Cerpen : Sesejuk dinginnya gerimis pagi

Dia menapak. Melangkah melewati barisan orang ramai yang sedang mengerumuni meja tersebut. Mencari-cari siapakah yang sedang dikelilingi itu. 'Ramai betul. Apa yang berlaku di sini? Ada jualan langsung ke?' Irani terus terhendap-hendap melihat sekumpulan lelaki yang duduk di sepanjang meja tersebut. 'Siapa ni? Artis ke?'

"Sabar ye, semua sila beratur! Diminta bertenang semua!" Satu pengumuman yang tiba-tiba itu hampir meluruhkan jantungnya. 'Kurus semangat..'

"Ira..! Aku dekat sinilah. Kau cari apa lagi?" Shadah tiba-tiba muncul menjinjing beberapa beg kertas yang berisi barang-barang yang telah dibeli.
"Tu. Siapa tu?" Shadah memandang ke arah meja yang dikerumuni tersebut.
"Oh...biasalah..ada sesi autograflah tu. Ramai penyanyi suka buat benda-benda macam tu dekat sini. Emm.." Shadah terus memerhatikan beberapa lelaki itu.
"Penyanyi kumpulan. Entah, tak pernah nampak pun..Naughty bear..oh..orang baru agaknya. Tengoklah tu, nama kumpulan pun macam budak-budak je.." Shadah terus tertawa.
"Ish, kau ni, tak baik gelakkan nama orang."
"Apa pula..bukannya nama diaorang. Nama kumpulan. Siapa punya idealah letak nama macam tu?" Irani hanya memerhatikan dari jauh. 'Naughty Bear?' "Ira, jom makan. Aku dah laparlah."
"Jomlah."

"Kenapa masam je ni?" Pertanyaan Adi memutuskan lamunannya. Haikal menyapu wajahnya yang sedikit berpeluh.
"Tak ada apalah. Aku penat je."
"Penat? Baru kena layan peminat sikit, dah penat? Macam mana ni bai..?"
Ashraf pula mencelah. Haikal hanya tersenyum. Usikan sebegitu memang biasa diterima dari Ashraf. Rakan baiknya sejak sekolah menengah itu memang seorang yang aktif. Tiada apa yang memenatkan baginya. Malah, tidak pernah merungut keletihan atau kepenatan. "Rileklah, Kal. Bukan selalu kita nak buat sesi bertemu peminat macam ni. Tengok aku ni, ha.." Ashraf menunjukkan otot pada lengannya dengan riak wajah yang spontan.
"Sudahlah kau! Tak letihlah kononnya tu. Nanti sampai je dekat studio, terus membongkang. Tak ingat dunia! Tu belum sampai rumah lagi.." Adi pula menyampuk.
"Kau pun sama je..!" Van syarikat berwarna ungu muda itu terus meluncur membelah jalan. Menuju ke Crystal & Pearl, syarikat rakaman yang ditubuhkan sejak tiga tahun lalu. Sebuah syarikat baru yang menaung beberapa penyanyi berkumpulan yang aktif melalui lagu-lagu yang disiarkan di laman blog masing-masing.

Lyana hanya memerhatikan Haikal. Riak wajah lelaki itu telah berubah. Tidak seperti sebelum sesi autograf tadi. Lyana benar-benar ingin bertanya kepadanya. Namun hasrat itu disimpan sahaja mengenangkan keletihan yang jelas terpancar pada wajah teman istimewanya itu.

"Kal, nah.." Lyana menghulurkan sebotol air mineral. Haikal mengukir senyuman yang agak tawar.

Botol air dipelukannya. Tidak diminum setitik pun. Fikirannya menerawang. Memikirkan gadis yang dilihatnya tadi. Seraut wajah yang amat dirinduinya selama ini. Dia masih bingung. Bagaimana gadis itu boleh berada di situ? Dalam pengetahuannya, gadis itu telah mengikut keluarganya berhijrah ke Kanada. Suatu sudut dunia yang melebarkan jarak antara mereka. Jauh memisahkan mereka. Jauh dari cinta yang suci. Yang disemai sejak mereka mula mengenal erti kasih sayang. Antara dua insan dalam pertemuan yang sukar ditafsir akal waras. Bagaimana wajah itu tiba-tiba terlakar semula dihadapan matanya? Sekian lama cinta itu cuba dilupakannya. Dibuang jauh-jauh.
"Haikal, letih ke?" Soal Anne, pengurus kepada kumpulan tersebut. "Biasalah tu. Kenalah berkorban tenaga sikit."
"Yelah, kak Anne."

Haikal terus melayan perasaannya sendiri. Biarpun alasan letih cukup untuk menutup keresahan dihatinya, namun Lyana masih boleh membaca fikiran Haikal. Bukan keletihan yang menjadi masalahnya. Bukan kepenatan yang sedang ditanggungnya. Dua tahun mengenali Haikal, setiap gerak-geri lelaki itu telah dapat dibacanya. Setiap riak yang terpamer bisa ditafsir biarpun payah untuk lelaki itu meluahkannya.

