Cerpen : Putera Hati

Kacak, berlesung pipit, senyuman manis, anak sulung, tinggi, romantik, dan paling penting ada asas- asas agama. Aku menongkat dagu sambil menyambung khayalan ibarat angan- angan Mat Jenin. ‘Ha, mesti ada kereta mewah, rumah besar, anak orang kaya…’
Papp! Tudung labuhku sedikit bergoyang dek tamparan yang hinggap ke bahuku. Tersentak aku dengan reaksi itu. Mengucap aku di dalam hati. Tangan siapa lagi kalau bukan tangan milik temanku. Rakan yang paling akrab dan rapat denganku. Terbang semua khayalanku tadi dek tepukan yang agak kasar dari tangan orang selembutnya. ‘Betullah apa yang cakap, tangan wanita bisa menggoncang dunia.’
"Berangan lagi?". Aku mendongak. Sah! ‘Tak boleh tengok orang senang langsung!’aku mengomel di dalam hati. Jika disuarakan, telingaku bakal dihidangkan dengan tazkirah percuma.
Wajah rafikahku dipandang sekilas sebelum kembali menongkat dagu. Menala pandangan ke hadapan sambil menyedut perlahan air limau ais yang dipesan tadi.
"Tak baik duduk menongkat dagu tu. Tanda orang cepat putus asa." Ujar temanku itu lagi. Aku membetulkan duduk. ‘Berasap duduk dengan dia lama- lama.’ Aku bermonolog lagi. Itulah sifat manusia. Pantang ditegur, mesti melenting walaupun nasihat itu untuk kebaikan kita semata- mata.
"Anti dah habis kelas ke?" Maya hanya mengangguk sebelum melabuhkan punggungnya di kerusi hadapanku. "Zara mana?" Aku tertoleh- toleh ke sekeliling sebelum menggeleng. Sengihan terukir di bibir.
"Orderlah."usulku. Mataku melilau lalu tertancap pada seorang pemuda yang amat ku kenali. Zakuan atau nama penuhnya Mohd Zakuan Haris, teman sekuliahku, dan juga satu- satunya lelaki yang agak rapat denganku. Hanya dia sahaja yang mampu menghadapi segala kerenah yang boleh dikategorikan sebagai sifat mazmumahku. Entah di mana kelebihannya, hanya dia sahaja yang sehingga sekarang masih unggul memegang status ‘rakanku’ manakala lelaki- lelaki lain hanya dapat bertahan selama sebulan atau paling lama tiga bulan sebelum menyepikan diri mereka.
"Assalamualaikum." Salamnya ku jawab perlahan. Maya hanya tersenyum. Mungkin dia menjawab di dalam hati kerana adalah makruh memberi salam pada orang yang tengah makan. Namun, salam wajib dijawab salah seorang daripada kami kerana memadai seorang yang menjawab. Manakala si pemberi hanya sunat muakkad untuk memberinya.
Senyuman memekar di bibir merahnya tanda tidak merokok. Aku membalas senyumannya sebelum dia beredar ke kaunter jualan makanan. Semusim berlalu, aku mengenalinya. Berkopiah putih senantiasa. Tidak pernah aku melihat rambutnya yang sentiasa pendek tanda dijagaterdedah tanpa berkopiah. Air wajahnya yang tenang menyejukkan mata yang memandang. Cuma, dia tidak termasuk di dalam kriteria putera hatiku.
Sedang aku leka memandang, tiba- tiba muncul lelaki idamanku di celahan pelajar- pelajar yang bersesak- sesak untuk mengisi perut. Wajah tampan milik Danial ditatap khusyuk. Semua kriteria yang dimahuku terletak sepenuhnya di dalam diri lelaki itu namun yang kurang, agamanya. Sering berpeleseran dengan wanita menjadi hobinya, lututnya sering didedahkan buat tatapan, serta perokok yang kononnya lebih ‘macho’ itu juga sukakanku. Demi menjaga hatinya, aku sudi menerima persahabatan yang dihulurkannya walaupun telingaku saban hari di‘basuh’ oleh Maya dan Zara.
"Ghoutul basar, cik Farahin." Maya sempat menegur.
"Manusia tiada yang sempurna, Farahin." Zara mengingatkanku apabila kami sama- sama membincangkan soal munakahat di dalam slot diskusi bersama- sama akhawat yang tinggal bersama kami di dalam rumah sewa. Slot yang sentiasa diamalkan setiap malam Jumaat.
"Setuju. Allah ciptakan kita untuk dijadikan pelengkap kaum Adam. Bukannya kita nak cari sesempurna manusia. Manusia yang baik akhlaknya hanya jujungan besar kita. Oleh sebab itu, Baginda dianugerahkan sifat maksum. Sebab tu, dia menjadi manusia yang sempurna akhlaknya." Maya mengutarakan pendapatnya pula. Aku mengerahkan akal fikiranku untuk membidas.
"Tapi, tak bolehkah kita memilih teman hidup sendiri? Orang yang hidup dengan kita sehidup dan semati. Nanti orang cakap perigi mencari timba pula? Ye la kan, kitakan dijadikan dari tulang rusuk seorang lelaki bererti jodoh kita. Jadi, kalau jodoh kita orang yang perangainya, masya Allah, teruknya, macam mana pula?" Soalan itu ku tujukan kepada semua. Sejenak, mereka terdiam. Berfikir. Aku turut membisu merenung kembali hikmah diciptakan seorang wanita di alam persinggahan sebelum ke alam yang baqa’.
