Cerpen : Rindu Setia

"Petang nanti kita jumpa ya. Sabar sikit, okey!?"

"Sekarang baru jam 10 pagi. Lama lagi nak tunggu petang. Kenapa tak boleh jumpa sekarang? Saya rindu sangat ni."

Aku terus meletakkan gagang telefon tanpa dia sempat menghabiskan katanya. Sengaja mahu biarkan si dia merindu lebih sedikit daripada biasa. Sebetulnya aku mahu mengejutkan dia dengan hadiah ini. Aku sulamkan namanya dan namaku atas sehelai bajunya yang aku ambil senyap-senyap sewaktu ke rumahnya dahulu. Pandai sungguh Ilham, adik si dia, memilih baju hijau kepunyaanya. Latarnya kosong dan memudahkan aku menyulam sebanyak mungkin corak atas baju ini. tapi sekarang ini aku mahu ukirkan nama kami beruda sahaja. Kerana sulamnya berbaki sedikit lagi, aku tangguhkan untuk berjumpa pada petang nanti.
Aku beranjak dari tempat dudukku sebentar tadi. Tangan terus menggapai bahan-bahan sulam dan baju hijau itu. Hanya berbaki satu lagi huruf J untuknya. Cara aku menyulam bermula dari belakang ke hadapan. Rasa tidak lengkap jika huruf J tidak diletakkan di hadapan. Rasa pelik pula nama itu. Aku tersenyum sambil menyulam aksara itu sepenuh kasih.

Ibu yang melihat telatahku dari sudut dapur, hanya mengukir senyum. Jelas lesung pipitnya terbentuk. Seperti aku juga, walau aku hanya memiliki satu lesung pipit di sebelah pipi kanan. Senyuman manis dari wanita ini mencairkan aku dan merah pipiku disapa usikan ibu. Tiba-tiba ibu berlari anak ke ruang masak. Rupanya ikan yang sedang digoreng sudah berdenting menandakan hampir kehangusan. Aku jadi semakin galak ketawa. Ibu juga. Terdengar kekekannya di dapur jelas menerjah ke ruang tamu ini.

Suasana riang bertukar hiba. Sakitku datang kembali. Terasa kejang pinggangku. Jeritan kecilku terdengar ibu di dapur. Kakak dan abah yang berada di luar juga deras mendapatkanku.
"Kakak, cepat ambilkan ubat Hanis." Kakak berlarian anak ke kamarku. Pantas dicapai kotak ubatku.
"Sabar Hanis. Ibu ada ni, sayang. Sabar ya. Minum air ni, telan ubat ni perlahan-lahan. Bismillahhirahmanirrahim." Dalam pangkuan ibu, aku terlena sebentar selepas menelan beberapa biji penawar itu. Lebih dua tahun aku bergantung pada penawar itu bagi mengurangkan sakit ini. Buah pinggangku, dikesan hilang nikmatnya sejak dua tahun dahulu. baru di peringkat awal. Masih boleh dirawat. Segala puji bagi Tuhan.

Dalam separuh sedar, aku terdengar abah menenangkan kakak dan ibu. Mereka jadi hiba melihat keadaanku yang lemah ini. Aku bersyukur masih punya keluarga yang masih menyayangiku amat dan si dia juga, masih mahu menerima aku, setelah diketahuinya aku berpenyakit ini sejak satu tahun yang lalu. Pada masa itu, hubungan kami hampir menjejak ke usia dua setengah tahun. Sengaja aku memberitahunya lewat, kerana aku sendiri tidak mampu mengumpul kudrat untuk memberitahunya akan keadaan ini. Namun atas nasihat dan kata semangat ibu dan ayah juga kakakku, aku menguatkan semangat untuk berhadapan dengannya dan berterus terang tentang sakitku ini. Tika itu juga Ilham datang memeluk aku, katanya, "Jangan abang tinggalkan kakak. Ilham sayang kakak. Abang mesti jadikan kak Hanis, kakak Ilham suatu hari nanti." Esak tangis Ilham melemahkan hatiku dan aku memandang si dia. Lama dia merenung lantai.
Hampir saja aku berpaling dan melepaskan dakapan Ilham yang erat itu.

