Cerpen : Aku Mahu Pulang

KINI, PEKAN GERIK , PERAK .

Hatinya tersentuh dengan rahmat Allah yang datang menyelubungi diri dan keluarga. Selesai berdoa dan bersalaman, dia bangkit lalu menuju ke tingkap bilik yang menghadap tanah pusaka arwah neneknya.
Pawana segar menerobos masuk lalu mengusap pipinya sebaik sahaja daun tingkap dibuka. Kelihatan berbalam-balam sayur-sayuran menghijau subur tanda usahanya bapa saudaranya telah berhasil. Senyuman kepuasan terukir di bibir.
Suara ayam jantan bersahut-sahutan, diselangi bunyi unggas yang berkicau riang seperti mengalu-ngalukan kedatangan fajar yang semakin membuka tabir di kaki langit. Luqman Affendi seorang pemuda desa, bertubuh sasa sedang khusyu\' memerhati ciptaan Yang Maha Esa yang tidak diendahkannya selama ini.
Ah! Betapa indahnya bumi Tuhan. Betapa bertuahnya dapat menikmati keindahan alam tanpa didorong perasaan benci dan bersalah. Tiba-tiba bayangan wajah dan senyum manis Nur Atiqa Abdullah bermain-main di layar minda. Kenangan lama tiba-tiba menerjah di kotak fikiran bagaikan filem berputar lalu menayangkan babak demi babak kisah hidup yang membawa dia pulang ke pangkal jalan.


TITIK HITAM – KUALA LUMPUR .

"Fendi, jaga diri baik-baik di kampung nanti , bak kata pepatah masuk kandang kerbau menguak, masuk kandang kambing mengembek, sembahyang jangan tinggal, ingat pesan mama tu !" Nik Zaidah berpesan kepada Luqman Affendi sebelum dia di hantar ke Perak .
Luqman Affendi mengangguk tanpa kata. Wajahnya terasa pijar. Tidak dibenarkan air mata yang cuba mengalir keluar.Dia mengumpul kekuatan menahan getar. Sebagai lelaki dia harus kuat. Perceraian mama dan papa dan perkahwinan baru kedua orang tuanya memaksa dia tinggal bersama neneknya di kampung.
Suasana baru yang jauh dari keriuhan kota. Jiwanya membengkak. Dia terasa dirinya tidak disayangi. Mama dan papa lebih mementingkan masa depan mereka berbanding dia anak tunggal keluarga itu. Bermula detik itu dan waktu itu, dia membenci insan bergelar mama dan papa.Baginya dia dihantar ke lembah duka bersama titik akhir perkahwinan kedua orang tuanya.
Pemergiannya ke kampung adalah atas desakan mama dan papa semata-mata. Dia telah meninggalkan kawan-kawannya di Kuala Lumpur . Gara-gara tidak mahu merosakkan kebahagian orang tuanya dia akur. Namun api kebencian mula bercambah. Dia terpaksa beralah. Meninggalkan kehidupan mewah di kota raya dan membina hidup baru di kampung yang jarang-jarang dijejakinya.


