Novel : Mendung Berlabuh 2

Nor…bangun nak. Dah nak dekat Maghrib ni…tak elok tidur waktu macam ni tau", bahuku digoncang perlahan. Makcik Jenab memandangku dengan penuh simpati. Aku membuka mata tapi masih belum berganjak dari pembaringanku. Rupanya aku tertidur di atas tikar yang agak lusuh. Aku tidak sedar bilakah aku tertidur yang nyata mataku pedih akibat terlalu banyak mengeluarkan airmata. Makcik Jenab sudahpun lengkap bertelekung menunggu waktu sembahyang Mahgrib. Aku melihat ke luar tingkap. Matahari hampir terbenam di ufuk timur menandakan waktu malam akan tiba.

Sayup kedengaran suara-suara yang agak asing menerjah ke cuping telingaku. Seperti suara mak sedang berbual dengan seseorang. Aku bangun dan melangkah keluar dari bilik Makcik Jenab perlahan-lahan. Setibanya aku di muka pintu ruang tamu, aku terdengar suara mak bercerita tentang keadaanku kepada Imam Lamit, ayah kepada rakan sekolahku iaitu Ashiffah atau lebih senang dipanggil Pam.

Mereka duduk di kerusi yang sengaja diletakkan di halaman rumah untuk tujuan bersantai-santai. Mak menceritakan kisahku kepada Imam Lamit dan dia meminta bantuan kepada Imam Lamit untuk memberiku air penenang jiwa. Aku mendengar satu-satu bait kata yang keluar dari mulut mak dan Imam Lamit. Hiba terasa. Dadaku masih lagi terasa pedih atas kejadian yang berlaku kepada diriku. Sungguh aku tidak dapat menahan emosi. Gugur jua airmataku kerana aku kasihan dengan mak dan bapa. Sanggup datang dari jauh kerana memenuhi keinginanku untuk datang menemuiku hari ini. Tidak juga aku menyangka keadaan akan bertambah teruk dan disalah anggap. Tujuanku memanggil mak dan ayah datang untuk memberitahu status hubunganku bersama Rosmin dan kesediaanku untuk menjadi isteri kedua sekaligus madu kepada kawan baikku, Nina. Namun aku hanya mampu merancang tetapi takdir yang menentukan aku terpaksa keluar meninggalkan orang-orang yang aku sayangi. Rosmin, Nina dan Farha. Aku juga ingin mendapatkan reaksi dan respon kedua orangtuaku mengenai perkara ini tetapi malangnya niatku telah disalahtafsir oleh Nina. Dia menyangkakan aku memanggil orangtuaku atas tujuan untuk memarahinya. Tiada terniat di hati ini. Tetapi juga mungkin silap datang dari diriku kerana membuat keputusan tanpa memberitahunya terlebih dahulu. Agak sukar bagiku menerangkannya kerana sebelum kejadian pagi tadi keadaan agak genting kerana kami bertiga telahpun bertengkar.

Pertengkaran kami bermula dari malam Jumaat dan berlarutan sehingga ke hari ini. Aku merasa amat berdosa kepada kedua orangtuaku kerana bagiku perbuatanku ini ibarat menconteng arang ke muka mereka. Apalah dayaku lagi kerana perkara sudah berlaku dan masa tidak boleh diundur lagi. Seribu macam perasaan aku rasai ketika ini tambahan lagi mendengar permintaan mak supaya Imam Lamit memberiku doa untuk melupakan Rosmin, insan yang aku sayangi. Ah, perit sungguh penderitaan ini. Aku tidak sanggup lagi menanggung semua ini.

Kehadiranku di ambang pintu rumah nyata menghentikan perbualan mak dan Imam Lamit. Aku berpura-pura seakan tidak mendengar perbualan mereka. Imam Lamit meminta diri atas alas an ingin mengerjakan sembahyang Maghrib dan berjanji akan dating semula selepas waktu Isyak. Mak mengangguk sahaja. Bapa yang duduk di sebelah mak membisu sahaja. Begitulah sikap bapa yang lebih gemar berdiam diri. Namun aku tahu jauh di lubuk hatinya terkilan kerana sikapku dan masalah yang melanda tika ini. Kasihan bapa. Terlalu banyak penderitaan yang dialami dari dulu hingga kini. Dulu kehidupan agak baik berbanding sekarang kerana dulu bapa berkhidmat sebagai anggota polis dan bersara pada umurnya mencecah 56 tahun pada tahun 2004. Ketika itu aku telahpun berada di tingkatan enam atas bersama-sama Rosmin dan Nina dalam satu kelas yang sama iaitu Aliran Sastera.
Ah, kenangan hanya tinggal kenangan. Dulu aku bergantung hidup kepada mata pencarian bapa sebagai seorang anggota polis dan sekarang aku pula yang menyara mereka. Biarpun hampir setahun memegang jawatan sebagai penjawat awam namun aku telah mengurangkan beban keluargaku apatah lagi ketiga-tiga kakakku yang sudah berkahwin tidak berkerja dan adik lelakiku pula baru selesai menduduki peperiksaan SPM. Mana lagi kakak sulungku yang baru melahirkan anak kelima bulan November 2008 tinggal di kampung bersama empat orang anaknya dari umur 16 tahun, 15 tahun, 10 tahun dan 9 tahun. Semuanya masih bersekolah lagi. Manalagi suami kakakku yang sulung pula tidak bertanggungjawab. Pergi ke Singapura atas alas an untuk berkerja tapi satu sen pun tidak menghantar nafkah kepada isterinya malahan mengkhabarkan kepada kakakku bahawa dia akan membawa madunya pulang ke Sabah.
Kakakku yang kedua pula hanya sebagai surirumah. Akan tetapi menambah kebingungan sahaja kerana sering meminta wang dariku. Apalah sangat pendapatanku sebulan hanya mencukupi untuk diriku dan keluarga di kampung sedangkan dia mampu untuk berkerja. Manakala suaminya pula hanya menunggu wang pendapatan dari kakakku sahaja. Dia hanya duduk diam di rumah tanpa membuat apa-apa padahal sihat walafiat dan duduk di bandar besar Kota Kinabalu. Mujur anak hanya ada satu itupun sudah mencecah 13 tahun.
Kakakku yang ketiga baru sahaja melangsungkan perkahwinan hujung tahun lalu dan baru sahaja melahirkan puteri sulungnya pada bulan Julai 2008. Namun status kakakku yang satu ini adalah isteri kedua. Hampir sama seperti keadaanku Cuma bezanya dia sudah berkahwin tetapi aku belum.
Adikku pula baru meninggalkan alam persekolahan dan kini menunggu keputusan peperiksaan. Inipun menjadi kebimbangan. Andainya lulus dapatlah melanjutkan pelajaran. Tapi andai sebaliknya? Aku pun masih tidak dapat membayangkan kemungkinan yang bakal terjadi.

Haaaah…aku mengeluh berat. Betapa aku menambahkan lagi bebanan masalah ke dalam keluargaku yang berkotak-katik. Wujud keinsafan dalam diri ini. Tetapi akankah bisa ia bertahan atau di ketika aku mengalami kesusahan baru aku tersedar? Banyak sungguh dosa yang telah aku lakukan di masa silam sebelum aku bertemu dengan Rosmin dan bercinta dengannya atas usul kawan baikku sendiri agar aku berkasih-kasihan dengan suaminya supaya aku boleh dijadikan sebagai isteri kedua kepada Rosmin.

...bersambung...

 
You can follow any responses to this entry through the Contac Us. You can leave a response.