"Nanti dulu." Dia merenung dan menghampiriku. Jelas kelihatan air matanya mengalir sehingga basah baju Ilham. Dia turut mendakap Ilham yang berada di tengah-tengah antara kami. "Aku tidak akan sekali pernah meninggalkan insan yang sudah aku sayang sepenuhnya. Aku akan menuruti dirimu, sakit bersamamu. Aku yang akan membuatkan hari-harimu ceria. Dan kita akan bersama selamanya. Ya!"

"Romantisnya kakak dan abang ni. Sayang kakak dan abang. Mmwwahh." Hinggap sekali dua ciuman Ilham ke pipiku dan si dia. Kami tergelak bersama-sama. Telatah Ilham membuatkan aku juga kehabisan air mata. Sedih dan ceriaku sama-sama bersatu menjadi hibur buat kami.
Hampir sahaja aku telupa. sulamanku tadi. Aku bangkit dari lena yang agak panjang. Jam di dinding kulihat hampir ke jam 12.32 tengah hari. Sedikit saja lagi. Aku boleh. Untukmu sayangku.

"Eh, sayang ibu dah bangun. Bagaimana nak, sakit lagi?" Ibu membelai rambutku. Pipiku disalut lembut. Kasihnya ibu padaku membuatkan aku bertambah sayang padanya. Kakak dan abah yang sejak tadi berbincang tentang kerja-kerja niaga mereka, memandang kami sambil melebarkan senyuman.

"Hanis dah sihat ibu. Terima kasih ibu." Aku pula membalas belaian ibu. Kupegang erat jemari ibu dan menciumnya. Kulihat ibu mahu menangis pada babak ini. Cepat saja kakak datang dan memeluk bahu ibu.

"Ibu, nangis ya? Sudah-sudah, tak baik asyik menangis saja. Lihat, adik baru saja mahu ceria. Nanti kalau adik sudah mula menangis, susah mahu dipujuk. Betul tak abah?" Kakak mengusik kami. Ada-ada saja kakak ni. Namun, itu semua membuatkan aku bertambah kasih pada keluarga ini. Syukur pada Tuhan.

"Jam berapa Hanis mahu jumpa Johan?" Pertanyaan abah membuatkan aku sedar. Oh ya, ada sedikit lagi sulaman itu mahu kusiapkan. Aku bergegas mendapatkan alatan sulaman. Mataku melilau mencari arah letaknya alatan itu tadi. Habis kuselongkar segala kusyen yang mendiami tempat asalnya. Kerusi abah juga tidak ketinggalan. Kasihan abah, terpaksa beralih punggung. Aku juga tidak menjawab pertanyaan abah tadi. Aku tahu abah faham, dan dia kulihat menggelengkan kepala sahaja. beginilah aku apabila dalam keadaan serabut. Tidak menghiraukan sekeliling. Apa-apa yang penting, aku jumpa apa-apa yang aku mahu.

"Aduh, sakitnya. Hmm…" Aku terduduk sebentar. Mungkin masih letih akibat penangan sakit yang baru saja menyerang tadi. Pada kebiasaanya aku akan terlena hampir lima jam. Entah mengapa kali ini aku tidak lena lama. Aku tersedar sendiri tanpa ada yang membangkitkan. Mungkin saja tentang si dia. Aku lantas terjaga sendiri.