SUASANA BARU

Gerik, Perak pekan yang indah penuh dengan keindahan alam dan budaya timur yang belum tercemar. Alhamdulillah, mujurlah nenek menerima kehadirannya dengan tangan terbuka. Di rumah kampung itu, dia tinggal bersama keluarga besar nenek. Ada Pak Lang, Mak Lang, dan sepupu-sepupunya seramai 4 orang . Nenek yang paling gembira menerima dia di rumah itu. Nenek yang paling tidak betah berbuat itu dan ini menyambut kehadiran orang kota ke kampung itu.
Masih terngiang-ngiang pesanan mama di telinganya agar pandai menyesuaikan diri di tempat orang. Bermula dari saat itu, dia mula belajar menjadi warga desa , dibantu oleh Fazlan, sahabat barunya di Kampung Air Panas. Padanyalah diadukan sebarang masalah dan berkongsi pengalaman. Luqman Affendi dihantar bersekolah di tempat yang sama dengan Fazlan, di Sek. Men. Keb. Sultan Idris Shah II, dalam tingkatan 6 Rendah .
Hari pertama di sekolah itu, kepalanya seperti mahu pecah . Dia benar-benar rindukan nafas kota dan udara bandar besar Kuala Lumpur. Begitulah adat dunia, manusia selalu tewas dengan desakan nafsu, akhirnya satu hari setelah didesak beberapa kali oleh rakan sosialnya tanpa pengetahuan Fazlan , dia dan dua orang lagi kawan sekolahnya , buat pertama kalinya dia melangkahkan kakinya ke dunia hitam. Merokok, ponteng sekolah, hidu gam dan lumba haram.
Pada mulanya dia hanya memerhati sahaja tingkah laku kawan-kawannya, lama-kelamaan setelah saban minggu dia diajak ke sarang maksiat itu, hatinya mula terpengaruh dengan mereka. Saban waktu , dia menipu nenek dan bapa saudaranya mengatakan mengikuti kelas malam di sekolah , dan membuat kerja lapangan Geografi dan Seni Visual.
Pesanan mama waktu itu bagai angin lalu tidak membawa erti. Wang elaun bulanan mama dan papa masukkan banyak dihabiskan dengan berjoli dan berpeleseran. Wang untuk belanja sekolah telah disalahgunakan. Yang tinggal kini hanyalah sekelumit kesedaran yang diselangi dengan janji-janji manis kepada nenek tua di rumah. Nenek menyayanginya tanpa prejudis.
Nenek membelanya setiap kali Pak Lang memarahinya pulang lewat pagi. Banyak orang kampung bercerita buruk tentangnya. Nenek tak pernah percaya.Nenek ikhlas menjaganya malah tidak langsung mencurigainya. Kasih sayang nenek padanya bagaikan puing-puing kecil berterbangan ke udara, tidak ada nilai walau sesen.


SERELUNG HATI YANG TERLUKA

" Siapa datang tu Nek? " Fendi bertanya ramah. Beg galas diletakkan di tepi tangga. Matanya masih menangkap batang tubuh gadis berbaju sekolah putih, berkain biru dan bertudung putih. Cantik!! Detik hati lelakinya. Kali pertama, dia terasa seperti telah jatuh cinta pandang pertama.
" Tiqa, anak Cikgu Abdullah, yang mengajar kat sekolah Fendi tu.Dia selalu datang jenguk nenek. Dulu, tiga tahun lepas, mereka sewa rumah kat belakang tu. Sekarang dah beli rumah kat Taman Gerik. " Panjng lebar nenek meberi penjelasan. Nenek nampak bagaimana sinar mata cucunya itu merenung anak gadis Cikgu Abdullah yang berusia 17 tahun itu.
" Jom. Masuk makan. Ada hal nenek nak bincang."
Mereka duduk di meja makan. Cuma berdua.
" Mana Pak Lang dan budak-budak?" Fendi rasa kelainan. Tak seperti selalu.
" Mereka ke Ipoh. Esok kan cuti. Balik rumah keluarag Mak Lang." Nenek merenung wajah Fendi dalam-dalam. Fendi rasa sangat berbeza.Kali ini , pandangan nenek sungguh lain.
" Ada apa nek? Budak Tiqa tu datang mengadu pasal saya?"

Nenek merenung wajah Fendi lama. Lembut dan redup. Sesuci embun pagi.
" Nenek tak percaya pada semua orang kampung yang bercerita pasal Fendi.
Tapi, bila Tiqa datang tadi , nenek bertanya jujur pada dia. Dia menjawab secara jujur pada nenek. Dia selalu nampak Fendi dengan Tajuddin, Farok, dan Rahmat, serta beberapa orang lagi budak-budak kampung yang sudah rosak akhlak.Nenek sedih ! Nenek tak sangka cucu nenek ni, sanggup menjual maruah, menggadai kepercayaan nenek dan melacurkan masa depan sendiri. " Ujar nenek perlahan tetapi cukup berkesan.
" Saya nak cari budak tu. Dia bawa mulut nek. Saya tak buat semua tu."
" Jangan. Nenek percaya pada Tiqa. Nenek harap Fendi berubah lah. Berubah demi nenek. Nenek nak tengok Fendi berjaya. Fendi satu-satunya harapan nenek selepas anak dan menantu nenek berpisah. Nenek dah tua. Bila-bila saja nenek akan pergi." Nenek memandang lembut wajah Fendi. Dia menyapu air mata yang membasahi tubir mata tuanya. Sedikit sebanyak hati lelaki Fendi tersentuh.
Nenek tahu cucu lelakinya itu menaruh dendam pada ibu bapanya lalu merosakkan masa depannya. Dan kini, nasib Atiqa dalam bahaya. Dia tahu, Fendi akan mencari Atiqa.


