Cerpen : Berakhirnya Sebuah Pantatisme

"Apa ertinya makanan… jika tiada sebarang rasa?

Apa ertinya berjalan… jika tiada wang dibawa?

Apa ertinya cantik… jika semua palsu belaka?

Apa ertinya wanita… jika kehormatan lenyap entah ke mana?" terdengar begitu semangat sekali luahan hati yang tercetus segera dari lubuk hati Cik Natisa. Matanya menyala-nyala dibakar nafsu yang akan memanggang semangatnya lebih berkobar-kobar.

"Tapi nak menyalahkan mereka pun tak boleh, Cik Natisa sebab kerana mereka kaum kita ni muncul di muka bumi. Cik dah lupa ke sejarah tu?" penafian bernas yang dilontar tepat oleh Fira, yang dari tadi menahan kuping telinganya dari dimamah bahang kobaran semangat tiada motif Cik Natisa.

"Betul tu, saya sokong Fira," kedengaran sahutan setuju dari Marni yang dari tadi memperhatikan kedua-dua sahabatnya itu berdebat.

"Eh, kau ni sokong aku ke tak, Marni?" soal Cik Natisa, tidak berpuas hati terhadap Marni, insan berjiwa lalang, tatkala dihembus bayu optimis, dia menurut, namun apabila berhembus tiupan hawa pesimis, dia turut menurut. Marni sekadar mengangkat bahu kerdilnya sambil mengunyah lagi kerepek kentang yang sempat dibelinya tadi. Marni batu api? Teka hati Cik Natisa.

"Setiap makhluk ciptaan Dia mesti ada baik dan buruknya, cik Natisa," tambah Fira sambil sempat mengambil kerepek daripada Marni lalu mengunyahnya bersama-sama.

"Itu betul. Tapi, yang tak betul kita mesti betulkan," balas Cik Natisa, ingin menyuamkan keadaan yang hangat dengan bahangnya yang tiada motif. Kuping Cik Natisa panas seketika.

"Bagaimana caranya?" soal Marni dan Fira, serentak dan ingin tahu.

"Begini. Dari apa yang saya kaji selama ini, saya mendapat satu teori yang bagus untuk situasi tu," terang Cik Natisa, bangga.

"Teori? Takkanlah luar kelas macam ni pun kena belajar pasal teori-meori ni," rungut Marni yang sememangnya tidak menyukai subjek psikologi Cik Natisa. Marni mula mengerutkan mukanya. Air mukanya mulai masam bak cuka. Fira yang perasaan dengan perubahan pada air muka Marni lalu mula menenangkan kawannya yang seorang itu.

"Cik Natisa cipta satu teori baru ke?" soal Fira ingin tahu. Mendengar pertanyaan dari Fira yang nampaknya berminat, Marni menepuk dahinya, kesal. Mula mengutuk Fira dalam hati kecilnya. Menyesal pula kenal dengan dia ni. Marni murung kembali.

"Ya, dan teori ni namanya agak pelik sikit jadi jangan cakap apa-apa dulu sebelum saya terangkan," balas Cik Natisa sambil membetulkan kedudukan cermin matanya yang sudah beralih ke bawah kelopak matanya.

"Apa nama teori tu?" Fira semakin berminat. Marni semakin meluat.

"Saya beri nama teori tu, dengan nama PANTATISME," jawab Cik Natisa dengan sepenuh keyakinan di dalam dirinya. Berasa agal lega dapat memberitahu walaupun tidak ramai tetapi kepada dua orang muridnya tentang teori baru ciptaannya. Keadaan sunyi seketika. Fira dan Marni tergamam mendengar nama teori terbaru ciptaan Cik Natisa. Pantatisme? Kenapa mesti dengan nama itu? Apa kaitannya dengan teori Cik Natisa? Segala macam persoalan mula berlari riang di dalam benak fikiran Fira.

"Saya mesti dapat teka yang kamu mesti tanya dalam hati kenapa saya gunakan nama itu untuk teori saya, bukan?" soal Cik Natisa, yang mahukan respon daripada kedua-dua pelajarnya.

