Cerpen : Rindu yang terpendam

"Kau jangan rindukan aku ek bila dah cuti nanti. Bimbang kau tak lena tidur pula nanti..." luah Ruzny pada Iqbal. Tanpa perlu berselindung, Ruzny bebas meluahkan apa sahaja pada temannya itu. Kata-kata Iqbal dibalas dengan tawa lepas dari Iqbal.

"Jangan mimpi lah aku akan rindukan kau. Kau bukan sape-sape pun ngan aku. Kawan aku jugak. Sama macam Muz, sama macam Jamil." Slumber Iqbal membalas kata-kata Ruzny. Senyuman terukir indah di bibir Ruzny berhiaskan lesung pipit di kedua-dua belah pipi gebu miliknya. Belum sempat kata-kata Iqbal berbalas, Iqbal menyambung ayatnya kembali.

"Kan lebih elok kalau aku rindukan Sue..."

Terbayang di benak Iqbal akan kelembutan gadis kelahiran Pahang yang terkenal dengan lenggoknya yang gemalai. Jauh berbeza jika dibandingkan dengan Ruzny yang lebih senang menjadi dirinya yang sebenar. Senyuman terukir di bibir Iqbal membayangkan dirnya di samping insan kegilaan ramai itu. Ruzny yang berada di hadapan kini tidak dihiraukan. Ruzny cukup faham perasaan Iqbal yang sering inginkan Sue sebagai teman wanitanya. Bukan tidak pernah Iqbal meminta Ruzny menjadi posmen cinta yang bergajikan hanya segelas jus oren kegemaran Ruzny. Ruzny hanya menurut. Baginya, kebahagiaan Iqbal adalah kebahagiaan dirinya.

"Woi, mati burung yang terbang tu nanti terkena renungan kau! Silap-silap hari bulan, tak sempat dia nak ucap selamat tinggal kat pasangan dia."

"Hehe...kau bukan tak tahu. Dia tu kan popular kat sini. Apa salahnya kalau aku nak rasa jadi partner dia jugak. Tak salah kan?"

"Lantak kau lah. Jangan kau mintak aku jadi ketua rombongan untuk lamar dia kat dalam kuliah nanti sudah la."

**********

Iqbal dan Ruzny beriringan ke dewan kuliah setelah selesai mengisi perut yang sejak dari tadi minta diisi. Dari satu sudut, Ruzny terpandang Sue yang sedang asyik dengan noel di tangannya. Ruzny yang pernah satu LDK dengan Sue semasa minggu suai kenal semester satu dahulu sedikit sebanyak mengetahui maklumat Sue. Sue berasal dari sebuah keluarga yang berada yang cukup segalanya. Tambahan lagi Sue merupakan seorang anak tunggal yang tidak pernah dijentik mahupun sekali.

Pandangan dialihkan ke arah insan di sebelahnya, Iqbal. Seperti yang dijangka, mata Iqbal juga tertumpu pada arah yang sama. Matanya tidak berkelip walau sekali.

"Kau ni...agak-agak la kalau nak tenung anak dara orang tu. Cover sikit. Nanti kan apa pulak minah tu fikir," kata-kata Ruzny mengembalikan Iqbal ke dunia nyata.

"Kau boleh tolong aku tak?"

"Apa?"

"Boleh tak kau mintakkan nombor telefon dia untuk aku? Hari tu kau jugak cakap yang kau pernah kenal dia. Mesti dia tak rasa pelik bila kau mintak nombor telefon dia."

"Aku?" mata Ruzny membulat tidak menyangka. "Aku...."

"Hari tu kau jugak cakap yang kau suka tengok aku bahagia. Aku tengah dalam proses nak menuju bahagia la ni. Please..."

Ruzny termakan dengan kata-kata sendiri. "Nanti lah aku mintak nombor telefon dia. Tapi...bila dah dapat nombor phone dia, kau jangan buat-buat tak ingat pulak dekat insan yang banyak berjasa kat kau ni."

"Eleh. Ada-ada je la kau ni."

**********

Usai solat maghrib, menatap lesu laptop di hadapannya, Ruzny membuka folder bertulis ‘kenangan’. Saat ini, dia begitu rindu pada insan istimewa itu. Ditatap gambar kenangan semasa ibu dan ayahnya masih mampu menemaninya di dunia fana. Perjalanan menuju ke Pantai Teluk Batik telah meragut nyawa kedua insan tercinta. Masih terbayang di matanya bagaimana kecuaian seorang pemandu sebuah Pajero telah merampas kejam kebahagiaan yang sedang dikecapi.

