Cerpen : Hadiah Hati Daripada Fahri

Persahabatan, satu ungkapan yang sering didengar dari mulut-mulut manis berbicara yang memutar kata. Ada seorang sahabat, setelah merasakan kehilangannya kita merasakan kerinduannya. Lelah nafsu ini mengungkapkan kata rindu, lelah diri ini menanti saat ia kembali pulang. Namun mustahil bagi dirinya. Ini adalah coretan sepi bukan sekadar jeritan duka, tetapi suka duka seorang sahabat, tatkala tirai senyuman kian bertandang, terus dihujani sepi malam penuh tangisan. Ibarat berunai yang tumbuh melata, dari jernih bertukar warna kehitaman. Itulah kisah sahabat yang ditakdirkan harus memilih antara impi dan kenyataan.

Sukar mencari sahabat, apatah lagi sukar mencari erti sahabat sebenar. Samri yang kini menetap di ibu kota setelah lari dari mimpi semalam, Mencari senyuman dalam kesepian, mencari tawa dalam tangisan. Umbun-umbun dikepalanya kian berubah warna dimamah usia yang kian meningkat. Walau ia berlalu hampir bertahun lamanya, namun erti seorang sahabat yang telah diberikan tidak akan pernah luput walau sedetik walau hambatan kian menguncang takdir ilahi. Ingatannya kepada insan itu seperti setiap dengupan nadi yang rancak berdetak.

"Abang, apa yang dimenungkan tu. Nah tengok abang sejak akhir-akhir ini abang sering berfikiran sendirian. Abang ada masalah?" termpias perkataan itu membuatkan Samri buta dan lena dari lamunan.

"Tidaklah, abang teringatkan Fahri. Esok genap 15 tahun dia pergi meninggalkan kita" Samri mencari ruang-ruang bilik kamar untuk mencari tempat anak mata ini melirik sedih. Hatinya di bawa jauh dari kesedihan yang kian memuncak tatkala tarikh keramat itu menjelma untuk ke 15 kalinya.

"Fahri, kawan baik abang yang abang ceritakan tu ke?" Tanya Aminah sambil menggosok baju lama yang kian usang dek dimamah habuk yang kesat.

"Ya, dialah. Kerana dialah Abang hidup dan kerana dialah abang belajar erti persahabatan." Balas Samri sambil mengingatkan kembali tirai sejarah 15 tahun dahulu.
"Nah tahu bang. Kalau dia tak selamatkan abang, sudah tentu abang dengan Nah tak berjumpa." Aminah mengeratkan tangannya sambil menyusun baju yang telah digosok itu ke dalam almari. Dirapikan pakaian lama itu untuk kelihatan tersusun bertingkat.

15 Tahun dahulu, Samri seorang penghidap penyakit hati yang hanya menunggu penderma hati yang sesuai untuknya. Namun sekian lama, penantian Samri ibarat hanya menunggu seekor kucing yang tidak mungkin akan bertanduk. Kesihatannya semakin terjejas dek kerana hati yang kian hari kian hilang fungsinya. Namun dikuatkan diri dengan seerat ikatan kesabaran dan penuh debaran penderma, namun Samri pasrah. Fahri sebagai seorang sahabat sangat sempurna baginya sebagai seorang lelaki. Seorang yang baik, soleh, bertanggungjawab dan sempurna, siapa perempuan yang memiliki Fahri sudah tentu akan bertuah dunia dan akhirat.

"Allah tidak akan memberi cubaan kepada hambanya lebih dari kemampuan diri hamba itu sendiri. Bertawakalah dan bersabarlah, insyaAllah semuanya akan selamat" tatkala Samri dirundum kesedihan dan kekecewan dalam hidup, Fahri memberikan semangat dan harapan untuknya hidup.

Tanpa disedari Samri menitiskan air mata sebaik mendengar kata-kata Fahri, bagi Samri itu adalah kata-kata yang ikhlas dan memberikannya semangat untuk hidup kembali walau untuk sedetik.

"Apa kata kau ambil saja hati aku ni" Gurauan Fahri tetapi wajahnya dengan raut-raut yang serius dan meyakinkan kata-katanya.

"Hahahahha..." Samri ketawa mendengar kata-kata Fahri.

