Cerpen : Lima Minit Sebelum Berpisah

Hujan turun renyai-renyai pada masa itu.Sungguhpun jam di tanganku menunjukkan baru pukul lima petang, namun langit nan tinggi itu kelihatan sangat gelap.Kenderaan yang lalu lintas di depan mataku laju bagaikan kilat.Aku kehairanan, mengapakah pemandu kenderaan dewasa ini memandu kenderaan mereka selaju itu?Lebih-lebih lagi dalam kawasan sekolahku ini.Tidakkah mereka terfikir dalam fikiran mereka tentang keselamatan para pejalan kaki dan juga penunggang basikal?Sekiranya berlaku kemalangan, nyawa mereka juga akan terancam.
Tatkala mindaku bercelaru memikirkan semua itu, tiba-tiba seorang sahabat datang menyergahku tanpa kusedari.Dia adalah Cho Hakkai.Jejaka yang merupakan rakan karibku, memberitahuku bahawa masa untuk pulang telah tiba.
"Apa kena dengan kamu ni?Masa aku panggil tadi, kamu langsung tak jawab.Planet mana yang telah kamu jejaki tadi?" leter Hakkai dengan nada yang menggeram.Nampaknya sekali lagi aku telah lakukannya.
"Yalah, yalah.Aku minta maaf.Angin yang bertiup sangat mengasyikkan sehinggakan aku tak perasan yang kamu panggil aku tadi.Apapun...,"jawabku sambil cuba untuk menukar topik perbualan,"kuatnya sang kaze bertiup.Rasanya hujan lebat akan turun bila-bila masa saja.Kamu mahu tak aku hantar kamu pulang?"tanyaku pada Hakkai.
"Aku rasa tak perlulah.Rumahku dekat saja," jawab Hakkai ringkas."Aku boleh lari terus pulang ke rumah.Janganlah kamu risau, aku boleh balik sendiri," tambahnya lagi.
"Baiklah, baiklah.Aku tak dapat paksa kamu sungguhpun aku mahukannya, betul tak?" jawabku apabila Hakkai merenung aku dengan pandangan yang tajam namun lembut.Detik-detik yang seterusnya hanya diisi dengan kesenyapan sehinggalah hujan turun dengan lebatnya.Aku cuba untuk memujuk Hakkai supaya membenarkan aku menghantarnya pulang.Namun belum sempat aku menyuarakan isi hatiku, Hakkai terus mengucup pipiku sambil berkata, "Sayonara, Hidayuki sayang.Kita jumpa esok, okey?Kalau tak pun, malam ni aku akan datang jumpa kamu dalam mimpi indahmu."Aku terpukau dengan senyuman lembutnya.
Sememangnya menjadi kebiasaan Hakkai mengungkapkan kata-kata itu setiap kali kami berpisah apabila hendak pulang.Walau bagaimanapun, entah mengapa tiba-tiba sahaja aku merasakan seperti kata-kata itu merupakan ucapan selamat tinggal Hakkai buatku.Kurasa bagaikan Hakkai akan pergi dan takkan kembali lagi.Aku terpaku semasa Hakkai meninggalkan aku.Setelah bayangan Hakkai hilang dari pandanganku, barulah aku membuka langkah untuk pulang ke rumah.
Aku orakkan payung ungu pemberian Hakkai sempena ulangtahun kelahiranku yang lepas.Rasanya aku akan tetap basah sesampaiku di rumah kelak.Hujan semakin lebat.Kulihat ramai pelajar yang berpasang-pasangan di bawah teduhan payung yang beraneka corak. "Hakkai...Mengapalah kamu ni degil sangat?" rungutku sendirian dalam hati.
