Cerpen : Terus Menanti

Kulirik lesu jam di tangan. 4.10 minit petang. Entah kenapa lewat pula En. Mustaffa, pensyarah Bahan Binaan masuk ke kelas hari ini. Selalunya belum sempat kelas sebelumnya habis, dia sudah berdiri di luar. Ada hal agaknya. Bagusnya kalau dia batalkan kelas. Hatiku bermonolog sendiri. Gelak ketawa teman-teman yang sedang berbual dan bercerita sesekali menampar gegendang telinga namun ia masih tidak cukup untuk menarik aku menyertai mereka. Letih. Dari pagi kelas tak ada ‘gap’ lansung. Jadi sementara menunggu pensyarah masuk lebih baik aku berehat. Menjadi pelajar semester akhir memang memenatkan, tapi biar sepenat mana sekalipun aku harus sabar menempuhinya.

"Assalamualaikum. Hari ini kelas batal. Kita ganti petang rabu ni," Pengumuman yang dibuat Naim, wakil kelas kami disambut gembira oleh semua. Masing-masing sibuk mengemaskan buku untuk pulang. Tidak terkecuali aku.

"Sha!!!" Jerit Sham sewaktu aku sedang bergegas keluar dari kelas. Segera aku matikan langkah. Nak apa pulak mamat seorang ni. Ngomelku dalam hati.

"Ada apa?" Soalku sebaik sahaja dia menghampiriku.

"Malam ni keluar makan nak?" Soalnya. Dia memandang tepat ke arahku.Menanti jawapan pastinya.

"Aku ada hal malam ni. Lain kali la." Jawabku sambil melarikan pandangan ke arah lain. Bagaikan sudah boleh agak jawapanku, dia mengangguk dan terus berlalu.

Maafkan aku Sham, bukan aku tak sudi tapi aku tak sanggup terus berpura-pura seolah-olah tiada apa sedangkan dalam hati aku hanya Tuhan yang tahu. Cukuplah sekali kerana sekali itu telah meninggalkan kesan yang amat dalam di dalam hatiku. Mungkin untuk selama-lamanya.

*************************************************

Biarpun hujan renyai aku terus berjalan. Biar cepat sampai ke rumah. Oleh kerana baru seminggu mendaftar di institusi pengajian awam ini, aku masih kurang arif tentang sistem pengangkutan awam yang terdapat di sini. Sudahnya aku berjalan kaki. Mujur jarak kampus dengan rumah sewa tidak terlalu jauh. Tidak sampai separuh jalan, rintik hujan yang tadinya halus mula kasar. Ku percepatkan langkah. Tiba-tiba sebuah kereta berhenti di hadapanku.

"Awak nak tumpang?" Soal pemandu kereta tersebut sewaktu aku melewatinya. Aku memandang sekilas ke arahnya. Langkahku terhenti. Ku toleh sekali lagi untuk kepastian. Memang sah. Muhammad Farisham bin Mokhtar, teman sekuliahku. Jantungku berdegup laju. Lebih laju dari tadi. Aku pun tak tahu tapi yang pasti pertama kali melihat dia jantungku berdegup seperti sekarang. Takkan jatuh cinta pandang pertama? Tak mungkin.

"Mari la naik. Hujan lebat ni," ujarnya sambil tersenyum. Nampak ikhlas dan kakiku ringan saja melangkah ke dalam keretanya.

"Terima kasih," ucapku tanpa memandangnya sebaik saja tiba di depan rumah. Gugup. Sebelum turun aku teringat sesuatu.

"Kena bayar tak ?" Soalku. Orang berbudi kita berbahasa. Soalanku mengundang kerut di dahinya sebelum tersenyum. Mungkin dia fikir aku melawak padahal aku serius sebenarnya.

"Tak payah bayar, tapi malam ni belanja saya makan." Ujarnya selamba. Aku terdiam. Lama.

"Kalau macam tu, malam nanti saya datang ambil awak. Lepas isyak."Tanpa menunggu kata setuju dari aku dia terus berlalu. Tinggal aku termanggu seorang diri di depan rumah.