"Lepas ni, kamu dapat cuti dua minggu. Lepas dua minggu nanti, kita ada show. Ingat, rehat betul-betul. Jangan ada yang jatuh sakit pulak. Kak Anne tak nak ada apa-apa yang mengganggu persembahan kamu nanti."
"Baik, kak Anne!" Jawab Adi dan Ashraf serentak.

Helaian demi helaian diselak. Album foto itu terus ditelitinya. Mencari-cari wajah Irani Fatiha. Sekian lama album itu disimpan. Kelihatan kian lusuh. Beberapa foto juga telah pudar dan kabur. Haikal duduk di sebuah kerusi di sudut bilik stor itu. Tiga buah album diambilnya dari dalam kotak. Menyapu debu-debu yang meyeliputi album-album tersebut. Sekali sekala kenangan zaman sekolah terlintas dalam fikirannya. Salmi. Qazem. Zuraida. Suhani. Ying Hua. Lilian. Francis. Badri. Fizri. Amin. Semuanya begitu indah. Indah dalam memori yang sukar dilupakan. 'Di mana agaknya mereka sekarang?' Sekeping foto yang diambil semasa majlis perpisahan direnungnya. Gambar beberapa rakan baiknya terpahat di situ. Namun wajah yang dicari masih gagal ditemui. 'Tak ada langsung ke?' Haikal terus meneliti album yang lain pula. 'Memang tak ada langsung. Emm..' Dia masih tidak percaya. Irani muncul dihadapannya tadi. Secara perlahan-lahan rindu itu mula berputik semula. Satu rasa yang telah lama tidak dirasakannya. Hatinya tiba-tiba ingin benar menemui gadis itu. Menyemai semula benih kasih yang telah layu dan kering.

"Assalamualaikum." Satu ucapan salam dari luar mengejutkannya. Haikal melangkah ke muka pintu. Terpacul Lyana membawa sebuah bakul yang ditutupi dengan kain berwarna putih berbunga biru.
"Waalaikumsalam. Yana. Buat apa di sini?" Lyana melangkah masuk ke dalam bilik stor itu.
"Yana pergi rumah Kal tadi. Mak Kal kata Kal ada dekat sini. Wah..banyaknya barang dalam ni! Semua ni dah tak nak guna ke?" Lyana meletakkan bakul yang dibawanya. Dia terpandang sebuah kotak yang telah terbuka terletak disebelah kerusi. "Kotak apa ni?"
"Album lama. Gambar sekolah dulu."
"Gambar sekolah? Gambar Kal masa sekolah dulu ye?" Haikal hanya mengangguk. Lyana mengambil album-album tersebut dan meneliti foto-foto yang terdapat di dalamnya. "Ini gambar Kal dulu? Comelnya.."

Lama dia melihat-lihat foto tersebut. Sekali sekala Lyana menjeling ke arah Haikal. Redup wajahnya masih kelihatan. Haikal memegang sebuah majalah sekolah ditangannya. Seolah-olah membacanya. Lyana mencari-cari santun yang sesuai untuk mengajukan soalan kepada Haikal.

"Oh ye! Yana ada sesuatu nak bagi pada Haikal." Lyana mengangkat bakul yang dibawanya tadi. "Nah! Bukalah."
"Apa ni?" Haikal meletakkan majalah ditangannya. Mengambil bakul tersebut. Dan membukanya. Dua ekor arnab putih dan hitam terdapat didalamnya.
"Arnab ni untuk Kal."
"Untuk Kal? Untuk apa? Mana Yana dapat ni?"
"Kawan ayah Yana buka pusat penjagaan haiwan. Yana nak beli arnab-arnab ni, tapi dia hadiahkan je. Free.."
"Tapi kenapa nak bagi pada Kal? Kan Yana suka arnab ni."
"Actually, Yana beli untuk Kal. Yana memang nak hadiahkan pada Kal."
"Hadiah? Birthday Kal dah lepas. Hadiah ni untuk apa?"
"Group kita dah berjaya. Ini semua hasil kerja keras kita semua. So, Yana nak hadiahkan sesuatu pada Kal."
"Itu jasa kita semua. Kenapa Kal saja yang dapat hadiah? Yang lain?"
"Yana dah bagi hadiah. Yana belanja diaorang makan besar tadi. Kal tak nak ikut. Yana tak tahu macam mana nak raikan dengan Kal. Ini saja cara yang Yana ada."
"Tak payahlah susah-susah bagi hadiah macam ni. Kal tak kisah pun. Yana pun terlibat juga dalam group ni. Yana banyak berjasa. Kami semua tak tahu macam mana nak balas jasa Yana."
"Yana suka dengan kumpulan ni. Ada semangat setiakawan. Kumpulan ni banyak mengajar Yana bagaimana menghargai sesebuah hubungan. Lagipun, Yana ikhlas membantu. Yana berharap sangat Kal dan yang lain akan terus stay dalam group ni. Jangan berpecah." Cermat Lyana menuturkan kata-kata. Masih mencari-cari cara untuk merungkai keresahan dihati Haikal.