"Hanis!" serentak suara ibu, abah dan kakak mendatangiku. Mereka cemas sekali lagi. Tubuhku dipegang dan digoncang-goncang lembut. Kakak beralih tugas, berlari anak ke dapur mengambil segelas air lalu menghulurkan kepadaku. Lega sedikit rasanya.
"Maaf ibu, abah, kakak. Hanis menyusahkan semua. Hanis tak apa-apa. Sakit sikit saja." Ibu sekali lagi mahu mengalirkan air matanya. Kasihan ibu. Hatinya lembut dan tidak terdaya melihat anaknya menderita. Aku tertunduk menahan air mata juga.

"Adik, ini alatan sulaman adik. Tadi kakak alihkan ke atas rak buku itu. Bimbang dirosak Comel. Maaf kakak lewat memberitahu adik. Ini alatannya, ambillah."

"Terima kasih kak. Tak mengapa. Hmm, adik mahu siapkan sulaman ini. Sudah Jam 12.46 petang. Mana Si Comel? Tidak Nampak dari tadi." Si Comel, kucing kesayangan abah. Entah ke mana hilangnya.

"Ada di luar. Sengaja abah suruh dia beriadah. Maklumlah usia remaja macam tu elok bermain dan aktif." Begitu terangnya abah. Seperti Si Comel itu manusia, digunakan bahasa bagi pengenalannya. Aku hanya tertawa kecil. Cukup sayang abah pada Si Comel.

"Boleh abah bertanya? Apa tujuan Hanis beri hadiah sulaman ini pada Johan? Setahu abah, baru saja dua minggu lepas Hanis raikan hari lahirnya?" Alamak, abah cuba mengorek rahsia. Kakak dan ibu kulihat tersenyum-senyum dengan gelagatku yang menunjukkan rasa malu. Hanya mata sahaja memandang ke televisyen, namun telinganya jelas ke arah perbualan aku dan abah.
Abah merenungku lama. Aku jadi lagi malu. Tiba-tiba suara kakak memecah suasana. "Untuk yang tersayang, setiap masa adalah hari-hari indah. Setiap hari adalah detik-detik bahagia. Sentiasa dirai dan dihargai."
Merah benar pipiku. Terasa hangat. aku lantas bangun dan mendapatkan ibu. Terselit aku di tengah-tengah antara ibu dan kakak. Aku memeluk ibu dan merapatkan muka ke dadanya. "Ibu, adik malu. Tengok kakak ni sengaja mengusik adik." Ibu membelai rambutku. Terasa sentakan tangan kiri ibu memukul bahu kakak. Tawa kakak dan abah sama saja rentaknya. Semakin galak dan riang.

"Adik, cepat siapkan sulaman tu. Usah dilayan sangat kakak dan abah kamu ni. Suka mengusik anak ibu ni ya. Kasihan dia." Ibu pula menuruti tawa kakak dan ibu. Lantas aku turun dari sofa dan meneruskan sulaman tadi. Malas mahu melayan karenah mereka. Tidak siap pula sulaman untuk si dia nanti.
Dalam tawa lagi, abah bangun dari duduknya. Langkahnya menuju ke kamar mandi. Waktu-waktu begini abah akan berwuduk dan mula membaca ayat-ayat suci sementara menanti waktu Zohor. "Adik, cepat siapkan ya. Boleh kita berjemaah sama-sama nanti. Ya!" Pesan abah sebelum meninggalkan kami di ruang tamu ini.
Ibu dan kakak asyik menonton rancangan di kaca televisyen. Aku juga mencuri dengar rancangan tazkirah tengah hari itu sebelum waktu merangkak masuk ke Zohor. Fikiran tidak jelas kepada satu arah saja. Jari ligat menyulam, fikiran tiba-tiba terkenang kepada si dia. Ah, mengapa bukan aku sebutkan Johan saja. Tidak, aku lebih suka dengan panggilan si dia. Namanya hanya ada di hati. Pasti dia suka akan sulaman ini. bajunya hijau kegemaranku, dan benang sulaman ini merah warna kesukaannya. Aku jahitkan penuh kasih sayang. Penuh rasa sayang padanya.

