Cerpen : Sambungan Antara Dua Hati

RIFHAN membuang pandang ke luar jendela. Tiada apa yang dapat menarik perhatiannya. Mungkin kerana hatinya diterpa rawan. Perlahan-lahan dia menarik nafas dan perlahan-lahan juga dia menghembuskannya. Dia cuba bertenang. Cuba menimbal semula apa yang berlaku dalam hidupnya kebelakangan ini. Puas ditilik diri, apakah yang kurang namun tidak ketemu jawapan. Mengapa, nasibnya dalam bercinta selalu dirundum malang? Bunyi ketukan di pintu tidak sedikit pun menganggunya dari terus hanyut dalam lamunan sehinggalah bahunya disentuh, baru dia tersentak.
"Bie..."
"Kau okey?" tanya Habibah.
Rifhan diam. Tidak langsung berniat untuk menjawab soalan Habibah. Sebenarnya, dia tidak punya jawapan yang pasti.
"Sabarlah, sekurang-kurangnya kau tidak melangkah terlalu jauh. Lebih baik sedar sekarang dari terlambat," nasihat Habibah.
"Mungkin betul apa yang awak cakap, tapi bagaimana dengan perasaan saya? Bagaimana dengan cinta dan rindu yang sarat dalam hati untuknya? Saya tidak mampu menanggungnya Habibah, saya tak kuat!" rintih Rifhan.
"Han, kita masih muda. Masih bersekolah lagi. Aku fikir, apa yang kau rasa tu hanyalah mainan perasaan. Satu tarikan dan bukannya cinta," ujar Habibah.
"Mudahnya awak bercakap. Jadi, perasaan awak pada Anas Zainal juga adalah tarikan? Begitu?"
Habibah terpana! Rifhan terlanjur kata. Adakah dia menyimpan dendam terhadap apa yang berlaku beberapa bulan yang lalu?
"Ah, maaf. Saya tak patut berkata begitu," ujar Rifhan setelah menyedari perubahan riak pada wajah sahabat baiknya itu.
Habibah menyentuh tangan Rifhan lalu menggenggamnya erat seakan memberi kekuatan pada gadis itu itu terus teguh berdiri. Dia faham, perasaan Rifhan sedang bercelaru kala ini dan adalah menjadi tanggungjawabnya untuk menemani Rifhan, memberi dia semangat agar tidak jatuh rebah.
"Jadi, apa yang kau nak buat sekarang?" soal Habibah.
"Saya tak tahu. Benar-benar tak tahu..." hanya itu yang mampu Rifhan katakan sebagai jawapan.
"Rifhan, telefon!" laung ibunya dari bawah rumah.
"Siapa mak?" tanya Rifhan.
"Katanya kawan kamu. Rahman namanya!" balas ibunya.
Pantas, darah merah menyerbu muka Rifhan. Habibah juga terkejut dengan kata-kata ibu sahabatnya sebentar tadi. Mata bertentang mata. Apa pula yang lelaki itu inginkan lagi?