Tidak lama kemudian, kedengaran bunyi dentuman yang sangat kuat.Pada mulanya, kuingatkan ia hanyalah bunyi guruh sahaja.Tanpa mempedulikan bunyi itu, aku meneruskan perjalananku pulang ke rumah.Namun begitu, kulihat banyak kereta yang terhenti nun di hujung simpang sekolah.Apa yang telah berlaku?Aku menjadi cemas melihat beberapa orang meluru ke sana.Lantas, aku pun bergegas untuk melihat apa yang telah terjadi.
Oleh kerana masih hairan dengan apa yang berlaku, aku bertanya kepada seorang pelajar yang juga rakan sekelasku bernama Ohno untuk mengetahui kejadian sebenar."Seorang pelajar sekolah kita telah dilanggar oleh sebuah kereta.Tengok kat sana tu!" Aku terkejut apabila mengetahui yang ianya ialah satu kemalangan.Aku berasa risau akan keselamatan Hakkai.Simpang ini adalah jalan yang selalu Hakkai gunakan menuju ke rumahnya.
"HAKKAI!" raungku dalam hati.Kerisauan dan kegentaran diriku semakin menggila tatkala aku menghampiri tempat di mana orang ramai sedang berhimpun.Dapat kulihat darah mengalir dihanyutkan dek hujan lebat.Pada detik itulah aku melihat raut wajah pelajar malang tersebut.
"Hakkai! Tidak! Hakkai...!" Aku ingin melaungkannya.Aku ingin menyentuhnya. Namun, sekali lagi aku terpaku bagaikan sebatang tiang.Lidahku kelu untuk mengeluarkan sepatah perkataan pun.Inikan pula hendak bergerak.
Ambulans datang sejurus selepas itu.Aku hanya dapat melihat pasukan penyelamat mengusung Hakkai ke dalam van.Hakkai cedera parah.Seluruh badannya dilumuri darah.
Sepeninggalan ambulans itu, masa itu jugalah pandanganku semakin kabur.Apabila aku sedar, pandanganku samar-samar kejelasannya.Di sisiku, kulihat Hakkai tidur dengan tangannya memegang erat tanganku.Aku hairan walaupun berasa ghairah, mengapa pula aku terlentang di bilik rawatan ini?
Dalam aku kehairanan, aku memandang Hakkai yang tidur dengan lenanya.Aku tertanya-tanya, adakah apa yang berlaku sebentar tadi hanyalah mimpiku semata-mata?Jika itulah yang berlaku, apa yang telah terjadi ke atas diriku?Dapat kudengar bunyi dedaunan yang ditiup angin kuat.
Pandanganku semakin jelas apabila jejaka di sisiku mulai terjaga.Alangkah terkejutnya aku melihat jejaka yang kusangkakan Hakkai itu berubah menjadi Ohno.Ohno menggenggam erat tanganku apabila dia terbangun.
"Hida, baguslah kamu sudah sedar!Bagaimana keadaan kamu sekarang?Kamu tak apa-apakah?Masih lagi rasa pening-pening?" pertanyaan Ohno yang bertubi-tubi itu membuatkan aku menangis.
Adakah ini bermakna kemalangan tadi benar-benar terjadi?Jikalau begitu, Hakkai sekarang bagaimana?Adakah dia selamat?Aku harus pergi ke hospital. Hakkai...
Tanpa berfikir panjang, aku terus melompat dari katil.Kakiku gagal untuk berdiri.Tidak! Aku mesti pergi ke sana sekarang! Walau bagaimanapun, niatku untuk menjenguk keadaan Hakkai dihalang oleh Ohno.