"Kenapa kau ketawa?" Tanya Fahri kehairanan.

"Dah kau buat lawak, aku ketawalah" balas Samri sambil membetulkan kedudukan bantal dikatil hospital yang tidak empuk dan kurang enak ditidur sampai sakit sendi-sendi badan dibuatnya.

"Aku serius la." wajahnya yang penuh dengan keyakinan dan membuatkan Samri terhenti dari ketawa. Pipinya ditempias oleh kata-kata yang seakan-akan berbisa dengan hati Samri yang kian hari kian pualam. Samri membisu seketika, lalu berbicara dengan hati dan perasaannya.

"Apakah maksud kata-kata Fahri? Adakah sebagai bercanda untuk membuatkan kau lebih tenang atau sebaliknya".

"Aku tak main-mainlah. Andai katalah kan, aku pergi dahulu, aku nak dermakan hati aku ni kat kau. Aku ikhlas. Walau kita tak bersama disisi tetapi aku nak bersama sahabat baik aku ni untuk selama-lamanya" Sambung Fahri lagi. kata-kata itu membuatkan Samri tersentap. Dengan pantas dia menutup mulut Fahri dengan tangan.

Suasana yang menjadi bisu seketika, dunia ini baginya seakan terhenti seketika. Jaruman jam di dinding kamar wad terhenti seketika setelah penat memutar waktu. Samri mencari bayang dalam kegelapan akan maksud-maksud Fahri.

"Apa kau merepek ni, dah la. Aku malas nak dengar lagi. Tidur lagi baik" Samri terus memalingkan muka dan tubuhnya dari menghadap wajah Fahri yang berada di sisi kanan katil. Samri pura-pura memejamkan mata yang dia sendiri paksakan. Jantungnya kian pantas berlari, terpapar seribu kali tanyangan kata-kata Fahri di dalam benaknya.

“Siang-siang hari merepek. Huh…" benak Samri sambil mengeluh dalam hati. Lalu diambil sebiji bantal dan menutup mukanya dengan bantal dengan tujuan untuk tidak mendengar perkataan Fahri. Fahri menarik-narik tangan Samri dan memaksanya mendengar penjelasan yang belum lagi diselesaikan. Samri hanya bisa mematikan diri dalam kebisuan yang tiada makna. Apa yang diucapkan oleh Fahri padanya sebentar tadi dalam omong kosong dan hanya mainan semata-mata.

"Tidak mungkin dia akan mendermakan hatinya kerana doktor sendiri pernah cakap, risiko pembedahan hati adalah sangat tinggi apatah lagi melakukan operasi pemindahan hati. Melainkan ada satu kuasa keajaiban dan si penderma itu baru sahaja meninggal dunia dan hatinya boleh berfungsi ketika itu. Tetapi pada masa yang sama, jika penderma itu ingin memberikan separuh hatinya untukku, berkemungkinan besar akan membawa maut, jika tidak pembedahan itu akan berhasil" Bila mengingatkan kembali kata-kata doktor, Samri tidak mungkin akan memberikan risiko dan membahayakan keselamatan nyawa Fahri hanya untuk menyelamatkan dirinya. Tak mungkin dan tak akan pernah itu terjadi.

Setelah omongan Fahri putus dipersimpangan, akhirnya dia keluar dari kamar wad dan melangkah kaki menuju ke suatu tempat. Samri bangkit dan hairan dengan sikap Fahri yang seakan-akan berubah pada hari itu. Samri mula mencurigai jika ada sesuatu yang buruk atau tidak masuk akal dilakukan oleh Fahri, dia mula mencurigai persahabatan yang kian terjalin.

“Adakah tindakan aku ini betul, Ya tuhan berikan aku petunjuk-Mu" benak Samri meminta pertolongan Ilahi.

Kakinya kaku melangkah dan tiada daya menggagahkan diri untuk berdiri. Mencari penyandar dinding untuk bersandar.

