Cerpen : Rawan Sekeping Hati

BUNYI kompang bertalu-talu memeriahkan majlis perkahwinan Raquel dan Afifi. Gamat halaman Villa Kencana dengan hiruk-pikuk tetamu yang berkunjung bagi meraikan dua mempelai yang sama cantik sama padan itu. semua yang hadir pasti memuji kecantikan si dara yang bagai bulan empat belas hari. Tidak kurang juga si jejaka tinggi lampai persis pahlawan Melayu lama yang perkasa. Apatah lagi dengan tempolok di kepala, menambahkan lagi kegagahan si pemakainya.
Di atas pelamin, raja sehari lengkap dengan persalinan rona ungu lavender, warna kegemaran kedua-dua pengantin. Bibir Raquel tidak putus-putus menguntum senyum. Berbeza dengan Afifi yang seakan dipaksa untuk senyum. Hanya senyum tawar yang menghiasi wajahnya. Afifi bukan tidak gembira, bahkan dia bahagia sebenarnya. Menjadi isteri pada lelaki yang dicintai memang impian setiap wanita. Namun, gelisah di dalam hati, tiada siapa yang dapat menduga. Gusar di dalam hati, tiada siapa yang dapat meneka. Afifi tersentak sedikit apabila terasa tangannya digenggam erat. Hampir menitis air matanya melihat keriangan yang jelas terpampang di wajah suami yang baru dinikahinya semalam. Mujur jiwanya masih tabah.
Air matanya ditahan agar tidak tumpah. Dia tidak mahu mengsirnakan kegembiraan suaminya pada hari yang berbahagia begini. Kompang masih ditepuk seakan tidak mahu berhenti. Semakin lama semakin kuat kedengaran. Dua orang pemuda sedang bersungguh mempamerkan pencak silat di hadapan kedua-dua mempelai namun sedikit pun tidak dapat mencuri tumpuan Afifi. Fikirannya menerawang entah ke mana. Rawan di hati tidak mampu diusir pergi. Perlahan-lahan ingatannya terbang, menyelak semula halaman kenangan dahulu...

* * * * *

"AWAK jangan bergurau Raquel!" marah Afifi.
"Bergurau? Saya rasa awak yang sedang bergurau Fifi. Masakan perkara besar begini saya nak bawa bergurau," balas Raquel.
"Sungguh?" ujar Afifi lagi meminta kepastian.
"Awak nak bukti? Saya boleh berikan,"
Afifi diam. Wajahnya ditundukan. Ada hiba yang menjalar di jiwanya. Andai apa yang diperkatakan oleh kekasih hatinya ini benar, mampukah dia terus melangkah meniti hari nanti? Berseorangan tanpa Raquel di sisi secepat ini, tidak pernah Afifi bayangkan. Kenapa Tuhan mengujinya dengan dugaan yang amat berat begini? Dia masih tidak dapat mengecap kebahagiaan sepenuhnya. Masih banyak yang ingin dilakukan bersama-sama orang tercinta.
Afifi merasa bahunya dipegang kejap. Lantas, segera dia mendakap lelaki di hadapnnya erat seakan tidak mahu lepas. Dalam juraian air mata, Afifi tidak mampu meluah kata. Raquel tahu, sukar untuk Afifi menerima hakikat itu apatah lagi mereka baru sahaja merancang hendak mengikat tali pertunangan hujung tahun nanti.
"Bersabarlah Fifi. Ini dugaan Tuhan untuk menguji iman hamba-Nya. Banyakkan bersabar dan berdoa. Raquel tetap akan cintakan Fifi selamanya," ujar Raquel sekaligus menambahkan lagi pilu di hati Afifi.
Renjisan air mawar di tapak tangan menyedarkan Afifi dari lamunan, membiarkannya tergantung tanpa tali. Di hadapannya, wajah ibu mertuanya sedang tersenyum. Senyuman yang membawa pelbagai erti pada Afifi.
Selesai menepung tawar pengantin, Afifi tunduk menyalami tangan ibu mertuanya itu dan kemudian dibalas dengan dakapan dan ciuman di kedua-dua belah pipi. Sempat lagi ibu mertuanya berbisik di telinga kanannya, mengucapkan terima kasih. Bertambah sayu hati Afifi. Sungguh, dia melakukan semua ini bukan kerana inginkan orang di sekelilingnya bahagia, dia lakukan semua ini hanyalah untuk Raquel, cinta hatinya.
Sampai giliran emaknya untuk acara menepung tawar, Afifi sudah tidak mampu lagi untuk terus menahan air matanya gugur dari kelopak mata. Dia rasa berdosa pada mulanya kerana mengingkari perintah emak yang membantah perkahwina mereka. Dia faham, masakan seorang emak mahu anaknya menderita. Tapi tahukah emak yang dia hanya bahagia bila berada di sisi Raquel dan bukannya orang lain. Serta-merta, kenangan lalu muncul lagi.

