Cerpen : Diari Hati

"Anak kamu tu bila nak berlaki? Kamu tak takut ke dia jadi anak dara tua?" Suara Mak Nah dapat ku dengar dari bilikku. Rumah kampung yang dibina daripada kayu pasti membolehkan suara menembusi dinding rumah ini.
"Entahlah, Kak Nah. Saya pun dah tak tahu macam mana nak nasihatkan si Sarah tu. Bila saya tanya bab kahwin je, pandai dia mengelak," keluh mak. Aku mendiamkan diri. Sengaja hendak mendengar perbualan mereka.
"Kalau susah-susah sangat biar akak je yang carikan. Kamu setuju?" tanya Mak Nah.
Aku tidak dengar mak menjawab. Tak lama kemudian barulah dia bersuara. "Tak payah lah, kak. Tak ada maunya si Sarah tu. Dia tu sibuk dengan kerja. Kejap ke sana, kejap ke sini."
"Kerja tu tak ke mana. Kalau perempuan tetap perempuan. Belajar tinggi-tinggi, kerja bagus-bagus pun, balik rumah tetap ke dapur. Kan ke bagus kalau dia kahwin," Mak Nah sudah mula membebel. Alahai, ini yang rimas kalau sesekali balik kampung! Bukannya orang nak faham. Aku sekarang ni tengah usaha supaya dapat serap jadi pekerja tetap. Kalau dah kahwin, kurang komitmen kat kerja, macam mana?

Tapi itulah. Aku kesian juga kat mak. Terpaksa dengar cakap orang. Bukan aku tak tahu, ramai yang dok mengata cakap aku buat kerja tak senonoh kat bandar tu. Dah dapat apa yang aku nak tu yang tak nak kahwin. Hai, mulut orang! Kalau mulut tempayan, aku dah tutup dah. Letak batu kat atas jangan sampai terbuka sekalipun ditiup angin!

"Biarlah dia Kak Nah, sampai jodoh nanti, berlaki jugak dia tu," suara mak menyebelahiku. Terima kasih, mak!
"Takkan lah sampai ke tua nak tunggu jodoh datang Yah, oi! Kita kena usaha juga cari! Ni ha, anak Abang Mail kat hujung kampung tu tua 2 tahun dengan anak kamu. Kira sesuai lah tu. Kerja bagus. Kamu tak nak ke?" Mak Nah cuba memprovok mak.
"Bukan Yah yang nak kahwin, kak. Si Sarah tu. Buatnya dia tak setuju? Kalau saya, saya setuju aje. Nak kahwin sekarang pun boleh. Lagipun saya dah lama menjanda," mak ketawa. Aku tergelak dalam hati. Tak dapat bayangkan muka Mak Nah bila mak cakap macam tu.
"Isk kamu ni. Kak Nah cakap betul-betul kamu buat main pulak!" marah Mak Nah.

Aku berbaring di atas katil. Menghilangkan penat memandu hampir 5 jam. Baru je balik dah dengar orang bising pasal kahwin. Yang Mak Nah tiba-tiba ada kat rumah aku ni pun nak buat apa? Hrm... Biarlah dia. Tanpa sedar aku terlena.

***

"Sarah? Kau nak join tak trip ke Langkawi tu?" soal Wani yang duduk di hadapan ku. Aku mengangkat muka dari kertas kerja.
"Bila ek? Aku lupa lah," tanyaku kembali. Wani hanya mnggeleng-gelengkan kepala.
"Kau ni Sarah. Kerja, kerja juga. Hal dunia cubalah ambil tahu sikit. Trip tu 2 minggu lagi. Company kita cawangan Johor pun join jugak," ujar Wani. Kemudian di berjalan menuju ke mejaku dengan sehelai kertas."Join lah. Boleh pergi dengan aku. Kita duduk sebilik. Borang ni kau isi." Kertas itu diletakkan di atas mejaku.
Nak ke tak nak? Aku menimbang-nimbang di dalam kepala. "Jomlah!" gesa Wani.
"Ok," aku memberikan keputusan. Wani tersenyum senang.
"Isi. Bagi aku nanti." Wani berlalu ke mejanya. Kertas di atas meja ku capai lalu ku isi.

Tak apalah mak Sarah tak balik bulan ni. Dah lama tak bercuti. Balik kampung pun dengar orang bercakap. Walhal aku baru je 27 tahun. Dah orang sibuk-sibuk aku tak kahwin lagi. Kalau 37 satu hal lah jugak!