“Aku perlu segera ekori dia, jika tidak bayangan Fahri akan hilang. Aku ingin tahu apakah yang berlaku sebenarnya." Dengan perlahan dia berjalan dan mengekori Fahri tanpa pengetahuannya. Tangan kanannya masih menahan sakit di dada, jelas terlihat wajah yang mengundang kesakitan. Ditangkis satu persatu virus yang amat menyakitkan. Dari satu selekoh koridor tingkat 3 hospital ke satu selekoh lagi, dibuntuti Fahri hingga satu pintu bilik dia terhenti lalu masuk ke dalamnya.
“Apa dia buat di bilik Dr. Daud" Mencari bayangan soalan tika melihat kelibat Fahri memasuki ke salah satu ruangan kamar.

Perlahan-lahan dia mengekori dan melihat ruang-ruang kamar Dr. Daud dari celahan pintu. Tidak jua kelihatan sebarang kelibat dek kerana ruangan celahan yang kecil, lagi pula tidak mampu untuknya menunduk lama dek kerana kesakitan di dadanya masih belum hilang. Fikirannya mula memikirkan perkara yang tidak-tidak. Bila manusia dikuasai oleh perasaan tidak menentu, semua perkara dirasakan berbeza dari sebelumnya. Samri mula mencurigai Fahri, dia mula merasakan Fahri menyembunyikan sesuatu daripadanya. Hatinya mula sangsi hubungan persahabatan ini, lalu dia mencari satu persatu jawapan yang sukar untuk dimengerti. Kegelisahan jelas membuatnya mencurahkan keringat walau keadaan ketika itu diselimuti kedinginan penyaman udara.

“Aku tidak boleh sabar, aku harus tahu perkara yang sebenar. Apa yang Fahri buat di dalam pejabat Dr. Daud? Kenapa dia sembunyikan sesuatu daripada aku? Apa sebenarnya yang berlaku?" Bertubi-tubi persoalan berlegar-legar dikepala Samri. Tembakan soalan yang tidak putus-putus memaksa dia mencari sasaran untuk dilandaskan. Tanpa berlengah masa, diputar tombol pintu yang tidak dikunci, terus menyerbu masuk tanpa diundang. Perbualan Dr. Daud dengan Fahri tersekat, sebaik sosok badan Samri terpacul dalam ruangan kamar. Fahri hanya terduduk diam dan sedikit terperanjat sebaik sahaja melihat kelibat Samri. Nafas Samri mula tercungap-cungap, tangan kanannya masih setia mencengkam dada, menahan kesakitan yang terasa dek kerana degupan jantung yang rancak bernyanyi.

“Samri…" Suara sayup-sayup dilontarkan oleh Fahri walaupun sayup tetapi mampu didengar.

“Samri, awak kena banyak rehat" Dr. Daud bangkit dari kerusi dan cuba mendekati Samri.

“Fahri, apa kau buat dalam bilik Dr. Daud?" Soalan yang sukar dijawab oleh Fahri membuatkan dia terdiam sambil memalingkan wajah ke lantai mamar putih. Dr. Daud pula mencebikkan bebola matanya dan tangannya digenggam tanda keresahan.

“Jawab Fahri, jawab…" sambungnya dengan nada yang melimpahi seluruh ruangan kamar. Namun tiada balasan yang dijawab.

“Kenapa kau diam. Kau rahsiakan sesuatu dari aku ke? aku dah agak." Samri mula meluahkan rasa curiga dan kecewa dengan sikap Fahri yang selama ini tidak pernah berahsia antara mereka. Terbit air mata Fahri membuatkan Samri turut menundukkan kepalanya. Tangisan Fahri jelas kedengaran walau masih dalam keadaan membisu. Dr. Daud hanya membisukan diri dan mentulikan dirinya.

Persoalan masih tidak dijawab membuatkan Samri tidak puas hati dengan semua yang berlaku. Matanya mula melirik ke meja Dr. Daud dan melihat beberapa helai kertas putih dan fail berwarna biru. Samri memandang hairan helaian kertas putis itu sambil melangkah kaki mendekatkan jasad yang terpaku lama dimuka pintu ke arah meja tersebut lalu mula membaca salah satu surat yang telah ditandatangani oleh Fahri.

“Penderma organ Hati" Samri yang penuh kehairanan.

"Kejap-kejap, kau nak derma hati?" dengan nada meminta kepastian. Fahri menganggukkan kepalanya sambil memandang tepat ke arah Samri.