* * * * *

"MAK tetap tak setuju! Kamu dah gila? Dah tak ada lelaki lain yang nak dijadikan suami?" rengus Puan Hayati.
"Tapi mak..."
"Tak ada tapi-tapi lagi! Keputusan mak muktamad! Kalau kau nak juga berkahwin dengan budak tu, jangan jejakkan kaki kau ke rumah ni lagi! Ingat tu!" Puan Hayati memberi amaran.
"Mak! Sampai hati mak buat Fifi macam ni. semua yang terjadi ketentuan Tuhan mak. Raquel tak minta pun jadi macam ni. Cadangan untuk berkahwin pun bukan dia yang sarankan. Fifi yang beriya-iya nak kahwin dengan Raquel, Fifi yang minta dia jadi suami Fifi!" terang Afifi.
"Kamu tak ada otak? Kalau demi cinta sekalipun, fikir tentang diri kamu tu juga. Jangan keran cinta, hati kamu jadi buta," Puan Hayati menyindir anaknya.
"Fifi tahu mak, hati Fifi tak buta lagi. Raquel juga tak mahu berkahwin dengan Fifi. Dia tak nak Fifi menyesal tapi bersama-sama Raquel, tak ada apa yang nak Fifi kesalkan," tegas Afifi.
"Kamu tak takut jadi macam dia nanti?"
Soalan Puan Hayati tadi ibarat panah laju yang dilepaskan dari busur tepat menusuk jantung Afifi. Terus lidah Afifi jadi kelu. Emaknya sengaja menyoal isu itu. emaknya tahu dia tidak akan punya jawapan untuk soalan tadi.
"Beginilah Fifi..." ujar emaknya dengan nada suara yang mulai kendur.
"Mak bukannya tak suka Raquel tu bahkan mak gembira sebab kamu berdua berkawan rapat sehinggalah kejadian tu berlaku. Mak hanya fikirkan kebahagiaan kau. Sama juga dengan Raquel. Dia juga menolak untuk dikahwinkan dengan kamu, kenapa kamu tetap nak cari masalah? Degil!" panjang bicara Puan Hayati.
"Fifi faham. Fifi buat semua ni pun sebab Raquel. Impian dia adalah untuk menjadi suami Fifi dan Fifi menjadi isterinya. Salah ke Fifi tunaikan permintaan dia sebelum dia pergi?"
Kali ini Puan Hayati pula diam. Apakah anaknya itu tidak pernah terfikir akibat yang akan terjadi kalau perkahwinan itu berlangsung?
"Mak doakan kamu bahagia," ucap Puan Hayati sekaligus mengembalikan Afifi ke alam realiti.
Puan Hayati menyeka air mata yang bercucuran di pipi Afifi dengan jemarinya. Afifi mendakap emaknya erat-erat. Setelah Raquel datang memberi penjelasan, barulah emaknya bersetuju dengan perkahwinan ini berdasarkan syarat-syarat yang telah Raquel janjikan. Salah satu ialah Raquel tidak akan ‘menyentuh’ Afifi. Tidak walau sekali. Sebab utama emaknya bersetuju adalah kerana hal ini.
Pelukan emaknya dileraikan perlahan-lahan untuk memberi laluan kepada pengunjung lain menepung tawar pengantin. Wajah Raquel dipandang setelah emaknya berlalu pergi. Lelaki itu masih tidak lekang dari senyuman. Melihat senyuman di wajah suaminya itu, Afifi tidak rasa kesal akan perkahwinan ini.