* * * * *

"RIFHAN masih bersekolah ke?" Rahman bertanya pada gadis berambut panjang separas bahu yang sedang duduk menikmati aiskrim di sebelahnya.
"Yup! Form 5. Encik ni mesti dah bekerja, kan?"
"Pandai Rifhan teka. Saya baru lagi bekerja. Seorang pegawai bank," jawab Rahman.
"Biasalah, saya tengok dari pakaian encik pun saya dah tahu. Er... boleh saya tanya sesuatu?" soal Rifhan.
"Tak payahlah berencik-encik dengan saya. Rasa macam dah tua pula. Panggil Abang Man cukup. Rifhan nak tanya apa?"
"Maaflah, saya bukan nak masuk campur urusan peribadi encik, maaf, Abang Man. Tapi saya tengok Abang Man macam ada masalah je. Banyak kerja ke?" Rifhan bertanya.
Rahman mengukir secarik senyum. Sememangnya ada sesuatu yang meresahkan hatinya. Namun, fikirnya tidak perlu untuk dikongsi dengan gadis yang usianya masih mentah ini.
"Biasalah, orang baru bekerja, masih belum sesuai dengan keadaan," balas Rahman.
"Rifhan seorang ke?" sambung Rahman lagi.
"Dengan kawan tadi. Okeylah Abang Man, saya balik dulu. Terima kasih untuk aiskrim ni," ujar Rifhan.
"No problem. Terima kasih juga sebab sudi temankan abang. Semoga kita dapat jumpa lagi,"
"Kalau ada jodoh, Insyaallah..." balas Rifhan lalu melangkah pergi dari situ.
"Masih ingatkan dia lagi?"
Teguran dari Habibah melenyapkan lamunan Rifhan serta-merta. Wajah sahabat baiknya itu ditatap. Dia benar-benar keliru saat ini. Tidak tahu apa yang perlu dilakukan. Perlukah diturut kata hati, atau biarkan rindu ini berlalu pergi?
"Aku rasa kau patut berputus asa sahaja," ujar Habibah.
"Mungkin, tapi kata-katanya dalam telefon tadi, seolah-olah memberi aku harapan,"
"Jangan dijolok sarang tebuan Han. Ingat, kita ni masih muda. Sekolah pun belum habis lagi. Tahun hadapan kita nak ambil SPM," Habibah memberi sedikit peringatan.
"Aku tahu, tapi bagaimana dengan hati aku, perasaan aku?"
"Belajarlah mengawalnya dengan elok. Perasaan dan hati perlu seiring, perlu rasional. Aku bukanlah tidak menggalakkan kau bercinta tapi kau perlu tengok keadaan juga. Kau yakin andai bersama dia, kau takkan berduka? Kau sanggup bahagia atas penderitaan orang lain?" duga Habibah.
Rifhan terdiam mendengar bicara Habibah. Sebenarnya, dia sendiri tidak yakin sama ada dia akan bahagia andai hubungan ini diteruskan. Perlahan-lahan, dia kembali digamit kenangan dulu...