Malam itu, dia betul-betul datang dan aku menunaikan janji yang bukan aku janjikan iaitu belanja dia makan. Tapi pada malam itu aku membuat janji untuk diriku sendiri kerana pada malam itulah aku sedar bahawa aku benar-benar telah jatuh cinta. Jatuh cinta pandang pertama. Karut tapi itu adalah hakikat yang terpaksa aku terima dan aku simpan. Dan kerana malam itu jugalah aku terpaksa berlakon dan terus membohongi diri sendiri selama ini bahawa aku tidak pernah jatuh cinta.

*************************************************

Suasana di medan selera agak lengang sewaktu aku dan Aina tiba. Kami memilih untuk makan di kedai yang berada di hujung sekali. Bosan rasanya asyik ‘tapau’ dan makan di rumah. Itu alasan Aina sewaktu mengajak aku makan tadi. Aina adalah teman baikku di sini. Kami berkawan sejak awal pengajian lagi. Setelah memesan makanan aku dan Aina berborak-borak kosong. Namun ada sesuatu yang menarik perhatianku.

"Kau tau tak, semalam masa aku keluar aku terserempak dengan Sham," Aina memulakan cerita. Sham? Dadaku mula berkocak sebaik terdengar nama itu.

"Sham?" Soalku perlahan.

"Aa, dia dengan sorang perempuan. Dia bagitau aku tu ‘buah hati’ dia. Patutlah mesra semacam saja aku tengok." Bersungguh-sungguh Aina menyambung cerita.

"Betul ke?" Soalku lagi. Tenang. Aina mengangguk. Aku cuba berlagak biasa sedangkan dalam hati hanya Tuhan yang tahu. Hancur luluh perasaanku. Ya Allah kiranya penantianku selama hampir 3 tahun ini sudah sampai ke penghujungnya. Penantian seorang insan bernama Nur Shafika mengharapkan huluran kasih seorang lelaki bernama Muhammad Farisham. Tak perlu lagi aku terus menanti kerana semuanya kini sudah menjadi pasti. Mungkin aku terlalu bodoh kerana hanya menanti tapi bagiku cinta sejati akan datang dengan sendirinya tanpa perlu di cari. Dan itulah yang aku lakukan. Menanti. Akhirnya inilah jawapan bagi sebuah penantian. Aku pasrah ya Allah, andai dia bukan untukku. Air mata yang ku tahan sejak di medan gugur jua sebaik sahaja aku masuk ke bilik. Malam ini aku tewas oleh perasaanku sendiri.

**************************************************

Pagi ini kuliah berjalan seperti biasa. Lagi tiga minggu peperiksaan akhir. Aku dan teman sekuliah semakin sibuk mengulangkaji pelajaran. Memandangkan ini semester terakhir, masing-masing ingin melakukan yang terbaik. Cerita tentang Sham tempoh hari cubaku lupakan walaupun sukar sebenarnya dan seboleh-bolehnya aku cuba menghindarkan diri daripadanya. Jika dulu aku boleh melayan dia sebagai seorang teman walaupun jauh di sudut hati aku sukakannya namun selepas aku mengetahui yang dia sudah ada kekasih aku tidak mampu untuk terus berpura-pura lagi. Pernah dia mempersoalkan tindakan aku tapi bagi aku itu adalah yang terbaik demi memastikan harapan kedua ibubapaku terlaksana.

"Sha, aku nak mintak tolong sikit boleh?" Soal Sham sebaik sahaja kuliah tamat. Waktu itu aku sedang mengemas beg. Aku bercadang hendak ke kafetaria semetara menunggu kelas berikutnya.

"Nak mintak tolong? Tolong apa?" Soalku kembali sambil berpura-pura sibuk.

"Aku ada soalan nak suruh kau tolong ‘settlekan’. Aku dah cuba buat tapi tak dapat jawab."Ujarnya sambil menghulurkan sekeping kertas kepadaku. Aku mengambil kertas tersebut dari tangannya.
"Malam nanti boleh? Bila dah siap aku cakap." Ujarku terus berlalu meninggalkan dia. Dalam hati aku menyoal kembali tindakan aku sebentar tadi. Sepatutnya aku menolak permintaan dia tapi entahlah. Aku tidak mampu menolak permintaanya. Mungkin kerana dia teman sekelas atau mungkinkah kerana aku masih mengharap dan menanti ? Apapun jua alasannya aku yakin tindakan aku tidak salah kerana tanpa aku sedari dia merupakan salah seorang penyuntik semangatku di sini.

