Cerpen Terlalu cinta

Jarinya terus menekan button info. Mencari-cari cerita menarik untuk melupakan perkara sedih yang sedang melanda jiwa. Anak-anak yang masih kecil sedang lena diulit mimpi. Dari channel 815 hingga channel 101 tiada yang menarik minat Iffah. Jerry Maguire sedang ditayangkan di channel kepunyaan kerajaan. Filem yang pernah mencapai box office lakonan hebat Tom Cruise bersama Renee Zellweger. Jerry Maguire membawanya kembali ke alam lima tahun dahulu.

"Iffah suka sangat kata-kata tu.... You complete me...."

"No no… abang rasa kata-kata ‘kejayaan saya pada hari ini sama banyak dengan kegagalan yang saya hadapi’ lagi best...."

"Nyampahlah abang ni… tak romantik langsung…" rungut Iffah kecewa dengan ‘respons’ suaminya.

"Tak romantik apenye…." Balas Zafran buat-buat tak faham.

"Malas lah nak layan abang…" Iffah menarik selimut. Merajuk.

Detik indah itu kembali mekar di mindanya. Filem Jerry Maguire merupakan filem tersayang Iffah. Banyak mesej yang hendak disampaikan melalui filem tersebut. Kasih-sayang, cinta, kejayaan dan banyak lagi. Mindanya seolah-olah meronta untuk membawa jasadnya kembali pada saat itu. Saat indah, bahagia bersama suami tercinta.

Keesokannya semasa dia sedang mengelap perhiasan rumah ada sekuntum mawar merah di dalam segelas air.

"You complete me….. I love you so much… forever…."

Senyuman terus melebar dibibir saat membaca nota Zafran. Senyuman yang lebar sebentar tadi mati apabila dia terfikir dimana Zafran memetik bunga. Telefon berdering.

"Hai darling….sekuntum mawar merah sebuah puisi….." Suara Zafran penuh menggoda di talian.

"Berani abang petik bunga Iffah kat taman... abang ni..." Iffah geram.

"Sekuntum jer pun..... abang balik makan tegah hari ni tau. Iffah masak sedap-sedap key... bye sweetheart........"

"Abang….!" Belum sempat Iffah bersuara, talian sudah diputuskan.

Saat itu segala-galanya indah. Zafran bukanlah seorang lelaki yang romantis yang bijak mengolah bicara yang indah-indah tetapi ada sesuatu kepunyaan Zafran yang membuatkan dia tertarik. Permata indah tiga orang putera dan seorang puteri menjadi pembuktian cinta mereka selama 5 tahun. Masih segar diingatannya gurauan Zafran, "Dah cukup satu ‘foottall team’ baru berhenti ye...."

Air matanya berjujuran deras. Lebih laju berbanding air terjun Niagara saat menerima berita bahawa Zafran mahu berkahwin lain. Mahu berpoligami! Jiwa wanitanya terasa sempit, sukar bernafas. Pelbagai persoalan menjelma di fikiran. Apa yang tidak kena? Kenapa? Kenapa?

Hari Sabtu lepas jam 9 malam Iffah bertemu Zafran di sebuah hotel untuk membincangkan perkara tersebut. Seboleh-bolehnya Iffah tidak mahu anak-anak mereka mengetahui perkara tersebut. Jikalau boleh Iffah mahu menyembunyikan perkara tersebut daripada anak-anaknya buat selamanya.

Zafran terus memeluk Iffah melepaskan rindu. Iffah melabuhkan punggungnya di birai katil empuk hotel yang baru memenangi anugerah baru-baru ini. Sepasang suami isteri itu seperti orang asing. Kedua-duanya kelu untuk berkata-kata. Iffah berusaha sedaya upaya mengawal emosi supaya air mata tidak gugur dihadapan lelaki yang menjadi raja dihatinya selama ini.

"Abang sayangkan Iffah…. Tapi…"

"Don’t say anything, please…………." Iffah cepat menahan Zafran daripada berkata-kata. Entah mengapa dia tidak mahu mengetahui sedikit pun alasan Zafran mahu berpoligami. Dia takut alasan-alasan yang dikemukan nanti akan menambah rasa kecewanya dan yang paling dia takut respectnya pada lelaki itu akan hilang.

"Tolong bang… abang dengar ape yang Iffah nak cakapkan ni…"
Iffah menarik nafas dalam-dalam.

"Iffah dah fikir panjang. Iffah tak tahu apa alasan abang dan Iffah sedikit pun tak mahu tahu. Iffah tahu Iffah banyak kekurangan..."

"Iffah tak ada kekuranagn... to be honest…." Zafran cuba mencelah.

" Abang please....jangan guna perkataan tu…. please..." Zafran mengangguk. Perkataan ‘to be honest’ amat tidak disukai mereka berdua kerana takut hanya perkara tersebut sahaja betul dan yang lain-lain adalah pembohongan.

"Iffah tak larang abang nak buat apa sahaja. Abang teruskanlah apa yang abang mahu asalkan abang bahagia. Tapi Iffah tak rela bermadu. Iffah tak rela, bang…. Abang lepaskan Iffah. " Zafran tersentak dengan permintaan Iffah.

"Iffah… Iffah… abang sayangkan Iffah…" Zafran meramas-rama jemari Iffah.

"Please don’t say that… sungguh Iffah tak mampu untuk hidup bermadu. Maafkan Iffah, bang. Iffah tak dapat bayangkan bagaimana Iffah hidup berkongsi kasih abang sebab Iffah sangat-sangat cintakan abang…." Air mata yang setelah sekian lama terkumpul akhir gugur berjuraian. Iffah lari meninggalkan Zafran yang terkejut dengan permintaan tersebut.

