia dapat bersama semula dengan buah hatinya.


***

Selepas insiden pertemuan di seminar, Nina tidak lagi mendengar berita mengenai Aidit. Mesti dah 'surrender' mamat tu...fikirnya menyedapkan hati walau sesekali minda nakalnya dijemput rindu dengan usikan lelaki itu.


Suatu hari ketika Nina dan rakannya berjalan-jalan di pasar malam untuk membeli barang keperluan dapur, namanya dipanggil seseorang. Nina tidak mengendahkan kerana pada tanggapannya tentulah budak nakal yang mengacaunya. Namun apabila kali ke tiga namanya dilaung agak kuat, dia menoleh juga.


"Aidit?!"

"Ya, taulah hak orang, kita panggil pun jual mahal." usik Aidit yang berpakaian santai.

"Tak...bukan macam tu."

"Tak apa! Buat apa kat sini. Dengan si dia ke?" tanyanya macam acuh tak acuh.

"Dengan kawan. Tu ha..." Nina menunjukkan arah rakannya.

Senyap seketika. Nina serba salah manakala Aidit macam keliru sedikit. Mungkin tidak percaya bertemu dengan Nina di situ.

"You pulak buat apa kat sini?"

"Nak beli karipap..."


Tak habis dengan karipap dia! Memang sah 'hantu' karipap dia ni! Bisik Nina dalam hati. Setelah beberapa ketika bertukar cerita barulah Nina tahu yang Aidit sedang bercuti melawat orang tuanya. Entah mengapa Nina membenarkan Aidit mengikutinya berjalan dari satu gerai ke satu gerai ditemani rakannya, Anita. Kita orang pun bukannya berdua, fikirnya andai terserempak dengan Danish nanti.


Namun, sebaliknya Nina yang terkejut 'badak' apabila dia terserempak dengan Danish dengan seorang wanita. Mereka berpimpinan tangan dengan amat mesra sehingga tidak perasan dirinya menjadi tontonan Nina, Aidit dan Anita. Apabila tubuhnya ditolak dengan kuat oleh Nina, barulah dia tersentak dan nyaris terjatuh. Keadaan Nina sudah tidak dapat dikawal sehingga lemah tubuh Danish dikerjakannya.


"Sudahlah, Nina...semua orang tengok. Jangan macam tu, kan boleh selesai cara baik."


Aidit memegang lengannya dari belakang tetapi Nina kuat meronta minta dilepaskan. Namun akhirnya dia tewas dengan pegangan Aidit yang kejap dan membiarkan Danish bangun perlahan-lahan. Perempuan itu menolong mengangkat Danish tetapi dengan wajah yang ditundukkan sahaja.


"Kita putus. Sekarang!"


Yess! Hati Aidit bersorak riang kerana peluangnya telah naik 100 persen. Bukankah 'best man win!'; fikirnya.


"Kita bincang dulu..."


"Muktamad! Beratus kali aku kasi chance, beratus kali juga kau buat benda yang sama. Sebentar tadi aku masih sayangkan kau, tapi sekarang...kau boleh berambus dari hidup aku!" tutur Nina dengan nada tersekat-sekat. Akhirnya air mata yang ditahan jatuh berderai membasahi bumi.


Dengan gaya 'macho'nya, Aidit menghulurkan saputangan buat mengelap air mata Nina yang deras turunnya. Tanpa rasa malu Nina mengelap wajahnya dengan rakus menggunakan saputangan pemberian Aidit itu.


"Dah lah tu. Jom kita balik." pujuk Anita.


Danish dan wanita itu sudah tidak kelihatan. Nina berjalan bergandingan dengan Anita diikuti oleh Aidit di belakangnya.


"Kau nak ke mana?" soal Nina apabila Aidit membontoti mereka sampai di kereta.


"Balik."

"Mana kereta kau. Takkan nak ikut aku."

"Tak. Aku cuma nak saputangan aku balik."


Buruk siku! Dah bagi nak balik! Apa jenis manusia dia ni...


"Sebenarnya...saputangan tu dah sebulan tak basuh. Tadi aku tengok kau dah lencun teruk, aku pun bagi pinjamlah.."


"What?! "


Nina segera menyerahkan kembali saputangan Aidit kepada tuannya. Aidit hanya tersenyum-senyum mengambilnya. Apabila Nina dan Anita telah jauh meninggalkannya, dia mencium saputangan itu sepuas hati walau ianya telah basah dek air mata Nina tadi.


Yahoo...peluangku terbuka luas. Esok suruh emak masuk meminang. Aidit menjerit kegirangan di dalam hati.


***


"Dulu jual mahal, sekarang biar abang yang jual mahal pulak pada Nina."

"Bolehlah bang, Nina nak pergi tengok wayang dengan kawan-kawan. Minggu depan kan kita dah nak kahwin. Ni last sekali Nina keluar beramai-ramai. Lepas ni kena keluar dengan abang je..." pujuk Nina tidak berputus asa melalui telefon petang itu.


"Nak pergi naik apa?"

"Nina kan drive, naik keretalah..."

"Tak boleh!"

"Why?"

"Abang ambil kat rumah, abang hantar, abang tunggu, bila dah habis abang hantar sampai rumah semula."


Hish! Tahulah dia dulu bekas pengawas, sampai sekarang pun masih nak jadi 'pengawas' kat aku pulak...; protes Nina dalam hati.


"Bolehlah! Datang jangan lewat, nanti panggung wayang tutup!"

"Ala, kalau dah tutup, kita pulak buat wayang. Ha...ha..."

"Tak lawak pun!"


Nina mematikan telefonnya. Namun senyum simpulnya lebar sampai ke telinga mengenangkan hidupnya kini yang cukup bahagia ditemani mamat 'patah hati' itu.


TAMAT-

 
You can follow any responses to this entry through the Contac Us. You can leave a response.