"Jangan, Hida! Cikgu Naru kata kamu mesti berehat dahulu.Kamu hendak ke mana?" Ohno menahan aku dari bergerak.Aku meronta-ronta untuk melepaskan diri.Tanpa kusedari, air mataku jatuh berderai.
"Lepaskan aku, Ohno.Aku perlu jenguk Hakkai di hospital, sekarang!" keadaanku ketika itu seperti orang yang tidak waras.
"Hida, kamu tidak boleh keluar dari bilik ini dulu.Kamu masih lagi kurang sihat," Ohno masih menahan aku dari berdiri.
"Hakkai tentu akan selamat kalaulah aku dapat paksa dia untuk pulang bersama aku tadi! Hakkai..." Tiba-tiba, pintu bilik rawatan terbuka.Aku tersentak kerana terkejut.Di muka pintu itu, berdirinya Cikgu Narumi dan Encik Imai, doktor sekolah kami.
"Cik Motosuwa, memandangkan kamu sudah sedar, saya rasa lebih baik saya hantar kamu dan Encik Ohno pulang sekarang," kata Cikgu Narumi.Aku cuba untuk bertanya kepada Cikgu Narumi tentang keadaan Hakkai.Namun apabila aku membuka mulut, Cikgu Narumi terus memintas, "Cikgu akan terangkan semuanya dalam kereta nanti.Ayuh, berkemas sekarang." Aku berusaha untuk bangun dari katil walaupun kepalaku masih lagi pening sedikit.Ohno membantu aku walaupun aku gagal untuk berdiri.
"Hida, pakai dahulu sepatu kamu," perintah Ohno.Fikiranku masih kepada Hakkai.Bagaimana keadaannya?Dapatkah aku bertemu dengan dia lagi?
Setelah siap memakai kasutku, aku lihat Ohno menyandang beg sekolahku di bahunya sementara Cikgu Narumi pula sedang bercakap-cakap dengan Encik Imai dalam nada suara yang kecil.Aku rasa curiga.Adakah Cikgu Narumi mengetahui sesuatu yang aku tidak tahu?
"Ah, nanti cikgu akan bagitau juga tu," pujukku sendiri.Aku cuba untuk tidak membuatkan diriku berasa risau yang melampau.Apabila aku bergerak keluar dengan dipapah oleh Ohno, Encik Imai memberikan sebakul kecil yang berisi ubat-ubatan kepadaku.
"Akibat kejutan tadi, kamu mengalami trauma.Jadi, saya mahu kamu ambil ubat ini.Cuba memakannya selama seminggu.Mudah-mudahan, ia dapat memulihkan kamu," terang Encik Imai.Aku memandang Encik Imai sambil tersenyum.
"Terima kasih, Encik Imai.Sampaikan salam saya kepada Hotaru, ya?" balasku.
"Cik Motosuwa, saya rasa adik saya tu masih lagi berada di hospital.Tapi jangan bimbang, saya akan sampaikan juga." Cikgu Narumi dan Ohno terus memapah aku keluar dari bilik rawatan.
Semasa berjalan menuju ke tempat letak kereta, aku lihat malam telah berlabuh.Bintang-bintang bertaburan di angkasa yang membuatkan aku terpesona.Tiba-tiba, terdetik di hatiku untuk menjenguk keadaan Hakkai di hospital.Aku masih mahu memastikan keadaan Hakkai yang sebenar.
"Cikgu Narumi..."
"Ya, Hidayuki.Tadi cikgu baru pulang dari hospital.Doktor Tezuka telah mengesahkan bahawa Encik Cho Hakkai telah berjaya diselamatkan.Walaupun peluangnya untuk pulih adalah sangat tipis namun pembedahannya tadi berjaya dilaksanakan.Kalau ikutkan doktor tu tadi, Encik Cho mengalami gegaran otak, kepatahan tulang rusuk dan juga tulang sum-sum serta pendarahan dalaman akibat hentakan yang kuat.Tambahan pula, Encik Cho telah kehilangan sebahagian daripada memorinya, jadi sekarang dia tidak mungkin akan dapat memulihkan dirinya dalam masa yang singkat," terang Encik Narumi dengan panjang lebarnya.