KAU MENGUBAH SEGALANYA

Atiqa berjalan kaki dari sekolah ke perhentian bas. Kelas lewat petang hari itu menyebabkan dia terpaksa pulang keseorangan . Dua lagi rakan yang selalu bersamanya sudah pulang lebih awal. Kelas tambahan kimia tadi lambat habis.
" Hei !! Jangan nak berlagak ustazah lah!! " Satu suara menyebabkan dia berpaling ke belakang.
"Luqman Affendi" Terluah sepotong nama itu meniti bibirnya. Kini dia berdepan dengan cucu Nenek Rahimah yang dipanggilnya Tok Mah. Hati perempuannya bergetar kuat. Memang selama ini dia selalu mencuri pandang lelaki itu. Malah, ramai juga pelajar perempuan sekolah itu cuba mendekati Fendi namun, lelaki itu lebih selesa bersikap dingin. Malah lelaki itu, pada mata Atiqa, kalis cinta.
" Sakitlah Fendi!! Lepaslah…saya jerit nanti! " Atiqa menarik kuat lengannya yang diheret oleh lelaki itu sekejap tadi.
" Itu baru sikit. Kau nak aku tampar muka kau kalau kau mengadu dengan nenek aku lagi. Berlagak baik konon! Jangan campur hal aku lagi." Tengking Fendi dengan wajah membahang.
Aneh! Cinta itu sungguh aneh. Cinta itu pekak, bisu dan buta. Kalimah itu terasa dingin di pendengaran Atiqa. Jatuh cinta kah dia pada Luqman Affendi!!
" Baiklah. Kita habiskan di sini. Tampar lah muka saya kalau awak rasa, itu yang boleh menggembirakan awak dan nenek awak yang sedang bersedih tu. Tampar lah muka saya kalau itu yang boleh menyebabkan awak berjaya dengan cemerlang dalam STPM nanti. Saya tahu, kampung ni dan nenek awak tak ada makna bagi awak kan. Awak ni lelaki Bandar yang tak berhati perut. Nenek awak tu, selalu sakit-sakit , selalu sedih dan menyimpan hati memikirkan sikap awak. Dia tak pernah tunjuk. Tapi saya tahu. Saya nampak hati tua dia. Saya rasa kesedihan dia. Pulang lah ke pangkal jalan Fendi. Awak tak kan ke mana dengan jalan yang awak pilih. Kebencian dan protes yang awak buat tu, hanya nak menutup dendam awak pada orang tua awak. Tapi, siapa yang kena tempiasnya, nenek awak yang dah tua tu.Assalamualaikum Luqman Affendi. " Atiqa bergegas pergi menaiki bas yang kebetulan baru tiba.
Luqman Affendi kematian kata-kata. Bagaikan salju di danau rindu. Azimat yang terluah sebentar tadi seperti menyiram api dendam yang terbuku sekian lama. Nur Atiqa Abdullah, sepotong nama yang tersemat di hatinya . Kini, nama itu menjadi titik perubahan hidupnya. Dia pulang ke rumah. Nenek !! Hatinya dipagut rindu. Besar dosanya pada nenek, pada Pak Lang, Mak Lang , mama dan papa.


