Cerpen Have A Nice Day

Balik saja dari pejabat, Zafri terus pulang ke rumah. Terasa sengal-sengal satu badan, mungkin seharian dia terperuk dalam bilik menyiapkan kertas kerja untuk persidangan bulan depan. Kalau tidak selesai secepat mungkin, dia tentu akan dihamun oleh bos barunya. Biarpun bergelar penolong pengarah dan mempunyai pembantu tadbir di bawahnya, itu bukan alasan. Malas untuk makan di gerai Mak Yam, Zafri singgah di McD Drivethru. Bubur ayam kegemaran menjadi pilihannya.
Melintasi pondok pengawal, Zafri melangkah perlahan melalui nursery menuju ke lif kira-kira 10 meter lagi. "Malam pun buka lagi ke?" Detik hati Zafri apabila melihat lampu di dalam nursery itu masih menyala. Setelah beberapa meter melangkah, Zafri menoleh ke belakang apabila mendengar pintu nursery dibuka. Nursery sudah tidak secerah tadi, seorang perempuan bertudung sedang mengunci pintu nursery tersebut. Wajahnya tidak kelihatan dalam kesamaran tanpa cahaya lampu dari nursery itu.
Zafri meneruskan langkah menuju je lif dan menaiki tingkat 6 apartmen. Badan dihempas ke atas katil. Hampir-hampir saja matanya terlelap tapi dikejutkan dengan bunyi mesej. Mesej dibaca. Da mkn belum?Nak mkn pizza datanglah. Zafri bangkit, mencapai tuala dan mandi. Sekadar berseluar pendek dan bersinglet, Zafri keluar dan turun ke tingkat 5 apartmen. Pintu rumah A-05-07 diketuk beberapa kali.
"Baru balik kerja ke?" Soal Angah.
"Tak de la baru sangat. Sempat la juga landing atas katil." Zafri masuk tanpa dijemput.
"Dah makan belum?" Soal Angah.
"Ni ha, bubur McD. Tak makan lagi." Zafri menunjukkan plastik putih di tangannya lantas diletakkan di atas meja makan berhampiran.
"Aik, tidur dah?" Zafri meninjau Ferdi dalam buaian.
"Lame dah dia tidur?" Soal Zafri lagi.
"Baru je tadi, lepas ambil dia tadi. Ni ha pizza, spaghetti pun ada." Ujar Angah.
"Baru nak main dengan Ferdi, tidur plak dia." Zafri langsung tak menghiraukan kata-kata kakaknya.
"Tadi kakak yang jaga Ferdi beritahu angah, dia tak boleh nak jaga Ferdi lagi. Ni yang pening kepala ni, nak cari orang jaga bukan senang. Pula tu yang sanggup jaga sampai malam."
"Dah cuba tanya dekat-dekat sini ke?" Zafri mengunyah pizza.
"Dekat dengan flat hijau tu ada juga. Tapi yang jumpa pun dah jaga ramai budak." Angah membuai Ferdi yang bergerak sedikit tadi.
"Nursery kat bawah tu tak cuba tanya?" Zafri melihat Ferdi sudah terjaga dan meronta-ronta ingin keluar dari buaian.
"Meh sini, main dengan Pak su." Zafri menghampiri buaian dan mendukung Ferdi keluar dari buaian.
"Baru je tidur, belum puas lagi dah bangun."
"Nak main dengan Pak su kan? Dah berapa hari tak jumpa Pak su."
"Pak su tu duduk dekat pun tak boleh nak datang. Sibuk dengan awek la tu? Apalah Pak su Ferdi ni?!"
"Bukanlah, Pak su kerja la. Memandai je ibu Ferdi ni."
"Orang suh duduk sini tak nak. Sanggup tu sewa rumah mahal-mahal sedangkan satu bangunan je pun."
