Cerpen : Bercakap Dengan John

Sahri menguap panjang. Rasa mengantuknya tidak kebah-kebah biarpun sudah beberapa gelas air kopi diminum olehnya. Mihun goreng yang dibawa dari rumah juga sudah tidak bersisa. Sesekali dia menoleh ke arah jam tangan di pergelangan tangannya. Jarum pendek sudah begitu menghampiri pukul enam petang. Bermakna tugasnya untuk hari itu hampir selesai. Sementara menunggu penggantinya tiba, Sahri membelek-belek jam tangan berjenama terkenal miliknya yang dibeli di pasar malam. Biarpun harganya sangat murah, Sahri begitu menyayangi jam itu.

"Manalah si Tahir ni..?! Selalu masa-masa macam ni dia dah timbul..", rungutnya seorang diri.

Laluan kaki lima tempat dia berteleku itu sememangnya dikerumuni ramai. Tetapi keadaan hiruk-pikuk sebegitu tidak langsung melekakan dirinya. Sudah lama dia bertugas di sini dan sudah acapkali dia bertemu dengan berbagai ragam manusia yang menjadi asam-garam kehidupan di bandar itu. Ada yang jujur, ada yang penuh tipu daya, ada yang baik hati, ada juga yang kejam dan berbagai lagi.

Sahri sudah lali dengan semua itu. Demi tugas yang diamanahkan, dia sanggup terpacak seharian di situ biar apa pun halangannya. Berbekalkan selaras senapang patah, Sahri sentiasa berada dalam keadaan berwaspada. Bila-bila masa sahaja sesuatu yang tidak dijangka akan terjadi dan jika itu berlaku, Sahri akan kehilangan mata pencariannya malah dia juga mungkin akan kehilangan nyawa. Pekerjaannya sebagai seorang pengawal keselamatan di bank itu yang terletak di tengah-tengah kota menuntut dirinya supaya sentiasa berjaga-jaga.

Pernah satu ketika dahulu beberapa orang lelaki berbadan sasa dan bertopeng menceroboh masuk sambil melepaskan beberapa tembakan rambang. Sahri yang pada ketika itu terperanjat dengan tindakan mengejut itu serta-merta menyembunyikan dirinya bersama-sama orang awam yang lain. Ini kerana pada waktu itu dia hanya bersenjatakan cota manakala penjahat-penjahat tersebut bersenjatakan pistol automatik dan juga pump gun. Dia tidak mahu mati katak. Dia tahu peluangnya untuk memberkas penjenayah-penjenayah itu adalah mustahil. Mana mungkin sebatang cota boleh memenangi senjata moden seperti itu.

"Ri.. Ri..!! Woi, pekak ke..?!", jerit Tahir sambil mengoncang-goncangkan tubuh Sahri yang sedang asyik mengelamun.

Sahri pantas menepis tangan Tahir dan berdiri sambil membuka pencak silatnya secara tiba-tiba. Tahir tidak mahu bertangguh lagi. Segera dia menjauhkan diri dari Sahri yang seakan mengamuk. Jika dia tidak berbuat demikian sia-sia sahaja dia menjadi mangsa belasahan rakannya itu. Selepas beberapa ketika, barulah pencak Sahri hilang akibat keletihan.

"Kau rupanya Tahir.. Kus semangat..!! Aku ingat perompak ke, perogol ke tadi..!!", ujar Sahri kelelahan.

"Siapa pulak nak rogol engkau Ri..?! Muka macam belalang tempur pun ada orang yang bernafsu ke..?!", Tahir berjenaka.

"Tak guna kau.. Ni, apasal lambat..?! Naik bersemut ketiak aku ni menunggu kau tau tak..!!", soal Sahri.

"Ini yang aku nak bagitahu engkau ni.. Aku nak mintak tolong engkau jagakan syif aku boleh tak..?! Aku nak kena hantar anak bini aku balik kampung sekarang ni.. Ada kenduri arwah..", Tahir menjelaskan.

"Eh, mana boleh macam tu Tahir.. Aku dah jaga siang, malam engkaulah pulak..!! Lagipun aku penatlah.. Aku nak balik tidur ni..", Sahri menolak.

"Alaa.. sekali ni je aku mintak tolong pada engkau..!! Aku janji, lepas je aku hantar anak bini aku balik ke kampung nanti, aku terus datang sini.. Lagipun bukannya jauh sangat kampung tu.. Dalam satu jam perjalanan je..!!", rayu Tahir pada rakannya yang sedang menggaru kepala.