GEMPAR

Luqman Affendi terduduk . Bagaikan jatuh ditimpa tangga. Kepulangannya hari itu tidak disambut mesra oleh nenek seperti biasa. Orang ramai berkumpul di hadapan rumah. Dia tahu dan dia dapat agak apa yang telah berlaku.
" Nenek!!! Nekkkkk…….." Tangisannya pecah bersama sesal yang tak sudah .
" Pak Lang, Mak Lang! Maafkan saya. Saya dah bertaubat. Saya dah tak buat jahat lagi. Tapi kenapa nenek tak tunggu saya. Saya berdosa! Berdosa!!!"
" Sudah lah Fendi. Jangan ditangisi orang yang telah pergi.Tak baik.Kami dah maafkan kamu. Nenek pun dah maafkan. Dia pergi dengan tenang.," Pak Lang memujuk.
Segala-galanya sudah berakhir. Fendi merasa dunianya gelap-gelita. Tanpa nenek dia tak mampu bergerak. Hampir dua minggu dia tidak ke sekolah. Beberapa kali Pak Lang dipanggil berjumpa pihak sekolah, namun dia tidak berubah.
"Assalamualaikum! "
"Waalaikumusaalam"
"Awak Tiqa!"
"Saya nak jumpa awak! "
" Tiqa masuklah, lama tak nampak ya! " Mak Lang bersalaman mesra dengan Atiqa. Gadis itu begitu sempurna pada mata keluarga mereka.
" Duduk dulu, Mak Lang nak buat air"
Atiqa dan Affendi melihat Mak Lang berlalu. Sepi mengepung antara mereka.
" Kenapa jadi macam ni Fendi?? Nenek tentu tak suka kalau awak macam ni, Saya lagi tak suka. Saya nak awak sedar dan bangun menunaikan amanah nenek awak.
Awak tak nak tengok dia gembira melihat awak berjaya?" Begitu lembut, suci dan kudus kata-kata Atiqa meresap ke pendengaran Affendi.
Gadis ini seperti mutiara. Jernih, bercahaya dan berkilau. Setiap kata-kata Atiqa meresap ke ulu hati. Jatuh cinta kah dia pada gadis 17 tahun itu.
" Awak tak malu kawan dengan saya Tiqa? Awak kan tahu saya budak jahat. Ayah awak guru disiplin, dia tentu tak suka kita berkawan."
" Saya tak pernah malu. Saya bangga jadi kawan awak Fendi. Tapi, awak kena berubah. Setiap yang jahat akan jadi baik kalau kita sudi membawanya ke jalan yang baik. Saya sudi menemani awak ke jalan yang baik. Saya rela dimarahi ayah saya demi menunaikan hasrat nenek awak nak tengok awak berjaya dan jadi manusia berguna. Itu janji saya dengan arwah."
" Janji?? Bagaimana dengan diri awak sendiri? Hati awak? Tidak ikhlas?"
" Awak kena ‘tackle’ saya dulu kalau nak kenal hati saya! " Usik Atiqa sambil tersenyum pendek. Manis dan menawan.Affendi merenung wajah itu lama dan lembut. Hatinya tiba-tiba terbuai dan terubat. Dia akan ke sekolah esok ! Itu janjinya pada Atiqa.
" Balik dulu Mak Lang. Assalamualaikum Fendi."


MENGGAPAI IMPIAN

"Fendi!Fendi " Luqman Affendi tersentak dari lamunan.
"Panjang anak buah Pak Lang termenung, ingat apa tu?" Pak Lang mengusik.
"Err...... takde apa-apa Pak Lang.Saja nak mengambil angin pagi."
"Sekilas ikan di air, Pak Lang dah tahu jantan betinanya, Fendi ingat perkara dulukan? Sudahlah tu Fendi , perkara dah berlaku buat apa nak dikesalkan. Pak Lang dan Mak Lang dah seribu kali bersyukur, cuma jangan diulang lagi perkara lama ye!!" Pak Lang menasihati anak bujang itu , yang semakin menampakkan kedewasaannya. Hubungan Fendi dan kedua orang tuanya juga sudah pulih seperti biasa. Cuma setiap kali cuti semester universiti Fendi pasti pulang ke kampung. Ada sesuatu menariknya ke situ.
" Assalamualaikum" Suara lunak merdu Atiqa menjengah suasana pagi.
"Tiqa, masuk lah. Sarapan sekali." Mak Lang seperti selalu mesra melayan Atiqa.Mak Lang bergerak ke meja makan .
" Apa khabar?? " Fendi merenung gadis yang dirinduinya sekian lama.
" Baik. Awak sihat?" Atiqa pula bertanya lanjut. Sesekali pandangannya
menyapu wajah lelaki berkulit cerah itu. Dia juga sekian lama menngumpul rindu yang sama.
" Cuti lama ke ni? "
" Saya cuti 2 minggu .Nak habiskan kat sini jer."
" Saya pun cuti 2 minggu. Lepas ni naik KL balik."
" Kita pergi SM SIS lepas ni nak? Nak jumpa cikgu-cikgu. Lama tak jumpa.
"Jumpa Cikgu Abdullah sekali kan?" Mak Lang tiba-tiba mengusik.
" Ehmmm..bakal bapa mentua ker?" Pak Lang pula menambah.
Afendi dan Atiqa saling berpandangan. Renungan mereka bersatu. Nyaman dan indah. Bahagia meresap ke dalam jiwa.

10. 15 malam. 20 hb Mei 2009 .

 
You can follow any responses to this entry through the Contac Us. You can leave a response.