"Malas nak kacau privacy orang yang dah berkahwin. Nanti abang Rizal balik jauh-jauh nak manja-manja, segan pula dia. Orang yang bujang pun nak privacy gak. Betul tak Ferdi?"
"Yela tu. Owh, yang nursery kat bawah tu dulu angah pernah tanya tapi kata sampai 6.30 je. Kalau angah OT kan susah."
"Tapi tadi masa balik menyala lagi lampu dia, lepas tu ada orang baru tutup."
"Kalau macam tu bolehlah angah cuba tanya."
Zafri asyik bermain dengan Ferdi hingga Ferdi sudah menggosok-gosokkan matanya. "Tu tandanya nak tidur la tu. Tadi tidur tak puas." Angah menegur. Zafri menepuk-nepuk Ferdi perlahan hingga Ferdi lena. "Tidur je la sini malam ni." Angah mengajak bila melihat Zafri bangun. "Tak pe la, lain kali." Zafri menolak.
Sebelum langit cerah lagi Zafri sudah keluar rumah. Semasa dia melalui nursery, seorang perempuan bersandar di hadapan pintu sambil berbual dengan wanita bersama anaknya. Perempuan itu berkulit cerah, kurus dan memakai tudung dengan mengikatnya di leher. Zafri tertarik kepada perempuan itu. "Itu perempuan yang semalam ke?" Soal Zafri pada diri sendiri.
Selalunya setiap kali pergi dan balik kerja, Zafri akan ternampak perempuan itu. Pernah dia terfikir untuk menegur tetapi terasa berat sungguh mulut ni untuk berbicara bila berselisih dengan perempuan itu. Akhirnya keinginan Zafri hanya tinggal keinginan. Tapi keinginannya masih kuat untuk mendekati perempuan itu. Zafri menunggu masa yang sesuai datang.
"Angah dah tanya dah nursery kat bawah tu. Dia boleh jaga sampai kol 7 je. Angah kadang-kadang balik 7 lebih."
"Owh, yeke? Kalau angah tak kisah Zafri boleh ambil Ferdi lepas balik kerja kalau angah balik lambat."
"Angah tak nak menyusahkan kau. Lagipun kalau dua-dua pun balik lambat macam mana?"
"Takpe, Zafri tak kisah pun. Lagipun kalau ikutkan pukul 5 dah boleh balik."
"Ok lah kalau macam tu, nanti angah hantar Ferdi dekat nursery bawah ni je. Kalau nak ambil pun senang, dekat." Kata putus telah dicapai antara dua beradik ini.
Zafri tertidur di sofa. Tidak sedar jarum jam sudah mengarah ke angka 12 dan 1. Terdengar tangisan Ferdi, Zafri bangkit dari lena. Matanya terkelip-kelip melihat jam. Zafri bangun menghampiri Ferdi yang tidur di dalam buaian. Dahi Ferdi dikucup dan dia beredar untuk pulang ke rumah. Walaupun angah menghalang, Ferdi memberikan alasan baju kerjanya belum bergosok.
"Zafri, angah OT hari ni. Tolong ambil Ferdi?" Suara angah jelas di corong telefon.
"Ok, balik nanti Zafri ambil." Butang end call ditekan kemudiannya.
Sampai sahaja di depan pintu nursery, Zafri tercongok agak lama di situ. Kelibat Ferdi tidak kelihatan bermain-main. Tetapi kelihatan buaian di satu sudut seperti berisi. Perempuan itu menghampiri Zafri dan menegur.
"Kenapa encik, nak ambil anak?"
"Saya datang nak ambil Ferdi. Dia tengah tidur ke?" Jarinya ditujukan ke arah buaian yang berisi itu.
"Aah. Lama juga dia tidur tadi. Sekarang pun tak bangun lagi. Penat agaknya."
"Yeke, penat main la tu agaknya." Zafri sudah mula membuka kasutnya untuk masuk ke dalam.
"Eh, tak pe la. Kejap ea, saya ambil Ferdi."