Setelah memastikan aku dan Ohno memakai tali pinggang, barulah dia memanaskan enjin keretanya.Kemudian dia memandang ke arahku di belakang lantas menguntumkan senyuman dan berkata, "Esok saya akan datang dan jemput kamu berdua di rumah, okey?Kita akan pergi melawat Encik Cho di hospital."
Hatiku terhibur mendengar semua ini.Terima kasih Tuhan, Hakkai masih bersama denganku.Terima kasih, Tuhanku.Kini baru aku sedar yang Hakkai sangat bermakna buat diriku.Aku bertekad, apabila aku bertemu dengan dia esok, aku akan luahkan isi hatiku yang sebenar kepadanya.Aku bersumpah, aku akan berterus-terang dengan Hakkai.
"Hidayuki, kita telah sampai di rumah kamu,"kata Cikgu Narumi kepadaku."Esok saya akan jemput kamu di sini sekitar pukul 8.30 pagi, Hidayuki."
"Baiklah, terima kasih banyak-banyak Cikgu Narumi," balasku bersahaja.
"Selamat malam, Hida," ucap Ohno sambil diiringi sekuntum senyuman.
"Selamat malam untuk kamu juga, Ohno, Cikgu Narumi.Jumpa esok!"Kereta yang berwarna keperakan milik guru kelasku itu berlalu pergi sebaik sahaja pengawal rumahku menutup pintu pagar.Betapa letihnya aku apabila kurenung rumah banglo yang bercahayakan lampu nion itu.
"Ah, biar sajalah," keluhku sambil melangkah masuk ke pintu utama rumah.Memandangkan ibu dan bapaku kini berada di luar negeri, dan kakakku pula menuntut di Akademi Arisu, Tokyo, terpaksalah aku menguruskan rumah ni sendirian.Walaupun Mak Cik Chitose, adik kepada ibuku, selalu datang ke sini untuk membantu aku, tapi dia datang hanya pada waktu pagi hujung minggu sahaja.
KRUUKK...perutku berkeroncong.
"Laparnya aku!" teriakku lantas mengambil secawan mi segera sebagai alas perut sebelum masuk tidur.Malam itu, aku tidur tanpa menukar pakaian akibat keletihan.
Keesokan harinya, aku bangun dalam keadaan yang samar-samar.Cahaya waktu pagi menusuk mataku yang buram.Dalam keadaan yang terhuyung-hayang aku bergerak menuju ke kamar mandi.
Seperti biasa, Mak Cik Chitose datang menjenguk keadaanku setiap hari Sabtu dan Ahad.Pagi itu, dia datang sambil membawa buah tangan yang berupa pancake dengan sirap blueberry dan roti Ja-Pan 21 untukku.
"Selamat pagi, Hida! Mak Cik ada membawa yakitate kegemaran kamu.Cepatlah bersiap.Mak Cik akan sediakan sarapan untuk kamu, okey?" Mak Cik Chitose memberitahuku sebaik sahaja kami tiba di pintu dapur.
"Baiklah, mak cik.Saya pergi bersiap dahulu.Rotinya nampak sungguh lazat!" Aku rasa teruja.Biasanya aku hanya akan dapat menikmati hidangan kegemaranku itu setiap kali Mak Cik Chitose ke sini.Lagipun, hanya Mak Cik Chitose seorang sahaja yang tahu lokasi kedai roti tersebut.

