Cerpen Cerita Sebuah Persahabatan

"Eh,boleh mintak tolong sikit tak?"
"Takde lain la tu.Nak suruh tolong cari bekas contact lens dia la tu."Noras membalas kata-kata Alia.Alia hanya tersengih.
"Ala...korang pun tahu kan aku ni rabun.Lupa la mana aku letak.Tolong la..."Alia mengerdipkan matanya berkali-kali.
"Tu...yang kat atas katil Liana tu apa benda?Aku rasa kau punya.Dalam rumah ni kau sorang je yang mata dah season."Ikin pula yang bersuara.
"Aiseh...kau memang terer la...orang lain baru dok kalut nak cari tapi kau dah jumpa.Ni yang buat aku sayang kat kau."Alia meluru ke arah Ikin dan memeluknya.
"Dah...dah...apa ni.Kalau la nampak kat Aidil,mampos aku.Silap haribulan dikatanya aku ni dua alam.Haru..."Ikin menolak lembut Alia yang sedang memeluknya.
"Eleh...tau la kau ada pakwe.Tak macam kitorang ni...Semua still available.Tak macam kau dah ada orang cop..."Alia mencebik.
"Yang kau jual mahal saper suruh.Bukan takde mamat yang nak kat kau.Ntah orang yang macam mana kau cari."Ikin membalas.
"Dah le.Korang ni pening kepala aku tau.Hari-hari tu je yang kau debatkan."Nurul menyampuk.
"Eh,malam ni kita makan kat luar la ek.Aku dah muak la makan kat kafe."
"Eh,cantik tu.Aku pun dah lama tak keluar.Sesekali nak jugak tukar selera anak tekak ni.Bukan macam kau,hari-hari si Aidil tu bawa kau keluar.Eh,korang tak cemuh ke asyik dating je..."Liana menyampuk.Kata-kata Liana menyebabkan Ikin menarik muncung.Kemudian mereka semua ketawa.
Persahabatan yang terbina sejak empat tahun lalu menyebabkan hubungan mereka sudah seperti adik-beradik.Segala suka duka dikongsi bersama.Malah antara mereka sudah tiada rahsia lagi.Alia,Noras,Ikin,Liana,Aneem,Iza,Nurul dan Zihan sudah berkawan sejak berada di tingkatan empat lagi.Mungkin sudah ditakdirkan,selepas SPM mereka mendapat tempat di IPT yang sama.Peluang itu memang tidak disia-siakan.Walaupun berbeza jurusan,namun mereka tetap berkawan baik.Menyewa rumah yang sama menyebabkan mereka semakin rapat.

************************************************************************

"Hoi!"
"Opocot mak kau.Mak aku masak lauk kari kepala ikan kat rumah tu."
Sergahan Zihan menyebabkan Aneem melatah.Terkekek ketawa Zihan.Zihan tidak dapat menahan ketawa terpaksa menekan perutnya.Aneem yang masih terkejut dengan sergahan itu hanya mengusap dada.
"Cinabeng punya kawan.Kalau aku ada heart attack,sure dah tujuh kaki kedalam tadi.Apa la kau ni Zihan."Aneem merungut.
"Yang kau termenung jauh sangat,ingat apa?Senyum sorang-sorang pulak tu.Majnun ke?"Zihan masih dengan ketawanya.
"Takdelah...aku ingat zaman kita sekolah dulu.Kelakar kan?Kita ni dalam kategori pelajar bermasalah.Selalu sangat kena ‘toce’ dengan cikgu-cikgu.Tapi,sape sangka kat sini jugak kita akhirnya.Mujur dapat masuk universiti,kalau tak buat malu mak bapak je kan?"Aneem seakan-akan melayan perasaannya.
"Ye la.kau ingat lagi tak masa form five.Masa kita stay kat asrama.Kita sepuluh orang fly waktu malam.Masa tu Jenab dengan Wani pun join kita kan?"Giliran Zihan pula mengimbau kenangan di zaman persekolahan mereka.
"Ha’ah.Tak pasal-pasal kena gantung asrama dua minggu.Kelakar kan?Lepas tu,Jenab dengan Wani terus taubat tak nak join kita.Penakut sangat."
"Penakut apa.Aku dengar teruk diorang kena bambu dengan mak bapak diorang.Dengan cikgu-cikgu tak payah cerita la.Dah la diorang tu exco pengawas sekolah.Gila kan?"
"Eiii....dahsyat la kita ni.Exco pengawas sekolah pun boleh terpengaruh dengan kita.Lihatlah dunia,betapa hebatnya kami...kwang kwang kwang..."
"Eh,mana yang lain?Sejak aku balik,tak nampak pun batang hidung mereka yang mancung-mancung tu...."Zihan meninjau-ninjau ke luar.
"Tak habis kuliah lagi kot.Tak pun lepak kat kafe dulu."Aneem menjawab.
"Dah la.Aku nak pergi semayang asar ni.Kau dah ke?"
"Belum.Kau pergi dululah."Aneem menolak Zihan.Zihan hanya menggeleng kepala.Dia maklum benar sikap Aneem yang suka melengahkan waktu solat.Walau sudah berkali-kali ditegur,dia tetap dengan kebiasaannya itu.Ditegur lebih-lebih,nanti dikatanya nak jadi mak haji pulak.Tak kuasa nak melayan.Manusia!