Melihat perempuan itu membuatkan Zafri berdebar-debar. Gerak-geri perempuan itu mencuri perhatiannya. Dari tutur katanya juga cukup disenangi Zafri. Ferdi terjaga kerana tidurnya diganggu walaubagaimanapun Ferdi tidak menangis. Kini Ferdi sudah berpindah tangan kepada Zafri.
"Terima kasih ye?" Zafri beredar.
Kemudian Zafri berpatah balik semula.
"Eh,kenapa? Ada barang tertinggal?" Zafri hanya menggeleng menjawab soalan itu.
"Apa ye nama awak?" Soal Zafri.
"Owh, saya Hani."
"Ok la, cik Hani. Terima kasih jagakan Ferdi."
"Sama-sama." Senyuman berkuntum.
Sejak dari perbualan kali pertama itu, Zafri lebih kerap bertemu Hani. Setiap kesempatan merupakan peluang untuk lebih mengenali dan mendekati Hani. Boleh dikatakan setiap hari jika tiada urusan pejabat yang menuntut Zafri pulang lewat, Ferdi akan diambil oleh Zafri dari nursery. Waktu itulah juga Zafri akan berbual-bual walaupun seketika dengan Hani. Dari raut wajah Hani juga Zafri dapat melihat reaksi Hani yang menyenangi kehadirannya.
Setiap pagi pula, jika ditakdirkan mereka terserempak di hadapan pintu nursery, setiap kali itu jugalah tidak lekang dari bibir Zafri untuk mengucapkan "Have a nice day!" pada Hani. Dan Hani pula akan membalasnya dengan "Have a nice day too" bersama senyuman seikhlasnya menceriakan lagi hari-hari yang mereka lewati. Jika tidak bersua pun, kiriman mesej akan diterima mengucapkan baris ayat yang sama.
"Angah tengok selalu je kau ambil Ferdi? Ada apa-apa ke ni?"
"Aik, ambil Ferdi pun salah ke? Zafri nak tolong angah. Lagipun apa salahnya Zafri balik kerja dan nak bermain-main dengan Ferdi."
"Memang tak salah, tapi angah ada bau semacam je la. Kau ada bau tak? Bau macam nasi minyak."
"Mulalah tu nak buat cerita bohong. Malas nak layan."
"Eleh, angah tahu la kau dah tersangkut kat Hani tu. Kalau tak, tak kan la angah tak OT pun kau nak ambil Ferdi? Lagi pula, setiap kali angah hantar Ferdi, mesti nama kau juga yang disebut Hani."
"Eh, betul ke ni?" Riak wajah Zafri berubah, ingin tahu.
"Ha, kan betul apa yang angah cakap tadi? Entah-entah idea kau nak hantar Ferdi kat nursery tu pun ada udang disebalik batu agaknya?"
"Zafri tak ada apa-apa la angah dengan Hani tu. Dia single ke dah kahwin pun Zafri tak tanya."
"Belum sempat tanya lagi tu. Tapi tak apa, angah dah tanya dah. Dia single lagi, apa lagi? Cepat-cepatlah ngurat. Melepas pula nanti. Dah la orangnya comel."
Zafri hanya tersenyum penuh makna. Dalam fikirannya berkira-kira bagaimana perlu dia meluahkan perasaannya pada Hani. Apa yang perlu dia lakukan? Apakah Hani akan menerimanya cintanya? Biarpun usia perkenalan mereka hanya seketika, tapi Zafri yakin akan perasaan yang tersimpan dalam hatinya untuk Hani. Dia ingin memiliki Hani sebagai teman hidupnya jika ditakdirkan.
Pulang saja dari kerja, Zafri menemui Hani di nursery. Kedatangannya menimbulkan tanda tanya di wajah Hani.
"Ferdi dah balik, Kak Zuri dah ambil tadi." Hani memberitahu tanpa mengetahui Zafri sudah mengetahuinya sejak awal lagi.