[Sepuluh minit kemudian...]

"Hida, sarapan dah siap!Turunlah cepat!" laung Mak Cik Chitose kepadaku.Dalam keadaan yang kelam kabut, aku melompat turun dari tangga berpilin rumahku.
"Ya, Mak Cik Chi.Saya dah turun dah ni!" laungku dari tingkat atas.Sebaik sahaja aku melabuhkan punggungku di kerusi meja makan, tiba-tiba loceng rumah berbunyi.
KRINGG..!
"Selamat pagi, Cik Motosuwa Hidayuki ada tak?" soal tetamu tersebut.
"Alamak! Cikgu Narumi dah sampai!" Mak Cik Chitose bergegas ke pintu utama.
"Ah, Cikgu Narumi!Selamat pagi, silakan masuk," pelawa Mak Cik Chitose."Hida sedang bersarapan di ruang makan sekarang."Kulihat Cikgu Narumi dan Mak Cik di muka pintu.
"Selamat pagi, cikgu.Maafkan saya, saya tak menyangka cikgu akan datang seawal ini," sapaku dengan nada yang mencurigakan.
"Selamat pagi, Hida.Jangan risau, saya yang datang lebih awal.Tengok, sekarang baru pukul 7.30," balas Cikgu Narumi.
"Oh ya, betul juga kata cikgu!" jawabku sambil terketawa kecil. \"Cikgu Naru, jemputlah makan bersama."
"Terima kasih, Hida.Bagaimana keadaan kamu sekarang?Masih lagi kurang sihat?" tanya Cikgu Narumi.Dapat kulihat, daripada sinar matanya jelas dia masih bimbang akan kejadian yang menimpaku semalam.Ia jelas terungkap dari raut wajahnya walaupun Cikgu Narumi menyembunyikannya melalui senyumannya.
"Saya baik-baik saja,"jawabku bersahaja."Cikgu tak perlu risau, saya dah sihat sekarang.Mungkin semalam saya terlalu emosional dengan apa yang terjadi."Fikiranku kembali memikirkan tentang Hakkai.Aku rasa tak sabar untuk berjumpa dengannya di hospital kelak.
"Baguslah kalau begitu, saya risau keadaan kamu semalam akan berterusan hingga hari ini,"balas Cikgu Narumi sambil meneguk secawan kopi.
Tidak lama selepas itu, Mak Cik Chitose sertai kami bersama-sama menjamu selera.Walaupun Cikgu Narumi jarang-jarang datang dan bersarapan di sini, dia nampaknya sangat mesra berbual dengan Mak Cik Chitose.
"Kenapa kamu tiba-tiba senyap aje ni?Dari tadi kamu langsung tak bercakap.Kamu kurang sihat lagi ke?" tanya Cikgu Narumi.Mak Cik Chitose memandangku dengan pandangan yang penuh kesangsian.
"Ataupun kamu J.E.A.L.O.U.S sebab mak cik agak mesra berbual dengan Cikgu kamu ni?" ejek Mak Cik Chitose apabila dia sedar yang aku memerhatikan gelagat mereka berdua sejak tadi."Tak adalah, Mak Cik gurau saja.Jangan marah, eh?"
"Ish, buat apa la saya nak jealous.Lagipun, Cikgu Narumi tu guru kelas saya.Takkanlah saya nak bermain cinta dengan dia walaupun saya mahukannya." Sebenarnya hatiku telahpun dicuri oleh seseorang.Dan aku tahu dia sekarang sedang menungguku di hospital.
"Baiklah, saya rasa elok kita bertolak sekarang,Hida.Saya perlu mengambil Ohno di rumahnya lagi,"Cikgu Narumi memulakan percakapan setelah selesai bersarapan.
"Kami pergi dahulu, Mak Cik Chitose," ucapku sebelum pergi.
"Jaga diri baik-baik,Hida.Narumi, tolong tengok-tengokkan anak saudaraku ni," pesan Mak Cik Chitose kepada aku dan Cikgu Narumi.
"Oh, sudah tentu.Akan kujaga anak gadis kesayangan keluarga Motosuwa ini,\" balas Cikgu Narumi sambil tertawa kecil.Aku terus berlalu ke halaman rumah tempat Cikgu Narumi meletakkan keretanya.
"Oh ya, cikgu.Boleh tak kita singgah sekejap di Bandar Sentral Kanagawa?Saya nak beli sedikit buah tangan untuk Cho," pesanku sebaik sahaja kami keluar dari perkarangan rumah.
"Boleh, sayang.Kita pergi sebelum pergi ke rumah Ohno, okey?" balas Cikgu Narumi sambil tersenyum manja.Selepas membeli sedikit buah tangan buat Hakkai, kami berlalu terus ke rumah Ohno.
Perjalanan kami menuju ke rumah Ohno mengambil masa kira-kira 15 minit memandangkan dia tinggal agak jauh dari kawasan bandar kami.Tetapi yang mengejutkanku, ia terletak berhampiran dengan hospital.Beberapa minit kemudian, kami tiba di perkarangan Hospital Besar daerah Kanagawa.