"Maksud kau, kau nak dermakan organ kau kepada mereka yang memerlukan setelah kau meninggal kelak. Macam tu ke?" Sekali lagi pertanyaan untuk mendapatkan kepastian.

"Ya, maaf aku tak bagitahu kau" Fahri mula bersuara sambil mengesat air mata yang mula terbit.

"La...benda ni rupanya. Aku ingatkan apa tadi. Tak silap aku duta derma organ ni Anita Sarawak. Kenapa tak bagitahu aku, benda macam ni pun nak sorok-sorok. Apalah" kata-kata itu mula mengembalikan kecerian dalam bilik Dr. Daud.

"Bukan aku tak nak bagitahu, Cuma aku tak nak kau risau."

"Asal pulak kau nak risau. Benda ni baiklah. Kita dermakan organ kita kepada mereka yang memerlukan. Aku tahu kau risaukan aku dengan keadaan aku sekarang ni, tapi walau apapun, jangan ada rahsia antara persahabatan kita. Okey? Doktor kalau macam itu saya pun nak derma samalah" Samri mula mengukirkan senyuman. Fahri hanya mampu menganggukkan kepalanya.

“Awak nak derma apa?"

“Hati...sama dengan Fahri. Eh..eh.. Hati saya rosak, ermmm... derma jantung la, atau organ lainnya" ketawa kecil si Samri. Lawakkannya jelas tidak membuatkan Fahri dan Dr. Daud ketawa. Mereka sedar tawa itu hanya ada dalam tangisan. Luaran boleh menipu tetapi dalaman tiada siapa yang tahu. Tetapi Fahri sudah masak dengan perangai Samri, sedih suka duka semuanya sudah diketahuinya. Tidak hairanlah dia tidak ketawa ketika Samri membuat lawak bodoh.

"Boleh Samri. Janji awak ikhlas itu sudah memadai. insyaAllah..." jelas Dr. Daud.

"Saya ikhlas doktor"

"Fahri, lain kali jangan buat aku fikir bukan-bukan. Kau bukan tak kenal aku. Aku minta maaf kerana cuba memusnahkan kepercayaan terhadap persahabatan kita. Aku minta maaf ya" dipandang tepat ke arah Fahri sambil mengenggam erat tangannya.

"Aku faham" Balas Fahri sambil memberikan senyuman.

***

" Doktor..doktor..." Jururawat berlari-lari anak memanggil Dr. Daud.

"Samri, doktor" sambungnya. Sebaik mendengar nama Samri doktor terus menuju ke bilik wad Samri. Dengan semena-mena keadaan Samri semakin kritikal, hatinya kian lemah berfungsi, denyutan nadinya tidak sekata dan kian membimbangkan. Tekanan darahnya juga tidak sekata, nafasnya tercungap-cungap bagai orang kesemputan.

"Nurse, kita perlu buat pembedahan sekarang juga." Setelah melihat keadaan Samri yang kritikal, Dr. Daud mengambil keputusan untuk melakukan operasi.

"Tapi doktor" Jururawat itu kehairanan dengan tindakan Dr. Daud.

"Tak ada tapi-tapi, saya kata sekarang juga" Tempelak Dr Daud membuatkan suasana menjadi kecoh dan kelam kabut.

"Baiklah" jawab ringkas jururawat itu sambil anak matanya masih lagi melambangkan kehairanan. Hatinya kian tertanya dengan perlakukan Doktor yang menjadi rakan sekerjanya tika di ruangan operasi.

Jasad Samri diusung di bilik pembedahan, pada masa yang sama jasad seorang lagi di usung dalam bilik pembedahan yang sama. Hanya memisahkan tirai kain hijau sahaja pada ketika itu, keadaan ruangan operasi menjadi kecoh seketika dek kerana terdapat dua pembedahan yang dilakukan serentak kerana tiada ruangan bilik operasi yang masih kosong. Tiba-tiba mesin nadi terhenti menandakan denyutan nadi tiada bernyawa.

"Itu bukan pada mesin denyutan nadi Samri tetapi pesakit sebelahnya." Benak Dr. Daud. Dr. Daud melihat keadaan pesakit sebelah sebaik sahaja mendengar bunyi mesin itu. Diselakkan kain tirai hijau yang menjurai ke lantai mamar putih, matanya terlihat sesosok tubuh yang terbaring kaku di atas katil operasi. Terlindung wajahnya oleh Dr. Zainal pada ketika itu memeriksa dan ingin mengesahkan waktu kematiannya.