"Siapa cakap wanita tidak boleh memilih? Dia berhak memilih calon suaminya seperti isteri Rasulullah, Saidatina Siti Khadijah. Tetapi, harus kita ingat. Tak boleh, main cekup je. Kena nilai dulu sikap, sifat dan perangai kita dahulu. Sesuaikah kita dengan lelaki itu? Ni tidak, cari yang nak solat di awal waktu, solat sunat diamalkan selalu, pandai mengaji kalau boleh nak yang bertaranum tetapi adakah kita buat semua tu? Berlagu ke kita apabila mengalunkan surat cinta dari Allah itu?" Kak Salmah melepaskan lelah. Aku menelan liur apabila setiap bait kata- katanya terkena di batang hidungku. Tepat mengenai sasaran. Kemudian aku dan akhawat yang lain mengangguk setuju.
"Jodoh ni kerja Allah. Bagi yang dapat suami yang kurang baik sikapnya, mesti ada hikmah di sebaliknya. Atau ujian yang datang dari Allah yang menguji kesabaran hambanya menandakan kita disayanginya dan di dalam pemerhatiannya. Sebelum tu, selidik dahulu apa kesalahan kita pada setiap orang. Sama ada ibu bapa kita ke, keluarga kita ke, kawan- kawan ke? Tepuk dada tanya iman. Suluh diri sebelum menilai sesuatu." Pesanan yang penuh berhikmah diucap dengan tenang oleh Maya.
"Calon suami yang lebih elok, mesti terletak pada imannya, bukan pada fizikalnya. Fizikalnya boleh berubah, tetapi iman di dada tidak berubah melainkan dengan kehendak dirinya. Kuat imannya, kuatlah ikatan baitul muslim itu. Segala masalah, dapat diselesaikan dengan penuh kebijaksanaan bukan dengan nafsu semata. Ingat tu?" Input terakhir dari bibir teman serumahku itu akanku sematkan kukuh di dalam kotak memoriku.
Wajah Danial yang kacak, direnung sekilas sebelum aku menunduk. Hujung tudung dipintal menghilangkan rasa debar. Maya di sebelah leka merenung televisyen di hadapannya.
"Awak, sebenarnya saya ada hal nak cakap. Kita kan dah lama kawan. Saya nak rapatkan hubungan kita. Ala, senang cakap. Couple?" Aku tersentak. Mataku juga dapat menangkap Maya juga turut terpana dengan kenyataan yang agak berterus terang itu. Aku menegakkan badan sebelum memintanya memberi sedikit masa untuk mempertimbangkannya.
Nokia N95 berdering sebelum suara milik emak kedengaran di hujung talian. "Balik, nak. Mak ada hal nak bincang." Arahan emak, ku turutkan segera. Minggu itu, aku pulang ditemani Zara. Dia ingin berjumpa dengan emakku kerana dia sudah menganggap emakku sebagai ibu kandungnya.
Abah dan emak serta adik- adikku berkumpul di ruang tamu. Zara turut serta di dalam perhimpunan keluargaku.
"Mak dan abah ada hajat ni. Nak beritahu kamu sesuatu." Aku hanya membisu. Membenarkan emak meneruskan bicara.
"Kamu kenal Zakuan?" Aku terkejut buat kesekian kalinya. Mana tidaknya, aku tidak pernah menceritakan satu hal pun berkaitan dengan Zakuan kepada ahli keluargaku. Aku membuang pandang ke arah Zara. Dia juga kelihatan terperanjat. Aku sekadar mengangguk sebagai jawapan.
"Keluarganya datang hari Jumaat lalu. Katanya nak meminang kamu sebagai suri hati terunanya, si Zakuan."cerita abah membuatkan aku terkebil- kebil tidak percaya. ‘Zakuan meminang aku?’ Persoalan itu dibiarkan berlegar di dalam fikiran.
"Kamu setuju ke tidak?"soalan emak ibarat masuk ke telinga kanan, keluar ke telinga kiri.
Pulang dari kampung, aku sibuk dengan pelbagai tugasan yang mengerahkan seluruh tenaga dan akal fikiranku sehingga tiada masa untuk memikirkan soal yang memerlukan jawapan dengan segera itu. Berdozen- dozen mesej dari Danial yang menagih jawapan dariku. Manakala Zakuan terus menyepi walaupun sekiranya terserempak dengannya, senyuman yang menghiasi bibirnya masih dilemparkan kepadaku.
"Banyakkan solat istikhoroh, solat hajat. Nilai sorang- sorang. Tapi, bagi pendapat ana, ana akan pilih Zakuan. Danial hanya meminta berkasih. Anti tahukan, bercinta sebelum kahwin ni bukan tuntutan pun kan? Malah, tiada di dalam syariat pun, bercinta sebelum nikah ni diharuskan oleh Islam. Bercinta hanya layak dikecapi setelah adanya ijab dan kabul. Zakuan pilihan yang tepat. Memiliki calon suami soleh. Insya Allah."nasihat yang diberi Maya meresap ke dalam kalbu.
Solat dua rakaat didirikan. Doa ditadah memohon petunjuk daripada khaliqku. Beberapa hari selepas itu, bayangan yang sama menghiasi mimpi- mimpiku menambahkan keyakinanku untuk memilihnya. Telefon dicapai, nombor emak ku dail bagi menyatakan hasrat dan harapan di hati bersama doa ; "Ya Allah! Kiranya dia adalah utusan dan ketentuanMu buatku. Aku harap Engkau permudahkanlah dan bukakanlah hatiku ini untuk menerimanya dengan ikhlas. Jika ia ditakdirkan bukan milikku, maka jauhkanlah hatiku darinya. Hilangkanlah bayangan wajahnya dari tatapan dan pandanganku agar hatiku bisa tabah menerimanya." "Ya Allah! Sesungguhnya aku redha dengan segala ketentuanMu buatku. Amin…."

 
You can follow any responses to this entry through the Contac Us. You can leave a response.