* * * * *

"RIFHAN! Nak balik rumah ke?"
"Oh, Abang Man rupanya. Ha’ah, nak balik rumah,"
"Jomlah, abang hantarkan," pelawa Rahman.
"Eh, tak apalah bang. Sekejap lagi datanglah bas tu," balas Rifhan cuba menolak dengan sopan walhal sudah hampir empat puluh lima minit dia duduk terpacak di situ menunggu bas.
"Jomlah, abang hantarkan. Boleh abang tahu Rifhan tinggal di mana. Nanti senanglah nak jumpa," ujar Rahman.
Hati Rifhan berdebar mendengar kata-kata Rahman sebentar tadi. Nanti senanglah nak jumpa? Apa maksudnya? Lantas, tanpa berfikir panjang, Rifhan membuka pintu kereta Proton Pesona itu lalu masuk dan duduk di tempat duduk belakang. Rahman tergelak kecil membuatkan Rifhan kebingungan.
"Kenapa abang gelak?"
"Duduklah di depan. Nanti orang ingat abang ni driver pula," jawab Rahman dalam sisa tawanya.
Rifhan tersengih. Ada-ada sahaja lelaki seorang ini. Lalu, dia keluar semula dan kemudian mengambil tempat di tempat duduk hadapan. Kereta rona hitam itu meluncur laju membelah jalan raya meninggalkan perhentian bas dengan segelintir pelajar yang masih menahan panas menunggu kelibat bas yang entah bila akan tiba.
Sejak itu, Rifhan mulai rapat dengan Rahman. Jika hari Rifhan ada kelas tambahan, Rahman sudah siap menunggu di hadapan pintu pagar sekolah untuk menghantarnya pulang. Sekali-sekala, Habibah akan turut serta. Rifhan tahu, Habibah kurang menyenangi pergaulannya dengan Rahman kerana lelaki itu sepuluh tahun lebih tua dari mereka. Namun berkali-kali Rifhan tegaskan yang Rahman seorang lelaki budiman dan dia percayakan lelaki itu.
Pernah sekali Rahman ingin membelikannya telefon bimbit tetapi ditolak sopan oleh Rifhan. Masakan dia mahu menerima pemberian semahal itu dari lelaki yang baru dikenali. Kata Rahman, senang untuk berhubung, untuk mengajaknya keluar. Tidak perlu lagi menggunakan telefon rumah. Tapi, Rifhan lebih selesa andai mereka tidak terlalu rapat. Bukan apa, tanpa disedari, hatinya mula terpaut pada layanan dan sikap penyayang lelaki itu. Rifhan tidak mahu cinta disemai dalam hati namun dia tahu, kudup-kudup rindu mula berputik dalam jiwanya.
Sehinggalah, suatu hari, dia menerima kedatangan seorang wanita yang mengaku sebagai tunang Rahman. Kala itu, dirasakan dunianya tunggang-terbalik. Hampir rebah dia mendengar berita itu. Silapnya juga kerana tidak menyiasat latar-belakang lelaki itu. Rupanya, sekali lagi dia silap memilih lelaki untuk jatuh cinta. Sekali lagi, dia menyerahkan hatinya pada lelaki yang sudah berpunya.
Lantas, pada Habibah diceritakan segalanya. Apa yang mampu Habibah lakukan hanyalah memberi semangat dan kekuatan agar Rifhan terus tabah. Dia juga terkejut pada mulanya walau sudah menyangka yang Rifhan menyimpan perasaan pada lelaki itu. Cuma, Habibah tidak sangka lelaki itu sudah dimiliki. Kasihan Rifhan, pasti dia amat terseksa.
"Kau termenung lagi," Habibah memegang bahu sahabat baiknya itu membuatkan Rifhan kembali ke alam realiti.
"Perlukah saya berjumpa dengan dia Bie?"
"Terpulanglah. Mungkin itu jalan terbaik untuk kau dan dia mencari jalan penyelesaian. Tapi kau kena ingat, jangan terlalu ikutkan perasaan. kata orang, ikut hati mati, ikut rasa binasa," pesan Habibah.
Rifhan membuang pandang ke arah jendela. Hatinya berbolak-balik. Ingin berjumpa, takut hatinya tidak mampu menahan rindu. Tidak berjumpa, sampai bila harus berdepan dengan masalah ini? Oh, Tuhan, bantulah aku, doa Rifhan di dalam hati.

* * * * *

HARI ISNIN tiba jua membuka lembaran baru dalam hidup para pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Sri Saujana itu dan tidak terkecuali Rifhan dan Habibah. Selepas tamat perhimpunan rasmi pagi itu, mereka berdua bergerak menuju ke kelas Sejarah di Blok B. Melangkah masuk ke dalam kelas, Rifhan dikejutkan dengan kehadiran nota kecil di bawah mejanya. Perlahan-lahan nota itu dibuka. Hampir hendak terkeluar kedua-dua biji matanya membaca kata-kata di dalam nota tersebut. Habibah segera merampas nota kecil itu setelah melihat reaksi Rifhan yang mencurigakan. Habibah, turut sama dicengkam kejutan.


"Betina gatal! Tak sedar diri! Sekolah pun tak habis dah gatal nak berlaki! Oii!!! Cermin muka tu dulu. Setakat muka macam kau, berlambak kat kelab-kelab malam tau! Muka GRO!"