Layangan fikiranku merayap kepada soalan abah. Mengapa aku perlu berfikir untuk menjawabnya? Bukankah itu urusan hati. Hanya hati saja yang boleh merungkai setiap pertanyaan abah tadi. Ada benar juga kata-kata kakak. Untuk yang tersayang, hari-hari indah segalanya.

Fikiranku masih lagi melayang dan kini meresap masuk kepada perbualan aku dan si dia pagi tadi. Mengapa dia mahu berjumpa dengan aku secepat itu. Mungkin saja janji kami aku tidak tepati. Bukan salah dia pun andai itu suatu desakan. Dan, perbuatanku yang meletakkan gagang telefon sebelum dia sempat habis bicara, tidak sepatutnya aku lakukan. Ah, itu semua sudah berlalu. Namun ada suatu yang membingungkan aku sekarang. Mengapa nafasnya tersekat-sekat ketika mahu minta berjumpa denganku? Ada apa-apa yang tidak enakkah yang berlaku? Jika benar, mengapa tiada berita apa-apa daripada Ilham atau sesiapa sahaja yang mengkhabarkan. Ah, terlalu jauh aku menyimpang. Semoga tiada yang tidak enak berlaku.

Siap juga sulaman ini. Syukur. Eh, terlupa pula mahu matikan jahitan. "Auch. Sakitnya. Aduh." Tersentak ibu dan kakak mendengar jeritku. "Tercucuk jarum saja. Darah sikit." Aku terus menyedut darah dari jari telunjukku. Ibu dan kakak benar-benar risau. Kelihatan kerut di wajah mereka. Aku tersenyum selepas darah tadi hilang kesannya. Aku melipat terus baju yang siap disulam itu. Kuletakkan dalam kotak yang tersedia di sebelahku. Kuikat lembut, ada rasa sakit di jari telunjukku. "Mari kakak ikatkan kotak tu." Pinta kakak sengaja aku elak. Aku mahu lakukan sendiri. Tidak mengapa, bersakit demi yang tersayang. Kakak menjeling tanda usikan.

"Kalau sudah, mari kita solat dahulu. Sebentar lagi masuk waktu solat." Ibu berjalan ke hadapan, sementara kakak menutup suis televisyen. "Letak di sini sajalah kotak hadiah ni. Si Comel pun berada di luar." Aku letakkan kotak hadiah tadi di atas karpet begitu sahaja, tanpa rasa risau akan Comel yang suka bermain dengan reben. Aku berjalan menuruti ibu dan kakak di belakangku. Aku terhenti sejenak. Rasa seperti ada yang tidak kena. Dadaku rasa berat untuk bernafas. Jari yang luka tadi rasa sakit amat. Aku cuba berpaut pada kerusi makan yang terletak di sebelah kiriku. Kerusi itu terheret sedikit apabila aku hampir jatuh. Kakak cepat-cepat menahanku daripada rebah ke lantai.

"Ibu! Adik…" Jam di dinding jelas menunjukkan pukul 1.35 petang. Ah, jangan aku pengsan lagi. Aku mahu bertemu si dia petang ini. Ya Tuhan, kuatkan semangat aku.

"Ya Allah. Hanis, kenapa ni sayang?" Aku terdampar di atas pangkuan kakak. Masih belum lena. Aku mesti kuat melawan sakit ini. Entah sebab apa, sakitnya kerap pula menerjah masuk ruang tubuhku hari ini. Aku bangkit perlahan-lahan.

"Tidak, tidak ada apa-apa bu. Sakit sikit saja. Dah baik." Aku cuba tersenyum walau pahit rasanya. Kakak dan ibu masih bimbang dan menyuruhku rehat di perbaringan. Aku pantas menolak. Aku mahu sama-sama berjemaah dengan mereka. Tidak mahu aku terlepas rezeki dan nikmat Tuhan ini.