************************************************************************

"Mana Iza?Aku tak nampak pun dia."Noras meletakkan milo panas yang baru dibancuhnya di atas meja.Alia,Ikin,Liana dan Aneem yang sedang menonton televisyen hanya mengangkat bahu sebagai jawapan.
"Pergi library.Esok ada kuiz katanya."Zihan menjawab.
"Eleh...pergi study ke dating.Aku dengar bukan main rapat lagi dengan si Pian tu.Hari-hari keluar bersama.Bila tanya ada apa-apa ke,kawan je...Naik menyampah aku kadang-kadang."Aneem mencebik.
"Eh,kau ni lain macam je.Kau jeles ke Aneem?Maklumlah,sebelum ni aku dengar kau bukan main syok lagi kat mamat skater tu.Tup-tup dengan Iza dia melekat."Alia mencuit lengan Noras supaya apa yang disuarakan mendapat sokongan.Noras hanya mengangguk.
"Ek eleh..kerek ar minah ni.Eiii...tolong sikit.Kau ingat aku ni kemaruk sangat nak bercinta.Bukan macam si Iza tu.Main sapu je."
"Apalah kau ni Aneem.Tak baik kau cakap macam tu.Iza tu kan kawan kita.Apa salahnya kalau dia couple dengan Sufian tu.Sama-sama single apa?"Ikin menyampuk.Dia tidak berapa suka jika ada diantara mereka yang saling mengata sesama sendiri.Baginya mereka sudah seperti adik-beradik.Tidak sepatutnya perkara seperti ini terjadi.Lagipun dari apa yang dia ketahui memang Sufian ada menaruh hati terhadap Iza.Cuma Iza yang masih jual mahal.
"Ya lah...kau tu memang.Kalau si Iza tu semua baik.Aku je yang jahat."Aneem bingkas bangun dan meninggalkan mereka.
"Merajuk la tu.Pantang tegur sikit.Ek eleh..kerek ar minah ni."Liana melaung melihatkan Aneem sudah menghempas pintu bilik.
"Dah.Dah.Aku nak bincang plan kita ni.Ba...ik punya.Kan birthday Iza tu dah tak lama..So,tahun ni nak buat cara baik atau cara jahat."Ikin memulakan perbualan mereka.
"Tak nak ajak Aneem join ke perbincangan kita ni?"Alia mengajukan soalan.
"Alah...nanti kita inform la kat dia.Orang tengah merajuk.Ingat senang ke nak pujuk?"Ikin menjawab.
"Aku rasa tahun ni kita combined.Lagipun ni tahun last kita boleh celebrate.Lepas ni si Iza tu pergi praktikal.Lepas tu kita semua grad.Lepas tu kerja.Lepas tu susah nak jumpa ma..."Noras mencadang.
"Urm...aku cadangkan kita buat upacara mandi tepung macam biasa.Then kita buat surprise party.Kita buat kat luar.Boleh ajak ramai sikit.Boleh jugak ajak Aidil dan Pian."Ikin pulak mencelah.
"Amboi...kau ni nak ajak Pian ke Aidil?Macam la aku tak tahu apa yang ada dalam kepala hotak kau tu."Nurul yang sejak tadi hanya mendiamkan diri menyampuk.
"Sambil menyelam sambil minum air.He..he..he.."Ikin tersengih.
"Ok.Kalau macam tu,Malam birthday dia kita buat upacara mandi tepung.Esoknya kita buat party kat pantai.Alia,kau sediakan bahan-bahan campuran untuk upacara mandi tepung tu.Ikin,sebab kau ada pakwe yang ada kereta so kau arrange party tu."Liana mengarah.
"Wei,mana aci kami dua orang je buat kerja.Korang semua goyang kaki je."Alia membantah.
"Nanti kitorang tolong la.Macam tak biasa.Alia,aku tolong kau cari ramuan tu ek!"Nurul menyampuk.
"Cantik...."Alia dan Nurul mencuit hidung mereka.Memang menjadi kebiasaan bagi mereka jika sudah sepakat melakukan sesuatu,trademark itulah yang digunakan.