"Emm, Kal. Boleh Yana tanya satu soalan?"
"Boleh. Nak tanya apa?"
"Kal nampak muram. Ada masalah ke?"
"Masalah? Tak adalah. Kenapa Yana fikir macam tu?"
"Yana tengok Kal nampak sedih je. Kalau Kal ada masalah, Yana boleh tolong."
"Tak adalah. Kal tak ada apa-apa masalah. Cuma akhir-akhir ni, letih sikit. Yelah, banyak show kena pergi. Masa cuti kena buat kerja juga. Rehat pun tak banyak."

Alasan itu masih digunakannya. Haikal tahu, Lyana cuba mengasaknya untuk berterus terang. Lyana bukanlah seperti gadis lain. Dia kagum dengan semangat gadis itu yang sanggup mengeluarkan wang simpanannya sendiri bagi membiayai bayaran rakaman lagu mereka. Tanpa Lyana, Naughty Bear mungkin hanya sekadar sebuah nama. Lyana juga seorang yang bijak menilai hati seseorang. Agakan gadis itu tepat sekali kerana dia memang sedang bingung memikirkan keraguan yang tiba-tiba menghantuinya.

"Betul ke ni? Yana tak tahu apa yang bermain dalam fikiran Kal. Tapi kalau Kal ada apa-apa masalah, beritahulah. Yana ni bukan orang lain kan?"
"Yelah."
"Kalau Yana tak boleh tolong pun, sekurang-kurangnya beban tu dah ringan sikit kalau Kal luahkan pada seseorang. Jangan simpan masalah berat terlalu lama."

Kata-kata Lyana menambahkan kerunsingan dihatinya. Haikal serba salah. Kasih Lyana padanya tidak pernah putus. Gadis itu banyak merawat luka yang dialami bertahun lamanya akibat pemergian insan kesayangannya. Cinta yang baru berputik dalam dua tahun itu bagai sebuah taman indah yang sentiasa terbuka untuknya. Bagaikan taman yang pernah dihuninya bersama Irani Fatiha. Taman yang kini hanya tinggal semak-samun dan lalang yang terbiar tidak terurus.

"Nah. Simpan arnab ni! Ini tanda sayang Yana pada Kal."

Soalan masih tinggal soalan. Jawapan masih tidak diperolehinya. Haikal enggan meluahkan apa yang terbuku dihatinya. Namun cintanya pada lelaki itu terus kukuh dan utuh dihatinya. Cinta yang bisa menggetarkan jiwanya. Melunturkan biasan keresahan yang terkadang dirasainya.

*************************************

Irani duduk mendepani Irma. Café yang biasanya sunyi sepi itu dipenuhi golongan remaja yang duduk melepak di situ.
"Kenapa ramai sangat orang hari ni? Selalu tu, dua meja pun belum tentu ada orang."
"Kak Ira tak tahu? Ada persembahan malam ni. Band underground datang buat show. Tengok, pentas pun dah siap." Irma bersuara. Adik perempuannya itu begitu teruja kerana dapat menyaksikan persembahan kumpulan kegemarannya.
"Ada show? Café kecil ni? Ada ke artis nak datang menyanyi di sini?"
"Adalah. Best..!" 'Emm, patutlah Ima ajak aku datang ke sini..'

Sebentar kemudian, tepukan yang gemuruh menggemakan setiap sudut café tersebut. Sekumpulan penyanyi remaja melangkah naik ke atas pentas.
"Dipersilakan..Naughty Bear!" Muzik dimulakan. Sebuah lagu rancak dinyanyikan.
"Wah..handsomenya vokalis dia.."
Penyanyi bercermin mata hitam itu terus memetik guitar dan menyanyi dengan penuh penghayatan.
"Tengok tu kak Ira. Wah.."

Ashraf menyanyi dengan penuh perasaan. Suaranya memang lunak dan boleh mencapai nada yang sangat tinggi. Lyana dan Adi dibelakangnya bermain guitar kedua dan bass. Manakala Haikal pula dibelakang sekali bertindak sebagai pemain dram. Lagu pertama berakhir.

"Ya..!!"
Mereka menerima tepukan gemuruh dari semua hadirin yang berada di dalam café.
"Terima kasih kerana sudi hadir ke sini hari ni. Kami amat menghargai sokongan anda semua. Tanpa anda semua, siapalah kami.." Sekali lagi tepukan bergema.
"Baiklah. Sekarang, terimalah lagu kami yang seterusnya.." Lagu kedua disampaikan.
"Kak Ira, Ima nak ambil autograf. Kak Ira tunggu di sini ye!"
"Eh.." Pantas Irma berlari duduk di meja yang lain. Lebih dekat dengan pentas persembahan.

Haikal asyik dengan persembahannya. Tanpa memandang peminat yang hadir. Selesai menyampaikan lagu yang ketiga, mereka berehat untuk seketika.
"Chap, aku keluar ambil angin sekejap." Ashraf mengangguk. Lyana hanya mengekori langkahnya dengan anak mata.