"Iya, mari kakak pimpinkan adik." Lemah tubuhku mengheret seribu derita. Terima kasih kakak. Aku lemas dalam air mata.
Aku tidak berdaya solat seperti mereka hari ini. Aku aturkan cara duduk, seperti yang aku lakukan jika derita ini datang. Doa terakhir abah diaminkan semua. Segala puji bagi Tuhan, aku selesai berjemaah bersama mereka. Semoga aku masih mampu untuk bertemu si dia. Melihat dia tersenyum dengan sulaman nama itu. Aku menguatkan tubuh, mahu bersalam dengan abah, ibu dan kakak. Ah, aku jadi lagi haru. Abah sendiri hadir di sisiku. Menghulur salamnya untukku. Begitu juga ibu dan kakak. Mereka tahu, aku belum berdaya mahu bergerak kuat. Aku menyalami mereka, mendakap erat dan mencium pipi. Air mata masih tidak segan mengalir.

Aku bersiap-siap untuk ke rumah si dia. Bertemu dan menghulur bingkisan sulaman ini. Istimewa hari ini seperti mahu mengujakan hati yang memandang. Ibu yang sedang menyiapkan makan tengah hari bersama kakak, berhenti melihat aku keluar dari kamar. Lengkap berhijab bunga-bunga merah jambu yang latarnya merah kecairan. Berbaju kebaya merah jambu beralur-alur merah. Nampak benar-benar bersemangat. Bibir yang agak pucat sedikit tercalit warna delima pemerah bibir. Dan mekar ditambah senyumanku yang tidak putus-putus ini.

"Hanis mahu keluar juga? Tak sakit lagi?" Sergah abah yang sejak tadi membelai Comel. Tidak pula aku perasan abah berada di sofa yang hanya lima langkah saja tempatku berdiri iaitu di hadapan bilikku.
"Sudah sihat. Boleh Hanis keluar ya abah? Sekejap saja." Aku melebarkan senyum bagi meyakinkan abah. Abah juga tersenyum dan, "Boleh. Tapi ada syaratnya. Kakak jadi teman Hanis. Boleh ya, kakak?" Abah mengerling ke arah kakak seraya itu juga kakak mengangguk. Kakak terus menyarung kain selendangnya. Rupanya kakak sudah bersedia.


"Hmm, boleh juga. Kakak jadi pemandu ya. Boleh Hanis senang-senang di sebelah." Aku tidak kisah dengan cadangan abah. Ada baiknya juga begitu. Tidaklah aku betarung dengan sakitku seorang diri. Sebenarnya masih ada perit terasa mencucuk-cucuk pinggangku. Namun aku tahan demi memperoleh keizinan abah. "Mari kakak."

"Nampaknya, ibu makan berdua sajalah dengan abah kamu ya?" Rajuk ibu.

"Comel kan ada bu. Dia bo… Alamak, Comel jangan!" Habis tercakar kotak hadiah aku. Terbuka sedikit. Rebennya tercarik. Aku memandang sepi dan berlalu sambil menyalami abah dan ibu.
Kakak merenungku di sebelah. Pemanduannya jadi tidak terarah. Ah, Comel. Mengapa kau cakar hadiah untuk cintaku? Ada sedikit tercarik di bahagian dalam kotak hadiah itu, setelah lama aku tenung. Habis rosak. Aku hampa. Adakah si dia mahu terima hadiah ini? Aku tawakal dengan segalanya. "Kakak!" tiba-tiba kereta kami terbabas ke tepi. Kakak cuba mengelak apabila seekor kucing laju melintas di hadapan. Kami selamat, kakak sempat menekan brek ke tepi jalan walau hampir saja melanggar pohon di hadapan.

"Kak, hari ni hari istimewa kami. Tarikh kami mula-mula bercinta. Sudah seminggu kami tak berjumpa. Sengaja kami mahu memendam rindu. Dan hadiah ini untuk dirinya. Lambang setia adik padanya. Mengapa Comel mencakarnya? Adakah sesuatu yang tidak baik bakal berlaku kak? Ah..."Tanganku mencengkam kecil. Terasa sakit menusuk ke tubuhku.