Dua minggu telah berlalu. Hari yang aku tunggu-tunggu akhirnya tiba juga! Kami menaiki feri di jeti Kuala Perlis. Ramai juga yang ikut trip ni. Campur dengan company dari Johor, dekat 100 orang jugak. Company awal-awal dah booked hotel kat area Pantai Chenang. Aku duduk sebilik dengan Wani, Ina dan Yana.

Hari pertama di Langkawi, kami di bawa ke pekan Kuah. Sempat juga aku membeli pinggan mangkuk untuk mak. Tapi tak banyak. Kalau banyak leceh nak bawak balik! Waktu aku tengah membelek-belek mana yang aku berkenan, bahuku di langgar oleh seorang lelaki. Nasib baik tak jatuh pinggan kaca yang aku pegang ni.
"Ouch, Sakitlah!" marahku. Bahu yang terasa pedih kuusap.
"Sorrylah! Bukannya sengaja! Tak ada maknanya saya nak langgar awak!" melengking suara lelaki itu.
Aku memandang wajah lelaki itu. Aik, dah langgar aku nak tengking-tengking aku pulak. Dah la depan public. Beberapa pasang mata memandang ke arah kami. Malu sungguh!
"Tak beradab betul. Dah langgar nak tengking kita balik. Bajet bagus sangatlah!" rungutku perlahan. Tak mahu dia dengar.
"Memang bagus pun!" tiba-tiba lelaki itu bersuara. Aku terkejut. Malas mahu memanjangkan cerita, aku melangkah ke rak lain. Gila punya orang!

Sebaik sahaja kami pulang ke bilik, aku menceritakan semuanya kat Wani. Dia hanya ketawa dan menyuruhku bersabar. Katanya, ‘mamat tu baru lepas putus cinta kot.’ Aku tergelak. Putus cinta sampai nak marah aku pulak! Bukan aku ni awek dia.

***

Keesokannya, kami bersarapan di hotel sebelum bergerak ke destinasi seterusnya. Makanan di sediakan ala buffer. Aku mencedok sesenduk nasi goreng dan mengambil secawan kopi. Sewaktu sedang makan, mataku terlepas pandang ke arah lelaki yang melanggarku semalam. Dia sedang memandangku. Aku tidak memberikan apa-apa reaksi dan meneruskan kunyahanku. Apabila dia memandang ke arah lain, aku mencuit siku Wani.
"Mamat yang putus cinta semalam," bisikku perlahan. Wani mengangkat kening bertanya.
"Yang pakai t-shirt dark blue tu. Duduk betul-betul bertentangan dengan aku," terangku.
"Oh, ok! Dah nampak." Dan kami meneruskan kunyahan.

Aktiviti pagi itu adalah menaiki cabel car. Aku sudah mula cuak melihatkan ketinggian yang bakal dilalui. Wani sudah menarik tanganku. Mengajakku sama-sama beratur untuk naik.
"Aku tak nak. Gayat!" kataku. Peluh sejuk dak mula keluar. Itu belum naik lagi!
"Jomlah. Rugi tau tak naik!" ajaknya.
Akhirnya aku setuju. "Aku nak ke toilet dulu." Wani hanya tersenyum. "Cepat sikit!"

Akhirnya, tiba giliran kami untuk memasuki cabel car. Ina dan Yana dah selamat kat atas agaknya. Tinggallah aku dan Wani. Disebabkan ramai, pihak pengurusan meminta kami naik berenam. Kemudian, aku dan Wani terpaksa naik dengan 4 orang lelaki yang turut beratur di belakang kami tadi.

Setelah empat orang lelaki itu masuk, giliran kami berdua pula yang masuk. Wani mendahuluiku dan duduk di sebelah pintu. Mahu tak mahu terpaksalah aku duduk di antara Wani dan salah seorang lelaki tadi.

Pada awal perjalanan, aku tidak merasa apa-apa. Apabila kereta itu sudah mula menaiki gunung, barulah aku terasa gayatnya. Peluh sejuk sudah keluar. Aku terasa ingin patah balik sekarang juga. Dek kerana takut yang amat, aku memejamkan mata. Tanganku mencapai tangan Wani di sebelahku. Terasa tangan Wani erat memegang tanganku. Mengurangkan rasa takutku.

Sampai di stesen pertama, pintu kereta ini terbuka sendiri. Tiada seorang pun yang keluar. Tanganku masih selamat di dalam tangan Wani. Aku masih tidak membuka mata dan hanya menunduk ke bawah.