******************************

"Hai,baru balik ke?Dah puas berkepit dengan Pian tu?"Aneem menegur Iza sewaktu Iza sampai ke rumah sewa mereka pada petang itu.
"Berkepit dengan Pian?Kau jangan nak pandai-pandai ye.Jaga sikit mulut kau tu.Kang tak pasal-pasal ada orang masuk ICU."Iza membalas kata-kata Aneem dengan nada gurauan.
"Baru je dapat pakwe skater dah berani nak buat orang masuk ICU ke?"Nada suara Aneem seakan-akan sengaja untuk menyakitkan hati Iza.
"Apa problem kau ni Aneem?Meh sini aku rasa dahi kau.Demam ke?"Iza yang sudah tahu dirinya sedang diperli masih mahu bergurau.Dia tidak mahu membesarkan perkara yang kecil.Dia sedar Aneem pernah menaruh hati terhadap Sufian.Dia juga pernah memberitahu Sufian mengenai hal ini.Tapi apa yang dijelaskan oleh Sufian benar-benar memeranjatkan dia.Selama ini Sufian menaruh hati terhadap dirinya.
Tidak mahu terburu-buru membuat keputusan,dia mencadangkan agar mereka bersahabat dahulu.Dia sebenarnya serba salah.Tidak tahu bagaimana ingin dijelaskan kepada Aneem memandangkan selama ini Aneem mengetahui bahawa antara dia dan Sufian hanyalah kawan baik.
Iza serba salah.Dia tidak mahu perkara ini akan merenggangkan hubungan dia dengan Aneem.Mereka sudah lama berkawan.Namun,dia sedar sejak akhir-akhir ini Aneem seakan-akan menjauhkan diri daripadanya.Perkara ini pernah diajukan kepada Alia.Namun Alia juga tidak tahu bagaimana untuk membantu.
"Sibuk!Kalau aku demam kau apa peduli.Cuba check diri kau tu dulu.Aku rasa kau yang demam.Demam cinta."Aneem menepis tangan Iza yang memegang dahinya. Iza berlalu ke bilik.Hatinya bengkak dengan tindakan Aneem itu.
Iza membuang pandangannya ke luar tingkap.Dia pening memikirkan sikap Aneem sejak kebelakangan ini.Dia tahu ini semua berpunca daripada hubungan baiknya dengan Sufian.Tapi apa yang boleh dia lakukan.Perasaan cinta tak boleh dipaksa-paksa.Dia sendiri tidak menyangka akan jatuh sayang kepada Sufian.Dari sebagai coursemate,mereka menjadi lebih akrab semasa bekerjasama semasa hari festival kolej.Setelah hampir dua semester berkawan baik,akhirnya Sufian melahirkan hasrat hatinya yang ingin menjadikan Iza sebagai teman istimewanya.Waktu itu Iza memang tidak dapat menerima memandangkan dia mengetahui yang Aneem turut sukakan Sufian.Namun,akhirnya dia terpaksa akur dengan perasaannya yang juga sukakan Sufian.Cuma dia tidak mahu terburu-buru memberi kata putus.Dia tahu tindakan itu akan melukakan hati sahabatnya.
Iza mengeluh.Mengapa dia terpaksa melalui situasi ini.Dia tidak mahu kehilangan seorang sahabat.Iza menutup buku Operating System yang ditelaahnya.Fikirannya kusut.Dia tidak dapat menumpukan perhatian kepada apa yang dibacanya.Kedengaran radio dipasang kuat dari bilik Nurul.Minah tu kalau dah pasang radio memang tak ingat dunia.Nasib baiklah dia sebilik dengan Ikin dan Noras yang tidak kisah dengan perangainya itu.
Iza bergegas ke bilik air.Petang nanti dia sudah berjanji dengan Pian untuk study bersama memandangkan lagi dua hari mereka akan menghadapi test subjek Operating System.Untuk study bersama housematenya agak sukar memandangkan mereka berlainan fakulti dengannya.Aneem,Nurul dan Ikin mengambil jurusan Pengurusan Perniagaan.Zihan dan Alia pula mengambil jurusan Pengurusan Pejabat manakala Liana dan Noras merupakan pelajar Pengurusan Hotel.Hanya dia yang mengambil jurusan Sains Komputer.Memang itu minatnya sejak di bangku sekolah lagi.

***************************

Alia tergelak.Dia mengambil gambar yang diletakkan di dalam frame.Gambar mereka berlapan.Gambar tu diambil sewaktu mereka di tingkatan lima.Dia merasakan ada kelucuan pada gambar tersebut.Apa tidaknya,kebanyakan dari mereka kelihatan begitu lucu mengenakan tudung kepala tetapi berseluar pendek.Gambar tu di ambil di koridor hostel.
Tiba-tiba Zihan menyergah.Alia melatah.Meledak ketawa Zihan dan Nurul.Alia menarik muncung.
"Korang ni kalau sehari tak buat aku melatah memang tak sah.Apalah dosa aku kat korang."Alia seakan-akan merajuk.
"Ala...aku gurau je.Takkan tu pun nak ambil hati.Kau kan buah hati intan umbrella kami.Always buat kami happy."Zihan memeluk Alia.Dia tahu Alia memang mudah merajuk dan mudah juga untuk dipujuk.Bagi mereka Alia seorang yang agak lurus bendul.Itu yang membuat mereka suka menyakat Alia.Walaupun begitu,Alia merupakan seorang pelajar yang cemerlang dalam pelajarannya.Sudah empat semester dia berjaya mengekalkan status Anugerah Dekan.Cuma semester lepas dia tidak berjaya mendapat Anugerah Dekan memandangkan sewaktu musim peperiksaan tersebut dia diserang demam yang agak teruk.
Alia mencebik.
"Apa yang kau tengok tu.Bak sini."Nurul mengambil frame yang berada di tangan Alia.Dia tersenyum.Alia bangun menuju ke almarinya.Dia mengeluarkan album gambar peribadinya.Dia kembali ke katil.Dia mula membelek-belek album tersebut.
"Korang tengok ni.Lawak kan kita dulu.Macam-macam gaya."Zihan dan Nurul turut tersengih menatap gambar tersebut.Tiba-tiba mata mereka tertumpu kepada gambar mereka bersama pekerja-pekerja dining.
"Kau ingat lagi tak perang mulut kita dengan budak-budak dining?"Pertanyaan Nurul memutarkan ingatan mereka kepada insiden perang mulut mereka.
"Tak patut kan kita cakap macam tu kat diorang."Alia melontarkan kata.Zihan dan Nurul mengangguk.
"Tapi dia dulu yang cari pasal dengan kita."Zihan seakan-akan cuba mempertahankan diri mereka.
"Ye la.Sape suruh cakap macam tu kat kita.Kita punya suka lah nak jahanamkan telefon tu ke apa.Yang dia busy body tu apa kes?"Nurul menambah.
"Aku tahu.Kalau telefon awam tu rosak maknanya dia tak boleh la nak call awek diorang,kan?"Alia pulak mencelah.
Zihan dan Nurul tersenyum.Alia ni sesekali kalau dia say something,mahu nak terburai jugak isi perut.Tahan beb!
"Masa tu Iza dengan Aneem la yang paling anti dengan mamat-mamat dining tu.Tapi siapa sangka,akhir tahun kita dah boleh jadi kamceng pulak dengan diorang.Tengok,siap bergambar lagi."Zihan menunjukkan gambar tu sekali lagi kepada dua orang sahabatnya itu.
"Kau ingat tak,siapa diantara kita yang paling berani fly?"Noras tiba-tiba menyampuk.Alia,Zihan dan Nurul berpaling.
"Hantu betul.Nak menyampuk bagilah salam dulu.Ni main redah je."Nurul membaling bantal kecil ke arah Noras dan Ikin yang tersengih di muka pintu bilik.
"Marah ke?"Noras dan Ikin mengambil tempat bertentangan dengan katil.Mereka bersila di atas lantai bilik tersebut.
"Mana yang lain?"Alia bertanya.Ikin mengjungkit bahunya.
"Kita minum dulu."Tiba-tiba Liana dan Aneem muncul di pintu bilik dengan sedulang air sirap dan sepinggan pisang goreng.
"Sambil minum kita discuss pasal surprise party untuk si Iza tu."Ikin mengusul.
"Kau dah sediakan ramuan istimewa tu Alia?"Ikin menyoal Alia.Alia mengangguk.
"Ok.Pasal party tu pun dah beres.So,malam ni upacara mandi tepung."Ikin menjerit.Jeritannya itu disambut dengan sorakan dari teman-tamannya yang lain.