"Adik! Ubat adik? Mengapa tidak dibawa bersama? Tak, semuanya baik-baik dik. Comel tidak sengaja. Adik bertahan, kita pulang ambil ubat dahulu."

"Jangan kak. Adik mahu berjumpa dengannya dahulu." Kuat jemariku memegang tangan kakak. Peluh-peluh dingin mula membasahi wajahku. Ah, apakah tanda ini? Ya, Tuhan. Berilah aku kekuatan untuk bertemu hambamu itu. Kulihat kakak menangis. Tangannya ligat memutar stereng, laju memecut ke rumah si dia.

"Terima kasih kak. Semoga adik sempat bertemunya."

"Apa yang adik cakapkan ni? Adik akan bertemunya. Fikirkan yang baik ya, sayang. Tolong. Tolong jangan buat kakak sedih. Please. Tahan ya, sayang." Kakak memecut laju. Bimbang pula kami tidak sampai ke destinasi. Kakak benar-benar sayangkan aku. Terima kasih kakak. Adikmu akan kuat bertahan.

"Adik!!!"

Kulihat berbalam-balam kain putih merentangi kawasan ini. Aku terlantar di suatu sudut. Dikelilingi wajah-wajah yang aku sayang. Abah, ibu dan kakak. Apa sudah terjadi? Mengapa aku di sini? Mengapa mereka semua berwajah muram? Adakah aku...?

"Awak, terima kasih atas pemberian baju bersulam nama ini. Saya suka sangat. Akhirnya kita bertemu juga. Terima kasih atas kesetiaan awak menanti pertemuan ini." Dia datang menghampiriku. Sedikit tidak mengganggu insan-insan yang mengelilingiku. Hanya dia saja yang tersenyum berseri.

"Awak, saya bersyukur. Dapat juga saya bertemu dengan awak. Bimbang saya tadi, kakak bawa kereta laju sangat. Hampir saja dia melanggar Ilham yang sedang melintas jalan. Syukur Ilham selamat. Masih ada insan yang sudi bertarung nyawa menyelamatkannya. Tidak sempat saya mahu mengucapkan terima kasih kepadanya. Saya pula tidak sedarkan diri. Eh, kenapa awak berpakaian putih ni? Lengkap berkopiah putih juga. Oh, saya terlupa. Hari tu awak janji mahu berpakaian putih dan saya pula berpakaian merah, warna kegemaran awak."

Senyumannya masih berseri. Namun riak wajahnya tidak seperti biasa. Ada keanehan dalam hatiku yang mahu menyatakan sesuatu. "Hanis, terima kasih atas cinta yang awak berikan pada saya. Kesetiaan awak sangat saya hargai." Dia terdiam. "Tapi, saya mohon maaf. Setia saya hanya sampai di sini. Saya tidak boleh lagi bersama awak. Saya mohon undur diri dari kisah cinta ini. Biar ia terus terpahat pada sulaman itu, ya. Jaga dirimu sebaiknya. Akan ada nafas baru untukmu."

Aku keliru. Mengapa katanya seperti itu. Aku menjerit sekuat hati, melaung namanya, "Johan!!!"
"Syukur, Hanis selamat. Hanis jangan tinggalkan kami. Kakak mohon maaf Hanis." Rupanya aku kini berada di hospital. Terlantar berselirat dengan wayar-wayar. Ah, tidak peduli semua itu. Aku pengsan kerana tidak berdaya menahan sakit. Itu kata-kata dari doktor. Tapi...itu dia Ilham. Mahu aku tanyakan kepadanya tentang si dia. Ilham datang terus mendakapku. Erat pelukkannya diiringi esak tangis yang menderu laju.

"Kakak, kenapa abang Johan tinggalkan Ilham?"

 
You can follow any responses to this entry through the Contac Us. You can leave a response.