Haikal keluar ke hadapan pintu masuk café tersebut. Beberapa orang peminat mereka tiba-tiba berkumpul disekelilingnya. Meminta untuk bergambar. Autograf. Seketika kemudian, Haikal berjalan jauh sedikit dari café tersebut. Pandangannya tiba-tiba tertumpu pada seorang gadis yang berdiri tidak jauh dari situ. 'Irani?' Dia berjalan. Menuju ke arah gadis itu. Irani terkejut memandang Haikal apabila dia menoleh ke belakang.

"Ira.." Suara Haikal agak perlahan.
"Haikal?"
"Irani? Irani Fatiha..?"
"Ye, saya. Ira. Irani Fatiha."
"Saya ingat Ira..Ira kan dah ke Kanada?"
"Emm..Ira.." Satu panggilan memutuskan perbualan mereka.
"Kal, cepatlah. Dah nak start!"
"Ye, ye.." Haikal memandang Irani. Wajah itu tidak pernah berubah. Haikal mengambil kertas di dalam koceknya dan menulis sesuatu.
"Ini nombor saya. Jangan lupa contact."
Haikal berjalan perlahan dari situ. Melangkah masuk semula ke dalam café. Pandangan matanya tidak lekang dari kelibat Irani. Gadis itu masih terpegun. Tidak pernah disangkanya akan menemui Haikal di situ.

Tumpuannya tiada langsung terhadap persembahan mereka selepas itu. Haikal masih teringatkan Irani yang ditemuinya sebentar tadi. Fikirannya menerawang memikirkan gadis itu. Bilauan perasaannya kian memuncak. Dia mesti mencari kepastian. Satu jawapan yang lebih tepat. Agar kelirunya berakhir.

~Maaf..~

Mesej ringkas itu ditelah adalah Irani. Haikal cepat-cepat menghubunginya. Namun tiada sebarang jawapan. Irani hanya membisu.

~Ira?~

Juraian air jernih meniti dipipinya. Irani memejamkan mata serapatnya. Mencari kekuatan untuk berhadapan dengan persoalan-persoalan yang mungkin perlu dijawabnya.

~Irani Fatiha..~

Mesej kedua dari Haikal diterimanya. Irani masih membisu.

~Maafkn ira, haikal.ira prgi x bgtau.ira mnta maaf..~
~Knp,ira?~
~ira x boleh bgtau dsini.boleh kta jmpa?~

*************************************

Pertemuan itu bagaikan memaksa Irani untuk keluar dari persoalan yang ditinggalkan ke atas Haikal. Seraut wajah Haikal di tenungnya. Pasti. Itulah insan itu. Insan yang sekian lama memenuhi ruang hatinya. Dia kaget tiba-tiba. Janggal menguasai perasaannya. Haikal hanya memandang ke dalam kawasan belukar dihadapannya. Fikirannya jauh menerawang. Hatinya pilu. Tujuh tahun dirasakan begitu lama. Pemergian Irani benar-benar melukakannya.

"Maaf.."
Hanya itu yang mampu diluahkannya. Irani memandang wajah redup Haikal. Lelaki itu memaku pandangannya. Bagaikan enggan memandang wajah Irani.
"Ira.." Haikal duduk diatas tunggul kayu di tepinya.
"Apa dia, Ira?" Haikal bersuara. "Dah tak sudi nak bercakap dengan Haikal?" Haikal memandang gadis itu. Redup matanya menampakkan garis-garis sepi yang ditanggungnya selama ini.
"Ira..Ira tak tahu macam mana nak terangkan." Kelu lidahnya untuk meluahkan yang terbuku dihati.
"Ira terpaksa. Maafkan Ira."
"Maaf? Berapa kali Ira nak minta maaf? Cukuplah dengan lafaz yang pertama tu. Sekarang beritahu Haikal, apa yang memaksa Ira untuk tinggalkan Malaysia? Sampai terlalu jauh untuk Haikal cari Ira. Haikal ada buat salah dengan Ira?"
"Bukan, bukan sebab salah Haikal. Haikal tak pernah salah dengan Ira. Ira cuma.."
"Susah sangatkah nak luahkan? Dengan Haikal pun nak berahsia?" 'Bukan. Ira..'
"Ira ada sebab Ira sendiri.." 'Kenapa susah sangat aku nak terangkan?'

Haikal masih menanti. Hati yang bagaikan telah pasrah itu kini menunggu tanpa debaran. Biarpun cinta itu masih kekal dalam hatinya. Biarpun cinta itu telah menghidupkan nalurinya semula. Kebisuan Irani memutuskan keinginannya untuk terus mempersoal. Soalan yang sekian lama tersimpan.

"Sebab apa, Ira?" Haikal masih menantikan jawapan.

Irani menarik nafas panjang. 'Aku mesti kuat. Haikal mesti tahu! Aku tak boleh sembunyikan hal ni lagi. Tak boleh!'
"Ira pergi sebab..Ira sakit."
"Sakit? Sakit apa?" Berkerut kening Haikal mendengarkan kenyataan dari Irani.