Terketar-ketar tangan Rifhan memegang kejap tubuhnya. Pertama kali dia menerima kata-kata sekesat itu. Dari siapa dan yang penting bagaimana dia tahu apa yang berlaku pada dirinya kala ini? Rifhan memerhati sekeliling. Tiada wajah yang dapat menghadirkan ragu-ragu. Justeru, siapakah pengirimnya?
"Ini dah melampau! Siapa yang bagi surat ni hah?" bentak Habibah membuatkan setiap pasang mata yang berada di dalam kelas itu tertumpu ke arahnya.
"Aku!" sahut satu suara.
Kali ini tumpuan mereka beralih pula pada gadis yang ditocang rambutnya ekor kuda dan bercermin mata itu.
"Suraya?"
"Attention class!!! For your information, Rifhan, persis perempuan Melayu terakhir ni, sebenarnya perempuan tak sedar diri! Perempuan perampas! Perempuan gatal!" cemuh Suraya.
"Suraya!" jerit Habibah.
Semua pelajar dalam kelas tersebut masih diam, tidak bersuara. Masing-masing tertanya-tanya drama apakah yang sedang dipentaskan di hadapan mereka waktu ini.
"Kenapa? Salah ke apa yang aku cakapkan?" perli Suraya.
"Apa masalah kau sebenarnya?" tanya Habibah.
"Aku tak ada masalah. Kawan kau tu yang bermasalah. Dasar perempuan murahan!"
"Suraya!" Habibah bangkit dari kerusi ingin menyerang Suraya tetapi pantas dihalang oleh Rifhan yang sejak tadi hanya senyap.
Habibah memandang Rifhan yang menundukkan mukanya. Tidak terasakah gadis itu dengan segala tohmahan yang Suraya lemparkan padanya? Ah, Rifhan terlalu lembut. Gadis itu tidak suka mencari gaduh tetapi, bukankah Suraya terang-terangan menuduh yang bukan-bukan terhadapnya? Tidakkah hati Rifhan tersentuh walau sedikit?
"Duduk Bie. Biarkan dia..." ujar Rifhan.
"Tapi..."
"Saya kata biarkan..."
Habibah duduk semula ditempatnya sambil memandang geram pada Suraya yang sudah bercekak pinggang. Apa kaitannya Suraya dalam hal ini? Dari mana gadis itu mengetahui tentang apa yang berlaku pada Rifhan?
"Oi! Kau dengar sini ya! Jangan harap kau boleh rampas tunang kakak aku! Langkah mayat aku dulu! Sedarlah Rifhan! Kau tu budak-budak lagi! Tak layak pun nak bersaing dengan kakak aku! Baik kau hentikan niat jahat kau tu! Dasar perempuan tak sedar diri!" tengking Suraya.
Nah! Di situ rupanya jawapan yang dicari-cari. Tunang Rahman adalah kakak kepada Suraya. Jadi, tidak mustahil untuk dia mengetahuinya. Satu kebetulan yang menarik! Rifhan yang mendengar segera mengangkat wajahnya. Tunang Rahman, kakak kepada Suraya?
"Wei, Rifhan! Kau dengar sini ya! Jauhkan diri kau dari Abang Rahman. Kalau tak, kau tahulah apa akibatnya!" tengking Suraya.
"Awak tak perlu menjerit. Saya masih belum pekak lagi. Beginilah Su, sampaikan pesan saya pada kakak awak, may the best woman win!" ujar Rifhan lalu melangkah keluar dari kelas meninggalkan Habibah dan Suraya dengan mulut yang terlongo!