Sahar mendiamkan diri. Hendak membantu, dia sudah tidak berdaya lagi. Hendak ditolak, kasihan pula. Setelah agak lama dia berfikir, barulah dia bersetuju dengan permintaan sahabatnya itu. Itupun dengan syarat, Tahir mesti kembali semula ke sini setelah menghantar keluarganya ke kampung. Lega Tahir mendengarnya. Setidak-tidaknya ada juga orang yang mahu menggantikan dirinya buat seketika.

Sahri memandang kelibat tubuh Tahir yang semakin menjauh. Mungkin Tahir memakir keretanya jauh dari situ untuk mengelakkan dari dilihat oleh penyelia mereka. Bila saja Sahri teringat wajah penyelianya, bibir Sahri menjuih serta-merta. Mengenangkan perangai encik Herman yang suka marah-marah dan pantang melihat perempuan berdahi licin. Menyampah pula bila membayangkan wajah encik Herman yang bengis, berperut boroi dan renek fizikalnya.

Sudahnya Sahri mengeluarkan telefon bimbit miliknya yang disimpan di dalam kocek seluar. Pantas Sahri menekan-nekan punat pada telefon bimbitnya untuk bermain game. Derap kaki yang melintasi kaki lima itu tidak dapat mengugat tumpuan Sahri bersama telefon bimbitnya. Tidak sedar hari yang remang-remang senja sudahpun berganjak ke malam.


**********************

Jam sudah menunjukkan pukul sebelas malam. Bayang Tahir masih belum kelihatan membuatkan darah Sahri tersirap dengan kemarahan. Nafasnya mendengus-dengus bak seekor lembu laga yang dikibarkan dengan bendera merah. Dia sudah bosan tercangak di situ sendirian sedari pagi. Telefon bimbitnya juga sudah kehabisan bateri. Juga tiada kelibat manusia yang lalu-lalang berhampiran dengannya lantas mengundang rasa bosan yang menyucuk. Sahri bersiul-siul kecil sebagai menghilangkan kebosanan.

"Hello..", sapa seseorang secara tiba-tiba membuatkan Sahri melompat tanpa sengaja.

Sahri mengurut dada. Nafasnya turun naik bersama debar yang masih menggila. Mujur juga dia tidak mengeluarkan buah silatnya di situ. Jika tidak, bukan saja si penyapa yang akan menerima padah malah dia juga akan turut pengsan akibat kepenatan. Sahri menoleh setelah gemuruhnya beransur reda. Satu susuk bertubuh agak besar yang memakai kemeja berbunga-bunga serta berseluar pendek tersenyum ke arahnya.

"What with you..?! I\'m just saying hello..", tegur lelaki itu pada Sahri.

Darah Sahri menggelodak lagi. Bukan dia tidak faham kata-kata lelaki inggeris yang sedang berdiri di hadapannya itu tetapi dia tidak tahu bagaimana hendak menjawabnya. Terasa menyesal pula di hati kerana tidak mendengar nasihat ibunya supaya belajarbersungguh-sungguh dahulu. Jika tidak, mungkin sekarang dia berkerja dengan firma-firma besar yang menjanjikan gaji yang lebih lumayan.

"Oh.. You don\'t know how to speak english is it..?! Jangan takut.. Saya boleh berbahasa melayu..", ujar lelaki itu lagi seraya mendekati Sahri.

Sahri terkulat-kulat. Rupanya lelaki inggeris ini boleh berbahasa melayu. Malu Sahri tidak terperi lagi. Bangsa asing berusaha untuk mempelajari bahasa ibundanya yang indah sedangkan dia sendiri langsung tidak mahu belajar tentang bahasa lain.

"Maafkan saya encik.. Saya tak sengaja..", ujar Sahri sambil menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal.

"Tak mengapa..", balas lelaki itu kembali.

"Ada apa yang saya boleh bantu encik...".

"Oh.. Johnson Marciani..!! Panggil saya John sahaja.. Tak usah panggil encik dengan saya..!!", John tersenyum sambil menghulurkan salam. Sahri pantas menyambutnya.

"Sebenarnya saya lihat awak dari tadi duduk seorang diri di sini.. Awak tunggu siapa..?!", soal John.

