Cerpen : Suka Duka Kita

Kuat cemburu
Pemarah
Penipu
Mengada-ngada
Kuat menangis
You are liar!!!!!
I hate you!!!!!
Masih terngiang-ngiang setiap patah yang pernah dilemparkan padanya suatu ketika dulu. Peristiwa itu akan tetap kekal malah terkesan di hati insan yang pernah menghadapi situasi itu.
Dia menangis lagi malam itu…Dia jadi rendah diri. Masih adakah lelaki yang akan menyayangi dan mengasihinya kelak? Dia jadi prejudis terhadap lelaki. Baginya semuanya sama. Hipokrit!!!

Tahun ini, genap 6 tahun kami meninggalkan zaman persekolahan. Dua tahun sekali, kami akan mengadakan majlis reunion untuk mengumpul kembali teman-teman lama. Aku yang pada mulanya bersikap acuh tak acuh akhirnya bersetuju untuk pergi ke majlis itu.
Kelihatan beberapa teman lamaku membawa pasangan masing-masing bersama. Aku datang bersendirian. Aku hanya ingin mengubati luka di hati ini. Biarpun meriah, namun aku merasakan suasananya seperti hambar. Aku yang mengasingkan diri dari teman-teman.
Gelak tawa datang dari segenap penjuru. Aku tertarik ingin menghampiri kelompok kelasku ketika di tingkatan 5 dahulu. Kelas 5 Arif dan 5 Satria. Aku memilih aliran sains tulen, maka bilangan pelajar perempuan lebih ramai berbanding lelaki. Ternyata pada malam ini, hanya sebahagian daripada kelasku yang hadir. Ada yang masih di luar negara, namun kebanyakkannya tidak dapat hadir kerana jauh.
Sesi kutuk-mengutuk mula berlangsung. Kalau dulu, masing-masing masih berperangai seperti anak-anak. Sekarang, semuanya telah meningkat dewasa, sudah mula dapat berfikir secara matang. Yang lelaki mengutuk perihal kami ketika di sekolah dulu. Masakan kami hanya mahu mendiamkan diri.
Kini tiba saatku untuk dikritik. Aku bersedia untuk mendengarnya.
"Setahu aku, hang tak pernah cari pasal dulu. Aku tau hang peramah, tapi hang memang tak pernah ada masalah dengan budak lelaki. Cuma masa di sekolah dulu, aku tak sempat bercakap dengan hang…"
Aku hanya tersenyum mendengar ayat yang keluar dari mulut Zulkifly sebentar tadi. Aku sememangnya peramah dengan orang yang rapat denganku. Keadaan kita di sekolah dulu yang banyak membataskan pergaulan kita sebenarnya. Kita telah diajar menjaga batas-batas pergaulan, percakapan. Siapa yang melanggar tata susila ketika itu akan dilabelkan sebagai "tak tahu malu".
Aku berpandangan seketika dengan Zulkifly. Sekian lama aku hanya mengenali namanya, wajahnya. Namun tidak sama sekali pernah berbicara dengannya. Bagiku, lelaki yang berkulit cerah ini seorang yang pendiam dan mungkin juga seorang yang pemalu. Malam ini, buat pertama kalinya, kami bersua muka dan berbual mesra. Kami berpisah selepas itu tanpa sempat bertukar nombor telefon.
Beberapa hari kemudian, aku dengan beraninya meminta nombor telefon Zulkifly dari seorang teman lama. Aku terasa ingin mengenalinya lebih rapat lagi. Mungkin aku hanya ingin mengisi kekosongan di hati ini. Zulkifly membalas sms yang kuhantar padanya. Mungkin dia juga bosan sepertiku. Itu telahanku.
Aku terasa ingin mendekatinya lagi, lalu tanganku ini lantas mengakses internet dan memasuki laman web friendster. Alangkah sedihnya tatkala itu apabila aku mengetahui statusnya ketika itu, "In a Relationship". Rupa-rupanya dia sudah berpunya. Lelaki seperti dia, mesti sudah ada yang special. Aku memujuk hatiku supaya jangan bersedih.
Sejak itu, biarpun bukan selalu, Zulkifly ada juga menghantar sms kepadaku. Biarpun dia sekadar bertanya khabar atau pun menyoal apa yang sedang ku lalukan ketika itu, ternyata dia selalu mengingatiku. Dalam sebulan, ada 2,3 kali dia menghantar sms. Maklumlah kami sama-sama masih belajar ketika itu dan dia pula berada di semester akhir. Sedangkan aku masih ada 2 semester lagi untuk menamatkan pengajianku.
Ternyata aku senang membalas smsnya. Namun, aku tahu batas-batasnya. Kadangkala aku bertanya sendirian, tidak marahkan buah hatinya kerana menghantar sms pada perempuan lain? Jika aku, pastinya perasaan cemburu menguasai diriku. Bila mengenang peristiwa lama, aku merasakan aku sememangnya tidak layak untuk sesiapa. Mungkin tiada lelaki yang dapat menerima diriku seadanya?
Apabila kekalutan mentelaah pelajaran ataupun tiada kredit telefon, aku hanya membiarkan smsnya tidak berbalas. Aku pula yang sibuk setelah memasuki tahun akhir sedangkan dia telah pun bergelar engineer ketika itu. Mungkin dia kebosanan tiada apa yang ingin dilakukan pada malam hari setelah penat di pejabat pada siangnya.
Satu perasaan halus mula hadir dalam diriku. Aku cuba menepisnya jauh-jauh. Dalam diam, aku sebenarnya telah jatuh hati pada Zulkifly. Kelukaan yang aku alami dua tahun dulu semakin terubat. Mungkin ini mainan perasaan dalam diriku? Sejak aku berpisah dengan Fadzli dulu, aku seringkali mencari kesempurnaan dalam diri lelaki yang cuba mendekatiku. Ternyata semuanya kutinggalkan tanpa sebarang kata. Bagiku, semua nilai yang kucari dalam diri mereka itu tiada. Mungkin apa yang aku mahukan sama seperti yang ada pada Fadzli, yang tidak ada pada lelaki lain. Fadzli seolah-olah menghantui diriku. Mungkin kerana perasaan cinta yang amat sangat yang pernah kutumpahkan untuknya menjadikan diri aku sebegini.
Aku jadi bosan dengan lelaki. Bosan-sebosannya. Dari gaya percakapan mahupun tingkah laku. Aku dapat merasakan Zulkifly berbeza dengan lelaki-lelaki yang ingin berdamping denganku, cuma dia telah berpunya.
Sms yang dihantar olehnya sejak akhir-akhir ini agak ganjil bunyinya. Katanya dia ingin sekali melihatku setelah agak lama tidak bersua. Pada masa yang sama, bayangan silam kembali menghantuiku.