* * * * *

LANGIT malam itu tidak berbintang. Bulan pula seakan malap cahayanya seperti merasai kesedihan yang menyelubungi hati Rifhan kala ini. Dia sendiri tidak percaya dengan kata-kata yang diungkapkan pada Suraya sewaktu di kelas pagi tadi. Selepas dia keluar dari kelas, dia terus ke tandas. Membasuh muka agar segar sedikit. Setelah memastikan ketenangan kembali berada dalam dirinya, dia keluar dan melangkah masuk ke kelas semula. Tidak sedikit pun dipandang wajah para pelajar di dalam kelasnya itu.
Sehinggalah sesi pengajaran dan pembelajaran tamat hari itu, tida kada seorang pun yang menegurnya apatah lagi Habibah yang turut sama mendiamkan diri. Rifhan tahu, pasti Habibah marah dengan keputusannya untuk bersama-sama Rahman tapi hanya itu yang terlintas di fikirannya waktu itu. Dia hanya mahu menutup mulut Suraya yang terlalu lancang. Selebihnya, dia tidak sedar akibat kata-katanya tadi.
Rifhan masih teringat kata-kata yang diucapkan oleh Rahman dalam panggilan telefon tempoh hari. Masih segar diingatannya pujuk-rayu lelaki itu yang ingin bersua-muka dengannya.
"We need to talk. Ini tentang masa depan hubungan kita," ujar Rahman.
"Tak ada apa yang nak dibincangkan lagi. Abang dah bertunang. Dah ada tanggungjawab. Kenapa nak kusutkan masalah lagi?"
"Pertunangan ni bukan atas kehendak abang. Semua diatur oleh keluarga. Nak tak nak, abang terpaksa ikut," terang Rahman.
"Saya faham bang... tapi..." Rifhan tidak sempat menghabiskan kata.
"Tak ada tapinya lagi. apa yang abang tahu, abang sayangkan Rifhan," tingkah Rahman.
"Sayang tak bererti cinta,"
Rahman terpana. Kata-kata Rifhan menyedarkannya akan hakikat itu. Adakah cinta dalam hati untuk gadis berambut paras bahu itu?
"Kenapa diam?" duga Rifhan.
"Kita kena jumpa juga,"
"Untuk apa?"
"Kepastian,"
"Saya tak mahu!" Rifhan membantah.
"Kenapa?"
Giliran Rifhan pula diam. Dia sebenarnya takut. Takut mendengar ucapan perpisahan dari lelaki itu. Takut andai mereka berjumpa, perasaan cinta itu tiada lagi.
"Rifhan..." ucap Rahman, sayu.
Talian dimatikan. Rahman melepaskan keluhan. Dia sendiri keliru sebenarnya. Antara kehendak ibu bapa dengan kehendak dirinya sendiri, yang mana perlu diutamakan?
"Rifhan!" laungan dari luar rumah mengejutkan Rifhan dari angannya.
Rifhan memandang ke bawah. Habibah sedang melambaikan tangan ke arahnya. Di sebelah gadis itu ada Anas Zainal. Sudah agak lama juga dia tidak bertemu lelaki itu. Sejak kebelakangan ini, Anas Zainal agak sibuk dengan latihan bola keranjang untuk perlawanan peringkat daerah tidak lama lagi. Habibah juga ada merungut tentang Anas Zainal yang selalu menolak apabila diajak keluar berdua kerana sibuk dengan latihan. Namun Rifhan tahu, cinta antara mereka tetap utuh kerana kedua-duanya punya perasaan menyayangi dan disayangi tetapi dia? Tenggelam dalam lautan keliru dan ragu-ragu.
"Turunlah!" arah Habibah.
"Kenapa?"
"Turun jelah!" arah Habibah lagi.
Rifhan melangkah malas menuju ke pintu biliknya. Entah apalah yang Habibah mahukan malam-malam begini. Pintu bilik dikuak. Dia turun ke tingkat bawah lalu memberitahu ibunya yang dia hendak ke halaman rumah. Sampai di hadapan pintu pagar, dia diterjah gelisah. Apa yang lelaki itu buat di sini?