"Saya tunggu kawan saya.. Sepatutnya dia yang kerja syif malam.. Tapi dia ada masalah sikit..!! Jadi saya kena ganti dia buat sementara..", terang Sahri.

"Awak kerja security guard..?!", soal John lagi.

Sahri mendiamkan diri. Dia malu untuk menyatakan perkerjaannya pada bangsa asing. Takut nanti dituduh sebagai bangsa yang pemalas dan hanya tahu kerja makan gaji sahaja. Sedangkan mereka sudahpun meneroka bidang angkasa.

"Jangan malu.. Saya bukan nak hina awak..!! Saya suka tengok orang macam awak.. Awak tak malu untuk berkerja sebagai security guard walaupun orang lain yang sebangsa dengan awak pandang hina pada awak..!! Saya rasa awak patut bangga dengan diri awak sendiri.. Bukan semua orang seberani awak untuk melakukan kerja seperti ini..", terang John panjang lebar.

Sahri menggaru kepalanya lagi. Terasa hendak menyorok di dalam kasut pula dibuatnya. Memang betul kata John, dia sepatutnya berbangga dengan perkerjaannya selaku pengawal keselamatan. Tanpa manusia sepertinya, tiada siapa lagi yang mahu makan gaji hanya dengan duduk sambil memegang selaras senapang di muka pintu bank seperti apa yang dilakukan olehnya sekarang. Sekurang-kurangnya dia mencari rezeki yang halal.

"Terima kasih John.. Susah nak cari orang macam awak..!!", ujar Sahri sambil tersengih.

"Sama-sama.. Dah lama awak kerja di sini..?!", tanya John.

"Lama tu taklah lama sangat.. Adalah dalam lima tahun.. Sebelum ni saya ikut kawan saya meniaga ayam..!! Tapi lepas semua ayam-ayam kena sakit sampar, kawan saya terus jadi gila.. Saya pulak terus mintak kerja security guard ni.. Maklumlah.. sekolah tak habis..!!", terang Sahri.

"Awak tak takut..?!", tanya John lagi.

"Nak takut apa..?!", soal Sahri kembali.

"Takut ada pencuri nak curi di sini.. Selalunya bank memang jadi sasaran pencuri..!! Awak pernah berhadapan dengan situasi itu..?!", John menyoal Sahri lagi.

"Pernah jugak.. Dulu bank ni pernah kena rompak dengan lima lelaki bersenjata..!! Saya masa tu tak ada senjata.. Takkan saya nak lawan..?! Saya pun menyoroklah.. Saya tak nak mati katak..!!", ujar Sahri menceritakan pengalamannya.

"Mati katak..?!", John terpinga-pinga.

"Mati sia-sia..", terang Sahri.

John mengangguk-anggukkan kepala sambil ketawa terbahak-bahak. Entah apalah yang melucukan dengan ayat mati katak itu. Mungkin John merasa geli hati dengan ayat yang baru pertama kali didengari olehnya. Tiba-tiba wajah John berubah. Dari kemerah-merahan akibat ketawa berlebihan kepada wajah serius.

"Dalam lima tahun awak berkerja, pernah tak awak nampak sesuatu seperti...".

"Hantu..?!", Sahri memotong kata-kata John. Sepertinya dia sudah mengetahui akan maksud John.

"Tak pernah pulak.. Tapi kalau setakat kelibat orang melintas tu rasanya adalah beberapa kali.. Itupun masa saya terpaksa ganti orang waktu syif malam.. Sebenarnya saya kerja siang sahaja..!!", ujar Sahri selamba.

"Itu hantu melayu.. Hantu inggeris awak pernah nampak..?!", soal John bersungguh.

Sahri memandang wajah John tanpa berkedip. Pelik benar bunyinya soalan orang putih ini. Tatkala dia memandang wajah John lama-lama, terasa wajah lelaki kulit putih itu seakan pucat lesi dan cengkung. Tidak seperti mula-mula mereka bertemu sebentar tadi. Sahri menggeleng-gelengkan kepala sebagai menjawab pertanyaan John tadi. Kemudian dia kembali memandang ke hadapan. Matanya tertumpu pada tiang-tiang lampu yang kebanyakannya sudah tidak mengeluarkan cahaya lagi.