Tiba di stesen kedua, pintu sekali lagi terbuka. Waktu itu barulah kami berenam keluar. Aku membuka mata dan nampak 3 orang lelaki di hadapanku tersenyum-senyum melihatku. Aku menarik tanganku. Peliknya Wani tak melepaskannya. Aku menoleh. Lah! Aku salah orang! Mati-mati aku ingat yang aku pegang itu tangan Wani. Rasa malu mula menerjah. Cepat-cepat aku menarik tanganku dan keluar dari kereta itu.

"Sampai hati kau," kataku kepada Wani. Wani tersenyum-senyum melihatku.
"Dah kau yang pegang. Aku nak cakap apa," balasnya.
"Patutlah yang lain senyum-senyum tengok aku. Rupa-rupanya aku pegang anak teruna orang." Dan malangnya oarang itu adalah lelaki putus cinta malam tadi
"Dia tu sebenarnya kerja kat company sama dengan kita. Tapi cawangan Johor," cerita Wani.
"Mana kau tahu?" soalku pelik.
"Adalah. Eh, aku nak pergi kat jambatan tu. Kau nak ikut?" Wani menunjukkan arah yang ingin dituju.
"Tak nak! Gayat!" balasku. Wani tersengih.
"Kalau macam tu, kita jumpa kat sini nanti kalau dah nak turun. Kau tunggu eh," kata Wani sebelum dia mengorak langkah.

Aku melemparkan pandangan ke arah laut yang terbentang. Subhanallah. Lawa sungguh. Tanpa aku sedar, ada seseorang di sebelahku.
"Hai," tegur si dia. Aku menoleh. Ek?
"Err, hai," balasku. Mukaku dah terasa panas. Malu! "Sorry tadi. I ingat tangan kawan I. Gayat sangat sampai tak perasan."
Lelaki itu tersenyum. "Tak apa," katanya pendek.
Huh, memanglah tak apa! Sebab perempuan yang pegang tangan kau. Bukannya nyah!
"Sebenarnya dari semalam saya cari awak." Tiba-tiba dia bersuara. Aku mengangkat kening. Cari aku?
"Saya nak minta maaf sebab marah awak malam tadi. Saya tengah tension. My girl mintak putus. Dah 5 tahun kitorang couple, tiba-tiba dia ada yang lain. Tu yang saya marah sangat tu." Panjang dia menceritakan kisah dia dan aweknya. Aku tersengih. Tak sangka betul cakap Wani. Lelaki putus cinta!
"Kenapa awak senyum?" tegurnya. Aku tersentak. Erk, hehe...
"Sorry. Tak apalah. Mungkin ada yang lebih baik," kataku. Mataku lekat melihat pemandangan yang indah tadi.
"I’m Akmal by the way," katanya. Tangan dihulurkan tanda persahabatan.
Aku menyambut hulurannya. "Sarah. Maisarah, but you can call me Sarah."
"How about Mai? Sound cute. I like it," katanya. Terjalin sudah sebuah persahabatan.
Mai? Itu untuk suami aku je. Haha... "It’s up to you," kataku. Lain di mulut, lain di hati!

***

Semenjak trip ke Langkawi berapa bulan sudah, aku semakin rapat dengan Akmal. Apa yang aku dapat simpulkan dari sikapnya, Akmal seorang yang sangat bertimbang rasa, penyabar, protektif dan romantik. Ahah, suka yang terakhir tu.

Kerjaku berjalan seperti biasa. Sebagai assistant engineer, aku lebih banyak bekerja di site. Tapi rezeki untuk diserapkan sebagai pekerja tetap masih belum ada. Terpaksalah aku berkerja keras sedikit.

Suatu malam tu, Akmal menelefonku. Menyatakan hasrat hatinya. Katanya tak nak berkawan lama sangat nanti melepas. Katanya lagi, dia mahu kami bercinta selepas berkahwin. Percintaan yang memang dah lama aku bayangkan.

Mak gembira betul bila aku beritahu keluarga Akmal hendak datang hujung bulan ni. Tersenyum meleret dia. Mak kata, tak payah nak lama-lama. Terima, bertunang terus. Alahai, mak! Seronok betul dia. Kena pula aku ni anak tunggal. Macam bakal meriah je kalau walimah nanti.

***

Cukup tempoh 3 bulan bertunang, akhirnya aku dan Akmal disatukan. Mak tersenyum je sepanjang majlis walaupun aku tahu dia penat. Mak Nah pun senyum je melihat aku dengan Akmal bersanding. Tak ada lagi mulut mereka yang sering mengutukku. Biarlah mereka.