* * * * *

"ABANG tak sepatutnya datang sini!" marah Rifhan.
Rahman yang berbaju belang oren dan putih serta berseluar panjang hitam hanya mengukir senyum. Hatinya tercuit melihat reaksi Rifhan yang terkejut dnegan kehadirannya di situ.
"Susah sangat nak jumpa Rifhan. Nasib baik ada Habibah," ujar Rahman.
Rifhan mengalihkan pandangannya pada Habibah. Habibah membalas pandangannya kosong. Habibah lantas menarik tangan Anas Zainal pergi dari situ, meninggalkan Rifhan dan Rahman untuk menyelesaikan masalah mereka.
"Abang Man nampak kurus. Tak sihat ke?" soal Rifhan.
Sekali lagi secarik senyum menghias bibir Rahman. Gadis itu masih mengambil berat tentang dirinya. Rifhan seorang yang pemurah. Murah dengan kasih sayang. Itulah yang membuatkan hati Rahman terusik.
"Sakit sikit. Sakit rindu..." gurau Rahman.
Rifhan tergelak kecil. Rasanya sudah lama dia tidak ketawa sejak terlibat dalam masalah ini. Semua baginya terlalu berat untuk ditanggung bagi seorang yang baru berumur setahun jagung sepertinya. Terlibat dalam kisah cinta orang dewasa. Rasa seperti mimpi.
"Abang dan berbincang dengan Salina. Pertunangan kami dah diputuskan," beritahu Rahman.
Rifhan tersentak. Benarkah apa yang didengarinya?
"Maksud abang?"
"Antara abang dan Salina dah tak ada apa-apa lagi,"
"Habis tu, macam mana dengan Salina?"
"Dia tak dapat terima. Sekurang-kurangnya abang berlaku jujur. Jika kami teruskan juga, abang tak yakin yang kami boleh bahagia. Lagipun, hubungan kami memang bermasalah pun sebelum ni," terang Rahman.
Rifhan tidak pasti apa yang dirasakan saat ini. Gembirakah? Sedihkah? Tapi apa yang Rifhan tahu, ada kelegaan yang menjalar di segenap ruang nadinya. Tidak seharusnya dia berperasaan begitu kerana dia juga perempuan. Tahu peritnya sebuah perpisahan. Namun, perasaan bukanlah sesuatu boleh dipaksa. Tiada gunanya bertepuk sebelah tangan. Tidak akan berbunyi.
"Jadi, boleh Rifhan terima hasrat hati abang?"
"Saya perlukan masa untuk berfikir," jawab Rifhan.
"Ambillah seberapa lama masa yang Rifhan perlukan Cuma abang harap jawapannya nanti tidak mengecewakan," balas Rahman.
"Saya masih muda. Masih banyak lagi yang belum saya tempuh. Abang sanggup tunggu?"
"Rifhan tak percayakan abang?"
"Saya percaya, sebab ia adalah abang," jawab Rifhan, tulus.
"I miss you,"
"Miss you too..." balas Rifhan.
Deru angin malam menghantar sedikit kedinginan dalam hati Rifhan. Entah mengapa, hatinya tidak tenteram. Serasa hubungan ini tidak akan bertemu penyudah yang bahagia. Oh, Tuhan, usaikanlah ragu dari hati ini...

* * * * *

"SAYA merayu... saya benar-benar berharap agar hubungan kami diberi peluang sekali lagi," ujar Salina membuatkan Rifhan kelu tanpa kata.
"Awak masih muda. Masih banyak peluang untuk bercinta. Ramai lagi orang yang awak akan jumpa. Tapi saya... saya hanya ada Rahman. Hanya dia lelaki yang saya kenali sejak dulu. Kami berkawan sejak di universiti lagi. Keluarga kami juga bukannya orang asing. Masing-masing dah kenal antara satu sama lain. Jadi, saya mohon, tolong lepaskan Rahman, kalau bukan demi saya, fikirlah demi kebahagiaan Rahman," panjang lebar bicara Salina.
"Maksud cik?"
Salina memerhati beberapa orang kanak-kanak yang sedang bermain gelongsor tidak jauh dari kerusi yang sedang meraka duduki. Kedatangannya untuk bertemu Rifhan petang itu punya satu tujuan. Untuk memastikan Rahman menjadi miliknya.
"Kalau pertunangan ni diputuskan, keluarga Rahman mungkin akan jatuh muflis. Hanya dengan bantuan kewangan dari papa saya yang boleh menyelamatkan syarikat milik keluarga Rahman. Apa, dia tak beritahu awak tentang perkara ni?" soal Salina.
Rifhan terkejut! Sungguh, dia tidak tahu apa-apa tentang perkara itu.
"Rahman, bukan bekerja sebagai pegawai bank?" Rifhan bertanya.
Salina tergelak besar mendengar pertanyaan Rifhan sebentar tadi menyebabkan Rifhan sedikit kebingungan.
"Awak memang naif Rifhan. Patutlah mudah diperdayakan... for your information, Rahman is an executive in Karisma Holdings milik Dato’ Omar Amiah. Dia adalah satu-satunya pewaris yang akan menggantikan Dato’ selepas ini," terang Salina.
Rifhan beranjak sedikit ke belakang. Benar-benar tidak menyangka yang Rahman adalah anak kepada seorang tokoh perniagaan yang disegani. Kenapa lelaki itu tidak memberitahunya tetang perkara itu dan yang paling persoalan, mengapa mesti berbohong?
"Nampak sangat yang dia tak percayakan awak. Sudahlah Rifhan... saya yakin Rahman hanya gunakan awak sebagao tempat untuk dia melepaskan kesunyian sahaja memandangkan kami bergaduh kecil. Sedarlah, awak tu tak layak untuk berdampingan dengan lelaki sepertinya," kali ini nada suara Salina mulai berubah, seolah yakin yang dia sudah menang.
"Maaf, saya harus pergi. Ada hal yang perlu diuruskan," ujar Rifhan lalu meninggalkan Salina keseroang di taman permainan berhampiran rumahnya dengan hati yang walang.