Irani diam seketika.

"Jangan terus membisu, Ira. Cakap. Ira sakit apa?" Soal Haikal lagi penuh mengharap.
"Kanser tulang." Haikal terkedu. Tidak terkeluar kata-kata dari bibirnya. "Dua tahun. Dua tahun sebelum Ira kenal Haikal, Ira dah tau pasal sakit ni. Mulanya, Ira fikir, mungkin biasa saja. Lepas kita kenal, kanser tu dah mula merebak. Ibu suruh Ira ikut Pak Long ke UK untuk terima rawatan. Tapi Ira tolak. Lama-kelamaan, keadaan Ira makin teruk. Doktor pun nasihatkan supaya Ira terima rawatan."

Irani menahan sebak. Air jernih kian menakung dikelopak matanya.

"Kebetulan, ayah kena transfer ke Kanada. Ayah cari tempat rawatan penyakit ni di sana. Lepas tu, family Ira terus berpindah ke sana."
Air mata tidak tertahan lagi. Irani terus melepaskan tangisan yang setia ditahan.
"Pada hari kita janji nak jumpa tu, Ira pengsan. Dan, malam tu, Ira berlepas ke sana. Ira ada tuliskan nota untuk Haikal. Tapi tak sempat tulis sampai habis..Maafkan, Ira, Haikal. Ira pergi tak bagitahu. Ira terpaksa.." Haikal terus memeluk Irani. Seeratnya. "Haikal.."
"Tak. Ira tak salah. Ira tak bersalah.." Terasa tubuh Haikal menggigil. Irani memejamkan matanya. "Syukurlah, Ira selamat." Pelukan dilepaskan.
"Kenapa Ira tak pernah bagitahu pada Haikal? Kenapa nak sembunyikannya? Ira patut ceritakan segala-galanya. Haikal bukan orang lain. Kan kita dah janji.." 'Janji?'

Irani menjauh sedikit daripada Haikal. Langkahnya terundur ke belakang. 'Janji?' Hatinya tidak keruan. 'Apa patut aku buat?' Irani memalingkan pandangannya. 'Ya ALLAH, berilah aku kekuatan..'

"Kenapa, Ira?"
"Maaf.."
"Maaf? Ira tak bersalah. Untuk apa minta maaf?"

Irani mengangkat tangan kirinya. Menghulurkan ke arah Haikal. Haikal masih bingung. Keliru.

"Maaf.." Hanya itu ungkapan yang mampu diucapkannya.
Melihatkan cincin yang tersarung dijari manis Irani, Haikal mula mengerti. 'Kau bukan milikku lagi.'

*************************************

"Maaf." Haikal mengukir senyuman. Masih terngiang-ngiang ungkapan itu ditelinganya.
"Siapa dia?"
"Anak kawan ayah. Dia banyak menolong Ira sekeluarga masa di sana. Ayah nak balas budinya. Sebab tu, Ira ditunangkan dengan dia."
"Sejak bila?"
"Dah tiga tahun." Haikal mengangguk.
"Ira setuju?" Irani memandang Haikal. Sambil mengangguk perlahan.
"Baguslah kalau Ira yang setuju. Semoga bahagia." Irani hanya mampu melihatnya dari belakang. Haikal melangkah longlai. Menuju ke keretanya.

Bintang di langit bagaikan enggan menampakkan sinarnya. Haikal terus memandang ke muka langit. Hatinya rawan. Segumpal awan hitam menutupi beberapa bahagian langit. Terasa angin malam menyentuh mukanya. Sesejuk dinginnya gerimis pagi. Haikal melepaskan keluhan. Bibirnya terus mengukir senyuman. 'Semuanya dah tertulis.' Bisik hati kecilnya. Beberapa buah majalah sekolah diletakkan di atas meja tulisnya. Haikal bersandar dikerusi. Merenung skrin komputer dihadapannya. Cursor digerakkan. Ke kiri. Dan ke kanan. Ke mana rindu itu telah menghilang? Mengapa hatinya telah kosong? Kosong tanpa kasih..Dan sayang..Bertahun dia menyimpan rindu itu. Adakah hanya sesaat sahaja telah cukup untuk melenyapkannya? Terus dari hatinya? Segenap perasaannya?

"Haikal.." Haikal menoleh. Ibunya berdiri di sisi katil.
"Mak." Haikal bangun. Duduk disebelah ibunya. Merebahkan kepala di riba wanita itu.
"Kenapa ni? Dari siang tadi, mak tengok asyik termenung saja. Ada masalahkah?" Haikal hanya tersenyum. "Kenapa senyum?"
"Dah lama tak tidur di riba mak. Rindu pulak.."
"Add-ada saja."
"Mak.." Haikal membetulkan kedudukannya. Selesakan kepalanya. Ibunya mengusap wajah Haikal. "Mak pernah rasa cinta pertama?"
"Apa? Cinta pertama?" Ibunya mengerutkan kening.
"Ya. Cinta yang susah nak lupa. Cinta yang boleh menggetarkan seluruh jiwa. Cinta yang sukar digambarkan dengan kata-kata. Cinta yang hanya wujud dengan penyatuan dua hati walaupun baru pertama kali bertemu. Cinta yang hanya boleh dirasa oleh sesetengah orang saja.." Hajah Rokiah tersenyum. "Kenapa senyum?" Soal Haikal meniru mimik muka ibunya sebentar tadi.
"Kenapa? Anak mak ni dah jatuh cinta?"