"Aku benci dengan yang merampas dan siapa yang dirampas.
Aku tidak mahu jadi perampas dan merampas hak orang lain.
Biarpun hakku pernah dirampas, namun tidak untuk aku membalasnya pada orang lain.
Lelaki semuanya sama. Di depan bermulut manis, namun di belakang bermain dengan perempuan lain."
Aku membentak sendirian. Inikah sifat lelaki yang aku mahukan? Ternyata dia sedang mempermainkan hati wanita. Sebelum aku dikecewakan, biarlah aku yang memutuskan hubungan tidak bertali ini. Aku tidak ingin hatiku dirobek lagi. Aku tidak ingin terluka seperti dulu. Biarlah Zulkifly menganggap aku terlalu sibuk sedangkan aku sedang cuba menghindar perasaan yang semakin bercambah ini.
Aku cuba jadi kuat tatkala Zulkifly menghantar sms padaku. Aku sibuk, hanya itu alasan yang kuberikan. Akhirnya, dia tidak lagi mengirim berita kepadaku biarpun aku kadangkala merinduinya.
Aku hanya menyepikan diri tatkala mendapat jemputan untuk majlis reunion pada tahun ini. Teman-teman lama cuba menghubungiku untuk mengajak ke majlis bersama-sama namun aku hanya berkata, aku tidak berani berjanji. Majlis itu kubiarkan saja berlalu biarpun aku ingin sekali menjejak kaki ke sana. Zulkifly ada menghubungiku selepas itu. Namun panggilannya kubiarkan tidak berjawab.
Farah Aliya, hang marah dengan aku ka? Kalau hang betul-betul sibuk, aku faham. Apa-apa pun kesihatan diri kena jugak jaga. Take care.-zulkifly-

Aku telah mendapat tawaran dari Panasonic tempat kerja ku sekarang untuk menyambung pengajian di peringkat sarjana di luar negara selama dua tahun. Memang ini yang kucita-citakan selama ini. Peluang ini tidak akan kusia-siakan. Soal cinta dan perasaan aku ingin tolak dulu ke tepi, apa yang ku mahukan sekarang adalah mengejar cita-citaku untuk melanjutkan pelajaran.
Kedua ibu bapaku telah bersetuju dengan keputusanku. Dalam masa dua minggu lagi aku akan berangkat ke Sweden. Sebelum aku pergi, ingin sekali aku bertemu dengan Zulkifly.