* * * * *

RAHMAN menundukkan wajah, tidak mampu bertentang mata dengan Rifhan. Kata-kata yang Rifhan muntahkan sebenar tadi benar-benar menyesakkan dada. Pasti Salina yang membongkari segalanya. Ah, gadis itu memang sukar mengalah selagi tidak dapat apa yang dihajatinya.
"Saya rasa, lebih baik kita berpisah..." ucap Rifhan.
"Abang minta maaf,"
"Saya dah maafkan cuma saya rasa dikhianati,"
"Rifhan tetap dengan keputusan yang dibuat?" tanya Rahman, inginkan kepastian.
"Ya, saya pasti. Saya yakin dengan keputusan saya,"
"Betul?"
"Ya,"
"Bagaimana dengan hati Rifhan?" Rahman bertanya.
"Dah tawar,"
"Bukankah kita saling menyayangi?"
"Ya, saya sayangkan abang, tapi hanya sebagai sahabat. Tiada cinta. Semuanya hanya satu tarikan," dalih Rifhan.
Rahman memandang wajah sayu Rifhan. Dirinya benar-benar tersepit dengan keadaan. Antara kebahagiaan keluarga atau kebahagiaan dirinya. Rahman tidak mahu syarikat papanya jatuh muflis. Rahman tidak mahu melihat adik-beradiknya hidup di tepi-tepi jalan menagih simpati. Tapi bagaimana dengan perasaan cinta dalam hatinya yang mula berputik untuk gadis di hadapannya ini?
"Baiklah, kalau itu keputusan Rifhan, abang terima. Walau apa pun, abang nak Rifhan tahu, perasaan sayang dalam hati abang untuk Rifhan tetap utuh, tiada gantinya," ujar Rahman.
Rifhan dilanda sebak namun ditahan air matanya dari jatuh berjuraian. Dia tidak boleh kalah pada perasaan lagi. Mungkin sudah ditakdirkan antara mereka tiada jodoh. Mungkin benar kata Salina, dia masih muda. Masih panjang liku-liku dalam hidupnya. Rifhan yakin, suatu hari nanti, cinta sejatinya akan muncul juga.