"Saya datang sebab nak jumpa Hani." Zafri berterus terang tanpa berselindung.
"Tapi kenapa?"
"Sebab nak ajak Hani keluar. Boleh?"
"Bila?"
"Sekarang?"
Hani kelihatan serba-salah.
"Tak boleh?"
"Bukan macam tu, tapi dengan pakaian saya macam ni tak..."
Belum sempat Hani menghabiskan ayatnya Zafri sudah memotong.
"Tak jauh, dekat je. Sekejap pun jadilah." Zafri memujuk.
"Ok."
Melangkah keluar dari kawasan apartmen melimpasi pondok pengawal, Zafri dan Hani berjalan beriringan. Langkah Hani terhenti apabila Zafri meminta Hani memandang ke arah langit dalam pekat malam dengan tangan Zafri menuding ke satu arah. Berpandukan bantuan spotlight dari kawasan pembinaan yang bersebelahan, Hani melihat sebiji belon besar berdiameter kira-kira tiga meter yang berwarna merah dan berbentuk hati. Tertulis pada belon itu, "Hani, saya cinta awak. Zafri."
Hani memandang ke arah wajah Zafri. Dia seperti mahu berkata sesuatu tetapi tidak terkeluar butir kata-kata yang ingin diucapkan. Zafri menghadiahkan sebuah senyuman dan melihat mata Hani yang sudah ditakungi air mata kerana terharu, Zafri menggeleng-gelengkan kepala dengan wajah yang meminta supaya Hani tidak menangis di saat yang bermakna itu.
Tanpa dapat dihalang lagi, air mata Hani terus menitis jatuh. Tubuh Zafri dipeluk. Zafri kaku dalam pelukan Hani, tangannya hanya mampu tegak di sisi. Terdengar halus di cuping telinganya akan ucapan Hani, "Hani pun cintakan Zafri" membuatkan Zafri tersenyum lebar.
"Orang belum kahwin tak boleh peluk-peluk macam ni. Kena kahwin dulu baru boleh." Angah tiba-tiba muncul dari belakang bersama Ferdi dalam dukungan.
Hani melepaskan pelukan dan tunduk tersipu-sipu malu. Air mata yang menitis tadi di kesat-kesat dengan tangan.
"Angah?" Zafri membulatkan matanya ke arah kakaknya itu.
"Sekali-sekala nak kacau daun. Hehehe. Kan Ferdi?" Ferdi tersenyum.
"Jom!?" Mata merenung ke arah Hani.
"Ke mana?"
"Kahwin? Tak la. Baliklah. Saya belum mandi lagi masa awak peluk tadi." Zafri mengusik.
"Hani, belon tu? Tak nak bawa balik?" Angah menyoal.
"Nak, tapi tak muat lif kot?"
Zafri tiba-tiba berlari meninggalkan mereka bertiga membuatkan mereka dalam kehairanan di situ. Seketika kemudian Zafri muncul semula dengan sebuah kotak di tangan.
"Apa tu?" Soal angah.
"Hani tengoklah."
Setelah kotak itu di buka, kelihatan sebuah belon bersaiz kecil seperti belon yang besar yang sedang terapung-apung di atas itu.
"Belon besar tu, nanti esok pagi saya hantar."
Keesokkannya apabila Hani tiba awal pagi di nursery, sebuah kotak berada di hadapan pintu nursery. Tanpa sebarang nota, Hani membuka kotak yang tidak berbalut itu. Hani hanya tersenyum lebar melihat belon berwarna merah yang sudah kempis tidak berisi angin lagi di dalam kotak itu. Kata-kata Zafri malam tadi yang dianggapnya sekadar gurauan tetapi kini telah menjadi kenyataan. Kenyataan bahawa hati Hani kini milik Zafri.

 
You can follow any responses to this entry through the Contac Us. You can leave a response.