Sebaik sahaja jasad Dr. Zainal beralih arah, baru terlihat jelas wajah mayat yang baru sahaja menghembuskan nafas terakhirnya. Dr. Daud terkemam, matanya dibulatkan, alangkah terperanjatnya terlihat Fahri terbaring kaku, dengan muka kian memucat dan berlumuran darah. Dr. Daud sangat terperanjat melihat keadaan Fahri yang telah menjadi arwah.

"Dia meninggal pada jam 3.45 petang" suara Dr. Zainal yang belum sempat menangani Fahri.

“Zainal, macam mana dia meninggal?" terpacul satu soalan dari Dr. Daud.

“Oh..Daud, dia meninggal kerana kemalangan jalan raya. Hentakan yang kuat pada kepalanya menyebabkan pendarahan tidak henti"

Dr. Daud bersimpat dengan nasib Fahri dan pada masa yang sama masih menangani masalah Samri. Dr. Daud teringat kembali perjanjian rahsia diantara dia dengan Fahri. Tanpa pengetahuan Fahri, Dr. Daud dan dia telah membuat satu perjajian sulit yang mungkin bagi orang dianggap konyol atau perjanjian bodoh tetapi Dr. Daud terpaksa tunaikan kerana hatinya mulus untuk menghampakan harapan Fahri.

"Doktor perlu rahsiakan perkara ini daripada Samri. Saya rasa masa untuk saya tidak lama lagi doktor. Saya mohon dengan doktor, saya merayu sangat. Andai saya pergi dahulu, tolonglah ambil hati saya dan berikan kepada Samri. Saya merayu doktor"

"Fahri apa awak merepek ni. Kita bukan tuhan nak tentukan ajal kita. Sudahlah jangan nak merepek"

"tolong doktor, saya merayu." Fahri melututkan kedua-dua kakinya dihadapan Dr. Daud untuk menyetujui permintaannya. Air matanya mula melencunkan baju putih yang nipis. Tangisan dan rengekkan kian membanjiri seluruh kamar Dr. Daud.

"saya...saya..." nada doktor tersekat-sekat dengan hati yang sukar diungkapkan. Serba salah kian menyelubungi dirinya.

"Ermmm...Baiklah, Saya setuju. kita kena buat satu perjanjian bertulis agar tidak timbul masalah dikemudian hari" Dr. Daud menerangkan prosedur yang perlu diikut oleh mereka sebelum perjanjian ditandatangani.

"Doktor..doktor..." Dr. Daud tersentap dari lamunannya sebaik sahaja namanya dipanggil. Lamunannya yang panjang sehingga membuatkan dia menitiskan air mata dan terlupa sebentar akan keadaan Samri.

"Ya." jawab Dr. Daud secara spontan.

"Doktor kita kena lakukan pembedahan ke atas Samri dengan segera" kata salah seorang daripada jururawat yang setia berada disampiangnya ketika berada diruangan operasi.

Doktor Daud mula teringat perjanjiannya dengan Fahri. "Mungkin ini yang diminta oleh Fahri. Dia seakan-akan tahu perkara seperti ini akan berlaku."

Setelah itu Dr. Daud meminta pertolongan daripada Dr. Zainal untuk bersama-sama menangani proses pemindahan hati.

"Zainal, kau kena tolong aku. Kita kena buat pemindahan hati"

"Maksud kau" Tanya Dr. Zainal kehairanan.

"Kita pindahkan hati Fahri dan berikan kepada Samri"

"Kau gila ke?" Jerkah Dr. Zainal membuatkan tangan yang bergerak dalam ruangan operasi tersebut terhenti dari tindakkannya. Setiap kelibat mata memandang tepat ke arah Dr. Daud.

"Ini permintaan Fahri sendiri. Nanti aku akan ceritakan pada kau. Macam ni, aku akan tanggung segala risikonya"

"Doktor. Saya dah dapatkan pengesahan daripada Dr. Adam, ketua pakar bedah dan dia benarkan kita menjalani pembedahan ini. Pihak hospital pun benarkan. Malah keluarga Fahri dan Samri pun telah setuju jika pemindahan hati dilakukan segera." Terpacul satu suara dari salah seorang jururawat sambil menunjukkan surat kebenaran yang telah ditandatangani oleh pihak hospital dan pewaris kepada Fahri dan Samri.