Setelah 5 bulan kami hidup bersama, Akmal masih lagi bekerja di Johor. Hanya di hujung minggu kami akan bertemu. Hari Jumaat itu Akmal memberitahuku yang dia akan pulang malam itu. Terpaksalah aku pulang awal sedikit daripada hari-hari yang biasa.
"Assalamualaikum," suara Akmal memberi salam. Aku bangkit dari kerusi dan membuka selak di pintu. Briefcase Akmal ku ambil dan tangannya ku salam. Seperti biasa, dia akan mencium dahiku setiap kali kami berpisah atau bertemu.
"Dah sampai Akmal, Sarah?" soal mak dari dapur.
"Dah mak," jawabku. Wajah Akmal nampak letih dan pucat. Aku meraba dahinya.
"Abang tak sihat, ya? Eh, abang demam ni," kataku sebaik sahaja dapat merasakan dahinya panas.
Akmal terus baring di atas sofa di ruang tamu. "Abang dah 3 hari demam," jelasnya.
"Ya Allah, dah tahu tak sihat kenapa balik juga? Nasib baik tak apa-apa."
"Abang rindu," katanya pendek. Aku menarik tangan Akmal. Menyuruhnya bangun.
"Jom masuk bilik. Salin baju. Nanti Mai ambil kain lembab. Letak kat dahi abang. Ok?" aku memapah Akmal ke bilik.

Selepas membaringkan Akmal, aku bangkit untuk keluar. Akmal menarik tanganku. Aku menoleh.
"Kenapa?" soalku pelik.
"Bila agaknya abang dapat jadi papa, sayang?" soalnya tiba-tiba. Aku menelan air liur. Tak pernah-pernah kami bincang pasal anak. Bukannya dia tak tahu yang aku sangat mementingkan kerjayaku.
"Ada rezeki, adalah," kataku lalu berjalan keluar bilik. Harap rezeki itu masih belum ada! Amin. Sekurang-kurangnya biarlah aku dapat jadi pekerja tetap dahulu. Pekerja kontrak bila-bila masa saja akan diberhentikan.

Esoknya, demam Akmal mula kebah. Aku pula yang berjangkit daripadanya. Badanku seram sejuk. Dengan tekak rasa mual. Perut menolak apa sahaja yang aku makan. Akmal menyarankan aku ke klinik, tetapi aku enggan.
"Jangan degil! Karang kalau makin teruk siapa yang susah?" marahnya. Mahu tak mahu aku terpaksa juga menurut kehendaknya.

"Tahniah, puan mengandung." Kata-kata yang keluar dari mulut doktor benar-benar mengejutkanku. Perkara yang paling aku tak mahu akhirnya berlaku. Akmal tersenyum sahaja mendengarkan berita itu.
"Dah berapa bulan doktor?" soal Akmal. Tanganku diusap-usap.
"2 bulan. Nanti saya akan bekalkan puan vitamin. Puan boleh tunggu diluar," kata doktor perempuan itu sambil tersenyum manis.
Kami duduk di sofa yang disediakan sementara menunggu namaku dipanggil. Aku menanti dalam resah. Terbayang-bayang kerjaya aku bakal musnah disebabkan anak ini. Ah, aku sangat-sangat tidak mahukannya!

Aku hanya mendiamkan diri sehingga kami sampai di rumah. Aku hanya duduk di bilik dan tidak keluar-keluar sehingga mak menjadi pelik dengan tingkahku.
"Sayang, kenapa ni?" lembut Akmal menyoalku.
Aku menangis. Akmal benar-benar inginkan anak ini sedangkan aku ingin membuangnya. "Abang, Mai tak sedia lagi nak anak."
Akmal terkejut melihatkan tangisanku. Tangannya mengusap-usap bahuku. "Kenapa ni? Sayang nak honeymoon lagi ke?" Akmal sengih mengusik.
Aku menggeleng-gelengkan kepala. "Mai sayangkan kerja Mai. Kalau Mai pregnant, susah. Mai nak tumpukan dulu pada kerja sampai Mai dapat jadi pekerja tetap. Kontrak ni bang, bila-bila masa boleh berhenti," aku melahirkan kebimbanganku.
"Syyy... Jangan fikir yang bukan-bukan. Mana tahu anak ni menambahkan rezeki. Tak apa. Sekalipun sayang berhenti, gaji abang cukup nak sara hidup kita sekeluarga, insya Allah," pujuknya.