'Ya. Tapi bukan hari ini, mak. Dah lama. Dah lebih sepuluh tahun. Terlalu lama cinta itu menjadi cinta pertama.'

"Siapa gadis tu? Cantik?"
"Apalah mak ni. Tanya soalan tu pulak."
"Bertuah sesiapa yang dapat Haikal."
"Kenapa?"
"Arwah ayah Haikal dulu. Macam Haikal. Saling tak tumpah." Haikal mendengar penuh minat. "Itulah cinta pertama mak. Insan yang telah memberi segala-galanya kepada mak."
"Apa perasaan kita bila kehilangan cinta pertama? Sejauh mana kesakitan tu?"
"Kesakitan itu, adakalanya bagaikan telah membunuh seluruh perasaan kita. Jiwa kita bagaikan telah mati. Kosong. Senyum pun macam terpaksa. Pahitnya terpaksa kita telan." Hajah Rokiah memandang wajah Haikal. "Kenapa ni? Haikal.."
"Tak adalah."
"Walaupun mak terpaksa telan semua tu, mak bersyukur sangat, mak masih ada Haikal. Dan Aliya. Kamu berdua saja yang dapat mengubat luka dalam hati mak. Semangat mak ada pada kamu berdua. Itulah yang menguatkan mak. Untuk terus tabah."

'Aku? Dan Liya? Bagaimana pula dengan aku? Siapa pula yang menjadi semangatku? Kekuatanku?' Cinta pertama itu telah pergi. Bukan hari ini. Tujuh tahun. Tujuh tahun lamanya. Cinta pertamanya telah lenyap. Yang tinggal hanyalah kenangan. Sebuah taman yang terbiar tak bertamu.

*************************************

Irani duduk di tebing sungai itu. Arus deras yang mengalir mengalunkan suara alam. Irani menyelak helaian demi helaian majalah sekolah ditangannya. Wajah Haikal di satu sudut majalah tersebut menarik pandangannya. Terus ditenungnya.

"Apa?"

Haikal berlari. Irani mengejarnya dari belakang. Rambutnya lembap dibasahi renyai hujan. Beg galasnya dibetulkan. Irani terus berlari. Membuntuti Haikal yang jauh sedikit ke hadapan.

"Apa ni..? Tak adillah macam ni..Mana boleh..Haikal..!" Haikal terus berlari sambil memeluk beg sekolahnya. Pakaiannya telah kuyup. "Haikal..Bagilah balik..!"

Langkahnya terhenti tatkala Irani berhenti mengejarnya. Muncung Irani memanjang.

"Laa..merajuk.." Irani duduk dibangku perhentian bas berdekatan. Sambil meletakkan beg galasnya disisi. "Janganlah merajuk, tuan puteri.." Haikal mendekatinya. Duduk di sebelah Irani. Irani terus memandang ke arah lain. Enggan memandang wajah Haikal.
"Alaa..sikit pun nak merajuk..Nah.." Haikal menghulurkan kotak hadiah yang diambilnya dari tangan Irani tadi.
"Merajuk lagi ke..?" Usikan Haikal melembutkan hatinya. Irani mengambil kotak tersebut. Senyuman terukir diwajahnya. Irani menjeling ke arah Haikal.
"Marah lagi..?" Irani menggeleng. Sambil menundukkan wajahnya. Kotak hadiah itu dipeluknya. Erat. Haikal bersandar. Puas hatinya dapat mengusik Irani.
"Jangan bagitau sesiapa di sekolah tau. Ira nak bagi hadiah ni pada dia."
"Yalah..Haikal ni siapalah kan. Tak dapat hadiah, kena marah pulak. Dapat jelingan tajam pulak tu. Aduh..Sedihnya nasib diri ini.."
"Jangan cakap macam tu. Birthday Haikal nanti, Ira bagi. Ye?"
"Secret admire..Dia tak sedar ke yang Ira ni dah suka sangat kat dia? Kalau Haikal, dah lama Haikal tinggal. Tak appreciate langsung!"
"Bukanlah..Ira tak nak dia tahu. Kalau tak, bukan secret admire namanya.."
"Yelah tu..Entah-entah dah ada awek."

'Biarlah dia nak ada awek, bukannya aku nak jadi awek dia pun! Aku admire kan dia saja. Takkan tu pun tak boleh.'