"Awak bagitahu mereka?" terdiam Dr. Daud seketika.

"Tak apa-apalah. Asalkan mereka setuju. Kita tidak ada banyak masa lagi ni, takut kalau lambat seminat, nyawa akan melayang" sambungnya.

Akhirnya Dr. Zainal bersedia membantu pemindahan hati tersebut setelah mendapat kebenaran daripada pihak hospital.

"Ayah...Ayah..." Tersentap Samri dari lamunan yang membawanya berlayar ke tengah lautan. Terlihat kelibat yang mula menghampirinya.

"Eh, Fahri, ada apa?"

"Tak ada apa-apa. Fahri tengok ayah termenung jauh. Ada apa ayah?"

"Fahri, ayah lagi mengingatkan kawan karibnya tu" Jelas Aminah yang membiarkan suaminya itu jauh mengelamun di tepi jendela. Tangannya masih lagi sibuk mengemas pakaian rapi di dalam almari.

"Ooo...Ingatkan apa tadi. Ayah Lusa Fahri ada perlawanan futsal. Fahri nak ayah dan ibu datang ya." Gelagat manja anak tunggal Samri dan Aminah menjadi pengubat duka di kala lara. Anak terunanya kini kian mencecah 13 tahun.

"Baiklah ayah dan ibu akan datang. Tapi dengan satu syarat, esok kita akan pergi ke suatu tempat. Ayah nak Fahri dan ibu ikut ayah sekali. Boleh?" Jelas Samri sambil memegang erat lengan anaknya itu.

"Boleh. Tapi nak pergi mana ayah?"

"Kita akan perge ziarah pusara pak cik kamu, sahabatnya ayah" jelas Aminah.

"Ya Fahri, kita akan pergi ke sana. Kita akan pergi bersama-sama. Selama ini ayah pergi seorang diri, tapi tidak untuk kali ini. Ayah mahu kenalkan kamu dengan pakcik kamu." Air mata Samri kian menitis dek kerinduan yang tidak terhingga. Aminah sudah faham dengan perangai suaminya sebab itu dibiarkan sahaja Samri mengelamun panjang. Fahri pula kebingungan mengapai maksud istilah ayahnya itu.

"Fahri tak fahamlah ayah?" Tanya Fahri yang meminta penjelasan.

"Tak apa, suatu hari nanti Fahri akan Faham."Jawab Samri ringkas. Aminah hanya tersenyum memandang gelagat anak dan suaminya itu.

"Mari anak ayah. Fahri bin Samri, ayah sayang Fahri sangat-sangat." dipeluk Fahri seerat mungkin, melepaskan kerinduan pada Fahri yang telah lama pergi.

"Terima kasih Fahri kerana memberikan aku hati yang tulus. Terima kasih kerana memberikan aku harapan untuk hidup kembali. Terima kasih kerana memberikan aku satu ikatan persahabatan yang tak akan pernah aku lupakan. Terima kasih kerana memberikan aku kepercayaan untuk memiliki hati ini. Terima kasih kerana memberikan hadiah hati ini darimu untukku. Terima kasih" Samri bermain dengan kata-kata hatinya sambil memeluk erat anaknya, Fahri.

"Terima kasih sekali lagi kerana membaca Hadiah hati daripada Fahri, jangan lupa baca cerpen saya terdahulu seperti Deretan 3 bintang, Family ko Mahal na Mahal Kita, Warkah Terakhir Sofea dll. Semuanya ada dia asrul86.blogspot.com. Dari lahir belajar merangkak, dari merangkak belajar bertatih, dari bertatih ingin pula belajar berjalan, dari berjalan kini ku sudah pandai berlari...Bantu saya dalam belajar bertatih dalam bidang penulisan ini. Terima kasih... selamat menempuh peperiksaan akhir pelajar IPT ikhlas dari abg aloha (UPSI)"v

 
You can follow any responses to this entry through the Contac Us. You can leave a response.