Cerpen Memori Aku Dan Dia

PENGAJARAN Cikgu Sharifah, guru mata pelajaran Sejarah 2 tadi seperti tidak masuk dalam kepala Yana. Mindanya teringat cerita Siti dan Yasmin tentang pelajar baru yang masuk ke kelas 6 Atas Cekal sejak dua minggu lalu. Kosentrasinya terganggu. Apa yang menggigit hatinya ialah keakraban Iskandar dengan pelajar cun yang dipanggil Mira.
“Yana! Berdiri, cikgu nak keluar !" Suara Siti mengejutkan anganannya.Dia termalu sendiri, tambahan pula cikgu Sharifah menjeling tajam melalui kaca matanya.
Ucapan terima kasih cikgu bergema di segenap kelas 6 Atas Budi.
Asmadi, teman rapat Iskandar di Kampung Batu 4, melihat keruh di wajah rakan sekelasnya. Hanya dia yang tahu kisah Yana dan Iskandar selama ini. Kadang-kadang dia kasihankan gadis itu kerana tidak sedar cintanya dibalas dengan simpati bukannya kasih suci.


April, 1996, Bilik Mesyuarat Pengawas.

Mesyuarat yang dipengerusikan oleh Iskandar Hakimi berjalan lancar, Sofea Ariana yang menjadi Setiausaha Agung tetap setia dengan tugasnya. Akhir sekali, mereka dihidangkan dengan ucapan akhir oleh guru pengawas Cikgu Ismail Ishak.Orangnya tegas dan serius, jarang tersenyum membuatkan ramai pelajar sekolah yang gerun tatkala bertentang mata dengan guru lewat 40-an itu.
Yana menoktahkan ayat terakhir, mesyuarat ditangguhkan pada jam 4 petang. Semua pengawas beredar kecuali AJK Tertinggi. Cikgu Ismail dan penolongnya Cikgu Siti Reha juga sudah beredar.
" Iskandar! " Yana cuba memancing jejaka tinggi lampai dengan mata redup itu. Iskandar kacak dengan kulit yang tidak gelap seperti lelaki Melayu biasa , hidung mancung, dan sepasang mata redup tatkala merenung sesuatu.
"Yana...maaflah, kelmarin tak dapat datang ." Iskandar memberi jawapan yang Yana harapkan.
" Is, ada masa tak.Kita keluar Sabtu ni. Ada hal nak bincang." Yana membuat usul.
Asmadi, Yasmin, dan Syamil, pengawas kelas 6 Atas Adil aliran ekonomi sedang mengemaskan kerusi. Mereka sesekali merenung sepasang kekasih yang dilanda badai itu.
"Sabtu ni, Is ada hal. Temankan mama .Dia nak ke KB, Is jadi pemandu." Ujar Iskandar tetapi anak matanya seperti bersandiwara.Tiada cahaya dalam matanya.
Yana termanggu sendiri.
"Dah lah....Iskandar dah balik. Jom, balik dengan aku," Syamil mengejutkan lamunan Yana. Syamil, kelas ekonomi, tinggal sekampung dengan Yana dekat Taman Tiong. Syamil pelajar paling terkenal sebagai jaguh bola sepak.


Jun, 1996 , Padang Bola Sepak, SMK Kota.

Yana duduk di tepi padang, bahunya terhenjut-henjut menahan esak tangis. Dia nampak dengan mata kepalanya sendiri, Iskandar dalam bilik pengawas berdua-duaan dengan Amira . Apa yang mereka buat, Yana tak mahu ambil tahu. Yang dia tahu sekarang hatinya hancur. Yang dia rasa sekarang hatinya terluka. Dia benar-benar sedih, kecewa dan patah hati.
" Kau okay Yana?" Suara Syamil dapat didengarnya lembut.
" Yana! Yana! Kau okay tak?" Syamil memanggil lagi. Dia memegang bahu Yana. Gadis itu enggan menoleh.
Seketika, dia melihat sahaja reaksi Yana, mengharapkan dia boleh menenangkan hati gadis itu. Yana berpaling. Dia memandang ke arah Syamil, membuatkan lelaki itu tergamam. Tindakan Yana yang menangis mungkin di luar kawalan emosinya fikir Syamil. Syamil berdehem dan cuba memujuk gadis itu, supaya tangisannya tidak bergema lagi.
" Tak cun lah kalau kau menangis macam ni Yana." Usik Syamil.
Yana tersenyum sedikit, dia menarik nafas panjang, menyapu air mata yang tersisa.
Iskandar dan Asmadi memerhati dari hujung Blok E , melihat Yana dan Syamil di bawah rimbunan pohon kemboja.
"Aku bersalah pada Yana ." Iskandar membuka suara.
" Kau kena beritahu Yana hal sebenar Is. Kau tak boleh mainkan dia, dia cintakan kau , tapi kau mencintainya atas dasar simpati. Itu salah kawan! Kau menghancurkan hatinya. Baik kau bagi tau hal sebenar. Sebab, aku tahu, Syamil memang ada hati dengan Yana. Yana yang tak nampak, sebab di hati Yana, hanya ada kau ." Asmadi memberi nasihat pada kemelut cinta rakannya.