"Kenapa mesti guna perkaaan pantat?" hairan Fira sambil memandang Marni yang masih lagi mengunyah kerepek kentangnya.
"Betul juga tu. Kenapa cik Natisa pilih perkaaan tu? Bila sebut rasa lain macam pula," respon Marni yang akhirnya tertarik apabila mendengar nama teori baru ciptaan Cik Natisa.

"Teori ni saya namakan pantatisme kerana ada beberapa sebab, saya akan terangkan. Seperti yang kita semua tahu kalau sebut perkataan pantat mesti satu perkataan yang tidak sedap didengar bukan. Tapi sebenarnya ia bukanlah seperti itu. pantat sering juga dirujuk sebagai bahagian sulit milik kaum kita dan bahagian paling bawah," terang Cik Natisa panjang lebar tetapi Fira sempat mencelah sebentar.

"Bahagian paling bawah? Tak fahamlah," kata Fira sambil menggaru kulit kepalanya yang tidak pernah dipenuhi sebarang kelemumur.

"Bahagian paling bawah ya," Cik Natisa menyambung kembali penenarangannya. "Antara contohnya bahagian paling bawah ni ialah seperti orang dulu sebut bawah pasu, pantat pasu, iaitu tapak atau dasar pada sebuah pasu. Kiranya bila sebut perkaaan pantat semuanya bahagian yang belakang, yang sulit, yang bawah."

"Apa kaitannya dengan teori cik Natsia?" Fira mula ingin tahu lebih dalam tentang teori baru ciptaan Cik Natisa yang nampak agak menarik juga. Respon yang bagus.

"Ok, macam ni. Kalau awak nak tahu, pantat juga melambangkan maruah seseorang. Malah, ia juga melambangkan kewanitaan tapi ia berbeza dengan feminisme. Ini kerana pantatisme tiada menyentuh aspek mahukan kesamaan taraf dengan kaum Adam sebaliknya menyentuh banyak aspek tentang kaum kita saja. Kalau dah sebut tentang perkara yang paling belakang, yang sulit dan yang paling bawah semestinya tentang maruah kita betul tak," Cik Natsia membalas dengan penerangan yang bernas padanya namun tidak tahu lagi pada fikiran Fira yang belum mencerna segala input yang didengarnya dari Cik Natisa tadi.

"Betul juga. Tapi takkanlah pantatisme lebih kepada maruah kaum kita saja, cik Natisa, mungkin ia lebih kepada pendirian seorang bergelar perempuan," tambah Fira yang mana otaknya sentiasa berjalan, lancar menerima segala input walaupun sering menikmati makanan ringan yang mampu melumpuhkan pergerakan minda.

"Ah, itu pun ada juga dalam teori saya ni. Jadi saya fikir lebih baik teori ini digunapakai mulai hari ini. Apa kata kamu berdua?" cadang Cik Natisa kepada mereka berdua yang kelihatan tercengang. Teori yang dihasilkannya ingin digunapakai segera. Teori yang dicipta atas dasar apa pun tidak diketahui. Namun apa yang pasti parlimen hati Cik Natisa kini telah membuat satu dasar perlembagaan baru bagi sistem pemerintahan dalam dirinya.

Mulai hari ini dengan secara rasminya teori pantatisme diterima pakai menjadi perlembagaan.
Kelihatan satu kepuasan pada air muka Cik Natisa. Mungkin teori yang baru dicipta ini dibuat atas dasar kepentingan dirinya sendiri, atau mungkin juga atas dasar kepentingan kaum sejenisnya, mereka yang bergelar perempuan. Mungkin hari itu menjadi hari baru buat diri Cik Natisa kerana penggubalan satu perlembagaan baru telah pun diguna pakai pada hari itu, menggantikan perlembagaan ortodoks dalam sistem pemerintahan dirinya. Apakah perlembagaan ortodoks itu? Iaitu percaya bahawa cinta akan bakal mengatasi segala-galanya. Cinta? Mungkin dia ingin melupakan Jasman atau Encik Jasman panggilan pelajar-pelajar kepada jejaka impiannya itu.