* * * * *

LOCENG berbunyi menandakan waktu persekolahan sudah tamat. Rifhan memasukkan kotak pensil ke dalam beg sekolahnya. Habibah juga turut melakukan perkara yang sama. Selepas ketua tingkatan mengucapkan terima kasih pada Cikgu Salmah, guru Matematik kelas 4 Sains 1 itu, lalu diikuti oleh para pelajar yang lain, mereka mula bergerak keluar dari kelas. Habibah berjalan bergandingan dengan Rifhan menuruni anak tangga Blok B itu. Mereka menuju ke tempat letak motorsikal. Di sana, Anas Zainal sudah menunggu dengan senyuman.
"Maaf ya Han. Hari ni kau terpaksa balik seorang," mohon Habibah.
"Tak apa, saya dah biasa. Anas, bawa motor jangan laju-laju. Awak tu Bie, balik sebelum Maghrib. Nanti mak awak tanya, tak tahu pula saya nak jawab apa," pesan Rifhan.
"Yes madam Rifhan!" ucap mereka berdua serentak.
Rifhan tergelak kecil. Dia hanya menghantar pemergian Habibah dan Anas Zainal dengan pandangan matanya. Bahagianya mereka. Ada sedikit cemburu yang menjalar di hatinya. Tidak apalah, Rifhan sudah cukup gembira melihat Habibah bahagia bersama-sama dengan lelaki yang mencintainya. Langkah kaki diatur menuju ke perhentian bas. Lima minit berjalan, peluh mula merenik di mukanya. Cuaca agak hangat petang itu. Rifhan mengeluarkan sapu tangan dari saku baju kurungnya.
Hatinya diulit debar tiba-tiba. Sapu tangan itulah yang menyebabkan dia berkenalan dengan lelaki yang mencuri hatinya. Segugus nafas berat diluahkan dari dalam dada. Hilang segala debar dalam hatinya. Sudah hampir dua minggu berlalu sejak pertemuan kali terakhir dengan lelaki itu. Sejak itu, langsung tiada khabar dari Rahman. Mungkin dia sudah kembali pada Salina kerana Suraya tidak lagi bising-bising di dalam kelas. Rifhan sentiasa mendoakan kebahagiaan lelaki itu.
Bayu laut bertiup kencang, menerbangkan sapu tangan milik Rifhan. Rifhan segera berlari untuk mengejar sapu tangannya dan langkahnya Terhenti tiba-tiba. Dia merasakan masa seolah-olah turut sama terhenti. Serasa tidak percaya melihat susuk tubuh di hadapannya. Perlahan-lahan lelaki itu mendekati Rifhan dengan sehelai sapu tangan yang digenggam di tangan kanannya.
"Lama tak jumpa. Awak sihat?" tegur Rahman.
Lidah Rifhan kelu. Tubuhnya seakan melayang. Rindu di hati terubat jua. Melihat senyuman yang terukir di bibir lelaki itu, membuatkan hati Rifhan lapang-selapangnya. Hilang segala gundah yang menyelubungi hati.
"Hei, sejak bila jadi bisu ni?" tegur Rahman lagi.
"A... a... apa yang awak buat kat sini?" tanya Rifhan, gugup.
"Nak hantar awak baliklah,"
"Hah?"
Rahman menyerahkan sapu tangan itu kepada Rifhan. Tangannya memegang erat tangan Rifhan membuatkan gadis itu diserbu malu.
"Sapu tangan ni amat bermakna. Jangan hilangkannya," ujar Rahman.
"Awak..."
"Saya tak akan lepaskan tangan ini lagi,"
"Tapi..."
"Semuanya dah diuruskan. Awak tak perlu risau. Tanpa pertolongan Salina, syarikat papa saya tetap boleh bangun semula andai kami berusaha. Kami sekeluarga tetap boleh hidup walau tanpa syarikat tersebut tapi saya... Saya tak boleh hidup tanpa awak," jelas Rahman.
Manik-manik jernih mula berjuraian jatuh di pipi Rifhan. Sungguh, dia tidak menyangka hubungan mereka akan menemui pengakhiran yang begini. Rahman melekapkan kepala Rifhan di dadanya. Rifhan terus menangis dan menangis. Antara dua hati, bunga-bunga cinta mula rekah, mewarnai hati Rahman dan Rifhan, dengan haruman yang mempersona!

TAMAT

 
You can follow any responses to this entry through the Contac Us. You can leave a response.