* * * * *

SEMINGGU berlalu sejak majlis perkahwinan yang membawa. Raquel dan Afifi menjalani kehidupan seperti biasa. Cuma yang bezanya mereka kini sudah diikat dengan tali perkahwinan. Tambahan pula Afifi sudah berpindah ke Villa Kencana, tinggal bersama-sama keluarga mertua. Berada di sisi Raquel sudah cukup membahagiakannya. Apatah lagi mereka kini sudah bergelar suami isteri. Sudah tiada batas yang dapat menghalang. Namun jauh di sudut hati, resah, gelisah, gusar, gemuruh, semuanya berbaur menghasilkan rawan di hati. Setiap hari yang berlalu dirasakan seperti bermain sembunyi-sembunyi. Debarannya begitu menggila. Hatinya tidak bebas. Seperti seekor burung yang dikurung di dalam sangkar. Lebih tepat lagi, dia seperti penjenayah yang sedang membilang hari untuk dihadapkan ke tali gantung. Hidup dalam tanda tanya.
"Jauh you termenung?" sapa Azmir.
Afifi tersengih menampakkan barisan giginya yang putih bersih. Dia dan Azmir sedang menikmati makan tengah hari di restoran yang berhampiran dengan pejabat mereka. Azmir adalah rakan sepejabatnya juga merangkap kawan semasa di universiti dulu. Lebih tepat lagi, lelaki di hadapannya ini adalah bekas kekasihnya. Mereka berpisah kerana Azmir jatuh hati pada perempuan lain dan kini lelaki itu kembali solo dan dia, sudah berumahtangga dengan lelaki yang benar-benar menyintainya setulus hati.
"So, macam mana you dengan that guy?" soal Azmir.
"Alhamdulillah, kami bahagia," yakin jawapan Afifi.
"Really? I benar-benar tak faham. Why you marry him while you know that guy tak akan hidup lama?"
"Azmir!" suara Afifi tinggi tiba-tiba.
"What? I cakap benda yang betul. That guy memang akan mati juga. Bila-bila masa je. I cakap benda yang betul," ujar Azmir membuatkan hati Afifi mengelegak.
"Please stop talking about this. You make me sick!" marah Afifi.
"You kena terima hakikat. I tahu, you kahwin dengan dia sebab kasihan. Dan I juga tahu yang dia tak pernah ‘sentuh’ you. Yalah, takut berjangkit. And sebab tu I pelik bila you cakap yang you bahagia," Azmir semakin menyimbah minyak pada api yang sedang bernyala.
"Apa maksud you?" soal Afifi.
"Kalau you nak, I kan ada. I sanggup terima you. I tahu, you sebenarnya masih cintakan I. I kan cinta pertama you,"
Bulat mata Afifi memandang lelaki di hadapannya. Serasa hendak ditampar atau ditendang lelaki ini. Lancang sekali mulutnya berkata-kata.
"Lepas dia mati, kita kahwin. Setuju?" cadang Azmir.
Tidak semena-mena, Afifi bangun lalu mengambil gelas yang berisi air masak dan mencurahkannya pada wajah Azmir membuatkan lelaki itu tercengang. Afifi mencapai beg tangannya lalu berpaling. Langkahnya terhenti tiba-tiba. Wajah Raquel menyapa matanya. Pandangan lelaki itu redup. Tanpa sepatah kata, lelaki itu berlalu pergi. Apakah Raquel terdengar kata-kata Azmir tadi? Pantas, Afifi mengejar suaminya itu...