Penghujung November 1996, Dewan Peperiksaan SMK Kota.

Kertas terakhir peperiksaan STPM hari itu berjalan lancar . Yana, Yasmin dan rakan-rakan 6 atas yang lain meraup wajah kemenangan, tanda peperiksaan sudah berakhir.Berakhirnya peperiksaan itu juga, tanda berkubur percintaan dia dan Iskandar.
" Yana nak buat apa lepas ni?" Syamil memulakan bicara semasa mereka makan tengahari di gerai makan dekat Wakaf Che Yeh.
" Yana pergi KL, ikut abang, jaga anak dia."
" Mil pun pegi KL juga. Abah suruh ambil kelas komputer tinggal rumah mak saudara Mil kat Damansara." Syamil galak bercerita.
" Yana dan Is macam mana?"
“ Dah jadi kenangan , dia beritahu Yana, selama ni dia tak cintakan Yana, dia cuma simpati., Yana yang salah tafsir.Tak ada jodoh kami Mil."
“Yana tak tahu mungkin ada lelaki baik yang memuja Yana!"
Yana merenung wajah Syamil .Anak matanya seperti bercerita. Yana tidak mengerti.Dia juga tidak mahu salah tafsir buat kali kedua.
"Yana nak masuk USM kalau dapat!"
"Mil nak minta UM." Ujar Syamil lagi.
"Thanks !"
"Bye Yana.Jangan lupakan Mil."



Mac 1997 , Dewan Sekolah, SMK Kota.

" Tahniah Yana! Awak jadi pelajar terbaik tahun ni. Awak cemerlang Yana." Ucap Cikgu Nahariah seraya memeluk erat remaja itu.
Ada air jernih bertakung di mata Yana. Ucapan tahniah bertalu-talu membuatkan hatinya berbunga riang.
Iskandar , dapat result yang baik juga, dia mendengar cerita kawan-kawan. Begitu juga dengan yang lain.Razali, Norzila, Zahini dan ramai lagi. Tak kurang juga yang kecundang dan ada juga yang cukup makan.
"Yana...rindu lah . " Yasmin memeluk erat Yana.
"Nampak Syamil?"
"Tadi, abah dia yang datang ambil keputusan.Dia kat KL lagi."
" Kau rindu kat dia ker?" Min mengusik.
"Kau ni.Tengok tu, Iskandar dengan Amira.Macam belangkas." Yana memandang di hujung dewan.
"Dah...dia kan dah tak ada dalam kamus hidup kau! " Min menceriakan Yana.
" Jom, makan. Aku belanja." Asmadi tiba-tiba datang bersama Zai, Nida, Faizal dan Zubri. Mereka melangkah bersama.
"Mana kau Mil? Aku rindu! " Hati Yana berdetik sendiri tatkala melepasi blok tingkatan 6 yang pernah mereka diami bersama.



Ogos , 1997 ,Dewan Tunku Syed Putra, USM, Pulau Pinang.

" Maaf ! " Yana terkejut bila dia terlanggar seseorang di perkarangan dewan menyebabkan mereka terjatuh.Yana bangun, mengutip buku dan fail yang berterabur.
"Yana! "
" Mil? Ahmad Syamil Hamdan?."
" Dah tak ingat Mil ! Sofea Ariana Ahmad Tajuddin!" Syamil bersuara tenang.
Mereka berpapasan mata, wajah tampan Syamil semakin matang.Dia sempurna sifat seorang lelaki idaman wanita.
" Kau kan kat UM?"
"Aku tukar universiti Yana."
" Aku suka USM. Aku suka ...."
"Aku nak bagi tau kau. Aku suka pada kau Yana. Mil cinta kan Yana."
Yana kaget. Lama dia terdiam. Kemunculan Syamil sungguh misteri seperti misteri kehilangan Syamil pada hari STPM keluar dahulu.
"Tahniah, Yana pelajar terbaik sekolah kita."
Yana senyum.Manja dan melirik.
" Yana tak percaya . Mil depan Yana. Yana ingat Yana salah tafsir. Yana baru kenal erti cinta sebenar selepas kita berpisah masa tingkatan 6 dulu.Perasaan Yana pada Is ialah suka dan kagum.Perasaan Yana pada Mil ialah cinta. " Ujar Yana lembut.
"Thanks Yana, Mil bahagia bersama Yana. Masa sekolah lagi Mil cintakan Yana, tapi Mil takut bertepuk sebelah tangan." Syamil membuat akuan jujur.
" Yana yang bertuah. Mil lelaki yang baik. " Mereka bertukar senyuman.
Mereka mengorak melangkah membelah senja.

 
You can follow any responses to this entry through the Contac Us. You can leave a response.