Namun apakan daya, pada suatu ketika Cik Natisa mendapat satu khabar angin yang tersebar dari mulut ke mulut bahawa Encik Jasman telah pun bertunang dan dalam sedikit masa lagi akan mendirikan sebuah mihrab cinta mereka berdua, Encik Jasman dan tunangnya. Kecewa ketika itu. Hancur luluh segala impian yang menggunung. Hari itu hari payung hitam buat Cik Natisa. Berkabung seketika apabila impiannya yang hidup ceria dirempuh kekecewaan yang sama ada sengaja atau tidak. Mungkin kesan daripada kejadian malang tanpa bau, Cik Natisa mula belajar mengenal diri. Lalu hasil daripada itu, lahirnya sebuah teori dari rahim benak fikirannya tetapi tidak cukup bula kerana ia lahir sebelum cukup sembilan bulan sepuluh hari. Mungkin ia sentiasa diasak keluar oleh tekanan yang sentiasa menghimpit jiwa dan benak fikiran Cik Natisa.

Pada Cik Natisa, sebelum dia mengisytiharkan rang undang-undang barunya itu dia mesti medengar respon orang di sekelilingnya, seperti ingin melintas jalan yang sesak, perlu menunggu lampu hijaunya sebelum melintas. Fira membatukan dirinya seketika, manakala Marni hanya menunggu apa saja jawapan yang bakal dikeluarkan dari mulut Fira. Itulah resmi hidup insan berjiwa lalang, tiada pendirian yang teguh dan tetap. Sentiasa menanti bayu berhembus untuk menentukan arah dalam membuat sesuatu keputusan. Putih kata Fira, putihlah pada Marni. Hitam kata Fira, hitam jugalah pada Marni. Benak fikiran Fira sedang ligat bergerak, mencerna setiap input yang didengar dari Cik Natisa, memilih input yang masuk dengan fikiran logik akal.

"Bagaimana?" soal Cik Natisa, tidak sabar-sabar mahu mendengar respon dari Fira dan Marni. Harapnya ia satu respon yang membina dan positif.

"Sebelum tu cik Natisa, saya musykil sesuatu. Boleh saya tumpang tanya?" akhirnya setelah beberapa minit membatu, Fira bersuara juga tetapi mengandungi kata-kata yang penuh kemusykilan. Mungkin benak fikirannya tidak mampu menghadam input dari Cik Natisa dengan sempurna.

"Boleh saja, silakan," tanpa melengahkan masa, Cik Natisa mahu Fira meneruskan persoalannya. Mungkin dia mampu menjawab soalan Fira. Marni masih tekun, mendengar dengan teliti perbualan Cik Natisa dan Fira. Fira meneruskan pertanyaannya.

"Teori ni lebih tumpu kepada hak waniat untuk mencapai kejayaan tanpa kehadiran lelaki di sisi mereka, bukan," Fira mula memberi pembayang kepada soalannya nanti.
"Ya," balas Cik Natisa ringkas. Fira menyambung lagi pertanyaannya.

"Bukankah setiap wanita perlukan lelaki jika untuk terus berjaya malah teori tu agak mengongkong peribadi wanita terutamanya dari hak untuk mencari pasangan, jadi macam mana pula kesan penggunaan teori ni pada cik Natisa?" Fira mula mengembangkan senyuman di bibirnya.

"Macam mana dengan Encik Jasman?" tiba-tiba kedengaran suara Marni, seolah-olah mengukuhkan lagi pernyataan Fira. Cik Natisa tersentak seketika apabila mendengar nama yang disebut oleh Marni. Jasman. Nama itu amat alah pada gegendang telinganya. Setelah apa yang berlaku padanya dan Jasman.

"Saya rasa ia tak begitu mengongkong kaum kita. Kita tetap boleh berjaya tapi tanpa lelaki juga kita tetap dapat meneruskan cita-cita kita kan?" balas Cik Natisa dan tidak menghiraukan Marni.

"Macam mana pula dengan rumah tangga?" sengaja soalan sensitif ini dikeluarkan oleh Fira bukan bertujuan untuk memerangkap Cik Natisa tetapi bagi membuat Cik Natisa berfikir semula apa tujuannya mencipta teori yang dilahirkan tanpa sebarang motif, tiada sebarang manfaat.