****************************

"Kau tak keluar ke malam ni Ikin?"Iza mengambil akhbar diatas meja.Dia pelik kerana biasanya malam minggu begini Ikin akan keluar bersama Aidil.Ikin hanya menggeleng.Dalam hatinya hanya dia dan kawan-kawannya saja yang tahu apa yang bakal berlaku.
"Korang bergaduh ke?"Ikin menggeleng.Pertanyaan Iza dilayan secara acuh tidak acuh.Matanya begitu asyik menonton siri Popular di televisyen.Iza bangun dari kerusi.Dia menuju ke luar.
"Ke mana tu?"Ikin menyoal melihatkan Iza menuju ke luar rumah.
"Ambil angin kat luar."Iza terus keluar.Ikin tahu dia pastinya akan berada di atas kerusi batu yang ada di luar rumah.He...he... Pucuk dicita ulam mendatang.Tak payahlah aku susah payah cari helah supaya dia keluar.
Ikin melihat jam di dinding.10.00 malam.Lagi dua jam.Dia yakin rakan-rakan yang lain pun tidak sabar untuk melaksanakan misi mereka pada malam itu.Dia tahu sekurang-kurangnya Iza akan berada di laman rumah selama sejam.Lepas sejam jika dilihat Iza sudah mahu masuk,masa tu dia dan Liana akan memainkan peranan untuk melengahkan Iza.
Jam sudah hampir ke pukul 12.00 malam.Liana,Ikin,Zihan dan Iza sedang rancak berbual di laman rumah.Nurul,Alia,Aneem dan Noras sudah bersedia dengan baldi mereka.Bila-bila masa sahaja tsunami akan melanda Iza.
Tanpa mereka sedari,Aneem sudah mempunyai agenda tersendiri.Baginya upacara malam itu bukan sekadar untuk bergurau semata-mata tapi dia memang sakit hati melihat kemesraan Iza dengan Sufian.
"Happy birthday!"Laung mereka semua seraya menyimbah Iza dengan air tepung tersebut.Suasana menjadi riuh dengan pekikan mereka.Iza mengejar mereka.Bertempiaran mereka melarikan diri kerana tidak mahu menjadi mangsa pelukan Iza.Jika tidak pastinya mereka juga akan mendapat tempias air campuran tepung,hampas teh,kopi,sos tomato,belacan dan habuk biskut yang diadun oleh Alia dan Nurul.
Iza berjaya menangkap Aneem.Dia memeluk Aneem sekuat hati.Dia begitu gembira kerana sangkanya Aneem juga telah mendapat tempias air campuran tersebut.Tiba-tiba Iza menjerit ketakutan.Aneem hanya ketawa.Nurul,Zihan,Alia,Noras,Ikin dan Liana terpinga-pinga.Mereka meluru ke arah Iza.Rupa-rupanya Aneem telah memasukkan seekor lipas ke dalam baju Iza semasa Iza memeluknya.Noras membantu Iza mengeluarkan lipas tersebut.Mereka tahu Iza paling takut kepada lipas.
Rakan-rakan yang lain memandang Aneem.Mereka tidak sangka Aneem sanggup buat begitu kepada Iza.Padahal Aneem yang paling tahu kenapa Iza begitu takut kepada lipas.Sebelum ini jika ada lipas,dialah orang pertama yang akan membantu Iza.Tapi malam ini dia sendiri yang mengusik Iza sebegitu.
Iza menangis teresak-esak.Dia benar-benar ketakutan.Alia,Noras dan Ikin mententeramkannya.Mereka memarahi Aneem dengan tindakannya.
"Alah,orang gurau sikit pu takkan tak boleh.Tak sporting langsung."Aneem mula membentak melihatkan semua rakan-rakannya yang lain menyalahkan dia.
"Kau kan tahu Iza ni paling takut dengan lipas.Yang kau pergi usik juga kenapa?Kau sengaja kan Aneem?"Liana mula berang.Dia maklum dengan rasa sakit hati Aneem terhadap Iza.Baginya perbuatan Aneem tu memang melampau.
"Ya lah.Semua aku yang salah.Sorry la tuan puteri intan payung."Aneem terus meluru masuk ke dalam rumah.Mereka semua menggeleng kepala.Mereka memujuk Iza supaya bertenang dan lupakan apa yang telah berlaku.Mereka menerangkan bahawa lipas itu bukanlah rancangan mereka.
Keadaan ceria pada malam itu berubah menjadi sepi.