Apabila kami sampai di kaunter pertanyaan hospital itu, kami dimaklumkan bahawa pesakit yang bernama Cho Hakkai ditempatkan di wad 514 tingkat tiga.Tanpa melengahkan masa, kami terus menaiki lif ke tingkat tiga.
Sesampainya kami di wad 514 dengan pintu yang terbuka, kulihat Pak Cik Ryuki dan Mak Cik Shoko, ibu bapa Hakkai ada di dalam bilik itu bersama dengannya.Aku menghulurkan buah tangan yang kubawa kepada Mak Cik Shoko.Hakkai tersenyum sayu menerima kedatanganku.
"Yo! Selamat pagi, Hakkai.Apa khabar?" sapa Ohno.
"Selamat pagi, Ohno.Sekarang keadaanku semakin beransur pulih walaupun agak lambat sedikit daripada biasa.Jadi, ada apa-apa yang terjadi kepada Hida selepas saya dikejarkan ke hospital, cikgu?" Hakkai bertanya pada Cikgu Narumi.Cikgu Narumi hanya tersenyum mendengar pertanyaan Hakkai.
"Kamu tahu tak Hakkai, dia pengsan selepas ambulans bertolak pergi.Timing yang sempurna, kan?" ejek Ohno.Aku agak tersinggung dengan apa yang Ohno katakan.Tetapi semuanya benar belaka, jadi aku tak dapat nak sangkal dia.
"Hakkai, mengapalah kamu tak dengar kata-kataku semalam?Kalau kamu ikut dengan aku semalam taklah kamu terlentang di hospital ni," aku berleter pada Hakkai walaupun Ohno mengisyaratkan aku supaya tidak mengutarakan perihal kejadian semalam.
Tiba-tiba, seorang doktor memanggil semua pelawat yang berada di wad.Semua orang kecuali aku, keluar.Pak Cik Ryuki minta aku agar menemani Hakkai.Yes! Inilah peluangku untuk meluahkan perasaan sebenarku kepada Hakkai.
"Hakkai, aku ada perkara penting yang aku ingin katakan kepadamu.Aku...," lidahku tersekat.Aku perasan yang Hakkai cuba untuk duduk.
"Hida, aku tahu semua ini mungkin memeranjatkan.Tetapi sewaktu aku berjalan keluar pagar sebelum kejadian tu, aku sedar yang perasaanku terhadap kau bukan sekadar seorang sahabat baik.Aku sedar yang aku jatuh hati dengan kau, Hida! Aishiteru.." Hakkai menggenggam tanganku seerat yang boleh.
"Jadi, aku rasa bukan aku sahaja yang berperasaan sedemikian, hmm?" balasku dengan diringi senyuman dan perasaan yang paling membahagiakan aku.
"Ya, aku rasa begitulah," jawab Hakkai.Dia langsung memelukku dengan penuh rasa kegembiraan.Badannya terasa hangat.Hangat sehingga membuatkan aku lemah.Kuharap saat ini akan berterusan buat seketika.Akan tetapi, selepas itu Hakkai rebah di bahuku secara tiba-tiba.Kulihat mukanya memucat.Darah mengalir keluar dari mulutnya.
"DOKTOR! DOKTOR!" laungku sekuat yang boleh.Semua mereka yang berada di luar wad meluru masuk setelah mendengar jeritanku tadi.Hakkai terkapar-kapar, aku berasa sungguh cemas dan takut.
"Ke tepi! Nurse, sediakan satu suntikan pelali!" doktor mengarahkan seorang jururawat di situ.Hakkai diberi bantuan pernafasan dan suntikan pelali.
"Apa yang berlaku?" tanya Cikgu Narumi diikuti pandangan cemas dari Mak Cik Shoko, Pak Cik Ryuki, Ohno dan Cikgu Narumi sendiri.
"Saya pun tak tahu.Kami cuma berbual-bual and then...selepas tu...dia terus jatuh pengsan," jawabku tak keruan.Yang kuingat, selepas itu, hanya tinggal bunyi mesin pengesan nadi yang tidak berdengup lagi.
Seluruh bilik wad itu senyap.Seketika, barulah Mak Cik Shoko mengeluarkan airmata.Aku kaku melihat apa yang berlaku.Semuanya sungguh cepat.Aku tertanya-tanya, adakah ianya benar-benar berlaku?
Kurenung gerak geri jururawat yang menutup seluruh badan Hakkai dengan selimut.Ia benar-benar berlaku.Kini, pandanganku dikaburi airmata.Semakin lama makin menggelap.Oh, jangan! Aku masih mahu menatap wajahnya buat kali terakhir.Aku tahu jikalau aku pengsan selepas ini, apabila aku sedar nanti Hakkai tiada lagi di sisiku untuk bersama denganku.