"Aaa… Hmmm…" Cik Natisa tersangkut dengan soalan cepu emas dari Fira. Segala-galanya tersangkut dan terbantut sekarang. Semangatnya yang menyala-nyala dari tadi kini beransur reda secara perlahan-lahan, dari suhu maksimum ke suhu minimum. Benak fikiran Cik Natisa mula menghadam segala kata-kata Fira tadi. Ada juga betulnya soalan itu dikemukakan.

"Encik Jasman…" Marni menyebut nama yang sama lagi. Input yang baru lalu menyusup masuk ke gegendang telinga Cik Natisa dan menghantar input ke dalam otak. Kalau pun Encik Jasman itu tiada jodoh dengannya mungkin dia akan dapat jodoh yang lebih baik daripadanya. Lebih baik dari Encik Jasman. Hati Cik Natisa mula berkecamuk serentak dengan fikirannya. Betapa bodohnya kerana kecewa seorang lelaki sanggup menghasilkan satu teori yang bakal menghuru-harakan keadaan sedia ada tanpa sebarang motif. Imbauan silam terpapar sejenak di layar fikiran Cik Natisa. Semasa dia cuba menegur Encik Jasman di kafe, dia tidak yakin lalu beransur pergi. Apabila sahabat-sahabatnya telah mengaturkan satu temujanji dengan Encik Jasman dia memberi alasan yang wajib, perlu pulang segera bimbang lipan elektronik akan lewat sampai dan dia akan tiba lambat di kawasan rumahnya di daerah sate, ketupat dan kuah kacang.

Apabila diberi nasihat agar berani berdepan dengan Encik Jasman, seribu satu alasan bakal dianyam siap-siap di dalam benak fikiran, cuma mahu dipamer keluar dari mulutnya. Kata-katanya yang mesti dituruti tetapi usul dan nasihat mereka yang lain diendah sebelah mata. Tetapi bab menyakat mereka yang cuba-cuba keluar bersama bakal pasangan, dia gurunya dan entah siapa anak muridnya, mungkin dirinya sendiri juga. Pernah sekali dia menyakat habis-habisan rakannya Malek. Baru mendengar cerita bahawa Malek menyukai seseorang di dalam ruang pejabat kampus, dia yang paling riuh bak ayam muda baru pertama kali bertelur. Kadang-kadang gurauan tidak bermotifnya itu melampaui garis horizon perasaan Malek. Malek mendapat tahu bahawa gadis yang diminatinya itu sudah tahu yang Malek merupakan peminat rahsia dirinya. Tertekan juga Malek setiap hari disakatnya hingga pernah memberitahu kawan-kawannya yang dia semakin segan dengan dirinya sendiri tetapi setelah diberi kata-kata semangat dari rakan-rakan, gurauan tidak berasasnya sudah lali di telinga Malek. Benar juga pertanyaan Fira. Memang kaum sepertinya mampu berjaya mencapai cita-cita walaupun tanpa kaum Adam di sisi mereka namun dalam hal berumah tangga mereka tidak dapat mengelak lagi. Bagaimana ya sekarang ini? Situasi Cik Natisa kini diluah mati mak, ditelan mati bapa.

"Encik Jasman…" kedengaran lagi suara Marni. Menyebut nama yang sama. Apa kena dengannya? Cik Natisa lalu menoleh ke belakangnya dan melihat kelibat Encik Jasman sedang melintas melalui bilik kuliah di mana dia bersama Fira dan Marni berbincang. Encik Jasman terus berlalu pergi.

"Saya ada hal. Apa-apa nanti jumpa di kelas esok, ok," kata Cik Natisa lalu bangun dari tempat duduk di dalam bilik kuliah itu lalu berjalan keluar. Pasti mahu mengekori Encik Jasman lagi. Fira dan Marni hanya berpandangan antara satu sama lain sambil mengankat bahu masing-masing. Mereka juga mula beredar dari bilik kuliah itu. beberapa cebisan kerepek kentang jatuh bertaburan di lantai dari seluar Marni.

Dengan segala hormatnya, teori pantatisme dibubar buat selama-lamanya!

 
You can follow any responses to this entry through the Contac Us. You can leave a response.