"Kenapa? Haikal cemburu?"
"Mana ada. Jangan nak mengarutlah." Haikal bangun. Melangkah meninggalkan Irani. Irani menurutinya. Hujan yang renyai kian menyejat.
"Habis tu? Kenapa marah sangat Ira bagi hadiah kat Iqbal?" Haikal hanya berdiam. Terus berjalan dengan selamba.
"Sebab, kalau Iqbal dah ada awek, siapa yang nakkan Ira yang pendek ni..!" Haikal terus berlari sejurus menarik sedikit rambut Irani yang bertocang.
"Haikal..!"

"Kak Ira..Duduk kat sini rupanya." Menungannya terhenti. Irma duduk disebelahnya. "Dah lama kak Ira buat kerja ni?" Irani mengerutkan dahi. "Duduk termenung kat tepi sungai ni.."
"Oh.."
"Mak panggil."
"Ha?"
"Mak panggil. Abang Aidil nak datang rumah malam ni. Mak suruh kak Ira balik, masak." Irani menarik nafas. "Kak Ira rindukan abang Aidil ye..?"
"Ish!..."
"Ha..! Betullah tu.." 'Ke situ pulak.'

******************************************

"Wah..cantiknya, kak Ira.." Hiasan di sanggul dikemas rapi. Penutup kepala diletakkan. Irani anggun dengan busana pengantin berwarna putih. Hari ini bakal mengubah seluruh hidupnya. Irani memandang wajahnya di cermin. Serasa baru semalam dia mengenali Aidil. Insan mulia yang telah banyak membantu dia dan keluarganya. Majlis nikah telah berlalu selama seminggu. Dan hari ini adalah hari persandingannya bersama Aidil. Sukar untuk dia menggambarkan hati dan perasaannya yang bercampur baur. Ikatan telah terjalin. Namun jiwanya kekal bebas. Ingin terbang kepada insan lain. Insan yang amat dirinduinya selama ini. Biarpun dirinya telah bergelar isteri, dia masih mengharapkan cinta itu. Mungkinkah akan bertaut semula? Irani kian tenggelam dalam angannya. Mimpi yang tak pasti.

"Jom." Lamunannya terhenti. Irma tersenyum ke arahnya. "Jom, kak Ira. Tetamu dah lama tunggu. Kak Ira kena naik pelamin." Irani hanya mengikut. Dia diapit Irma dan Shadah.
"Macam tak percaya saja. Kau dah kahwin, Ira." Bisik Shadah ketelinganya. Irani hanya tersenyum tawar.

Acara menepung tawar pun bermula. Seorang demi seorang tetamu yang hadir bersalaman dengan pengantin. Tanda restu di atas kebahagiaan mempelai. Irani tunduk. Selepas beberapa lama, pengantin di bawa ke meja santapan. Para tetamu juga sibuk menjamu selera. Sambil memerhatikan pasangan raja sehari itu.
"Makan, sayang." Bisik Aidil ketelinganya. Irani terpempan. Dia memandang Aidil. Lalu mengangguk perlahan. Aidil menyuapkan makanan kepada Irani. Gadis itu kekok. Kekok dengan layanan mesra suaminya.
"Okey, para tetamu, saya minta perhatian sekejap. Okey, hari ni kita ada persembahan khas. Special lah kata orang putih. Erm..persembahan ni ditujukan kepada raja dan ratu sehari kita yang sedang bersantap di sana." Suara Azman, adik kepada Aidil, bergema melalui pembesar suara. "Okey, dipersilakan..kumpulan Naughty Bear..!"
Irani terkedu. 'Naughty Bear?' Seraya dia bangun. Aidil yang leka menyuap makanan agak terkejut.
"Kenapa, Ira?" Soal Aidil. Irani diam. Sambil memerhatikan Haikal yang sedang bermain drum di belakang sekali. Terasa kabur pandangan matanya. "Ira.." Irani memandang Aidil. Matanya berkaca. Dia duduk semula. Aidil yang masih terpinga-pinga turut duduk. Dia memerhatikan isterinya itu. Ada garis duka yang terlukis di wajahnya. Hendak disoal, namun dia mematikan niatnya melihatkan Irani yang kekal membisu.

"Amin.."
Irani mencuba. Dengan sedaya upaya membuang Haikal dari hatinya. 'Cinta itu dah hilang. Aku mesti buang sisa-sisanya. Aku tak boleh simpan lagi!' Perasaan itu meruntun jiwanya. Bagai menghiris hati. 'Bukan satu. Tapi dua. Hati Aidil. Hati Haikal..'
"Sayang.." Aidil menutup pintu. Keletihan melayan tetamu masih terasa. Irani menanggalkan kain telekungnya. Dia melemparkan senyuman ke arah Aidil. Aidil duduk dikerusi di sisi katil. "Letih?"
"Tak sangat. Ira kan duduk dalam bilik pengantin ni saja." Irani melangkah ke meja solek. Direnung wajahnya sendiri. Terasa ada secalit dosa. Yang masih kekal di situ. Kelopak matanya sedikit berair.
"Abang..Abang dah tahu pasal Haikal." Irani menoleh. Memandang Aidil. Degupan jantungnya kian pantas. "Ini.." Aidil menghulurkan sebuah hadiah. "..Haikal suruh abang bagi pada Ira." Irani mengambil hadiah tersebut. Dan membukanya.