***

Sudah 9 bulan aku membawa kandunganku. Kerjaya aku berjalan seperti biasa. Masih tiada tanda-tanda akan diserapkan sebagai pekerja tetap. Aku menjadi semakin perlahan membuat kerja memandangkan kandungan ku membataskan pergerakanku. Ah, kalau dari awal aku gugurkan kandungan ini mesti hidup aku tak serumit ni!

Pada satu malam perutku mula terasa sakit. Akmal yang kebetulan berada di rumah membawaku ke hospital. Rasa sakit yang datang sekejap-sekejap itu merimaskanku. Akhirnya subuh itu aku melahirkan seorang bayi lelaki. Haikal.

Melihatkan wajahnya yang putih bersih, aku terus jatuh sayang kepadanya. Jika sebelum ini aku tidak dapat menerima kehadirannya, aku sudah mula menyayanginya. Janjiku, aku akan menjaga Haikal dengan penuh kasih sayang dan akan menggadaikan nyawa untuknya.Akmal senang sekali melihat perubahanku. Sebelum ini, dia terpaksa mendengarkan rungutanku dan terpaksa memujukku supaya aku bersabar.

"Sayang, baby nangis. Nak susu agaknya." Akmal membawa Haikal yang sedang menangis dekat denganku. Aku mengambil Haikal daripada pegangan Akmal. Kucuba menyusukannya. Tetapi Haikal menolak. Aku menjadi pelik.
"Dia tak mahulah, abang. Cuba abang tengok pampers dia?" soalku. Haikal kuberikan kepada Akmal yang berdiri di tepi katil.
"Tadi baru tukar pampers baru. Takkan lah kejap sangat dah nak tukar balik?" Akmal mengusap-usap kepala Akmal.
"Sayang, kepala Haikal benjol sedikit. Ada terhantuk kat mana-mana ke?" soalnya pelik.
Aku terkejut. "Tak adalah. Mai tak perasan pula kepala Haikal benjol. Besar ke, bang?"
"Tak sangat. Eh, Haikal ni pun tak berhenti menangis. Anak papa kenapa sayang?" Akmal cuba memujuk Haikal.

Akhirnya, Haikal kembali senyap selepas lama menangis. Bila dia tersedar sahaja daripada tidur Haikal kembali menangis. Aku menjadi risau dengan keadaannya. Seharian Haikal menangis akhirnya kami mengambil keputusan untuk membawanya ke hospital.

Tiba di hospital, Haikal di masukkan ke wad kecemasan. Dengan keadaan yang masih belum pulih sepenuhnya, aku menguatkan diri untuk terus tunggu. Akhirnya setelah puas menunggu, seorang doktor keluar dari wad kecemasan. Akmal terus mendapatkan doktor tersebut. Aku mengikut dari belakang.
"Macam mana anak saya doktor?"
"Awak ayah dia ke?" soal doktor itu. Menginginkan kepastian.
"Ya."
"Ada ketunbuhan di kepala anak encik. Saya terpaksa meminta tanda tangan encik untuk membenarkan kami mengeluarkan ketunbuhan di kepala anak encik." Doktor muda itu menyuakan sehelai kertas dan pen. Aku sudah mampu menahan air mata.

Sebaik sahaja Akmal menanda tangani borang kebenaran itu, doktor itu kembali masuk ke wad. Aku dan Akmal menunggu penuh cemas di luar wad. Ya Allah, selamatkanlah anakku. Sesunggunya baru sekejap aku bermain dengannya, ya Allah.

Dua jam kemudian, pintu wad kecemasan dibuka. Doktor yang sama keluar dari wad dan berjalan menuju ke arah kami. Kami bingkas bangkit daripada duduk.
"Macam mana doktor?" soal Akmal. Wajahnya penuh mengharap dapat mendengar berita yang baik.
Doktor muda itu menggeleng-geleng. Aku memegang erat tangan Akmal. "Saya minta maaf. Kami dah cuba yang terbaik. Allah lebih sayangkannya. Bersabarlah."
Aku terasa badanku ringan sebaik sahaja doktor itu berkata-kata. Kakiku sudah tidak mampu untuk menanggung badanku. Aku terjelepok jatuh.

Pagi Jumaat itu aku dan Akmal sama-sama menziarahi pusara Haikal. Tanahnya masih merah. Aku mengusap-usap batu nisan yang tegak berdiri. Air mataku tumpah lagi. Aku telah kehilangan anakku. Anak yang aku tak mahukan kehadirannya. Dan kini dia telah meninggalkanku buat selama-lamanya. Kerjaya yang aku kejar dahulu masih lagi begitu. Dan mungkin akan kekal begitu.

 
You can follow any responses to this entry through the Contac Us. You can leave a response.