****************************

Party yang dirancang juga hambar.Aneem tidak menghadirkan diri seperti yang telah dijanjikan.Namun,mereka sedaya upaya menjadikan party itu meriah.Iza begitu kecewa dengan sikap Aneem.Dia tidak sangka Aneem tidak menghadiri party tersebut.Padahal Aneem adalah kawannya yang paling rapat.Dia tahu semua ni berlaku kerana hubungan baik dia dengan Sufian.
Selepas kejadian tersebut,Aneem dan Iza tidak bertegur sapa.Masing-masing mempertahankan ego mereka.Puas rakan-rakan mereka menasihati agar mereka berdamai sahaja namun segala-galanya sia-sia.Aneem tetap dengan sikap keras kepalanya manakala Iza pula mempertahankan bahawa dia tidak bersalah.Aneem yang dulu memulakan,maka sudah semestinya Aneem yang perlu memohon maaf.
Zihan,Nurul,Alia,Noras,Ikin dan Liana sudah tidak tahu apa yang perlu mereka lakukan.Mereka maklum benar perangai dua orang sahabat itu.Sama-sama keras kepala.Patutlah mereka berdua paling rapat dan selalunya segala plan yang bukan-bukan adalah idea mereka berdua.Mereka berdua juga sanggup menanggung risiko kepada segala perkara yang mereka lakukan.Pendek kata,mereka berdua adalah kawan yang paling rapat tidak kira apabila melakukan perkara yang baik atau sebaliknya.
"Aku rasa aku setuju dengan pendapat yang mengatakan sesebuah persahabatan boleh dirosakkan oleh kehadiran seorang insan bernama kekasih."Zihan melontarkan kata-kata sewaktu mereka berkumpul di ruang tamu pada suatu hari.Seperti biasa,Aneem dan Iza tidak bersama mereka.Aneem lebih banyak menghabiskan masanya di luar manakala Iza lebih senang tinggal di rumah kakaknya yang tidak jauh dari kampus mereka.
Alia mengangguk.Yang lain berpandangan sesama sendiri.Ikin pula seakan tidak senang dengan kata-kata Zihan.
"Sori la Ikin.Aku tak maksudkan kau.Aku salute kau.Walaupun kau ada Aidil tapi kau tahu hargai kehadiran kawan-kawan kau.Susah nak cari orang macam kau."Zihan seakan memujuk Ikin.Senyap.
"Aku tak sangka sampai macam tu sekali krisis Iza dengan Aneem.Nak salahkan siapa ya?"Liana menggaru kepalanya yang tidak gatal.
"Takkan nak salahkan Pian.Dia tak tahu apa-apa pun,yang salahnya budak berdua tu.Bukannya seorang je lelaki kat dalam dunia ni walaupun bilangan mereka ternyata kurang dari kita."
"Aku setuju dengan kata-kata Noras tu.Si Aneem ni pun satu,dah orang tak nak pepandailah mengundurkan diri.Ni tidak,sanggup kenakan kawan baik sendiri."Nurul mengiyakan kata-kata Noras.
"Dah la.Tak baik la kita ni.Masa diorang takde kita mengumpat diorang pulak.Macam ni ke kawan?"Alia seakan tidak senang dengan perbualan rakan-rakannya.Walau siapa pun salah,Aneem dan Iza tetap kawan baik mereka.Dia tidak mahu perbalahan ini berlarutan.
Alia sayangkan persahabatan mereka.Bagi dirinya,dia tidak mahu sahabat-sahabatnya bermasam muka.Ini akan menyebabkan dia berada dalam situasi yang mengelirukan.Kiri kanan sahabat.Yang mana harus dia utamakan jika berlaku apa-apa.Alia buntu.

********************************

Peperiksaan akhir hanya tinggal sebulan sahaja lagi.Iza masih berulang-alik dari rumah kakaknya ke kampus.Apabila perlu sahaja dia akan pulang ke rumah sewanya.Sehinggalah pada suatu hari apabila kakaknya datang ke rumah sewa bersamanya.,barulah Nurul,Zihan,Alia,Noras,Liana dan Ikin tahu yang Iza akan pindah ke rumah kakaknya.
Iza memberi alasan bahawa dia lebih selesa berada di rumah kakaknya.Tambahan pula,dia akan menjalani latihan perindustrian pada semester berikutnya.Maknanya,itu adalah hari terakhir dia akan menyewa di rumah itu.Rakan-rakannya cuba menghalang Iza namun sikapnya yang banyak berdalih di tambah pula dengan kehadirannya kakaknya yang membantu memindahkan barang-barang Iza membantutkan hasrat mereka.Mereka tahu,itu semua adalah helah Iza untuk menjauhkan diri daripada Aneem.
"Iza,walaupun kau dah tak menyewa dengan kitorang lagi tapi kau jangan la segan-segan nak datang.Pintu rumah ni tetap terbuka luas untuk kau.Kau kena datang tau.Aku tunggu kau.Aku pun rindu nak makan macaroni bakar dan kek batik kau tu.Dah lama kau tak masak untuk aku."Alia sempat berpesan kepada Iza sebelum Iza menaiki Kancil kakaknya.
"Rumah kakak aku bukannya jauh sangat.Kalau kau sudi,jemputlah ke sana.Nanti aku masakkan untuk kau.Kan kau kawan yang paling aku sayang.Bila-bila pun aku boleh masak untuk kau."Iza mencubit pipi Alia perlahan.
"Oklah,aku pergi dulu.Jangan la buat muka monyok macam tu.Sedih aku tengok.Kita bukannya berpisah selamanya,aku pindah rumah je.Kalau tak sempat jumpa selepas final exam,reunion lagi lima tahun kan ada.Kita semua wajib pergi tau."Iza menekankan perkataan wajib kepada rakan-rakannya yang lain.
Kancil merah kepunyaan kakak Iza meluncur meninggalkan rumah sewa mereka.Masing-masing mengeluh kecil.