*****

"Hidayuki Motosuwa... Hidayuki Motosuwa... Hidayuki sayang..! Kamu ni, sampai sekarang ni pun kamu masih lagi lemah semangat.Kamu kena jaga diri kamu baik-baik.Aku takkan dapat menjaga kamu selamanya.Lebih-lebih lagi sekarang ni." Apa yang dia bebelkan tu?
Hakkai? Oh, aku bermimpi rupanya tadi! Tapi, mengapa pula Hakkai naik radang dengan aku ni?Apakah salahku sehinggakan dileter sebegini?Aku terus bangun dan duduk di sisi Hakkai.
"Sayangku Hakkai, tak bolehkah kamu beri aku masa untuk bernafas.Setiap kali aku berjumpa dengan kamu ni mesti dimulakan dengan leteran si Putera," balasku menggeram.
"Hida, kejadian tadi bukan sekadar mimpi.Ia adalah kenyataan yang aku cuba elakkan dari kamu.Sekarang ni, aku hanya ingin memberitahu sesuatu kepada kamu," air muka Hakkai berubah menjadi serius.
"Apa dia?" dapat kulihat Hakkai seperti mahu menangis.
"Aku mahu kamu menjadi lebih tabah dari sebelum ini.Jadi, oleh kerana aku tidak akan dapat membantu kamu tatkala kamu memerlukan teman, aku akan berikan kuasa pemulihanku kepada kamu," Hakkai menunjukkan sesuatu bebola kuning yang berkilauan sambil berkata, "kuasa ini tidak terbatas.Seberapa banyak tenaga pun yang kamu gunakan, ia takkan habis.Melainkan kamu penat atau kekurangan tenaga, barulah ia tidak berfungsi dengan baik."

Bebola kuning itu terapung-apung.Kemudian Hakkai berkata lagi, "Bagaimanapun, Hida, sebagai pengganti, benda ni mungkin akan mengambil sesuatu dari kamu," jelas Hakkai yang ingin memberikan kuasanya kepadaku.

"Sesuatu dariku? Contohnya?" aku kurang faham dengan penyataannya itu.Hakkai terus memelukku sambil berkata, "Semasa aku menerima benda ni dari guru seni bela diriku, Tuan Sami Genjyo Sanzo, aku mengalami kecacatan mata.Mataku menjadi rabun tanpa sebab."
Oh ya, aku masih ingat.Hakkai pernah pergi mengembara untuk mencari jati dirinya yang sebenar.Di situlah dia bertemu dengan Gojyo, Goku dan juga Sami Sanzo.Mereka mengembara selama dua tahun.Pengembaraan itulah yang mengubah Hakkai.

"Oleh itu," katanya seketika setelah melepaskan aku dari pelukannya, "kamu mungkin akan mengalami kecacatan yang pernah kualami dulu."Kurenung mata Hakkai yang kini bergelinang air mata.

"Jadi, sekarang aku akan masukkan kuasa ini ke badan kamu, Hidayukiku.Kamu akan tidur selepas ini untuk membenarkan tubuh kamu menerima kuasa ini, dan apabila kamu sedar nanti, aku hanya tinggal kenangan dalam hidupmu." Hakkai mengambil bebola itu kembali.Rasanya, semua itu memang rancangan takdir.

"Tapi, adakah kamu akan terus bersama dengan aku selepas ini, Hakkai?" aku berharap kami akan dapat terus bersama, semasa masih berada dalam dunia mimpi ini.

"Kamu tahu itu adalah di luar keupayaanku, Hida.Aku gembira dapat bertemu dan menjadi sahabatmu.Aku gembira dapat mengenali kamu."Hakkai kini tersenyum sayu walaupun air matanya jatuh berderaian.

"Sekarang..."Katanya lantas menarik tanganku, "sudah masanya kamu kembali ke sana," Hakkai mengucup dahiku.

"Hakkai..." belum sempat aku menyuarakan kata-kata terakhirku untuknya, dia terus memasukkan kuasa pemulihannya ke dalam badanku.Aku terpaku seketika dan selepas itu hanya tinggal kegelapan sahaja dalam pandanganku.

*****

"Hidayu! Hidayu! Sayang, baguslah kamu dah sedarkan diri!" satu suara yang samar-samar mulai kudengari.Siapakah empunya suara itu?Suara itu lembut dan beralun.Apabila kubuka mataku...
Mama?Apa mama buat di sini?Daddy dan Kakak Ayumi pun ada juga?Kenapa kamu semua ada di sini?Dan Hakkai?Dia berada di mana?Aku ingin berbicara.Namun, suaraku tiada lagi kedengaran.Adakah ini bermakna aku sudah menjadi bisu?

Mama meratap diriku yang kini sudah tidak mampu untuk berkata-kata lagi.Andai kudapat menjelaskan kepada mama, daddy dan Kak Ayu, aku ingin sampaikan kepada kamu semua bahawa suaraku telah kujadikan bayaran hadiah daripada Hakkai lima minit sebelum perpisahan kami dalam mimpiku tadi.

 
You can follow any responses to this entry through the Contac Us. You can leave a response.