Selamat Pengantin Baru kepada
Aidil Izwan dan Irani Fatiha.
Semoga kekal ke akhir hayat.

Sebuah buku bertajuk 'Membina Rumahtangga Bahagia' dikeluarkan dari pembalutnya. Sepucuk surat diselitkan di dalam buku tersebut. Irani membacanya. Tubuhnya menggigil.

Ira,
Bersama buku ini, Haikal sampaikan doa setulus hati Haikal. Haikal mendoakan Ira dan Aidil akan bahagia. Biarlah cerita kita tamat di sini sahaja. Haikal menerimanya dengan hati yang terbuka. Haikal redha. Cerita kita dah lama berlalu, Ira. Dah tamat sejak tujuh tahun yang lalu. Sejak Ira pergi jauh. Jauh dari sisi Haikal. ALLAH dah tentukan jodoh kita, Ira. Sedalam mana pun kita mencintai seseorang, kita takkan mungkin bersama dengannya. Andai takdir menghalang, kita hanya mampu menerima. Dengan hati yang pasrah.

Azman dah ceritakan segala-galanya pada Haikal. Aidil lebih lama menyimpan perasaannya pada Ira. Sebelum kita kenal, Aidil terlebih dahulu menyerahkan hatinya pada Ira. Aidil lelaki yang baik. Janganlah kerana kenangan kita, kasih sayang insan ini dipersiakan. Bukanlah dalam masa yang singkat kita dapat membuang segala-galanya. Tapi, inilah permulaan yang baru buat Ira, Aidil, Haikal dan semua. Layarilah bahtera ini dengan tenang dan harmoni. Semoga berbahagia.

Tulus dan Ikhlas dari,
Zarif Haikal.

Air mata terus jatuh. Jatuh berjujuran bagai melepaskan segala duka. Irani terduduk.
"Sayang.." Irani terus memeluk tubuh Aidil. Kehangatan dakapan Aidil menenangkan tubuhnya yang dingin. Dingin kerana memori yang lapuk disimpan. Kehangatan itu bagai membuang satu-persatu cebisan ingatan terhadap kasihnya yang telah lama berlalu.
"Maafkan Ira..Maafkan Ira.."

*************************************

Sidang media telah berakhir. Ashraf bersandar. Kepenatan.
"Tak sangka. Dah ada reporter nak temuramah kita. Aku ingatkan, band underground macam kita ni, tak ada orang nak ambil peduli." Adi bersuara.
"Ha'ah. Ramai pulak tu yang datang. Tak menang tangan nak melayan." Ashraf meneguk air mineral yang diberi oleh Lyana. "Sampaikan kak Anne kena ketuk meja nak tenangkan diorang tu semua. Agresif betul diorang tanya soalan." Lyana tergelak kecil.
"Itu ertinya, kita semakin dikenali ramai. Kalau tak, takkan kita dijemput ke sesi-sesi yang macam ni." Lyana pula bersuara. Sambil matanya menjeling ke arah Haikal. Haikal tersenyum. Wajah Lyana ditenungnya. Gadis ini terlalu setia. Setia kepadanya yang masih menyimpan perasaan terhadap insan yang lain. Dia semakin kagum terhadap Lyana. Gadis yang cekal. Cekal melayan kerenahnya yang kadang kala menyakitkan hati.

"Yana tak kisah, Kal. Biarlah Yana sukakan Kal. Yana tak kisah andai Kal menjadi milik orang lain suatu hari nanti. Biarlah perasaan ini hilang dengan sendirinya di kemudian hari. Tapi, andai insan itu tidak di sisi Kal, izinkan Yana berada di sisi Kal. Ye."

'Kau terlalu naïf, Yana.' Haikal mula menyedari. Biarpun Irani pergi darinya, cinta itu masih sukar untuk diberikan kepada Lyana. Entah mengapa perasaan itu hanyalah sebagai seorang kawan dan sahabat. Tidak wujud langsung perasaan cinta itu terhadap Lyana.
"Ha..lagi satu, ada reporter yang tanya, kenapa nama group kita ni Naughty Bear? Aku pun dah lama tertanya-tanya pasal ni." Adi memandang ke arah Haikal. "Kenapa, Kal?" Semua mata memandang ke arahnya. "Tadi kau kata, biarlah menjadi rahsia. Apa yang rahsianya?"
Haikal hanya mengukir sebuah senyuman.

"Nantilah. Suatu hari nanti aku cerita. Buat masa ni, biarlah menjadi rahsia dahulu."
"Alaa...." Adi mencebik. Ashraf menjeling ke arah Haikal. Seakan mengerti. 'Ya..Biarlah ianya terus menjadi rahsia. Rahsia Haikal, Irani dan Iqbal.'

 
You can follow any responses to this entry through the Contac Us. You can leave a response.