***************************************************

Alhamdulillah, syukur kepada Tuhan kerana peperiksaan akhir telahpun tamat. Riuh rendah dewan peperiksaan sewaktu pengawas bertugas membenarkan semua pelajar meninggalkan dewan. Lega rasanya dan aku amat berharap agar usahaku selama tiga tahun ini tidak sia-sia. InsyaAllah. Aku dan Aina beriringan ke tempat letak motorsikal. Tiba-tiba telefon bimbitku bergetar. Ku lihat pemanggilnya. Sham.

"Assalamualaikum," Tenang suara dia memberi salam.

"Waalaikummussalam," Aku menjawab perlahan.

"Aku nak jumpa kau kejap boleh? Aku tunggu kat Restoran Ibu." Soalnya serius. Setelah agak lama berfikir aku bersetuju. Mungkin ini kali terakhir kami dapat bertemu dan aku tak mahu perhubungan yang terjalin antara kami selama tiga tahun terputus begitu sahaja. Sekurang-kurangnya biarlah ia berakhir dengan nama persahabatan walaupun pada hakikatnya aku mengharapkan yang lain.
Sham telahpun menunggu sewaktu aku masuk ke dalam restoran tersebut. Aku menarik kerusi dan duduk di depannya.

"Macam mana leh jawab tak exam?" Soalnya serius sebaik sahaja aku duduk. Aku sekadar senyum sebagai jawapan.

"Bila balik kampung?" Soalnya lagi. Masih Serius. Belum sempat aku jawab, minuman sampai. Dua teh ais. Minuman kegemaran aku.

"Kau suka teh ais kan? Eh, kau tak jawab lagi tadi. Bila balik kampung?" Terkedu aku seketika. Tak sangka dia ingat lagi yang aku suka minum teh ais.

"Esok kot. Kau?" Aku menyoalnya kembali. Kekok aku rasakan bila melihat keseriusannya.

"Jap lagi. Dalam pukul dua." Jawabnya sambil memandang tepat wajahku. Tajam renungannya seolah-olah ada sesuatu yang cuba disampaikan.

"Cepatnya. Tak sabar nak jumpa awek ek." Usikku cuba menukar suasana yang serius ni menjadi lebih santai.

"Awek? Aku mana ada awek." Dia menjawab perlahan.
"Ala jangan tipu la, hari tu kau yang cakap kat Aina kan?" Soalku tak ingin mengalah. Aku cuba melihat reaksinya. Selamba. Biarlah apapun reaksinya, aku tetap tak boleh mengubah kenyataan yang dia bukan untukku.Sebaik sahaja terfikirkan perkara tersebut aku jadi sebak. Namun, aku akan bahagia jika dia bahagia. Itu janjiku.

"Tu bukan awek aku. Dia sepupu aku." Jawabnya sedikit tersenyum. Ye la tu. Dah ada kekasih tak nak mengaku. Lelaki. Getusku dalam hati kecilku.

"Eh, kau nak jumpa aku buat apa? Lupa pulak nak tanya." Soalku, mengubah topik yang tidak ingin ku panjangkan.

"Aku ada benda nak pulangkan pada kau. Lagi satu aku ada benda penting nak bagitau kau." Ujarnya sambil menghulurkan satu bungkusan pada aku.

"Apa ni, bila masa pulak aku pinjamkan kau barang?" Soalku hairan. Seingat aku tak pernah dia pinjam apa-apa dari aku.

"Kau tengokla sendiri. Aku gerak dulu. Takut tertinggal bas. Sori kalau aku ada salah kat kau. Tak tau bila pulak kita boleh jumpa. Aku dapat sambung belajar kat Jepun.Esok aku bertolak." Ujarnya terus berlalu sebelum sempat aku berkata apa-apa.