Seperti yang dijanjikan, kami bertemu semula setelah sekian lama. Zulkifly masih kacak seperti dulu dan kelihatan semakin matang.
"Baru hari ni aku dapat jumpa dengan hang. Awat hang busy sangat Farah? Tengok, hang pun dah makin kurus la ni."
"Biasalah Zul, makin hari, makin banyak kerja yang aku kena buat. Kadang-kadang makan pun tak lalu."
"Jangan macam ni Farah. Kesihatan mesti kena jaga. Dulu hang yang selalu bagi nasihat kat aku. Sekarang ni belum kawin, esok kalau dah kawin macam mana?"
"Sementara aku tak kawin lagi la aku nak kerja kuat-kuat dulu. Nanti kalau dah kawin, tak boleh dah." Aku cuba berseloroh dengan Zulkifly.
Selesai menikmati hidangan, aku ingin berterus terang dengan Zulkifly tentang tawaran yang aku terima ini.
"Aku ada sesuatu yang aku nak bagitau hang."
"Hang nak kawin dah ke?"
"Bukan pasal tu lah…Aku dapat sambung Master di Sweden. Minggu depan aku berangkat."
"Biaq betoi ni? Hang jangan buat lawak pulak. Sapa nak jadi pengantin aku di sini?" Betulkah apa yang aku dengar sebentar tadi?
"Apa hang kata tadi? Cuba ulang sekali lagi?"
"Eh, tak dak apalah. Sampai hati hang dah nak pergi baru nak bagitau aku. Aku sedih ni…"Zulkifly cuba menyembunyikan perasaan sedihnya di dalam hati."Ala, hang ni mengada lah.. Hang nak sedih apanya, kawin la cepat-cepat."
"Zul, kalau hang nak kawin nanti, jangan lupa jemput aku ya. Hang boleh email aku bila-bila pun. Cuma aku boleh datang ke tak, aku tak berani janji." Aku cuba menahan sebak di hati ketika melafaz kata-kata itu. Ingin sekali kukhabarkan padanya yang aku sebenarnya sudah jatuh hati padanya. Namun, maruah sebagai seorang wanita harus dipertahankan sama sekali.
Pertemuan kami berakhir di situ. Biarpun seketika, cukuplah kenangan itu buatku.

Mungkin aku hanya bertepuk sebelah tangan. Sedangkan Farah langsung tidak mempunyai perasaan kepadaku. Bisik Zulkifly sendirian setelah pertemuan mereka tempoh hari.
Tiba masanya untukku berangkat. Hanya kaum keluargaku saja yang menghantarku di airport. Aku mula melangkah ke balai berlepas. Aku melambai semua yang menghantar sebelum berlepas masuk.
Zulkifly hanya melihat Farah dari jauh. Kedatangannya untuk berterus-terang pada Farah sebelum terlambat. Namun, langkahnya kaku untuk menapak menuju pada Farah sebentar tadi. Tambahan pula, lidahnya juga kelu untuk bersuara. Andai ada jodoh, pasti tidak ke mana.
Kapal terbang mula bergerak meninggalkan landasan.
"Selamat tinggal Zulkifly. Selamat pengantin baru! Semoga kau berbahagia bersama pilihanmu."

Sepanjang Farah di Sweden, Zulkifly sama sekali tidak pernah mengirim berita. Farah menyangka mungkin Zulkifly sudah bahagia dengan pasangannya sekarang.

5 tahun kemudian.

Farah kini telah bergelar DR. IR Farah Aliya. Dari Master, Farah terus menyambung pengajiannya pada peringkat PhD. Apabila tamat pengajiannya, dia lantas pulang ke Malaysia. Ceritanya dan Zulkifly hanya menjadi lipatan sejarah dalam hidupnya.

Farah datang tak masa reunion nanti? Dia datang atau tak, aku mesti pergi ke reunion tu. Nekad Zulkifly di dalam hatinya. Dia juga beranggapan Farah sudah melupainya atau pun sudah menemui teman hidupnya.

