Cerpen : Warkah Luka dari Laut

Buat Mawar yang kurindui,

Apa khabar? Aku harap kau sentiasa menemui ketenangan di bawahan naungan barakahNya. Sungguh-sungguh aku berdoa hidupmu sentiasa dalam bahagia.

Aku?Usah kau tanya.Itu bahagianku untukku kusimpan. Memecahkannya kepadamu akan menyeretmu kembali dalam hidupku. Dan itu adalah yang terakhir yang ku mahu.

Ah, aku mohon kau jangan tersalah anggap. Nadaku mungkin kau baca sedikit keras. Aneh, betapa larikan bicara di atas kertas bisu pun mampu melontarkan nada-nada emosi manusia. Ya, malam hening tanpa bintang di hujung galaksi ini mengundang senandung nostalgia berirama di benakku. Dan tampangmu langsung menari di tubir mata. Aku bukan sengaja. Sungguh! Imaginasiku abstraksi yang tak mampu aku kawal, dan malam ini neurosis ku semakin menggila. Khayali bercambah membawa harum namamu yang sekian lama cuba kubenam ke dasar hati yang paling dalam.

Ya, namamu masih terukir di situ. Dan ya, aku tidak berniat untuk melontarnya jauh dari hatiku. Perit dan semakin bernanah. Ia benar-benar racun yang paling manis!
Ia mengalir dalam pembuluh darahku. Mengalir, merebak, menjangkiti, menyakiti. Akulah sang malang yang disumpah entah beribu tahun untuk mengusungnya ke mana-mana ku pergi.

Kurasakan suasana sedikit tepu dengan emosi. Ayuh, ambil beberapa langkah ke belakang. Ke garisan permulaan. Ketika segala-galanya putih dan mulus....

******************************************

Masihkah lekat dalam memorimu, kali pertama kita bertemu? Hujan renyai kala itu membawa perkhabaran rahmat dari Tuhan. Bahawa mungkin aku bakal bertemu malaikat atau mungkin bidadari yang turun dari kayangan. Seperti anak-anak kecil, aku berpusing-pusing dan menari di bawah hujan renyai, sekali-sekala menengadah ke langit sambil merasai manisnya rahmat di hujung lidah.

Lukisan pertamaku sudah terjual! Kejayaan sebesar zarah bagi orang lain. Tapi bagiku, pelukis jalanan yang baru setampuk pinang merasai peritnya mencari rezeki, itu kejayaan yang benar-benar membanggakan. Yang membuka ruang untukku mencapai impian, kalau bukan sekadar untuk menutup periuk nasi kecil seorang anak seni yang mencari kehidupan.

Mana mungkin ku lupakan hari yang benar-benar indah itu. Saat tubuh basah oleh hujan rahmat, seperti bidadari kau muncul memayungi. Dengan senyum semanis madu, kau hampir tergelak melihat riak wajahku, terpaku didatangi ciptaan tuhan yang indah rupawan. "Main dalam hujan begini, kamu mungkin ditimpa sakit" katamu dan terus kau berlalu, sebelum sempat kuhulurkan sebuah perkenalan.
Tahukah kau, sejak daripada itu, senyummu seperti sebuah lukisan yang tersimpan dalam galeri mindaku. Sebuah senyuman tanpa nama tapi penuh bermakna.

Sebuah pertemuan cliche yang sarat dengan adegan kebiasaan sebuah cereka cinta. Betapa!

Seminggu lamanya, kulakarkan potret gadis tanpa nama. Potretmu. Dan sepanjang itulah hatiku bergelodak dengan keinginan untuk bertemu denganmu. Kalaupun sekadar untuk bertanyakan namamu agar dapat kusempurnakan lakaran potret itu. Dan Tuhan seolah-olah menjawab doaku.

Masihkah kau ingat? Pameran Lukisan Seribu Wajah di Galeri Rajawali? Kau terpaku, pegun di hadapan lukisan "Gadis di Bawah Hujan". Seolah-olah mencari logik, bagaimana yang terpotret di kanvas adalah wajahmu sendiri. Dan perlahan-lahan aku mampir ke sisimu, dalam bisu, merenung potret yang sudah terzahir di hadapan mata. "Cantik." bisikku perlahan dan kau menoleh memandangku, dengan wajah yang merona.