* * * * *

BAYU malam tidak sekalipun menghantar damai dalam hati Afifi. Sejak kejadian siang tadi, suaminya tidak banyak berkata-kata. Saat ini juga sama. Duduk di atas buaian berdua sambil melihat gelantungan bintang-bintang di langit, Raquel tidak banyak bicara. Afifi juga tidak tahu bagaimana untuk mulakan kata.
"Abang setuju cadangan Azmir tadi," akhirnya suaminya itu mengungkapkan sesuatu, sesuatu yang tidak Afifi senangi.
"Apa yang abang cakap ni?"
"Betul cakap lelaki tu. Abang pun hidup tak lama. Takkan Fifi nak terus menjanda bila abang dah tak ada nanti?"
"Abang! Sampai hati abang cakap macam tu! Fifi ni isteri abang. Fifi takkan berkahwin dengan abang kalau Fifi gilakan Azmir tu. Fifi tak suka abang cakap macam tu! Mati bukan boleh dibuat main-main," ujar Afifi.
"Tapi itu hakikat! Abang tak yakin yang Fifi bahagia di sisi abang..."
Afifi melepaskan sebuah keluhan. Kedengaran amat berat pada pendengaran Raquel. Wajah isterinya itu ditatap sayu. Terlalu besar pengorbanan yang telah Afifi lakukan untuknya. Afifi layak mendapat kebahagiaan yang sepatutnya dimiliki oleh seorang isteri.
"Kalau Fifi nak berkahwin pun, yang pasti Azmir bukan orangnya. Antara kami itu cerita lama. Azmir dah tak punya apa-apa peranan dalam hidup Fifi. Tak ada kepentingan. Dan abang... tak berhak nak tentukan sama ada Fifi bahagia atau tidak. Fifi lebih tahu diri Fifi. Kebahagiaan bukan sesuatu yang boleh diukur," hujah Afifi.
"Tapi abang..." Raquel tidak sempat menghabiskan kata kerana ditukas oleh isterinya.
"Sudahlah bang. Fifi tak nak bincangkan hal ni lagi. apa yang Fifi tahu, Fifi bahagia berada di sisi insan yang amat Fifi cintai dan Fifi sekalipun tak pernah menyesal atas perkahwinan ini. Bukankah Fifi yang minta kita kahwin? Abang, apa yang penting sekarang ialah kesihatan abang. Jaga diri abang baik-baik. Kalau abang sihat, Fifi pun gembira. Kita jangan cakap soal ni lagi ya bang. Kalau tak Fifi merajuk nanti," ujar Afifi.
Raquel mencuit hidung isterinya lalu menghadiahkan sebuah kucupan di dahi isterinya itu. perlahan-lahan, Afifi merebahkan kepalanya di bahu Raquel. Tangan suaminya begitu kejap memegang bahunya seakan tidak mahu melepaskan dan Afifi selesa dan hangat berada dalam dakapan suami tercinta.
Raquel tahu, Afifi berkata begitu semata-mata untuk menjaga hatinya. Hakikatnya Raquel sedar, Afifi juga insan biasa. Punya hati dan perasaan. dia teringin sekali mencurahkan segala kasih dan sayangnya pada Afifi tapi keadaan diri menjadi penghalang.
"Maafkan abang ya Fifi," ucap Raquel, perlahan.
"Fifi juga minta maaf pada abang atas segalah kesalahan yang pernah Fifi lakukan. Fifi tahu Fifi banyak sakitkan hati abang," ucap Afifi.
"Tak Fifi, Fifi tak pernah buat salah. Fifi isteri yang baik," balas Raquel.
Langit malam mula diterangi cahaya rembulan yang dilitupi awan sebentar tadi. Cahayanya begitu indah menyinari pelusuk alam maya. Apa yang pasti, Raquel tidak tahu sama ada dia masih punya peluang, untuk menikmati keindahan ini bersama-sama isterinya suatu hari nanti.