Ramai teman-teman yang lain datang membawa pasangan masing-masing samada bergelar isteri atau pun suami. Ada juga yang datang bersama perut yang memboyot. Namun dia hanya berseorangan pada malam itu, masih sama seperti dulu. Mungkin dia datang bersama pasangannya beserta anak-anak? Fikirnya lagi. Aku cuma ingin mengucapkan tahniah pada mereka.

Aku disapa teman-teman lama. Ramai yang bertanya kemana aku menghilang selama ini. Ternyata aku hanya mendiamkan diri ketika di Sweden dan pemergianku hanya diketahui oleh kaum keluarga dan teman-teman rapat.
"DR. IR Farah Aliya," Aku lantas menoleh apabila mendengar namaku dipanggil sedemikian rupa.
Zulkifly tidak jauh berubah.
"Bila balik?" Soalnya lagi.
"A few month ago."
Mungkin kerana ingin menjaga hati masing-masing, perbualan kami hanya berkisar tentang dunia pekerjaan. Langsung tidak menyentuh isu-isu sensitif.

"Kenapa hang tak bawak orang rumah sekali? Boleh aku kenal-kenal." Aku memberanikan diri bertanya padanya.
"Habis hang, datang sorang tak bawak Dato’ sekali kenapa?" Soalnya pula.
"Aku mana ada Dato’ yang nak ikut aku pergi reunion. Lain la hang. Kawin diam-diam tak jemput aku. Aku tunggu kad jemputan dari hang."
"Aku tak pernah hantaq kat jemputan pada hang. Itu tandanya majlis belum pernah berlangsung."
"Apa maksud hang, Zul?" Aku tercengang sekali lagi.
"Aku menunggu Dr yang berdiri di depan aku ni. Dah lama sangat rasanya aku tunggu." Kali ni, Zulkifly berani berterus-terang pada Farah perasaannya selama ini.
"Zul, hang jangan main-main macam ni. Habis, macam mana hubungan hang dengan Munirah? Jangan serabutkan fikiran aku."
"Aku dan Munirah dah lama putus. Munirah pun dah kawin sekarang, anaknya masuk 4 dah. Aku nak bagitau hang sebelum hang berangkat 5 tahun dulu. Aku ada pergi ke airport masa tu. Tapi, aku tak boleh nak luahkan apa yang terbuku dalam hati aku. Last-last aku balik dengan tangan kosong."
"5 tahun hang boleh pendamkan semua ni Zul?" Air mataku mula bergenang.
"Aku hanya berserah pada ketentuan Allah. Kalau ada jodoh antara kita, aku bersyukur Farah…" Dari pandangan matanya, aku dapat rasakan keikhlasan yang lahir dari hatinya.
"Mahukah seorang yang mempunyai status Dr menerima lamaran seorang teman lama seperti aku?"
"Aku masih diri aku yang dulu. Apa yang aku perolehi cuma impian dan cita-citaku. Ia tidak akan mengubah diriku seperti aku pernah mencintaimu dulu."
Zulkifly hanya terpegun mendengar ucapan yang kulafazkan itu. Dia lantas menuju ke pentas utama dan membuat pengumuman melamarku di khalayak ramai. Hadirin bersorak dan bertepuk tangan tatkala mendengar berita gembira itu.
10 tahun dulu kami bertemu di majlis reunion dan kini kami akan mengakhiri pertemuan ini dengan ikatan yang lebih bermakna.
"Lepas ni, no more hang and aku,k. Lepas ni kena belajar panggil abang." Kata Zulkifly sambil mencuit hidungku. Aku menghadiahkan sebuah senyuman bahagia untuknya.
Aku dapat merasakan itulah saat-saat paling bahagia dalam hidupku. Saat dilamar oleh lelaki yang pernah aku inginkan suatu ketika dulu.

Sebulan kemudian kami selamat diijabkabulkan. Teman-teman sekolah menjadi saksi pernikahan kami.
"Apa yang dimenungkan lagi sayang?"
"Tak ada apa-apa, bang. Cuma teringat pertemuan pertama kita dulu di rumah Muzaffar."
"Abang pun tak sangka yang jodoh kita bersama."
"Abang, terima kasih kerana dapat menerima Farah jadi isteri abang. Semoga abang dapat mendidik, menyayangi dan mengasihi Farah sebagaimana yang telah abang janjikan di depan kadi tadi."
"Insya-Allah Farah. Marilah kita sama-sama bina rumah tangga ni sebaik-baiknya. Abang sayangkan Farah, apatah lagi bulu mata Farah yang lentik tu."
"Abangggggg………"

 
You can follow any responses to this entry through the Contac Us. You can leave a response.