***************************

"Merdeka!"Aneem,Nurul dan Ikin bersorak girang kerana mereka telah selesai menduduki peperiksaan akhir mereka.Zihan dan Alia tersengih melihat gelagat mereka.Zihan dan Alia awal-awal sudah bersorak seperti mereka memandang mereka berdua yang paling awal habis paper.Yang tinggal sekarang hanyalah Liana dan Noras,esok adalah peperiksaan terakhir mereka.Selepas Noras dan Liana menduduki peperiksaan,mereka sudah berjanji akan keluar makan bersama sebelum masing-masing pulang ke kampung.Mereka akan bercuti semester selama tiga bulan.
Memang sudah menjadi kebiasaan bagi mereka.Setiap kali tamat peperiksaan akhir,mereka berlapan akan keluar makan di luar bersama.Namun,apa yang agak mengecewakan mereka pada kali ini ialah Iza tidak akan turut serta.Iza awal-awal lagi sudah pulang ke kampungnya.Tambah menyedihkan ialah mereka tidak akan bersama Iza lagi pada semester berikutnya memandangkan Iza akan menjalani latihan perindustrian di Johor.Iza akan menjalani latihan perindustrian di pejabat kawan kakaknya.
Iza pulang ke kampung tanpa sempat mengucapkan selamat tinggal kepada mereka.Tindakan Iza itu seolah-olah sengaja menjauhkan diri dari mereka semua.Pada mereka,mungkin Iza berjauh hati kerana mereka tetap mesra bersama Aneem.Padahal Iza yang bertindak melulu dengan meninggalkan rumah sewa mereka.Jika tidak sudah pasti mereka berlapan masih boleh kembali baik seperti sediakala.Mereka percaya perselisihan faham antara Aneem dan Iza boleh diselesaikan memandangkan mereka berdua adalah sahabat yang paling baik sebelum ini.
Iza hanya menyampaikan salamnya kepada mereka semua melalui Alia.Secara kebetulan,Alia terserempak dengannya sewaktu dia sedang membeli tiket bas untuk pulang ke kampung.Apabila ditanya,tiket bas yang dibeli adalah tiket pada malam itu juga.Bila di tanya kenapa begitu cepat dia ingin pulang ke kampung,dia memberikan alasan sepupunya akan bertunang.
Walaupun marah dengan tindakan Iza namun Alia tidak dapat berbuat apa-apa.Iza juga merupakan kawan baiknya.Sejak Iza berpindah rumah,Alia lah yang paling kerap berhubung dengan Iza samada melalui SMS atau berjumpa secara bersemuka.Iza juga selalu membawa Alia ke rumah kakaknya.

******************************

"Alia,Iza dah tukar nombor handset ke?Aku call tak dapat pun."Zihan mendail nombor Iza berkali-kali namun gagal.
"Hari tu dia call aku.Katanya,handset dia hilang.Aku pun tak tau macam mana nak hubungi dia.Dia kata dia akan hubungi aku nanti.Agaknya bila dah beli handset baru kot."Alia menjawab.
"Dah hampir empat bulan kita tak jumpa dia kan.Ya lah,masa cuti pun tak pernah jumpa.Tak sangka dia dah pergi ke Johor.Aku ingat bila dah hampir praktikal baru dia nak pergi.Tup-tup,masa cuti dah pergi."Liana mengeluh.
"Rileks la...ada jodoh kita jumpa lagi.Kalau tak dalam masa terdekat ni,lagi lima tahun.Masa reunion kita.Iza juga yang cakap kita wajib pergi."Ikin mencelah dengan menekankan perkataan wajib seperti yang pernah dilakukan oleh Iza.
"Ya lah,aku harap semua dapat menghadirkan diri pada malam tu.Masa tu aku rasa aku dah dapat balak hensem.Aku nak tayang kat korang semua.Biar terbeliak mata korang.Ha...ha...ha..."Noras tergelak besar.Ikin membaling bantal kecil kearahnya.
"Takde lain la kau ni.Apa?Dah kemaruk sangat nak kawin?"Alia berpura-pura mencekik Noras.Nurul menarik lembut tangan Alia yang berpura-pura mencekik Noras.
"Dah la tu.Kang tak sempat jadi Puan Norashila Manan kawan kita ni,Alia Maisarah pulak yang masuk jail kerana mencekik anak dara pakcik Manan."Nurul ketawa kecil.