Terkilan jugak kerana baru sekarang dia memberitahuku perkara sepenting itu tapi aku sedar siapa aku di hati dia. Tak penting. Serentak itu aku terasa ada air hangat mengalir di pipi. Segera ku seka namun ia tetap mengalir sepanjang perjalanan pulang ke rumah seolah-olah tak ingin berhenti. Aku terus meluru ke dalam bilik sebaik sahaja sampai. Aku menangis sepuas-sepuasnya. Kenapa aku sendiri pun tidak tahu. Mungkin tangisan sebagai tanda penantianku selama ini benar-benar telah berakhir. Ku renung bungkusan pemberian Sham sebentar tadi. Dalam sedu yang masih bersisa ku buka balutannya. Sebuah buku. Dan sepucuk surat. Hairan. Kalau tak silap aku buku nota Sains Kejuruteraan, subjek masa semester satu dulu. Ku selak helaian pertama, nama aku. Ertinya ini buku aku, tapi macam mana boleh ada pada dia? Memang hairan. Ku cuba panggil kembali ingatanku satu persatu. Aku teringat yang aku pernah pinjamkan buku itu kepadanya tapi rasanya aku dah ambil balik. Puas berfikir akhirnya aku teringat sesuatu. Tidak!!! Jeritku namun jeritanku hanya bergema di dalam hati. Kalut tanganku menyelak helaian buku tersebut satu persatu dan tanganku terhenti bila mataku tertancap pada satu helaian kosong yang penuh dengan tulisan tanganku yang bermacam-macam ‘font’ itu. Semuanya perkataan yang sama iaitu Muhammad Farisham ‘I love u’. Ya Allah, rupa-rupanya selama ini dia tau yang aku sukakannya. Patutlah dia seolah-olah cuba sampaikan sesuatu kepada aku tadi. Rupanya ini yang ingin disampaikan. Mesti dia nak cakap yang dia tidak boleh menerima aku kerana hatinya sudah menjadi milik gadis lain tapi dia tak sampai hati nak lukakan insan sebodoh aku, jadi cara terbaik adalah biar aku sedar sendiri kebodohan aku itu. Ku lemparkan buku tersebut ke tepi dengan rasa kesal dan malu yang menggunung laluku ku buka pula surat yang berada di atas riba.

Assalamualaikum Nur Shafika...maafkan aku, tapi aku nak kau tau aku cintakan kau…

Terkejut aku membaca ayat yang pertama di tulis oleh Sham itu. Sedu yang sedikit terus hilang dek terlampau terkejut. Mulutku yang ternganga aku tutup sebelum menyambung bacaan.

…mungkin kau terkejut tapi aku betul-betul maksudkannya…aku sendiri pun tak sedar bila aku mula cintakan kau…Aku mintak maaf sbb baru sekarang aku bagitau…aku ada sebab untuk tak cakap kat kau sebagaimana kau ada sebab untuk tak cakap kat aku perasaan kau tu…dan aku ada satu permintaan…terpulang pada kau samaada kau nak tunaikan atau tak…aku harap kau akan terus tunggu...aku tak perlukan jawapan dari kau sbb aku dah ada jawapan untuk diri aku sendiri…aku akan terus tunggu…sbb aku yakin semua ini pasti akan berakhir suatu hari nanti cuma bagaimana pengakhirannya hanya Allah yang tahu…Ikhlas Muhammad Farisham bin Mokhtar.

' Salam,aku harap kau berjaya capai cita2 kau...aku doakan kau selamat pergi dan selamat balik'
Pantas tangan aku menaip sms dan dihantar kepada Sham.

' W'salam, aku pun harap kau berjaya...tunggu aku' Ringkas balasan dari Syam tapi sudah cukup buat aku.

Tangisan yang telah berhenti tadi bersambung kembali namun kali ini tangisan itu sudah pasti sebabnya. Ku lipat surat di tanganku dengan sebuah janji. Aku juga akan terus menanti dengan segugus doa agar akhir sebuah penantianku akan sama dengan akhir sebuah penantian seorang insan bernama Muhammad Farisham bin Mokhtar. Amin.

 
You can follow any responses to this entry through the Contac Us. You can leave a response.