Kau maklum apa yang berlaku kemudian. Aku mengajakmu ke cafe, mencicipi kopi susu panas dan croissant berinti krim. Dalam malu, kau menggangguk setuju. Dan hatiku berirama riang, menerima angguk setujumu dengan girang. Di situ, kita saling berkenalan, bertukar sejarah kehidupan. Namamu Mawar. Langsung tergaris senyum mendengar namamu. Barulah ku tahu bahawa kau masih seorang penuntut. Mahasiswi ijazah senibina di UiTM. Dan kadang-kadang kau bekerja sebagai sukarelawan di rumah Cinta Kasih, yang menempatkan anak-anak Down Syndrome. Bicaramu penuh tersusun dan sopan. Pekerti seharum mawar.Nama yang mengharum ke pelosok sanubari.

Kau ketawa lucu tika ku perkenalkan namaku. Jebat Arjuna. "Nama yang romantik, adakah seromantik orangnya?" selorohmu, dan kau ketawa lagi dengan tawamu yang seperti muzik di telingaku. Ku ceritakan kepadamu bahawa aku seorang anak seni, seorang pelukis yang mencari sedikit ruang mengekspresikan diri. Kau hampir berkerut mendengar sejarah hidupku. Penuh tumpuan, penuh penghayatan.

Aku masih baru dalam arena ini. Masih berusaha mencari tapak sendiri. Pemegang ijazah seni halus dari Atelier La Courriere, Perancis tidak menjadikan aku seorang genius yang mampu menempa nama hanya bersandarkan bakat. Bakat tanpa strategi tidak menjamin kehidupan.

Pertemuan pertama yang disusuli pertemuan-pertemuan seterusnya. Dalam senyap, perasaan halus meresup ke dalam hati ku. Dan melalui sinar dalam matamu, aku tahu bahawa sesungguhnya perasaan yang sama telah mengetuk hatimu.

Ah, tapi kita masih membisu, saling menebak apa sebenarnya yang bermain dalam hati masing-masing. Aku tidak punya cukup keberanian untuk menawarkan prahara cinta kepada seorang bidadari sempurna sepertimu. Sedangkan hatiku berdetak, setiap kali kau menyebut namaku. Hampir terhenti ketika memandang senyummu. Berdegup laju ketika berbicara denganmu. Dan cinta ini terus melimpah mengisi jiwa. Aku ingin laungkan kepada dunia. Seorang Jebat ingin menyunting Mawar menjadi suri hidupnya!

Aku, seorang Jebat yang terbuai oleh cinta indah seharum seorang Mawar. Cinta yang membuatkanku melayang-layang ke tujuh lapisan petala. Menari dan meluncur melewati tujuh warna pelangi. Aku yang hilang dalam kosmo fantasi, berhajat sekuntum mawar menemani perjalanan sepiku merentasi arena seni.

Namum persoalan demi persoalan saling bersilih ganti dalam jemala, bergumpal dan kusut seperti benang panjang tanpa penghujung. Aku hanya mampu menawarkan cinta, bukan sebuah jaminan kehidupan. Sedangkan dalam dunia materialis yang menuntut kekayaan materi, itulah yang paling utama. Bagaimana aku, seorang pelukis jalanan yang masih ragu dengan langkah yang bakal diorak esok hari, ingin membajai mawar yang sudah tersedia dalam taman emas?

Cinta antara dua darjat yang sering kita baca dalam novel, kini sedang terjadi kepada kita!

Sejauh mana ku melayang, sejauh itu juga aku kembali terjunam ditarik graviti ke bumi. Hakikat seperti konkrit menghentam benakku, mencarik sebuah rasa pedih dan ngilu. Aku cintakan kau Mawar, dan kerana itu aku ingin kau melalui kehidupan yang bahagia.

Segala-galanya bermula dengan putih dan mulus, harum dan indah...

Ahh, Mawar. Mimpi memang lazimnya indah. Yang perit dan pahit adalah realiti.

Malam itu, indah dengan taburan berjuta bintang di galaksi. Pawana berhembus mengirai rambutmu ,lembut. Bahu ke bahu, kita membisu memandang bulan penuh yang elok terbentuk di dada langit. Ironinya, suasana yang indah untuk sebuah pengakhiran yang perit!