Tanpa disedari, air jernih gugur dari birai matanya membasahi pipi gebu miliknya. Sesekali Ruzny diterjah rasa pilu dan rindu akan insan yang telah jauh meninggalkannya. Kini, Ruzny keseorangan melalui denai kehidupan tanpa insan tersayang menemani di sisi. Apa yang dimiliki hanyalah Iqbal, Muz dan Jamil yang masih sudi menemaninya melalui sisa-sisa hidup yang masih berbaki.

**********

Dari kejauhan Ruzny menangkap kelibat Sue di Restoran Nasi Kandar Bahagia. Langkah diatur menuju meja makan yang hanya dihuni oleh Sue dan novelnya. Tanpa dipelawa Ruzny menarik kerusi dan melabuhkan punggung di hadapan Sue. Sue hanya tersenyum menyambut kedatangan Ruzny yang tanpa berjemput.

"Hai, ingat aku lagi tak? Ruzny, yang kenal masa minggu suai kenal semester satu dulu."

"Ooo..ingat lagi la. Mana boleh tak ingat. Kan awak yang rapat jugak ngan saya time tu." Senyum manis masih terukir di bibir merah Sue. Sesungguhnya gadis ini tidak pernah lekang dengan senyum manisnya. "Dah lama tak dengar cerita tentang awak. Sihat?"

"Macam yang kau lihat ni la. Still macam dulu juga."
Banyak perkara yang dibualkan bersama di pertemuan antara dua teman yang tidak dijangka itu. Dari kenangan semasa minggu suai kenal sehinggalah kepada gosip-gosip hangat yang membuatkan mereka tertawa. Semakin banyak yang Ruzny ketahui tentang Sue. Mereka sudah mula bertukar-tukar nombor telefon sebagai bukti pertemuan kembali dua insan yang mengenali.

**********

Nombor telefon yang diterima daripada Ruzny petang tadi didail. Debaran di dada semakin laju. Mengalahkan raja pecut yang sedang dikejar sang harimau. Di hujung talian, kedengaran satu suara mengalunkan salam.

"Assalamualaikum..."

Salam dijawab namun debar di dada masih laju. Kini semakin laju tanpa diduga. Namun, demi memenuhi cita-cita untuk merapati Sue, apa yang tersirat di hati terus diluahkan.

"Saya Iqbal. Boleh kita kawan? Itu pun kalau awak tak kisah untuk berkawan dengan saya." Lancar Iqbal melafazkan niat di hati.

"Boleh. Tak salah pun berkawan. Bak kata pepatah, berkawan biar seribu..."

Jawapan tak terduga dari Sue membuahkan senyuman di bibir Iqbal. Hati di dalam hanya tuhan yang tahu.

"Terima kasih. Emm...boleh kita jumpa?"

"Emm...nanti saya fikirkan. Apa-apa hal saya akan beritahu awak nanti."

"Thanks, see ya."

**********

Pohon cempaka di tepi padang menjadi saksi pertemuan pertama antara Iqbal dan Sue. Tergambar perasaan ceria dari riak wajah masing-masing. Ruzny hanya mampu menjadi pemerhati kemesraan antara mereka. Dari kejauhan, ditatap kemesraan tersebut dengan senyuman terlukis di bibir. Namun, apakah makna di sebalik senyuman yang hanya terlukis hambar itu? Jauh di sudut hati, satu perasaan meraja di hati. Apakah itu cemburu?

Jamil yang sedari tadi memerhatikan Ruzny, menghampiri seraya menegur lantas menghentikan lamunan Ruzny yang telah sekian lama.

"Haa...apa la kau ni. Orang dating pun kau nak tengok ke? Sendiri dating la..."

"Eh, Jamil. Kau dari mana? Lama tak jumpa kau. Kau pun busy dengan awek jugak ek?"

"Aku jumpa Prof Fatimah tadi. Tunjuk proposal aku. Aku ni mana ada orang nak. Aku nak kat kau pun kau taknak. So...aku sorang-sorang je la."

"Ye la tu. Susah sikit aku nak percaya kat orang macam kau ni."

"K la, exam pun dah dekat. Jom ikut aku study kat library. At least, tak la tambah dosa kau duk intai orang tengah dating."

Sambil menuruti Jamil, Ruzny hanya tersenyum sumbing.