* * * * *

LAMA Raquel berteleku di atas tikar sejadah, bermuhasabah dan bermunajat pada Ilahi. Dia redha akan ketentuan ini. Dia pasrah dengan Qada’ dan Qadar Ilahi. Sesungguhnya ini adalah dugaan dari-Nya untuk menguji keimanan dan ketakwaan hamba-Nya. Raquel masih ingat sewaktu dia menerima berita pahit itu. dia disahkan menghidap HIV positif. Sesuatu yang tidak pernah langsung terlintas di fikirannya. Semuanya kerana berlaku kesilapan semasa pemindahan darah akibat kemalangan jalan raya yang dihidapinya sewaktu berkursus di luar negara beberapa tahun yang lalu. Badannya mula berasa tidak enak sejak beberapa bulan yang lepas. Dan setelah hasil ujian darah keluar, kenyataan yang didengar amat memedihkan.
Namun dia bersyukur kerana dirinya masih diterima keluarga dan yang penting, dia masih dicintai oleh Afifi, isteri yang sudi mengahwininya walau tahu akan keadaan diri ini. Mulanya dia hendak rahsiakan tentang apa yang berlaku pada dirinya. Dia mahu pergi jauh dan mati seroang diri. Namun mengenangkan keluarga dan Afifi, dia tidak sampai hati. Akhirnya setelah dia cukup kuat untuk menyatakan kebenaran, dia meluahkan semuanya.
Raquel tidak menyangka yang Afifi sanggup menjadi isterinya. Raquel tahu, Afifi tidak pernah lupa pada impiannya. Impian untuk melihat mereka disandingkan sebagai pasangan suami isteri. Dan dia sememangnya bertuah kerana bertemu dengan Afifi, wanita yang begitu mulia hatinya.
Raquel mengangkat kedua-dua belah tangannya, berdoa apada Tuhan Yang Esa. Dia memohon agar diampunkan segala dosanya, dosa ahli keluarga dan keluarga mertuanya dan dosa isterinya. Dia meminta agar isterinya sentiasa dirahmati dan diberi kebahagiaan setimpal atas pengorbanan yang telah dilakukan. Raquel berdoa lagi dalam linangan air mata. Memohon segala apa yang terlintas di hati. Harapannya, semoga Tuhan mendengar doanya dan memakbulkan segala apa yang dia hajatkan.