Dalam getar, kulafazkan bicara yang sekian lama bermain dalam minda.

"Mawar, aku Jebat yang serba tiada dan serba kekurangan. Ku pinta kau lepaskan diriku kerana aku tidak mampu menanggung sebuah cinta sebegitu polos dan sempurna darimu."

Sekonyong-konyong ku rasa hatiku seperti dilanda Garuda. Empangmu pecah, mengizinkan butir-butir halus mengguyur di pipi mulus. Kau merayu, memohon penjelasan, sebuah pengertian atas bicaraku yang meletakkan noktah dalam perhubungan. Aku melutut. Merayu kau meninggalkanku, melontar jauh ingatan tentangku, teruskan hidup baru tanpaku sebagai agenda.

Cinta sememangnya sebuah penyeksaan yang indah. Ketidakpastian ini semakin membunuhku sedangkan cintaku padamu semakin berakar, tumbuh, berbunga dan berbuah. Dan kerana itu, sebelum kau turut terseksa dalam sebuah perhubungan yang penuh ketidak pastian ini, ku mohon kau berlalu, jangan menoleh lagi.

Saat kau melangkah pergi, aku tertunduk, memegang dada yang maha perit dengan bebanan cinta yang melimpah ruah. Dan malam itu, rumput di bawah pohon angsana itu basah dengan air mata seorang Jebat.


*************************

Kau tentu sudah maklum dengan kisah kita. Maafkan aku mengganggu ruang mindamu dengan sebuah kenangan yang tak layak untuk dikenang. Aku memungkiri permintaanku sendiri!

Kali terakhir aku mendengar tentangmu, kau sudah bergelar seorang graduan dan kini sedang melanjutkan pelajaran ke sebuah negara asing. Di mana, aku tidak tahu. Dan kerana itu kau tidak perlu bimbang diganggu warkah-warkah sebegini yang kualirkan ke laut lepas. Kau tidak mungkin membacanya.

Aku kini sedang berkelana di bumi Perancis. Di negara yang menawarkan aku sebuah impian, di mana aku mula-mula mencantum cebisan cita-cita. Seni masih mengalir dalam darahku. Seperti juga cintaku padamu. Namamu masih mengharum mawar di sanubariku.

Mungkin, suatu hari nanti. Kita bakal bertemu lagi.


Salam penuh kasih,
Jebat Arjuna.


*************************

Gadis berjilbab biru itu masih tegak di hadapan pantai di daerah Southampton. Hujung jilbab ikut berayun disapa mesra angin pantai. Dia mengeluh, lantaran tersedar yang dia sudah larut dalam khayalan. Dipandang ombak yang pecah di hujung kaki.

Kenapa kenangan yang itu lagi?

Pandangannya tertarik pada sebuah balang kecil yang berolek-olek dibawa ombak ke pantai. Hatinya ditarik-tarik untuk mencapai balang jernih yang jelas diisi gulungan kertas.
Dengan berhati-hati, air laut diranduk dan dicapai balang yang masih terolek-olek tenang.

Diamati isi balang. Sedikit ragu. Teringat cerita emak tentang makhluk-makhluk halus yang disumbatkan dalam botol dan dilepaskan ke laut. Dia jadi cuak tiba-tiba.

Buka atau tidak?

Ah, tapi ini UK. Mana mungkin masyarakat di sini mengamalkan budaya sebegitu, getusnya meyakinkan diri. Dengan lafaz Bismillah, dia berhati-hati menarik gabus dan mengeluarkan gulungan kertas dari dalam balang kaca jernih. Ditatap tulisan-tulisan yang dilarik.

"Mawar! Ayuh, pulang!"

Laungan dari teman tidak dihiraukan. Sebetulnya, dia sendiri tidak tersedar namanya dipanggil. Pandangan matanya berbinar, kabur. Ditekup mulut dengan sebelah tangan. Ada rasa perit yang mencarik jiwa. Dan air matanya mengguyur ke laut.

Warkah yang merentas laut membawa perkhabaran rindu... Dan namanya...

Namanya mengharum di situ.


~TAMAT~

 
You can follow any responses to this entry through the Contac Us. You can leave a response.