**********

‘Iqbal, dah lama kita tak duk semeja sambil aku ngutuk kau. Jom lepak sama-sama esok kat tempat biasa’

Iqbal membaca pesanan ringkas yang diterima lantas dibalas tanpa perlu penghantarnya menunggu lama

‘Sori la...aku ada janji dengan Sue esok. Next time la ye kita jumpa.’

Hampa. Hanya itu yang tergambar di wajah Ruzny ketika itu.

**********

‘Mana ni? Takkan tertinggal kot.’

Keluhan berat dilepaskan. Sudah lama digeledah biliknya untuk mencari diari yang satu miliknya. Namun, kehampaan tetap menjadi jawapannya. Ruzny buntu. Pasrah. Hanya mengharap tidak ada sesiapa yang menemui diarinya itu. Diari itulah satu-satunya tempat untuk dia meluahkan perasaan dan rasa hatinya.

**********

Tamat semester kelima yang dinanti-nanti. Semangat untuk pulang ke kampung tetap ada biarpun tiada siapa yang menantinya di sana. Baginya, biarlah dia berjauhan sebentar dengan kampus tersebut. Sekurang-kurangnya dia mampu melupakan sejenak kemesraan antara Iqbal dan Sue.

Perjalanan pulang ke Terengganu baginya terasa cukup lama. Hanya pemain mp3 yang menjadi teman sepanjang perjalanan.

Tiga minggu berlalu tanpa sebarang khabar berita dari Iqbal. Bagi Ruzny, Pantai Teluk Batik yang terletak tidak jauh dari rumahnya menjadi tempat untuk dia melepaskan segalanya. Sesekali dia ditemani Jamil yang tinggal tidak jauh dari kediamannya. Mereka sering juga menghabiskan masa bersama-sama di pantai tersebut. Seperti ada sesuatu yang ingin disampaikan Jamil, tapi keberanian belum cukup untuknya berterus-terang. Dipendamkan sahaja hasrat di hati.

**********

Ruzny membuka mata yang dirasakannya amat payah. Terasa dirinya berada di satu tempat yang cukup asing baginya. Yang kelihatan hanyalah Jamil yang menanti dengan senyuman. Ruzny membalas senyuman walaupun serinya telah kian pudar.

"Mil, aku kat mana ni?"

"Kau ada kat hospital ni. Kau tiba-tiba pengsan semasa kita kat pantai tadi."

"Kenapa dengan aku? Aku tak apa-apa kan?"

"Ruz, kau berehat ya."

"Mil, kenapa aku kat sini? Cakap Mil, cakap."

"Sebenarnya...doktor sahkan kau menghidap barah otak."

Ruzny diam tidak terkata. Satu kejutan yang cukup berat untuk diterima. Pandangan dialihkan menghadap tingkap. Air jernih mengalir lesu membasahi pipi. Baginya, dunia kini bagaikan gelap tanpa sebarang cahaya. Jamil yang hanya mampu memandang tidak mampu berbuat apa-apa.

**********

Langkah lesu dihayun menuju telefon awam. Tangannya laju mendail nombor telefon yang sentiasa segar di ingatan. Dia memerlukan seseorang yang amat dirindui ketika ini. Walaupun kesempatan yang tinggal hanyalah seketika, dia ingin benar menatap wajah insan yang pernah tersemat di hatinya. Walaupun jarak memisahkan, dia tetapkan menggagahkan diri dengan kekuatan yang masih bersisa.

"Hello, sape ni?"

"Hello, Iqbal. Aku ni, Ruzny." Dengan tenaga yang berbisa, Ruzny berlagak ceria menyembunyikan penderitaan di hati yang ditambah dengan penderitaan yang ditanggung. Tampak palsu bagi yang benar-benar mengenali insan bernama Ruzny.

"Oh, lama tak dengar cerita dari kau. aku call handphone kau tapi takde orang jawab."

"Maaf la. Phone aku hilang. Iqbal, kau taknak datang jenguk aku kat sini ke?"

"Hahahaha" terlepas tawa dari Iqbal. "Apsal, kau dah rindu kat aku ke? Sabar la, semester baru pun dah nak mula. Nanti kau tengok la aku puas-puas. Nape? Takut tak sempat nak jumpa aku ke?" lancar sekali balasan dari Iqbal

Ruzny diam tanpa kata. Diputuskan talian yang masih berbisa. Tidak terduga jawapan dari Iqbal. Terduduk dia di situ sambil tangisan terlepas tanpa ditahan-tahan. Jamil yang sedari tadi hanya memerhati hanya mampu mengalirkan air mata mengenang nasib seorang kawan.