Iffah tahu dia tidak sepatutnya mengelak . Ya, dia memang cuba lari dari permasalahan ini. Fikiran dan hatinya masih menganggap ianya hanya sebagai fantasi bukan satu realiti.

Ampunkan aku ya Allah… Aku tahu aku tiada hak untuk menghalangnya daripada berpoligami. Poligami dianjurkan oleh Islam. Agama yang membahagia dan mendamaikan bukannya bawa kesengsaraan dan kekecewaan. Aku cukup yakin. Aku tidak menafikannya. Tidak sesekali. Mungkin suatu hari bila anak-anak sudah besar boleh berfikir sendiri, aku rela. Tapi bukan sekarang. Sudah lupakah Zafran tentang cita-cita dan impian perkahwinan mereka? Sudah lupakah? Masakan bisa impian itu tercapai seandainya Zafran terus dengan keputusan sebegitu. Masakan bisa!

Sungguh cintanya hanya untuk Zafran. Dia berhenti kerja semata-mata untuk menumpukan sepenuh perhatian kepada suami dan anak-anak. Sekalipun dia tidak akan mengungkit pengorbanan dia sebagai seorang isteri dan ibu kepada anak-anak Zafran. Tidak! Dia ikhlas melakukannya. Dia melakukannya atas dasar cinta. Cinta kepada Zafran! Cinta setinggi gunung Everest! Cinta sedalam lautan Atlantik. Cinta seharum limau kasturi! Cinta seindah mentari pagi!

Dia wanita aktif yang bercita-cita tinggi. Mempunyai impian sendiri. Berkeyakinan tinggi. Seorang yang kreatif dan memiliki pemikiran yang kritis. Buktinya, dia menerima anugerah istimewa sebuah syarikat antarabangsa kerana idea-idea kreatifnya telah meningkatkan jualan syarikat itu berlipat kali ganda. Walaupun hanya bekerja sementara di syarikat tersebut di bahagian pemasaran, kerja di luar bidang pengajiannya di universiti namun kehebatannya terserlah. Semua itu ditinggalkan di sana. Yang dibawa pulang ke Malaysia adalah kehangatan cinta Zafran. Cita-citanya dibiarkan membeku ditimbus salji saat Zafran melamarnya. Cinta Zafran benar-benar membuatkan dirinya berubah. Dia tidak pernah sesekali menyesal dengan keputusan itu. Tidak sesekali!

Malamnya kelam. Tiada lagi cahaya yang selama ini bersinar indah membuktikan hidupnya bahagia menjadi suri hidup seorang lelaki yang mencintai dan dicintai. Hembusan lembut angin malam dirasa bagai angin bertiup di tanah gersang. Penuh debu serta pasir. Tandus. Panas. Malam-malam bahagia menanti sang kekasih bergelar suami pulang dari mencari rezeki demi putra putri mereka sudah tiada lagi.

Bukan dia wanita lemah yang hanya membiarkan wanita lain merampas suami. Tanpa berbuat apa-apa. Bukan dia tidak mahu melawan.Walaupun fikiran zaman moden ini menyuruhnya melawan, berkeras untuk memastikan haknya tidak dirampas tetapi itu bukan caranya. Cintanya pada Zafran terlalu suci. Tulus dari hati. Dia memberi cintanya pada Zafran dengan keihklasan tanpa sedikit pun tercemar dengan kekerasan. Jauh sekali paksaan. Oleh sebab itu, dia hanya menerima cinta yang sebegitu. Dia sanggup melakukan apa sahaja asalkan Zafran bahagia. Mungkin manusia zaman moden mentertawakannya. Ah, itu falsafah lama. Kolot. Biarlah apa orang nak kata. Biarlah orang kata dia bodoh. Biarlah orang kata dia wanita lemah. Biarlah orang kata dia perempuan kolot. Biarlah. Biarlah.

Saat mindanya di alam lain, walaupun jasadnya sedang duduk di birai katil, tiba-tiba muncul seorang lelaki di muka pintu. Iffah terkejut. Mindanya kembali ke alam realiti. Perlahan-perlahan lelaki itu menuju kearahnya lalu melutut. Diambilnya tangan wanita itu lalu dikucup-kucup. Iffah terasa jari-jemarinya basah. Sepanjang perkongsian hidupnya dengan lelaki itu, tidak pernah dia melihat Zafran menagis. Inilah kali pertama.

"Maafkan abang, Iffah.... maafkan abang...." Tanpa memandang Iffah, Zafran bersuara. Terus diramasnya jari-jemari wanita yang dilukainya itu.

"abang sayangkan Iffah… Abang cintakan Iffah.... Abang tak sanggup kehilangan…." Zafran masih lagi menunduk. Tidak berani bertentang mata dengan wanita pertama yang bertakhta dihatinya itu.

Sudah beberapa minit berlalu namun pasangan itu masih lagi begitu. Hilang kata-kata. Yang kedengaran hanya esakan mereka berdua. Akhirnya Iffah membelai lembut rambut lelaki itu lalu dikucupnya dengan penuh rasa kasih, rindu dan cinta. Hatinya merafa’kan syukur kehadrat Rabbul Izzati kerana doanya dimakbulkan. Sama seperti Zafran, dia juga tidak sanggup kehilangan.

 
You can follow any responses to this entry through the Contac Us. You can leave a response.