Tiba-tiba bahunya ditepuk dari belakang. Sahri pantas melompat ke arah jalanraya. Nasib baik pada ketika itu keadaan jalanraya lengang tanpa kenderaan yang melaluinya seperti selalu. Sahri mengurut dadanya yang berombak kencang. Nampaknya sudah tiga kali dia terperanjat kerana dikejutkan oleh seseorang hari ini. Silap-silap gaya nyawanya juga boleh turut padam.

Tahir yang ketawa mengekek tertunduk sambil memegang perut boroinya. Geli benar rasanya menyaksikan Sahri yang melompat seperti seekor kanggaru sebentar tadi. Sampai terkeluar airmatanya kerana terlalu banyak ketawa.

"Kurang asam kau Tahir..!! Kalau kau buat lagi macam tu, aku tempeleng kau dengan kasut ni..", ujar Sahri seraya menunjukkan kasut miliknya di tangan.

"Rilekslah Ri.. Kau ni serius sangatlah..!! Aku bukannya apa, suka tengok kau jadi macam tadi tu..", Tahir membalas tersekat-sekat. Tawanya masih lagi kedengaran.

Sahri merengus sendirian. Menyampah benar hatinya melihatkan perangai Tahir yang tidak sudah-sudah menyakat dirinya. Kalau diikutkan hati, mahu saja dia membenamkan muka Tahir ke dalam longkang. Panas betul hatinya.

"Kau janji apa ni..?! Kata sekejap je..?! Berpeluh ketiak aku menunggu kau tau tak..?!", marah Sahri pada Tahir yang masih ketawa kecil.

"Alaa.. Aku bukannya sengaja..!! Tiba-tiba kereta aku meragam tengah jalan tadi.. Nasib baik bila aku periksa rupa-rupanya air kurang.. Lepas aku isi air, hidup baliklah kereta aku..!! Itupun lepas aku berjalan sorang-sorang dalam gelap sebab nak cari air kau tau tak..?! Nasib baik aku jumpa sungai kecik kat tepi hutan tu..", Tahir menerangkan.

"Eh, tadi aku nampak kau macam tengah berborak dengan orang.. Kau berborak dengan siapa..?!", tanya Tahir ingin tahu.

"Dengan...", kata-kata Sahri mati di situ kerana sebaik sahaja dia menoleh, John sudah tiada lagi di tempatnya.

Sahri jadi pelik. Rasanya tak mungkin seorang manusia mampu bergerak sepantas itu. Lagipun di kawasan itu tiada tempat untuk menyembunyikan diri. Kalau ada sekalipun kenapa John hendak menyembunyikan diri?

"Tadi aku berborak dengan sorang mat saleh kat sini.. Kitorang punyalah berbual panjang.. Nasib baik dia ada..!! Kalau tak aku pun tak tau nak buat apa tadi.. Bosan gila..!! Tapi sekarang ni dia tak ada pulak.. Aku ingat dia ada pakai ilmu ghaiblah..", ujar Sahri cuba berseloroh.

"Ilmu ghaib apanya.. Kau berborak dengan John kan..?!", tanya Tahir.

"Eh..?! Macam mana engkau tahu..?!", soal Sahri kehairanan.

"Aku tahu pasal John tu selalu muncul kat kawasan ni.. Kata orang dia mati sebab kena bunuh dengan girlfriend dia dua bulan lepas..!! Kau tak tau cerita ke..?!", terang Tahir sambil mengeluarkan kotak rokoknya.

"Maksud kau..?! Dia tu hantu..?!", Sahri seperti tidak percaya.

"Iyalah..!! Aku dah berapa kali bercakap dengan John tu.. Dia bukannya kacau sangat kerja aku..!! Saja ajak berborak.. Agaknya dia boringlah tu..!!", Tahir menyalakan rokoknya sambil tersenyum memandang ke arah Sahri.

Sahri tergamam tanpa suara. Wajahnya pucat lesi. Patutlah John beria-ia benar nak tahu tentang pengalamannya bertemu dengan hantu. Pandangannya mula berpinar-pinar dan seluruh tubuhnya mulai terasa seram sejuk. Sejurus sebelum dia pengsan, kelibat wajah John muncul di belakang Tahir yang kelam-kabut memangkunya dari jatuh ke lantai. John tersenyum ke arahnya sebaik saja dia merapatkan kelopak matanya.


Sekian..

 
You can follow any responses to this entry through the Contac Us. You can leave a response.