**********

"Ruzny...aku ada sesuatu nak beritahu kau."

"Apa dia?"

"Aku nak mintak maaf dengan kau. Aku nak pulangkan diari kau. Hari tu kau tertinggal masa kita sama-sama study kat library. Maaf, aku terbaca." Diari tersebut diletakkan di atas katil. Ruzny hanya terdiam.

"Kau baca semua?"

"Tak lah. Aku baca sikit je."

"Mil, aku tahu...aku nak mintak satu je dari kau. Tolong rahsiakan tentang luahan hati aku yang kau baca kat dalam diari tu. Aku taknak ganggu kebahagiaan Iqbal dan Sue. Lagipun, aku rasa dunia ni pun dah tak perlukan aku lagi. Lagi satu, aku taknak dia tahu tentang aku sekarang ni."

"Ruz...kau nak jumpa dia kan? Kau rindukan dia kan?"

Ruzny membuang pandangan ke luar tingkap. Tidak mampu menjawab soalan Jamil.

"Mil, andai aku tak sempat jumpa dengan dia, kau tolong bagi ni kat dia." Sampul surat berwarna biru kini bertukar tangan. "Aku juga nak mintak maaf dengan kau kerana dah banyak menyusahkan hidup kau. Terima kasih atas segalanya. Aku tak mampu balas segalanya. Kalau aku pergi, kau jangan sesekali sedih dan tangisi pemergian aku. Tu je aku mintak dari kau."

Jamil hanya mampu mengangguk. Tidak mampu membalas kata-kata Ruzny. Semuanya bagaikan tersekat.

**********

‘Maafkan aku Ruzny. Aku terpaksa mungkiri janjiku. Aku terpaksa beritahu Iqbal. Aku nak kau lihat dia dan lepaskan rindu kau padanya...’

Iqbal masih terpinga-pinga dengan jemputan tidak diduga daripada Jamil. Setibanya di stesen bas tadi, dia dijemput oleh Jamil dan tanpa sepatah bicara kereta itu dipandu laju menuju destinasi. Namun, Iqbal belum pasti akan akhir destinasi itu.

Akhirnya, persoalan kini terjawab. Jelas tersergam dihadapan Iqbal sebuah hospital. Tanpa bicara, Iqbal menuruti Jamil yang meninggalkannya. Namun hati masih diterjah dengan pelbagai persoalan yang entah bila akan terjawab. Mungkinkah akan terjawab seketika nanti? Hendak ditanya, tapi lidahnya kelu melihat reaksi dingin Jamil. Hanya langkah diatur mengiringi Jamil.

Setiba di bilik pesakit, mereka terserempak dengan seorang doktor. Jamil dengan segera mendapatkan doktor yang baru sahaja keluar dari bilik yang menempatkan Ruzny. Jamil meluru ke bilik yang kini di hadapan mereka. Tanpa dijemput, Iqbal dengan segera menuruti Jamil. Alangkah terkejutnya apabila terpandangkan sekujur tubuh yang telah diselimuti dengan kain putih. Siapakah gerangan insan itu hinggakan Iqbal turut diheret sama ke hospital itu?

Selimut yang tadi menutupi muka kini dibuka. Wajah pucat yang cukup dikenali itu ditatap sayu. Bagai luruh jantung untuk menerima kenyataan yang satu itu. Ruzny? Pandangan kini bagaikan berpinar. Iqbal tersandar di dinding lantas terduduk lemah.

Jamil menghampiri Iqbal. Sampul surat biru diberikan kepada Iqbal. Iqbal menerima dengan lemah lantas dibuka dan teru dibaca.

Iqbal...
Maafkan aku jika selama ini aku dah banyak menyusahkan engkau.
Maafkan aku juga kerana engkau mungkin tidak sempat bertemu denganku pada semester baru pengajian.
Maafkan aku juga kerana menyimpan rindu padamu.
Aku mendoakan kejayaanmu selalu,
Aku juga mendoakan kebahagiaankmu dengan insan tersayang.
Satu pintaku...
Lenyapkan namaku dari ruangan ingatanmu buat selamanya.
Moga tiada lagi kenanganmu bersama insan bergelar RUZNY.

Hanya air mata mampu meluahkan perasaan Iqbal tika itu. Hati hanya mampu berbisik ‘maafkan aku Ruzny. Aku kejam tidak menghiraukan salam rindu darimu...’

 
You can follow any responses to this entry through the Contac Us. You can leave a response.