*******************************

Malam yang dirancangkan tiba juga akhirnya.
Dewan Songket sedikit sibuk dengan pelayan-pelayannya yang ke sana ke mari memastikan segala-galanya dalam keadaan yang memuaskan.Dewan itu telah di tempah khas untuk acara reunion Zihan dan rakan-rakan.Zihan yang paling banyak menyumbang tenaga untuk reunion tersebut memandangkan dia tidak sesibuk teman-temannya yang lain.
Lima tahun lalu,mereka telah sepakat akan mengadakan reunion mereka di Hotel Sutera Inn.Cadangan tersebut adalah idea Iza.Namun,tidak seperti yang diharapkan.Bukan Iza yang bersusah-payah menjayakan majlis reunion ini tapi Zihan yang bersungguh-sungguh.Sesekali ada rasa kesal di hati Zihan,bukan sahaja tidak menghiraukan majlis reunion tersebut malah Iza langsung tidak bertanyakan khabar.
Keadaan di Dewan Songket tenang.Mengikut perancangan awal jumlah tetamu pada malam itu hanya enam belas orang.Hanya mereka berlapan sahaja.Dan setiap daripada mereka mesti membawa seorang teman.
Zihan kelihatan begitu cantik dengan dress labuhnya yang dipadankan dengan selendang panjang.Rambutnya yang separas bahu dibiarkan lepas bebas.Zihan datang bersama seorang teman sepejabatnya,Ema.
Nurul pula begitu cantik dengan kebaya coklat.Disisinya,Azman setia menemani.Siapa sangka orang yang paling liat diajak berbicara soal cinta kini mendahului mereka semua dengan pertunangannya sejak setahun lalu.
Di satu sudut kelihatan Ikin,Aidil,Liana dan Haikal berbual mesra.Haikal yang menemani Liana kelihatan agak malu-malu dalam majlis tersebut.Begitu juga dengan Liana yang malu-malu apabila diusik oleh Ikin.Ikin dan Aidil memakai pakaian yang sedondon warnanya.Merah hati menjadi pilihan dua sejoli itu.Khabarnya mereka akan terus berkahwin pada tahun hadapan tanpa mengikat tali pertunangan seperti Nurul.
Noras datang bersama kawan baiknya,Haiza.Apabila ditanya kenapa tidak membawa balak seperti yang pernah dikatanya,terus dia menjawab tidak sempat untuk survey.Gelagatnya masih seperti dulu mengundang ketawa mereka semua.
Aneem tiba tidak lama selepas itu.Bersamanya seorang lelaki yang segak dengan kameja biru laut.Aneem yang begitu kelihatan begitu formal dengan dress malam berwarna biru lembut kelihatan agak malu-malu apabila semua mata tertumpu ke arah dia dan pasangannya.Aneem memperkenalkan temannya kepada kawan-kawannya yang telah hadir.Barulah mereka tahu bahawa Aneem akan bertunang seminggu dari tarikh reunion mereka.Dia juga amat berharap agar teman-temannya dapat menghadirkan diri pada majlis pertunangannya nanti.
Hanya tinggal sepuluh minit sebelum acara tersebut bermula,Iza dan Alia belum menampakkan diri.Zihan mula risau kalau-kalau Iza tidak menghadirkan diri.Betapa keras hati Iza.Sudah lima tahun berlalu,namun dia seakan masih tidak melupakan krisisnya dengan Aneem.
Aneem pula tidak henti-henti bertanya tentang Iza.Mereka semua tahu Aneem serba salah jika Iza tidak mengadirkan diri pada malam tersebut.Dia bimbang dia yang akan dipersalahkan.
Tiba-tiba mata mereka tertumpu ke pintu utama Dewan Songket.Sufian!Pian berdiri dengan senyuman di muka pintu tersebut.Mereka semua tersenyum.Pasti Iza ada di belakangnya.Mereka meninjau-ninjau keluar apabila dilihat Pian masuk ke dewan itu seorang diri.Apabila ditanya dimana Iza,wajah Pian berubah
Belum sempat Pian menjawab pertanyaan mereka,Alia muncul dengan senyuman.Penampilannya begitu menawan pada malam itu.Berpakaian ala punjabi berwarna merah jambu dipadankan dengan selendang panjang yang dililitkan di leher.Ditambah pula dengan rambutnya yang disanggul menjadikan Alia seperti seorang puteri yang diraikan pada malam itu.
Rakan-rakan mereka yang lain seperti tidak percaya dengan penampilan Alia kerana sebelum ini Alia agak liat untuk berhias ditambah pula dengan karakternya yang agak lurus bendul.Mungkin kerjaya sebagai seorang pensyarah di sebuah kolej swasta merubah dirinya.
"Aku tidak bersama Iza malam ni.Aku bersama Alia." Tiba-tiba Pian bersuara.Ikin dan yang lain memandang Pian seolah-olah tidak percaya dengan apa yang diperkatakan.Riak wajah Aneem ternyata berubah.Dia bimbang seandainya Iza tidak menghadirkan diri pada malam itu.Dia ingin memohon kemaafan dari Iza.Dia tahu selama ini mereka berdua begitu tegar mempertahankan ego masing-masing sehingga merosakkan persahabatan mereka.
"Shall we start our event now?"Alia mencadangkan sebaik sahaja dia menghampiri rakan-rakannya.
"What about Iza?Dia tak datang ke?"Aneem membalas cadangan Alia dengan pertanyaan.
"Dia tak dapat datang.She’s really sorry for that.Aku bawa pesanan dia."Alia mengunjukkan sekeping cd kepada Ikin.Ikin mengambilnya lalu diberikan kepada seorang pekerja hotel yang menjaga bahagian montaj.
Majlis bermula dengan tayangan cd tersebut.Montaj hasil kerja Iza sungguh menyentuh perasaan mereka.Rakaman dan gambar-gambar sewaktu mereka bersama dahulu mengimbau segala kenangan pahit manis.Keabraban mereka sungguh jelas melalui persembahan montaj tersebut.
Selesai persembahan montaj tersebut,Alia berdiri di atas pentas kecil yang disediakan.
"Alia,we all request ni.You kena nyanyi satu lagu untuk we all."Aidil mengusik Alia yang sudah berada di atas pentas.
"Sorry,I tak reti nyanyi.Tapi I nak mainkan satu lagu untuk arwah kawan kita."Alia menunduk.Zihan,Ikin,Nurul,Aneem,Noras,Liana,Aidil dan yang lain-lain tercengang dengan kata-kata Alia.
"Sebelum tu,kita sedekahkan Al-Fatihah untuk arwah Syafiza Balkis atau lebih kita kenali dengan panggilan Iza."Alia berteleku.Airmata mula menjadi sebahagian daripada majlis tersebut.
"Iza menyampaikan pesan melalui I.Dia really sorry sebab tak dapat datang malam ni.Montaj yang you all saksikan tadi adalah hasil kerjanya yang membuktikan bahawa dia benar-benar ingin berada disini pada malam ni.Tapi,takdir tak mengizinkan.Montaj tu dah disiapkan sejak lima bulan yang lalu."Alia berhenti sejenak.
"But,why?"Nurul seperti masih terkejut dengan berita yang didengarnya.
"Iza kemalangan.I’m sorry.I tak sempat maklumkan you all semua.Kejadian ni terlalu cepat.I bingung masa tu.Iza kemalangan 2 minggu lepas.Kemalangan kereta tersebut meragut nyawa sepupunya di tempat kejadian manakala Iza terlantar koma selama seminggu.I dapat tau pun 4 hari lepas melalui kakaknya. You all pun tau kan kita agak lost contact dengan Iza. I usaha jejaki dia sebab reunion ni. I terus ke Johor melawat dia. Kebetulan sewaktu Iza sedar I ada disisinya."Alia menyapu airmatanya.
"Dalam kepayahan Iza beritahu I yang dia dah siapkan montaj ni.Dia ingin sangat jumpa kita semua.Dia betul-betul kesal dengan tindakannya terhadap you Aneem.Dia minta maaf sangat dengan you."Tangisan Aneem mula kedengaran.Ikmal,temannya pada malam itu mententeramkannya.
"I sangka Iza akan pulih seperti sediakala.Tapi,sejam selepas dia sedar keadaannya kembali tidak stabil.Sekarang dia dah benar-benar tinggalkan kita.Tapi,Iza sempat berpesan kepada I agar kita teruskan rancangan reunion kita ni setiap lima tahun walaupun tanpa kehadirannya.Dia juga meminta I sampaikan permintaannya.Dia meminta agar kita menjaga persahabatan kita.Jika berlaku perselisihan faham segera perbaiki keadaan.But I really sorry sebab tak maklumkan pada you all sebelum ni. I benar terkejut dengan pemergian Iza. I’m really sorry."Alia sudah tidak dapat meneruskan kata-kata.
Alia meninggalkan pentas dan menghampiri rakan-rakannya yang lain.Sungguh!Majlis malam itu seakan-akan kenduri arwah.Masing-masing melayan perasaan.Tiada siapa di antara mereka menyangka begini cerita persahabatan mereka.