* * * * *

BUNYI loceng mengejutkan Afifi dari lena. Pantas dia menekan butang berwarna merah pada jam loceng di atas meja kecil di sebelahnya. Perlahan-lahan matanya dibuka. Raquel tiada di sebelah. Bingkas Afifi bangun dan melihat suaminya sedang sujud di atas tikar sejadah. Jarum jam menunjukkan tepat pukul enam pagi. Subuh masih belum masuk waktunya. Mungkin suaminya melakukan qiamullail lagi. Afifi mencekak rambutnya yang panjang melewati bahu lalu dipintal kemas. Dia turun dari katil lalu melangkah ke bilik air untuk membersihkan diri. Sebentar lagi pasti suaminya mengajak untuk solat berjemaah bersama-sama.
Sewaktu mandi, Afifi teringat akan hadiah dalam laci meja soleknya yang dibeli sebagai hadiah perkahwinan mereka. Dia asyik terlupa kerana terlalu memikirkan keadaan kesihatan Raquel yang tidak berapa baik sejak kebelakangan ini. Pasti Raquel akan terkejut menerima hadiah darinya nanti. Hadiah yang telah lama mereka idamkan. Pakej umrah yang telah ditempah pada hujung bulan hadapan. Raquel selalu bercakap tentang hajatnya ingin ke tanah suci Mekah. Afifi akan menunaikannya sebagai hadiah perkahwinan mereka. Tidak dapat Afifi bayangkan bagaiman reaksi suaminya itu nanti.
Usai membersihkan diri, Afifi keluar dari bilik mandi. Raquel masih tidak berganjak dari sujudnya. Pasti banyak yang Raquel munajatkan pada Ilahi. Afifi tidak mahu menganggu. Dia segera menyiapkan diri. Azan Subuh mula dilaungkan di surau berdekatan. Sayup-sayup kedengaran azan mengajak manusia menunaikan ibadah kepada Yang Maha Esa. Afifi menyarungkan telekung di badannya. Raquel masih tidak bergerak. Hati Afifi mula tidak enak. Perlahan-lahan dia melangkah menuju ke arah suaminya. Debar di hati usah diteka. Serasa hendak terkeluar jantungnya.
"Abang," tegur Afifi.
Tiada balasan.
"Abang..." ucap Afifi sekali lagi namun masih tiada balasan.
"Abang!" kali ini Afifi bersuara agak kuat sedikit tetapi Raquel tetap begitu, diam.
Terketar-ketar tangan Afifi memegang bahu suaminya itu. digerakkan bahu suaminya itu lembut dan jantungnya seakan mahu luruh jantungnya melihat tubuh suaminya yang rebah ke lantai. Terasa semangatnya terbang melayang entah ke mana.
"Abang!!!" jerit Afifi.
Derai-derai air mata galak mencurah tanpa dipaksa. Suaminya telah selamat pergi menyahut panggilan Ilahi, meninggalkannya seorang diri. Afifi tahu saat ini pasti tiba namun dia tidak menjangka akan menghadapinya secepat ini. Benarlah, takdir Tuhan tiada siapa dapat menduga.
"Kalau abang tak ada nanti, Fifi kena kuat semangat, kena tabah. Abang minta Fifi tolong tengokkan keluarga abang ya, boleh?"
"Insyaalllah..."
"Janji?"
"Janji!"
Afifi tersentak. Bayangan lalu menyapa mindanya. Dia sudah berjanji pada suami yang dia harus tabah dan kuat semangat. Janji yang dibuat harus ditunaikan, tidak boleh dimungkiri. Segera Afifi menyeka air mata dengan jemarinya. Tubuh suaminya yang kaku itu dibaringkan dengan kedua-dua tangan dilekapkan ke atas perut. Dia mengambil comforter yang selama ini menyelimuti mereka berdua. Tubuh suaminya ditutup. Dengan sisa kekuatan yang ada, dia bangkit lalu berjalan keluar. Pintu bilik emak mertuanya diketuk. Beberapa minit kemudian, pintu dibuka dan terjengul wajah emak mertuanya yang sedang terpisat-pisat, masih dalam kantuk.
"Ada apa Fifi?"
"Abang Raquel mak,"
"Kenapa? Kenapa dengan Raquel?" emak mertuanya mula sedar.
"Abang Raquel dah pergi mak," jawab Afifi.
"Pergi? Pergi mana? Awalnya dia keluar?" ujar emak mertua Afifi, masih tidak faham.
"Abang Raquel dah meninggal mak,"
"Ya Allah!" ucap emak mertuanya lalu terjelepok ke lantai.
"Bawa mengucap mak. Sesungguhnya dari DIA kita datang, dan kepada-NYA kita kembali," ujar Afifi dengan hati yang sayu.
Afifi mengangkat tubuh emak mertuanya yang kelemahan itu. Dibawanya ke katil. Wanita yang sudah mencecah umur 70-an itu tidak mampu berkata-kata. Nyata dia juga terkejut dengan pemergian anaknya secara tiba-tiba itu.
"Bawa mengucap mak. Kuatkan semangat. Fifi nak telefon keluarga Fifi dan saudara-mara yang lain. Banyakkan berdoa untuk abang Raquel mak. Kuatkan semangat ya mak," ujar Afifi lalu melangkah keluar namun ditahan oleh pegangan tangan emaknya.
"Fifi tak apa-apa?"
"Fifi baik sahaja mak. Mak bersiaplah. Fifi keluar dulu," ujar Afifi lalu melangkah keluar.
Afifi berhenti sejenak di pintu biliknya. Melihat sekujur tubuh yang terbaring kaku. Afifi berisghtifar di dalam hati, memohon pada Ilahi agar diberi kekuatan untuk menjalani hidup ini dan menerima apa yang berlaku dengan redha. Namun, Afifi agak terkilan kerana tidak dapat menunaikan hasrat suaminya untuk ke Mekah. Sudah ditakdirkan, siapalah dia untuk menghalangnya.
"Semoga dosa abang Raquel diampunkan dan dimasukkan ke dalam golongan ornag yang soleh," doa Afifi di dalam hati lalu berjalan longlai menuruni anak tangga untuk mengkhabarkan pada sanak-saudara tentang suaminya yang telah pergi, selamanya...

TAMAT

 
You can follow any responses to this entry through the Contac Us. You can leave a response.