Kau Sahabat Kaulah Teman

Telah tiba saat waktu kau tinggalkan kami
Kerana takdir yang maha Esa telah menentukan
Sedih rasanya hati ini bila mengenangkan
Kau sahabatku kau teman sejati

Tulus ikhlasmu luhur budimu bagai tiada pengganti
Senyum tawamu juga katamu menghiburkan kami
Memori indah kita bersama terus bersemadi
Kau sahabatku kau teman sejati

Sudah ditakdirkan kau pergi dulu
Disaat kau masih diperlukan
Tuhan lebih menyayangi dirimu
Ku pasrah di atas kehendak yang Esa

Ya Allah tempatkannya ditempat yang mulia
Tempat yang dikau janjikan nikmat untuk hamba-Mu
Sahabatku akan ku teruskan perjuangan ini
Walau ku tahu kau tiada disisi

Perjuangan kita masih jauh beribu batu
Selagi roh masih di jasad hidup diteruskan
Sedih rasa hati ini mengenangkan dikau
Bagai semalam kau bersama kami

Moga amanlah dan bahgia dikau disana
Setangkai doa juga Fatihah terus kukirimkan
Moga di sana kau bersama para solihin
Kau sahabatku kau teman sejati...

Telah tiba saat waktu kau tinggalkan kami
Kerana takdir yang maha Esa telah menentukan
Sedih rasanya hati ini bila mengenangkan
Kau sahabatku kau teman sejati


Begitulah kisahnya sebuah persahabatan.
Ego.Perosak segalanya.Persahabatan dan percintaan boleh musnah kerana ego yang keterlaluan.
Kemaafan.Sesuatu yang tidak seharusnya kita lengahkan.Menghulurkan adalah lebih mulia dari memohon.
Kehilangan.Tiada siapa yang impikan kehilangan.Dalam setiap mimpi kita,tidak pernah walau seorang yang impikan kehilangan.Kita semua impikan kehadiran.
Harga.Hargailah kehadiran seseorang didalam hidup kita sebelun kita kehilangannya.Kerana kita hanya akan menyedari bahawa kita tidak pernah menghargai sebuah kehadiran dalam hidup kita sehinggalah kita kehilangannya.Apabila kita sudah kehilangan,apakah yang lebih bernilai selain mengharapkan kepulangan yang mungkin tidak akan kita perolehi.
Siapa di antara kita yang mampu meramal apa yang terjadi di masa akan datang.Adakah kita juga mahu cerita persahabatan kita berakhir begitu.Namun,setiap yang berlaku mempunyai hikmah masing-masing.Siapalah kita untuk menghalangnya.
Renungkanlah....

 
You can follow any responses to this entry through the Contac Us. You can leave a response.